HARI ini hari Jumaat. Itu bermakna
Bistro Karipap La Timah tidak dibuka. Masuk hari ini, cecah 10 hari dia berada di Venice. Nampaknya Qadheer
Alauddin sudah boleh menghafal beberapa lorong yang terdapat di kota air itu.
Beberapa titisan
manik jernih jatuh perlahan-lahan dari dahi hingga ke dagu Qadheer Alauddin.
Namun, dibiarkan sahaja air peluhnya begitu. Hampir setengah jam dia
berlari-lari anak di kawasan sekitar. Lagu rancak kedengaran di telinga Qadheer
Alauddin melalui fon kepala berwarna merah itu. Qadheer Alauddin memperlaju
lagi lariannya mengikut rentak dan irama.
Sememangnya
menjadi kebiasaan Qadheer Alauddin untuk bersenam jika punya waktu kelapangan.
Jika dia tidak berjoging, lelaki tersebut akan ke
gimnasium untuk menjaga kesihatan. Itu juga salah satu sebab mengapa dia punya
lengan ala pahlawan Roman yang berlawan di Colleseum.
Lebih kurang
lagi 70 meter untuk sampai ke kawasan perumahannya, Qadheer Alauddin
memperlahankan larian lalu berjalan. Dia menapak sambil mencekak pinggang.
Nafasnya tercungap-cungap. Qadheer Alauddin menghirup oksigen yang berada di
sekelilingnya dan lama-kelamaan dia bernafas seperti biasa.
Pandangan
Qadheer Alauddin tiba-tiba sahaja terpaku lalu menyebabkan langkahnya juga
menjadi kaku seketika. Fon kepala yang terletak kemas di kepala segera
diturunkan ke leher. Keris Nadhrah Sari sedang berada pada
pandangannya.
Nadhrah begitu
senang melayan beberapa orang kanak-kanak yang mahu pergi ke sekolah. Gadis itu
nampaknya begitu rapat dengan anak kecil yang berada di kawasan kejiranannya.
Tidak semena-mena, bibir Qadheer Alauddin tersenyum tanpa ada sebab.
“Bye-bye... Belajar rajin-rajin ya,” pesan Nadhrah
sambil memberikan lambaian mesra kepada sekumpulan kanak-kanak itu lalu mereka
juga membalas dengan melakukan perkara yang sama.
Nadhrah
memerhatikan gelagat anak kecil tersebut sehingga mereka lenyap di penglihatan.
Kemudian, Nadhrah melangkah menuju ke jambatan berdekatan dengan rumahnya. Dia
menyeberangi separuh lalu bersandar di selusur besi sebagai penghadang tepi
jambatan tersebut sambil memerhatikan langit.
“Awak memang
suka bagi gula-gula kat budak-budak ke?” soal pemilik suara itu dari arah kiri
Nadhrah.
Nadhrah menoleh.
“Eh? Encik Al,”
balas Nadhrah dengan nada separuh terkejut.
Qadheer Alauddin
menapak menuju ke tempat Nadhrah bersandar. “Saya nampak awak bagi dia orang
gula-gula sebelum budak-budak tu gerak pergi sekolah.”
“Saya suka
tengok budak kecil macam tu tersenyum. Saya suka gembirakan dia orang.”
“Sebab?”
“Saya tak boleh
tengok budak kecil menangis.”
“Semua orang
masa kecil-kecil mesti pernah menangis.”
“Saya tak
sanggup tengok budak kecil menangis. Dia orang tak bersalah. Tak tahu apa yang
berlaku tapi kadang-kadang mereka yang menjadi mangsa.”
Qadheer Alauddin
cuba memerhati wajah Nadhrah dari sisinya. Dia cuba menghadamkan maksud Nadhrah
itu tetapi Nadhrah sepertinya tidak mahu meneruskan lagi kata-katanya. “Sebab
tu awak bagi gula-gula? Macam tu?”
