BAB 9
Berpinar-pinar seketika pandangan Qhayrul tatkala menatap langit. Nafasnya menjadi
tercungap-cungap. Lelaki itu cuba menghirup sebanyak mungkin oksigen yang
berada di sekelilingnya. Matanya melilau di kawasan lorong belakang yang sunyi
itu. Qhayrul menyandarkan tubuh ke dinding luar salah satu kedai yang terletak
berhampiran dengan kawasan perumahannya.
“Macam mana aku boleh lupa yang hari ni dah genap
seminggu janji dengan lintah darat tu?”
Beberapa minit yang lalu, Qhayrul baru sahaja pulang
dari kedai runcit. Dengan berbekalkan baki wang yang ada, Qhayrul membeli dua
bungkusan yang mengandungi lima paket mi segera untuk satu bungkusan sebagai
bekalan makanannya selama lima hari. Alangkah paniknya Qhayrul apabila melihat
kelibat Alex dan Richard sudah berada di hadapan rumah sewanya.
Tanpa mengambil masa yang lama, Qhayrul membatalkan
niat untuk pulang. Dia cuba beredar tanpa disedari oleh dua orang lelaki itu,
namun tidak berjaya. Alex sudah terlebih dahulu menghidu rasa takut dan
menangkap bayang-bayang Qhayrul. Dengan kudrat yang ada, Qhayrul langkah
seribu.
Tangannya yang tadi menjinjing beg plastik yang
mengandungi mi segera sudah menjadi kosong. Beg plastik berwarna merah itu
sudah dicampak jauh entah ke mana. Biarlah dia tidak makan sekalipun, asalkan wajahnya tidak menjadi bertambah
lebam.
Mata Qhayrul meliar lagi. Dia masih belum merasakan
dirinya selamat berada di situ. Dia mahu melangkah,
namun tenaganya seakan-akan tidak mampu untuk
menggerakkan kakinya. Pada detik itu juga, telinga Qhayrul menangkap bunyi
sesuatu berdetap. Bunyi kaki melangkah laju semakin menghampiri. Mahu ataupun
tidak, Qhayrul mesti meninggalkan kawasan tersebut. Perasaan takut dan cuak
menyebabkan Qhayrul lupa dengan keadaan dirinya yang kian letih. Dia berlari
sekuat hati ke kawasan hadapan lalu menuju ke tempat letak kenderaan kedai.
Kawasan tersebut kelihatan ramai orang dan lelaki itu menarik sedikit nafas
lega.
Lariannya terhenti tatkala tiba di sebuah kereta.
Kereta Proton Perdana itu tidak bergerak, tetapi
masih kedengaran bunyi enjinnya. Qhayrul menongkat tangan dan cuba menampung
dirinya di bahagian bonet belakang. Penglihatan Qhayrul tertunduk. Dia
memandang turapan jalan raya sambil mengesat peluh yang mengalir dari dahi ke
dagu dengan baju lengan pendeknya.
Saat Qhayrul mendongak, dia dapat melihat kepala Alex
dan Richard bergerak kiri dan ke kanan berulang kali dari jauh. Tidak mahu
berfikir panjang, Qhayrul menuju ke pintu belakang belah kanan kereta tersebut
dan dia segera melabuhkan punggung ke atas jalan. Dia menyandarkan tubuhnya ke
pintu. Sekurang-kurangnya lelaki kaki pukul itu tidak dapat melihat kelibatnya
untuk sementara waktu.
Apa aku nak buat ni? Kalau keluar dari sini, mesti dia
orang nampak aku. Aku kena menyorok ni, ucap Qhayrul sendiri dalam
hati.
Dada Qhayrul semakin berombak. Nafasnya juga semakin
tidak menentu. Tidak semena-mena dia tergerak untuk menyentuh pembuka pintu
kereta tempat dia bersandar itu. Otaknya terlintas
untuk bersembunyi di dalam kereta tersebut. Dia mencuba nasib. Qhayrul
mengenakan daya pada hujung jemarinya. Manalah tahu kereta itu tidak berkunci.
Ternyata takdir menyebelahi Qhayrul dan tangan kanan itu menarik pantas pintu
tersebut.
Qhayrul menghenyakkan badannya ke kerusi dan menutup
kembali pintu. Pandangannya menangkap ada seorang lelaki tua sedang duduk di
tempat pemandu berdasarkan rambut putih yang hampir memenuhi kepala kelihatan dari belakang.
