Stylo Clique ^_^

Thursday, July 16, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 14



“ENCIK AL?”
Sayup-sayup kedengaran nama panggilan itu menyentuh derianya. Perlahan-lahan ia memasuki lohong telinga lalu menyentuh hujung gegendang anggota tersebut. Semakin dibiarkan, suara itu semakin mengganggu.
Qadheer Alauddin yang tidurnya lena meniarap, mula menggerakkan tangan. Dia meraba-raba dalam keadaan mata yang terpejam. Selimut ditarik ke paras yang lebih tinggi. Dia menggapai bantal lalu meletakkan objek empuk tersebut ke bahagian kepala. Qadheer Alauddin mengharapkan bunyi tersebut beransur pergi.
Tidak sampai setengah minit, jangkaan lelaki itu meleset sama sekali. Ketukan di bahagian pintu sekali lagi menerpa. Otak Qadheer Alauddin segera memproses tentang apa yang berlaku.
“Encik Al...”
Lelaki itu berada dalam keadaan separuh sedar. Bantal yang menutupi muka mula dialihkan. Qadheer Alauddin baring terlentang. Usai menunaikan solat subuh seawal 4.00 pagi tadi, dia kembali semula ke permukaan tilam. Ketika ini, perasaan mahu meneruskan tidur lebih kuat terasa berbanding mahu bangkit daripada lenanya.
“Encik Al dah bangun ke belum?”
Kelopak mata dibuka separuh. Terpisat-pisat Qadheer Alauddin dibuatnya mendengar soalan tersebut. Dia bangun lalu menuruni katil. Dia melangkah berat menuju ke arah itu. Tombol pintu berbentuk bulat dipulas pada lawan jam.
“Hmm... Kau nak apa, Naz?” tanya Qadheer Alauddin sebaik sahaja menguap. Dia bersandar pada bingkai pintu. Jiwanya masih tersepit antara alam mimpi dan realiti.
Nadhrah membeliakkan mata. Terkesima dengan penampilan lelaki itu. Nadhrah pantas memalingkan tubuh. “Selamat pagi, Encik Al.”
Alunan suara si pelontar bicara kedengaran berbeza. Qadheer Alauddin menonyoh mata kanannya. Kenapa suara Naz ni lain sangat? Macam suara Keris. Kalau ya pun kau nak mimpi, takkanlah si Naz ni dah jadi Keris pula? desis hati kecilnya.
“Encik Al tidur ke dah bangun ni?” tanya Nadhrah tanpa bertaut pandangan dengan pemuda tersebut.
Kali ini Qadheer Alauddin benar-benar yakin telinganya mendengar suara Nadhrah. Mata yang terpejam separuh dipaksa buka sepenuhnya. Pandangan Qadheer Alauddin berpinar-pinar kerana menerima cahaya lampu secara mendadak. Penglihatan yang kabur beransur jelas tiga saat kemudian.
“Keris!” Hanya itu yang mampu dituturkan secara spontan tatkala melihat Nadhrah.
Ini bukan mimpi. Nadhrah sudah lengkap berpakaian uniform Bistro Karipap La Timah.
“Ya, Encik Al. Saya minta maaf. Baju Encik Al...”
Qadheer Alauddin laju memandang diri sendiri. Memang pakaiannya semasa tidur adalah singlet dan seluar pendek paras lutut. Rasa mengantuk terus lenyap. Tangan lelaki itu menutupi bahagian dada dan lengan yang terdedah. Qadheer Alauddin bergegas mendapatkan selimut dan meliputi tubuhnya.
“Awak buat apa kat sini?” aju Qadheer Alauddin sebaik sahaja kembali ke pintu kamarnya.
Nadhrah tidak membalas pertanyaan itu terlebih dahulu. Inilah kali pertama dia dapat melihat wajah lelaki tersebut sebaik sahaja bangkit daripada tidur.
“Awak tengok apa?”
“Tengok muka Encik Al.”
Qadheer Alauddin menemukan tapak tangannya ke wajah. Dia mengusap-usap kasar mukanya.
“Kenapa? Tak pernah nampak orang bangun tidur ke? Semua orang lelaki dalam dunia bangun tidur dengan muka macam ni. Tak kisahlah orang lelaki tu maco ke tak. Jadi, jangan pandang saya lama-lama macam tu.”
