Stylo Clique ^_^

Tuesday, December 30, 2014

You Are My Mr.Right - Bab 14



BAB 14      

Kereta Honda Hybrid Insight berwarna biru itu berhenti pada tempat letak kenderaan. Kawasan perumahan pangsapuri setinggi empat tingkat tersebut menjadi destinasi pertama Qhayrul pada hari ini. Minggu lepas dia sudah berjanji mahu bertemu dengan kedua-dua orang tua Yusra Dahliyaa. Qhayrul mengetuk-ngetuk stereng sambil kepalanya sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Pandangan lelaki itu hinggap sebentar ke arah jam keretanya. Angka pada skrin digital tersebut menunjukkan pukul 10.03 pagi. Ternyata dua kelibat dan bayang itu masih tidak kelihatan.
Setelah beberapa detik dia dalam keadaan begitu, Qhayrul bersandar. Cermin pandang belakang dilihat. Hujung rambut yang sudah terpacak berdiri disentuh perlahan. Rasa tidak puas hati melihat penampilan melalui cermin yang kecil itu, Qhayrul mengambil keputusan untuk keluar. Qhayrul berdiri bertentangan dengan pintu kereta setelah pintu itu ditutup.
Imej separuh badan terpampang pada cermin. Baju kemeja putih yang dikenakan terletak kemas pada tubuh Qhayrul, seolah-olah kemeja tersebut dihasilkan memang khusus muat untuk badannya. Sebagai pelengkap gaya, lelaki itu menyarung pula kardigan lelaki berwarna hitam, sedondon dengan warna seluarnya lalu hanya menampakkan pergelangan tangan dan kolar kemeja serta sedikit butang yang tersemat di bahagian dada.
“Qhayrul, baru sekarang kau betul-betul jadi Qhayrul Wira Azreen,” ucap Qhayrul sendiri. Kemudian dia memakai cermin mata hitam yang tergantung pada kemeja.
Biarpun pagi tu tidaklah terik mana cuacanya, tapi sengaja Qhayrul mengenakan kaca mata tu. Terasa diri bertambah kacak kononnya apabila mengenakan objek tersebut. Barulah gaya maskulin dan anak orang kaya. Setelah yakin dengan penampilannya, Qhayrul bersandar pada pintu sambil kedua-dua tangan diseluk ke poket seluar.
“Assalamualaikum,” ucap Yusra Dahliyaa dari arah kanan Qhayrul.
Reaksi Qhayrul tersentak sedikit. Qhayrul menoleh, namun perbuatannya terdiam tatkala bertentang mata dengan wanita itu. Lama-kelamaan barulah bibirnya bergerak sambil tersenyum.
“Waalaikumussalam,” balas Qhayrul dengan nada perlahan.
“Kenapa Encik Wira senyum macam tu?”
“Apasal tanya? Kena ada sebab ke baru boleh senyum? Kena minta izin dulu? Kalau macam tu, bila nak makan kena tanya Cik Yusra dulu ke?” soal Qhayrul dengan alunan yang tiba-tiba sahaja kononnya serius. Keningnya yang sedikit tebal tu dijongketkan.
Tadi senyum-senyum. Baru tanya aje, dah marah ke? Baru nak puji sikit nampak bergaya pakai macam ni. Kensel. Tak jadi nak puji. Jiwa dalaman Yusra Dahliyaa bersuara. “Tak adalah, tapi senyum Encik Wira tu penuh dengan makna.”
“Pertama kali Cik Yusra bagi salam pada saya. Saya tak nampak mata Cik Yusra tu pandang saya sebagai peragut.”
“Bila bandingkan dengan orang yang nak meragut saya dulu dengan orang yang berada kat depan mata saya sekarang ni, jauh bezanya. Lebih jauh beza jaraknya antara langit dengan bumi.”
“Kalau tak diajar macam mana gaya nak jadi orang kaya, sampai bila-bila pun saya tetap jadi seorang pencuri dan peragut,” balas Qhayrul lagi. Matanya dari tadi tidak mahu beralih daripada terus menatap Yusra Dahliyaa. Wanita itu mengenakan baju kurung tradisional biru turquoise. Selendangnya pula berwarna krim sedondon dengan corak yang berada pada kain.
Pada waktu itu juga, Rafi Huzaifa berada di sisi ibunya. Walaupun tidak pasti apa yang dituturkan oleh dua orang dewasa itu, kanak-kanak tersebut hanya memerhati. Tatkala perbualan mereka seakan-akan terdiam untuk seketika, Rafi Huzaifa melepaskan genggaman Yusra Dahliyaa lalu berjalan menghampiri Qhayrul dan menyentuh tangan lelaki itu.
Qhayrul langsung menundukkan pandangan sebaik sahaja deria pada kulitnya bertemu dengan jari-jemari Rafi Huzaifa. Seolah-olah mengerti dengan bahasa tubuh Rafi Huzaifa, Qhayrul mengeluarkan tangan kanannya dari kocek seluar. Kemudian dihulurkan ke arah Rafi Huzaifa. Rafi Huzaifa menyambut. Anak kecil itu mengucup lembut tangan Qhayrul.
“Pak cik,” panggil Rafi Huzaifa dengan tiba-tiba.
Dah kenapa pula budak ni panggil aku? Takkanlah nak minta dukung pula? Aku belum jadi bapa tiri kaulah, rungut Qhayrul di dalam hati. Lelaki itu bukanlah jenis yang gemar bergaul dengan budak-budak. Bagi dia, budak-budak itu terlalu banyak kerenahnya, malah terlebih ragam jika dilayan. “Hmm... nak apa?”