“Pak cik, jangan terkejut. Saya nak tumpang duduk
kereta pak cik kejap. Saya tak nak curi atau ragut
mahupun nak samun pak cik. Saya ada masalah. Pak ciklah yang dapat tolong saya
buat masa ni. Jadi, saya nak minta pak cik bagi saya duduk kat dalam kereta ni
sekejap,” pinta Qhayrul sambil dia tunduk dengan nafas seperti ikan yang timbul
di permukaan air.
Qhayrul menantikan balasan,
tetapi lelaki tua itu mendiamkan diri. Qhayrul menganggap yang lelaki tersebut
sudah memberinya kebenaran memandangkan dia tidak menunjukkan sebarang
bantahan.
“Pak cik jangan keluar dulu dari
kereta. Pak cik yang boleh selamatkan saya sekarang ni. Ini soal hidup dan mati
saya,” tambah Qhayrul lagi.
Qhayrul memandang luar melalui cermin tingkap.
Kebetulan Alex dan Richard lebih kurang 10 meter dari arahnya. Lelaki itu
baring di kerusi belakang agar dia dapat berselindung. Meskipun kebarangkalian
dia untuk ditangkap sudah berkurangan, perasaan gusar masih lagi menyelubungi
diri. Dia berdebar-debar. Tangannya menekup mulut.
Manik jernih peluh mengalir lagi. Udara penghawa
dingin kereta tidak mampu mendinginkan tubuh Qhayrul. Peluh itu mengalir
terkena pada matanya dan menimbulkan rasa pedih. Qhayrul memejamkan mata. Jauh
di sudut hati kecil itu tidak berhenti berharap agar Alex dan Richard segera
beransur pergi.
Selang 10 minit
kemudian, Qhayrul menggerakkan tubuhnya yang dari tadi kaku. Dia bangkit daripada baringan dan menjengah ke bahagian cermin
belakang. Qhayrul yakin dua orang lelaki itu sudah tidak berada di sekitarnya.
Qhayrul menghembuskan nafas lega lalu berpaling ke hadapan.
“Pak cik, terima kasih sebab tolong saya. Pak cik dari
tadi senyap aje, rasa ada yang tak kena ke sebab saya ada kat belakang ni?”
soal Qhayrul.
Sekali lagi
lelaki yang berada di hadapan itu tidak bersuara.
“Sebenarnya ada orang cari saya, tapi saya tak boleh nak bayar hutang. Saya tak nak kena belasah,
sebab tulah saya menyorok kat dalam kereta pak cik ni. Saya memang tak ada niat
apa-apa pun.”
Seperti yang dijangka, lelaki tersebut masih tidak
memberikan sebarang jawapan. Eh, orang tua ni dari tadi senyap aje? Bisu ke apa? Nak kata tak ada orang, nampak badan.
Siap dengar bunyi enjin kereta lagi. Takkanlah dia ni hantu pula? Habis tu, badan siapa pula yang ada kat depan ni?
Bertubi-tubi soalan muncul di benak fikiran Qhayrul.
Terasa misteri dengan reaksi yang diberikan oleh lelaki itu. Entah mengapa
timbul pula perasan ingin tahu. Qhayrul menjulurkan kepala ke hadapan. Dia cuba
untuk bertentang mata dengan lelaki tua itu,
tetapi pandangan mereka tidak bertaut. Kepala lelaki tersebut terlentok ke
kanan? Tidak sama seperti semasa Qhayrul
mula-mula masuk ke dalam kereta tadi.
Qhayrul membulatkan mata ketika melihat mata lelaki
itu terpejam rapat. Perasaan ingin tahu bertukar kepada panik. “Ya Allah... Pak cik, pak cik! Sejak bila pak cik pengsan ni?!”
Tangan Qhayrul menggerakkan tubuh itu dengan kasar. Tidak berpuas hati
dengan perbuatannya yang terbatas, Qhayrul membuka pintu lalu keluar. Dia
beralih ke pintu hadapan. Qhayrul menguak pintu kereta tersebut dengan tangkas.
“Pak cik, pak cik!
Bangun, pak cik,”
arah Qhayrul. Kedua-dua tapak tangan Qhayrul berada di pipi lelaki tua itu.
Qhayrul menepuk bahagian anggota tersebut.
“Pak cik... pak cik tak boleh mati kat
sini. Saya tak tahu nak buat apa ni. Pak cik,
pak cik!” Suara Qhayrul sudah meninggi.