“Ke Encik Al takut saya nampak tahi mata dengan air liur basi Encik Al kat pipi tu?” usik Nadhrah.
Sekali lagi tangan Qadheer Alauddin berlabuh di muka. Dia mengesat tepi bibirnya dan jari telunjuk mengesat bahagian hujung mata yang menghampiri batang hidung.
Nadhrah tersengih menahan ketawa.
“Ni... Kenapa pagi-pagi dah muncul kat sini?” bangkang Qadheer Alauddin, mengubah topik.
“Macam biasa, saya nak kejut Encik Al tidur.”
“Saya suruh kejut pakai telefon. Bukan datang rumah.”
“Tapi, dah alang-alang saya kat sini, saya kejut ajelah Encik Al terus.”
“Alang-alang kat sini? Siapa bagi awak masuk? Ini rumah orang lelaki.”
“Abang Redza yang minta saya datang sini. Lagipun, bukan kita berdua aje.”
“Redza bagi awak masuk?”
Nadhrah mengangguk.
“Saya dah janji dengan Abang Redza semalam nak tolong dia buat sarapan. Encik Al pergi mandi. Lepas tu kita boleh sarapan sama-sama.”
“Lantaklah awak dah janji dengan dia ke apa, tapi awak tak sepatutnya ada kat rumah ni. Kalau ada janji nak masak sama-sama pun, buat unggun api kat luar rumah sana, masak tepi terusan air yang mengalir tu. Macam barbeku tepi kolam renang,” tegas Qadheer Alauddin dengan wajah yang serius.
Ni marah ke nak buat lawak pagi? Gila ke nak buat unggun api bagai macam tu?
“Encik Al, saya dengan Abang Redza tu bukannya orang lain. Kita orang....”
“Nadh!” panggil Redza dari arah dapur.
Nadhrah tidak sempat menghabiskan katanya. “Ya abang!”
“Dah kejut Al ke belum? Kalau dah, sini tolong abang.”
“Okey. Nadh datang kejap lagi.”
 Tak cukup berbual semalam sampai nak buat sarapan sama-sama hari ni? bentak hati Qadheer Alauddin.
“Encik Al pergi mandi ya? Kita sarapan lepas tu pergi kerja sama-sama,” kata Nadhrah dengan senyuman. Dia kemudiannya mengatur langkah mahu ke dapur.
Qadheer Alauddin tidak membalas. Dia beralih pandangan. Dia mengundur setapak mahu menutup pintu bilik dan dalam masa yang sama memicit tepi dahi kirinya. Terasa pening pula kepala kerana terkejut tadi.
“Oh ya, Encik Al.”
Daya yang dikenakan pada pintu ditahan. Gadis itu berpatah balik.
“Saya nampak tahi mata besar gila kat mata kiri tu. Air liur basi kat pipi tu dah nampak macam peta dunia. Encik Al jangan lupa basuh muka tu,” pesan Nadhrah. Selamba sahaja dia meninggalkan Qadheer Alauddin.
Qadheer Alauddin terpempan. Terjejas imej maco dan maskulinnya selama ini. Cepat-cepat dia menyentuh mata kirinya. Namun, apa yang dicari tiada. Dia menapak ke cermin. Pantulan imej yang terhasil dipandang teliti. Kedua-dua tapak tangan Qadheer Alauddin menggosok kasar pipi. Ternyata, tiada apa-apa pada anggota tersebut.
Qadheer Alauddin mempamerkan wajah tidak puas hati. Akan tetapi lama-kelamaan dia juga tersenyum. Nampaknya Nadhrah berjaya mengenakan lelaki itu.


PANCURAN air paip yang laju mengalir terhenti apabila kepala pili dipusing sehingga habis pada arah jam. Beberapa batang kacang panjang baru sahaja siap dicuci. Tangan Redza menggoncang perlahan sayur tersebut agar air yang masih ada pada kacang panjang itu berkurangan supaya permukaan papan pemotong tidak terlalu basah. Jikalau ada kangkung, pasti nasi goreng kampung yang bakal dihidang nanti bertambah enak.
Sebagai alternatif, Redza menggantikan sayur tersebut dengan kacang panjang sebagai penambah rencah memandangkan hanya itu sahaja sayur yang berada di dalam peti sejuk rumah tersebut. Redza memandang sisi kanannya.
“Kat kuali tu hangus ke tak?” soal Redza dalam nada bergurau.
