Stylo Clique ^_^

Monday, December 8, 2014

You Are My Mr.Right - Bab 4



BAB 4

Topi keledar yang tersarung lantas ditanggalkan lalu dihempas ke jalan raya sebaik sahaja tiba di garisan penamat perlumbaan haram itu. Hati Qhayrul sudah diledak dengan perasaan marah dan tidak puas hati. Perasaan baran dan amarahnya semakin meluap-luap tatkala melihat Belut dan Kucai bersalaman dengan Todak. Todak sekali lagi memenangi pelumbaan haram pada malam tersebut.
“Kurang ajar!” pekik Qhayrul sambil berlari mendapatkan Belut dan Kucai yang berdiri tidak jauh dari tempatnya.
Belut dan Kucai menoleh kerana mereka kenal dengan pemilik suara tersebut. Qhayrul menolak kasar tubuh Belut.
“Oi, Qhayrul! Kau dah kenapa tolak-tolak aku ni? Tak puas hati?” bentak Belut
“Sial punya kawan. Aku tak sangka kau dengan Kucai boleh buat aku macam ni.”
“Apa yang kita orang dah buat, Qhayrul? Kau kenapa nak marah-marah ni?!” tanya Kucai dengan nada yang tinggi.
Pandangan Qhayrul sudah tidak tentu arah. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Dia tersenyum sinis. Terasa lucu dan kelakar soalan yang diajukan oleh Kucai. “Kucai, kau nak buat lawak dengan aku ke apa ni? Kau tanya aku kenapa?”
"Der, orang yang tiba-tiba terjah, tak masuk bagi salam ni kategori biadab namanya. Kau apa hal nak tolak Belut tiba-tiba? Muka tu dahlah penuh dengan lebam, takkanlah kau nak suruh kita orang buat kau makan pakai straw pula? Jangan buat perangai bodoh, der. Nak cari pasal ke?”
“Soalan kau yang bodoh ke aku yang bodoh sebab percayakan kawan? Kau dengan Belut himpit aku masa kat tengah jalan tadi, kan? Masa aku tengah laju, kau orang boleh halang jalan aku. Bukan sekali dua tau. Kalau sekali tu aku boleh anggap tak sengaja. Tapi, dah banyak kali, kau ingat aku buta? Kau nak menipu dengan orang yang kaki menipu? Memang taklah.”
Todak yang dari tadi menjadi tukang memerhati tertawa melihat drama yang berlaku di hadapan mata. Dia bersandar pada motosikal. Todak merangkul pinggang gadis berusia lewat belasan tahun yang berada di sisinya. Helaian rambut halus perempuan tersebut dicium lantas bibir lelaki itu menyinggah di pipi. Semakin melentok liuk umpama sotong tubuh itu melekat pada Todak.
“Qhayrul, mana ada kita orang buat macam tu? Kau dah salah faham ni,” kata Belut, cuba menyentuh bahu Qhayrul.
“Kau jangan nak bodohkan aku, Belut. Memang dasar Belut. Kaki belit. Kau memamg licik. Kau cakap nak tolong aku, tapi kau dah dajal aku masa kat jalan tadi. Kau sengaja buat aku kalah, biar Todak menang. Siap bersalam bagai bila budak ikan tu menang. Kenapa tak nak cium sembah kaki sekali?”
Selepas kejadian Alex dan Richard memberi dirinya amaran malam kelmarin, Qhayrul segera mencari Belut untuk meminta pertolongan. Qhayrul tidak dapat memikirkan jalan singkat yang lain melainkan hasil wang daripada pelumbaan haram. Apa yang menjadi masalah bagi Qhayrul ketika itu adalah modal untuk pertaruhan. Belut sudah berjanji mahu membantu Qhayrul dengan menggunakan duitnya terlebih dahulu.
“Orang dah kalah, tak payah nak bunyi. Jangan jadi macam anjing menyalak. Bayar sudah.” Todak tiba-tiba sahaja mencelah.
“Aku tak cakap dengan kau, Todak. Hal kau kejap lagi aku selesaikan dengan kau.”
“Woo... Abang besar sudah pekik. Okey, aku tunggu,” ucap Todak sambil mengangkat kedua-dua belah tangan separuh tinggi sebagai tanda seperti menghormati Qhayrul.
