BAB 12
Helaian kertas yang berada di tangan di selak satu per
satu. Setiap huruf, angka dan butiran yang terbentang di dada kertas itu
diperhatikan dengan teliti. Sebaik sahaja berada muka surat terakhir, lelaki
itu mengulangi semula perbuatannya tadi. Isyraf tidak mahu terlepas pandang
jika ada kesilapan. Tangan kirinya memegang pen. Nampaknya, Isyraf sudah
berpuas hati dengan hasil kerja pekerjanya. Baru sahaja dia mahu menemukan mata
pen dengan kertas, ketukan pada pintu kedengaran.
“Masuk,” ucap Isyraf tanpa mengalihkan pandangan. Dia
meneruskan perbuatannya. Isyraf dapat mengagak siapa yang baru sahaja melangkah
masuk walaupun penglihatannya tertunduk. Setelah selesai menandatangani pada
halaman terakhir, Isyraf meletakkan objek tersebut ke tepi.
“Encik Isyraf,” sapa Mirza.
“Ya, Uncle Mirza,”
balas Isyraf sambil anak matanya mendongak. Mata Isyraf singgah pada kedua-dua
tangan lelaki tua itu lalu raut mukanya berubah. Tangan kanan Isyraf sudah
memicit dahi.
Mirza meletakkan dua buah fail dan beberapa dokumen
pada ruang kosong yang ada di atas meja.
“Makin saya nak pergi out-station, makin banyak pula kerja saya kat pejabat ni,” keluh
Isyraf. Pandangannya hanya lalu pada timbunan kerjanya itu lalu berlabuh pada
wajah Mirza.
Mirza tersenyum. “Nak buat macam mana, Encik Isyraf.
Orang selalu cakap jadi bos senang, tapi apa yang saya alami dengan arwah dulu
tak sama. Banyak tanggungjawab yang perlu ditanggung. Ini ada kertas cadangan
daripada bahagian pemasaran, penyata daripada bahagian akaun untuk bulan ni dan
dalam fail tu ada beberapa cek bank yang perlu Encik Isyraf tandatangan.”
“Uncle yang
tengok pun dah terasa beban, apatah lagi saya yang menanggung,” luah Isyraf
lagi.
Rela atau paksa Isyraf perlu selesaikan tugasnya. Itu
sudah menjadi tanggungjawab Isyraf. Arwah Idrus Wira sudah memberikan
kepercayaan terhadap dirinya. Biarpun perasan marah melanda diri, Isyraf tidak
sanggup mensia-siakan apa yang telah diusahakan oleh ayahnya. Tangan kiri
Isyraf menggapai salah satu fail yang ada.
“Encik Isyraf, ada sesuatu yang saya nak tanya dengan
Encik Isyraf.”
“Apa dia, uncle?”
“Encik Isyraf pasti tak nak saya ikut masa Encik
Isyraf out-station nanti? Pelik juga
tiba-tiba aje Encik Isyraf cakap dengan saya yang Encik Isyraf nak pergi ke
Melaka dengan Kuala Lumpur sendiri.”
“Saya pasti, uncle.
Lagipun ada beberapa perkara yang saya nak minta tolong dengan uncle sepanjang saya tak ada kat sini.
Saya tak mampu nak buat perkara tu melainkan dengan bantuan uncle.”
“Encik Isyraf nak saya minta tolong? Encik Isyraf nak
saya buat apa?”
“Alang-alang uncle
dah tanya, apa kata uncle duduk dulu.
Nak berbincang, tak sesuai pula kalau berdiri,” arah Isyraf.
Tanpa banyak soal, Mirza menarik salah satu kerusi
beroda itu. Dia menanggalkan butang kot yang tersarung kemas pada tubuh agar
merasa selesa tatkala melabuhkan punggungnya.
Fail yang telah dibuka, ditutup kembali. Pen yang
berada di tangan, diletakkan semula ke tempat asal. Isyraf kelihatan serius. “Dah
lama saya minta uncle siasat siapa
Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa dalam hidup arwah abah saya. Tapi, uncle langsung tak buka cerita tu kat
saya. Uncle ada sembunyikan apa-apa?
Yang saya tak tahu, tapi uncle tahu
ke?”
Mirza menelan air liur. Dia terkedu seketika.
“Biasanya uncle
bukan macam ni. Abah banyak bercerita yang uncle
sangat efektif dalam kerja uncle.
