Stylo Clique ^_^

Wednesday, July 15, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 12



TANGAN Qash Alaisyah menyusun kemas kotak yang diisi dengan karipap ke dalam beg penghantaran. Beg sandang belakang itu boleh memuatkan sebanyak lapan buah kotak yang mana setiap kotak boleh mengisi penuh 10 biji karipap. Konsep kotaknya sama seperti kedai donat jenama terkemuka yang ada.
Ruang beg yang terbuka tidak kelihatan tatkala Qash Alaisyah menarik zip itu sehingga ke hujung. Baki lagi dua kotak yang terletak di permukaan kaunter dimasukkan ke dalam plastik, menjadikan keseluruhan pesanan pada petang itu adalah 10 kotak. Tiga helai kertas pesanan digapai lalu Qash Alaisyah menaikkan pandangan. Orang yang bertanggungjawab menghantar kesemua pesanan itu berada di hadapan mata.
Nadhrah sedang mengelap permukaan dinding cermin bistro Karipap La Timah. Kebetulan, saat Qash Alaisyah memandang Nadhrah, tangan Nadhrah sedang menutup mulut.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah dan dalam masa yang sama wanita itu melambai ke arah gadis tersebut.
Melihat tindakan Qash Alaisyah begitu, cepat-cepat Nadhrah menyekat air mata yang mengalir pada hujung mata. Mengantuk benar nampaknya.
“Ya kak,” balas Nadhrah setelah menguak pintu dan melangkah masuk.
Dia menuju ke singki untuk membasuh tangan. Sebaik sahaja selesai, Nadhrah pergi mendapatkan majikannya.
“Ni ada tiga orang customer yang oder karipap. Semua sekali ada 10 kotak. Lima kotak yang paling bawah kat dalam beg ni untuk Uncle Leonardo.”
Uncle Leo oder lima kotak? Banyaknya.” Sekali lagi mulut Nadhrah menyangap.
“Ha’ah, anak dia Donatello tu balik dengan cucu-cucu dia sekali katanya. Dia nak buat makan-makan sikit. Tiga kotak yang atas untuk Mr. Michelangelo. Yang dua kotak kat dalam plastik ni pula Mr. Raphael yang punya. Nah, ni bil untuk dia orang.” Kertas kecil seperti resit itu bertukar tangan.
Nadhrah membaca sekali imbas alamat yang ada memandangkan pelanggan yang memesan pada waktu itu adalah pelanggan tetap. Jadi, tiada masalah buat Nadhrah. Gadis itu mengangguk sebagai tanda dia mengerti. Beg sandang yang terletak di atas kerusi sudah berada di bahu.
Kebetulan, Qadheer Alauddin sedang menatang karipap yang baru sahaja siap dibakar ke hadapan untuk diletakkan pada ruangan kaca kaunter.
“Nadh okey tak ni?”
“Okey, Nadh tak ada apa-apa. Apanya yang tak okey pula kak?”
“Yalah, akak tengok hari ni dah berapa kali Nadh menguap. Ngantuk ke? Malam tadi tak cukup tidur?”
Serta-merta pandangan Nadhrah berubah kepada Qadheer Alauddin. Begitu juga dengan lelaki itu. Perbuatannya menyusun karipap terhenti.
“Ma... Ma... Malam... Malam tadi Nadh tidur lambat sikit. Tak dapat nak lelapkan mata.”
“Aik? Akak tanya soalan macam tu terus jadi gagap ke?”
“Mana... Mana ada Nadh gagap kak. Merepek aje. Otak lambat proses kalau tak cukup tidur. Tu yang jadi macam tu.”
“Yalah tu. Elok sangat Nadh pergi delivery sana. Jalan-jalan sikit. Tak pasal-pasal kang air liur basi tiba-tiba ada kat muka tu.”
Umpama melontar buah dadu, kali ini giliran Qadheer Alauddin pula yang menguap apabila karipap terakhir yang berada di dulang sudah bertukar tempat.
Qash Alaisyah perasan akan pelakuan adiknya itu. Sekejap Qash Alaisyah memandang Nadhrah, selang sesaat lagi wanita itu memandang Qadheer Alauddin. Qash Alaisyah dapat merasakan sesuatu.
