Stylo Clique ^_^

Friday, September 28, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 31 ::.






BAB 31


Wafi menyuap pantas nasi goreng yang terhidang. Setelah makanan di dalam mulut sudah habis ditelan, dia mengelap bibirnya dengan napkin. Nadhira tersenyum simpul apabila Wafi bersetuju untuk makan tengahari bersamanya. Tidak sia-sia dia menunggu Wafi daripada pukul 11 pagi tadi. Sudah puas memujuk pembantu peribadi Wafi untuk menunggu sahaja lelaki itu di ruangan menunggu. Dia tahu, Wafi sengaja mahu mengelak daripada bertemu dengan dirinya. Namun, Nadhira tidak mahu melepaskan peluang. Jalan sudah terbentang luas. Inilah masa yang sesuai untuk memiliki semula hati Wafi.

“Dari tadi Wafi senyap aje.”
“Tengah makan, buat apa nak cakap.”
“Dhira gembira sangat sebab Wafi sudi makan dengan Dhira.”
“Kebetulan saya memang nak makan.”

Nadhira tersenyum. Dia harus bersabar dengan karenah Wafi. Dia juga tahu keadaan Wafi ketika itu sedang bercambah rasa benci terhadap musuhnya. Dia gembira kemenangan berada di pihaknya. Nadhira memotong perlahan potongan daging lalu menyuap ketulan kecil itu ke dalam mulutnya. Dia sudah memasang strategi untuk menambat semula hati lelaki yang berada di hadapannya. Dia hanya perlu memburukkan lagi diri A.D di hadapan Wafi. Dia tidak mahu kalah dengan A.D. Apa sahaja perkara yang dia inginkan, dia mahu perkara itu dimiliki olehnya. Tidak kira apa jua keadaannya.

“Wafi, Dhira tahu Wafi tengah marah sekarang ni. Tapi jangan risau, Dhira akan sentiasa dengan Wafi.”
Pandangannya yang dari tadi hanya memandang hidangan, kini dia mendongak melihat Nadhira.

“Apa maksud awak ni?”

Perlahan-lahan tangan Nadhira mahu menyentuh tangan Wafi.

“Dhira tahu Dhira pernah buat silap, tapi Dhira sesekali tidak akan serahkan maruah Dhira untuk lelaki lain. Dhira sayangkan Wafi.”

Wafi menghempas perlahan sudu yang dipegangnya ke pinggan. Emosinya masih lagi tidak stabil. Wafi dapat mengagak yang Nadhira sedang membincangkan mengenai hal itu. Dan tidak mustahil untuk Nadhira tahu kerana pasti Haikal yang menjadi mulut tempayannya. Dia merasakan kata-kata Nadhira seperti sedang mentertawakan dirinya.

“Saya datang restoran ni sebab nak makan, untuk isi perut saya. Bukannya untuk isi kemarahan dalam hati saya ni.”
“Dhira tak nak Wafi buat kesilapan ni. Perempuan macam tu tak patut dan tak berhak menerima kasih sayang Wafi. Dhira dah agak, A.D tu bukan perempuan yang baik.”
“Itu hal saya dengan dia. Awak tak berhak masuk campur. Awak cuma kawan saya. Saya yang menentukan hidup saya. Walaupun saya tahu perkara ni ada kaitan dengan sepupu awak, tak bermakna awak boleh masuk campur.”
“Sayang, Dhira tak akan buat kesilapan tu kalau kita bersama semula macam dulu. Tapi terang-terang A.D……….”
Stop it, Dhira.”
“Wafi, jangan jadi buta. Dia bukan perempuan yang baik. Tuhan dah tunjuk depan mata Wafi. Dhira tahu Haikal tu memang kasanova, tapi boleh aje kan dia elak perkara tu daripada terjadi? Ada tak dia nafikan perkara tu? Dhira rasa, dia sendiri mesti tak sangka lelaki yang dia pernah tidur tu………….”
“Nurul Nadhira, I said stop it. Awak makanlah sendiri. Sebab saya dah kenyang. Saya dah muak dengan perkara ni.”

