BAB 2
Kertas kecil bersaiz segi empat tepat yang keluar dari
mesin ATM itu diambil lesu. Matanya memerhatikan amaun yang tertera pada
permukaan putih itu. Baki akaun simpanannya sebanyak RM20. Memang itulah jumlah
yang akan ditinggalkan oleh Yusra Dahliyaa tiap-tiap bulan tatkala mengeluarkan
wang gajinya. Komitmen dan tanggungjawab yang digalas pada bahunya menghalang
Yusra Dahliyaa untuk menyimpan.
Pintu kaca bank tersebut dikuak ke bahagian luar.
Yusra Dahliyaa melangkah sebaik sahaja memasukkan dompet bersaiz memanjang ke
dalam beg tangan. Sudah menjadi rutin setiap bulan Yusra Dahliyaa akan ke suatu
tempat. Tak kira apa jua yang terjadi dalam hidupnya, Yusra Dahliyaa pasti akan
ke tempat itu. Rela atau paksa, Yusra Dahliyaa
perlu membahagikan hampir separuh gajinya kepada seseorang. Enam tahun dia
mengalami kehidupan begitu, enam tahun jugalah dia mengharungi segala keperitan
itu sendiri.
Ibu tunggal berusia 26 tahun itu melangkah menuju ke
perhentian bas. Kesibukan kenderaan yang lalu-lalang
di situ langsung tidak dihiraukan. Fikirannya sudah mencongak perbelanjaan pada
bulan tersebut. Jika dicongak, bayaran rumah sewa untuk bulan itu tidak mampu
dibayar oleh Yusra Dahliyaa.
“Ya Allah, mana aku nak cari duit nak bayar sewa rumah
ni? Dahlah Wak Osman tu berkira, kedekut pula tu.” ucap Yusra Dahliyaa terhadap
dirinya sendiri.
Setelah berjalan beberapa minit, akhirnya dia sampai
di perhentian bas. Kelihatan tiga orang sedang menanti untuk menaiki
pengangkutan awam itu. Yusra Dahliyaa mengambil tempat di bahagian hujung belah
kiri. Lilitan selendeng warna biru langit yang menutupi bahagian kepala diperkemas kerana ditiup angin sebentar tadi.
Selendang itu dikenakan bersama dengan kemeja labuh biru gelap paras punggung
dan seluar berwarna putih. Hari itu dia bekerja separuh hari sahaja kerana
setiap hujung bulan dia perlu menyelesaikan apa yang telah dijanjikan.
Lelaki Cina berbadan sasa dan gempal itu tersenyum. Melihat garis wajah dan warna
putih uban yang hampir memenuhi kepala lelaki tersebut, Yusra Dahliyaa
menjangkakan umurnya melebihi setengah abad. Lelaki itu mengangguk berulang
kali sambil mengira wang kertas yang berada di tangannya. Not bernilai RM50 itu
terdapat 13 keping. Sebaik sahaja selesai menghitung, dia menandakan sesuatu
pada buku yang berada di atas meja.
“Ha... ini macamlah, amoi. Tiap hujung bulan mesti lu bayar. Gua sangat
suka sama dengan lu, amoi. Kalau ini macam lu bayar, tak payah 50 ribu, 500
ribu pun gua boleh kasi pinjam sama lu.”
“Tak apalah, along. Saya tak mahu pinjam apa-apa pun. Saya cuma nak
bayar apa yang suami saya pinjam.”
"Haiya, amoi... Tak mahu pinjam lagi ke? Gua tengok muka lu pun gua
tahu lu susah punya orang. Kalau amoi mahu pinjam, mei wenti (tak ada masalah), gua kasi itu bunga kecil
sikit.”
Yusra Dahliyaa cuba memaniskan wajah walaupun hatinya perit kerana terpaksa menyerahkan sebahagian wang hasil titik peluhnya selama sebulan kepada lintah darat itu.
“Saya memang tak mahu pinjam, along. Apa yang ada sekarang ni pun lama lagi mahu habis. Takkan saya mahu tambah lagi hutang.”
“Amoi, jangan itu macam. Gua tak akan suruh gua punya
budak kasi pukul sama lu. Lu perempuan ma. Kalau bayar bagus gua tak akan cari
pasal punya. Semua bulan lu bayar banyak cun,” ucap lelaki Cina itu, cuba menabur
janji manis.
