QADHEER ALAUDDIN melangkah keluar dari
kamarnya. Rambut yang masih lembap dan separuh kering kerana mandi tadi diusap
secara kasar. Dia sempat mengerling ke arah jam dinding yang berada di ruang
tamu. Waktu melepasi pukul 10.15 malam. Dia baru sahaja selesai menunaikan
solat isyak.
Qadheer Alauddin
menuju ke dapur, mahu mencari air untuk membasahkan tekak. Ketika itu juga
Nazri sedang melakukan sesuatu di dapur.
“Bila larut
malam... Tara ku cha...
Tara ku chacha... Suasana sepi... Tara ku cha... Tara ku chacha.” Nazri sedang
memegang sudu. Sudu itu dianggapnya seperti mikrofon sambil menyanyi dengan
penuh perasaan. Siap lagi berjoget zaman P. Ramlee.
Boleh haus lantai dapur tu kerana gosokan tapak kaki Nazri.
Qadheer Alauddin
menggelengkan kepala tatkala memerhatikan gelagat Nazri. Dia mengambil gelas
lalu membuka pintu peti sejuk. Dia mengambil botol yang berisi air masak lalu
dituangkan ke dalam gelas.
“Eh? Encik Al
rupanya. Tak nak joget sekali ke dengan saya? Tara ku chacha... Tara ku chacha...” ajak Nazri terhadap lelaki
yang mengenakan kemeja-T tanpa lengan dan
berseluar paras lutut itu. Budak ni memang tak ada apa-apa perasaan agaknya.
Qadheer Alauddin
tidak memberikan sebarang tindak balas. Dia terus meneguk air yang berada di
dalam gelas.
“Encik Al
malulah tu.”
“Kau memang suka
sangat ke cerita P. Ramlee?”
“Macam mana
Encik Al tahu ni?”
“Macam mana
tahu? Kalau dah kat bistro tu kejap Cik Salmah, kejap Encik Ramlee. Lepas tu
nyanyi lagu Bila Larut Malam tu, siapa yang tak tahu.”
“Ini salah satu
cara nak mengubat kerinduan kat Malaysia. Kat ruang tamu tu ada DVD cerita P. Ramlee.
Almaklumlah, nak tengok drama sinetron Itali ni tak berapa
nak faham. Asyik dialog perfavore tak
sudah-sudah. Sekarang ni pun saya tengah tengok cerita Labu Labi tu. Encik Al
nak tumpang tengok pun boleh,” pelawa Nazri sambil tangannya mencari sesuatu di
dalam peti sejuk.
Beberapa saat
kemudian, Nazri menutup kembali peti sejuk. Tangannya mengambil sebiji telur,
sebotol madu dan sekotak susu.
“Kau nak buat
apa dengan barang tu semua? Nak buat kek ke?”
“Nak buat kek?
Imran Nazri tahu buat karipap aje. Kek bagai
semua ni memang tak beberapa nak pandai. Enam kali buat satu kali aje jadi.
Bahan-bahan semua ni saya nak buat masker. Ha...
barulah kecantikan dan kebersihan muka terjamin. Cuba Encik Al tengok muka saya
ni. Bersih dan bercahaya, kan? Terasa bersinar-sinar sampai orang nak tengok
pun kena pakai cermin mata hitam,” balas Nazri, memuji diri sendiri. Melebih-lebih
sungguh.
Sekali lagi
Qadheer Alauddin menggelengkan kepalanya. Tak sesuai langsung lelaki buat
masker macam itu. “Daripada susu tu dibuat
masker, lebih baik minum. Biar badan tu sihat, cukup kalsium.”
Nazri melopong
lalu pergi ke tempat Qadheer Alauddin berdiri.
“Minum susu?
Jadinya, Encik Al dapat lengan macam pahlawan Roman ni sebab minum susulah,
ya?” Tangan Nazri sempat menyinggah ke lengan Qadheer Alauddin. Dia
memicit-micit sedikit otot yang ada.
“Hisy... Apa pegang-pegang ni? Dah,
dah... Kau pergi buat masker kau.
Lebih baik aku tengok cerita Labu Labi tu.” Laju sahaja Qadheer Alauddin
meninggalkan Nazri yang berada di dapur. Kalau dilayan budak itu, mahunya dia kena telan dua biji Panadol.
GELAK dan tawa sekali-sekala
kedengaran di ruang tamu rumah. Sudah
lama Qadheer Alauddin tidak menonton cerita karya Seniman Agung Negara itu.
