BAB 5
“Terima kasih, Abang
Salleh,” ucap Yusra Dahliya sebelum turun daripada bas melalui pintu hadapan.
“Sama-sama. Hati-hati jalan tu,” pesan Salleh.
Yusra Dahliyaa tersenyum. Dia mengatur langkah
perlahan semasa menuruni anak tangga. Baju kurung yang dipakainya membataskan
sedikit pergerakan Yusra Dahliyaa. Setelah memastikan Yusra Dahliyaa sudah
turun, Salleh menekan salah satu butang yang berada di hadapannya. Pintu itu
tertutup secara automatik. Kaki kanan Salleh menekan pedal minyak, kemudian
perlahan-lahan bas tersebut bergerak pergi.
Yusra Dahliyaa meneruskan perjalanan sebaik sahaja
turun dari bas. Begitulah rutin harian wanita
itu pada setiap petang, kecuali hari Sabtu dan
Ahad. Kebanyakan pemandu bas yang memandu pengangkutan awam itu sudah mengenali
Yusraa Dahliyaa.
Petang itu terasa bahang meskipun cuaca kelihatan
redup. Tiupan angin yang menyapa ke wajah sedikit sebanyak mengurangkan rasa
panas. Yusra Dahliyaa mengeluarkan sapu tangan. Dia mengelap peluhnya yang
sudah terasa di bahagian dahi. Tatkala kakinya berada di persimpangan jalan,
dia menukar arah lalu menuju ke kiri. Selepas berjalan selama empat minit,
rumah dua tingkat di bahagian hujung yang diubah suai menjadi pusat tadika
mulai kelihatan.
Pandangan Yusra Dahliyaa sempat menyinggah ke kereta Honda Civic berwarna hitam yang terletak
berhampiran dengan Tadika Nur Cemerlang itu. Kereta tersebut kedengaran bunyi
enjinnya. Namun, Yusra Dahliyaa hanya memandang sekali lalu ketika melintasi
objek itu.
“Ibu!” jerit Rafi Huzaifa dari dalam pagar.
“Rafi, anak ibu,” balas
Yusra Dahliyaa sambil tangannya menolak selak yang menghalang pagar itu
daripada terbuka.
“Ibu, kenapa lambat ambil Rafi hari ni?”
“Lambat ke?”
“Ha’ah... Banyak kali Rafi tanya dengan cikgu bila ibu nak ambil
Rafi.”
Yusra Dahliyaa mengerling seketika jam tangannya.
Tidak sedar pula dia terlambat mengambil Rafi pada petang itu.
“La... ibu lambat lima
minit aje. Ni kenapa tak sabar nak balik ni?” tanya Yusra Dahliyaa sambil
mencubit lembut pipi anaknya yang tembam.
“Kan hari ni kita nak jumpa dengan Aunty Mizza. Aunty Mizza nak belikan Rafi kereta remote control,” balas Rafi
Huzaifa.
“Rafi minta dengan Aunty Mizza ya? Tak baik
tau.”
“Taklah. Kan ibu dah cakap banyak kali kat Rafi, tak
baik minta-minta dengan orang. Rafi tak lupalah, ibu. Hari tu masa kita makan
ayam goreng, Aunty Mizza yang cakap nak belikan. Jomlah, ibu, kita balik sekarang.”
Tangan Rafi sudah pun menggenggam tangan ibunya.
Ditariknya tangan Yusra Dahliya supaya mereka bergegas pulang. Cikgu Amira
tersenyum melihat gelagat anak kecil itu.
“Cikgu, terima kasih ya.”
“Sama-sama, Puan
Yusra.”
Yusra Dahliyaa melayankan sahaja kerenah Rafi Huzaifa.
Sememangnya Mizza Ilyana begitu memanjakan Rafi Huzaifa. Yusra Dahliyaa menutup
kembali pintu pagar yang terbuka. Dia menoleh ke kanan kerana merasakan dirinya
diperhati. Wanita itu sedikit terkejut. Tidak
semena-mena ada seorang lelaki sedang bersandar di hadapan bonet kereta Honda Civic
tersebut. Lelaki yang mengenakan kemeja ungu pekat dan seluar berwarna hitam
itu mengukir senyuman ke arah Yusra Dahliyaa.
Dia ni senyum kat siapa pula? Kenal ke? soal Yusra Dahliyaa di dalam hati. Dahinya
berkerut-kerut. Serba salah pula untuk membalas ukiran senyuman daripada lelaki
itu.
“Senyuman saya ni terlalu mahal ke sampai susah puan
nak balas?” Suara garau sedikit serak-serak basah itu kedengaran memulakan
bicara. Dia yang tadi bersandar, kini berdiri bertentangan dengan Yusra
Dahliyaa.