Tali pinggang keledar yang terpasang kemas ditanggalkan. Dia membuka
kedua-dua pintu hadapan kenderaan tersebut agar ruang lebih terbuka dan
menyumbang untuk pernafasan. Qhayrul menekapkan telinga ke bahagian dada
pemilik kereta itu. Qhayrul berharap yang gegendang telinganya masih lagi dapat
menangkap bunyi degupan jantung.
------------------------------
Sudu yang berada di dalam cawan
diapit kemas di antara ibu jari dan jari
telunjuk Mirza. Mirza mengacau perlahan campuran minuman tersebut. Gula yang
termendak di dasar cawan sudah menjadi larut, kemudiannya sebati dengan kopi,
susu dan krim kental. Kepulan asap nipis menyapa ke wajah lalu menghasilkan bau
yang harum. Itulah minuman kegemaran Mirza. Caffe latte.
“Banyak kali uncle dengar
Mizza sebut nama Yusra. Sekali-sekala ada juga
Mizza bercerita pasal kamu. Selama ini uncle cuma
kenal Yusra Dahliyaa sebagai kawan baik anak bongsu uncle ni aje. Beberapa hari lepas uncle dengar
pula nama Yusra dari mulut majikan uncle. Jadi,
memang Yusra tak tahu apa sebabnya Yusra dengan Rafi dapat saham Warisan Wira
tu?”
“Saya memang tak tahu, uncle. Puas saya fikir, penat saya imbas ingatan
saya ni. Saya memang tak tahu apa sebabnya.”
Mirza mengangkat perlahan cawan berwarna putih itu dan
dihalakan ke mulut. Perlahan-lahan kopi itu dihirup. Terasa hangat membasahi
tekaknya. Tisu yang berada di atas meja diambil untuk menyapu sisa kopi yang
tertinggal di atas bibir. “Agaknya memang dah rezeki Yusra dengan Rafi kut.
Tuan Idrus tu tak macam orang lain. Agak pendiam dan misteri orangnya. Dia tak
beberapa suka bercerita akan hal peribadi dia. Dengan uncle pun jarang, padahal uncle ni setiausaha merangkap pembantu peribadi dia. Dah
cecah 15 tahun.”
“Serba salah dibuatnya, uncle.
Saya memang tak ada kena-mengena dengan arwah.
Takkanlah saya nak buta-buta terima macam tu aje?”
“Kalau Yusra tak nak terima buta-buta, Yusra terima
dengan keadaan bisu,” ucap Mirza sambil mengukir senyuman tersirat.
Yusra Dahliyaa turut tersenyum.
Mizza Ilyana yang duduk di sebelah ayahnya itu turut
memberikan respons yang sama. Memang begitulah
sifat Mirza. Kadangkala gemar mewujudkan unsur
jenaka tatkala suasana tegang menyelubungi keadaan. Gadis itu mengambil
keputusan untuk menjadi tukang mendengar sahaja memandangkan perkara tersebut
hanya melibatkan Yusra Dahliyaa dan Mirza.
“Uncle, kalau
saya terima dengan bisu, telinga saya yang akan jadi pekak sebab terima
pelbagai tohmahan dan cacian daripada waris sah arwah.”
“Yusra dan Rafi adalah waris yang sah. Rela atau
paksa, kamu berdua akan terima kelebihan dan segala manfaat yang ada sebagai
seorang pemegang saham. Bukannya Yusra mencuri, dah Tuan Idrus yang nak
memberi. Sedangkan Qhayrul Wira Azreen, hidup sebagai pencuri
pun dah diakui pemilik yang sah. Lebih mudah
ceritanya kalau Yusra terima aje pemberian daripada arwah. Dan, mungkin tanpa sedar, pemberian ini sebagai satu
amanah, tanggungjawab serta kepercayaan Tuan Idrus terhadap Yusra. Restoran
Warisan Wira dah macam nadi dan nyawa dalam hidup arwah. Takkanlah dia nak
sia-siakan apa yang dia dah usahakan selama berpuluh-puluh tahun ni? Uncle yakin ada sebab yang kukuh kenapa arwah
buat macam tu. Lama-kelamaan, kita akan tahu juga.”
“Kalau saya terima saham Warisan Wira, bermakna saya
kena kahwin dengan Qhayrul,” balas Yusra Dahliyaa. Raut mukanya mempamerkan
wajah kurang senang.
“Mengikut apa yang uncle faham,
Encik Hamka sendiri cakap yang arwah tak paksa pun Yusra dan Qhayrul mengikat
kasih tanpa rela,” kata Mirza, mahu mengurangkan rasa gusar dan bimbang yang
wujud dalam diri Yusra Dahliyaa.
