BAB 3
"Astaghfirullah al-azim,” ucap Mizza Ilyana, beristighfar sambil
tapak tangannya ditekapkan ke dada. Terkejut mendengar cerita kawan baiknya
itu.
“Aku bersyukur sangat tak ada benda buruk jadi kat
aku. Takut juga kalau lelaki tu ada senjata. Katakanlah peragut tu ada pisau...”
“Isy, kau ni, janganlah
cakap macam tu, Yusra. Aku membayangkan kejadian
tu pun dah cukup ngeri dan seram.”
“Aku cuma ingat Rafi aje masa kejadian tu. Mizza,
bukan senang aku nak cari duit. Memang orang cakap kita kena pentingkan
keselamatan, tapi duit yang ada pada aku ni
ajelah duit untuk aku besarkan Rafi. Kalau aku tak pertahankan, macam mana
dengan Rafi? Aku tak kisah apa yang jadi kat diri aku, tapi aku tak nak
kehidupan anak aku terjejas,” ujar Yusra Dahliyaa sambil
memandang Rafi Huzaifa yang sedang seronok bermain di ruang permainan di dalam restoran makanan segera itu.
Pandangan Mizza Ilyana tepat ke arah wajah ibu tunggal
itu. Pandangan gadis tersebut disulami dengan rasa sayu dan simpati. Jari-jemarinya menggenggam tangan Yusra Dahliyaa.
“Yusra, janganlah macam ni. Keselamatan kau tu pun
penting. Kalau jadi apa-apa kat kau, macam mana dengan Rafi? Rafi dengan kau
saling memerlukan. Alhamdulillah, kau tak ada
apa-apa. Nasib baik kau ada belajar tae kwan do dulu. Berguna juga untuk masa
kecemasan macam petang semalam tu.”
“Aku boleh bertahan sampai sekarang sebab Rafi dengan
kau. Aku rasa aku tak mampu nak hadapi semua dugaan ni kalau kau dengan Rafi
tak ada kat sisi aku.”
Mizza Ilyana mengukir senyuman. Genggamannya semakin
erat. Dia cuba menyalurkan semangat ke tubuh Yusra Dahliyaa.
“Kau kawan baik aku. Kita dah lalui macam-macam sejak
zaman universiti lagi. Aku kenal kau dengan arwah Ra’if dah lama. Kau jangan
risau ya. Biar apa pun yang terjadi, aku tetap ada untuk kau.”
“Terima kasih, Mizza.
Aku minta maaf sebab dah banyak menyusahkan kau selama ni.” Yusra Dahliyaa
membalas erat tangan Mizza Ilyana.
“Kau langsung tak menyusahkan aku. Kau lagilah banyak
tolong aku. Kau lupa ke dulu masa aku demam panas, siapa yang susah payah jaga
aku kalau bukan kau? Balik aje daripada kuliah, kau tuam kepala aku ni dengan
air batu. Siap belikan aku bubur, sup ayam. Lepas tu kau siap berjaga malam
lagi masa aku muntah-muntah. Aku ingat sampai hari ni tau.” Mizza Ilyana
meleraikan tangan mereka lalu menggapai cawan
kertas yang terletak di atas meja. Air berkarbonat berbaki separuh dihirup.
Kentang goreng yang sudah sejuk dikunyah laju.
“Tak seberapalah apa yang aku buat dulu dengan apa
yang kau buat pada aku sekarang.”
“Sama ajelah. Dahlah, jangan difikirkan sangat.
Sekarang ni betul ke kau tak nak buat laporan polis? Kau cam tak muka peragut
tu? Kalau aku ada kat tempat kau, memang aku tak akan lepaskan budak tu. Biar
aje peragut tu kena langgar dengan kereta.”
“Tak apalah. Kali ni biarlah dia terlepas. Harap-harap
dia dah insaf. Entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku boleh selamatkan dia.
Mungkin sebab kejadian petang semalam tu hampir sama dengan kejadian enam tahun
lepas. Mungkin sebab aku tak mampu nak hadapi situasi macam tu lagi, aku
selamatkan lelaki tu.” Riak muka Yusra Dahliyaa tidak seperti tadi. Otaknya
sekali lagi memutarkan kembali peristiwa petang semalam dan enam tahun yang
lalu. Yusra Dahliyaa menundukkan kepala.
“Kau janganlah sedih macam ni. Apa yang berlaku semuanya ada hikmah yang Allah nak kasi. Kau
adalah orang yang tabah dan kuat yang pernah aku kenal.”
“Insya-Allah, Mizza.”