Nadhrah membalas
dengan anggukan. Perasaan sedih dan pedih tiba-tiba sahaja terbit dalam hati. Nadhrah memandang ke langit pagi yang
masih biru. Dia cuba membuang jauh-jauh
perasaan tersebut. Seperti jauhnya jarak
antara bumi dan langit.
“Hobi awak
selain bagi gula-gula, awak suka tengok langit?” teka lelaki tersebut sambil
menyeka peluh yang mengalir.
Kali ini giliran
Nadhrah pula memerhatikan wajah Qadheer
Alauddin. Agak pelik dengan perangai adik majikannya pada pagi itu. “Kenapa
Encik Al tanya?”
“Awak rasa?”
Sebaik sahaja
mendengar soalan itu, Nadhrah tersenyum dengan lebar. Sesungguhnya dua perkataan
yang diakhiri dengan tanda soal itu merupakan soalan maut.
Qadheer Alauddin
juga melengkungkan bibirnya. Dia tahu pertanyaan sedemikian yang paling sukar
dijawab oleh Nadhrah.
“Encik Al kalau
senyum, nampak manis. Janganlah serius aje.”
Umpama ada satu
kuasa ajaib, tiba-tiba sahaja perasaan Qadheer Alauddin menjadi tidak menentu.
Anis Nadhira pernah mengungkap ayat seperti itu kepada dirinya. Dia masih lagi
cuba berlagak tenang. Namun dahinya makin berpeluh. Ini peluh sebab berlari ke
sebab lain ni? soal Qadheer Alauddin
terhadap dirinya sendiri.
“Awak belum
jawab lagi soalan saya tadi. Awak memang suka tengok langit ke?” tanya Qadheer
Alauddin lagi, cuba memutarkan kembali keadaan.
“Saya memang
suka tengok langit Venice waktu pagi macam ni. Salah satu perkara yang
membuatkan ia sama dengan Malaysia. Langitnya biru.”
“Semua langit
memang biru.”
“Ya, memang
betul. Semua langit memang biru tapi bagi saya perasaan melihat langit Venice,
sama perasaannya bila saya tengok langit Malaysia dua tahun lalu. Redup, warna
biru dan awan yang kelihatan membuatkan saya rasa macam saya kat Malaysia. ”
“Awak tak rindu
nak balik Malaysia?”
“Encik Al,
tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Tipu kalau saya cakap
saya tak rindukan Malaysia. Tak ada sebab untuk saya balik ke Malaysia selepas ibu
dengan abah, orang yang membesarkan saya selama ni dah meninggal dunia.”
Qadheer Alauddin
cuba menyelami perasaan yang sedang dialami oleh perempuan yang berada di
sebelahnya itu. Dia dapat mengagak, pasti ada sesuatu yang terjadi di sebalik
susunan ayat tersebut. Dia menantikan baris kata yang seterusnya, namun Nadhrah
hanya membisu. Sudah tentu di benak fikiran gadis itu penuh dengan kepahitan
dan kepedihan yang cuba diselindungkan dengan sikap periangnya. Bijak pandai
pernah berkata, orang yang kelihatan sentiasa gembira adalah orang yang banyak
menyimpan kesedihan dalam hatinya.
“Jadi, sebab tu
awak datang ke Venice? Awak rasa dah tak ada sebab untuk terus tinggal kat
Malaysia?”
“Hubungan saya
dengan Naz dah terjalin sejak kecil lagi. Mungkin sebab
saya balik Malaysia pun sebab keluarga Naz.
Saya menumpang kasih sayang pada keluarga dia. Bila saya dapat tahu dia dapat
sambung pelajaran kat Venice, saya ambil keputusan untuk ikut Naz. Dia adalah
orang yang paling rapat dengan saya selain daripada ibu dengan abah. Saya dah
tak ada sesiapa lagi melainkan Naz dan keluarga dia.”
