Stylo Clique ^_^

Tuesday, July 3, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 18 ::.





BAB 18



Wafi menghirup udara malam. Matanya tidak mengantuk atau lebih tepat lagi hatinya risau memikirkan A.D. Pemergian Ridzuan juga memberi kesan terhadap dirinya. Meskipun singkat perkenalan antara mereka, Wafi sudah menganggap Ridzuan seperti ayahnya sendiri. Lelaki itu terlalu baik terhadap dirinya. Sekali pun tidak pernah Ridzuan meragui Wafi. Kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh arwah ayah mertuanya sama sekali tidak akan disia-siakan. Wafi tahu bagaimana perasaan A.D. A.D tidak mampu untuk menanggung dugaan ini sendiri.

Wafi melabuhkan punggung ke kerusi yang berada di halaman vila itu. Ridzuan punya citarasa tersendiri dalam menghias rumah. Taman mini yang dibina mampu menenangkan fikiran. Deruan air terjun yang terletak di hujung laman menjadi nada indah di telinga sesiapa sahaja. Langit yang hitam ditenung lama. Bintang tidak kelihatan. Hanya bulan yang berada di pandangan. Bulan penuh menghiasi alam. Dia juga cuba menenangkan hatinya. Perasaan sedih tidak mampu diselindungkan. Wafi menoleh apabila mendengar bunyi tapak kaki menuju ke tempatnya. Tempat yang Wafi duduk sedikit terlindung daripada pandangan. Susuk tubuh kecil itu perlahan-lahan semakin menghampirinya.

“Tak dapat tidur?” soal Wafi

A.D segera menoleh, sedikit terkejut. Niat untuk mencari ketenangan di ruangan kegemaran Ridzuan terbantut apabila melihat Wafi di situ. A.D mahu masuk ke dalam rumah.

“Kenapa nak masuk? Sebab saya ada?”

Langkah A.D terhenti.

“Duduklah. Kadang-kadang manusia ni suka mengelak tapi tak suka menghadapi. Saya tahu awak cuba nak tenangkan fikiran. Ini kan rumah awak,”

A.D meneruskan kembali niatnya. Dia duduk di sebelah Wafi.

“Awak nak tahu sesuatu tak?”
“Sejak bila kau bahasakan awak saya ni?”
“Saya ni manusia berhati perut. Kau aku tu terlalu kasar untuk situasi awak sekarang ni.”
“Suka hati kaulah.” ucap A.D sambil berpeluk tubuh. Angin malam terasa sejuk menggigit tubuhnya.
“Apa pendapat awak pasal malam?”
“Malam? Malam tu gelap, sama macam apa yang aku rasa sekarang. Dunia aku pun dah gelap sekarang. Sama macam malam.”

Pandangan Wafi masih lagi ke langit. Dia sedang menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

“Manusia, memang tak nampak apa yang tersirat. Selalu menikmati apa yang dilihat.”
“Sejak bila kau pandai berfalsafah ni?”
“Bagi saya, malam itu jujur. Malam itu juga sunyi. Bila kita terasa sunyi, kita akan mendengar suara yang lain iaitu suara hati kita sendiri. Malam itu indah, sebab waktu malam, kita akan tahu apa isi hati kita. Malam juga mampu membuatkan kita meluahkan apa yang cuba kita selindungkan selama ini.”

A.D membisu. Kata-kata Wafi indah di telinganya.

“Malam juga mampu membisukan bibir kita dan kuasa berkata-kata terletak pada hati.”

Wafi memandang wajah A.D yang berada di sebelahnya. A.D sedang memandang ke arahnya. Pandangan mata mereka bertemu.

“Betul tak apa yang saya cakap?”

A.D segera mengalihkan pandangannya. Dia cuba memandang ke tempat lain.

“Jadi, kalau awak nak luahkan apa yang awak rasa sekarang, awak boleh luahkannya sekarang. Sebab, sekarang ialah malam.”
“Aku tak ada apa nak luahkan.”
“Awak memang suka berselindung, betul tak? Macam saya cakap tadi kadang-kadang manusia ni suka mengelak tapi tak suka menghadapi.”

A.D tertunduk. Agak lama dia begitu. A.D cuba mengelak daripada kenyataan. Dia masih lagi tidak mampu menerima apa yang telah berlaku. Air matanya mengalir lagi.