“Habis tu, macam mana dengan sewa rumah kau bulan ni?”
“Aku pun tak tahu. Kau kan tahu tiap-tiap bulan aku
bayar 650 kat lintah darat tu. Hari tu pun cikgu Rafi dah minta duit yuran
bulanan. Nak tak nak aku kena bayar juga walaupun sikit,” luahYusra Dahliyaa.
“Kau cakap pasal arwah Ra’if dengan si lintah darat
tu, sampai sekarang aku tak percaya yang Ra’if boleh pinjam duit dengan along tu.”
“Hidup kita orang dulu lepas kahwin susah, Mizza. Aku tahu niat dia nak sara aku. Susah payah
dia cari duit siang malam nak menampung kehidupan kami masa tu. Dengan susah
nak cari kerja sebab tak habiskan pengajian, apa yang Ra’if mampu cuma kerja
biasa-biasa aje. Bila kawan dia ajak berniaga, dia pun cari modal. Nak cepat
dapat duit, tu yang dia pinjam dengan along
tanpa pengetahuan aku. Tapi, tak sangka pula
kawan sanggup makan kawan,” terang Yusra Dahliyaa walaupun rakannya itu sudah
mengetahui kisah tersebut.
Mizza Ilyana mengambil dompet yang berada di dalam beg
tangannya. Dia mengeluarkan lima keping wang kertas bernilai RM50 lalu diletakkan
di atas meja. Setelah itu dia memasukkan semula dompetnya ke dalam beg.
Yusra Dahliyaa yang melihat tingkah laku gadis itu
seperti dapat mengagak apa yang akan berlaku sebentar lagi. “Mizza, kenapa kau...”
Tidak sempat Yusraa Dahliyaa menamatkan bicara, tangan
Mizza Ilyana sudah terlebih dahulu bergerak. Kepingan kertas mempunyai nilai
itu diseret oleh Mizza Ilyana ke arah Yusra Dahliyaa yang berada bertentangan
dengannya. “Yusra, ini aje yang aku boleh tolong kau. Duit ni kau bayar sewa
rumah kau bulan ni.”
“Mizza, apa ni? Hutang kau yang lepas pun aku tak
boleh nak bayar lagi. Tak payahlah.” Yusra Dahliyaa segan unuk menerima wang
tersebut. Hatinya sudah dirundung perasaan bersalah. Sudah banyak kali Mizza
Ilyana membantunya dari segi kewangan.
“Tak apa, kau ambil aje. Wak Osman tu kan mana boleh
lambat bayar. Bulan lepas punya sewa pun kau tak bayar lagi, kan? Nasib baiklah orang tua tu tiba-tiba baik hati
kasi tangguh dulu. Kalau bulan ni kau tak bayar, mahunya Wak Osman tu halau
kau. Bila dah kena halau, kau nak duduk mana? Yuran bulanan tadika Rafi dengan day care aje dah 350. Dengan duit perbelanjaan
harian kau pergi kerja, bil lagi, duit makan kau anak-beranak,
mana cukup dengan baki yang kau ada tu. Lagipun Rafi dah macam anak aku juga.
Tunggu kau kahwin dengan anak orang kaya, baru kau bayar duit aku yang
lepas-lepas tu. Bukan kau yang minta, aku yang nak kasi ni,” bebel Mizza Ilyana
dengan panjang lebar.
Bibir itu tersenyum. Jauh di sudut hati Yusra Dahliyaa
sememangnya dia amat memerlukan duit tersebut. “Mizza, aku tak tahu...”
“Sudah, tak payah nak
Mizza, Mizza sangat. Aku tahu kau nak cakap apa.
Kau tak payah nak hutang budi sangat dengan aku. Apa yang aku mampu, aku akan
tolong. Setakat ni belum luak apa-apa lagi dalam hidup aku ni bila tolong kau.
Allah tambah rezeki ada. Tak payah nak buat drama ya.”
“Terima kasih, Mizza.”
“Sama-sama. Dah, makan ayam goreng kau tu. Kalau kau
tak nak, aku ambil,” gurau Mizza Ilyana.
Yusra Dahliyaa tertawa. Pandangannya kembali semula ke
arah Rafi Huzaifa. Anak lelakinya itu sedang menurui gelongsor.
“Rafi, sini makan.
Sudah-sudahlah tu main,” panggil Yusra Dahliyaa.
“Kejap, ibu, Rafi nak
main lagi ni,” balas Rafi Huzaifa lalu menaiki tangga permainan yang ada.
Kepala Yusra Dahliyaa menggeleng laju.