Jarang uncle hampakan abah.”
“Bukan niat saya tak nak buka cerita, tapi saya tengok
Encik Isyraf terlalu sibuk sejak kebelakangan ni. Lagi-lagi lepas pemergian
arwah. Saya pasti kerja, fikiran dan masa Encik Isyraf sudah terisi,” balas
Mirza dengan intonasi sedikit bersalah.
“Saya terlalu sibuk? Atau uncle yang terlalu mengelak? Berita yang Qhayrul dan Yusra dah
ambil keputusan untuk berkahwin pun saya dapat tahu daripada Encik Hamka
semalam. Uncle tahu kan apa maksudnya kalau dia orang berdua setuju untuk
penuhi permintaan arwah abah?” tanya Isyraf.
Mirza tergamam. Dia sendiri tidak tahu akan hal
tersebut.
“Uncle
beritahu aje apa yang saya perlu tahu. Tak adalah saya ni macam orang yang
sedang berjalan dalam gelap, tapi tak sedar ada lampu picit kat tangan. Puas
meredah sana sini, tapi cahaya yang dicari tu dekat aje dengan saya. Uncle tak kasihankan saya ke?”
Terkebil-kebil sekejap mata Mirza. Bukan niatnya untuk
merahsiakan hal Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa, tetapi dia tiada jawapan untuk
soalan lelaki yang berada di hadapannya itu. Dia sendiri masih lagi tidak tahu
apa sebab yang menjadikan mereka berdua itu mewarisi saham Warisan Wira.
“Saya minta maaf kalau menimbulkan salah faham
terhadap Encik Isyraf sebab saya mendiamkan diri. Apa yang saya tahu Yusra
Dahliyaa adalah kawan kepada anak saya.”
“Kawan kepada anak uncle?
Doktor Iqwan ke Doktor Iqbal?” teka Isyraf dengan nada terkejut.
Majeed Iqwan adalah anak pertama manakala Muneer Iqbal
adalah anak kedua kepada Mirza dan isterinya, Kamariah. Iqwan memulakan
kerjayanya di salah satu hospital swasta yang berada di Kuala Lumpur dan
beberapa tahun kemudian menubuhkan kliniknya sendiri di Johor Bahru yang diberi
nama Klinik Iqwan.
Setelah adiknya, Iqbal, menamatkan pelajaran dalam
jurusan yang sama, mereka berdua mengusahakan klinik tersebut. Lalu berterusan
kepada adik bongsu mereka, Mizza Ilyana, yang turut berkerja sebumbung dengan
Iqwan dan Iqbal. Klinik Iqwan telah dijadikan sebagai klinik panel untuk
pekerja Restoran Warisan Wira. Sudah beberapa kali juga Isyraf menerima rawatan
daripada klinik tersebut.
“Tak. Anak bongsu merangkap anak perempuan tunggal
saya, Mizza. Mizza Ilyana.”
“Uncle ada
anak perempuan? Kenapa saya tak pernah tahu pun?”
“Encik Isyraf tak pernah bertanya akan hal peribadi
saya. Takkanlah tiba-tiba saya nak bercerita.”
Reaksi Isyraf sedikit berubah. Ya tak ya juga. Isyraf
langsung tidak pernah mengambil tahu akan cerita peribadi orang yang berada di
sekelilingnya. “Takkan sebab Yusra kawan dengan Mizza, abah kasi saham kat
dia?”
“Itu yang menjadi tanda tanya sampai sekarang. Puas
saya tanya dengan tuan badan, dia sendiri pun tak ada jawapan.”
“Takkan langsung tak ada alasannya?”
“Yang paling tepat dan mungkin jawapannya, Tuan Idrus
nak bantu kehidupan Yusra dan Rafi.”
Isyraf memberikan reaksi tidak mengerti. “Bantu
kehidupan sampai nak kasi saham dan kena kahwin?”
“Yusra Dahliyaa, kehidupan dia bukan macam perempuan
lain. Dia dah jadi ibu tunggal masa umur dia 20 tahun. Waktu tu Rafi masih lagi
dalam kandungan. Dengan usia muda sebegitu, bagi saya memang bukan mudah bagi
seorang insan bernama perempuan nak lalui dugaan yang berat macam tu.”