“Saya tahu awak sedih.”
“Tak, kau tak akan faham apa yang aku rasa. Selama ni aku benci papa sebab aku ingat dia abaikan tanggungjawab dia. Lepas mama aku meninggal, dia makin jauh dengan aku. Kau faham tak? Dia makin jauh sebab tak nak aku tahu pasal sakit dia. Dia sakit barah hati. 5 tahun mama pergi, 5 tahun juga dia merana. Dia sanggup sembunyikan semua tu. Aku sepatutnya sebagai anak berada kat sisi dia, bukan membangkang. Kau tak akan faham apa yang aku rasa.”

Wafi membisu. Dia membiarkan A.D melepaskan segala-galanya.

“Aku dah hilang semuanya. Kenapa papa sanggup cerita kat orang lain bukan pada anak dia sendiri?”
“Sebab tu awak nak menghukum Pak Aziz?”
“Kan aku dah cakap, kau tak akan faham.”
“Saya cukup faham perasaan awak tu. Sekurang-kurangnya awak membesar dengan papa dan mama. Saya tak dapat rasa apa yang awak rasa. Ayah dan ibu saya kemalangan masa umur saya 9 tahun. Masa tu adik saya kecil lagi, umur dia 3 tahun. Ibu tinggalkan adik dengan nenek yang kebetulan ada kat rumah masa tu. Kami terlibat dengan kemalangan dalam perjalanan untuk hantar saya yang sedang demam panas ke hospital. Dengan kuasa Allah, saya terselamat dalam kemalangan tu. Ayah dengan ibu meninggal dalam perjalanan ke hospital. Banyak kali saya fikir, kalau saya tak kena demam panas malam tu, mungkin adik saya dibesarkan dengan adanya kasih sayang seorang ayah dan seorang ibu. Mungkin kalau saya tak kena demam panas, kemalangan tu tak akan berlaku. Waktu itu saya fikir, sayalah puncanya ayah dan ibu pergi untuk selama-lamanya. Awak nampak tak parut yang ada kat kening kiri saya ni?” soal Wafi sambil menyelak helaian rambut yang menutupi keningnya.

A.D hanya mengangguk perlahan.

“Ini ialah kesan daripada kemalangan tu. Setiap kali saya pandang cermin, saya akan nampak parut ni. Bila saya nampak parut ni, perasaan bersalah saya akan timbul. Parut ni umpama bayang-bayang yang akan menghantui hidup saya. Boleh awak bayangkan macam mana saya nak menghadapi kenyataan ini untuk seumur hidup saya?”

A.D melihat parut Wafi. A.D sudah lama perasan akan parut itu. Dia tidak menyangka parut itu ada ceritanya. Cerita yang sangat perit untuk ditelan. Parut yang ada bukan sekadar kesan yang  dapat dilihat, ia juga meninggalkan kesan ke hati Wafi. Selama ini Wafi kelihatan tabah dan tenang, di dalam hati pula adalah sebaliknya. Manik jernih terus mengalir di pipi A.D.

“Tapi, lama-lama saya faham. Apa yang telah saya lalui mengajar saya apa itu takdir. Apa itu ketentuan. Apa itu qada’ dan qadar. Allah yang menentukan segala-galanya. Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah akan memberikan ujian yang hebat untuk orang yang hebat. Awak patut bersyukur kerana awak adalah salah seorang yang hebat. Saya pernah lalui apa yang awak lalui sekarang ni. Jadi, saya cukup faham perasaan awak.”
“Aku bersalah dengan papa. Aku menghukum dia sedangkan dia sendiri dah cukup terseksa. Aku tak ada niat nak marah Pak Aziz. Kenapa papa nak rahsiakan semua ni? Cuma Pak Aziz tahu apa yang jadi, tapi kenapa…………”

Tangan Wafi menyentuh tangan A.D. Itu yang membuatkan A.D tidak meneruskan kata-katanya. Wafi bangun lalu menuju ke arah A.D yang begitu hampir dengannya. Wafi melutut sambil tangannya terus menyentuh jari-jemari A.D.

“Kalau awak kat tempat papa, awak akan buat benda yang sama tak?” soal Wafi.