“Awak menumpang
kasih? Boleh saya tahu, apa sebabnya? Yalah, ahli keluarga awak yang lain, macam saudara-mara ke?”
Nadhrah
mendiamkan diri seketika. Dia sepertinya sedang mengumpulkan kekuatan untuk
membalas pertanyaan Qadheer Alauddin.
“Sejak umur saya
12 bulan, saya membesar dengan keluarga angkat, bukan keluarga kandung. Bagi
saya, orang yang membesarkan saya tulah keluarga sebenar saya. Saya tak ada
saudara-mara yang lain.” Hanya tiga baris ayat itu sahaja yang mampu diucapkan
oleh Nadhrah sebagai huraian dan rungkaian jawapan untuk Qadheer Alauddin.
Qadheer Alauddin
tidak berniat untuk meneruskan perbualan walaupun dalam fikirannya timbul tanda
soal yang begitu besar. “Saya minta maaf. Saya
tak ada niat nak buat awak...”
“Encik Al, tak
apa. Perkara lama. Lagipun saya dah bina hidup baru kat Venice ni.”
“Kalau Naz dah
habis belajar, mesti dia balik Malaysia. Awak akan ikut dia juga ke?”
“Mungkin tak,
mungkin ya. Tapi rasanya saya dah boleh sesuaikan diri saya untuk hidup kat
sini.”
“Sesuai? Tempat
asing macam ni?”
Nadhrah
tersenyum. “Parameswara boleh pergi ke tempat asing kerana melarikan diri
daripada kerajaan Majapahit dan Siam lalu membuka kerajaan Melaka, kenapa saya
tak boleh?”
“Jadi, awak nak
cakap awak sedang melarikan diri sekarang ni?”
“Bukan melarikan
diri, tapi lebih kepada membina kehidupan baru. Parameswara banyak kali gagal
dalam mempertahankan kedaulatan Srivijaya daripada kerajaan Majapahit. Dari
Palembang ke Temasik lalu ke Muar, semuanya tak berhasil. Sehinggalah
Parameswara mengambil keputusan mahu ke utara. Perjalanan Parameswara melalui
Sening Ujung dan kemudiannya baginda sampai kat muara Sungai Bertam. Bermula saat itu berlaku satu peristiwa yang
menyebabkan wujudnya empayar Melayu yang
sangat dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.”
“Maksud awak,
kedatangan awak ke Venice ni sama macam Parameswara tatkala melihat anjing
buruannya ditendang oleh seekor pelanduk, macam tu?”
“Hampir sama,
tapi saya tak nampak ada pelanduk kat Venice ni,” gurau Nadhrah.
Sekali lagi
Qadheer Alauddin mengukir senyuman. Kali ini lebih lebar lengkungan bibir itu
sehingga menampakkan lesung pipit pipi kanannya. Nadhrah sememangnya punya
unsur jenaka dalam dirinya.
“Kalau
Parameswara boleh memulakan empayar baru di tempat
yang baginda tak pernah jejaki, kenapa tidak saya memulakan kehidupan baru di tempat yang asing macam ni? Orang Eropah menggelar Melaka sebagai Venice of The East. Jadi, tak salah rasanya saya sebagai anak jati
Melayu menganggap Grand Canal, terusan utama Venice ni umpama sungai yang sedang mengalir di Melaka.”
Timbul perasaan
kagum di hati Qadheer Alauddin terhadap kata-kata Nadhrah. Seumur hidupnya, dia
belum bertemu lagi dengan gadis seperti itu. Matanya terus merenung Nadhrah.
Puas fikirannya menafikan apa yang dirasa, namun hati Qadheer Alauddin terus
meminta untuk menatap wajah Nadhrah.
“Kenapa Encik Al
pandang saya macam tu?”
“Awak
sememangnya Keris Nadhrah Sari. Kalau orang lain, mesti dah terpengaruh dan
lupa dari mana asal usulnya. Tapi awak
memang lain. Jati diri dalam diri awak langsung tak tumpul.”