“Rafi nak cakap terima kasih kat pak cik.”
“Terima kasih? Sebab?” soal Qhayrul, kehairanan.
“Sebab pak cik, Rafi boleh jumpa atuk dengan nenek.”
Qhayrul membulatkan mata. Sama sekali tidak menyangka ayat itu yang akan didengarnya. Qhayrul memandang Yusra Dahliyaa yang juga berkongsi perasaan terkejut dengannya.
“Rafi,” panggil Yusra Dahliyaa, tidak mahu anaknya itu terus meluah rasa. Tidak meramal sama sekali yang anaknya itu berbicara sebegitu dengan orang yang baru sahaja dikenali.
“Rafi tak pernah jumpa atuk dengan nenek ke sebelum ni?”
Kepala Rafi Huzaifa menggeleng, kemudian dia bersuara.
“Tak pernah langsung. Ibu cakap atuk dengan nenek Rafi banyak kerja. Dia orang sibuk. Tak sempat nak jumpa Rafi lagi sampai sekarang. Tapi hari ni, Rafi dapat jumpa atuk dengan nenek sebab pak cik. Terima kasih, pak cik. Nanti kat sekolah, Rafi boleh cerita kat kawan-kawan yang Rafi dah jumpa atuk dengan nenek Rafi.” Petah kanak-kanak lelaki itu berkata. Memang jelas wajah Rafi Huzaifa ceria dan teruja.
Atuk dengan nenek banyak kerja? Sibuk? Tak sempat nak jumpa sampai sekarang? Biar betul budak ni? Berdas-das soalan bermain di mindanya.
Yusra Dahliyaa dapat membaca riak muka Qhayrul. Memang tidak logik langsung alasan itu diberikan jika berfikiran orang dewasa. Apa lagi yang Yusra Dahliyaa mampu katakan melainkan itu jika Rafi Huzaifa bertanya.
Semasa Yusra Dahliyaa menyiapkan kelengkapan dan pakaian Rafi Huzaifa pagi tadi tidak berhenti-henti mulut Rafi Huzaifa bertanya bagaimana rupa datuk dan neneknya. Bukannya Yusra Dahliyaa tidak pernah bercerita, tetapi tahu sahajalah kalau namanya kanak-kanak. Perasaan ingin tahu sedang bercambah dalam diri. Selagi tidak dapat apa yang dikehendaki, selagi itu dia akan meminta.
“Lepas tu kan, pak cik, tadi ibu ada cakap. Kalau atuk dengan nenek suka kat pak cik, pak cik boleh kahwin dengan ibu. Kalau dah kahwin nanti, pak cik jadi ayah Rafi, kan? Bila pak cik jadi ayah Rafi, bolehlah Rafi jumpa atuk dengan nenek selalu, sama macam kawan Rafi tu.” Rafi Huzaifa sudah memasang angan-angan.
Perkara itu adalah perkara yang paling ingin dialami oleh Rafi Huzaifa. Sudah banyak kali telinga Rafi Huzaifa mendengar rakan-rakannya bercerita akan hal ayah, datuk dan nenek mereka. Namun, bila sampai giliran Rafi Huzaifa semuanya tidak mampu diluahkan.
“Rafi Huzaifa bin Syafiq Ra’if, ibu pesan apa tadi? Jangan cakap yang bukan-bukan, kan?” tegas Yusra Dahliyaa.
Senyuman yang terukir lantas hilang ketika mendengar suara ibunya itu. Perlahan kakinya melangkah menuju ke Yusra Dahliyaa semula.
Qhayrul memandang sahaja wajah ibu tunggal itu. Pandangan Yusra Dahliyaa juga bertemu dengannya. Ukiran wajah Yusra Dahliyaa mahu mengelak. Lantas Yusra Dahliyaa berdeham kecil untuk mengelakkan suasana menjadi kekok.
“Encik Wira nampaknya dah belajar jadi orang kaya. Minggu lepas motosikal hitam oren, hari ni Honda Insight warna biru pula?”
Sebaik sahaja Yusra Dahliyaa mengubah topik perbualan, Qhayrul memandang kereta tersebut.
“Yang minggu lepas tu kalau cuaca cerah, tak pun kalau kita nak keluar berdua. Yang hari ni untuk hari hujan atau kalau kita keluar bertiga.”
“Yang minggu lepas tu kalau kita nak keluar berdua? Naik motor dengan mat rempit macam Encik Wira? Memang tak akan berlaku,” bidas Yusra Dahliyaa.
“Sekarang memanglah tak berlaku, akan datang kita tak tahu. Sama macam Cik Yusra cakap tak nak kahwin dengan saya dulu.”
Yusra Dahliyaa mengetap bibir apabila mendengar kata-kata Qhayrul yang berbau sedikit sindiran itu.
“Lagipun, saya beli kereta ni untuk Cik Yusra dengan Rafi juga.”
“Saya tak minta pun.”
“Sebab saya tahu Cik Yusra tak mintalah saya belikan. Saya tahu Cik Yusra tak akan minta. Jadi, saya nak kasi.”
“Encik Wira, saya tetap tak nak terima. Saya bukannya orang yang suka meminta-minta. Memang betul awak ni anak Tuan Idrus Wira. Dia dengan awak sama aje, suka memberi dengan paksa walaupun orang tak terima. Saya rasa lebih baik kita bertolak sekarang.” Usai sahaja dia berkata begitu, tangan Yusra Dahliyaa membuka pintu bahagian belakang dan bahasa tubuhnya menyuruh Rafi Huzaifa duduk di tempat tersebut.