Yusra Dahliyaa yang dari tadi duduk bingkas bangun. Dia tidak mahu berada di tempat tersebut untuk waktu yang lama. Tidak selesa kerana dikelilingi dengan orang yang berbadan besar dan berwajah bengis.
“Tak apalah, along. Saya ingat saya nak balik dulu. Saya ada hal lain ni,” ujar Yusra Dahliyaa sambil pandangannya tepat melihat lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki yang kelihatan seperti ketua antara mereka itu menghisap rokok yang berbaki separuh diapit di antara jari telunjuk dan tengahnya. Bergumpal asap keluar daripada hidung dan mulut.
“Sudah mahu balik ke? Tak apa, gua suruh gua punya
budak hantar amoi. Sekarang cuaca kat luar banyak panas. Kasihan sama lu kena
jalan kaki. Alex, Richard, lu orang hantar ini
amoi pergi mana yang dia mahu pergi.”
“Along, tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Lepas ni
saya mahu jumpa kawan,” tipu Yusra Dahliya. Nak suruh penyangak berdua ni
hantar balik? Memang taklah jawapannya. Entah ke mana-mana yang diperginya
nanti.
“Ooo... itu macam ke?
Okeylah, bulan depan kita jumpa lagi.”
Yusra Dahliyaa hanya mengangguk dan tersenyum hambar. Kakinya laju melangkah lalu menuruni tangga rumah kedai dua tingkat itu. Lega rasanya kerana dapat keluar dari tempat tersebut. Memang begitulah ayat yang biasa dikeluarkan oleh lintah darat yang diberi gelaran along setiap kali mereka berjumpa. Tidak sudah-sudah meminta Yusra Dahliyaa meminjam wang daripadanya. Mati hidup semula sekalipun Yusra Dahliyaa tidak akan melakukan perkara itu.
Laluan di koridor kedai dua tingkat kelihatan agak lengang pada petang itu. Motosikal
milik Qhayrul dan Belut berada di laluan kaki lima kedai, menyebabkan orang
yang lalu-lalang di situ terpaksa beralah dengan
kenderaan mereka berdua.
Belut menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan kotak rokok yang baru sahaja dibelinya tadi. Dia mengambil sebatang rokok dan bibirnya mengemam rokok tersebut. Belut menyalakan pemetik api lantas dihalakan ke hujung rokok. Belut menghulurkan kotak rokok kepada Qhayrul. Laju sahaja tangan Qhayrul menolak.
“Kau kan tahu aku tak hisap rokok. Aku tak naklah. Pencemaran udara,” ucap Qhayrul.
Belut tertawa sinis apabila mendengar alasan Qhayrul.
“Pencemaran udara? Kau ni, Qhayrul, benda ni pun tak hisap. Bukannya aku suruh hisap dadah ke, bau gam ke,” omel Belut.
“Aku tak hisap rokok, mak aku marah. Mak aku sakit pun
sebab banyak sangat bau asap rokok daripada laki
dia,” tambah lelaki itu lagi.
“Mak kau kan dah lama meninggal? Kau ni anak mak betullah.”
“Memanglah aku anak mak,
walaupun mak yang bela aku dulu tu mak angkat aku aje. Habis tu, kau tu datang dari mana? Dari langit? Bukannya
daripada mak kau?” perli Qhayrul.
Belut membetulkan kedudukan punggungnya yang berada di atas tempat duduk motosikal. Terasa sentap pula mendengar sindiran rakannya itu.
“Amboi, main kasar nampak. Aku gurau aje. Ni marah tak sudah sebab malam hari tu kalah dengan Todak ke?” teka Belut.
“Alamak, makan dalamlah
dengar ayat yang keluar dari mulut kau hari ni.
Semuanya macam bau longkang. Sakit telinga dengan hidung aku ni. Pasal Todaklah
aku jadi serabut. Apasal dia boleh menang malam tu? Main tipu ke budak ikan tu?
Hangus terus duit aku.”
“Dah nasib Todak nak menang malam tu. Nak buat macam
mana.”
“Hangus tu satu hal. Bulan ni dah sesak macam nak
lemas rasanya. Aku nak bayar hutang apek along
judi tu lagi.”