Pandangan Isyraf kaku. Lidahnya kelu. Perbuatannya
lalu menjadi kaku. Otak Isyraf seakan-akan tepu. Tergamam seketika dengan
kenyataan setiausahanya itu.
“Selama ni dia membesarkan Rafi seorang tanpa ada
seorang lelaki bernama suami. Suami Yusra anak yatim piatu, dibesarkan di rumah
kebajikan. Lagilah dia tiada tempat bergantung apabila perkahwinan yang dibina
bukan atas dasar restu keluarga. Arwah suami dia tidak meninggalkan sebarang
harta, malah ada hutang yang tidak diundang pula yang terpaksa Yusra
langsaikan. Enam tahun dia sendiri, enam tahun juga dia bertahan. Keperluan dan
sifat Rafi langsung tak ada cacat celanya. Rafi jugalah satu-satunya sebab dia
mampu untuk meneruskan kehidupan. Jadi, mungkin itu adalah sebab yang saya
fikir agak logik kenapa saham sebanyak 13 peratus diberikan kepada Yusra dan
Rafi.”
Tindak balas
Isyraf masih sama seperti tadi. Penglihatannya tertumpu pada sesuatu yang dia
sendiri tidak pasti.
Mirza dapat melihat yang Isyraf seakan-akan termenung.
“Saya minta maaf kalau saya tak dapat bagi apa yang Encik Isyraf nak. Saya
memang tak tahu apa sebabnya.”
“Tak apa, uncle.
Saya faham. Kalau uncle tak keberatan
nak beritahu, boleh saya tahu sebab apa arwah suami Yusra meninggal dunia?”
“Arwah Syafiq Ra’if meninggal sebab kemalangan jalan
raya. Dia dilanggar oleh sebuah kereta dan menyebabkan pendarahan yang teruk di
kepala. Malangnya, kemalangan tu ialah kemalangan langgar lari.”
“Langgar lari? Astaghfirullah al-azim. Innalillahiwainnailaihirojiun,” ucap
Isyraf, kemudian dia menyandarkan belakangnya ke kerusi.
“Pasal Encik Qhayrul kena kahwin dengan Yusra, mungkin
Tuan Idrus nak anaknya berubah. Dia tahu, bukan mudah untuk Encik Isyraf dan
Cik Irdina terima berita ni. Kerana tu, dia perlukan Yusra supaya semuanya akan
menjadi lebih baik.”
“Tak ada apa yang berubah, uncle. Dan tak mungkin akan berubah. Orang luar, tetap orang luar
pada pandangan mata saya.” Isyraf tetap Isyraf. Degilnya itu memang sukar untuk
diubah. Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Sama sahaja perangainya
dengan Idrus Wira.
“Permintaan Encik Isyraf tadi ada kena-mengena ke
dengan Qhayrul dan Yusra?”
Isyraf mengangguk. Dia menarik nafas dalam-dalam,
seolah-olah sedang mengumpulkan kekuatan sebelum berbicara dengan Mirza. “Satu
perasaan yang tak dapat saya lenyapkan sekarang ni ialah perasaan marah. Marah
yang saya tak tahu nak ditujukan ke mana. Abah biarkan saya tangggung semuanya
dengan tiba-tiba. Pilihan apa yang saya ada sekarang ni? Saya ni bukannya jenis
yang suka memberontak sampai sanggup lakukan apa sahaja.
“Nak diikutkan hati, mahu aje saya buat perkara bodoh
untuk halang apa yang akan berlaku. Nak diikutkan perasaan, saya tak nak dia
orang hadir dalam keluarga saya. Tapi, saya tahu saya bukan macam tu. Semuanya
telah diwasiatkan. Itu maknanya amanah. Abah dah pesan, kalau Qhayrul dan Yusra
setuju dengan perkahwinan wasiat tu, mereka berdua akan tinggal dengan saya dan
Irdina. Mereka berdua juga akan bekerja kat Warisan Wira.”
Timbul perasaan simpati terhadap Isyraf di hati Mirza.
Isyraf memang kelihatan tenang dan dingin, namun hati Isyraf umpama debu.
Terlalu rapuh dan tidak sekuat luarannya.
“Kalau abah fikir yang saya boleh terima semua ni,
saya rasa dia belum cukup kenal siapa anak dia. Nak masuk mulut pun sudah
terasa mual, inikan pula saya nak kunyah lalu telan apa yang berlaku semua ni macam
tu aje. Saya manusia biasa juga, uncle.”