Berlaku percikan kecil antara minyak dan bahan tumisan yang sedang dimasak di dalam kuali. Campuran bawang besar, bawang putih, cili padi, ikan bilis dan belacan yang ditumbuk lumat menghasilkan satu aroma ke serata dapur.
“Mestilah tak hangus. Nadh yang tukang kacau.”
Redza tersenyum mendengar balasan kata daripada Nadhrah.
Bunyi mata pisau bertemu dengan permukaan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu itu menarik perhatian Nadhrah. Bertalu-talu ia kedengaran. Gadis itu memandang sekilas. Tangan kanan dan kiri Redza bergerak seiring. Pantas sahaja sayur yang panjang tadi bertukar menjadi potongan kecil. Skil dan kebolehan Redza di dapur selalu sahaja membuatkan Nadhrah kagum terhadap anak sulung keluarga Ruslan dan Fazilah itu.
“Abang, rasanya dah boleh letak ayam, kan?” tanya Nadhrah apabila melihata bahan tumisan kelihatan garing.
Redza menjengahkan kepala, menjenguk keadaan di dalam kuali.
“Ha, dah boleh tu. Dah boleh masuk ayam,” arah Redza. Dia memerhati sahaja tingkah Nadhrah memasukkan ketulan nipis dada ayam itu.
“Lagi nak tanya boleh masuk ayam ke tak. Macam tak biasa aje masak nasi goreng,” sambung Redza lagi.
“Memanglah Nadh tahu masak nasi goreng kampung ni. Tapi, bila Chef Imran Redza ada kat Venice, haruslah tanya. Lagipun, air tangan abang tak sama dengan tangan Nadh yang buat sendiri. Nah, ambil sudip ni. Kan semalam Nadh cakap nak makan nasi goreng kampung yang Abang Redza masak.”
Redza melebarkan lengkungan bibirnya. Sudip bertukar tangan. Pergerakan Redza lincah. Sekali-sekala tangan kiri Redza mengangkat lalu menggoncang kuali. Tumisan dan ayam tersebut melambung sedikit ke udara. Kepulan asap nipis terus terhasil. Aroma itu menghinggapi hidung.

“Ya Allah... Sedapnya bau ni. Nadh memang dah lama tak makan nasi goreng kampung ada belacan. Rindu gila kut bau menyengat belacan ni. Kat sini mana ada belacan.”
Nadhrah menggapai bungkusan plastik yang berada di atas meja. Dipandang lama bahan masakan berbentuk bulat yang sudah terluak sedikit itu. Tertera jelas tulisan Belacan Asli Melaka pada label plastik.
“Itulah, suruh balik Malaysia tak nak. Kan lidah awak tu dah kempunan nak rasa belacan. Nasib baik umi yang ingatkan abang. Umi yang bungkuskan belacan tu. Ada tiga bungkus lagi kat dalam peti sejuk. Bukan setakat belacan, umi tu kalau boleh apa yang ada kat Malaysia tu nak disuruhnya masuk dalam beg,” ujar Redza.
Dia memasukkan semangkuk besar nasi dimasak malam tadi yang baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk dan potongan kecil kacang panjang tadi ke dalam kuali.
“Nadh kan kerja, bang. Lagipun Nadh temankan adik kesayangan abang tu kat sini. Kadang-kadang Naz tu pun bukan tahu uruskan diri dia.”
“Abang tahu, tu cuma alasan aje, kan? Nadh memang nak elak balik Malaysia, betul tak?”
Hembusan nafas Nadhrah tidak semena-mena kedengaran berat. Bungkusan belacan diletakkan kembali ke tempat asal. Nadhrah menghampiri kabinet dapur, mengambil teko. Otaknya ligat memikirkan jalan untuk menghindari situasi tersebut.
“Dua hari sebelum abang datang sini, Nadh ada telefon umi. Siap berbual lagi dengan baba. Tapi, dia orang tak cakap langsung abang nak datang sini. Pandai betul umi dengan baba rahsia,” kata gadis berambut panjang itu, memecah sunyi dan dalam masa yang sama mengubah arah perbualan.
“Dah namanya abang nak buat kejutan, mestilah kena rahsia. Umi pun ada pesan dengan abang. Suruh tanya dengan Nadh, bila nak balik Malaysia.” Pusing sana, pusing sini, Redza tetap mengembalikan semula tajuk perbualan mereka.