Marah Qhayrul sudah mencapai tahap maksimum. Tangan Qhayrul merentap kasar kolar baju milik Belut. “Kau cakap nak guna duit kau dulu Belut. Kau nak tolong aku, kan?! Sekarang ni apa cerita?!”
“Hei, setakat janji modal air liur macam mana aku nak tolong? Aku tolong Todak lagi bagus. Todak siap kasi aku kenduri ayam golek lagi. Takkanlah aku nak tolak.”
Sekumpulan lelaki yang menyertai perlumbaan haram tadi sudah mengelilingi kawasan. Mereka mahu menyaksikan pergaduhan yang akan bermula sebentar lagi setelah melihat tindakan Qhayrul terhadap Belut. Sebaik sahaja mendengar alasan rakan yang sudah menjadi lawannya itu, Qhayrul segera memberikan satu tumbukan ke muka Belut lalu dicampaknya tubuh itu ke jalan raya. Pandangan Qhayrul beralih kepada Todak yang sedang memandangnya.
“Biadab punya Todak. Kau memang suka tengok aku kalah macam ni, kan? Kau dendam dengan aku? Menang macam pengecut buat apa? Dasar dayus.” Qhayrul sengaja menaikkan darah Todak. Biar ego lelaki itu terasa goyah. Dia mahu membuat perhitungan secara adil.
“Dah kena belasah dengan lintah darat, nak rasa kena belasah dengan aku pula ke? Aku dayus? Kau yang ajak aku bakar ekzos malam ni. Aku setuju. Dah kira baik hati aku nak sediakan hadiah tambahan awek kat sebelah aku ni untuk kau. Kau dah kalah, kenalah bayar. Tak ada duit? Tak apa, motor buruk kau tu letak sebagai ganti duit. Aku terima aje.”
Qhayrul menggelengkan kepala. Tangannya sudah digenggam padu. Pedih gegendang telinga mendengar hinaan Todak. Tanpa membalas kata-kata Todak, Qhayrul mengayunkan tangannya ke muka lelaki itu. Gadis yang berada di sisi Todak menjerit dan menjauhkan dirinya daripada mereka berdua.
“Ha, itu bayaran aku kasi kat kau. Tu baru pendahuluan. Kalau kau nak selebihnya, aku boleh kasi. Kita lawan macam anak jantan. Kau dengan aku. Tak payah jadi pengecut,” cabar Qhayrul.
Tubuh Todak bergerak sedikit daripada kedudukannya. Todak tertunduk. Todak menggerakkan lidahnya. Lidah itu cuba menyentuh bahagian pipi yang terkena tumbukan dari dalam mulut. Ibu jari kanan mengesat cecair merah yang mengalir di bibirnya. Todak mahu membalas. Sebelum sempat dia bertindak, kedengaran bunyi siren kereta polis sudah menghampiri.
“Argh, sial! Siapa beritahu polis ni? Macam mana polis boleh tahu?” Soalan itu terpacul keluar dari mulut Todak. Dia menggelabah. Perhitungannya dengan Qhayrul terpaksa dilupakan.
Mereka semua bertempiaran lari, termasuklah Qhayrul, Todak, Belut dan Kucai.
“Ni mesti ada hantu kat sini,” ujar Kucai. Hantu yang diungkapkan oleh Kucai bukanlah hantu jelmaan ataupun jembalang. Sebaliknya, hantu itu adalah perumpamaan untuk perisik polis.
Masing-masing sudah mendapatkan motosikal sendiri. Situasi menjadi huru-hara dan kelam-kabut. Qhayrul berlari menuju ke arah motosikal Yamaha 125Z berwarna biru miliknya, tetapi salah seorang ahli kumpulan Todak sudah pun menghidupkan enjin motosikal tersebut dan beredar. Pasti Todak yang memberi arahan. Qhayrul buntu. Dia sudah berada di jalan mati. Qhayrul terpaksa menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk menyelamatkan diri daripada ditangkap oleh pihak polis.
“Berhenti, jangan bergerak!”
Qhayrul tiada pilihan lain. Polis yang hanya memakai pakaian biasa itu tidak tahu dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja muncul di hadapan Qhayrul. Dia membatukan diri.