Kesibukan masa dengan kerjaya membataskan segala-galanya. Atau mungkin dia
sengaja membiarkan waktu yang ada diisi dengan kerja yang menimbun. Sedikit sebanyak, dengan cara begitu dia mampu
mengurangkan rasa rindu terhadap gadis yang bernama Anis Nadhira.
“Encik Al?” panggil Nazri yang baru sahaja keluar dari
kamar mandi.
“Apa dia?” balas
Qadheer Alauddin lalu menoleh. Dia merasakan tumpuannya terganggu. Wajah Nazri
sudah diliputi dengan campuran bahan masker tadi.
“Masker ni ada
lebih. Nak buang sayang.”
“Habis tu, nak
buat apa? Makan? Tak pun kau simpan ajelah.”
“Encik Al, mana
boleh makan. Simpan pun tak elok. Masker ni kena pakai secara segar dari
ladang. Encik Al pakai, ya?” pinta Nazri.
“Hei... Gila ke apa nak suruh aku pakai? Tak ada, tak
ada. Aku tak nak pakai.” Qadheer Alauddin mempamerkan wajah tidak senang dengan
permintaan Nazri.
“Encik Al,
masker ni sangat bagus untuk kulit Encik Al. Sejuk aje bila pakai kat muka.
Madu ni bagus untuk kelembapan kulit. Kulit muka tak kering. Susu pula boleh
buatkan wajah kita bercahaya macam lampu kat Stadium Bukit Jalil tu. Encik Al
kan tak boleh tidur sebab jet lag. Apa kata Encik
Al pakai masker ni, manalah tahu boleh tidur.”
“Apa kena-mengena mata dengan masker? Aku cakap tak
nak. Masker ni untuk orang perempuan aje.”
Nazri yang dari
tadi berdiri, kini sudah duduk di sofa, bersebelahan dengan Qadheer Alauddin. “Eh,
jangan macam tu Encik Al. Kita sebagai orang lelaki kena jaga penampilan.”
Nazri merapatkan
mukanya ke wajah Qadheer Alauddin. “Kulit Encik Al memang kulit lelaki
maskulin. Pakai produk apa kulit jadi macam ni? Encik Al pun buat masker juga
ya?”
“Ni semula jadi.
Minum susu,” balas Qadheer Alauddin. Dia
cuba untuk fokus kembali dengan cerita yang ditontonnya.
Saat lelaki itu
sedang leka, tangan Nazri mencalitkan sedikit campuran yang berada di mangkuk
itu ke pipi Qadheer Alauddin.
Qadheer Alauddin
terkejut. Dia merenung tajam ke arah Nazri. “Kan aku cakap tak nak.”
“Encik Al, umi
saya cakap tak baik membazir. Itu amalan syaitan. Daripada saya buang, lebih
baik Encik Al pakai. Manalah tahu boleh hilangkan hitam kat bawah mata tu.
Encik Al kan tak tidur dari semalam. Kalah mata panda negara
China daerah Guangzhou tu. Kalau Cik Salmah, tak sanggup rasanya...”
“Tak payah nak
membebel lagi. Cepat, sapu.”
“Sapu? Betul?” Nazri
menyengih.
Qadheer Alauddin
membetulkan posisi duduknya. Daripada terus mendengar bebelan Nazri yang tiada
kesudahan itu, lebih baik dia turutkan
sahaja. Dia menghadap Nazri.
Nazri dengan
penuh rasa gembira lagi riang menyapu campuran bahan tersebut ke muka Qadheer
Alauddin.
“Naz, boleh aku
tanya sikit?” tanya Qadheer Alauddin secara tiba-tiba.
“Encik Al nak
tanya apa?” Jari-jemari Nazri lembut meratakan masker itu pada hidung Qadheer
Alauddin.
“Kau dah lama ke
kawan dengan Keris?”
“Dengan Keris?
Dah lama sangat kenal, dari kecil lagi. Kita orang membesar sama-sama. Satu
sekolah dari sekolah rendah sampailah sekolah menengah. Dari budak berhingus
sampailah saya dah vogue sekarang ni.”
“Jadi, kau
memang rapatlah dengan dia?”
“Terlebih rapat.
Dah jadi kawan dunia akhirat. Sebenarnya keluarga saya dengan keluarga angkat
dia berjiran.”
“Keluarga
angkat?”
Nazri mengangguk
dua tiga kali. “Ya, Nadh membesar dengan keluarga angkat dia.”
