BAB 14
Kereta Honda Hybrid Insight berwarna biru itu berhenti
pada tempat letak kenderaan. Kawasan perumahan pangsapuri setinggi empat
tingkat tersebut menjadi destinasi pertama Qhayrul pada hari ini. Minggu lepas
dia sudah berjanji mahu bertemu dengan kedua-dua orang tua Yusra Dahliyaa.
Qhayrul mengetuk-ngetuk stereng sambil kepalanya sekejap ke kiri sekejap ke
kanan. Pandangan lelaki itu hinggap sebentar ke arah jam keretanya. Angka pada
skrin digital tersebut menunjukkan pukul 10.03 pagi. Ternyata dua kelibat dan
bayang itu masih tidak kelihatan.
Setelah beberapa detik dia dalam keadaan begitu,
Qhayrul bersandar. Cermin pandang belakang dilihat. Hujung rambut yang sudah
terpacak berdiri disentuh perlahan. Rasa tidak puas hati melihat penampilan
melalui cermin yang kecil itu, Qhayrul mengambil keputusan untuk keluar.
Qhayrul berdiri bertentangan dengan pintu kereta setelah pintu itu ditutup.
Imej separuh badan terpampang pada cermin. Baju kemeja
putih yang dikenakan terletak kemas pada tubuh Qhayrul, seolah-olah kemeja
tersebut dihasilkan memang khusus muat untuk badannya. Sebagai pelengkap gaya,
lelaki itu menyarung pula kardigan lelaki berwarna hitam, sedondon dengan warna
seluarnya lalu hanya menampakkan pergelangan tangan dan kolar kemeja serta
sedikit butang yang tersemat di bahagian dada.
“Qhayrul, baru sekarang kau betul-betul jadi Qhayrul
Wira Azreen,” ucap Qhayrul sendiri. Kemudian dia memakai cermin mata hitam yang
tergantung pada kemeja.
Biarpun pagi tu tidaklah terik mana cuacanya, tapi
sengaja Qhayrul mengenakan kaca mata tu. Terasa diri bertambah kacak kononnya
apabila mengenakan objek tersebut. Barulah gaya maskulin dan anak orang kaya. Setelah
yakin dengan penampilannya, Qhayrul bersandar pada pintu sambil kedua-dua
tangan diseluk ke poket seluar.
“Assalamualaikum,” ucap Yusra Dahliyaa dari arah kanan
Qhayrul.
Reaksi Qhayrul tersentak sedikit. Qhayrul menoleh,
namun perbuatannya terdiam tatkala bertentang mata dengan wanita itu.
Lama-kelamaan barulah bibirnya bergerak sambil tersenyum.
“Waalaikumussalam,” balas Qhayrul dengan nada
perlahan.
“Kenapa Encik Wira senyum macam tu?”
“Apasal tanya? Kena ada sebab ke baru boleh senyum?
Kena minta izin dulu? Kalau macam tu, bila nak makan kena tanya Cik Yusra dulu
ke?” soal Qhayrul dengan alunan yang tiba-tiba sahaja kononnya serius.
Keningnya yang sedikit tebal tu dijongketkan.
Tadi senyum-senyum. Baru tanya aje, dah marah ke? Baru
nak puji sikit nampak bergaya pakai macam ni. Kensel. Tak jadi nak puji. Jiwa
dalaman Yusra Dahliyaa bersuara. “Tak adalah, tapi senyum Encik Wira tu penuh
dengan makna.”
“Pertama kali Cik Yusra bagi salam pada saya. Saya tak
nampak mata Cik Yusra tu pandang saya sebagai peragut.”
“Bila bandingkan dengan orang yang nak meragut saya
dulu dengan orang yang berada kat depan mata saya sekarang ni, jauh bezanya.
Lebih jauh beza jaraknya antara langit dengan bumi.”
“Kalau tak diajar macam mana gaya nak jadi orang kaya,
sampai bila-bila pun saya tetap jadi seorang pencuri dan peragut,” balas
Qhayrul lagi. Matanya dari tadi tidak mahu beralih daripada terus menatap Yusra
Dahliyaa. Wanita itu mengenakan baju kurung tradisional biru turquoise. Selendangnya pula berwarna
krim sedondon dengan corak yang berada pada kain.