Rafi Huzaifa hanya menuruti. Setelah itu Yusra Dahliyaa menutup pintu tersebut dan mahu melangkah ke tempat duduk hadapan. Baru sahaja tangan wanita itu mahu menyentuh pembuka pintu, Qhayrul bersuara.
“Cik Yusra?” panggil Qhayrul.
Perbuatan Yusra Dahliyaa terhenti lalu dia memandang lelaki itu.
“Betul ke Rafi belum pernah jumpa atuk dengan nenek dia? Kalau betul, apa sebabnya?”
Wajah Yusra Dahliyaa tenang. Dia memang sudah pasang niat untuk memberitahu lelaki itu akan kisah silamnya. Yusra Dahliyaa dapat menjangka soalan itu bakal terbit dari bibir Qhayrul tatkala mendengar luahan Rafi Huzaifa tadi.
“Asalkan namanya orang dan pernah menghirup nafas di bumi ini, pasti ada rahsia. Orang gila pun ada rahsia,” jawab Yusra Dahliyaa. Sengaja dia mengulangi kata-kata Hamka semasa pembacaan wasiat tempoh hari.
Senyuman kecil terukir apabila Qhayrul mendengar pepatah itu sekali lagi. Memang benar, semua orang ada rahsia. Dia sendiri punya rahsia.
“Kita gerak dulu. Dalam perjalanan, saya akan ceritakan apa yang membuatkan saya jadi siapa saya pada hari ni. Setidak-tidaknya bila Encik Wira berhadapan dengan keluarga saya, Encik Wira tak akan terkejut sebab ada drama Melayu masa sampai kat rumah saya nanti,” sambung Yusra Dahliyaa lagi lalu meneruskan perbuatannya yang terhenti tadi.
Drama Melayu? Bakal bapa mertua aku ni pengarah drama ke?

---------------------------

Deraian tangisan Yusra Dahliyaa semakin laju. Tangan kanan Yusra Dahliyaa menyentuh pipinya yang terasa panas dan pedih dengan tiba-tiba. Layangan tapak tangan lelaki tua itu hinggap di anggota tersebut. Hari itu dia tidak pasti sudah berapa banyak air matanya gugur. Siang tadi Syafiq Ra’if datang ke rumah. Tatkala mendengar sahaja hubungan pemuda itu dengan anak perempuannya, Fadhil naik berang.
“Berani Yusra cakap ayah tak bertimbang rasa dengan kamu? Yusra nak melawan cakap ayah ke? Ayah tetap dengan keputusan ayah. Ayah tak nak Yusra berkawan dengan budak lelaki tu.”
“Yusra pun tetap dengan keputusan Yusra. Apa pun terjadi Yusra tak nak bertunang dengan Firdaus.”
“Yusra!” jerit Fadhil sambil matanya terbeliak.
“Abang, sudah-sudahlah tu. Apa salahnya...”
“Midah, awak jangan nak masuk campur urusan budak tak kenang budi ni. Saya nak mengajar dia. Biar dia ingat siapa yang berhak tentukan masa depan dia,” pintas Fadhil, memotong ayat yang mahu dituturkan oleh isterinya itu.
Perempuan tua itu terkelu. Hamidah tahu, memang begitu sifat suaminya. Apabila sudah berkata hitam, hitamlah yang dia mahu. Tidak mungkin akan bertukar menjadi putih.
“Ayah, tolonglah faham keadaan Yusra. Yusra memang tak nak bertunang dengan Firdaus. Yusra tak cintakan dia.”
“Cinta konon. Cinta tahi kucing! Masa dulu kamu bagi alasan yang kamu tak nak tunang dulu dengan anak Cikgu Taufiq tu sebab kamu nak sambung belajar. Baik, ayah ikutkan kehendak Yusra. Ayah bagi Yusra peluang untuk sambung pelajaran Yusra. Yusra nak sambung kursus yang kamu minat, ayah lembutkan hati walaupun ayah nak sangat Yusra jadi cikgu macam ayah. Bila tengah belajar sekarang, menggatal pula nak cari laki. Kamu tahu kan, Yusra, pasal ayah nak jodohkan kamu dengan Firdaus tu dari dulu lagi? Sekarang, mana bahagian yang ayah tak bertimbang rasa dengan Yusra? Cakap!”
 “Yusra tak akan buat keputusan macam ni kalau ayah tak paksa Yusra. Ayah pernah cakap, lepas aje Yusra habis belajar abah nak langsungkan juga perkahwinan Yusra dengan Firdaus. Yusra tak nak, ayah. Sebab tu Yusra bawa Ra’if jumpa dengan ayah. Manalah tahu ayah akan ubah fikiran. Yusra masih fikirkan lagi pasal ayah. Sekurang-kurangnya Yusra hormat ayah sebagai orang tua. Sebab tu Ra’if datang rumah kita siang tadi. Dia sendiri nak ayah tahu yang hubungan kami serius.”
“Hormatkan ayah? Yusra, kamu belajar tinggi-tinggi tahu ke tak makna hormat tu apa?”
“Ayah, Ra’if tu baik orangnya. Dia bukan budak samseng, budak tak senonoh. Ra’if tu kawan kuliah Yusra. Kalau ayah kenal dia, mungkin ayah boleh ubah fikiran.”