Wafi bangun lalu meninggalkan Nadhira. Hatinya bertambah sakit. Sememangnya Nadhira sengaja membangkitkan kemarahannya. Perlahan-lahan bibir Nadhira menguntum senyuman. Dia puas dapat mengalahkan A.D.

------------------

Kereta Myvi kuning milik Wafi memasuki perkarangan vila. Sebaik sahaja dia keluar daripada kereta, dia melihat kereta itu berada di halaman luar. Wafi kenal benar dengan pemilik kereta Satria Neo berwarna kelabu pekat itu. Wafi sempat melihat jam tangan yang terletak di tangan kirinya. Waktu sudah menjengah pukul 9.30 malam. Sejak hampir sebulan peristiwa malam itu berlaku, Wafi sengaja pulang lewat. Kadang-kala dia langsung tidak menyentuh makan malam yang disediakan oleh Mak Som. Wafi mahu mengelak daripada terus disoal oleh orang di dalam vila itu.

Wafi membuka perlahan pintu lalu melangkah lesu. Badannya terasa letih. Sebaik sahaja dia menutup daun pintu, suara itu memanggil namanya.

“Lama aku tak jumpa kau.”

Wafi tersenyum hambar.

“Aku sibuk sikit. Dah lama kau sampai?” soal Wafi.
“Lamalah juga. Payah betul nak jumpa C.E.O Bina Kurnia ni sekarang.” balas Rafiq.
Mak Som keluar membawa hidangan air.

“Mak Som, letak air tu kat luar tempat biasa saya duduk. Saya nak berbual dengan Rafiq kat situ,” pinta Wafi.

Mak Som hanya mengangguk.

Wafi dan Rafiq menuruti langkah Mak Som ke laman luar. Setelah selesai melakukan tugasnya, Mak Som masuk ke dalam. Wafi dan Rafiq duduk di bangku itu. Sambil menghayati udara di luar, Wafi menyingsingkan lengan kemejanya hingga ke siku.

“Ada apa hal cari aku sampai ke sini? Mesti ada perkara penting yang kau nak cakap dengan aku kan?”
“Perlu ke seorang kawan yang dah dianggap kawan dunia akhirat, memerlukan sebab untuk mencari sahabatnya?”

Wafi menggelengkan kepala sambil tersenyum lalu menghirup perlahan jus oren di dalam gelas itu.

“Aku dah lama tak jumpa kau. Sejak peistiwa kat padang ragbi hari tu sampailah sekarang baru aku nampak muka kau. Wajah yang aku tengok masa hari tu tak sama dengan muka yang aku nampak pada hari ni.”
“Aku sibuk. Bina Kurnia tengah banyak sangat projek. Sebab tu muka aku nampak letih.”
“Muka letih dengan serabut banyak bezanya. Kau ada masalah dengan A.D? Aku tak nampak pun motosikal dia kat depan tu.”
“Aku baru balik kerja, aku malas nak bincang soal tu. Dia yang keluar daripada rumah ni.”
“Jadi kau dengan A.D memang ada masalah? Kau tahu dia pergi mana?”

Wafi hanya membisu, dia malas mahu menjawab pertanyaan Rafiq itu.

“Aku rasa kau sendiri pun tak tahu dia pergi mana kan? Aku bukan nak masuk campur, tapi kau kena beri peluang pada A.D.”
“Kau tak akan faham keadaan aku, bukan kau yang ada kat tempat aku. Kau tak tahu apa masalah aku.”
“Kau nak cakap pasal masalah A.D pernah terlanjur dengan Haikal?”

Bulat mata Wafi tatkala mendengar kata-kata Rafiq.