“Saya mungkin tak boleh faham sepenuhnya apa yang
Encik Isyraf rasakan, tapi saya sentiasa ada telinga untuk Encik Isyraf. Apa
yang boleh saya katakan, Encik Isyraf kena banyak bersabar. Apa yang dah
berlaku memang tak boleh nak diubah. Mahu atau tidak, kita kena terima,”
nasihat Mirza sebagai orang yang lebih tua daripada Isyraf.
“Terima kasih, uncle.
Sebab tu saya perlukan bantuan uncle.
Dua minggu saya tak ada kat sini. Saya harap uncle boleh tolong saya uruskan kemasukan Qhayrul dan Yusra ke
dalam syarikat ni. Uncle letaklah kat
bahagian mana yang sesuai dengan kelayakan dia orang tu. Saya tak nak ambil
tahu. Saya cuma jalankan amanah abah.”
Mirza menggerakkan kepalanya sebagai tanda setuju.
Jika itu urusannya, memang tiada masalah untuk dia laksanakan.
“Pasal jawatan Yusra, saya rasa tak ada masalah. Tapi,
saya tak pasti akan kedudukan Encik Qhayrul. Dia kan ada pertalian darah dengan
Tuan Idrus dan Puan Azreena. Rasanya, biarlah Encik Isyraf yang tentukan,” cadang
Mirza.
Isyraf mendiamkan diri. Logik akalnya membenarkan
kata-kata orang tua itu.
“Qhayrul... uncle
letakkan dia di bahagian dapur restoran. Jawatan dia sebagai pembantu dapur.
Biarlah dia belajar dari bawah. Tambahan lagi, biar jarak dia jauh daripada
saya. Kalau letakkan dia kat dalam bahagian pengurusan, saya pula yang tak
boleh buat kerja. Dahlah kena duduk sebumbung, takkan kerja pun nak sebantal?
Saya belum boleh nak bertentang mata dengan anak tak sah taraf tu.”
“Baik, Encik Isyraf. Saya akan uruskan.”
“Terima kasih, uncle.
Saya minta maaf sebab uncle kena
dengar semua masalah saya sekarang ni.”
“Encik Isyraf, ini sebahagian daripada tugas saya. Tak
perlulah Encik Isyraf nak rasa bersalah. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta
diri dulu.”
Isyraf mengangguk, memberi kebenaran kepada Mirza.
Sebelum tangan Mirza memulas tombol pintu, Mirza berpaling dan tubuhnya
menghadap Isyraf semula. Isyraf sedang tertunduk sambil memejamkan mata lalu
tangan lelaki itu menekup wajahnya sendiri. Barangkali ingin melepaskan lelah
di dada untuk seketika.
“Encik Isyraf?” panggil Mirza.
Tindakan refleks Isyraf, dia mendongak.
“Encik Isyraf kena banyak bersabar. Kalau saya kat
tempat Encik Isyraf, mungkin saya akan bertindak macam Encik Isyraf lakukan.
Saya percaya, semua ni ada hikmahnya. Cuma kita sebagai hamba-Nya, tak nampak
apa yang Dia nak beri.”
Isyraf cuba tersenyum. Akan tetapi jelas senyumannya
bukan rela daripada hati. Apa yang terukir tidak kelihatan manis, malah
terlebih tawar.
“Terima kasih, Uncle
Mirza,” balas Isyraf.
“Sama-sama, Encik Isyraf.” Tangan Mirza sudah singgah
di tombol. Sekali lagi hatinya terdetik untuk menoleh.
“Dari pagi tadi Encik Isyraf belum makan lagi.
Sekarang dah pukul 4.00, Encik Isyraf nak apa-apa ke? Walaupun hati kelam-kabut,
fikiran serabut, perut Encik Isyraf kena isi juga. Kalau Encik Isyraf tak
makan, muncul pula penyakit Encik Isyraf tu.”
Isyraf memandang seketika jam pada dinding. Dia
sendiri tidak sedar masa begitu cepat berlalu. Tangan kiri Isyraf menyentuh
bahagian perut. Otaknya terlalu memikirkan soal kerja hingga lupa akan
keperluan dirinya. Mirza menegur, barulah dia merasa lapar
“Saya nak mi bandung dengan air sirap,” jawab Isyraf,
ringkas.