“Budak-budak memang macam tu. Anak saudara aku pun
sama perangai. Selagi tak dipaksa, mana nak makan. Ingat main aje tak
sudah-sudah. Tak apa, biar aku pujuk dia. Kau makanlah. Aku tengok kau ni pun
makin kurus. Jaga makan minum kau,” pesan Mizza Ilyana lalu bangun. Dia
melangkah menuju ke arah Rafi Huzaifa.
Yusra Dahliyaa membisu. Dia memerhatikan sahaja
pergerakan rakannya itu.
Bau haruman nasi goreng kampung menyengat ke hidung Qhayrul. Beg plastik berwarna
merah yang mengandungi polisterina berisi
makanan tersebut dijinjing kemas sebaik sahaja dia melangkah keluar dari restoran itu. Plastik yang mengandungi air teh
ais dihalakan ke mukanya. Straw yang terjulur keluar disedut. Terasa enak air
itu melalui deria rasa lalu menuruni tekak. Qhayrul berulang kali melakukan
perbuatan itu untuk menghilangkan rasa dahaga.
“Wah, tauke, banyak
syok minum itu air,” tegur suara itu tiba-tiba sebaik sahaja Qhayrul tiba di
tempat letak motosikalnya.
“Tauke macam ada wang aje. Kasi belanja kita dua oranglah tauke,” ucap lelaki yang seorang lagi.
Qhayrul menoleh. Melalui lampu jalan yang menerangi
waktu malam, Qhayrul dapat melihat dengan jelas wajah mereka berdua. “Alex,
Richard...”
Qhayrul terkejut dan kaku di situ. Plastik air yang
berada di tangan terlepas. Terketar-ketar bibir Qhayrul menyebut nama mereka.
Jika ditoreh wajahnya, pasti tiada darah yang mengalir. Sisa baki air yang
berada di mulut ditelan pahit.
“Qhayrul, lu nampak
hantu ke?” perli Alex dengan pelat Cinanya.
“Alex, takkanlah lu nak
buat kecoh dekat sini? Sini ramai orang ma.”
“Eh, ada ke gua cakap nak buat kecoh?”
Richard yang berada di sisi Alex melangkah perlahan
menghampiri Qhayrul yang sudah menggelabah itu.
“Qhayrul, gua banyak
lapar sekarang. Tengok muka lu, perut gua lapar. Boleh gua tengok apa yang lu
beli tak?” soal Richard lalu tangannya merampas plastik yang digenggam oleh
Qhayrul.
Lelaki itu membiarkan sahaja. Tangannya sudah mulai
sejuk.
Tanpa rasa bersalah, Richard mengambil sudu dan
menyuap nasi goreng tersebut ke dalam mulutnya tatkala bungkusan polisterina itu dibuka.
“Richard, itu nasi tauke yang punya. Apa pasal lu yang
makan?” tanya Alex dengan nada sinis.
“Alex, ini tauke ada wang. Dia belanja gua makan. Ada
wang beli ini nasi, takkan tak ada wang mahu bayar hutang along. Betul tak Qhayrul?” sindir Richard pula, tangannya sudah menepuk-nepuk bahu Qhayrul.
“Richard, Alex, hutang gua
dengan along, gua ingat nak minta tangguh.”
“Apa? Tangguh ah? Masa lu pinjam dengan along, along kasi itu
wang ada tangguh-tangguh ke?”
“Alex, ini benda boleh
bincang.”
“Bincang? Boleh, gua tak kisah punya. Tapi, bincang kat tempat terang tak syok. Gua tak suka
tempat terang. Banyak gangguan. No privacy. Kita bincang
tempat gelap sikit. Private and confidential. Baru eksklusif ma. Wa nak kasi hadiah sama lu pun senang.”
Dahi Qhayrul sudah berpeluh. Dia seperti dapat
mengagak apa yang akan berlaku sebentar lagi.
“Qhayrul, ini nasi gua sudah makan separuh. Lagi
separuh lu makan. Baru orang cakap best friend forever. Jom,
kita pergi belakang. Kasi bincang macam yang lu nak.”
Richard menutup kembali polisterina
itu lalu memasukkan objek tersebut ke dalam plastik. Plastik berwarna merah itu
diletakkan ke dalam bakul motosikal Yamaha 125Z milik Qhayrul. Kedua-dua orang
kanan along itu memaut lengan Qhayrul. Alex dan
Richard membawa Qhayrul ke lorong belakang kedai. Sebaik sahaja tiba di kawasan
tersebut, Alex dan Richard menolak tubuh lelaki itu ke timbunan sampah. Qhayrul
jatuh tersembam.