“Memang dia tak paksa, tapi bagi saya ia seolah-olah
harapan dan permintaan terakhir arwah. Kalau permintaan tu tak penting, kenapa
arwah letakkan permintaan tu kat dalam wasiat dia?” tanya Yusra Dahliyaa.
Mizza Ilyana sedikit
tersentak. Pertanyaan Yusra Dahliyaa itu seakan-akan
memberi jawapan yang perkahwinan wasiat tersebut mesti dilaksanakan.
“Saya terasa kejam kalau saya terima saham Warisan
Wira, tapi menolak
tanpa belas kasihan untuk berkahwin dengan Qhayrul. Saya tak pernah bertentang
mata apatah lagi suara dengan Tuan Idrus. Walaupun arwah dah tak ada, dia masih
lagi mampu untuk mempengaruhi kehidupan orang lain. Bukan calang-calang orang
nampaknya arwah masa hayatnya ada,” tambah wanita itu lagi.
Mirza termenung sekejap mendengar kenyataan ibu
tunggal muda itu. Dia bersandar lalu berpeluk tubuh tanpa beralih pandangan.
Bibirnya tersenyum. Terserlah kedutan pada wajah itu, terutama di bahagian
hujung mata. “Yusra tak pernah berjumpa dengan arwah,
tapi nampaknya Yusra dapat agak siapa pemilik Warisan Wira tu. Arwah tahu apa
matlamat dia dalam hidup ni. Apa yang dia nak, dia akan perolehi.”
“Saya tak pernah rancang pun nak kahwin lagi. Saya
dengan Rafi selesa dengan kehidupan kami sekarang. Cukup rasanya saya pernah
berkahwin dengan arwah suami saya. Takkanlah saya nak kahwin dengan orang yang pernah nak
meragut saya pula?”
“Tak ada niat dan tak rancang nak berkahwin lagi, tak
semestinya tak ada jodoh dalam takdir hidup. Mungkin tujuannya supaya kamu
dapat membantu Tuan Idrus untuk mengubah kehidupan Qhayrul.”
“Saya bukan ahli sihir, uncle.
Saya orang biasa-biasa aje. Kalaulah saya ni boleh mengubah kehidupan orang,
kehidupan orang pertama yang akan saya ubah ialah kehidupan saya sendiri.”
“Uncle faham
macam mana kehidupan kamu, Yusra. Cuba kamu pandang dari sudut yang positif. Uncle memang tak berhak untuk masuk campur
kehidupan kamu, tapi sampai bila kamu nak hidup
macam ni? Setidak-tidaknya apa yang Tuan Idrus bagi tu dapat meringankan beban
yang kamu tanggung selama hampir enam tahun ni.”
Yusra Dahliyaa menggerakkan kepalanya ke arah kanan.
Hatinya menjadi pedih. Dia merasakan dirinya sebagai mangsa keadaan. Idrus Wira
seolah-olah sedang memperguna dirinya. “Jadi, untuk mengubah kehidupan darah daging dia, saya yang
jadi kambing hitamnya?”
“Bukan kambing hitam, tapi
ayam tambatan. Mungkin Yusra adalah satu-satunya harapan Tuan Idrus supaya
kehidupan Qhayrul berubah. Arwah pernah bercerita, apa yang jadi pada Qhayrul
sehingga sekarang ni semuanya berpunca daripada dia. Tuan Idrus menyesal dengan
perbuatan dia selama ni. Walaupun bukan anak sah taraf, darah dan daging yang
terbentuk dalam diri Qhayrul adalah sebahagian daripada diri arwah. Mungkin
perkahwinan wasiat ini adalah perkara yang terbaik untuk kamu berdua.”
“Persoalan lain yang akan timbul kalau saya berkahwin
dengan Qhayrul, mampu ke dia terima saya dengan Rafi? Boleh ke dia membimbing
saya? Bukan semua orang boleh terima susah dan payah seseorang. Saya tak mahu
bakal suami saya tu nanti anggap Rafi dan kehidupan yang saya alami ni sebagai
satu beban. Perkahwinan bukan satu percutian tiga hari dua malam, uncle.
Perkahwinan adalah kehidupan sampai akhir hayat,” terang Yusra Dahliyaa.