------------------------------

Irdina menghirup perlahan susu segar sejuk yang berada di dalam muk. Terasa enak menikmati air kegemarannya itu. Muk berisi air tersebut diletak semula di atas meja setelah berbaki separuh. Tangan Irdina mengelap sisa air yang berada di atas bibirnya. Dia bersandar di kerusi yang diperbuat daripada kayu jati itu. Anak mata berwarna coklat hazel semula jadi itu memandang ke langit. Kerdipan bintang malam tersebut kelihatan malap.
Bunyi ngauman enjin motosikal Kawasaki Z1000 memasuki pekarangan rumah menghentikan lamunan Irdina. Dia memandang ke kawasan garaj dari pondok gazebo yang didudukinya. Diperhatikan sahaja tingkah pemilik kenderaan tersebut.
Isyraf menanggalkan jaket yang tersarung pada tubuh. Pandangannya terhinggap di pondok gazebo kerana penglihatan sisi Isyraf perasan yang lampu di kawasan itu menyala tidak seperti selalu. Lelaki itu memandang pergelangan tangan. Jam tangan digitalnya menunjukkan pukul 11.38 malam. Langkah Isyraf lemah menghampiri Irdina.
“Dah lewat, kenapa Ird tak tidur lagi?” soal Isyraf tatkala tiba. Nada Isyraf mendatar.
Irdina mengukir senyuman. Dia melihat penampilan abangnya. Lengan kemeja sudah dilipat hingga ke separuh lengan. Tali leher bercorak garisan halus terletak longgar pada leher itu. “Entah kenapa soalan yang Ird nak tanya ni lebih kurang bunyinya dengan soalan abang tu. Dah lewat ni, kenapa abang baru balik? ”
“Patutlah ramai yang tak betul kat dalam dunia ni. Payah betul bila soalan dijawab dengan soalan. Kalau kat dalam dunia ni semua orang nak bagi soalan, siapa pula yang nak bagi jawapan?”
“Dari hari kelapan arwah abah pergi sampailah hari ni hari ke-12, Ird baru nampak batang hidung abang. Nama aje menghirup udara yang sama, berpijak di bumi yang serupa, tapi langsung tidak bertentang suara. Untuk jawapan pada soalan abang tu, Ird tengah tunggu abang balik. Sebab tu Ird tak tidur lagi.”
“Memang dari dulu lagi kan kita macam ni? Jadi, takkanlah lepas abah pergi tiba-tiba nak jadi rapat pula. Abang banyak kerja kat restoran dengan pejabat tu. Banyak benda yang abang kena uruskan. Sebab tu balik lambat macam ni.”
“Tapi, kenapa Ird rasa abang macam nak mengelak aje daripada Ird?”
“Kat rumah ni biasanya ada arwah abah dengan abang. Bila Ird ada, nak melangkah rasa canggung, nak bernafas pun rasa tak kena. Abang tak biasa,” ujar Isyraf, berterus terang.
“Kenapa nak rasa canggung, kenapa mesti rasa ada yang tak kena bila Ird ada kat rumah ni? Ird nak tanya, pernah ke abang anggap Ird ni adik abang?”
Isyraf mengeluh berat. Hari ini satu hari suntuk dia menyelesaikan kerja pejabat yang tertunggak. Terasa penat menguasai jiwa. Isyraf merasakan pertanyaan yang baru sahaja didengar itu bukan sahaja menyesakkan fikiran, malah lebih terbeban daripada kerjanya tadi.
“Abang nak naik dulu. Penat,” ucap Isyraf, kemudian mahu mengatur langkah menuju ke dalam.