“Tulah, kau ikutkan hati sangat main judi dengan along tu siapa suruh?”
“Manalah aku tahu. Mula-mula menang. Tak tahu pula
makin lama makin tak ada ong. Tu hutang dulu tak selesai lagi. Masak aku bulan
ni. Kalau aku tak main judi dengan apek along
tu, macam mana aku nak beranakkan duit aku? Dahlah aku tak kerja lagi ni.”
“Tak payah nak serabut sangat. Aku tak kerja ni pun
boleh hidup. Cuma kena cari mangsa, masa dengan tempat yang betul,” ujar Belut.
Qhayrul hanya memandang wajah Belut tatkala rakannya itu berkata sedemikian. Tahu sangat Qhayrul apa yang bermain di fikiran Belut. Qhayrul memerhatikan persekitaran, memerhatikan gelagat orang yang berada di situ. Sekali-sekala mulutnya menguap. Masa yang berlalu bagaikan tiada ertinya untuk mereka berdua.
Ketika itu ada seorang perempuan baru sahaja melalui
kawasan mereka. Pandangan Qhayrul dan wanita itu sempat bertaut. Perempuan itu
beralih penglihatan tatkala perasan Qhayrul sedang memerhatikan dirinya.
Yusra Dahliyaa cukup tidak berkenan dengan lelaki memiliki penampilan
seperti Qhayrul. Dengan rambut pendek tapi berekor, tambahan lagi duduk lepak
membuang masa membuatkan rasa jengkel timbul di sudut hati Yusra Dahliyaa.
Langsung tidak mempunyai ciri-ciri untuk memimpin.
“Qhayrul, kau pun tengok minah tu juga ke?” tanya Belut setelah melihat mata Qhayrul tidak berkerdip memerhatikan Yusra Dahliyaa.
“Maksud kau?”
“Kau nampak tak apa yang aku nampak?”
Qhayrul melihat Yusra Dahliyaa dari belakang. Dari atas hinggalah ke bawah. Deria melihat Qhayrul terhenti pada bahu Yusra Dahliyaa. Lantas lelaki itu memandang Belut. Bibir Qhayrul sudah tersenyum simpul.
“Ni namanya tuah ayam nampak di kaki, tuah kita nampak kat beg tangan perempuan tu. Apa tunggu lagi? Mangsa dah ada, masa pun dah cantik, tempat ni pun line clear. Tengah tak ada orang sangat ni. Aku tunggu kau kat depan. Motor kau malam sikit baru kita ambil. Amacam? Okey?” cadang Belut.
Qhayrul membalas dengan menunjukkan tanda ibu jari. “Memang patut nama kau Belut. Dasar otak belit dan licik.”
Belut menyengih lalu menghidupkan enjin motosikalnya.
Langkah kaki Yusra Dahliyaa menjadi tidak tentu arah. Pandangannya juga silih berganti.
Sekejap dia pandang ke hadapan, sekejap dia memandang ke belakang. Deria keenamnya seperti membisikkan sesuatu yang buruk
akan berlaku. Yusra Dahliyaa merasakan ada seseorang sedang mengekorinya.
Sekali lagi kakinya berhenti daripada menapak. Dia menoleh, tetapi sekelumit kelibat tidak pun kelihatan. Yusra
Dahliyaa cuba membuang perasaan itu jauh. Dia menarik nafas lalu menghembus
perlahan. Sedaya upaya dia menenangkan dirinya sendiri.
“Yusra, insya-Allah, tak ada apa-apa yang berlaku. Ni semua perasaan kau sendiri aje,” ucap Yusra Dahliyaa terhadap dirinya sendiri.
Sebelum berpaling semula ke hadapan, mata Yusra Dahliyaa melilau sekeliling. Setelah pasti tiada apa yang mencurigakan, dia meneruskan semula perjalanannya. Beg tangan yang digantung pada bahu kanan dikepit kuat.
Tanpa wanita itu sedari, ada sepasang mata yang memandangnya di sebalik tiang konkrit yang ada. Qhayrul hanya menantikan masa yang sesuai. Sudah lebih satu minit Qhayrul mengekori Yusra Dahliyaa dan kali ini sudah tiba detik yang dia harus bertindak. Tanpa berlengah, Qhayrul mempercepat langkahnya. Seboleh mungkin Qhayrul tidak mahu kehadirannya dirasai oleh perempuan tersebut. Kekuatan yang tersimpan dalam diri disalurkan ke tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya.