Pada waktu itu juga, Rafi Huzaifa berada di sisi
ibunya. Walaupun tidak pasti apa yang dituturkan oleh dua orang dewasa itu,
kanak-kanak tersebut hanya memerhati. Tatkala perbualan mereka seakan-akan
terdiam untuk seketika, Rafi Huzaifa melepaskan genggaman Yusra Dahliyaa lalu
berjalan menghampiri Qhayrul dan menyentuh tangan lelaki itu.
Qhayrul langsung menundukkan pandangan sebaik sahaja
deria pada kulitnya bertemu dengan jari-jemari Rafi Huzaifa. Seolah-olah
mengerti dengan bahasa tubuh Rafi Huzaifa, Qhayrul mengeluarkan tangan kanannya
dari kocek seluar. Kemudian dihulurkan ke arah Rafi Huzaifa. Rafi Huzaifa
menyambut. Anak kecil itu mengucup lembut tangan Qhayrul.
“Pak cik,” panggil Rafi Huzaifa dengan tiba-tiba.
Dah kenapa pula budak ni panggil aku? Takkanlah nak
minta dukung pula? Aku belum jadi bapa tiri kaulah, rungut Qhayrul di dalam
hati. Lelaki itu bukanlah jenis yang gemar bergaul dengan budak-budak. Bagi
dia, budak-budak itu terlalu banyak kerenahnya, malah terlebih ragam jika
dilayan. “Hmm... nak apa?”
“Rafi nak cakap terima kasih kat pak cik.”
“Terima kasih? Sebab?” soal Qhayrul, kehairanan.
“Sebab pak cik, Rafi boleh jumpa atuk dengan nenek.”
Qhayrul membulatkan mata. Sama sekali tidak menyangka
ayat itu yang akan didengarnya. Qhayrul memandang Yusra Dahliyaa yang juga
berkongsi perasaan terkejut dengannya.
“Rafi,” panggil Yusra Dahliyaa, tidak mahu anaknya itu
terus meluah rasa. Tidak meramal sama sekali yang anaknya itu berbicara
sebegitu dengan orang yang baru sahaja dikenali.
“Rafi tak pernah jumpa atuk dengan nenek ke sebelum
ni?”
Kepala Rafi Huzaifa menggeleng, kemudian dia bersuara.
“Tak pernah langsung. Ibu cakap atuk dengan nenek Rafi
banyak kerja. Dia orang sibuk. Tak sempat nak jumpa Rafi lagi sampai sekarang.
Tapi hari ni, Rafi dapat jumpa atuk dengan nenek sebab pak cik. Terima kasih,
pak cik. Nanti kat sekolah, Rafi boleh cerita kat kawan-kawan yang Rafi dah
jumpa atuk dengan nenek Rafi.” Petah kanak-kanak lelaki itu berkata. Memang
jelas wajah Rafi Huzaifa ceria dan teruja.
Atuk dengan nenek banyak kerja? Sibuk? Tak sempat nak
jumpa sampai sekarang? Biar betul budak ni? Berdas-das soalan bermain di mindanya.
Yusra Dahliyaa dapat membaca riak muka Qhayrul. Memang
tidak logik langsung alasan itu diberikan jika berfikiran orang dewasa. Apa
lagi yang Yusra Dahliyaa mampu katakan melainkan itu jika Rafi Huzaifa
bertanya.
Semasa Yusra Dahliyaa menyiapkan kelengkapan dan
pakaian Rafi Huzaifa pagi tadi tidak berhenti-henti mulut Rafi Huzaifa bertanya
bagaimana rupa datuk dan neneknya. Bukannya Yusra Dahliyaa tidak pernah
bercerita, tetapi tahu sahajalah kalau namanya kanak-kanak. Perasaan ingin tahu
sedang bercambah dalam diri. Selagi tidak dapat apa yang dikehendaki, selagi
itu dia akan meminta.