Melihat sahaja reaksi wajah majikannya begitu, Nadhrah segera mengambil segala keperluan. “Akak, Nadh pergi dulu ya.”
Kaki Nadhrah laju menapak keluar dari bistro.
“Hari ni memang hari menguap dan menyangap sedunia ke?” sindir Qash Alaisyah. Matanya memerhatikan tingkah Qadheer Alauddin.
“Akak tanya Al? Manalah Al tahu.”
Dari hujung rambut ke hujung kaki bebola mata Qash Alaisyah mengesan tubuh Qadheer Alauddin.
“Mmm... Akak, Al ingat nak tolong Keris buat delivery. Kasihan pula Al tengok dia bawa kotak banyak-banyak macam tu,” pinta Qadheer Alauddin. Cepat tangannya meletakkan dulang yang kosong di atas kaunter
“Al nak tolong Nadh? Nadh tu dah biasa bawa pesanan customer banyak-banyak macam tu. Habis tu akak ni siapa nak tolong?”
Qadheer Alauddin meleraikan ikatan apron yang melilit pinggangnya. Kemudian dia menyarungkan apron itu ke badan kakaknya.
“Abang Yusuf ada kat belakang tu. Kejap lagi Naz sampai, kan? Lagipun, apa salahnya Al tolong. Lain kali kalau oder tengah banyak, Al boleh tolong hantar sebab Al dah tahu tempat kat Venice ni. Al pergi dulu. I love you so much, kak,” ucap Qadheer Alauddin memberikan alasan yang dirasakan agak munasabah untuk menutup niat sebenar. Dia melangkah laju menuju ke belakang untuk mengambil jaket.
“Gaya cakap macam nak duduk Venice ni sampai bila-bila.”
Sekelip mata sahaja Qadheer Alauddin melulu semula ke hadapan bistro lalu menolak pintu kaca dan keluar.
Qash Alaisyah menggelengkan kepala. Bukan dia tidak kenal dengan adik bongsunya itu. Lama-kelamaan dia tersenyum. “Tapi, elok juga Al tu nak berubah.”

PAPAN luncur yang dibimbit di sisi kiri diletakkan ke lantai. Kaki kiri Nadhrah menekap padu ke permukaan papan manakala kaki kanan sudah bersedia untuk memacu.
“Keris?”
Suara itu menyusup masuk ke gegendang telinga Nadhrah saat dia mahu memulakan luncurannya. Nadhrah menoleh. Dia turun dari papan beroda itu dan anggota untuk berjalannya menahan objek tersebut daripada bergerak. Kini, mereka berdua berhadapan antara satu sama lain.
“Ya, Encik Al. Kenapa? Kak Syah ada cakap apa-apa ke?” teka Nadhrah dengan penuh tanda tanya.
Hairan. Masakan Qadheer Alauddin tiba-tiba sahaja memanggilnya tanpa ada sebab.
“Tak adalah. Kak Syah tak cakap apa-apa pun. Cuma, dia minta saya temankan awak pergi delivery untuk customer.”
“Kak Syah minta Encik Al temankan saya? Peliknya.” Mimik muka itu ketara tidak percaya.
“Apanya yang pelik? Saya pun kena kenal dengan regular customer Karipap La Timah. Lagi satu Kak Syah risau kalau jadi apa-apa kat karipap tu. Manalah tahu awak berjalan sambil tidur. Awak ingat saya nak sangat ke temankan awak? Banyak lagi kerja saya kat dapur tu.”
“Macam tu ke?” Alunan suara gadis itu seperti tidak yakin dengan kenyataan Qadheer Alauddin.
“Ya. Awak ingat saya saja cari alasan ke? Saya pun tak ingin. Saya tak naklah sebab saya, semuanya jadi tak kena. Semalam kan awak baca buku cerita tu sampai saya mengantuk. Habis tujuh cerita awak bacakan untuk saya. Saya nak berterima kasih kat awak. Sebab tu...” Mata Qadheer Alauddin cuba memandang anak mata hitam Nadhrah. Walaupun dia berbohong, dia tidak mahu Nadhrah perasan akan hal tersebut.
Ukiran wajah Nadhrah sedikit demi sedikit berubah. Nadhrah terkejut. Qadheer Alauddin dapat melihat mata gadis berambut panjang itu terbeliak.