Sebaik sahaja tangan kiri Qhayrul berjaya menggapai beg tangan berwarna hitam tersebut, Qhayrul cuba merentap dan merampas objek itu daripada Yusra Dahliyaa. Alangkah terkejutnya Yusra Dahliyaa ketika itu. Ternyata perasaan curiganya tadi adalah benar. Jantung Yusra Dahliyaa berdegup kencang dan laju seperti mahu terkeluar daripada badan.
“Ya Allah, peragut!” jerit Yusra Dahliyaa. Beg tangan Yusra Dahliyaa separuh berada di tangan Qhayrul manakala yang bahagian tali digenggam kuat oleh perempuan itu.
Qhayrul berusaha menarik beg tersebut,
menyebabkan tubuh Yusra Dahliyaa yang kecil turut terdorong sekali.
Tadinya kedudukan mereka di kaki lima kedai, kini di atas jalan raya, kawasan
tempat letak kenderaan berhadapan kedai.
“Lepaskan beg ni. Lepaskan kalau kau nak selamat!”
ugut Qhayrul sudah mula menggelabah melihat
tindak balas Yusra Dahliyaa. Jika dibiarkan, bimbang orang yang berada di
kawasan sekitar akan menyerangnya.
Wajah Yusra Dahliyaa sudah berubah. Dia tidak mahu berdiam diri setelah menerima ugutan daripada lelaki yang berada di hadapannya itu. Dengan ilmu asas seni mempertahankan diri tae kwan do yang dipelajari semasa zaman universiti dahulu, tangan Yusra Dahliyaa menarik beg tangannya lalu tubuh Qhayrul ke hadapan dan menghampiri Yusra Dahliyaa.
Qhayrul membulatkan mata. Jauh daripada jangkaannya akan jadi begini. Wanita itu melepaskan begnya dan tangan Yusra Dahliyaa dapat mencapai pergelangan Qhayrul. Yusra Dahliyaa menggenggam kuat pada kawasan itu lalu dia melipat tangan lelaki itu dan menyebabkan genggaman Qhayrul terlepas. Beg tangan Yusra Dahliyaa yang ada pada Qhayrul jatuh di atas jalan raya. Tidak cukup dengan itu, kaki kanan Yusra Dahliyaa menendang celah kelengkang Qhayrul. Dia mengerang kesakitan.
Qhayrul membongkokkan badannya, cuba menahan sakit yang ditanggung. Agak lama dia begitu. Sakit lebih bertimpa terasa di bahagian sensitif itu. Ego dan maruahnya sebagai lelaki tercalar. Tidak mungkin dia boleh kalah dengan seorang perempuan. Tanpa berfikir panjang, dia berdiri semula. Serangan tumbukan dengan arah lurus melalui tangan kanan dihalakan ke arah badan Yusra Dahliyaa.
Yusra Dahliyaa sempat menangkis dan menangkap sambil tangan kanan Yusra Dahliyaa laju meraih leher lawannya itu. Dia memutarkan badan ke belakang sebanyak 180 darjah. Dalam masa yang sama Yusra Dahliyaa menarik tangan Qhayrul dan cengkaman pada leher ditekan ke bawah untuk menambah kekuatan menjatuhkan lelaki tersebut. Kesan daripada tindakan Yusra Dahliyaa telah menyebabkan peragut yang meragut beg tangannya tadi jatuh terlentang di atas jalan raya.
“Aku susah payah cari duit, kau senang-senang nak curi duit aku?! Tuhan bagi badan sihat macam ni, pergilah cari kerja. Lelaki pula tu. Kalau kau dah kahwin, tak akan nak bagi anak bini kau hasil duit macam ni?!” marah Yusra Dahliyaa.
Qhayrul tidak membalas. Dahi Qhayrul berkerut, matanya terpejam. Belum lagi lenyap rasa sakit di bahagian kelengkang, sekarang seluruh badan tidak semena-mena terasa sakit dan sengal. Air liur yang ditelan juga tiba-tiba menjadi perit. Perasaan menyesal menyelubungi hati kerana mengikut cadangan Belut. Ternyata mereka tersilap memilih mangsa.