“Masa kau balik hari tu, Dhira tanya dengan Haikal. Aku ada kat situ. Haikal tanpa rasa bersalah memalukan A.D depan aku dengan Dhira.”
“Memang itu silap A.D.”
“Kau sendiri tahu kan perangai Haikal tu. Sejak dari awal lagi aku tak suka dengan perangai dia. Tapi kau degil. Kau rapat dengan dia sebab dia sepupu Dhira. Yalah, perempuan idaman kau tu.”
“A.D tak sepatutnya rahsiakan perkara ni. Aku dah diperbodohkan.”
“Wafi, cuba kau letakkan diri kau kat tempat A.D. Kau nak buka pekung kat dada kau sendiri ke? Ini soal maruah. Kau kena faham tu.”
“Aku cukup faham dengan keadaan aku. Aku tak sangka aku boleh kahwin dan jatuh cinta dengan dia. Kau faham tak macam mana rasa sakitnya hati aku?”
“Aku tahu, kalau aku kat tempat kau sebagai lelaki ego aku tercabar. Tapi semua dah jadi. Tak boleh nak patah balik. Memang itu silap A.D. Semua manusia pernah buat silap. Kita memang dah tak boleh nak betulkan apa yang dah jadi, tapi kau jangan menghukum A.D dengan menuduh dia jadi pembunuh.”
 “Apa maksud kau?”
“Kalau aku jadi kau, aku tak akan buat macam tu. Kalau betul kau sayangkan A.D, kau tak akan terus hukum dia. Kau patut siasat benda ni dulu. Bukan terus tuduh dia macam tu. Benda ni bukan perkara main-main.”
“Apa lagi yang aku kena siasat? Dia sendiri dah mengaku yang dia pernah terlanjur dengan relanya bersama Haikal. Aku tak ada hak nak bersuara ke?”
“Aku tahu kau marahkan pasal tu, tapi kau tak boleh tuduh dia gugurkan kandungan tu.”
“Kalau dia tak gugurkan, mana anak dia tu? Ada kau nampak? Macam mana kau boleh tahu pasal ni? Dia ada mengadu kat kau? Ke kau pun pernah ada skandal dengan dia?”
Nauzubillah Min Zalik, kau ni dah kenapa Wafi? Jangan pasal sebab marah kau, kau nak tuduh aku sampai macam tu sekali? Aku sebagai kawan kena tolong kau. Aku cuma nak membela nasib orang yang teraniaya. Sepatutnya kau bimbing dia, macam mana kalau dia makin hanyut? Dia isteri kau. Kau sepatutnya lindungi dia, bukan semakin menyalahkan dia. Orang yang patut kau salahkan dalam hal ini ialah Haikal. Haikal dah menabur macam-macam janji pada Riana yang dulu. Riana cuma salah membuat pilihan. Kau sendiri tahu siapa Haikal sejak hari pertama kau kenal dia. Haikal hanya menganggap perempuan adalah barang permainan.”
“Haikal tak paksa dia. Dia yang rela. Itu yang aku tak boleh terima.”
“Dia terlalu mentah Wafi. Orang yang kekurangan kasih sayang, memang mudah rapuh dengan perhatian. Selama ni, kau jatuh cinta dengan A.D sebab terpaksa ke? Ada dia paksa kau untuk jatuh cinta dan sayangkan dia? Dia dah banyak kali suruh kau elakkan diri daripada dia sebab tak nak kau kecewa tapi kau tetap memilih untuk terus sayangkan dia. Dalam hidup ni, ada benda yang tak sepatutnya kita tahu. Kadang-kadang lebih baik kita tak perlu tahu apa-apa daripada kita tahu perkara tu. Kau sendiri sebagai manusia pernah buat silap, jadi jangan tambahkan lagi sengsara dalam diri dia.”
“Kau cakap seolah-olah macam kau tahu apa yang dah jadi sebenarnya.”
“Kau bijak, kau ada otak. Kau fikirlah sendiri macam mana aku boleh tahu perkara yang sebenarnya. Benda ni sepatutnya kau lakukan lebih dulu daripada aku. Aku bukan nak memihak pada sesiapa. Aku tak cakap aku boleh terima kesilapan tu, tapi aku tak akan terus hukum dia. A.D ada sebab.”

