QASH
ALAISYAH memerhatikan wajah lelaki yang berada di
hadapannya. Qadheer Alauddin memerhatikan sekeliling. Hiasan dalaman pejabat
kecil yang berada di tingkat dua bistro itu sememangnya ringkas. Ada sentuhan
Melayu pada bingkai gambar yang tergantung pada dinding di sudut kanan. Seni
ukiran kayu pada bingkai tersebut kelihatannya kemas dan halus dari pandangan
Qadheer Alauddin.
“Boleh perkenalkan
diri?” soal Qash Alaisyah.
“Nama saya Qadheer
Alauddin bin Alam Syah. Umur 28 tahun. Masih belum berkahwin. Rupa paras boleh
tahan. Senyuman saya ada manisnya. Masih lagi mampu untuk mencairkan mana-mana
hati gadis. Badan sederhana sasa.”
Qash Alaisyah
memberikan senyuman sinis. Dia bangun dari tempat duduknya lalu melangkah
menghampiri Qadheer Alauddin yang duduk bertentangan. Tangan Qash Alaisyah
segera memulas telinga lelaki itu.
“Aduh… Aduh… Sakit.”
“Ooo… Muka boleh tahan,
senyuman manis ya? Badan sasa? Ada hati nak puji diri sendiri.”
“Aduh… sakitlah. Akak,
jangan tarik telinga Al,” rintih Qadheer Alauddin.
“Kenapa nak datang
Venice tak beritahu akak? Inilah balasannya. Kena tarik telinga.”
“Al nak bagi kejutan kat
akak aje. Seorang adik yang sangat merindui kakaknya.”
Tangan Qash Alaisyah
melepaskan telinga Qadheer Alauddin. Telinga adiknya itu sudah kelihatan merah.
“Rindu konon.”
Qadheer Alauddin
menyengih. Dia bersalaman dengan kakaknya lalu memeluk erat Qash Alaisyah.
“Kak, adik akak yang
seorang ni betul-betul rindukan akak.”
Qash Alaisyah
tersenyum. Dia juga membalas dakapan adiknya. Tinggi Qash Alaisyah hanya paras
dada Qadheer Alauddin. Jika dilihat dari segi keturunan, Qadheer Alauddin
memiliki ketinggian itu melalui arwah ayahnya.
“Kakak pun rindukan adik
akak yang seorang ni. Kalau rindu, kenapa tak nak datang sini dari dulu lagi?”
Qadheer Alauddin meleraikan
pelukan mereka. Dia memandang wajah kakaknya yang berusia 30 tahun itu.
“Kak, ingat senang ke
arkitek nak cuti?”
“Macam mana sekarang ni
boleh cuti pula?”
“Al minta cuti dengan
bos. Selama Al kerja, mana pernah minta cuti panjang macam ni. Sebab tu bos
kasi. Lagipun ada budak praktikal kat pejabat tu. Jadi bolehlah tolong lukis
mana-mana yang perlu. Kerja yang penting Al dah selesaikan sebelum cuti. Kalau
ada masalah dengan drawing, Al boleh revised kat sini, lepas tu emel.
Semuanya, di hujung jari.”
“Habis tu, yang lambat
datang sini kenapa?”
“Al lambat datang sini
sebab Al pusing-pusing Venice ni kejap walaupun Al tak beberapa tahu sangat
lorong kat Venice ni. Bak kata orang, kalau dah sampai Venice tak sah kalau tak
pergi Jambatan Rialto. Tadi Al pergi situlah. Nasib baik ada papan tanda dari
Jambatan Scalzi nak ke Rialto. Tak berubah papan tanda tu ya.”
“Walaupun 15 tahun
sekalipun, Venice tak ada banyak perubahan. Semua masih sama macam dulu. Sama
macam Al. Tak mahu berubah.”
“Akak, tak salah kan kalau
Al macam ni?”
“Sebab Al tak nak
berubah, Al pergi Venice? Ni mesti kes lari daripada nenek, kan?”
Dahi Qadheer Alauddin berkerut
sesaat dua. Dia memalingkan wajah, cuba menyembunyikan apa yang tersirat. Jika
dia berbohong, Qadheer Alauddin tidak mampu untuk menatap mata orang yang
sedang dibohonginya itu.