Irdina mengangkat punggungnya setelah mendengar balasan kata daripada Isyraf. Rasa tidak puas hati kerana Isyraf tidak menjawab pertanyaannya dengan tepat. “Ird balik dari Perth bukan setakat kerana arwah abah aje, tapi Ird nak jernihkan apa yang keruh antara kita. Walaupun tidak berkongsi ibu yang sama, Irdina Wira tetap berkongsi ayah yang sama dengan Isyraf Wira.”
“Sama tak semestinya serupa, Ird. Abang tak paksa Ird pun supaya berbaik-baik dengan abang. Esok tak payah tunggu abang. Lusa baru kita jumpa masa pembacaan wasiat arwah abah.”
Memang payah bila berbicara dengan Isyraf. Itulah sikap Isyraf sejak hari pertama Irdina dilahirkan. Dia bersikap dingin terhadap adik kandungnya itu. Dia tidak membenci, namun entah mengapa terasa sukar untuk menerima kehadiran perempuan tersebut dalam hidupnya. Lelaki itu merasakan tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempat ibunya, Melati. Melati pergi meninggalkan mereka berdua setelah mengalami komplikasi buah pinggang tatkala Isyraf berusia lapan tahun.
Ketika umur Isyraf mencecah sembilan tahun, tidak semena-mena Idrus telah mengambil keputusan untuk memperisterikan Azreena iaitu ibu Irdina walhal belum cecah setahun pemergian Melati. Kenyataan itu bertambah sukar untuk diterima oleh Isyraf tatkala mengetahui Azreena berbadan dua dalam tempoh lima bulan perkahwinan mereka. Bukannya Azreena tidak melayannya seperti anak sendiri, tetapi sikap dingin dan tidak endah sememangnya semula jadi wujud dalam diri Isyraf.
“Jumpa dengan darah daging sendiri pun nak kena ada temu janji?”
“Buat apa nak jumpa abang? Lagipun, lepas semuanya selesai kat sini, Ird balik Perth semula, kan?”
“Ird memang akan balik Perth semula, tapi bukan untuk tinggal kat sana lagi. Lepas urusan Ird dah selesai, Ird akan balik dan tinggal kat Malaysia sampai bila-bila. Ird dah ambil keputusan nak sambung belajar Ird kat sini. Lantaklah abang setuju ke tidak. Abang pun tak anggap Ird ni adik abang, kan?”
“Abang tak cakap macam tu,” balas Isyraf apabila mendengar susunan ayat Irdina yang seakan-akan merajuk itu.
“Dah tak pula. Ah... susahlah cakap dengan abang ni. Bila cakap dengan Isyraf Wira ni macam berjalan dalam gelap. Nak ke depan salah, nak ke belakang pula rasa tak kena. Memang hobi suka buat orang sentap,” bentak Irdina.
Gadis berambut pendek berusia 21 tahun itu menjeling tajam ke arah Isyraf. Muk yang terletak di atas meja dicapai kasar. Irdina melulu masuk ke dalam rumah meninggalkan Isyraf di pondok itu tanpa menoleh ke belakang.

Tangan kanan Isyraf singgah di dahi lalu mengusap rambutnya yang hampir kusut. Irdina adalah satu-satunya orang yang mempunyai pertalian darah yang rapat dengan lelaki itu setelah Idrus Wira meninggalkan mereka berdua untuk selama-lamanya. Setelah melihat Irdina menaiki tangga untuk ke tingkat dua, barulah Isyraf mengambil keputusan untuk masuk ke dalam. Dia berjalan sambil meleraikan ikatan tali lehernya yang longgar itu.

No comments:

Post a Comment