Angin malam menghembus lalu menerpa ke muka A.D. Dia tergamam. A.D tidak dapat membalas pertanyaan Wafi. Dia cuba meletakkan dirinya di tempat Ridzuan. Dia pasti, dia akan melakukan perkara yang sama sepertimana Ridzuan lakukan.

“Saya pasti awak akan lakukan benda yang sama. Awak tak nak orang yang awak sayang sedih. Papa terlalu sayangkan awak. Sebab tu dia sanggup terima sahaja tindakan daripada awak dan dalam masa yang sama dia nak yang terbaik untuk anak dia.”

A.D hanya memandang wajah Wafi. Wajah Wafi tenang. Wafi cuba membuka mata hati A.D.

“Sekarang, awak cuba bayangkan kalau awak kat tempat Pak Aziz pula. Apa yang awak rasa? Pak Aziz tersepit antara dua. Antara amanah yang diberikan dan juga kasih sayang terhadap anak majikan yang dah dianggap macam anak dia sendiri. Awak dapat rasa tak macam mana Pak Aziz cuba sembunyikan kesedihan bila dia berhadapan dengan awak? Macam mana Pak Aziz cuba berlagak tenang bila dia manatap mata awak? Pernah awak fikir semua tu? Saya pasti jauh di dalam hati Pak Aziz, dia nak beritahu awak tapi dia tak boleh”

Lidah A.D bagaikan kelu ketika itu. Apa yang dikatakan oleh Wafi menyedarkan dirinya. Dia menuduh Pak Aziz tanpa memikirkan apa perasan orang tua itu. Selama ini Pak Aziz berada di sisinya. Pak Aziz sentiasa membantu dirinya. Masakan dia sanggup menuduh Pak Aziz sebagai pengkhianat. Apa yang telah terjadi adalah di luar kawalannya. Dia langsung tidak berniat, tetapi sifat marah terhadap diri sendiri yang mendorong dia melakukan perkara itu.

“Jadi, patut tak apa yang awak buat pada Pak Aziz tadi?”

A.D segera menggeleng sambil mengelap air mata dengan tapak tangannya. Wafi tersenyum.

“Sa…..sa….saya tak sengaja.”

A.D tidak sedar yang dia sendiri sudah menukar panggilan dirinya. Senyuman Wafi semakin terukir. A.D ketika itu seperti anak kecil. Sifat kasar yang ada sudah hilang.

“Saya tak salahkan Pak Aziz. Saya cuma salahkan diri saya.”

Apabila mengenangkan akan Ridzuan, pasti air matanya tidak mahu berhenti. Wafi segera menarik A.D ke dalam dakapannya. A.D memerlukan bahu untuk dia bersandar. Wafi sedang berusaha menenangkan A.D. A.D menangis semahu-mahunya.

“Apa yang berlaku bukannya salah awak. Semuanya sudah tertulis. Ajal seseorang itu bukan atas sebab sesuatu tetapi ia adalah takdir.”

Wafi membelai lembut rambut A.D. Sentuhannya penuh kasih sayang. Saat itu, dia sudah berjanji kepada dirinya yang dia mahu membahagiakan A.D. Dia tidak mahu air mata A.D terus mengalir.

“Esok, awak tahu kan apa yang awak nak cakap dengan Pak Aziz?” tanya Wafi.

A.D menangis teresak-esak sehingga nafasnya seperti tersekat dan bahunya terhincut-hincut. Wafi segera memandang wajah A.D. Mata A.D sudah membengkak.

“Hei….jangan nangis macam ni. Tak baik. Roh papa akan nampak awak menangis. Dia tak nak tengok awak macam ni. A.D yang ada kat depan mata saya ni tabah orangnya. A.D yang saya kenal akan minta maaf kalau dia buat salah. A.D yang saya kenal akan tahu kesilapan yang dia telah lakukan. A.D yang saya kenal nampak ego, tetapi lemah lembut. Kalau awak nak tahu, awak ni seorang puteri. Seorang puteri yang kurang kasih sayang. Tapi hati awak tak pernah berdendam.” sambung Wafi lagi.

Tangan Wafi menyapu lembut pipi A.D yang basah. Pipi A.D terasa mulus dan halus. A.D memerhatikan setiap inci wajah Wafi. Dia cuba mencari kebenaran di sebalik kata-kata Wafi. Benarkah dia sehebat itu? Benarkah Wafi benar-benar memahami sifatnya?