“Abang... dah banyak kali Nadh beritahu, kan? Abang pun tahu apa sebabnya.”
“Tapi sampai bila? Orang kat perantauan, rindu nak balik tempat sendiri. Nadh ni dah terbalik pula.”
“Kalau Nadh ada pilihan antara dua, satunya boleh buat Nadh gembira dan satu lagi pilihan boleh buat hati Nadh terluka, kenapa Nadh kena pilih yang terluka sedangkan Nadh boleh pilih untuk senyum bahagia?” jawab Nadhrah sambil tangannya mengacau tiga sudu gula ke dalam larutan teh di dalam teko kaca jernih itu.
“Bukannya larikan diri daripada kenyataan yang ada?”
Nadhrah tidak memandang Redza. Bekas gula disimpan semula. “Nadh selesa kat Venice ni.”
“Habis tu, kat Malaysia tak selesa? Tak selesa ke dengan keluarga abang?”
“Bukan macam tu. Abang tak faham perasaan Nadh. Soalan yang bersarang kat kepala untuk sekian lama, tiba-tiba jawapan yang Nadh dapat rupanya begitu sakit untuk didengar. Kenyataan yang Nadh cari selama ni sebenarnya pedih untuk diterima. Nadh kena keluar daripada situasi tu. Nadh tak nak ingat apa yang Nadh tahu.”
“Abang, umi dengan baba macam mana? Umi dengan baba abang, adalah umi dan baba untuk Nadh juga. Bila Naz habis studi nanti, Naz mesti balik Malaysia. Takkan Nadh nak duduk sini sorang-sorang? Abang risaukan Nadh sebab abang sayangkan Nadh.” Jitu pandangan Redza terhadap Nadhrah, walaupun perempuan itu tidak membalas renungan tersebut.
Nadh hanya tunduk memandang sesuatu. Pandangannya diiringi dengan fikiran yang kosong. Nadhrah menarik lalu menghembuskan nafas perlahan-lahan. Dadanya berombak menahan sebak yang sedikit demi sedikit mula menjalar ke dalam sanubari.
“Rasanya... elok juga kalau Nadh duduk sini. Kalau tak, Abang Redza asyik buli Nadh aje. Kalau Nadh duduk jauh, abang mesti rindu Nadh. Betul tak?” ucap Nadhrah dengan bibir yang tersenyum.
Seboleh mungkin dia memaniskan wajah. Dia tidak mahu suasana yang ada diselubungi dengan perasaan sayu dan sedih.
Anak mata Redza memerhatikan raut itu. Memang jelas Nadhrah tidak mahu membincang isu tersebut. Dia mengerti. Pandangan lelaki itu berlabuh pada makanan yang berada di dalam kuali. Nasi yang tadinya berwarna putih kini bertukar sedikit hijau kekuningan. Redza menggaul rata agar garam yang baru sahaja dibubuh menjadi larut dan seimbang meresap masuk ke dalam butiran nasi.
“Nadh seronok duduk sini?”
“Seronok. Seronok sangat.”
Redza tersenyum. Dia mematikan api lalu menghampiri Nadhrah. Tangan kirinya menghampiri pipi gadis itu lalu mencubit anggota tersebut.
“Sebab tulah comot abang yang sorang ni makin tembam ya? Tengok pipi Nadh ni, makin kembang. Senang hati sangatlah tu.”
Nadhrah mengembungkan pipi. Dia menggosok perlahan kawasan yang baru sahaja menerima cubitan.
“Mana ada tembam. Berat tak naik pun tau,” nafi Nadhrah. Dia mencebikkan bibir.
“Ooo... |Berat tak naik? Okey, sepanjang abang kat sini abang nak tengok makin tembam ke tak pipi tu.” Redza menghampiri rak pinggan. Dia mengambil sudu.
“Mana aci cakap macam tu. Kalau abang kat sini, mestilah abang masak sedap-sedap. Kalau tak makan, rugilah.”
Lelaki itu mencedok sedikit nasi yang telah digoreng dengan menggunakan sudu. Dia meniup perlahan. Asap yang berkepul keluar berkurangan. Redza kemudiannya menghalakan sudu tersebut ke bibir Nadhrah. “Cuba rasa, kurang apa.”
Tanpa ada rasa segan dan silu, Nadhrah mengangakan mulut. Redza menyuap makanan tersebut ke dalam mulut Nadhrah. Tidak sampai tiga saat, anak mata Nadhrah terbeliak.