“Kalau ikutkan hati, memang aku nak bawa kau pergi balai polis sekarang ni.”
Mendengar sahaja perkataan balai polis, Qhayrul
membuka mata. Dia menggagahkan diri untuk berdiri. Dia perlu melarikan diri.
Yusra Dahliyaa hanya memerhati dan menanti tindak-tanduk
Qhayrul seterusnya. Yusra Dahliyaa sedikit pun tidak gentar dengan Qhayrul.
Dengan kekuatan yang ada, kaki Qhayrul melangkah laju mahu meninggalkan Yusra Dahliyaa. Tanpa menoleh kiri dan kanan, Qhayrul melintas jalan. Ketika itu, ada sebuah kenderaan sedang menuju ke arahnya. Yusra Dahliyaa yang mengetahui situasi tersebut spontan menarik lengan Qhayrul. Badan Qhayrul ke belakang, kemudian berpaling dan terus menghadap wajah Yusra Dahliyaa. Penglihatan mereka bertaut sekali lagi.
Kedengaran bunyi hon kereta berpanjangan. Kenderaan
pacuan empat roda itu berhenti serta-merta.
Pemilik kereta tersebut menurunkan cermin tingkap. Ekspresi si pemandu jelas
marah.
“Lain kali kalau nak bergaduh laki bini, kat dalam rumah. Jangan nak gaduh kat tengah jalan macam ni. Kalau dah kena langgar tadi macam mana?!” laung lelaki berbadan gempal itu sambil menyembulkan biji mata.
“Abang, minta maaf.
Sebenarnya dia ni...” Belum sempat Yusra
Dahliyaa menyudahkan kata-katanya, lelaki tersebut terus mencelah.
“Ah! Aku tak nak dengar
apa masalah kau orang berdua. Aku peduli apa! Sekarang ni nasib baik aku sempat
tekan brek. Kalau aku tak perasan tadi, mahunya berdarah kat atas jalan raya
ni. Ada otak tu, fikirlah!”
“Minta maaf, abang.
Minta maaf sebab nyaris libatkan abang,” ucap Yusra Dahliyaa dengan rasa
bersalah.
Yusra Dahliyaa mengungkapkan perkataan tersebut berkali-kali. Tak pasal-pasal aku kena minta maaf pula. Si pencuri ni dah jadi bisu ke? Patutnya minta maaf sekali. Lagipun aku tak salah apa-apa pun, bentak Yusra Dahliyaa dalam hati.
Wajah Qhayrul pucat. Peluh sudah memenuhi dahi. Jika dilihat dari bahagian sisi, jelas dada lelaki tersebut berombak. Qhayrul langsung tidak dapat menggerakkan kepalanya melainkan matanya melihat raut Yusra Dahliyaa. Perbuatan Yusra Dahliyaa sebentar tadi seakan-akan suis masa. Qhayrul merasakan dunia di sekelilingi tidak berputar. Hanya dia dan Yusra Dahliyaa sahaja wujud di situ.
“Nasib baik tak langgar orang. Hidup tu janganlah nak menyusahkan orang. Dah nama jalan raya, nak melintas tengoklah kiri kanan,” bebel lelaki itu lagi sambil kaki menekan pedal minyak lalu kenderaan tersebut beredar.
Yusra Dahliyaa menghembus nafas lega. Takdir masih menyebelahi mereka. Mujur lelaki itu tidak memanjangkan cerita dan terus berlalu pergi. Namun, ada sesuatu secara tidak sengaja datang dan ia masih belum pergi. Perasaan aneh yang singgah di hati Qhayrul pada detik itu.
“Kalau ya pun nak larikan diri, tengoklah kiri kanan dulu. Kang tak pasal-pasal ada kemalangan kat depan mata aku. Lepas tu bukannya reti nak minta maaf dengan abang tu tadi. Kau yang salah, aku pula yang kena marah.”
Qhayrul membisu. Terkesima dengan tindakan Yusra Dahliyaa. Sememangnya perempuan itu penuh dengan kejutan.
