Stylo Clique ^_^

Wednesday, July 1, 2015

Keris Di Venice - Bab 2



“NENEK, okeylah. Lain kali Al telefon lagi ya. Ada budak terjatuh kat tempat Al berdiri ni. Al nak tolong dia.”
“Nak lari lagilah tu. Bijaksana sungguh kau cari alasan.”
“Nenek dengar tak? Ada budak menangis, kan?”
Qadheer Alauddin menghalakan telefon ke arah kanak-kanak itu. Jarak mereka lebih kurang 10 meter. Mujur ada kanak-kanak itu. Boleh juga dia mencari sebab untuk menghentikan bebelan neneknya. Fatimah cuba mengamati dan ternyata ia benar.
“Ha, betul kan? Al nak tolong dia. Nanti Al telefon nenek semula. Al sayang nenek tau.”
Ibu jari kanan laju menekan butang merah, menandakan perbualan tamat. Qadheer Alauddin menghembus nafas lega. Dia menoleh semula ke arah kanak-kanak perempuan tadi. Tangisan sudah tidak kedengaran, hanya saki-baki esakan sahaja.
“Ala… Ala… Ala… kenapa menangis ni?”
Suara gadis itu tiba-tiba sahaja muncul. Papan luncur yang dipegangnya tadi segera diletakkan di bawah. Qadheer Alauddin hanya memerhatikan. Dia dapat melihat wajah Nadhrah dari sisi sahaja. Ibu dan gadis itu berdialog dalam bahasa Inggeris. Apa yang dapat Qadheer Alauddin simpulkan, si ibu sedang menerangkan kepada gadis papan luncur itu yang anaknya jatuh dengan sendiri.
Ini bukan budak yang main skateboard tadi ke? Ha, betullah. Rambut dengan baju nilah yang aku pandang dari belakang tadi. Qadheer Alauddin bermonolog di dalam hati.
Nadhrah melutut supaya ketinggiannya sama dengan kanak-kanak itu. Tangan Nadhrah mengelap air mata yang berada di pipi gebu budak perempuan tersebut.
“Ala sayang… Sayang…. Jangan nangis ya. Come ti chiami? (Siapa nama awak?)”
“Clara,” jawab anak kecil itu dengan sedikit esakan.
“Clara yang sangat comel, tak mahu nangis-nangis lagi. Bila kita jatuh, kita kena bangun semula. Nah, kakak ada sesuatu ni.”
Dari poket hadapan pakaian overall yang dipakainya, Nadhrah mengeluarkan gula-gula lolipop. Dia membuka balutan plastik lalu dihalakan ke mulut kanak-kanak itu. Anak kecil itu mula memberikan senyuman.
“Ha… Tak mahu nangis lagi, ya?”
Seperti mengerti apa yang dituturkan oleh Nadhrah, budak itu mengangguk. Qadheer Alauddin yang tukang melihat dari tadi juga tersenyum. Dia segera menekan salah satu butang yang ada pada kameranya. Dia mahu merakamkan saat manis itu. 
Nadhrah membersihkan sedikit kotoran yang berada di lutut kanak-kanak itu. Nadhrah menghulurkan kedua-dua tangannya sebagai tanda yang dia mahu mendukung budak perempuan tersebut. Tanpa dipaksa, Clara membalas dan membenarkan Nadhrah untuk mendukung dirinya. Nadhrah tersenyum. Kanak-kanak perempuan itu memberikan satu ciuman di pipi Nadhrah. Barangkali sebagai tanda terima kasih kerana Nadhrah berjaya menghilangkan rasa sakit dan kesedihan yang dialaminya sebentar tadi.
Grazie my dear. You are so cute.”
Budak perempuan dalam lingkungan 5 tahun itu terus ketawa. Si ibu juga tersenyum.
Qadheer Alauddin menghalakan gajet itu ke muka lalu menekan beberapa kali punat yang berada di atas kamera Nikon DSLR D5000 miliknya. Dia memandang skrin, mahu melihat semula hasil tangkapannya melalui alat tersebut.
Qadheer Alauddin mengamati senyuman gadis itu. Kali ini wajah Nadhrah betul-betul kelihatan dari pandangan hadapan. Dia cuba memfokus skrin. Raut muka Nadhrah memenuhi ruang yang ada. Silih berganti skrin dan wajah Nadhrah pada pandangan lelaki itu. Hati dan fikirannya seperti terhenti seketika. Jiwanya sebentar tadi tenang, namun tidak semena-mena menjadi tidak menentu. Umpama ada satu angin sedang bertiup perlahan menyusup ke dalam nalurinya.
Bye… Bye Clara.”
Suara Nadhrah tiba-tiba sahaja memecahkan khayalan Qadheer Alauddin. Ketika itu Nadhrah sedang melintasi hadapannya. Nadhrah melambai ke arah Clara lalu anak kecil itu membalas. Kegirangan jelas terpancar.
Sebaik sahaja Nadhrah selesai melintasi Jambatan Rialto, Nadhrah meletakkan papan luncurnya ke bawah dan kaki kanannya memacu papan itu dengan kelajuan biasa. Tanpa berfikir panjang, Qadheer Alauddin mengatur langkah laju mengikut arah yang sama dengan gadis tersebut.