“Mak kandung
saya meninggal waktu melahirkan saya. Nama tu arwah datuk saya yang berikan.
Dia meninggal dunia kemudiannya masa umur saya 12 bulan. Bila saya tanya dengan
ibu angkat saya kenapa arwah berikan nama tu pada saya, ibu akan jawab yang
saya akan faham bila saya dah besar nanti. Ibu cakap datuk saya sifatnya umpama
seorang pahlawan Melayu. Bangga bila menggelarkan diri dia Melayu. Masa hayat
dia, banyak kali dia berpesan pada orang kampung yang kita kena tahu siapa asal
usul kita. Baru kita akan hargai apa yang kita kecapi pada hari ini. Dari kecil
saya dibentuk supaya menghargai budaya dan adat bangsa kita sendiri. Lebih
banyak kita tahu mengenai sejarah, ia membuatkan kita lebih bijak menilai masa
depan kita.”
“Siapa nama
datuk awak?”
“Ahmad Bayu.”
“Dan nama ayah
awak? Maksud saya ayah kandung awak.”
“Zahid
Kenchana,” ucap Nadhrah, perlahan seperti ada nada sebak di situ.
Nadhrah
merasakan sudah lama dia tidak menyebut nama itu. Walhal nama itulah yang akan
sentiasa kekal bersamanya sehingga ke akhir nafas.
“Awak tak pernah
tahu pasal ayah kandung awak?”
Nadhrah
menggelengkan kepala. “Saya rasa, lebih baik saya tak pernah tahu daripada saya
tahu. Saya rasa selesa macam ni. Saya tak tahu, tak akan ambil tahu dan tak nak
ambil tahu.”
Sengaja Qadheer
Alauddin menyelangkan masa yang ada dengan kebisuan. Lelaki tersebut mendiamkan
diri tatkala mendengar kenyataan Nadhrah. Pasti pedih benar perasaan yang
bersarang di hati itu sehinggakan Nadhrah berbicara sedemikan rupa.
“Jadi, nama
penuh awak ialah Keris Nadhrah Sari binti Zahid Kenchana.”
“Itulah nama
saya. Klasik, kan?”
“Klasik, unik,
pelik dan istimewa. Tak semua orang memiliki nama macam tu. Cantik nama awak.
Sama cantik macam orang dan peribadinya.”
Kulit muka
Nadhrah yang agak cerah itu berubah menjadi merah. Terasa segan dan kekok
apabila Qadheer Alauddin memujinya. “Tak ada yang menarik pasal diri saya ni.
Orang biasa-biasa aje.”
“Bagi awak
mungkin biasa aje. Tapi bagi saya, dapat berjumpa dengan gadis Melayu yang
benar-benar jati dirinya Melayu di celahan kota Venice ni sesuatu yang luar
biasa.”
Terkebil-kebil
mata Nadhrah memandang Qadheer Alauddin. Bahang yang tadi dirasakan oleh lelaki
itu berpindah kepada Nadhrah.
Qadheer Alauddin
sendiri tidak sedar bagaimana ayat itu boleh terpacul dari bibirnya. Al, apa
yang tak kena dengan kau sekarang ni? Kenapa perasaan yang dah lama aku tak
rasa ni tiba-tiba muncul? Tak sepatutnya kau ada perasaan macam ni. Qadheer
Alauddin berusaha untuk berlagak tenang. Dia memalingkan muka ke tempat lain.
Setelah beberapa
detik dia keadaan begitu, Qadheer Alauddin kembali semula memandang Nadhrah.
“Saya rasa, saya
nak balik. Saya nak bersihkan diri sebab berpeluh ni. Saya pergi dulu.” Raut
wajahnya sengaja mempamerkan serius. Dia cuba melangkah pulang seperti biasa.
“Encik Al?”
panggil Nadhrah.
Qadheer Alauddin
lantas menoleh.