“Orang kata, waktu petang begini agak lambat otak nak
memproses maklumat. Tambahan cuaca yang panas lagi terasa bahang, tak sesuai
rasanya encik nak bermain teka-teki dengan saya.
Bukan tak nak balas, saya takut tersalah faham. Jadi, senyuman Encik...”
“Hamka.”
“Jadi, senyuman Encik
Hamka tu untuk sayalah ya?”
“Ya, Puan Yusra
Dahliyaa binti Ahmad Fadhil.”
Mata Yusra Dahliyaa terbeliak. Terkesima. Tidak sampai
beberapa potong ayat berbicara dengan Hamka, lelaki itu mengetahui nama
penuhnya.
Sekali lagi Hamka tersenyum. Dia tahu mengapa wajah
Yusra Dahliyaa mempamerkan ekspresi sebegitu. “Saya ni ditakdirkan berjumpa
dengan Puan Yusra memang untuk buat puan salah faham agaknya. Janganlah buat
muka macam nampak hantu. Waktu maghrib pun belum sampai, macam mana hantu nak
keluar waktu petang macam ni?”
“Macam mana Encik Hamka tahu nama saya?”
Hamka menyeluk kocek seluar kanannya. Dia mengeluarkan
sesuatu dari dompet. “Ini kad saya.”
Kertas nipis berbentuk segi empat
tepat kecil itu sudah bertukar tangan. Yusra Dahliyaa membaca dalam hati tulisan yang tertera pada kertas berwarna
putih tersebut.
“Saya Hamka Mahadzir daripada syarikat guaman Fakhrul
Razi & Associate. Puan Yusra boleh panggil saya Hamka,” ujar Hamka,
memperkenalkan diri.
“Encik Hamka peguam?”
Hamka mengangguk.
“Saya ada buat salah ke? Ke ada orang nak saman saya?
Setahu saya, saya tak pernah buat apa-apa jenayah pun.”
“Ini tak ada kena-mengena
dengan semua tu.”
Yusra Dahliyaa tidak memberikan sebarang reaksi.
Hamka dapat mengagak soalan yang sedang bermain di
fikiran ibu tunggal itu. “Puan Yusra kenal dengan Tuan Idrus Wira bin Amran
Wira?”
Wanita itu terus menggeleng. Seumur hidupnya memang
tidak pernah mendengar nama tersebut.
“Pernah dengar Restoran Warisan Wira?”
“Restoran Warisan Wira? Tak silap saya restoran itu
adalah salah satu restoran yang terkenal kat Johor ni. Restoran yang
berkonsepkan ala resort.”
“Tuan Idrus Wira adalah pemilik Restoran Warisan Wira.
Nak dipendekkan cerita, beliau telah meninggal dunia 13
hari yang lalu.”
“Innalillahiwainnailaihirojiun.”
“Saya telah dilantik oleh arwah untuk menjadi peguam
peribadi dan pemegang amanah sementara sebelum wasiat dan pembahagian harta
dibaca.”
“Jadi?”
“Nama Puan Yusra Dahliyaa binti Ahmad Fadhil dan Rafi
Huzaifa bin Syafiq Ra’if adalah yang tersenarai dalam penerima wasiat serta
harta peninggalan Tuan Idrus Wira.”
Spontan tangan kanan Yusra Dahliyaa menekup mulutnya
sendiri. Bukan sahaja terkejut, malah jantungnya tiba-tiba sahaja berdegup
laju. Segala pergerakan menjadi kaku. Tangannya sedikit menggigil.
Rafi Huzaifa hairan melihat ibunya. “Ibu, kenapa?”
“Tak ada apa-apa Rafi. Ibu okey,” balas Yusra Dahliyaa
sambil mengusap lembut rambut anaknya. Sudah terang lagi bersuluh, malah disinari lagi dengan cahaya yang raut muka itu
terkejut. Seperti antara mimpi dan realiti, perasaan Yusra Dahliyaa tersepit di
tengah-tengah.
“Saya tak faham. Saya langsung tak kenal dengan arwah
Tuan Idrus Wira. Setahu saya, saya memang langsung tak ada kena-mengena dengan
dia. Usahkan nak kenal dengan muka arwah, Restoran Warisan Wira pun tak pernah
saya jejak. Encik Hamka dah silap orang rasanya.”
“Saya tak silap orang. Sejak nama puan dan Rafi
tersenarai, sejak itu saya dah mengenali wajah puan. Kalau saya tersilap nama
ibu sahaja tak apa, takkanlah saya boleh tersilap sebut nama anak puan sekali.”