“Lari? Mana ada kak. Al
datang Venice ni memang nak jumpa akak. Abang Yusuf dengan Danial mana?”
“Ha... Tengok tu. Ingat
akak tak tahu Al bohong. Tanya pasal Abang Yusuf dengan Danial pula. Nenek ada
telefon akak dua hari lepas. Patutnya Al sampai sini kelmarin, kan? Nenek
telefon Al tapi tak dapat. Al tutup telefon. Sebab tu nenek telefon akak. Nasib
baik akak ni cepat tangkap apa yang berlaku. Kalau otak akak ni beku macam ais
kepal tu, mahunya kantoi. Al pergi Amsterdam sebelum sampai sini, betul tak?”
“Tak adalah. Mana ada.”
Qadheer Alauddin mula
mundar-mandir di sekitar. Tidak tahu alasan dan helah yang perlu diberikan
untuk menutupi kenyataan yang ada.
“Al, jangan nak bohong
dengan akak. Al pakai sari pun akak kenal tau.”
“Akak, takkanlah Al nak
pakai sari.”
“Qadheer Alauddin. Akak
serius. Nak kena luku kepala ke?”
“Akak ni, dah macam
nenek dah nak luku kepala Al.”
“Al, akak kenal siapa
adik akak ni. Kita membesar sama-sama dik. Muka Al tu memang jelas yang Al cuba
nak bohong akak. Sudah-sudahlah Al pergi Amsterdam tu. Dah dua tahun kejadian
tu. Al kena pandang masa depan. Al tak kasihankan diri Al ke?
“Al pergi Amsterdam
jumpa kawan-kawan Al, kak.”
“Kawan-kawan Al, kawan
dia juga. Amsterdam tu dah jadi kenangan untuk Al dengan dia. Sepanjang dua
tahun ni, dah tiga kali Al pergi Amsterdam tu.”
“Akak jangan risau. Al
tahu jaga diri dan jaga hati Al ni.”
Belum sempat Qash
Alaisyah membalas kata-kata Qadheer Alauddin, tiba-tiba sahaja ada suara mencelah
di antara mereka.
“Sayang, Nadh kata ada
orang mahu interviu. Betul ke?”
Kedengaran lelaki mat
salih itu agak fasih berbahasa Melayu walaupun nada Italinya masih ada. Qadheer
Alauddin berpaling dan memandang wajah lelaki berkulit cerah yang berada di pintu.
“Hei… Al, bila sampai?”
soal Yusuf Mikhail.
Nama asal Yusuf Mikhail
ialah Michael Solis. Pertemuannya dengan Qash Alaisyah bermula di Melaka pada
enam tahun lepas. Semasa dia melancong di Melaka, Michael sesat jalan lalu dia
bertanyakan arah kepada seorang gadis bertudung yang sedang berdiri di
sebelahnya semasa dia mahu melintas jalan. Ketika itu Qash Alaisyah kelihatan
begitu peramah dan sabar melayan kerenahnya. Bermula saat itu, takdir
menyebabkan mereka berdua sering berjumpa dan membibitkan rasa cinta. Tertarik dengan
keperibadian Qash Alaisyah yang ceria namun masih menjaga batasan pergaulan
menyebabkan hati lelaki beragama Kristian itu tertarik untuk mendalami Islam.
Tidak mengambil masa yang lama, enam bulan perkenalan sudah cukup untuk mengikat
mereka menjadi pasangan suami isteri yang sah lalu mereka dikurniakan seorang
anak lelaki bernama Yusuf Danial.
Qadheer Alauddin
bersalaman dengan Yusuf Mikhail lalu mereka berpelukan.
“Apa khabar Al?”
“Khabar baik, bang.
Abang sihat?”
“Alhamdulillah. Kenapa
datang tak beritahu dulu?”
Qadheer Alauddin
memandang kakaknya. Qash Alaisyah menjongketkan kening.
“Al nak bagi kejutan.
Saja tak nak beritahu. Wah... Abang Yusuf sekarang makin pandai cakap Melayu.”
“Kak Syah yang ajar
abang. Mestilah kena pandai cakap Melayu kalau nak jadi orang Melayu. Betul tak,
sayang?” tanya Yusuf Mikhail.