“Lepas tu kan, pak cik, tadi ibu ada cakap. Kalau atuk
dengan nenek suka kat pak cik, pak cik boleh kahwin dengan ibu. Kalau dah
kahwin nanti, pak cik jadi ayah Rafi, kan? Bila pak cik jadi ayah Rafi,
bolehlah Rafi jumpa atuk dengan nenek selalu, sama macam kawan Rafi tu.” Rafi
Huzaifa sudah memasang angan-angan.
Perkara itu adalah perkara yang paling ingin dialami
oleh Rafi Huzaifa. Sudah banyak kali telinga Rafi Huzaifa mendengar
rakan-rakannya bercerita akan hal ayah, datuk dan nenek mereka. Namun, bila
sampai giliran Rafi Huzaifa semuanya tidak mampu diluahkan.
“Rafi Huzaifa bin Syafiq Ra’if, ibu pesan apa tadi?
Jangan cakap yang bukan-bukan, kan?” tegas Yusra Dahliyaa.
Senyuman yang terukir lantas hilang ketika mendengar
suara ibunya itu. Perlahan kakinya melangkah menuju ke Yusra Dahliyaa semula.
Qhayrul memandang sahaja wajah ibu tunggal itu.
Pandangan Yusra Dahliyaa juga bertemu dengannya. Ukiran wajah Yusra Dahliyaa
mahu mengelak. Lantas Yusra Dahliyaa berdeham kecil untuk mengelakkan suasana
menjadi kekok.
“Encik Wira nampaknya dah belajar jadi orang kaya.
Minggu lepas motosikal hitam oren, hari ni Honda Insight warna biru pula?”
Sebaik sahaja Yusra Dahliyaa mengubah topik perbualan,
Qhayrul memandang kereta tersebut.
“Yang minggu lepas tu kalau cuaca cerah, tak pun kalau
kita nak keluar berdua. Yang hari ni untuk hari hujan atau kalau kita keluar
bertiga.”
“Yang minggu lepas tu kalau kita nak keluar berdua?
Naik motor dengan mat rempit macam Encik Wira? Memang tak akan berlaku,” bidas
Yusra Dahliyaa.
“Sekarang memanglah tak berlaku, akan datang kita tak
tahu. Sama macam Cik Yusra cakap tak nak kahwin dengan saya dulu.”
Yusra Dahliyaa mengetap bibir apabila mendengar
kata-kata Qhayrul yang berbau sedikit sindiran itu.
“Lagipun, saya beli kereta ni untuk Cik Yusra dengan
Rafi juga.”
“Saya tak minta pun.”
“Sebab saya tahu Cik Yusra tak mintalah saya belikan.
Saya tahu Cik Yusra tak akan minta. Jadi, saya nak kasi.”
“Encik Wira, saya tetap tak nak terima. Saya bukannya
orang yang suka meminta-minta. Memang betul awak ni anak Tuan Idrus Wira. Dia
dengan awak sama aje, suka memberi dengan paksa walaupun orang tak terima. Saya
rasa lebih baik kita bertolak sekarang.” Usai sahaja dia berkata begitu, tangan
Yusra Dahliyaa membuka pintu bahagian belakang dan bahasa tubuhnya menyuruh
Rafi Huzaifa duduk di tempat tersebut.
Rafi Huzaifa hanya menuruti. Setelah itu Yusra
Dahliyaa menutup pintu tersebut dan mahu melangkah ke tempat duduk hadapan.
Baru sahaja tangan wanita itu mahu menyentuh pembuka pintu, Qhayrul bersuara.
“Cik Yusra?” panggil Qhayrul.
Perbuatan Yusra Dahliyaa terhenti lalu dia memandang
lelaki itu.
“Betul ke Rafi belum pernah jumpa atuk dengan nenek
dia? Kalau betul, apa sebabnya?”
Wajah Yusra Dahliyaa tenang. Dia memang sudah pasang
niat untuk memberitahu lelaki itu akan kisah silamnya. Yusra Dahliyaa dapat
menjangka soalan itu bakal terbit dari bibir Qhayrul tatkala mendengar luahan
Rafi Huzaifa tadi.
“Asalkan namanya orang dan pernah menghirup nafas di
bumi ini, pasti ada rahsia. Orang gila pun ada rahsia,” jawab Yusra Dahliyaa.