Yusra Dahliyaa baru menyedari kedudukan mereka rapat kerana merasakan pandangannya begitu hampir dengan wajah Qhayrul. Yusra Dahliyaa menjarakkan dirinya. Dia menanti balasan kata daripada Qhayrul, tetapi Qhayrul terus merenungnya. Dia ni tak bergerak pun dari tadi. Takkan dah meninggal kut? Meninggal dalam keadaan berdiri macam ni? Isy, takkanlah. Tapi, apasal pandang aku langsung tak berkerdip mata? soal Yusra Dahliyaa dalam hati. Hairan.
Tubuh Qhayrul seakan-akan kaku di situ. Niatnya tadi mahu melarikan diri hilang entah ke mana.
Yusra Dahliyaa sudah tidak senang melihat anak mata
Qhayrul yang terus memandangnya.
“Apasal kau tengok aku macam tu? Takut aku bawa kau pergi balai polis ke? Tak apalah, kali ni aku lepaskan kau. Aku harap kau ambil iktibar apa yang jadi hari ni. Cuba bayangkan kalau kau terlibat dengan kemalangan tadi? Nak dijadikan cerita kau meninggal masa kemalangan tu. Sia-sia aje kau meninggal masa nak meragut. Ni namanya Allah masih lagi beri kau peluang untuk berubah,” kata Yusra Dahliyaa.
“Kenapa kau selamatkan aku? Kau boleh aje biarkan aku
kena langgar tadi, kan? Aku dah cuba nak ragut
kau, tapi kenapa kau tarik lengan aku? Kau tak
takut ke kalau kau tolong aku ni macam kau dah tolong anjing yang tersepit? Kau
lupa ke apa yang aku dah buat kat kau tadi?” Bertalu-talu soalan yang
dilemparkan oleh Qhayrul kepada Yusra Dahliyaa.
Entah kenapa perasaan sebak muncul di sudut hatinya yang paling dalam. Belum pernah dia bertemu dengan insan seperti wanita yang berada di hadapannya itu.
Entah kenapa perasaan sebak muncul di sudut hatinya yang paling dalam. Belum pernah dia bertemu dengan insan seperti wanita yang berada di hadapannya itu.
Wajah Yusra Dahliyaa tiba-tiba bertukar menjadi pucat.
Tayangan kenangan silam muncul semula pada layar fikirannya. Selama ini
kenangan itu yang cuba dia padamkan daripada
kotak ingatan, tetapi langsung tidak berjaya.
Sebaliknya, kejadian hari itu seperti berulang kembali pada hari ini. Cuma
bezanya, dulu bukan di hadapan mata.
“Kau anggap aje itu semua takdir. Kau, peragut. Orang yang tak ada hati, tak ada perasaan dan sanggup meragut benda yang bukan hak milik kau, tapi aku tak sanggup melihat ada nyawa yang diragut kat depan mata aku,” balas Yusra Dahliyaa.
Qhayrul dapat melihat ada air mata yang bertakung pada
kelopak mata itu. Yusra Dahliyaa cuba bertahan. Dia mengambil beg tangannya
yang berada di atas jalan raya. Yusra Dahliyaa terus berlalu pergi tanpa
menoleh ke belakang.
Pandangan Qhayrul menemani langkah Yusra Dahliyaa sehingga perempuan itu lenyap daripada penglihatannya. Dia menekup muka dan meraup rambutnya ke belakang. Masih lagi tidak percaya dengan apa yang berlaku. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Perancangan yang pada mulanya mahu meragut sudah bertukar ke sebaliknya. Perempuan itu sudah menyelamatkan nyawa seorang peragut. Situasi seperti ini jarang berlaku. Atau sememangnya tidak mungkin pernah berlaku.
Perasaan Qhayrul semakin tidak menentu. Dia dibelenggu
perasaan bercampur aduk. Perasaan bersalah, menyesal, tidak sangka, terhutang
budi, semuanya menjadi satu. Tetapi, ada satu perasaan yang lain daripada lain terbit.
Rasa itu indah. Qhayrul tidak pernah menyangka hatinya mampu membisikkan
sesuatu. Dia tidak mengerti dengan perasaan tersebut. Nampaknya Qhayrul seperti
sudah jatuh cinta dengan penyelamat nyawanya itu.
No comments:
Post a Comment