“Sedapnya!”
“Sedap?”
Nadhrah mengangguk. Ketara wajah Nadhrah kegirangan. “Rindunya nak makan nasi goreng kampung macam ni. Lebih-lebih lagi Chef Imran Redza yang buat.”
“Sarapan ni, makan banyak-banyak tau. Biar hilang mengidam awak tu.” Sekali lagi Redza mencubit lembut pipi Nadhrah.
Belum sempat Nadhrah membalas kata-kata Redza, bunyi seseorang berdeham kedengaran. Mereka berdua menoleh ke arah yang sama. Qadheer Alauddin sedang berdiri, berhampiran dengan peti sejuk.
“Eh, Encik Al dah siap?” soal Nadhrah.
“Hmm...” balas Qadheer Alauddin. Pemuda itu membuka pintu peti sejuk, mencari sesuatu di salah satu rak yang ada.
“Kebetulan saya pun dah siap masak nasi goreng ni. Kita boleh makan sama-sama,” ajak Redza.
Tangan Qadheer Alauddin mencapai sebiji epal yang berada di dalam bekas. Setelah itu, dia menutup kembali pintu tersebut. Qadheer Alauddin bertaut pandangan dengan Redza.
“Tak apalah. Tak beberapa selera nak makan pagi ni. Saya makan buah ni aje. Saya minta diri dulu. Saya nak pergi bistro.”
Terkebil-kebil Nadhrah dibuatnya mendengar susunan kata Qadheer Alauddin. Terkejut pun ada juga. “Tapi Encik Al, kita sempat lagi nak sarapan ni. Saya pun belum makan lagi.”
“Saya tak cakap yang awak kena ikut saya sekali. Awak nak makan nasi goreng tu, awak makan ajelah. Saya boleh pergi sendiri,” ucap Qadheer Alauddin dengan nada yang dingin.
Lelaki itu mengatur langkah ke pintu dan terus lenyap daripada pandangan mereka berdua.
“Al tu memang macam tu ke?” aju Redza.
“Maksud abang?”
“Yalah, macam tak banyak sangat cakap.”
Nadhrah memandang sahaja pintu masuk rumah itu. Dia dapat merasakan seperti ada yang tidak kena.
“Bertuahnya badan hari ni. Bangun-bangun, gosok gigi lepas tu cuci muka, tup-tup... Siap dah sarapan.”
Redza memandang ke arah pemilik suara tersebut. Nazri baru sahaja keluar dari kamarnya. Dia menghampiri kuali sambil hidungnya kembang kuncup, menyedut asap yang menghasil aroma yang mampu membuka seleranya.
“Dah bangun pun putera beradu ni. Jom, kita sarapan,” ucap Redza.
“Kalaulah hari-hari macam ni, bahagianya. Abang Redza duduk sini ajelah. Masak sedap-sedap untuk Naz. Nadh masak tak sedap sangat. Kadang-kadang tertumpah lori garam. Kadang-kadang masak nasi macam air kena catu. Tak sama macam umi dengan abang,” sakat Nazri. Dia sudah mengambil pinggan.
Lelaki berusia 30 tahun itu menggelengkan kepala. Tahu benar dia dengan perangai adiknya itu. Nazri dan Nadhrah umpama kembar, suka menyakat antara satu sama lain. Redza memerhatikan Nadhrah. Nadhrah sepertinya tidak mendengar bicara Nazri.
“Nadh?” panggil Redza.
“Ya.” Lamunan Nadhrah terhenti.

TEKSTUR ikan bilis yang digoreng garing menjadi hancur sedikit demi sedikit. Nadhrah mengunyah ikan bilis itu bersama nasi goreng yang dimasak oleh Redza tadi. Memang terasa enak makanan tersebut menuruni tekaknya. Rahang bawah Nadhrah terus bergerak, mengunyah hidangan sarapannya. Namun, ekspresi gadis itu jelas memikirkan sesuatu.
“Semalam beria sangat nak makan, pagi ni macam orang tak ada selera aje?” ucap Redza.
Nadhrah seperti berada dalam dunianya sendiri. Suara Redza memecah hening langsung tidak dihiraukan.
“Jiwa dengan badan Nadh dah terpisah ke?” tegur Redza lagi yang baru sahaja melabuhkan punggung di atas salah satu kerusi meja makan. Pinggan plastik berwarna putih yang diisi dengan nasi berserta sudu diletakkan di hadapan mata.