Sengaja dia mengulangi kata-kata Hamka semasa pembacaan wasiat tempoh hari.
Senyuman kecil terukir apabila Qhayrul mendengar pepatah
itu sekali lagi. Memang benar, semua orang ada rahsia. Dia sendiri punya
rahsia.
“Kita gerak dulu. Dalam perjalanan, saya akan
ceritakan apa yang membuatkan saya jadi siapa saya pada hari ni.
Setidak-tidaknya bila Encik Wira berhadapan dengan keluarga saya, Encik Wira
tak akan terkejut sebab ada drama Melayu masa sampai kat rumah saya nanti,”
sambung Yusra Dahliyaa lagi lalu meneruskan perbuatannya yang terhenti tadi.
Drama Melayu? Bakal bapa mertua aku ni pengarah drama
ke?
---------------------------
Deraian tangisan Yusra Dahliyaa semakin laju. Tangan kanan Yusra Dahliyaa menyentuh
pipinya yang terasa panas dan pedih dengan tiba-tiba. Layangan tapak tangan
lelaki tua itu hinggap di anggota tersebut. Hari itu dia tidak pasti sudah
berapa banyak air matanya gugur. Siang tadi Syafiq Ra’if datang ke rumah.
Tatkala mendengar sahaja hubungan pemuda itu dengan anak perempuannya, Fadhil
naik berang.
“Berani Yusra cakap ayah tak bertimbang rasa dengan
kamu? Yusra nak melawan cakap ayah ke? Ayah tetap dengan keputusan ayah. Ayah
tak nak Yusra berkawan dengan budak lelaki tu.”
“Yusra pun tetap dengan keputusan Yusra. Apa pun
terjadi Yusra tak nak bertunang dengan Firdaus.”
“Yusra!” jerit Fadhil sambil matanya terbeliak.
“Abang, sudah-sudahlah tu. Apa salahnya...”
“Midah, awak jangan nak masuk campur urusan budak tak
kenang budi ni. Saya nak mengajar dia. Biar dia ingat siapa yang berhak
tentukan masa depan dia,” pintas Fadhil, memotong ayat yang mahu dituturkan
oleh isterinya itu.
Perempuan tua itu terkelu. Hamidah tahu, memang begitu
sifat suaminya. Apabila sudah berkata hitam, hitamlah yang dia mahu. Tidak
mungkin akan bertukar menjadi putih.
“Ayah, tolonglah faham keadaan Yusra. Yusra memang tak
nak bertunang dengan Firdaus. Yusra tak cintakan dia.”
“Cinta konon. Cinta tahi kucing! Masa dulu kamu bagi
alasan yang kamu tak nak tunang dulu dengan anak Cikgu Taufiq tu sebab kamu nak
sambung belajar. Baik, ayah ikutkan kehendak Yusra. Ayah bagi Yusra peluang
untuk sambung pelajaran Yusra. Yusra nak sambung kursus yang kamu minat, ayah
lembutkan hati walaupun ayah nak sangat Yusra jadi cikgu macam ayah. Bila
tengah belajar sekarang, menggatal pula nak cari laki. Kamu tahu kan, Yusra,
pasal ayah nak jodohkan kamu dengan Firdaus tu dari dulu lagi? Sekarang, mana
bahagian yang ayah tak bertimbang rasa dengan Yusra? Cakap!”
“Yusra tak akan
buat keputusan macam ni kalau ayah tak paksa Yusra. Ayah pernah cakap, lepas
aje Yusra habis belajar abah nak langsungkan juga perkahwinan Yusra dengan
Firdaus. Yusra tak nak, ayah. Sebab tu Yusra bawa Ra’if jumpa dengan ayah.
Manalah tahu ayah akan ubah fikiran. Yusra masih fikirkan lagi pasal ayah.
Sekurang-kurangnya Yusra hormat ayah sebagai orang tua. Sebab tu Ra’if datang
rumah kita siang tadi. Dia sendiri nak ayah tahu yang hubungan kami serius.”
“Hormatkan ayah? Yusra, kamu belajar tinggi-tinggi
tahu ke tak makna hormat tu apa?”