Nadhrah
menghampiri sambil menghulurkan sebatang gula-gula lollipop
kepada Qadheer Alauddin. “Ambillah.”
“Saya bukan
budak kecil.”
“Saya jarang
nampak Encik Al senyum. Encik Al senyum memang manis. Katakanlah kalau Encik Al
nak senyum tapi tak boleh, Encik Al makanlah gula-gula ni. Mana tahu, bibir tu
boleh tersenyum dengan manis.”
Tangan Qadheer
Alauddin mengambil gula-gula yang berada di tangan Nadhrah. “Keris, bukan saya
tak boleh senyum. Saya tak biasa.”
“Kalau Encik Al
tak biasa senyum, Encik Al biasakanlah. Macam saya biasakan diri saya untuk
telefon Encik Al,” cadang Nadhrah.
“Masalahnya,
saya tak biasa senyum dengan orang lain. Lebih-lebih lagi perempuan yang saya
tak kenal.”
“Senyum pun nak
kena pilih orang? Tapi... Bukan Encik Al dah kenal saya ke?”
“Atau mungkin
awak boleh jadi antara orang terpilih yang boleh tengok senyuman saya ni.
Senyuman saya ni mahal,” ucap Qadheer Alauddin dengan bersahaja.
Nadhrah
menggaru-garu kepalanya. Walaupun tidak terasa gatal tetapi tiba-tiba sahaja
menjadi gatal bila mendengar kenyataan adik Qash Alaisyah itu. Tidak tentu pasal,
ada getaran yang melanda nalurinya.
“Encik Al, elok
rasanya saya balik dulu,” balas Nadhrah pula meminta diri.
“Keris?” Bagai
melambung buah dadu, kali ini giliran Qadheer Alauddin pula yang memanggil
Nadhrah. Perempuan itu menoleh.
“Hari ni
temankan saya pergi Piazza San Marco, boleh?”
BIBIR Qadheer Alauddin tidak mampu bersuara. Hanya penglihatan sebagai pengganti
untuk mengatakan betapa dia kagum dengan bangunan yang ada di Piazza San Marco.
Reka bentuk dan susun atur bangunan klasik berpuluhan tahun silam yang ada di
dataran tersebut membuatkan mata lelaki itu tidak berkedip. Kamera yang berada
di tangan tidak henti-henti dihalakan ke arah bangunan yang ada.
Apa yang boleh
disimpulkan, kota Venice ini ialah kota yang fotogenik. Ambillah dari sudut
mana sekalipun, gambar yang terhasil akan menjadi cantik dan unik. Kerjaya
Qadheer Alauddin sebagai seorang arkitek, sudah pasti subjek yang punya unsur
artistik dan nilai seni sebegini mampu membuat dirinya terpegun.
Nadhrah berjalan
mengiringi Qadheer Alauddin sambil berkongsi pengetahuan tentang bangunan yang
ada. Setelah puas mengelilingi Piazza San Marco yang menjadi nadi dan simbol
terpenting Venice, mereka berdua tiba di dataran yang luas.
“Wah... Banyaknya burung merpati kat sini.”
Nadhrah tersenyum
lalu dia menghampiri salah satu penjaja yang berada di situ. Nadhrah memberikan
wang sebanyak satu Euro kepada penjaja itu
lalu lelaki dalam lingkungan 30-an tersebut
menyerahkan sebungkus jagung kering kepada Nadhrah.
“Taraa...”
ucap Nadhrah sambil menunjukkan bungkusan jagung kering itu kepada Qadheer
Alauddin.
“Selain awak
suka bagi gula-gula kat budak kecil, awak pun suka bagi jagung kering kat
burung merpati?”
“Burung merpati
kat sini pandai dan jinak tau. Kalau kita ada makanan, burung-burung ni akan
datang dekat kita.”
“Ya ke?”
Tanpa banyak
bicara, Qadheer Alauddin menadahkan kedua-dua tangannya lalu Nadhrah menuang
sedikit jagung kering ke anggota tersebut.