“Ooo... sekarang Yusra pula nak mengajar ayah? Kamu pula nak suruh ayah buat tu, buat ni ikut suka kamu? Habis tu, budak Firdaus tu budak samseng? Budak tak senonoh ke sampai Yusra tak suka kat dia? Firdaus tu cikgu. Ayah dah lama kawan dengan Cikgu Taufiq. Dari ayah kat maktab sampailah kami sama-sama jadi pengetua sekolah. Ayah lebih kenal keluarga Cikgu Taufiq tu. Kamu ingat ayah ni pilih orang sembarangan ke untuk jadi suami Yusra? Ayah nak kehidupan Yusra Dahliyaa terjamin. Itu pun kamu tak faham?”
“Yusra cuma nak ayah faham keadaan Yusra. Perkahwinan ni tak akan menjadi. Yusra tak cintakan Firdaus. Dari kecil Yusra kenal dia, tapi sampai ke besar Yusra langsung tak ada perasaan tu. Yusra dah anggap Firdaus macam abang Yusra. Lebih baik Yusra bangkang sekarang kehendak ayah daripada Yusra minta cerai dengan Firdaus bila kita orang dah kahwin nanti. Ayah nak macam tu ke?”
“Biadab!” Tangan Fadhil sudah naik ke atas, mahu diayunkan ke pipi itu sekali lagi. Akan tetapi, Hamidah yang berada di sisi Yusra Dahliyaa segera menghalang.
“Abang, jangan nak pukul lagi anak kita. Abang dah tak sayang dia lagi ke? Dulu abang nak jentik dia pun abang fikir dua tiga kali. Sebab Yusra tak nak kahwin dengan Firdaus, abang nak tampar dia lagi? Dia satu-satunya anak kita, abang.” rayu Hamidah. Dia juga menangis. Tidak sangka janji yang suaminya lakukan terhadap Taufiq membawa pertelingkahan yang besar antara dua beranak itu.
“Sebabkan dia satu-satunya anak sayalah saya buat dia macam ni. Menyesal saya manjakan budak ni dulu. Sekarang, dia berani pijak kepala saya. Kamu tahu tak, Yusra, kamu adalah satu-satunya harapan ayah? Siapa lagi yang boleh buat ayah ni bangga kalau tak kamu? Ayah tatang Yusra dari kecil. Bila dah tahu dunia luar Yusra nak menconteng arang kat muka ayah? Berani kamu cakap macam tu dengan ayah? Kamu jadi biadab macam ni sebab budak nama Syafiq Ra’if tu?”
Yusra Dahliyaa tidak menjawab. Takut dengan wajah Fadhil yang kian menjadi merah. Ayahnya seperti sudah hilang pertimbangan. Mujur ada ibunya. Kalau tidak rasa sakit pada pipi semakin bertimpa. Namun, semua itu tidak akan menghalang Yusra Dahliyaa untuk mempertahankan kemahuannya.
“Dari kecil ayah ajar kamu supaya jangan kurang ajar dengan orang. Ayah ingat ayah cukup ajar kamu, tapi sebabkan budak yang kamu baru kenal tu, Yusra sanggup melawan cakap ayah? Yusra memang dah melampau. Sampai ayah rasa kamu ni bukan anak ayah lagi. Anak ayah yang ayah besarkan dari besar tapak tangan sampailah sekarang bukanlah macam ni perangainya.”
“Ayah, Yusra tetap anak ayah. Ayah janganlah cakap macam tu. Yusra nak pertahankan kebahagiaan Yusra sendiri.”
“Kalau betul kamu anak ayah, kamu kena kahwin juga dengan Firdaus. Tunang dulu dengan dia dalam waktu terdekat ni. Bila Yusra habis belajar, baru kahwin dengan dia. Ayah dah berjanji dengan Cikgu Taufiq. Orang Melayu, bila dah berjanji kena tepati. Ayah tak akan sesekali mungkiri apa yang ayah dah janjikan. Ayah tak nak tanggung malu. Ayah tak nak ada rasa bersalah bila terpaksa berhadapan dengan Cikgu Taufiq nanti.” Keputusan Fadhil masih hitam. Ternyata Fadhil masih lagi tidak mahu berganjak walau apa pun yang terjadi.
“Janji kena tepati? Baik, Yusra pun dah berjanji dengan Ra’if yang Yusra akan hidup dengan dia sampai bila-bila. Yusra tak boleh nak mungkiri janji Yusra pada Ra’if,” ucap Yusra Dahliyaa.
Fadhil merenung tajam ke arah anak tunggalnya itu. Api kemarahan di dada semakin meluap-luap. Sakit hati tidak terkira dengan kenyataan Yusra Dahliyaa itu. Yusra Dahliyaa seperti mengejek apa yang dia tuturkan sebentar tadi. Egonya sebagai seorang ayah semakin tercalar.
“Yusra, jangan jadi kurang ajar! Kamu ingat ayah ni budak-budak ke?! Yusra sindir apa yang ayah cakap tadi? Kamu janji nak hidup dengan budak tu sampai bila-bila?”
“Ayah sendiri yang cakap tadi. Yusra cuma...”
“Baik, ayah akan ikut kehendak kamu. Kamu nak sangat kan kahwin dengan budak hingusan tu? Ayah akan kahwinkan kamu dengan budak tu.”
Yusra Dahliyaa terkejut dengan kata-kata Fadhil itu. Dia berpandangan dengan ibunya. Hamidah sendiri tidak percaya yang suaminya akan berbicara sedemikian.
“Ayah...”
“Bercinta memang semuanya indah. Yang susah nampak ringan, yang senang nampak aje tenang. Kamu belum tahu apa maknanya sebuah perkahwinan tu kalau setakat bercinta aje. Ayah nak tengok, sejauh mana janji manis yang dah kamu berdua taburkan tu boleh bawa ke mana.”