“Ayah, Ra’if tu baik orangnya. Dia bukan budak
samseng, budak tak senonoh. Ra’if tu kawan kuliah Yusra. Kalau ayah kenal dia,
mungkin ayah boleh ubah fikiran.”
“Ooo... sekarang Yusra pula nak mengajar ayah? Kamu
pula nak suruh ayah buat tu, buat ni ikut suka kamu? Habis tu, budak Firdaus tu
budak samseng? Budak tak senonoh ke sampai Yusra tak suka kat dia? Firdaus tu
cikgu. Ayah dah lama kawan dengan Cikgu Taufiq. Dari ayah kat maktab sampailah
kami sama-sama jadi pengetua sekolah. Ayah lebih kenal keluarga Cikgu Taufiq
tu. Kamu ingat ayah ni pilih orang sembarangan ke untuk jadi suami Yusra? Ayah
nak kehidupan Yusra Dahliyaa terjamin. Itu pun kamu tak faham?”
“Yusra cuma nak ayah faham keadaan Yusra. Perkahwinan
ni tak akan menjadi. Yusra tak cintakan Firdaus. Dari kecil Yusra kenal dia,
tapi sampai ke besar Yusra langsung tak ada perasaan tu. Yusra dah anggap
Firdaus macam abang Yusra. Lebih baik Yusra bangkang sekarang kehendak ayah daripada
Yusra minta cerai dengan Firdaus bila kita orang dah kahwin nanti. Ayah nak
macam tu ke?”
“Biadab!” Tangan Fadhil sudah naik ke atas, mahu diayunkan
ke pipi itu sekali lagi. Akan tetapi, Hamidah yang berada di sisi Yusra
Dahliyaa segera menghalang.
“Abang, jangan nak pukul lagi anak kita. Abang dah tak
sayang dia lagi ke? Dulu abang nak jentik dia pun abang fikir dua tiga kali.
Sebab Yusra tak nak kahwin dengan Firdaus, abang nak tampar dia lagi? Dia
satu-satunya anak kita, abang.” rayu Hamidah. Dia juga menangis. Tidak sangka
janji yang suaminya lakukan terhadap Taufiq membawa pertelingkahan yang besar
antara dua beranak itu.
“Sebabkan dia satu-satunya anak sayalah saya buat dia
macam ni. Menyesal saya manjakan budak ni dulu. Sekarang, dia berani pijak
kepala saya. Kamu tahu tak, Yusra, kamu adalah satu-satunya harapan ayah? Siapa
lagi yang boleh buat ayah ni bangga kalau tak kamu? Ayah tatang Yusra dari
kecil. Bila dah tahu dunia luar Yusra nak menconteng arang kat muka ayah?
Berani kamu cakap macam tu dengan ayah? Kamu jadi biadab macam ni sebab budak
nama Syafiq Ra’if tu?”
Yusra Dahliyaa tidak menjawab. Takut dengan wajah
Fadhil yang kian menjadi merah. Ayahnya seperti sudah hilang pertimbangan.
Mujur ada ibunya. Kalau tidak rasa sakit pada pipi semakin bertimpa. Namun,
semua itu tidak akan menghalang Yusra Dahliyaa untuk mempertahankan
kemahuannya.
“Dari kecil ayah ajar kamu supaya jangan kurang ajar
dengan orang. Ayah ingat ayah cukup ajar kamu, tapi sebabkan budak yang kamu
baru kenal tu, Yusra sanggup melawan cakap ayah? Yusra memang dah melampau.
Sampai ayah rasa kamu ni bukan anak ayah lagi. Anak ayah yang ayah besarkan
dari besar tapak tangan sampailah sekarang bukanlah macam ni perangainya.”
“Ayah, Yusra tetap anak ayah. Ayah janganlah cakap macam
tu. Yusra nak pertahankan kebahagiaan Yusra sendiri.”
“Kalau betul kamu anak ayah, kamu kena kahwin juga
dengan Firdaus. Tunang dulu dengan dia dalam waktu terdekat ni. Bila Yusra
habis belajar, baru kahwin dengan dia. Ayah dah berjanji dengan Cikgu Taufiq.