Nazri yang sedang enak menjamu makanan yang dimasak oleh abangnya terus memandang Nadhrah.
“Nadh?!” panggil dengan Nazri dengan nada yang lebih tinggi.
Jiwa yang seolah-olah melayang entah ke mana kembali semula ke dalam tubuh Nadhrah. Bahu perempuan tersebut sedikit terangkat.
“Kenapa Naz?” balas Nadhrah dengan raut terpinga-pinga.
“Abang Redza tanya, jiwa dengan badan kau dah terpisah ke? Kau kenapa Cik Mah? Pagi-pagi dah buat drama Melayu.”
“Tak ada apa-apalah, bang. Merepek aje jiwa dengan badan terpisah. Macam berangan pula. Nadh tengah menikmati hasil air tangan abang ni.”
Jari telunjuk dan tengah Nazri memasuki gelungan tangkai cawan yang berada berhampiran dengan kanannya. Dia menggenggam tangkai itu lalu menghalakan tepi cawan ke bibir. Air teh O suam dihirup dua teguk, menyebabkan beberapa butiran nasi yang tertinggal di kawasan dalam mulut turut ditelan sama.
“Apa yang merepeknya, nyah? Aku rasa betul cakap abang aku tu. Muka kau lain macam benar. Fikir masalah negara Itali ni ke?”
Nasi yang berada di pinggan telah luak separuh. Kuisan sudu bertemu dengan nasi terhenti tatkala telinga Nadhrah mendengar usikan rakan baiknya itu. Dia mencebikkan bibir.
“Ke Nadh fikir pasal Al?” duga Redza.
Terjegil mata perempuan tersebut secara langsung dibuatnya. Umpama ada satu batu yang memantul pada dahinya. Seboleh mungkin dia berlagak tenang.
“Betul. Itulah jawapan yang sebenar-benarnya. Tiada lain yang benar melainkan yang benar-benar belaka. Kau jangan nak nafi bagai macam statement retis. Kau lain macam bila Encik Al tu tiba-tiba keluar macam tu aje, kan?” tambah Nazri, menyokong tekaan Redza.
“Isy... ma... mana ada. Tak adalah, cuma pelik aje. Encik Al macam marah. Dia marah sebab kejutkan dia tadi ke? Kejung-kejung dia selama ni pun, pergi kerja tetap sama-sama,” ujar Nadhrah, cuba menerangkan situasi sebenar.
“Aku rasa, mungkin dia marahkan kau kut.”
“Sebab?”
“Sebabnya... mungkin masa kau kejutkan dia tadi, kau ada tertengok dengan sengaja aurat dia. Tu yang dia sentap tu. Encik Al kalau tidur, memang macam tu baju dia. Sado katanya. Kau hado?”
Gadis itu mendiamkan diri. Macam logik tak logik saja teori Si Nazri ni. “Aku mana ada nampak apa-apa. Cuma nampak lengan dia aje. Tak sempat nak tengok yang lain pun.”
“Encik Al ni, kau tengok aje badan dia ketak-ketak macam tu. Tapi, pemalu orangnya.”
Dahi Nadhrah berkerut-kerut. Antara percaya dengan tidak kenyataan Nazri.
“Alah... kau tak payah nak risau sangatlah. Orang lelaki ni banyak benda yang dia kena fikir. Bukan sebab kaulah. Entah-entah dia sembelit ke pagi tadi. Nak elak kau tahu, tu yang dia pergi bistro sendiri. Risau sangat dengan Encik Al kau tu,” ucap Nazri, mahu melegakan rasa resah yang menyelubungi hati Nadhrah.
Walaupun begitu, hati Nadhrah tetap dirundung gelisah.
Redza menggelengkan kepala. Suapan ketiga nasi diiringi dengan senyuman panjang dan meleret. Sesekali dia menatap Nadhrah yang berada bertentangan dengan dirinya.
“Akhirnya...” Sengaja Redza menggantung ayat tersebut.
“Apa yang akhirnya?” soal Nadhrah.
“Dah runtuh ke tembok besar lagi tinggi tak nak bercinta Cik Keris Nadhrah Sari?”
“Mana ada. Bila masa pula Nadh cakap tak nak bercinta? Nadh cuma cakap tak nak fikir dulu buat masa ni soal cinta tu,” balas Nadhrah lalu sudu yang dipenuhi dengan nasi pantas disua ke dalam mulut.