“Cuba Encik Al
campak sikit kat situ.”
Lelaki itu hanya
menuruti seperti yang diminta oleh Nadhrah. Tidak lama selepas itu, ada
beberapa ekor burung merpati datang menghampiri.
“Wah! Betullah.
Banyaknya.” Qadheer Alauddin mengukir senyuman panjang.
Perlahan-lahan
tangan Qadheer Alauddin cuba menyentuh salah seekor burung merpati yang ada.
Hanya beberapa inci lagi, tiba-tiba sahaja haiwan itu terbang. Qadheer Alauddin
melepaskan pandangan kecewa lalu berdiri bersebelahan dengan Nadhrah.
“Sebab tulah ada
pepatah Melayu yang namanya jinak-jinak merpati.”
“Cuba aje
pegang, manalah tahu dapat. Cuba tengok sana tu, orang tu siap ada burung
bertenggek kat atas kepala dia.” kata Qadheer Alauddin sambil kepalanya
dihalakan ke kanannya.
Nadhrah hanya
menggelengkan kepala melihat telatah lelaki itu. Kadangkala
macam anak kecil pun ada juga.
Qadheer Alauddin
melemparkan lagi jagung kering sambil matanya melilau sekeliling. “Ramai betul
orang kat sini. Tiap-tiap hari, mesti ada aje pelancong.”
“Kalau Encik Al
datang bulan Februari hari tu, lagilah ramai dan penuh kat sini. Sebab bulan
dua biasanya ada karnival masquerade.”
“Masquerade? Maksud awak, topeng tu?”
Gadis itu
mengangguk sebagai jawapan.
“Venice unik
sebab ia sebuah bandar tanpa kereta kat Eropah ni. Secara tak langsung, kurang
pencemaran udara. Bila dah datang kat Venice, mesti kena jejak Piazza San Marco
ni. Penuh dengan perasaan nostalgia dan unsur
klasik. Bangunan yang ada kat sini memang sama sejak dulu lagi. Nilai seni
bangunan Venice ni yang mahal,” ujar Nadhrah, menerangkan dengan lebih
terperinci bandar yang telah dinobatkan sebagai salah satu tapak warisan dunia
UNESCO itu.
Selain Venice,
Malaysia juga memiliki Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Melaka dan George Town
di samping Lembah Lenggong, Taman Negara Gunung Mulu serta Taman Negara
Kinabalu.
“Tambahan lagi,
orang kata Venice ni kota romantis. Saya yang duduk sini dua tahun memang
mengakui kenyataan tu. Dengan keadaan iklim, suasana, bangunan, tiupan angin
berhembus lembut dan ada pemuzik jalanan yang memainkan irama lagu romantik,
tak mustahil pelancong akan datang lagi kat tempat ni. Kalau perasan, ramai
pasangan suami isteri daripada pelbagai
negara datang ke sini sebagai lokasi bulan madu. Kalau Encik Al dah kahwin
nanti, bolehlah datang sini sebab dah tahu jalan,” sambung Nahdrah lagi.
Qadheer Alauddin
termenung seketika apabila mendengar kenyataan Nadhrah. Telinganya dihidangkan
dengan alunan muzik daripada pemuzik jalanan. Bunyi gesekan biola diiringi
dengan irama akordion dan hembusan harmonika sememangnya membuai rasa. Namun,
hati kecilnya berjaya membisikkan sesuatu yang membuatkan bibir Qadheer
Alauddin tiba-tiba sahaja mahu berbicara akan hal yang lama sudah dipendamkan.
“Dua tahun
lepas, saya hampir berkahwin dengan gadis pilihan saya.”
Nadhrah yang
dari tadi ralit memberi makanan kepada burung merpati, tidak semena-mena
perbuatannya terhenti. Terkesima dengan satu baris ayat itu.