Setelah selesai berbicara dengan Wafi, Rafiq segera beredar. Dia mahu rakannya itu membuka mata. Rafiq tidak mahu membiar penglihatan itu dikaburi dengan kemarahan dan ego.

6 comments:

  1. perg..apahal lak nadhira tu lebih sudu dari kuah ni..macam nak lempang laju laju dan cilikan aja mulutnya..kan..amboi..mengata org..nampak..dah tahu sepupu dia tu spesis buaya tembaga..nak cakap banyak kan.. lagipun AD tu taklah segediks si Nadhira ni kan..

    Kedatangan Rafiq dengan berdas das persoalan yg dilontarkan kepada wafi mengenai AD..akak harap akan membuka pintu hati wafi untuk menerima AD seadanya..dan mmg betui Rafiq adalah sahabat yg nyata telah membuka mata minda dan juga telah meluruhkan egonya seorg lelaki bernama wafi..

    Kalo wafi tak cari AD dan menagih kemaafan ..tak tahulah apa akak nak cakap kan..sedangkan apa yg dia nikmati sekarang adalah dari penat lelah keringat ayah AD dan merupakan legasi AD..tak pulak AD menghalaunya keluaq dari rumah besar itu pun maupun menhentikan wafi dari berkerja disitu..sedangkan syarikat yg diusahakannya adalah milik kekal legasi dan kepunyaan AD..lupakah dia bahawa dia telah menerima AD dengan ijab dan qabulnya sebagai suami wajib bagi dia membimbing isterinya..dan lupakah dia juga pada janjinya pada arwah ayah AD...

    Terujanya dik nak tahu kesinambungan citer ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak ida...sye rse kak ida lah pengikut no 1 yg setia bce & komen manuskrip sye ni..terima kasih banyak2 kak...
      komen & pndgn akak byk bg sye smgt utk terus menulis.. perasaan len mcm dtg..

      hihi...gedik sgt ye watak Nadhira tu?? sye cb mndalami watak pmpuan yg dengki dgn pesaingnya...
      Watak Rafiq ni sye cipta sememangnya utk mjd kwn sejati kpd Wafi...

      akak...same2 lah doakan spy manuskrip k2 sye ni jd novel...

      Kite same2 nantikan smbungannye ye...
      kite tgk ape tindakan Wafi selanjutnye... setakat ni feedback yg sye terime sume org mcm berpihak kpd A.D...
      dan kite tgk ape yg jd pd A.D... ^_^

      Delete
  2. Lumrah alam ... lelaki yg normal akn bertindak spt wafi ... mgmbl jln pintas dgn marah, benci dn dendam tnpa usul periksa ... sebaliknya ... lelaki tk normal akn cari tahu jln cerita yg sebenarnya ... anyway, kesian A.D! Hope can read a good news soon ... keep it up writer!

    ReplyDelete
    Replies
    1. terime kasih sbb bce SIC..;)
      tulah..nk wat heronye watak tak normal mcm xlogik plak..
      tp ade something yg watkan die dr normal kpd xnormal..
      so..nantikan apa yg jd ye..
      sekali lg...terime kasih byk2... ^_^

      Delete
  3. kenapa entri ini pendek. kalau boleh nak panjang lagi boleh tak?
    makin seronok saya baca SIC.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi..pendek ye?? bile dh wat editing pembahagian bab xperasan plak bab ni pendek...
      kite nantikan bab seterusnye ye..
      Terime kasih... sye pun seronok ade pmbce mcm awk ni.. ^_^

      Delete