“Sebab tu saya setuju nak temankan awak. Awak jangan nak fikir bukan-bukan pula. Orang berbudi kita berbahasa. Saya ni anak Melayu jati lagi tulen yang menghargai bantuan orang terhadap diri saya.”
Tangan kiri yang tidak menjinjit beg plastik menekup mulut. Semakin ketara raut itu diukir dengan perasan terkesima dan terkejut. Seakan-akan apa yang dituturkan oleh Qadheer Alauddin sangat tidak disangka oleh Nadhrah.
“Keris, awak terharu sangat ke dengan apa yang saya cakap tadi?”
Nadhrah tidak membalas. Dia menurunkan tangan kiri dan bibir diukir dengan senyuman yang begitu lebar dan manis. Ada sinaran pada pancaran mata gadis itu.
“Saya baru cakap sikit pun dah terharu? Itu pun dah gembi...”
“Abang Redza...” ucap Nadhrah.
Belum sempat Qadheer menemukan tanda noktah pada susunan katanya, Nadhrah terlebih dahulu mencantas dengan menyebut nama asing itu. Tidak pernah pula Qadheer Alauddin mendengar nama tersebut sebelum ini.
“Abang Redza?” Setiap garis pada wajah yang membentuk ekspresi itu cuba diramal oleh Qadheer Alauddin.
Nadhrah begitu gembira tatkala menyebut pemilik nama tersebut. Kepala Nadhrah menjengah seseorang di belakang Qadheer Alauddin. Langkau sesaat dua, Qadheer Alauddin berpaling.
Susuk tubuh tinggi lampai sedang melambaikan tangan ke arah Nadhrah.
Apa kena-mengena Chris Hemsworth
dalam ini cerita? Haha.. jawapannya
ialah rambut panjang macam
Imran Redza. Sekian.
Memang tidak syak lagi, kerana lelaki berketinggian 181 sentimeter itulah Nadhrah sudah tidak nampak diri Qadheer Alauddin yang berada di hadapan mata. Apa istimewanya lelaki berkulit sederhana gelap itu? Penampilannya bersahaja. Rambut lelaki itu panjang dan berikat. Tangan kanan diseluk ke dalam poket seluar. Kemeja-T putih dan lengan berwarna hitam panjang tersemat kemas. Beg sandang berwarna hitam terletak pada bahu.
Qadheer Alauddin mengagak lelaki yang menerima gelaran Abang Redza itu berumur lingkungan 30-an.
“Abang Redza!” Semakin kuat dan jelas suara Nadhrah menyebut nama tersebut.
“Nadhrah comot!”
Nadhrah mengoles senyuman manis.
Terbit rasa aneh di hati Qadheer Alauddin melihat Nadhrah menghadiahkan senyuman terhadap Redza.
“Abang Redza bucuk!” balas Nadhrah.
Terjegil mata Qadheer Alauddin dibuatnya. Nadhrah comot? Abang Redza bucuk? Apa punya gelaran ni? Ingat comel ke?! Jauh di sudut hati Qadheer Alauddin yang paling dalam memberontak.
“Encik Al, tolong pegang kejap plastik ni ya.” Plastik yang berisi dua buah kotak karipap itu dihalakan ke wajah Qadheer Alauddin.
“Saya pegang? Saya tak....”
“Kata tadi nak tolong saya buat delivery? Pegang kejap aje. Cepatlah,” suruh Nadhrah.
Nadhrah tanpa ada perasaan bersalah tetap menghulurkan plastik tersebut terhadap Qadheer Alauddin. Nadhrah terus memaksa. Qadheer Alauddin buat-buat tidak tahu. “Isy... Encik Al ni, tolonglah.”
Tangan Nadhrah memegang tangan adik kepada Qash Alaisyah itu. Sekelip mata plastik tersebut sudah beralih tangan. Papan luncur yang ditahan dilepaskan. Kelam-kabut jadinya kaki Qadheer Alauddin menahan objek itu.
“Keris!”
Nadhrah tidak menghiraukan panggilan Qadheer Alauddin. Sebaliknya, dia bergegas menghampiri Redza.
Perasaan Qadheer Alauddin semakin tidak menentu. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdegup pantas. Dia merasakan Redza lebih penting daripada dirinya dalam hidup Nadhrah.