Tiba-tiba bunyi guruh bergema. Angin malam semakin sejuk menembusi kulit. Bunyi itu membuatkan lamunan A.D tersentak. Dia tersedar yang tubuhnya rapat dengan Wafi. A.D segera menepis tangan Wafi yang berada di pipinya.

“Bunyi guruh, macam nak hujan. Aku masuk dulu.” ucap A.D. Dia segera bangun dan kakinya terus sahaja melangkah menuju ke dalam rumah.

Sekelip mata sahaja, A.D berubah. Wafi tahu, A.D seboleh mungkin mahu menunjukkan yang dia tidak lemah. A.D cuba menyembunyikan kelemahan itu dengan kekasaran dan cuba menyembunyikan kelembutan dengan kedegilan.

---------------------------

“Selamat pagi Pak Aziz, Mak Som,” ucap Wafi apabila dia sampai di dapur.
Mak Som sedang membancuh teh O panas tersenyum memandang wajah menantu arwah majikannya itu. Pak Aziz yang baru sahaja selesai membersihkan kawasan rumah segera mencuci tangannya yang kotor.

“Eh, kenapa Wafi masuk dapur ni? Dapur ni tak sesuai untuk Wafi. Kejap lagi kita boleh sarapan sama-sama.” ucap Mak Som
“Apanya yang tak sesuai pula Mak Som? Saya bau mi goreng Mak Som ni, tu yang tak tahan. Lagipun, dapurlah tempat yang saya suka. Tempat boleh mengisi perut.”
“Tempat mengisi perut kat meja makan. Wafi pergi duduk dulu. Nanti Mak Som hidangkan.” pinta Pak Aziz sambil mengelap tangannya yang basah.

Wafi tidak berganjak daripada tempatnya. Dia memerhatikan tingkah laku Pak Aziz.

“Pak Aziz,” panggil Wafi.
“Kenapa Wafi?”
“Saya minta maaf pasal semalam. Saya tak sangka A.D………….”
“Tak ada apa yang Pak Aziz nak maafkan. Bukan salah A.D. Pak Aziz tahu macam mana perasaan bersalah dan sedih yang ada dalam hati A.D. Pak Aziz pernah rasa. Lagipun, kalau Pak Aziz ada kat tempat A.D, Pak Aziz akan bertindak dan lakukan benda yang sama macam A.D buat.”

Pantas Pak Aziz memintas kata-kata Wafi, sedikit pun dia tidak mengambil hati kata-kata A.D malam tadi. Dia pasti, lebih dalam lagi perasaan sedih dan kecewa A.D berbanding dengan apa yang dia hadapi semalam. Wafi hanya tersenyum mendengar jawapan Pak Aziz. Perasaan bersalah terhadap lelaki tua itu ada kerana A.D sudah berada di bawah tanggungjawabnya. Dia harus mendidik dan menegur A.D jika A.D melakukan silap.

“Wafi dah fikir nak hidangkan menu apa untuk majlis Yaasin malam ni?” tanya Pak Aziz, sengaja mengubah tajuk perbualan. Dia tidak mahu menambahkan lagi suasana sedih di dalam vila itu. Bacaan Yaasin dan tahlil untuk arwah Ridzuan akan dilakukan selama 3 hari dan juga pada hari ketujuh pemergiannya.

“Wafi tak fikir lagi. Pak Aziz ada cadangan ke?”
“Pak Aziz tak ada, cuba tanya Mak Som kamu tu. Dia lagi pakar rasanya.”

Keempat-empat anak mata itu memandang Mak Som.

“Wafi tanya Mak Som ke?”

Wafi mengangguk.

“Kalau Mak Som, rasanya kita buat nasi ambang la.”
“Ha, boleh juga tu. elok sangatlah.” balas Wafi.

Mak Som tersenyum. Dia mahu menuju ke meja makan untuk menghidangkan sarapan. Terkejut Mak Som tatkala melihat A.D tercegat berdiri di situ.

“A.D dah bangun? Nak sarapan ke? Mak Som dah siapkan, baru nak hidangkan ni.”

Wafi terdengar suara Mak Som menyebut nama A.D. Wafi menoleh.