“Keluarga
kandung?”
“Kalau pasal
keluarga kandung, Encik Al kena tanya dia.”
“Habis tu, dia
kat Venice ni duduk dengan siapa?”
“Dia duduk
sorang-sorang. Dia dah biasa hidup berdikari. Sejak kecil lagi dia tahu siapa
diri dia. Dia tidak pernah mengharapkan simpati daripada orang sekeliling.
Boleh saya katakan, dia adalah antara orang yang paling tabah yang pernah saya
kenal.”
“Macam mana kau
dengan dia boleh duduk kat Venice ni?”
“Nadh ada
kehidupan dan kerjaya dia sendiri kat Malaysia. Tapi, bila dia tahu saya dapat
sambung pelajaran kat Venice dua tahun lepas, dia pun ambil keputusan nak ikut
saya pergi ke Venice. Dia cakap, dia tak ada sesiapa selain keluarga saya
selepas ayah dan ibu angkat dia meninggal dunia. Sejak hari tu, bermulalah
kehidupan kami kat sini. Kita orang kerja kat Bistro Karipap La Timah.”
Sebaik sahaja
mendengar keterangan Nazri, tangan kanan
Qadheer Alauddin menggenggam pergelangan Nazri.
Nazri yang
sedang leka menyapu terkejut dengan perbuatan adik majikannya itu. “Kenapa
Encik Al?”
“Kau ada apa-apa
hubungan ke dengan Keris?”
“Hubungan?
Hubungan yang macam mana tu?” Dahi Nazri berkerut. Eh, bercelaru, keliru lalu
haru-biru aku dengan mamat kejung kertas kajang ni.
“Hubungan perasaan.”
Tidak
semena-mena Nazri mahu tergelak tetapi cuba ditahan kerana masker yang berada pada muka mula kering sedikit. “Saya dengan Nadh
dah macam adik-beradik kandung. Takkanlah
nak ada hubungan macam tu? Choi...”
“Tapi orang
cakap tak ada istilah kawan baik antara lelaki dan perempuan. Salah seorang
mesti ada menyimpan perasaan.”
“Encik Al,
percayalah yang saya dengan Nadh tak mungkin akan ada perasaan tu. Impossible.”
“Tak mungkin? Impossible?” ulang Qadheer Alauddin.
“Tak percaya?
Nak saya belah dada ke?”
Sudah berpuas
hati dengan jawapan Nazri, barulah Qadheer Alauddin melepaskan genggamannya.
“Tak payah belah
dada. Entah apa aje yang ada kat dada kau tu. Sambung sapu,” arah Qadeer
Alauddin.
Nazri tersenyum
lebar. Senyumannya penuh dengan makna. Dia cuba mencari jawapan di sebalik
wajah itu. Sapuan yang terakhir diratakan pada dahi Qadheer Alauddin. “Encik Al
tanya banyak soalan pasal Keris Nadhrah Sari ni, kenapa?”
“Tanya pun tak
boleh ke? Dah siap ke belum masker kau ni?”
Nazri mencebik. “Sudah.
Patutnya bukan tu jawapan Encik Al kat saya.”
“Habis tu kau
nak yang macam mana?”
“Alah... Soalan yang macam Encik Al tanya kat Nadh
tu. Awak rasa? Ha, patutnya macam tu.”
“Yalah, yalah.
Kau rasa?”
“Saya rasa... Hmm... Saya
rasa Encik Al ada rasa sayang hei. Encik Al suka dengan Nadh, kan?”
Qadheer Alauddin
berpura-pura tidak dengar dengan pertanyaan Nazri. Dia mengambil bantal kecil
yang berada di sofa. Dia meletakkan bantal tersebut di atas lantai lalu baring.
“Encik Al tak
jawab pun.”
“Pakai masker,
mana boleh cakap.”
“Cheit!”
Qadheer Alauddin
memejamkan mata. Suara Nazri sedang berbicara langsung tidak diambil pusing.
Perlahan-lahan layar yang gelap mempamerkan sesuatu.
AYUNAN langkah anggota itu terhenti.
Kakinya diam terpaku di situ. Dia tegak berdiri sambil tangannya menjinjing beg
plastik berwarna merah. Mata Qadheer Alauddin
fokus terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an
menerusi cermin mata hitam yang terletak
kemas pada batang hidung yang sederhana mancung.