NADHRAH mengambil papan luncur lalu meletakkan objek tersebut di dinding berdekatan dengan pintu masuk Bistro Karipap La Timah. Itulah nama kedai makan, tempat gadis berusia 26 tahun itu bekerja. Bistro Karipap La Timah memberikan perkhidmatan makanan dengan menjual karipap dan minuman. Ya, makanannya hanya karipap. Bistro yang berkonsepkan layan diri itu menghidangkan lebih sepuluh jenis karipap sebagai pilihan untuk para pelanggan. Antaranya karipap kentang, karipap daging, karipap sardin, karipap vegetarian, karipap bebola ayam dan karipap makanan laut. Malah karipap berinti buah-buahan seperti epal, pisang dan beri biru pun ada. Umpama pai epal, cuma digantikan dengan tepung karipap. Resepi yang terhasil disesuaikan dengan selera orang tempatan. Pendek kata, kalau orang Itali berbangga dengan piza mereka, bagi pemilik bistro tersebut makanan tradisional kegemaran orang Malaysia juga mampu bersaing di Eropah.
Nadhrah menolak pintu masuk kaca yang tertera ayat “Welcome To Bistro Karipap La Timah”. Kelihatan beberapa pelanggan sedang menikmati hidangan mereka.
“Kak Syah, Nadh dah balik ni,” ucap Nadhrah.
Qash Alaisyah yang sedang sibuk menekan sesuatu pada mesin menyimpan wang segera menoleh. Nadhrah menghampiri Qash Alaisyah lalu menghulurkan beberapa keping mata wang Euro kepada majikannya itu.
“Ini duitnya kak.”
Kepingan kertas bernilai itu bertukar tangan.
“Terima kasih Nadh. Kalaulah tak ada Nadh, akak tak tahu siapa yang nak buat kerja delivery yang banyak ni.”
“Sama-sama kak. Hal kecil aje. Dah memang tu kerja Nadh, kan? Akak nak Nadh tolong akak kat dapur ke?”
“Eh, tak apa. Abang Yusuf cakap masih cukup lagi adunan tepung dengan inti karipap untuk hari ni. Kak Syah nak semak stok kat freezer, Nadh jaga kat kaunter. Lagipun waktu tengahari macam ni belum ramai sangat orang.”
“Okey kak. Nad pergi lap meja dulu.”
Qash Alaisyah mengangguk lalu menuju ke dapur. Nadhrah mengambil botol berisi cecair pembersih yang berada di dapur lalu dibawa ke ruang meja makan. Jari telunjuk kiri Nadhrah menekan sedikit pemacu yang ada pada botol penyembur itu. Semburan cecair merebak ke atas meja. Tangan kanannya laju meratakan cecair itu ke seluruh meja. Sedang dia membersihkan meja, pandangan mata sisi Nadhrah menangkap sesuatu yang berada di luar.

NAFAS Qadheer Alauddin menjadi tercungap-cungap kerana mengejar Nadhrah. Dia hampir sahaja kehilangan jejak gadis papan luncur itu. Otak Qadheer Alauddin memaksa langkahnya berhenti tatkala matanya melihat papan luncur berwarna biru gelap berada di dinding tersebut. Dia mendongak ke atas, memandang papan tanda bangunan ala zaman dahulu kala itu.
“Bistro Karipap La Timah?” ucap Qadheer Alauddin sendiri. Nadanya kedengaran dia dalam kehairanan. Seolah-olah ada menyimpan seribu satu soalan dalam benak fikiran.
“Budak skateboard tu kerja kat sini ke?”
Qadheer Alauddin memanjangkan lehernya. Cuba memerhatikan apa yang berlaku melalui dinding kaca bistro tersebut. Kelihatan Nadhrah sedang berbicara dengan seseorang.
Qadheer Alauddin mengerakkan kepala kiri dan kanan. Tidak semena-mena terasa sengal di bahunya. Beg sandang yang dipikul terasa beban. Dia menanggalkan beg tersebut lalu diletakkan ke lantai.
“Inilah padahnya kalau berlari sambil bawa beg macam pengembara ni,” omel Qadheer Alauddin sendiri.
Dia menumbuk dan memicit perlahan bahagian bahu serta tengkuknya sendiri sambil pandangannya meliar di sekitar bistro. Tiba-tiba sahaja mata itu tertumpu pada stand kayu yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Stand kayu itu menyokong papan hitam yang bertulis “Jawatan Kosong untuk Krew Dapur/ Vacancy for Kitchen Crew” yang dicatat dengan kapur berwarna putih.