“Baiklah, nanti saya pesan kat kitchen crew,” ucap Mirza. Kali ini dia benar-benar menapak keluar dari
pejabat majikannya.
-------------------------
Pintu kaca
kafe dikuak tatkala selesai berbincang dengan kliennya. Isyraf sempat menoleh
ke belakang dan mengangkat tangan sebagai tanda hormat kepada Datuk Rahman yang
berada di salah sebuah meja kafe tersebut. Setelah itu dia mengerling seketika
ke pergelangan tangan. Jam tangannya menunjukkan pukul 3.17 petang.
Isyraf melangkah laju, namun masih lagi menapak kemas.
Dia mahu segera keluar dari plaza pusat membeli-belah itu. Dia mahu mencari lif
untuk mempercepat lagi perjalanannya menuju ke tempat letak kereta yang berada
di tingkat tiga. Ketika itu telefon bimbitnya berdering. Dia memberhentikan ayunan
kaki kemudian mengeluarkan gadjet
tersebut dari dalam kocek. Sebaik sahaja memandang telefon, nama Uncle Mirza tertera pada permukaan
skrin. Tanpa mengambil masa yang lama, Isyraf menyambut panggilan tersebut.
“Ya, uncle.”
Isyraf berdiri tegak berhadapan dengan sebuah kedai yang berada di plaza itu
sambil tangan kirinya berada di dalam poket seluar.
“Saya dah sampai kat airport ni. Sekeliling tempat ni saya cari Encik Isyraf, tapi tak
jumpa. Encik Isyraf ada kat mana?” soal Mirza yang berada di hujung talian.
“Saya belum sampai lagi.”
“Encik Isyraf belum sampai lagi?” Rentak suara Mirza
jelas terkejut. Tadi pagi dia sudah mengingatkan majikannya itu supaya tiba
awal di lapangan terbang. Selain daripada urusan sebelum berlepas, mereka
berdua harus berbincang hal kerja yang akan Isyraf lakukan semasa lelaki itu
berada di Kuala Lumpur nanti.
“Sebenarnya, dah lama saya habis mesyuarat dengan
Encik Wafi daripada Bina Kurnia Berhad. Urusan pembinaan cawangan baru Warisan
Wira nanti nampaknya tak ada masalah. Lepas tu, kebetulan Datuk Rahman telefon
saya tadi. Datuk Rahman beritahu saya yang dia nak tempah Restoran Warisan Wira
untuk majlis hari jadi isteri dia,” jawab Isyraf.
“Kenapa Encik Isyraf tak beritahu saya aje? Saya boleh
minta bahagian pemasaran uruskan perkara ni. Saya risau aje kalau Encik Isyraf
tak sempat sampai sini dalam masa setengah jam.”
Isyraf memandang jam tangannya sekali lagi. Dia cuba
mencongak masa yang akan dia ambil untuk sampai ke Lapangan Terbang Senai.
“Saya rasa tak sedap hati pula nak minta pekerja kita
uruskan hal Datuk Rahman ni. Datuk Rahman kawan baik abah. Saya rasa biar Datuk
Rahman terus berurusan dengan saya. Uncle
jangan risau, saya sempat sampai dalam masa setengah jam,” ujar Isyraf.
Mata Isyraf terus meliar mencari papan tanda arah
menuju ke lif yang berhampiran. Beberapa saat kemudian, pandangan Isyraf
bertemu dengan apa yang dicari. Papan tanda tersebut menunjukkan arah
berlawanan lobi lif yang terdekat. Tanpa membuang masa Isyraf berpatah balik
semula ke arah bertentangan.
“Kalau Encik Isyraf dah cakap macam tu, saya tunggu
Encik Isyraf kat Lavender Cafe. Saya dah siapkan semua dokumen dan kertas kerja
yang Encik Isyraf perlukan,” ucap Mirza.
“Terima kasih, uncle.
Saya tengah berjalan nak pergi tempat letak kereta. Lagipun jalan raya belum
sesak lagi waktu macam ni.”
“Kalau ada apa-apa hal, Encik Isyraf cepat-cepat
telefon saya. Manalah tahu kalau Encik Isyraf tak sempat, saya boleh uruskan
apa yang patut.”
“Ya, uncle. Uncle jangan risau. Saya...” Isyraf
tidak dapat menghabiskan ayat itu kerana tidak semena-mena ada sesuatu yang
berlaku terhadap dirinya.
No comments:
Post a Comment