“Mak Som……Pak Aziz ada?”
“Ada, kat dapur.”

A.D segera menuju ke dapur. Dia melewati Wafi. Pandangan mereka bertaut. Wafi mengangguk perlahan sambil bibirnya tersenyum, seperti memberi galakan kepada A.D. Wafi dapat mengagak tujuan A.D mencari Pak Aziz.

“Pak Aziz,”

Pak Aziz meletakkan mangkuk hidangan di atas meja di dapur. Dia baru sahaja memindahkan mi goreng yang berada di dalam kuali ke dalam mangkuk tersebut.

“Kenapa A.D? Ada apa-apa yang A.D nak Pak Aziz buat ke?”

A.D memandang wajah Pak Aziz yang sudah dianggap seperti keluarganya sendiri sejak dari dulu lagi. A.D mengetap bibirnya. Dia sedang mengumpulkan kekuatan untuk berbicara. Pak Aziz telah menjadi tempat dia mengadu dan mendengar segala masalah yang menimpa hidupnya. Dia sendiri tidak menyangka peristiwa malam tadi boleh berlaku. Dia tidak pernah ada niat meninggikan suara terhadap Pak Aziz selama ini.

“A.D, A.D tak ada apa-apa ke? A.D tak sihat?” soal Pak Aziz apabila melihat A.D tidak memberikan sebarang rekasi.
“Pak Aziz, A.D nak minta maaf pasal semalam. A.D tahu, A.D yang salah. A.D tak patut tuduh Pak Aziz macam tu. Pak Aziz kena pegang amanah papa.”

Pak Aziz tersenyum lalu menghampiri A.D.

“A.D, Pak Aziz tak salahkan A.D. Pak Aziz tahu yang A.D sayangkan papa sangat-sangat. Betul tak? Kalau Pak Aziz jadi A.D, Pak Aziz akan rasa sama apa yang A.D rasa.”
“A.D minta maaf. A.D tak ada siapa-siapa lagi.”
“Ish…kenapa cakap macam tu? Siapa cakap A.D tak ada siapa-siapa lagi? A.D masih ada lagi Pak Aziz dengan Mak Som. Selagi hayat di kandung badan Pak Aziz, Pak Aziz tetap sayangkan A.D macam anak Pak Aziz sendiri. Yang paling penting sekarang ni, A.D ada Wafi. Suami A.D. Jangan lupa tu.”

A.D sudah pun menangis apabila mendengar kata-kata Pak Aziz. Perasaan terharu dirasakan ketika itu.

“Sudah, A.D mana boleh menangis. Tak cool la, kan? A.D kan bukan budak gembeng.” ucap Pak Aziz sambil mengelap air mata gadis yang sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri. 

Pak Aziz dan Mak Som yang berketurunan jawa sering menyakat A.D menggunakan perkataan tersebut. Gembeng yang membawa maksud sering menangis.
A.D ketawa. Dia mengucap syukur kerana Pak Aziz mahu menerimanya seperti dahulu.
Mak Som memerhatikan dari jauh. Kasihan dan simpati melihat nasib A.D yang dahagakan kasih sayang. Matanya beralih kepada Wafi. Dia menyimpan harapan yang tinggi agar anak muda itu mampu memberi kebahagiaan kepada anak majikannya. 

4 comments:

  1. hari ni je kat opis settle baca dari bab 1 smpi 18. xsabar tunggu bab seterusnya. cuma saya tertanya2 superbike apa yg A.D pakai? yg saya tahu hijau je. boleh awak bgtau motor ape? sbb sambil baca smbil bayangkan karakter dan keadaan ketika tu, tp bila bab nak bayang superbike xleh nk bayang..sayang skit. sy baca pun sbb tajuknya superbike.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih banyak2 sbb bce SIC..;)
      sebenarnye kat bab seterusnya ade diberitahu.. hihi..
      saje bg suspens.. tp..rse takut nk post lg bab seterusnye..
      sbb skrg tgh panas isu ade org yg nk jd penulis, cedok idea org len

      Delete
  2. ha la...hmm kuakan novel lah. gurantee sy bli ;D

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi..InsyaAllah..terima kasih..
      Fajar Pakeer aka publisher saye tu tgh wat penilaian..
      so..myb kene tunggu lme ckit.. ;)

      Delete