“Si, amore mio (Ya, sayangku),” balas isterinya itu dalam bahasa
Itali.
“Ha, dengar tu? Kak
Syah pun sudah pandai cakap Itali,” kata Yusuf Mikhail dengan penggunaan bahasa
baku yang ketara.
“Pandai sikit-sikit
aje. Kalau orang cakap bolehlah faham. Nak cakap balik, mahu tergeliat lidah
cencaluk ni.”
“Abang ingat ada orang
mahu interviu tadi. Rupanya Al. Abang mahu turun bawah. Ada kerja sikit. Nanti
malam kita dinner sama-sama,” ajak
Yusuf Mikhail.
Qadheer Alauddin
mengangguk. Dia memerhatikan langkah abang iparnya sehingga lelaki itu hilang
pada pandangan.
“Danial mana kak? Dah
lama tak jumpa dia sejak raya tahun lepas.”
“Danial kat nursery school. Sibuk sangat nak sekolah
sejak tahun lepas. Abang Yusuf pun hantarlah dia pergi tadika tu. Budak lelaki
tahu ajelah. Banyak sangat ragam. Lepas tu terlebih pula bijaknya. Tanya
macam-macam benda, sampai akak pening nak jawab.”
Qash Alaisyah duduk
dikerusinya semula. Beberapa helaian kertas yang bersepah di atas meja disusun
kemas.
“Yalah kak. Kan orang
cakap, kalau kahwin campur ni kemungkinan anak yang lahir tu bijak dan pandai.
Mmm… Kak, budak perempuan tadi tu siapa?”
“Perempuan mana? Yang
cakap Al nak datang interviu tadi tu?”
“Yup. Siapa tu? Al tak
pernah nampak pun. Siap pandai main skateboard
lagi.”
Wanita itu mendongakkan
kepala sebaik sahaja mendengar kenyataan Qadheer Alauddin. Helaian putih yang
disusun tadi disimpan ke dalam fail.
“Amboi, tanya macam selalu
datang Venice. Awak tu pernah sekali aje datang sini. Itu pun sekejap. Tak
silap dekat dua tahun lebih jugalah dia kerja dengan akak. Skateboard tu dah macam motosikal dia. Dia jugalah yang buat servis
penghantaran. Nama dia Keris Nadhrah Sari.”
Qadheer Alauddin
membulatkan matanya. Terkejut dan terkesima seketika mendengar nama gadis itu.
“Kenapa muka tu?
Terkejut?”
Wajahnya yang tadi
seperti tidak sangka segera diukir seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Apa akak kata tadi?
Keris? Keris Taming Sari?”
Qadheer Alauddin sedang
berpura-pura yang dia tidak jelas dengan nama gadis itu.
“Dah kenapa pergi Keris
Taming Sari pula? Keris Nadhrah Sari. Kita orang semua kat sini panggil dia
Nadh.”
“Nadh?” ucap Qadheer
Alauddin seperti antara jelas dengan tidak. Qash Alaisyah dapat melihat
perubahan pada wajah adiknya.
“Al, nama panggilan aje
sama. Anis Nadhira dengan Keris Nadhrah Sari jauh bezanya, kan?”
“Ya kak. Al faham.
Siapa nama ayah Keris tu?”
“Aik? Kenapa tanya? Nak
hafal siap-siap dulu ke?”
“Hafal? Apasal nak
hafal pula? Al tanya sebab nama dia tu unik. Jadi, nama ayah dia pun
berkemungkinan unik juga agaknya.”
“Yalah, manalah tahu
tiba-tiba aje hati dah berkenan. Jatuh cinta pandang pertama. Mestilah nak kena
hafal nama penuh dari awal. Senang nak akad nikah nanti, kan?” usik Qash
Alaisyah.
“Isy… Ke situ pula
perginya. Sementara akak tak jumpa lagi orang untuk pembantu dapur tu, biar Al
tolong akak.”
“Betul ke ni? Ke nak
kenal dengan Keris Nadhrah Sari?”
“Ke situ lagi perginya.
Sudahlah. Al nak turun bawah ni.”
No comments:
Post a Comment