“Nama dia Anis
Nadhira. Saya dengan Nadh kenal masa kami belajar kat Amsterdam. Dia seorang
gadis yang periang, penuh dengan cita-cita. Dia juga tahu apa yang dia mahukan,
tak pernah kenal erti putus asa tapi penuh dengan kelembutan.”
Gadis itu
memerhatikan riak muka Qadheer Alauddin.
Lelaki itu
tersenyum. Matanya juga begitu. Pandangan mata Qadheer Alauddin berubah tatkala
bibirnya menyebut nama Anis Nadhira.
“Nadh nampak
kasar tapi penuh dengan kasih sayang. Nadh nampak tegas tapi dia akan terluka
terlebih dahulu kalau orang kat sekeliling dia menangis. Nadh nampak degil tapi
mudah dipujuk. Saya masih ingat pertama kali saya jumpa dengan dia. Marah betul
bila saya terlanggar bahu dia masa kita orang kat perpustakaan. Saya tak
sengaja terambil nota rujukan dia. Tapi sebab nota tulah saya berjumpa dengan
dia lagi. Hari esoknya saya tunggu kat tempat kami bertembung dan mulai saat
itu saya mengenali Anis Nadhira,” sambung Qadheer Alauddin.
Nadhrah tidak
membuat sebarang kenyataan. Buat masa ini, dia hanya mahu menjadi pendengar.
“Setahun lepas
tu, kami habis belajar. Bila dah kat Malaysia, saya dengan dia mulakan kerjaya
masing-masing. Enam bulan kemudian, saya melamar dia sebagai isteri saya. Muka
Nadh merah padam dan terkejut bila saya cakap saya nak hantar rombongan
meminang ke rumah dia. Alhamdulillah, dengan izin Allah semuanya berjalan
lancar.” Butir bicaranya terhenti seketika di situ.
Qadheer Alauddin
menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung ceritanya. Dia cuba mencari
kekuatan yang masih lagi tersisa, untuk
meluahkan apa yang masih lagi terbuku.
“Tapi, semuanya
tak seperti apa yang saya aturkan. Kita hanya mampu merancang, tapi Dia yang
lebih tahu apa yang terbaik untuk saya. Persiapan semuanya hampir siap. Lagi
sebulan pernikahan kami, ada sesuatu yang pahit berlaku. Hari yang sepatutnya
saya dan dia fitting untuk baju perkahwinan kami
tiba-tiba jadi titik permulaan tragedi dalam hidup saya. Nadh terlibat dengan
kemalangan. Kereta yang Nadh pandu terbakar, tapi ada orang sempat selamatkan
dia. Dia koma dan sedar selang beberapa hari. Saya sempat cakap dengan dia.
Tapi Allah lebih sayangkan Nadh. Kemudiannya, dia meninggal dunia.”
Qadheer Alauddin
sehabis mungkin cuba menenangkan perasaan sebak dan sedih. Selama ini tidak
pernah terlintas di fikirannya untuk menceritakan hal tersebut kepada orang
asing. Paling tidak pun, dia akan berbicara dengan Qash Alaisyah.
“Sekarang, baru
saya faham,” kata Nadhrah.
Lelaki bertubuh
sasa itu merenung wajah Nadhrah. “Baru awak faham?”
“Baru saya faham
kenapa Encik Al tak boleh panggil saya Nadh. Sebab nama panggilan saya sama
dengan Anis Nadhira.”
Pendek sahaja
kesimpulan Nadhrah. Memang itulah sebabnya mengapa Qadheer Alauddin tidak boleh
memanggil Keris Nadhrah Sari dengan gelaran tersebut.
“Yup... Sebab
itulah. Tapi, katakanlah nama panggilan awak bukan Nadh, saya tetap suka
panggil awak Keris. Tak semua ada orang nama tu. Lagipun Keris tu memang sesuai
untuk awak. Satu perkataan itu dah cukup untuk melambangkan siapa diri awak.”
“Terima kasih.