Insan itu sedang
duduk dan dalam masa yang sama tangannya membelek kasut yang baru sahaja
diserahkan. Langkau beberapa detik, lelaki tersebut berbicara dengan
pelanggannya. Sekali-sekala kepala orang tua itu mengangguk. Barangkali mereka
berdua sedang berbincang mengenai objek yang digunakan untuk melindungi kaki
semasa berjalan itu. Selang seminit, pemuda yang menjadi pelanggan si tukang
kasut beransur pergi.
Kerja menukar
tapak kasut yang terhenti tadi disambung semula. Dia membersihkan gam lama pada
permukaan bawah kasut sebelum gam baru disapu. Usai bersih dan hilang kesan
lekatan gam terdahulu, pandangan lelaki itu tunduk dan berlabuh pada sisi kiri.
Tapak kasut baru bersaiz lapan diambil. Kemudian dia menemukan permukaan bawah
kasut dengan tapak tersebut. Proses sedemikian dilakukan dengan berhati-hati
supaya tapak baru tersebut melekat kemas di tempat yang sepatutnya.
Lelaki yang
memakai kemeja-T hitam berleher bulat itu
mengesat keringat yang mengalir. Walaupun angin berhembus menyapa ke muka,
cuaca pada petang itu terasa terik dan bahang.
“Assalamualaikum
pak cik,” ucap Qadheer Alauddin tatkala tiba di kaki lima kedai. Dia
menanggalkan kaca mata hitam lalu menyangkut objek itu pada butang kedua paling
atas pakaiannya.
Pemegang tukul
besi bersaiz mini digenggam kemas pada tangan Zahid yang berurat-urat itu. Dia
mengayunkan perkakas tersebut dengan daya yang kecil pada tapak kasut tadi.
Zahid mengetuk beberapa kali agar dua permukaan yang berbeza itu menekap rapat.
“Waalaikumussalam.
Nak betulkan kasut ke? Tunggu sekejap ya,” balas Zahid tanpa mendongakkan
pandangan. Dia begitu fokus terhadap kerjanya.
Qadheer Alauddin
tersenyum melihat Zahid yang sedang duduk di bangku rendah berwarna merah itu.
Terdetik rasa hairan di hati Zahid apabila soalannya tidak dibalas. Dia mengambil keputusan untuk mengangkat wajah. Sedikit demi sedikit senyuman terukir. Pada penglihatan Zahid terpampang bentuk tubuh yang tidak asing pada ingatannya. Lelaki berketinggian 178 sentimeter itu mengenakan kemeja lengan panjang berwarna merah maroon dan tali leher kelabu terletak longgar pada bahagian dada yang bidang itu. Lengan kemeja dilipat menghampiri siku.
Zahid
menghadiahkan senyuman lebar terhadap Qadheer Alauddin. Melihat sahaja pemilik
tubuh tersebut, Zahid meletak ke tepi kasut
yang sedang dibaiki. Dia mengambil botol minuman berisi 1.5 liter air lalu
mencuci tangannya.
“Al rupanya. Pak
cik ingatkan ada pelanggan nak betulkan kasut tadi,” kata Zahid sambil mengelap
tangan dengan tuala kecil yang tersangkut pada lehernya.
Mereka berdua
bersalaman.
“Al tengok pak
cik sibuk aje hari ni.”
“Alhamdulillah,
ada rezeki pak cik. Biasa-biasa ajelah, Al. Cukup untuk keperluan pak cik yang
dah tua ni. Al kenapa datang sini?”
Plastik merah
yang dijinjing diangkat ke paras dada. Dia menayangkan dua polistirena yang
berisi makanan itu terhadap Zahid. “Al belikan makanan kegemaran pak cik. Nasi goreng kampung ekstra cili padi.”
“Kamu ni, buat
susah-susah aje, Al.”
“Apa yang
susahnya? Al tak masuk dapur pun. Beli kat kedai aje. Kebetulan Al ada meeting kat kawasan sini. Bila dah kat sini, tu yang jenguk
pak cik. Al tahu pak cik belum makan tengah hari
lagi, kan?”
Qadheer Alauddin
duduk di hadapan Zahid tanpa rasa kekok. Dia menghulurkan sebungkus bekas
makanan terhadap lelaki itu. Bau haruman makanan tersebut membuka selera Zahid
semasa polistirena itu bertukar tangan.
“Al pun pesan
nasi yang sama dengan pak cik ke? Al kan tak boleh makan pedas.”