“Ha, sekarang apa mahu
bincang? Cepat cakap,” arah Alex.
Richard menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan.
Lelaki Cina itu juga mematahkan sendi jari-jemari dan tangannya. Bunyi letupan pada sendi akibat daripada perbuatan itu
didengar oleh Qhayrul. Richard sudah siap
bersedia untuk memberikan hadiah istimewa kepada Qhayrul jika mendapat isyarat
daripada Alex.
Qhayrul cuba bangun. Bau sampah sudah melekat pada
bajunya. Sedaya upaya dia cuba bertentang mata dengan Alex dan Richard. “Tolonglah, Alex. Gua memang tak ada wang. Gua tak boleh bayar
hutang along sekarang.”
“Gua memang tak kisah. Tapi, bila gua jumpa along nanti, wa nak cakap macam tu ke sama dia? Lu tahu kan along tu macam
mana punya orang? Kalau dia nak, itu maksud dia memang nak itu wang. Tak boleh
kata tak boleh bayar.”
“Tolonglah, Alex. Gua
merayu sama lu. Kasi gua masa. Kurang-kurang satu minggu. Gua kena cari wang
dulu,” pinta Qhayrul sambil melutut lalu memegang kaki kanan Alex.
“Helo, tauke, hutang lu
dengan along sudah boleh buat itu down payment kereta tau. Silap-silap down payment rumah pun boleh. Itu baru hutang, belum itu bunga lagi. Lu ingat along nak kasi lepas macam tu ke?” balas Alex dalam
masa yang sama tangannya menunjal dahi Qhayrul.
Ketika itu Qhayrul merasakan maruahnya seperti
dipijak-pijak. Egonya sebagai seorang lelaki sudah dilontar jauh sama seperti
dengan dirinya yang dicampak tadi.
“Itulah, lain kali
kalau tak boleh telan, lu jangan makan. Kalau lu makan, lu kena telan ma. Gua
ingat wa boleh kasi lu tempoh seminggu. Gua kasi kautim sama
lu.”
Qhayrul mendongak memandang wajah Alex. Tidak
menyangka si lintah darat itu akan berkata sedemikian. “Betul ke, Alex?”
“Betul. Gua tak tipu punya orang. Gua tak macam lu.
Selalu tipu, ‘kencing’ sama along. Tadi pun lu
sudah belanja Richard makan itu nasi, kan? Lu
dengan Richard sudah jadi best friend forever.
Tauke, lu jangan ini macamlah. Jangan tunduk sama gua. Lu bangun,” suruh Alex.
Seperti orang suruhan yang mengikut arahan tuannya,
Qhayrul bingkas berdiri. Richard dan Alex saling berpandangan. Richard faham
benar dengan gerak badan dan bahasa tubuh rakannya itu. Mereka berdua adalah
orang kepercayaan along. Sejak zaman remaja lagi mereka sudah bekerja di bawah arahan kepala
lintah darat tersebut.
“Betul apa Alex cakap tu,
Qhayrul. Lu sudah kasi gua makan tadi. Mestilah kita mahu balas lu punya budi.
Kita orang kasi lu tempoh satu minggu bayar itu wang.”
“Terima kasih, Richard,
Alex. Gua akan cari itu wang. Gua janji.”
“Tak payah janjilah,
tauke. Bukan hari-hari kita orang baik macam ni tau. Itu nasi lu belanja memang
sedap. Perut gua macam sudah kenyang, tapi hati gua yang tak kenyang. Tangan gua pun rasa
ringan aje. Gua ingat mahu kasi lu hadiah la,
tauke. Baru hati gua ni ada syok sikit.”
“Hadiah?”
Alex sudah tersenyum. Dia mengangguk.
Richard faham dengan maksud pergerakan tersebut.
Richard menarik bahagian dada baju Qhayrul. Dia menghentakkan tubuh Qhayrul ke
dinding. Satu tumbukan hinggap ke pipi Qhayrul. Bahagian rahang pipi lelaki itu
terasa bisa. Qhayrul mengerang kesakitan.
Alex mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakan rokok
tersebut. Dia bersandar di dinding bertentangan dengan Richard dan Qhayrul. Dia
menyedut dalam-dalam rokok tersebut. Kemudian, asap berkepul-kepul keluar dari
hidung dan mulutnya. Sekali lagi bibir itu melengkung ke atas. Terasa puas
melihat Richard memberikan tumbukan dan tendangan berulang kali kepada lelaki
tersebut.
No comments:
Post a Comment