Saya ni biasa-biasa aje, Encik Al.” Nadhrah segera melemparkan jagung kering.
Dia cuba
melakukan sesuatu untuk menyembunyikan perasaannya. Nadhrah merasakan diri
begitu tidak setanding Anis Nadhira tatkala Qadheer Alauddin meluahkan
kisahnya.
“Saya nak tanya
Encik Al sesuatu. Saya minta maaf dulu kalau soalan saya ni agak mengganggu,”
pinta Nadhrah
“Apa dia?”
“Sepanjang dua
tahun ni, Encik Al tak jumpa lagi pengganti Anis Nadhira?”
Hembusan nafas
Qadheer Alauddin jelas kedengaran berat. Halkumnya kelihatan bergerak. Dia
menelan air liur. Mahu sahaja lelaki itu melenyapkan rasa tersebut semudah dia
menelan air liurnya. Sebelum menyusun bicara, Qadheer Alauddin menghirup udara
Venice sedalam-dalamnya.
“Kak Syah selalu
pesan dengan saya, jangan cari yang sama. Cari yang lain. Saya kena cari orang
yang boleh isi kekosongan hati saya, bukan pengganti Anis Nadhira. Banyak kali
nenek saya aturkan pertemuan saya dengan cucu kawan dia, anak kawan dia tapi
sampai sekarang saya tak jumpa lagi. Soal hati ni macam nak cari kepingan
terakhir papan puzzle. Meskipun ada kat depan mata, kalau
kepingan tu bukan dicipta untuk kita, walau diputar macam mana sekalipun ia
tetap bukan kepingan puzzle yang terakhir
untuk kita.”
Nadhrah
tersenyum mendengar falsafah Qadheer Alauddin.
“Awak macam mana
pula?” Spontan sahaja soalan itu terpacul.
“Saya macam
mana?”
“Yalah, cerita
awak macam mana pula?”
“Encik Al rasa?”
duga Nadhrah. Sengaja dia mengembalikan paku buah keras kepada Qadheer
Alauddin.
Lantas lelaki
itu tersenyum. Lekuk lesung pipi kanan itu kelihatan dalam.
Ya Allah... Kenapalah mamat lengan pahlawan Roman ni
senyum manis sangat?
“Saya rasa? Rasa
sayang hei,” balas Qadheer Alauddin.
“Encik Al memang
suka perli saya. Sebenarnya... saya tak
pernah terfikir pasal tu.”
“Tak pernah
terfikir?”
“Saya tak pernah
fikir untuk bercinta. Mungkin sebab tu saya belum jumpa lagi dengan kepingan puzzle terakhir untuk hati saya.”
“Tak jumpa? Nak
cari lelaki mat salih ke? Kan awak dah ada kat Venice ni. Takkanlah tak jumpa
satu pun lelaki mat salih? Orang dah
gelarkan Venice ni kota romantik, jadi orang-orangnya mestilah romantik juga.”
“Tak naklah.”
“Tak nak? Kak
Syah kahwin dengan orang Venice. Boleh aje.”
“Itu dah jodoh
Kak Syah dengan Abang Yusuf. Saya cuma nak cari yang biasa-biasa aje. Lelaki
Melayu.”
“Kalau awak yang
perempuan namanya Keris Nadhrah Sari, jadi pasangan awak kena cari yang namanya
Tuah ke? Yalah, kan keris Taming Sari tu
pemiliknya Hang Tuah.”
“Tak perlu
namanya Tuah, cukup ada ciri-ciri Tuah dalam diri dia,” balas Nadhrah.
Tangan kanannya
menuang habis baki jagung kering yang ada di dalam bungkusan kertas ke
permukaan dataran. Berpuluh ekor mengerumuni. Bunyi kepakan sayap burung
merpati kedengaran. Ketika itu jugalah Qadheer Alauddin memberi kejutan kepada
Nadhrah sekali lagi.
No comments:
Post a Comment