Lebih kurang lagi dua langkah menghampiri Redza, kaki Nadhrah berhenti menapak. Dia memejam lalu mencelikkan mata. Masih lagi tidak percaya dengan apa yang dilihat. “Betul ke Abang Redza ada kat Venice ni?”
“Kenapa? Nadh yang comot ni tak percaya ke?” Hujung jari telunjuk kanan Redza mencuit lembut dan memicit hidung Nadhrah.
Hampir terlepas genggaman tangan Qadheer Alauddin menyaksikan perbuatan Redza. Mereka berdua kelihatan begitu mesra. Redza menghulurkan tangan kanan. Nadhrah membalas dengan menyambut lalu mengucup tangan itu. Bukan setakat itu sahaja, Redza tidak melepaskan genggaman tangan Nadhrah.
“Abang buat apa kat sini?”
“Abang nak jumpa Nadhlah. Orang Malaysia ni rindu sangat dengan orang Venice.”
Makin meluap-luap perasaan tidak puas hati dan cemburu yang sedang berhimpun di dada Qadheer Alauddin. Qadheer Alauddin menyentuh dadanya. Dia sendiri dapat merasakan debaran kencang yang sedang berlaku. Perasaan pedih tanpa ada sebabnya telah terjadi. Dialog antara dua insan itu jelas pada pendengaran memandangkan jarak dia dengan mereka tidaklah beberapa jauh.
Kenapa macam ada yang tak kena aje ni, Al? Hailah jantung, jangan nak berdegup kencang sangat bila bukan masanya boleh tak? Situasi macam ni jadi bila kau dengan arwah Nadh aje. Kau bukannya ada perasaan kat Keris tu, kan? Pemuda itu berusaha menasihati dirinya sendiri. Dia tidak selesa dengan perubahan yang dialami.
Dahi Qadheer Alauddin membentuk lapisan lipatan. Nafas yang dihembus terasa berat. Dia berpaling daripada terus memandang Nadhrah dan Redza. Tapi kenapa macam berdebar-debar aje ni? Hailah hati, kau jangan cakap kau berdebar-debar bila nampak Keris dengan lelaki lain. Aku risau kalau kau dah berdebar-debar macam ni bila pandang Keris.
Qadheer Alauddin bin Alam Syah, kau jatuh cinta dengan Keris Nadhrah Sari ni ke? Baru 11 hari kau kenal dia, Al. Baru 11 hari. Jiwa dalaman dan hati Qadheer Alauddin berbicara antara satu sama lain.
“Yalah tu sebab Nadh. Abang tak cakap pun nak datang sini,” kata Nadhrah sambil tangannya melepaskan genggaman tangan Redza.
“Abang nak bagi surprise kat Nadh dengan Naz. Kebetulan cuti tahun abang banyak. Tahun lepas punya bawa ke tahun ni. Tu yang abang ingat nak datang Venice.”
“Lama ke abang kat sini?”
“Mungkin empat lima hari macam tu. Nadh dah janji, kan? Masa telefon abang dulu, selalu suruh abang datang Venice. Hari ni abang dah sampai. Nadh kena bawa abang jalan-jalan naik vaperetto.”
Nadhrah ketawa mendengar tuntutan janji yang dilakuan oleh Redza. Dia tersengih.
“Keris!” laung Qadheer Alauddin.
“Ya, Encik Al?” sahut Nadhrah dan dalam masa yang sama melihat belakangnya.
“Jangan lupa sekarang ni waktu kerja, bukan waktu nak berbual-bual. Banyak benda nak kena buat. Lupa ke ada oder yang nak kena hantar? Takkan saya pula yang nak kena buat?” sindir Qadheer Alauddin sambil menayangkan beg plastik yang dijinjit.
Nadhrah menggaru-garu kepalanya. Pedas benar kata-kata itu.
“Alamak, Nadh lupa pula ada kerja. Nadh pergi settle kerja Nadh cepat-cepat. Abang masuk dulu dalam bistro ya. Kejap lagi Naz masuk kerja.”
“Siapa lelaki tu?”
“Adik bos.”
“Patutlah garang bukan main. Okeylah, abang pun lapar ni. Boleh juga makan karipap yang popular kat Venice ni. Nadh pergi buat kerja sana. Abang masuk dulu.”
Perempuan itu mengangguk. Dia melambai mesra terhadap Redza. Redza membalas dengan memberi isyarat agar Nadhrah segera mendapatkan Qadheer Alauddin.