“Tapi, saya memang tak
kenal dengan arwah. Takkanlah saya buta-buta nak terima macam tu aje?”
“Saya hanya menjalankan amanah yang ditinggalkan. Saya
harap Puan Yusra dan Rafi boleh datang ke pejabat saya esok dalam pukul 3.00 petang untuk membolehkan pembacaan wasiat
berlangsung. Dan mungkin kehadiran puan esok dapat merungkaikan apa yang telah
tersimpul,” pinta Hamka.
Sekali lagi Yusra Dahliyaa mendiamkan diri.
Irdina menyandarkan tubuh belakangnya ke kerusi. Jam yang
terdapat pada dinding bilik mesyuarat pejabat guaman Fakhrul Razi &
Associate dipandang selama tiga saat. Lagi dua minit waktu menjengah pukul 3.00. Penglihatannya beralih kepada Isyraf yang duduk
di sebelah kanan. Sejak masuk ke dalam pejabat itu, Isyraf tidak lekang
daripada telefon bimbitnya. Ada sahaja panggilan yang masuk dan Isyraf
berbicara dengan wajah yang serius.
Di benak fikiran gadis itu, dia cuba menghitung
kekerapan Isyraf berbual dengan dirinya dengan lelaki itu bercakap melalui
telefon. Jawapannya tidak perlu dicongak dengan kalkulator, dihitung dengan
jari pun sudah cukup. Memang jarang sangat mereka berbual. Semasa umurnya 13
tahun, ibu kandung Irdina meninggal dunia. Ketika itu, dia dihantar ke sekolah
berasrama penuh. Setelah tamat pelajaran sekolah menengah, Idrus terus
menghantar Irdina melanjutkan pelajaran di Perth, Australia. Jauh di sudut hati
dia tahu yang ayahnya berbuat begitu supaya dia
tidak berhadapan dengan sikap dingin Isyraf.
“Patutlah abang tak kahwin-kahwin lagi sampai sekarang
walaupun umur tu dah 31 tahun. Mana taknya, asyik melekat dengan telefon.
Kerja, kerja, kerja.”
“Abang kerja untuk keluarga kita juga. Ird kenapa nak
cari pasal dengan abang ni?”
“Ird cari pasal? Habis tu, kalau Ird tak cari pasal,
abang nak cakap dengan Ird ke? Dah itu aje caranya seorang adik nak
berkomunikasi dengan seorang abang.”
“Lebih baik tak payah cakap apa-apa kan senang,” ucap
Isyraf sambil jari dilungsurkan ke permukaan skrin telefon pintarnya.
Irdina mencebik sambil menjeling. Sudah tinggal dua
beradik pun hubungan Isyraf dan Irdina masih tidak berubah.
Tangan kiri Irdina menyisir kasar rambutnya yang
terjurai di hadapan. Rambut Irdina di bahagian belakang pendek seperti lelaki
dan bahagian hadapan panjang setengah jengkal melepasi dahi. Belahan rambutnya
di bahagian kanan. Sengaja dia membiarkan sedikit rambut hadapan kirinya
berjuntai, seperti fesyen rambut watak anime Jepun. Irdina bersifat kasar dan
lasak, namun masih mengekalkan gaya feminin
seorang perempuan. Sebab tu dia tidak kisah kalau bertikam lidah dengan Isyraf.
Sudah lali dengan gaya lelaki itu.
Isyraf dan Irdina serentak menoleh ke arah pintu
apabila mendengar tombol pintu kayu dipulas. Lelaki berkumis dan berjanggut
nipis gaya stubble itu tersenyum sebaik sahaja daun pintu
dikuak.
“Assalamualaikum,” ucap
Hamka.
“Waalaikumussalam,”
balas Isyraf lalu bersalaman dengan Hamka.
Irdina menggerakkan bibir sehingga hujung bibirnya
ternaik sebagai tanda membalas senyuman Hamka.
“Encik Isyraf dengan Cik Irdina ni bertengkar lagi ke
tak sudah-sudah?”
“Kenapa Encik Hamka cakap macam tu?” soal Isyraf.
Pandangannya sekejap sahaja singgah kepada Irdina, kemudian dilemparkan semula
ke arah Hamka.
“Senyuman adik Encik Isyraf tu ada bau orang tak puas hati. Orang lepas bertengkar, tiba-tiba
berubah untuk cuba tersenyum, lain benar bentuk lengkungan bibirnya. Nak kata
tawar, macam ada gulanya. Nak kata manis pun tak juga. Mungkin senyuman Cik
Irdina tadi tu terlebih garam agaknya. Tuan Idrus banyak bercerita pasal awak
berdua. Sudah-sudahlah tu, Encik Isyraf, Cik
Irdina,” ujar lelaki berusia 34 tahun itu. Hamka menarik kerusi yang berada di
kepala meja. Dia meletakkan fail dan satu sampul surat yang diikat rapi di atas
meja lalu melabuhkan punggungnya.
Irdina dan Isyraf bertaut pandangan. Terbit rasa segan
terhadap peguam itu kerana dapat dihidu perang tembok yang berlaku antara
mereka. Isyraf berdeham panjang untuk
melenyapkan rasa janggal.
“Rasanya Encik Hamka dah boleh mulakan pembacaan
wasiat memandangkan waktu pun baru aje jejak pukul 3.00.
Saya dan Ird dah ada kat sini.”
“Belum lagi Encik
Isyraf. Kita kena tunggu penerima wasiat yang lain sampai. Selagi belum sampai,
saya tak boleh buka sampul surat yang ada kat atas meja ni.”
“Pewaris lain? Siapa?” tanya Isyraf, dengan nada
kehairanan.
“Maksud Encik Hamka, arwah abah ada waris lain selain
kami berdua?” teka Irdina dengan rentak suara yang sama seperti abangnya.
Hamka sudah dapat menjangka pertanyaan seumpama itu
akan didengar. Ketika arwah Idrus berjumpa
dengannya untuk menulis wasiat dua tahun lalu, dia juga mengajukan soalan yang
sama dengan kliennya itu. “Nasib baik saya dah sediakan perisai untuk semua das
tembakan soalan yang Encik Isyraf dan Cik Irdina halakan kat saya. Siapa
orangnya akan terjawab bila dia sampai kejap lagi.”
“Encik Hamka jangan nak bergurau. Benda ni bukannya
boleh main-main.” tegas Isyraf.
“Saya tak main-main,
Encik Isyraf. Ini soal amanah dan wasiat. Mana boleh saya gula-gulakan.”
Termangu seketika jadinya Isyraf di kerusi itu. Di
mindanya sudah berpuluh tanda tanya terbit dek rasa ingin tahu muncul di jiwa.
Beberapa saat kemudian, kedengaran pintu diketuk.
“Masuk,” arah Hamka.
Sebaik sahaja mendengar perkataan tersebut, salah
seorang pekerja Fakhrul Razi & Associate membuka pintu. “Encik Hamka, Puan
Yusra dah sampai.”
“Terima kasih, Ida.
Awak suruh dia masuk.”
Gadis itu mengangguk lalu mempersilakan Yusra Dahliyaa
dan Rafi Huzaifa masuk ke dalam.
Yusra Dahliyaa tersenyum apabila penglihatannya
bertemu dengan Hamka. Petang semalam berkali-kali Hamka memujuk Yusra Dahliyaa
supaya hadir ke pejabatnya, tetapi wanita itu
menolak. Hati Hamka turut merasa lega kerana Yusra Dahliyaa berada di
hadapannya pada hari ini.
“Maaf sebab saya lambat sikit,” ucap Yusra Dahliyaa.
“Tak apa, puan. Yang
penting puan hadir pada petang ni. Puan dengan Rafi boleh ambil tempat kat
sebelah sini,” pinta Hamka sambil tangannya menunjuk ke arah tempat duduk
bertentangan dengan kedua adik-beradik itu.
“Dia ni ke yang Encik Hamka maksudkan?” Isyraf menyoal
Hamka, tetapi renungannya tepat dihalakan kepada Yusra Dahliyaa.
“Terlupa pula saya. Ni Puan Yusra Dahliyaa dan yang
comel tu anak lelaki Puan Yusra, Rafi Huzaifa. Puan Yusra, yang ni Encik Isyraf
Wira dan yang kat sebelahnya Cik Irdina Wira, anak arwah Tuan Idrus Wira.”
Yusra Dahliyaa cuba tersenyum, tetapi tiada salah
seorang pun antara dua beradik itu membalas. Sudahnya, Yusra Dahliyaa merasa
kekok di situ.
“Encik Hamka, jangan cakap yang Puan Yusra ni ibu tiri
dan Rafi yang kecil tu adik tiri kita orang. Angin dingin yang bertiup antara
saya dengan Abang Isyraf sejak 21 tahun lalu pun
belum berubah arah, takkanlah nak ada puting beliung pula sekarang ni?”
“Arwah abah saya ada kahwin lain ke tanpa pengetahuan
kami berdua?” tambah Isyraf lagi. Dakwaan Irdina seperti ada benarnya.