“Tak adalah. Al
pesan nasi goreng biasa aje. Al tahu pak cik suka makan nasi goreng
pedas-pedas. Sebab tu Al pesan pak cik punya macam tu.”
Tersentuh jiwa
Zahid apabila Qadheer Alauddin begitu mengambil berat akan
dirinya sedangkan tiada setitis darah pun yang mengaitkan
dia dengan pemuda itu.
“Al minta maaf
sebab dah lama tak tanya khabar pak cik,” ujar Qadheer Alauddin tatkala lima suap
nasi sudah menuruni tekaknya.
Kunyahan Zahid
menjadi perlahan. Zahid memandang Qadheer Alauddin. Penglihatannya terhadap
lelaki tersebut kelihatan dalam. Terserlah kedutan pada kedua-dua hujung mata
itu.
“Pak cik
langsung tak kisah, Al. Pak cik tahu Al sibuk dengan kerja. Lagipun, pak cik ni
langsung tak ada kena-mengena dengan kamu.
Jadi, janganlah ada perasaan bersalah untuk pak cik. Pak cik patutnya rasa
beruntung sebab dapat kenal dengan orang macam Al ni. Layan pak cik baik
sangat.”
“Pak cik, janganlah
cakap macam tu. Apa yang pak cik buat dulu, Al tak akan lupa. Pak cik dah
tolong Al.”
“Peristiwa lepas
tu cuma kebetulan aje. Sesiapa pun yang ada kat situ, akan
lakukan perkara yang sama. Apalah sangat...”
“Pak cik, Al dah
anggap pak cik macam ayah Al. Tak elok rasanya seorang anak dah lama tak jenguk
ayahnya.”
“Al memang suka
buat pak cik rasa sayu macam ni. Bila Al cakap macam tu, sekurang-kurangnya pak
cik masih lagi ada seorang anak.” Sudu plastik yang dipegang menguis nasi yang
ada. Kerana peristiwa itu, dia mengenali Qadheer Alauddin.
Umpama melambung
buah dadu, kali ini giliran Qadheer Alauddin pula yang mengunyah perlahan. Jika
sebut soal anak dan ayah, dia tahu, lelaki tua itu mudah tersentuh.
“Pak cik masih
ingat lagi perkara yang Al cakap tiga bulan lepas?”
“Pasal apa?”
“Hasrat dan
keinginan pak cik.”
Raut wajah Zahid
kosong. Tautan pandangan dengan Qadheer Alauddin segera dileraikan. Seboleh
mungkin Zahid mahu melupakan hasrat yang agak mustahil untuk dicapai itu.
“Kamu janganlah
fikir sangat pasal tu. Dah masa tu Al tanya apa yang pak cik teringin sekali
dalam hidup pak cik, pak cik cuma jawab aje. Pak cik tak harapkan apa-apa,
sebab pak cik tahu perkara tu mustahil akan berlaku.”
“Kalau pak cik...”
“Al...” Pantas Zahid memintas kata-kata Qadheer
Alauddin. Zahid menggantungkan susunan bicaranya seketika.
Qadheer Alauddin
dapat melihat halkum lelaki tua itu bergerak.
“Pak cik tahu
yang pak cik tak akan jumpa dia lagi. Entah macam mana muka dia sekarang pun
pak cik tak dapat bayangkan. Silap-silap agaknya kami pernah bertembung. Kali
terakhir pak cik tahu pasal dia masa umur dia 12 bulan. Memang pak cik cakap,
kalau boleh sebelum pak cik tutup mata, pak cik nak tengok muka dia. Pak cik
nak minta maaf dengan dia. Tapi apakan daya,
semuanya memang salah pak cik. Al tak payah fikir lagi pasal tu. Pak cik tak
mengharap apa-apa balasan pun daripada Al.”
Botol minuman
yang berbaki tiga suku digapai. Kemudian penutup bekas air tersebut dibuka.
Zahid meneguk perlahan air jernih tersebut. Setelah menghilangkan rasa dahaga,
Zahid memutar penutup berwarna biru itu pada
arah jam sehingga rapat. Dia mahu meneruskan santapan tengah
harinya. Pandangannya jatuh pada nasi
goreng kampung. Zahid memenuhkan sudu tersebut dengan butiran nasi.
“Al rasa Al tahu
dia kat mana.” Suara Qadheer Alauddin kedengaran mendatar.
Namun, satu
baris ayat yang keluar dari bibir itu umpama
ada kuasa sakti. Serta-merta perlakuan Zahid
menjadi kaku.
No comments:
Post a Comment