Nadhrah meletakkan kain lap yang berada di tangan ke atas meja. Diperhatikan lama wajah itu dari dalam. Setapak demi setapak kakinya melangkah ke pintu. Pintu kaca itu dikuak sedikit. Nadhrah menjengahkan kepalanya lalu dia berdeham sebanyak dua kali. Qadheer Alauddin sedikit terkejut. Namun, air mukanya berjaya dibendung.
Bibir Nadhrah beransur melengkung ke atas. Tatkala dia melakukan perbuatan itu, permukaan pipinya naik lalu menambahkan seri pada wajah tersebut. Rambut bahagian hadapan gadis tersebut hanya pada paras kening. Keadaan sedemikian yang sempat ditangkap pada penglihatan Qadheer Alauddin saat bertaut pandangan terhadap insan itu. Hampir sahaja Qadheer Alauddin mahu membalas senyuman Nadhrah.
Signore? Hmmm… Tak, rasanya encik kut lagi sesuai. Encik ni mim lam alif ya wau ke?” teka Nadhrah apabila melihat raut wajah Qadheer Alauddin.
Boleh tahan juga muka dia ni. Kening sedang-sedang lebat, hidung mancung, badan maskulin. Bisik hati Nadhrah apabila melihat lekuk lengan Qadheer Alauddin.
“Mim lam alif ya wau? Me... La… Yu? Oh… Melayu. Awak tanya saya Melayu ke?”
Wajah Qhadeer Alauddin mempamerkan raut serius. Nadhrah menganggukkan kepala.
“Awak rasa?”
“Okey, saya dah dapat jawapannya. Encik nak masuk ke dalam ke? Nak beli karipap?”
“Ada saya cakap macam tu?”
Kali ini Nadhrah menggelengkan kepala.
“Habis tu?” soal gadis tersebut.
“Awak rasa?”
Nadhrah memandang sekeliling seketika. Terkejut dengan reaksi lelaki yang berada di hadapannya.
Berapa banyak rasa mamat ni? Ingat rasa masam-masam manis ke? Siakap tiga rasa? Ke rasa sayang hei? Rasa menyesal pula tegur tadi. Cakap bukan main berlagak. rungut Nadhrah di dalam hati.
Nadhrah yang dari tadi berada di belakang daun pintu akhirnya keluar. Dia berdiri bertentangan dengan lelaki tersebut. Padangannya jitu memandang anak mata Qadheer Alauddin.
“Encik, jangan harap kita ada ilmu tapi mulut masih melopong. Jangan harap nama sahaja Melayu, tapi kita jadi orang yang sombong. Orang Melayu tak sombong,” ujar gadis itu dengan suara yang mendatar tetapi tegas.
“Sekarang ni awak rasa saya sombong? Berlagak? Macam tu? Kalau saya cakap awak ni sesuka hati aje nak langgar orang, boleh?”
Berdas-das tembakan soalan dilemparkan oleh lelaki berketinggian 178 sentimeter itu.
Langgar orang? Kat Venice ni mana ada kereta. Sejak bila pula boleh jadi ada kejadian langgar orang?
Kening Nadhrah mahu bercantum. Sudah berlipat jadinya dahi Nadhrah. Aneh. Dia mula-mula menggaru-garu kepala yang tidak ada kelemumur itu. Nadhrah memandang sekeliling untuk mendapatkan kepastian. Akhirnya, mata Nadhrah berlabuh pada stand kayu yang meletakkan papan hitam.
“Encik berminat nak kerja kat sini ke? Encik nak interviu?” aju Nadhrah dengan penuh keyakinan sambil menukar topik perbualan.
“Interviu?”

2 comments:

  1. Adik beradik ker Qash Alaisyah.ngan Qadheer Alauddin ni?....hehhe...Best2...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ynadinzly...
      kalau nak tahu dia orang ada kena mengena ke tak,
      kena jenguk bab seterusnya. jeng...jeng...jeng... ;)

      Delete