“Patutlah tak nak balik Malaysia, rupanya ada buah hati kat sini, ya? Pandai berahsia dengan abang.”
“Abang, Encik Al tu pun melancong juga macam abang kat Venice ni. Kata Kak Syah, Encik Al nak duduk sini sebulan. Baru dua minggu kut Nadh kenal dia. Tak ada maknanya nak bercinta dengan dia.”
“Kalau Al tu duduk sini sampai bila-bila, boleh bercintalah? Macam tu?” sakat Redza lagi.
“Alah, bang, tak payah Encik Al duduk sini sampai bila-bila. Sekarang ni pun dah rupa orang bercinta,” celah Nazri dengan mulut separuh penuh dengan makanan.
Tersembur sebiji dua butir nasi. Terbuntang luas mata Nadhrah. Garpu diangkat lalu dihalakan secara jarak jauh ke wajah Nazri sebagai tanda amaran.
“Kau lupa ke arwah ibu aku pesan apa dulu? Kalau mulut ada makanan, jangan bercakap, kan? Tak sopan namanya. Kau jangan cakap apa-apa,” arah Nadhrah dengan rentak suara yang serius.
Makan saman pula Nazri jika menerima ugutan sebegitu daripada Nadhrah. Makin dibuat lagi adalah. Nazri terus menelan apa yang telah hancur di dalam mulut.
“Encik Al dengan Nadh ni macam bercinta tanpa mengungkapkan kata cinta. Hari pertama lagi Encik Al dah minta nombor telefon Nadh. Katanya nak suruh kejut pagi-pagi.”
“Naz!”
“Lepas tu dating pertama pergi Pasar Rialto, naik vaporetto sama-sama gitu. Buat karipap sama-sama. Dah suap-suap makan.”
Peluh di dahi Nadhrah mulai terbit. Ini memang tidak boleh jadi. Mulut tempayan sungguh Encik Imran Nazri ni. Nadhrah meletakkan sudu dan garpu lalu mendekati kedudukan lelaki itu.
“Tak cukup dating kat pasar, jalan-jalan pula kat Piazza San Marco tu. Bagi burung merpati makan sambil dengar muzik romantik. Sekarang ni, nak delivery karipap pun...”
Tapak tangan kanan Nadhrah bertemu dengan mulut Nazri. Nadhrah menekup kasar anggota bicara rakannya itu. Nadhrah tersengih memandang Redza. Memang ketara wajah Redza percaya dengan cerita adiknya itu.
“Kau cakap semalam pagi ni kau ada discussion dengan budak-budak study group kau kan, Encik Ramlee?”
“Mmm... Mmm... Mmm...” Hanya itu sahaja yang mampu diluahkan oleh Nazri. Makin kuat Nadhrah menekan bahagian mulutnya. Memang tidak boleh bagi peluang Nazri bersuara.
“Kalau kau bercerita, nanti lambat kau habis makan. Maka, lambat juga kau nak pergi jumpa dia orang. Kau tak nak jadi insan cemerlang lagi terbilang ke?”
“Mmm...”
“Abang, Nadh pun rasa macam dah lambat juga ni nak pergi bistro. Nadh pergi dulu. Pinggan tu kau tolong aku basuh ya, Naz.” Nadhrah melepaskan tekupan tangannya. Lega dibuatnya dapat menghalang Nazri daripada terus membongkarkan rahsia.
“Dah lambat nak pergi kerja ke nak kejar Al?” usik Redza. Selamba sahaja wajahnya.
Papan luncur yang berada pada pintu dijinjit usai dia mengikat kemas tali kasut. Dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata Redza.

Nazri pula macam ikan yang baru sahaja dapat mencelupkan badan ke dalam air. Terasa sesak pula diperlakukan sebegitu oleh Nadhrah.
“Nadh pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap Nadhrah. Kemudian, dia membuka pintu.
“Waalaikumussalam. Tangan kau tu bau ayam tahu tak? Kau tak cuci tangan dulu ke sebelum nak tekup mulut aku? Choi... Bakteria dan kuman sungguh,” marah Nazri. Dia mengelap mulut dan pipinya dengan kain lap berulang kali.
Redza hanya mampu menggelengkan kepala sekali lagi. Dia ketawa.

No comments:

Post a Comment