“Tak payah nak lambai sangat. Jangan lupa beg yang kat bahu awak tu,” tegas Qadheer Alauddin tatkala Nadhrah mengambil plastik pada tangan lelaki tersebut.
“Saya minta maaf, Encik Al. Saya hantar cepat-cepat pesanan ni.” Kaki Nadhrah menarik papan luncur yang berada di kaki Qadheer Alauddin. Tangkas benar pergerakan anggota tersebut menahan.
“Jangan hantar guna skateboard. Saya nak kita jalan kaki.”
“Tapi kalau saya naik skateboard kan lagi cepat.”
“Awak nak cepat-cepat hantar sebab nak berborak dengan Abang Redza awak tu ke?”
“Mana ada. Memang selalu saya hantar oder guna skateboard. Rasanya Encik Al pun tahu tu.”
Qadheer Alauddin tunduk ke bawah. Tangannya mengambil papan luncur lalu diletakkan ke tepi dinding.
“Hari ni bukan selalu. Hari ni saya temankan awak. Kalau awak pakai benda alah tu, saya nak jalan laju macam robot ke kejar awak? Saya kena kenal dengan pelanggan tetap Karipap La Timah. Ingat tu. Jangan nak bagi alasan macam-macam.”
“Saya ke Encik Al yang bercakap panjang lebar dari tadi? Rasanya Encik Al yang bagi alasan.”
“Awak perli saya ke? Ini arahan Kak Syah.”
Nadhrah mengembungkan pipi. Tidak berpuas hati. Rasa macam dia dibuli. Tidak mahu membalas dengan sebarang perkataan, Nadhrah melangkah meninggalkan Qadheer Alauddin. Mujur alamat dan kedudukan pelanggan yang memesan itu di kawasan berhampiran, lingkungan 10 hingga12 minit jika berjalan kaki.
“Buat kerja bukan main lagi mulut tu terbuka luas. Menguap tak sudah. Nampak aje lelaki tu, terus dah hilang ngantuk?” sindir Qadheer Alauddin.
“Mestilah. Encik Al tahu tak perasaan kalau kita dah lama tak jumpa seseorang? Lebih-lebih lagi orang yang sangat dekat kat hati kita?”
Dah tentulah perasaan tu namanya rindu. Bukannya Qadheer Alauddin tidak pernah mengalami perasaan itu. Semalam kata belum jumpa lagi dengan kepingan puzzle terakhir untuk hati. Hari ni, Redza bucuk tu siapa pula? bentak jiwa lelaki itu.
Qadheer Alauddin tidak membalas pertanyaan Nadhrah. Bertambah sakit pula hati dibuatnya. Qadheer Alauddin berlagak tenang.
Nadhrah melangkahkan kaki. Hujung matanya sempat mencuri pandang raut wajah lelaki yang memakai jaket varsity berwarna merah dan putih itu. “Muka Encik Al macam nak tanya sesuatu kat saya. Mesti Encik Al nak tahu siapa Abang Redza tu, kan? Saya boleh beritahu Encik Al siapa Abang Redza tu.”
“Tak ada. Tak ada apa yang saya nak tahu. Buat apa saya nak tahu perkara yang tak ada kaitannya dalam hidup saya?” bangkang Qadheer Alauddin. Wajahnya ketara cuba menyembunyikan perasaan ingin tahu itu.
Langkah kaki Nadhrah terhenti. Dia berkerut. Nadhrah mempamerkan rasa hairan. Dipandang sahaja susuk tubuh yang berjalan itu dari belakang.
“Semalam lain. Tup-tup hari ni tiba-tiba aje jadi lain. Marah-marah pula. Angin kus-kus”
“Saya dengar apa yang awak cakap, Cik Keris.”
Nadhrah menekup mulutnya. Tanpa mengambil masa yang lama, dia terus menuruti jejak kaki Qadheer Alauddin.
“Tadi kata boleh beritahu siapa lelaki tu. Alang-alang dah cakap, cakap ajelah sampai habis siapa Abang Redza awak tu.”
Nadhrah memandang sekilas. Tidak mampu untuk menahan rasa geli hati, Nadhrah menghamburkan gelak ketawa. Berlagak maco konon.


2 comments: