BAB 6
Qhayrul bersila dan kepalanya tertunduk ke bawah.
Kedua-dua siku tangannya ditapakkan ke bahagian betis dan tangan lelaki itu
menongkat wajah. Wajah Qhayrul masam mencuka sambil memikirkan nasib yang akan
menimpa dirinya. Setelah puas dengan posisi begitu, Qhayrul bersandar pula ke
dinding. Kaki yang berlipat dilunjurkan. Dia menghentak perlahan kepalanya ke
dinding.
Sakit hati semakin bertimpa tatkala Todak, Belut dan
Kucai telah dijamin keluar. Senyum sinis seakan-akan
mengejek dihadiahkan oleh Todak kepada Qhayrul sebelum lelaki itu meninggalkan
gerigi besi yang mengurung mereka.
“Siapalah nak jamin aku ni? Mahunya ada dua tiga malam ke seminggu aku tidur lokap ni,” keluh
Qhayrul sendiri. Matanya memandang siling.
Malam semalam Qhayrul dan yang lain telah ditangkap
oleh pihak polis di atas kesalahan mengadakan pelumbaan haram dan memandu
secara melulu di jalan raya serta mengganggu lalu-lintas.
Masuk kali ini sudah kali kedua Qhayrul ditahan kerana kesalahan yang sama.
Pihak polis juga telah menjalankan ujian air kencing terhadap dirinya dan
ternyata Qhayrul bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Qhayrul Wira Azreen.” Tiba-tiba sahaja suara parau
itu memecah lamunan Qhayrul.
Qhayrul bingkas bangun dan meluru ke pintu besi.
Tangan lelaki itu menggenggam besi menegak yang berada di hadapannya.
“Ya, tuan,” sahut
Qhayrul.
Misai yang berada di atas bibir pegawai polis tersebut
membuatkan Qhayrul terkedu. Jelas air muka lelaki yang memakai uniform biru
gelap itu tegas dan garang. Qhayrul sempat membaca tanda nama yang tertera pada
dada kanan pegawai polis tersebut. “Tuan Khairol, nama tuan lebih kurang sama
dengan saya.”
“Nama aje sama, tapi perangai hantu awak secubit pun
tak sama dengan saya,” balas pegawai yang
berpangkat koperal itu. Koperal Khairol kemudiannya memasukkan kunci ke dalam
ruang kecil yang ada pada pintu besi dan menggerakkan gerigi besi itu supaya
terbuka.
“Tuan, kenapa tuan buka pintu besi ni? Saya dah boleh
keluar ke?” Entah kenapa Qhayrul sendiri merasakan pertanyaan
yang baru diajukan tadi agak bodoh untuk dituturkan. Apabila difikirkan, soalan
itu tidak patut disoalkan pada saat begini.
“Awak nak tidur lokap ni sampai bila-bila ke? Tak nak
keluar? Ke awak nak beranak pinak kat dalam ni?”
“Isy, tuan, mimpi ngeri
seumur hidup saya kalau tidur kat sini sampai bila-bila. Tak adanya saya dapat
beranak pinak dalam lokap sedangkan nak mimpi basah pun belum tentu saya dapat
kalau tidur kat atas lantai macam ni,” seloroh Qhayrul.
“Kalau awak tak nak keluar, saya boleh aje kunci balik
pintu ni. Biar sebelum awak dapat mimpi basah, badan awak yang mati kering
dulu.”
“Tuan, janganlah macam tu. Saya gurau aje. Tapi,
kenapa saya boleh keluar tiba-tiba?”
“Awak boleh keluar sebab ada orang datang jamin awak.”
“Ada orang jamin saya?’
“Ya, cepat keluar. Kang ada juga yang patah balik
masuk dalam lokap ni.”
Qhayrul hanya mengangguk dan tunduk dengan arahan
Koperal Khairol. Mereka berdua berjalan dan beredar dari
kawasan lokap. Apabila tiba di bahagian kaunter hadapan balai polis itu, ada
seseorang yang tidak dikenali sedang berurusan dengan pegawai yang bertugas. Sekali-sekala pandangan lelaki itu melihat Qhayrul
yang masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Setelah semuanya selesai,
mereka berdua keluar dan menuju ke tempat letak kereta.
“Kat dalam dunia ni tak ramai orang yang baik hati.
Tiba-tiba aje aku dapat bebas. Encik ni memang suka beramal jariah ke? Nak
bayar jamin aku keluar lokap bukan seringgit dua ringgit.”
“Saya jamin encik sebab nama encik
Qhayrul Wira Azreen.”
“Sebab nama aku aje?” soal Qhayrul lagi walaupun baru
sahaja mendengar jawapan daripada lelaki itu. Penglihatan Qhayrul dari atas ke
bawah memandang penampilan lelaki tersebut. Memang nampak berbeza dengan
dirinya.
“Encik Qhayrul, saya Hamka Mahadzir. Salah seorang
peguam daripada syarikat guaman Fakhrul Razi & Associate,” ucap Hamka
sambil menghulurkan tangan kepada Qhayrul untuk bersalaman.
Qhayrul membalas dengan teragak-agak. “Peguam?”
Hamka mengangguk.
“Baru keluar lokap, dah nak kena masuk dalam lagi ke?
Saya ada buat salah dengan siapa? Siapa pula yang nak saman saya?” tanya
Qhayrul, lantas menukar kata ganti diri tatkala mengetahui profesion lelaki
tersebut.
“Encik Qhayrul jangan bimbang. Tak ada siapa yang akan
masuk lokap balik dan tak akan ada orang yang kena saman.”
“Encik Hamka, saya ni macam orang buta yang baru celik
mata. Dahlah tak nampak, terkurung pula kat dalam gua besi tadi. Jadi, bila
keluar dari gua tu kenalah ada orang yang memimpin saya. Saya tak faham. Kenapa Encik Hamka jamin saya? Macam mana Encik
Hamka boleh tahu nama saya? Saya tak pernah kenal dengan mana-mana peguam
sebelum ni. Almaklumlah, mat rempit yang selalu keluar masuk lokap ni bukan
golongan atasan.”
Hamka tergelak
kecil mendengar kata-kata Qhayrul. Tidak sangka Qhayrul menggelarkan dirinya
sebagai golongan atasan. “Saya ni pun kuli makan gaji juga, Encik Qhayrul. Encik Qhayrul kenal dengan Tuan Idrus
Wira?”
“Tuan Idrus Wira? Idrus Wira?” Otaknya ligat berfikir.
Seperti samar-samar nama itu muncul pada layar fikiranya. Dan beberapa detik
kemudian dia memetik jari, sebagai tanda dia mengingati sesuatu.
“Rasa macam pernah baca kat surat khabar, tapi tak ingat bila. Idrus Wira, pengusaha Restoran
Warisan Wira. Dia meninggal sebab sakit strok. Saya tak kenal dia melainkan dia
dengan saya ada perkataan Wira pada nama kita orang.”
“Encik Qhayrul tak terfikir ke kenapa nama Encik
Qhayrul ada perkataan Wira?”
“Nak fikir apanya pula? Tak ada yang pelik. Semua
orang boleh pakai nama Wira tu. Takkanlah encik nak cakap yang arwah tu ayah
saya. Dia tu jutawan yang kaya-raya kut. Agak-agaklah kalau peguam nak buat lawak sekalipun. Saya ni memang dilahirkan ke dunia tak ada
ayah. Yang saya tahu saya cuma ada mak angkat aje.”
Hamka menanggalkan cermin mata hitam yang dikenakan
semasa keluar dari balai polis tadi. Dia tersenyum. Qhayrul memang bijak
orangnya. Tidak perlu dia memberikan penerangan panjang lebar, lelaki itu sudah
boleh membuat kesimpulan awal tentang apa yang berlaku.
“Mana tidak tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, Encik
Qhayrul. Saya belum cakap lagi susunan ayat kat otak saya ni, tapi lidah Encik Qhayrul dah luahkan apa yang saya
nak cakap. Mendengar Encik Qhayrul mengatur kata, saling tak tumpah macam
arwah. Nampaknya memang bukan sebarang mat rempit ada kat depan mata saya ni.
Memang tak salah, Encik Qhayrul adalah anak
kepada Tuan Idrus Wira dan Puan Azreena.”
Qhayrul mendiamkan diri. Dia cuba membaca riak wajah
peguam yang berada di hadapannya. Tidak pasti cerita palsu atau kisah benar
yang terbit pada mulut Hamka. Lama-kelamaan mulut Qhayrul ternganga luas. Dia
ketawa berdekah. Terasa kelakar tatkala Hamka menyebut yang dia adalah anak
kepada pengusaha restoran terkenal itu.
“Ini memang kelakar. Memang tak logik. Memang ada
pakej ketawa lepas keluar dari lokap ke? Kalau
ya pun nak buat kelakar, janganlah buat kelakar yang macam ni. Encik, terus
terang saya cakap dengan encik ni. Nama penuh saya Qhayrul Wira Azreen bin
Abdullah. Encik tahu kenapa nama ayah saya Abdullah? Sebab saya ni anak luar
nikah. Sejak kecil saya ni dibela oleh keluarga angkat. Suami mak angkat saya
pula bencikan saya. Arwah mak angkat saya tak pernah bercerita akan hal
keluarga kandung saya sampailah saya berumur 15 tahun.
“Walaupun sejak kecil lagi saya tahu yang saya ni anak angkat,
masa umur tu baru saya tahu yang saya ni anak haram rupanya. Jadi, saya anggap dia orang tak pernah ada dalam hidup
saya. Macam mana masyarakat nak terima saya, sedangkan mak dengan ayah kandung
saya pun tak nak terima saya. Tiba-tiba, hari ni lain pula jadinya. Selama 25
tahun, ini kali pertama orang sebut nama ayah dengan mak saya yang entah betul
atau tak kesahihannya. Lagi yang tak boleh blah, Idrus
Wira adalah ayah saya? Orang yang ada nama, siap ada restoran terkenal tu ayah
saya? Memang kelakar,” luah Qhayrul dengan panjang berjela lalu menggelengkan
kepala.
“Duit yang saya jamin Encik Qhayrul ni duit arwah Tuan
Idrus Wira. Arwah dah pesan dengan saya yang saya kena bertanggungjawab ke atas
Encik Qhayrul jika ada apa-apa yang berlaku. Saya tahu semua cerita yang Encik
Qhayrul beritahu tadi termasuklah nama arwah ibu angkat Encik Qhayrul, Jamaliah
binti Kasim.”
Tergamam dan terkebil-kebil mata Qhayrul sekali lagi.
Semua butiran tentang dirinya diketahui oleh Hamka sedangkan dia langsung tidak
pernah menyebut nama arwah ibu angkatnya. Kali ini wajah itu serius. “Macam
mana encik tahu nama tu?”
“Lepas Puan Azreena lahirkan Encik Qhayrul, dia
serahkan encik kepada arwah Jamaliah sebab Puan Azreena tak nak orang tahu yang
dia dah lahirkan anak tidak sah taraf. Tuan Idrus Wira yang bercerita dengan
saya. Dah lama mereka berdua tahu kedudukan dan keadaan Encik Qhayrul. Pada
mulanya, ibu angkat Encik Qhayrul tinggal di Segamat, kemudian
dia berpindah ke Perak. Betul ke tidak apa yang saya katakan ni?”
“Memang betul saya pernah tinggal kat Segamat kemudian membesar kat Perak. Tapi, setahun sebelum mak angkat saya meninggal sebab
paru-paru berair, dia berhasrat nak tinggal kat JB.”
“Lepas Jamaliah meninggal dunia masa Encik Qhayrul
berumur 15 tahun, Encik Qhayrul dihantar ke rumah anak yatim dan dua tahun
kemudian Encik Qhayrul keluar dari rumah
tersebut lalu hidup berdikari di jalanan. Betul,
kan?”
Qhayrul menoleh ke tempat lain. Dia menelan air
liurnya seketika. Dia langsung tidak mampu menafikan kenyataan Hamka kerana
memang benar begitu kisah hidupnya.
“Puan Azreena meninggal dunia lapan tahun yang lalu
dan Tuan Idrus baru sahaja meninggal lebih kurang dua minggu yang lepas. Saya
jumpa Encik Qhayrul ni atas sebab urusan yang telah diamanahkan oleh arwah
kepada saya,” sambung Hamka lagi.
“Jadi, tajuk ceritanya sekarang ni saya adalah salah
seorang penerima wasiat dia? Macam tu? Orang yang tak pedulikan saya ni wujud
ke tak masa hidupnya, tiba-tiba baik hati nak jadi prihatin masa dia tak ada
kat dunia ni? Mengarut sangat tu, Encik Hamka.
Mengarut.”
“Saya harap Encik Qhayrul boleh datang ke pejabat saya
esok. Encik Qhayrul akan dapat berjumpa dengan adik seibu Encik Qhayrul dan anak sulung Tuan Idrus Wira.”
Bibir Qhayrul lantas tersenyum sinis mendengar
permintaan Hamka. Semuanya diterima dalam satu masa yang sama. Tidak tahu
perkataan apa yang lebih sesuai digunakan melainkan terkejut dan keliru. Jika
dihitung dengan garis pengukur, perasaannya berganda-ganda daripada perasaan
tersebut.
“Ini kira menang nombor ekor ke apa saya ni? Tadi
dapat tahu mak dengan ayah kandung, sekarang ada adik-beradik
pula? Dah macam promosi iklan beli satu percuma dua. Ini semua tak logik. Tak
logik,” kata Qhayrul dengan nada separuh tinggi. Kemudian dia beredar meninggalkan
Hamka.
----------------------------------
Suasana tegang semakin menyelubungi kamar mesyuarat itu. Masing-masing mendiamkan diri
selepas kandungan wasiat Idrus Wira dibacakan oleh Hamka. Satu per satu rahsia yang tidak dapat dirungkaikan
muncul.
“Baiklah, tadi bacaan untuk pembahagian aset dan
hartanah peribadi arwah. Sekarang saya akan bacakan pengagihan saham Restoran Warisan
Wira kepada waris yang tersenarai. Pemberian saham yang paling tinggi
iaitu sebanyak 43 peratus diserahkan kepada
Encik Isyraf Wira. Manakala pembahagian yang sama rata berjumlah 22 peratus dimiliki oleh Cik Irdina Wira dan Encik
Qhayrul Wira Azreen,” ujar Hamka.
“43, 22 dan 22 baru berjumlah 87
peratus. Baki 13 peratus?” tanya Irdina.
“Baki 13 peratus tu
adalah kepunyaan Puan Yusra dan Rafi. Puan Yusra memiliki 10 peratus dan baki milik Rafi Huzaifa. Memandangkan
Rafi belum mencecah usia 18 tahun, Puan Yusra akan menjadi pemegang amanah
untuk saham tersebut,” sambung Hamka lagi.
“Kenapalah arwah abah saya baik hati sangat? Orang
yang tak tahu mana datangnya, tiba-tiba dapat saham Warisan Wira? Untunglah
kalau macam tu hidup. Tak tahu hujung pangkal, tiba-tiba aje dapat harta.
Memang tak masuk akal,” kata Isyraf dengan wajah yang tegang.
“Encik Isyraf, wasiat
bermaksud ikrar seseorang yang dilakukan pada masa hayatnya ke atas hartanya
atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa
maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati. Islam menggalakkan
dan mengharuskan umatnya supaya berwasiat dalam merancang harta. Namun demikian,
wasiat tersebut hendaklah terhad kepada satu per tiga harta sahaja. Pihak yang akan mendapat manfaat dari arahan
pembahagian harta boleh terdiri dari kalangan waris atau bukan waris. Bukan
waris seperti anak angkat, badan amal atau kebajikan dan sebagainya.
“Sama juga kesnya macam arwah Tuan Idrus
Wira. Saham
yang akan jadi hak milik mereka bertiga tidak sampai satu per tiga daripada
keseluruhan aset milik Tuan Idrus Wira. Jadi, pemberian ini sah,” terang Hamka memandangkan dia dapat merasa
jelaga kemarahan dan tidak puas hati anak sulung Idrus itu.
“Encik Hamka, masalahnya abah saya ada anak kandung iaitu saya dan Ird. Setahu saya abah tak ada
anak angkat. Sepanjang hidup saya, tak pernah sekali pun
abah sebut nama orang luar ni. Tapi, tak tahulah
kalau abah ada cerita dengan Ird,” balas Isyraf yang masih mahukan penjelasan
lebih mendalam.
“Dengan Ird pun abah tak pernah bercerita. Ird memang
tak kenal dengan dia orang ni.”
“Asalkan namanya orang dan pernah menghirup nafas di
bumi ini, pasti ada rahsia. Orang gila pun ada rahsia. Mungkin ada sebab kenapa
Tuan Idrus Wira merahsiakan hal ini.”
Yusra Dahliyaa dan Qhayrul saling berpandangan ketika
itu. Masing-masing masih lagi keliru. Sudahlah mereka berdua pernah bertemu
dalam situasi yang tidak berapa baik, hari ini mereka berjumpa dengan tujuan yang sama.
Peragut ni pun pewaris Idrus Wira? Adik-beradik dengan dia orang berdua ni? Tapi, kenapa dia
orang tak puas hati. Yang lagi pelik, aku dengan Rafi pun dapat saham sekali?
Memang ada yang tak kena ni. Aku tak ada hubungan langsung dengan arwah. Mana
ada orang buta-buta nak kasi harta kat orang yang tidak dikenali? Otak dan hati
Yusra Dahliyaa saling berhubung, masih lagi berusaha mencari kesimpulan
berdasarkan fakta yang ada.
Air muka Qhayrul seboleh mungkin mengukir wajah
tenang, walhal hatinya bagai sudah mahu pecah kerana berdegup kencang.
Peristiwa petang itu masih jelas di benak fikirannya. Masakan dia mampu lupa
apa yang berlaku ketika itu. Inilah masalah kat dunia ni. Bila tak pernah
berjumpa, langsung tak terserempak. Tapi, bila dah sekali jumpa, asyik terjumpa. Kenapalah aku jumpa lagi dengan dia ni?
Qhayrul bermonolog dalaman sendiri.
“Encik Qhayrul, Puan Yusra, macam mana? Dari tadi diam
aje. Ada apa-apa yang nak disuarakan?” tanya Hamka apabila melihat tiada reaksi
yang diberikan oleh mereka berdua.
“Memanglah diam, sebab otak tu tengah fikir berapa
banyak duit yang dia orang akan dapat. Betul tak?” perli Irdina.
“Encik Isyraf dan Cik Irdina, jauh dalam hati saya ni tak terniat langsung nak terima
harta daripada orang yang saya tak kenal. Sepanjang hidup saya, saya memang tak
pernah tahu siapa Tuan Idrus Wira ni. Saya juga langsung tak tahu-menahu akan saham yang arwah berikan pada saya
ni. Selama ni saya hidup dengan dunia dan laluan saya sendiri. Langsung tak
terfikir akan melintasi jalan hidup keluarga Encik Isyraf dan Cik Irdina,” ucap
Yusra Dahliyaa.
“Kalaulah emas tu turun macam air hujan yang gugur
dari langit, orang yang tak minta emas tu jatuh ke riba pun akan tadah tangan
juga, kan?” kias Isyraf.
“Masalahnya sekarang, siapa yang kasi? Aku dengan
perempuan ni memang tak pernah minta pun.” Suara itu akhirnya kedengaran.
Qhayrul pada asalnya malas mahu bersuara. Namun,
semakin didiamkan, mereka semakin dituduh seakan-akan
merampas hak dua beradik tersebut. Hati Qhayrul mula terasa rimas. Pandangan
tajam mula dilemparkan kepada Isyraf.
“Ke kau orang berdua dah berkomplot? Kau orang ada
ugut abah aku ke sampai abah aku kasi saham Warisan Wira kat kau orang? Apa
sebenarnya hubungan kau orang dengan Idrus Wira? Hanya sebab nama kau ada Wira
ke abah aku kasi harta kat kau?” Ego Isyraf tercabar tatkala pandangan Qhayrul seakan-akan menembusi tembok maruahnya. Dengan tidak
tahu asal usul, lelaki yang tidak terurus itu seperti mahu menduga dirinya.
“Bertenang, Encik
Isyraf, Encik Qhayrul. Takkanlah sedarah dan sedaging nak bertikam sesama
sendiri?”
Isyraf dan Irdina membuntangkan mata. Tergamam dan
terkejut.
“Sedarah dan sedaging?” Hampir serentak Isyraf dan
Irdina menyebut perkataan tersebut.
“Ini adalah fakta yang paling sukar untuk saya sebut
sepanjang kerjaya saya sebagai peguam. Kenyataan ini harus saya dedahkan kerana
itulah amanah arwah kepada saya. Sebaik sahaja pembacaan wasiat dibaca, saya
harus menerangkan siapa Encik Qhayrul ni kepada awak berdua.”
Ekspresi muka Isyraf dan Irdina tidak berubah. Mereka
menantikan butir kata Hamka yang seterusnya. Harapan
mereka apa yang mereka fikir bukanlah realiti yang sebenar.
“Dari segi biologi dan sains, Encik Qhayrul Wira
Azreen bin Abdullah adalah anak kandung Tuan Idrus Wira dan Puan Azreena. Tapi
dari segi hukum dan agama...” Hamka tidak sampai
hati untuk menghabiskan ayatnya.
Mata Hamka memandang wajah Qhayrul yang berada di
bahagian kanan. Seakan-akan mengerti maksud
penglihatan tersebut, Qhayrul mengangguk perlahan.
“Encik Hamka nak cakap yang budak tak tentu hala ni
anak luar nikah abah saya? Atau lebih senang nak faham, dia ni anak haram?”
celah Isyraf.
“Encik Isyraf, terlalu kasar bunyinya tu. Encik
Qhayrul anak tidak sah taraf Tuan Idrus Wira dengan Puan Azreena.”
“Encik Hamka, kalau nak
buat kelakar sekarang ni, memang tak jadi. Yang saya tahu, saya seorang aje
yang lahir beribukan Azreena binti Abu. Mama kahwin dengan abah secara sah.
Macam mana pula manusia yang entah dari mana ni boleh jadi anak tak sah taraf
mama dengan abah? Mat rempit baju koyak sana sini abang saya? Tak mungkin,
Encik Hamka,” bangkang Irdina.
“Sebelum mereka berdua berkahwin, mereka pernah
menjalinkan hubungan secara sembunyi daripada pengetahuan arwah Puan Melati.
Jadi, dalam tempoh tu mereka berdua ada melakukan kesilapan.”
“Kesilapan? Kesilapan sampai wujudnya lelaki ni
sebagai anak haram dia orang?” ucap Isyraf dengan nada yang penuh sindiran.
“Abang! Sampai hati abang cakap macam tu pasal mama
Ird dengan abah kita.”
“Habis tu, Ird tak
dengar ke apa yang Encik Hamka cakap tadi?”
“Memang Ird dengar. Tapi, takkanlah...” Irdina tidak mampu menghabiskan kata-katanya.
Suaranya seolah-olah tersekat. Jiwanya lantas
diselubungi dengan perasaan hiba dan sedih. Masakan orang tuanya pernah
terlanjur sebelum berkahwin. Irdina tertunduk dan dia mula mengalirkan air
mata.
“Saya faham benda ni sesuatu yang sukar untuk
diterima. Tapi, memang inilah kenyataannya. Tuan Idrus Wira sendiri sudah
mengaku yang Encik Qahyrul adalah anak tidak sah taraf mereka berdua. Saya rasa
lebih baik saya terangkan apa sebenarnya kedudukan sebagai seorang anak tak sah
taraf ni.” Hamka memandang sekeliling. Memandangkan masing-masing tiada
bantahan, Hamka memulakan penerangan.
“Mengikut peruntukan undang-undang seksyen 2(1)
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mentakrifkan anak tak
sah taraf adalah anak yang dilahirkan hasil daripada hubungan luar nikah.
Menurut hukum syarak, anak tak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya
atau lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Nasab anak ini hanyalah kepada
ibu dan keturunannya. Maka dengan ini, ia bererti anak tersebut tiada bapa dan
tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki yang bergelar bapa. Akan tetapi, jika
ibu kandungnya meninggal dunia, anak itu berhak mendapatkan bahagian daripada pusaka ibunya.
“Nafkah dan saraan hidup
anak tak sah taraf di bawah tanggungan ibunya dan bukan di bawah lelaki yang
bersama ibunya. Soal pertalian pula, hubungan antara anak lelaki luar nikah
dengan anak perempuan kepada ibunya adalah adik-beradik
seibu. Walaupun menurut jumhur ulamak, syarak tidak mengiktiraf pertalian antara anak luar nikah dengan bapanya, tetapi syarak
tetap mengiktiraf pertalian darah antara anak
tersebut dengan ibunya. Kerana itulah anak luar nikah itu tidak boleh dibinkan
kepada nama ayahnya, tetapi dibinkan kepada nama ibunya atau kebiasaannya
menggunakan nama Abdullah.
“Oleh kerana Encik Qhayrul tidak layak menerima harta melalui faraid, jadi sebagai penyelesaian Tuan Idrus Wira telah mewasiatkan
saham sebanyak 22 peratus kepada Encik Qhayrul.
Senang cerita, dari segi syarak Encik Qhayrul tidak ada kena-mengena dengan Encik Isyraf,
tapi dia masih abang seibu kepada Cik Irdina. Namun dari segi biologi, kamu
bertiga berkongsi ayah yang sama,” terang Hamka dengan panjang lebar.
“Dah anak luar nikah, tetap namanya anak haram juga.
Pusing dan putar 360 darjah sekali pun tetap
sama maksudnya, Encik Hamka,” ucap lelaki
berumur 31 tahun itu sambil matanya sekali lagi tepat menikam pandangan Qhayrul
terhadap dirinya.
Begitu juga dengan Irdina dan Yusra Dahliyaa. Qhayrul
dapat membaca dengan jelas maksud riak dan wajah sebegitu. Acap kali dia menerima pandangan seperti itu. Dia hanya memandang ke tempat lain dan tersenyum
sendiri. Qhayrul sudah lali.
“Aku ingatkan orang yang hari-hari jumpa dengan duit,
bau mulut tu pun wangi macam duit juga. Rupanya ada bau busuk hinggap kat
hidung ni. Terasa macam bau longkang. Sama aje dengan mulut orang yang hidup
kat tepi jalan macam aku ni.” Kali ini giliran Qhayrul pula berkias.
Isyraf lantas berdiri mendengar susunan ayat yang
berbau sindiran tersebut. Matanya terbeliak besar. Mahu sahaja dia menyiat
mulut itu. Isyraf merasakan orang seperti Qhayrul tidak layak berbicara lantang
dengan dirinya. Tangan kanan sudah didepa ke hadapan,
jari telunjuk dihalakan tepat ke muka Qhayrul.
“Memang dasar anak luar nikah. Entah betul ke tidak
kau ni anak abah aku, kau nak cakap aku setaraf tepi jalan macam kau?”
“Memang aku anak luar nikah. Aku tahu aku ni anak
haram. Kau ingat aku nak sangat ke adik-beradik
dengan kau tu? Aku pun tak hadap. Nama aje orang kaya,
tapi tak ada mata. Buta!”
“Kurang ajar!” Isyraf sudah bergerak dari tempat
duduknya. Kakinya melangkah mahu menyerang Qhayrul,
tetapi Hamka berjaya menahan Isyraf.
Irdina juga berdiri. “Abang!”
Irdina memaut lengan Isyraf agar lelaki itu tidak
bertindak tanpa menggunakan waras akal fikiran.
Sengaja Qhayrul melengkung bibir ke atas disulami
dengan pandangan mengejek. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi agar merasa
selesa. Jika Isyraf memberikan tumbukan, dia akan membalas. Hal bergaduh
menggunakan fizikal ini sudah biasa bagi dirinya.
Yusra Dahliyaa memaut erat Rafi Huzaifa yang sudah
berubah wajah tatkala melihat adik-beradik yang
baru bertemu itu mahu mencipta pergaduhan. Dia membawa Rafi Huzaifa rapat ke
tubuhnya.
“Shhh... Rafi jangan
nangis ya. Tak ada apa-apa pun. Ibu ada kat sini,
kan?” Yusra Dahliyaa mengesat air mata yang mengalir di pipi anaknya.
Cebikan yang terukir dan sedikit esakan tangisan yang
kedengaran membuatkan Isyraf membatalkan niatnya.
“Encik Isyraf, bawa bertenang. Saya tahu situasi ni
sukar untuk Encik Isyraf dan Cik Irdina. Kalau saya kat tempat awak pun belum
tentu saya akan terima semua ni dalam masa yang singkat. Dan, Encik Qhayrul pun sama. Janganlah nak ditambah
minyak ke api yang sedang marak. Saya minta sangat semua yang ada kat sini
menghormati permintaan arwah. Ini adalah peluang terakhir arwah untuk tebus
kesilapan yang pernah dia lakukan,” tegas Hamka. Nada suaranya juga sudah
berubah. Walaupun dapat mengagak akan ada yang tidak senang dengan apa yang
berlaku, tetapi dia tidak menyangka sejauh itu tindakan mereka.
“Kalau tak ada yang meniup, api yang kecil tak akan
jadi marak, Encik Hamka,” bentak Qhayrul dengan jelingan.
“Saya minta maaf, Encik
Hamka. Saya bukannya tak hormat permintaan arwah,
tapi saya tak sangka yang perkara macam ni akan terjadi,” balas Isyraf.
Masing-masing sudah duduk ke tempat asal semula.
Isyraf memperkemas kemejanya. Dia menarik nafas
dalam-dalam dan menghembuskan nafas tersebut secara perlahan.
Pembacaan wasiat yang terhenti tadi harus diteruskan.
Hamka menyelak halaman seterusnya kertas yang berada di atas meja.
“Ada berbaki satu lagi perkara dalam senarai wasiat
arwah Tuan Idrus. Kali ini bukan penyerahan harta,
tetapi lebih kepada permintaan arwah. Dan, permintaan
tersebut ada kena-mengena dengan Encik Qhayrul
dan Puan Yusra.”
Kejutan demi kejutan sudah mereka alami sebentar tadi.
Kini, masih ada lagi perkara yang tidak diduga harus mereka hadapi.
Anak mata hitam Yusra Dahliyaa bertemu dengan anak
mata coklat hazel milik Qhayrul. Perasaan
Yusra Dahliyaa sudah dilambung resah. Begitu juga dengan Qhayrul. Tidak
semena-mena nama mereka disebut bersama. Sama sekali tidak terlintas dek akal
yang mereka akan bertemu untuk kali kedua. Ternyata takdir untuk bersua sekali
lagi sudah tertulis buat mereka berdua. Namun,
apa yang lebih memeranjatkan lagi, suratan yang akan mereka lalui sepertinya
akan berpanjangan.
No comments:
Post a Comment