“Ayah, percayalah. Ra’if bukan macam budak lain.”
“Minggu depan, bawa budak tu ke sini. Ayah akan kahwinkan kamu berdua minggu depan.”
“Ayah... Yusra tak minta kami berkahwin sekarang. Kita orang nak ayah tahu pasal hubungan kita orang aje. Ra’if memang serius dengan Yusra. Kami berdua masih belajar lagi, ayah.”
“Kalau betul budak tu serius dengan kamu, dia akan datang. Kalau betul dia tak akan sia-siakan Yusra, dia akan ikut apa yang ayah cakap.”
“Ayah!”
“Tapi ingat, Yusra. Tugas ayah sebagai ayah kamu dah habis bila Yusra dah nikah dengan dia. Lepas ni, ayah dah tak ada tanggungjawab lagi ke atas kamu. Ayah dah tak perlu fikir pasal Yusra. Ayah dah tak nak kamu hidup kat dalam rumah ni. Ayah tak akan ambil tahu lagi macam mana kehidupan kamu. Anak ayah bukan macam kamu. Anak ayah tak akan sesekali memalukan ayah. Kamu pergi hidup kat luar sana dengan budak tu. Ayah tak akan tolong satu sen pun. Sampai bila-bila ayah tak akan terima si Syafiq Ra’if tu sebagai menantu ayah,” ucap Fadhil lalu beredar dari ruangan tersebut.
“Ayah, Yusra tak ada niat nak jadi anak derhaka. Yusra tak nak minta apa-apa pun dengan ayah. Yusra nak ayah faham perasaan Yusra. Ayah... Yusra minta ampun,” ucap Yusra dan dalam masa yang sama cuba menghampiri Fadhil.
Fadhil segera menepis sentuhan anaknya. Dia menaiki tangga menuju ke kamar. Fadhil langsung tidak menyinggahkan pandangannya ke bawah.

You Are My Mr.Right - Bab 13



BAB 13           

Mizza Ilyana baru sahaja selesai membayar minuman yang dipesannya di kafe yang sama dengan Isyraf dan Datuk Rahman berbincang tadi. Mizza Ilyana menghidu kepulan asap nipis yang keluar dari cawan kertas. Haruman minuman itu benar-benar menggamit seleranya.
“Hmm... sedapnya bau caramel macchiato ni,” kata Mizza Ilyana sendiri, dalam masa yang sama mengukir senyuman dan menuju ke pintu keluar.
Jika ayahnya gemarkan minuman kopi jenis caffe latte, Mizza Ilyana pula gemar rasa caramel macchiato. Bagi gadis berumur 26 tahun itu rasa kopi jenis tersebut benar-benar kena dengan tekaknya. Permukaan atas buih susu yang mengembung membuatkan bibir terasa gebu semasa menghirup minuman itu. Ditambah pula dengan karamel cair menyempurnakan lagi campuran rasa kopi yang dibru segar, susu dan sirap vanila yang larut pada air tersebut.
Tatkala tiba di pintu, Mizza Ilyana berhenti seketika di situ. Kerana perasaan tidak sabar untuk menghirup kopi kesukaannya, mulut Mizza Ilyana mencecah sedikit ke bibir cawan. Masih lagi terasa hangat dan sedikit panas, namun dia mampu menelan seteguk kopi tersebut.
Sambil meniup perlahan, tangan kirinya menolak pintu. Dalam masa yang sama, Isyraf yang sedang sibuk berbicara dengan Mirza di telefon terkejut kerana tiba-tiba sahaja pintu kaca itu terbuka. Isyraf mengelak daripada bertembung dengan objek tersebut akan tetapi lain pula jadinya. Mizza Ilyana sudah melangkah keluar lalu bertembung dengan Isyraf. Habis sudah minuman yang berada di cawan kertas tumpah, lantas terkena kemeja kelabu Isyraf kemudian jatuh ke permukaan lantai.
“Ya Allah,” ucap Isyraf. Telefon yang berada di telinga dialihkan serta-merta. Dengan tangan kanannya masih lagi memegang telefon, tangan kiri Isyraf segera menyentuh bahagian kemejanya yang sudah basah. Kulit pada bahagian abdomennya terasa panas akibat air tersebut.
“Ya Allah, caramel macchiato aku. Baru minum seteguk.” Pandangan Mizza Ilyana menjadi kesal dengan apa yang terjadi. Cawan kertas yang berada di lantai dikutip.
“Uncle, saya telefon uncle balik nanti. Saya ada hal sikit nak kena selesaikan ni,” ujar Isyraf dan memutuskan panggilan.
Usai sahaja Mizza Ilyana berdiri, dia memandang kemeja Isyraf. Dahi Mizza Ilyana berkerut. Reaksi wajahnya jelas kebimbangan. Dia tidak berani untuk bertaut dengan pandangan dengan lelaki itu. Mendengar suara Isyraf yang singkat tadi, memang jelas pemilik suara itu tegas dan serius.
“Awak lebih risaukan caramel macchiato yang dah tumpah tu daripada saya ni?” soal Isyraf dengan nada yang sedikit tinggi.
Memanglah aku risaukan caramel macchiato aku sebab air tu yang ada kena-mengena dengan aku. Kau mana aku kenal. Hati Mizza Ilyana menjawab pertanyaan tersebut. Akan tetapi berani ke dia berkata sebegitu dengan Isyraf?
“Maaf, encik, saya tak sengaja. Saya tak perasan pula ada orang lalu kat depan pintu ni.”