Orang Melayu, bila dah berjanji kena tepati. Ayah tak akan sesekali mungkiri
apa yang ayah dah janjikan. Ayah tak nak tanggung malu. Ayah tak nak ada rasa
bersalah bila terpaksa berhadapan dengan Cikgu Taufiq nanti.” Keputusan Fadhil masih
hitam. Ternyata Fadhil masih lagi tidak mahu berganjak walau apa pun yang
terjadi.
“Janji kena tepati? Baik, Yusra pun dah berjanji
dengan Ra’if yang Yusra akan hidup dengan dia sampai bila-bila. Yusra tak boleh
nak mungkiri janji Yusra pada Ra’if,” ucap Yusra Dahliyaa.
Fadhil merenung tajam ke arah anak tunggalnya itu. Api
kemarahan di dada semakin meluap-luap. Sakit hati tidak terkira dengan
kenyataan Yusra Dahliyaa itu. Yusra Dahliyaa seperti mengejek apa yang dia
tuturkan sebentar tadi. Egonya sebagai seorang ayah semakin tercalar.
“Yusra, jangan jadi kurang ajar! Kamu ingat ayah ni
budak-budak ke?! Yusra sindir apa yang ayah cakap tadi? Kamu janji nak hidup
dengan budak tu sampai bila-bila?”
“Ayah sendiri yang cakap tadi. Yusra cuma...”
“Baik, ayah akan ikut kehendak kamu. Kamu nak sangat
kan kahwin dengan budak hingusan tu? Ayah akan kahwinkan kamu dengan budak tu.”
Yusra Dahliyaa terkejut dengan kata-kata Fadhil itu.
Dia berpandangan dengan ibunya. Hamidah sendiri tidak percaya yang suaminya
akan berbicara sedemikian.
“Ayah...”
“Bercinta memang semuanya indah. Yang susah nampak
ringan, yang senang nampak aje tenang. Kamu belum tahu apa maknanya sebuah
perkahwinan tu kalau setakat bercinta aje. Ayah nak tengok, sejauh mana janji
manis yang dah kamu berdua taburkan tu boleh bawa ke mana.”
“Ayah, percayalah. Ra’if bukan macam budak lain.”
“Minggu depan, bawa budak tu ke sini. Ayah akan
kahwinkan kamu berdua minggu depan.”
“Ayah... Yusra tak minta kami berkahwin sekarang. Kita
orang nak ayah tahu pasal hubungan kita orang aje. Ra’if memang serius dengan
Yusra. Kami berdua masih belajar lagi, ayah.”
“Kalau betul budak tu serius dengan kamu, dia akan
datang. Kalau betul dia tak akan sia-siakan Yusra, dia akan ikut apa yang ayah
cakap.”
“Ayah!”
“Tapi ingat, Yusra. Tugas ayah sebagai ayah kamu dah
habis bila Yusra dah nikah dengan dia. Lepas ni, ayah dah tak ada tanggungjawab
lagi ke atas kamu. Ayah dah tak perlu fikir pasal Yusra. Ayah dah tak nak kamu
hidup kat dalam rumah ni. Ayah tak akan ambil tahu lagi macam mana kehidupan
kamu. Anak ayah bukan macam kamu. Anak ayah tak akan sesekali memalukan ayah.
Kamu pergi hidup kat luar sana dengan budak tu. Ayah tak akan tolong satu sen
pun. Sampai bila-bila ayah tak akan terima si Syafiq Ra’if tu sebagai menantu
ayah,” ucap Fadhil lalu beredar dari ruangan tersebut.
“Ayah, Yusra tak ada niat nak jadi anak derhaka. Yusra
tak nak minta apa-apa pun dengan ayah. Yusra nak ayah faham perasaan Yusra.
Ayah... Yusra minta ampun,” ucap Yusra dan dalam masa yang sama cuba
menghampiri Fadhil.
Fadhil segera menepis sentuhan anaknya. Dia menaiki
tangga menuju ke kamar. Fadhil langsung tidak menyinggahkan pandangannya ke
bawah.
No comments:
Post a Comment