Kedua-dua beranak itu memandang sinis dan tajam ke
arah Yusra Dahliyaa. Perasaan perempuan itu sudah tidak tenang. Rasa tidak
selesa ketika mendengar butiran kata daripada Isyraf dan Irdina. Tidak sampai
lima minit duduk di situ, pelbagai anggapan serong sudah terpacul.
“Untuk pengetahuan Encik Isyraf dan Cik Irdina, saya
memang tak ada kena-mengena dengan arwah Tuan
Idrus Wira. Namanya pun saya baru dengar petang semalam, wajah arwah jauh
sekali saya tahu. Takkanlah dengan mendengar nama arwah, tiba-tiba anak saya ni
boleh jadi adik tiri awak berdua,” balas Yusra Dahliyaa, cuba mempertahankan
diri dan anaknya
“Nampaknya saya kena terangkan situasi sebenar kat
sini. Puan Yusra dengan Rafi memang tak ada hubungan melalui akad nikah dengan
Tuan Idrus Wira. Saya yang tahu ceritanya dua tahun lalu ni pun masih
teraba-raba dalam gelap kenapa mereka berdua boleh wujud dalam pembahagian
harta arwah. Jadi, saya tak boleh menjawab persoalan tu. Saya hanya menjalankan
amanah,” ulas Hamka, berusaha mengembalikan situasi kepada keadaan tenang.
Kebetulan pada waktu itu telefon bimbitnya berbunyi.
Setelah bercakap lebih kurang suku minit dengan si pemanggil, Hamka memutuskan
panggilan dan meletakkan telefonnya di atas meja. “Sebelum kita meneruskan
agenda pada petang ni, kita tunggu lagi seorang pewaris. Dia akan muncul
sekejap lagi.”
Ukiran wajah tergamam Isyraf dan Irdina lebih jelas
kali ini. Belum hilang lagi rasa yang tiba-tiba sahaja menerjah tadi, susunan
ayat Hamka yang seterusnya benar-benar
membuatkan mereka tersentak.
“Seorang lagi?” ucap Irdina. Hampir sahaja dia mahu
berdiri kerana terkejut. Kening kiri dan kanan gadis itu hampir bercantum
kerana dahinya berkerut. Tidak menjangka sama sekali yang pembacaan wasiat
arwah ayahnya menjadi gelanggang bermain teka-teki.
“Saya tertanya-tanya apa yang berlaku sekarang ni.
Saya datang untuk pembacaan wasiat arwah abah saya. Bukannya untuk bertanding
dalam rancangan Siapa Nak Jadi Jutawan. Biarpun tak ada soalan untuk dijawab, tapi jawapan dan kejutan yang diberikan oleh peguam sudah cukup membuatkan saya bingung,”
nyata Isyraf.
Hamka hanya mendiamkan diri dan tersenyum. Dia
membiarkan sahaja keadaan bilik mesyuarat itu penuh dengan tanda soal. Dia
memandang pintu, tombol bulat tersebut dipulas. Kepingan kayu tebal tersebut
ditolak dan lelaki memakai kemeja-T kuning pekat
bersama dengan jean corduroy berwarna coklat yang hampir lusuh melangkah masuk. Semua mata tertumpu kepada
gerangan yang baru muncul itu.
Yusra Dahliyaa membulatkan mata. Setiap inci dan lekuk
yang membentuk wajah insan yang berada di hadapannya dibandingkan dengan lelaki
yang hampir sahaja terlibat dengan kemalangan tempoh hari. Memang tidak salah
lagi, lelaki tersebut adalah orang yang sama yang mahu meragut beg tangannya.
Perbuatan Qhayrul seolah-olah
dihentikan tatkala wajah Yusra Dahliyaa singgah di penglihatan. Qhayrul
memejamkan mata seketika kemudian membuka kembali kelopak matanya. Bimbang Yusra
Dahliyaa hanyalah khayalan semata-mata dan ternyata wanita tersebut adalah
kenyataan. Sama sekali dia tidak menyangka yang
mereka akan berjumpa untuk kali kedua. Mahu sahaja Qhayrul berpatah balik
supaya dia tidak berada di ruang yang sama dengan perempuan yang pernah
menyelamatkan nyawanya.
“Ni mat rempit mana pula ni? Rambut berekor panjang
siap bercelup karat. Seluar pun dengan koyak kat lutut. Muka lebam sana, lebam
sini. Kenapa orang pelik-pelik muncul masa macam ni? Encik Hamka jumpa lelaki
ni kat celah mana aje? Dia ni pun pewaris abah saya juga ke?” sindir Isyraf.
Lagi?? X dak ka?
ReplyDelete