“Senangnya awak cakap. Awak tahu tak saya dah lambat ni? Kejap lagi saya nak kena naik flight.”
“Manalah saya tahu encik dah lambat. Saya pun tak kenal encik. Encik ingat saya tahu ke nak jadi macam ni?” sindir Mizza Ilyana.
“Oh... Sekarang awak nak loyar buruk dengan saya? Dahlah air panas. Saya boleh minta ganti rugi lepas tu bawa hal ni ke mahkamah kalau macam ni. Awak dah mengganggu masa saya, awak dah rosakkan kerja saya, malah menjejaskan badan saya. Kemungkinan besar, kulit saya terkena air caramel macchiato kegemaran awak tu boleh melecur. Awak nak tanggung semua tu?” gertak Isyraf.
Eh, ganti rugi? Mahkamah? Ingat ni kes merompak ke?
“Encik, takkan kes tumpah air nak bawa pergi mahkamah? Hakim kat Malaysia ni pun banyak lagi kes yang tertunggak nak diselesaikan. Caramel macchiato yang saya pesan tadi tu bukannya didih menggelegak. Saya pesan suam aje. Saya rasa tak adalah sampai tahap kritikal. Paling teruk pun encik akan melecur ringan aje. Bila melecur ringan, encik cuma perlu sejukkan dan cuci kawasan anggota badan yang terkena panas tu dengan aliran air. Lepas tu pergi klinik, encik akan dapat ubat tahan sakit atau analgesic dan juga ubat sapu krim antibiotik untuk elakkan jangkitan. Elakkan tutup kawasan melecur tu dengan kain kotor sebab takut jadi bertambah teruk.”
Isyraf mengeluh berat. Tak pasal-pasal dia kena mendengar ceramah pertolongan kecemasan percuma daripada Mizza Ilyana. Tangan kanannya mencekak pinggang manakala yang kiri memicit kasar bahagian dahinya. Dia memejamkan mata seketika. Pening dengan apa yang berlaku.
“Eh, kenapa encik pegang dahi? Pening ke? Takkan melecur kat badan, kepala boleh jadi pening?”
“Saya pening sebab awak. Bercakap panjang lebar macam gaya doktor.”
“Kalau encik nak tahu, saya memang doktor. Ha, tak pun kalau encik risau badan encik melecur, kita boleh pergi klinik sekarang. Saya bagi rawatan percuma sebagai ganti rugi. Macam mana?” cadang Mizza Ilyana.
Isyraf menggelengkan kepala sebagai tanda tidak setuju dan tidak berpuas hati. “Buang masa saya cakap dengan awak ni. Nasib baik kat dalam kereta ada baju saya. Kalau tak, saya terpaksa balik rumah. Tak pasal-pasal semuanya jadi tunggang-langgang.”
Isyraf mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja perkara tersebut. Malas dia mahu memanjangkan lagi kemalangan kecil itu. Dia sendiri tahu gadis tersebut bukan sengaja. Dia masih ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan. Isyraf mahu beredar. Dia melangkah melewati Mizza Ilyana yang masih lagi rasa bersalah.
“Encik?” seru Mizza Ilyana.
Isyraf menoleh ke belakang. “Awak nak apa lagi?
“Takkan encik nak pergi macam tu aje? Saya betul-betul minta maaf. Kalau boleh, biar saya tebus kesilapan saya. Memang salah saya rasanya sebab saya tak tengok sekeliling sebelum keluar tadi.”
“Kalau saya tak pergi macam tu aje, saya nak buat apa kat sini? Tengok muka awak? Awak tahu kan saya dah lambat?”
“Kali ni saya tahu sebab encik dah cakap tadi. Tapi, tolonglah, encik. Biar saya tebus apa yang dah jadi tadi.”
“Kalau awak dah tahu, baguslah. Saya tak nak buang masa. Awak nampak tak masa sedang bergerak pantas sekarang ni?” tanya Isyraf sambil menghalakan jam tangannya ke muka Mizza Ilyana.
“Encik... janganlah macam tu. Saya bukan jenis orang yang boleh buat tak tahu kalau saya dah buat salah. Kalau macam tu saya minta sepuluh minit aje. Sepuluh minit daripada seluruh masa encik untuk hari ni. Boleh, kan?” rayu Mizza Ilyana sambil kedua-dua tapak tangannya bertemu dan menggenggam antara satu sama lain.
“Sepuluh minit?”
“Kalau tak boleh sepuluh minit, saya minta lima minit,” pinta Mizza Ilyana. Dah macam proses tawar-menawar kat pasar malam pula.
“Okey, lima minit aje. Awak nak buat apa?”
“Saya nak ganti baju encik yang dah terkena air tu. Selang beberapa kedai ni ada butik jenama untuk pakaian lelaki. Rasanya cukup kan masa yang encik kasi tu untuk encik tukar baju?”
Isyraf membisu. Matanya melihat sebahagian kemejanya yang sudah basah kemudian dia melihat gadis itu. Dia mengeluh berat. Beberapa detik selepas itu dia mengangguk.

----------------------------

Isyraf duduk di kerusi yang diperbuat daripada kulit yang berbentuk segi empat tepat itu. Isyraf memerhatikan sekeliling untuk menghilangkan rasa bosan sementara menunggu Mizza Ilyana memilih kemeja untuknya. Seni reka hiasan dalaman itu kelihatan elegan dan mewah, sesuai dengan jenamanya yang agak terkenal.
“Cik caramel macchiato, cepat sikit pilih baju tu. Ingat, saya nak baju tu muat dan sesuai dengan saya. Masa awak ada kurang lima minit aje,” pesan Isyraf.
“Kita baru masuk kedai ni. Saya tengah pilih yang sesuai untuk encik. Sekejap aje.” Mata Mizza Ilyana meliar ke seluruh tempat gantungan kemeja di kedai itu. Sekali-sekala dia memandang Isyraf yang sedang melungsurkan jari pada permukaan skrin telefon. Dia perhatikan sekejap tubuh itu dengan kemeja yang dipamerkan. Dia memandang patung pameran yang berada di dalam kaca. Kemeja yang dikenakan kelihatan segak.
“Adik, akak nak design ni. Akak tak nak warna kelabu macam patung tu. Ada tak warna biru?” tanya Mizza Ilyana sambil jari telunjuknya diarahkan ke patung tersebut.
“Ada, kak. Untuk design ni kita ada tiga warna. Charcoal grey, cobalt blue dengan red berry,” balas jurujual dalam lingkungan hujung belasan tahun itu.
“Okey, boleh akak tengok warna cobalt blue?”
Jurujual itu tersenyum lalu dia mencari kemeja seperti yang diminta oleh pelanggannya itu.
“Ini dia, kak. Saiz baju ni sesuai rasanya dengan boyfriend akak tu,” ucapnya sambil menghulurkan kemeja yang digantung pada penggantung baju kepada Mizza Ilyana.
“Dia boyfriend akak? Garang dengan tak ada perasaan macam tu? Memang taklah. Akak terlanggar dia tadi. Habis baju dia terkena air kopi,” terang Mizza Ilyana sambil membelek-belek pakaian itu. Dia memerhatikan saiz yang terdapat pada kolar. Tertera saiz M pada label itu.
“Oh, macam tu rupanya. Saya ingatkan akak nak pujuk dia sebab dia merajuk.”
“Memang taklah kalau dia jadi boyfriend akak. Akak ni rasa bersalah. Sebab tu nak tebus balik baju yang dia pakai tu,” sambung Mizza Ilyana lagi. Dia menjarakkan sikit baju kemeja itu daripada penglihatan. Dia membayangkan baju itu jika dikenakan pada tubuh Isyraf. “Akak rasa baju ni sesuai dengan mamat tu. Akak pergi jumpa dengan dia dulu. Kalau okey semua, akak pilih yang ni.”
“Boleh, kak,” balas gadis itu, pendek. Kemudian, dia menuruti langkah Mizza Ilyana.
“Encik, saya dah pilih kemeja untuk encik. Design ni nampak segak dan smart. Sesuai dengan gaya keparat... eh, bukan keparat, maksud saya korporat encik.”
Isyraf merenung tajam. Dia cuba membaca riak Mizza Ilyana. “Awak nak cakap saya keparatlah sekarang ni?”
“Tak... saya tersasul. Janganlah salah faham lagi. Tak pasal-pasal ada kes baru pula kat mahkamah nanti,” perli Mizza Ilyana.
“Mana kemeja yang awak dah pilih?”
Tanpa bersuara, Mizza Ilyana menghulurkan kain berjahit tersebut kepada lelaki itu. Kemeja itu bertukar tangan.
Isyraf berdiri. “Saya tak nak warna biru. Saya nak warna yang sama macam yang saya pakai.”
Adoi... cerewet pula mamat ni. Nak juga warna gelap macam tu. Patutlah perangai tu tak ceria. Memang gelap masa depan kalau dengan mamat ni. “Saya rasa baju ni sesuai dengan encik.”
“Saya tak suka warna biru,” tipu Isyraf. Egonya tidak mahu menerima pakaian tersebut.
“Tapi, saya suka.”
“Kalau awak suka, awak pakai ajelah baju ni. Awak tak dengar ke apa yang saya minta tadi? Dah pekak? Ke nak saya bawa awak jumpa doktor telinga? Telinga tu jangan tersasar jauh sangat boleh? Kalau tak otak yang terbabas. Faham?”
Mizza Ilyana mencebik. Dia menoleh ke arah gadis yang melayannya tadi. “Adik, abang korporat ni tak nak warna biru. Dia nak warna kelabu.”
“Nak kelabu ke? Maaflah, kak, kelabu dah tak ada lagi.”
Sebaik sahaja mendengar jawapan itu, Isyraf memandang ke arah gadis tersebut. “Yang patung tu pakai bukan warna kelabu ke?”
“Yang tu memang kelabu, tapi bukan saiz encik. Tu saiz L.”
Mizza Ilyana tertawa kecil melihat reaksi Isyraf yang seakan-akan bengang itu.
“Saya nak baju lain. Saya nak yang sama warna juga.”
“Encik, saya rasa kemeja ni sesuai dengan encik. Lagipun sekarang kita tengah ada promosi. Kalau encik beli baju ni, akan dapat percuma sehelai tali leher,” ucap jurujual itu yang turut membantu Mizza Ilyana untuk cuba memujuk Isyraf.
“Ha... dengar tu. Dapat percuma lagi. Rugi kalau tak beli. Encik dah lambat, kan? Sekarang dah tiga minit kita kat kedai ni. Apa kata encik cuba...”
Isyraf segera memotong kata-kata Mizza Ilyana dengan menghalakan jari telunjuk ke mulut gadis tersebut.
“Awak jangan nak cakap apa-apa.” Isyraf memberi amaran. Lantas dia menuju ke bilik persalinan.
“Awak jangan nak cakap apa-apa. Eleh... Dah benganglah tu,” ejek Mizza Ilyana sendiri sambil dia menuju ke bahagian tali leher.
Sementara menanti Isyraf selesai, Mizza Ilyana memerhatikan koleksi tali leher yang ada sebagai hadiah percuma untuk reka bentuk kemeja tadi. Matanya terus meneliti sehinggalah terhinggap pada warna itu. Tangannya mengambil sendiri tali leher tersebut sambil tersenyum.
Selang dua minit, pintu bilik persalinan kedengaran dibuka. Laju sahaja Mizza Ilyana menuju ke tempat itu. Tak sabar rasanya melihat bagaimana penampilan Isyraf.
Tatkala Isyraf melangkah keluar. Mulut Mizza Ilyana melopong sedikit. Gaya Isyraf berubah. Memang dia akui Isyraf kena dengan kemeja tadi, namun dengan warna yang dipilihnya kini menambahkan lagi gaya Isyraf. Isyraf kelihatan sofistikated dan tenang. Mizza Ilyana dapat merasakan sesuatu. Dia sendiri tidak pasti. Seolah-olah sifat halus dari dalam jiwa terserlah melalui wajah yang berada di hadapannya. Ada sisi yang lembut di sebalik ketegasan lelaki itu.
“Kenapa tengok macam tu? Suka?”
Mizza Ilyana tidak menjawab, malah semakin menghampiri Isyraf. Isyraf terpinga seketika melihat tindak balas gadis itu.
“Encik tundukkan kepala sikit,” arah Mizza Ilyana.
“Nak buat apa?” Walaupun dia menyoal, tetapi Isyraf menurut sahaja permintaan perempuan itu.
Mizza Ilyana menyarung kemas tali leher ke kolar kemeja. Sambil dia mengikat, mulutnya berbicara, “Memandangkan encik nak sangat warna kelabu, saya pilih tali leher ni warna kelabu. Kebetulan saya rasa padan dengan kemeja biru ni.”
Isyraf melihat tangan Mizza Ilyana yang sedang ligat menyimpulkan kain tersebut. Sekali-sekala terasa sentuhan tangan gadis itu ke bahagian dadanya. “Pandai pula awak ikat tali leher ni?”
“Papa saya kerja kat syarikat korporat. Selain mama saya, sayalah yang tukang jadi penasihat penampilan dia. Saya jugalah yang tolong ikat tali leher papa saya. Okey, dah siap. Kena dengan encik,” ujar Mizza Ilyana yang mengikat tali leher tersebut dengan gaya ikatan windsor knot.
Isyraf memerhatikan tali lehernya yang sudah tersemat kemas melalui pantulan imej pada cermin.
“Sekarang ni saya nak pergi bayar. Mana baju encik yang terkena kopi tadi?”
“Ada kat dalam,” balas Isyraf sambil jarinya menunjukkan arah bilik persalinan.
Mizza Ilyana mengambil kemeja itu dan menuju ke kaunter pembayaran. “Adik, baju yang ni adik bungkus dalam beg. Akak jadi ambil kemeja yang abang korporat tu pakai. Tolong cepat sikit ya. Abang tu dah lambat. Berapa semuanya?”
Mizza Ilyana meneruskan urusan jual belinya di kaunter. Isyraf masih lagi berdiri tegak di situ. Dia hanya memerhati sahaja gadis yang baru sahaja dia jumpa tidak sampai 15 minit yang lalu. Mizza Ilyana kelihatan ceria pada kaca mata Isyraf. Biarpun Isyraf dingin, tetapi selamba sahaja perangai perempuan tersebut.
“Encik korporat, ni kemeja yang dah tumpah air tadi. Saya minta maaf sangat-sangat sebab saya dah menyusahkan dan ambil masa encik.” Beg kertas yang berisi pakaian tersebut bertukar tangan. Mizza Ilyana berpaling dan mahu segera keluar dari butik itu.
“Cik,” panggil Isyraf.
Mizza Ilyana menoleh.
“Kita pergi beli caramel macchiato.”
Mizza Ilyana termangu di situ sekejap. Tidak menyangka Isyraf memanggilnya untuk berkata sedemikian. Isyraf menyeluk tangan kanan ke dalam kocek memandang tangan kiri sudah menjinjing beg kertas. Dia melangkah melepasi tempat Mizza Ilyana berdiri.
“Tapi... tapi...”
Isyraf terus berjalan laju, membuatkan Mizza Ilyana terpaksa berlari anak untuk seiring dengan lelaki tersebut. “Tadi bukannya kata encik nak naik flight ke kejap lagi?”
“Flight saya pukul 6.00 petang. Setiausaha saya minta datang awal biar tak kelam-kabut. Tapi, rasanya sempat lagi kalau nak beli kopi kegemaran awak tu setakat lima minit aje,” ucap Isyraf tanpa memandang Mizza Ilyana yang berada di kirinya dan terus menonong ke hadapan.
Kaki Mizza Ilyana terhenti dengan sendirinya. Diperhati sahaja tubuh itu dari belakang. Isyraf memiliki bahu yang bidang, menyebabkan badan itu nampak tegap. Rambut hitam di belakang pendek dan tersisir kemas. Mamat ni lembut juga hati dia. Nampak aje macam tak nak dengar pendapat orang lain, tapi lama-lama terima juga. Argh, tapi mamat ni bukannya ada perasaan. Beku macam ais. Berdiri kat sebelah dengan aku sekali rasa sejuk macam kat peti ais. Ada ke tak sudah-sudah nak warna kelabu tu? Langsung tak ceria. Cerewet.