Dugaan dan cabaran yang dilalui olehnya sebagai ibu tunggal cukup mematangkan fikirannya. Dia kenal benar
dengan perangai sesetengah manusia. Setelah pemergian Syafiq Ra’if, bukan tidak ada lelaki yang cuba hadir ke dalam
hidupnya. Namun, hati Yusra Dahliyaa seakan-akan
tidak mampu menerima. Saat dia berbicara yang dirinya mempunyai seorang anak,
pasti air muka lelaki itu berubah. Dia bukannya terlalu polos dan naif untuk
membaca bahasa gerak tubuh manusia. Jika ada yang mahu menerima diri Yusra
Dahliyaa sekalipun, lelaki tersebut sudah mempunyai keluarga. Itu sudah menjadi
pantang Yusra Dahliyaa. Dia sesekali tidak akan menghancurkan hati seorang
perempuan yang lain.
“Qhayrul Wira Azreen bukanlah seburuk yang Yusra
sangka. Keadaan sekeliling yang menyebabkan dia macam tu. Jika mahu seorang
lelaki berubah, berikan dia tanggungjawab. Perkahwinan adalah satu
tanggungjawab bagi seorang lelaki. Uncle yakin
Qhayrul boleh berubah. Kamu tak rasa ke ini semua takdir? Yusra pernah berjumpa
dengan Qhayrul sebelum pembacaan wasiat berlaku. Walaupun pertemuan pertama tu
bukan sesuatu yang sesuai untuk dijadikan kenangan manis, tapi ia sudah tertulis.”
Yusra Dahliyaa hanya mampu mendiamkan diri.
Pandangannya yang tadi telus bertaut dengan Mirza, kini beralih kepada Mizza
Ilyana. Dia tidak tahu bagaimana mahu menyusun kata. Kenyataan Mirza itu
seperti ada benarnya.
---------------------------
Tangan Qhayrul menggenggam kemas
lengan Fadhil. Fadhil melangkah lemah sebaik sahaja keluar dari bilik rawatan. Lelaki tua tersebut sempat
memandang sesaat dua wajah pemuda yang baru sahaja dia kenali itu. Setelah
berjalan dalam tempoh seminit, kaki mereka berdua terhenti serentak. Ruangan
tempat duduk berhampiran dengan kaunter farmasi menjadi pilihan Qhayrul untuk
mereka melabuhkan punggung.
Perlahan-lahan Fadhil menyandarkan anggota tubuhnya ke kerusi berwarna
biru itu. Setelah memastikan Fadhil selesa, barulah Qhayrul duduk bersebelahan
dengan lelaki yang berusia lebih separuh abad itu.
“Pak cik betul ke tak nak duduk kat dalam wad?” soal Qhayrul memulakan
bicara. Timbul perasaan risau dan bimbang jauh di sudut hati Qhayrul.
Walhal dia baru sahaja bertemu dan berkenalan dengan Fadhil. Jarang benar
dia berperasaan sebegitu terhadap orang yang tidak dikenalinya. Mungkin Qhayrul
merasakan dia sudah terhutang budi dengan Fadhil kerana secara tidak langsung
Fadhil sudah menyelamatkan dirinya daripada ancaman Alex dan Richard.
“Pak cik tak nak orang rumah pak cik risau. Isteri pak cik tu bukan boleh
dengar pak cik kena sesak nafas ni. Doktor kat hospital ni pun dah kenal pak
cik. Dia orang tahu pak cik kalau boleh memang tak nak duduk hospital ni. Pak
cik tak suka bau ubat dengan hospital. Pernah juga kena tahan, itu pun isteri
pak cik tak sudah-sudah menangis. Bertambah-tambahlah sebab pak cik tak nak
kena tahan wad.”
“Masa saya jumpa pak cik, pak cik dah pengsan. Macam teruk aje...”
“Qhayrul pun nak jadi macam isteri pak cik? Janganlah risau. Lagipun tadi pak cik dah terima rawatan oksigen tu
bertong-tong,” pintas Fadhil. Dia tahu ada nada kegusaran di sebalik percakapan
pemuda itu.
Qhayrul hanya tersenyum mendengar tutur kata Fadhil. Anak mata Qhayrul
beralih ke sekeliling. Dia menantikan nama Fadhil dipanggil oleh pegawai
perubatan yang bertugas di kaunter farmasi.
“Macam mana Qhayrul boleh bawa pak cik ke hospital ni? Memang hospital ni
yang selalu pak cik pergi kalau pak cik sakit.”
“Masa pak cik pengsan, saya tak tahu nak buat apa. Kebetulan tergerak nak
buka laci dashboard kereta pak cik. Tu
yang ternampak kad laporan kesihatan pak cik.”
“Nasib baik kamu ada. Terima kasih sebab masuk kereta pak cik. Kalau
Qhayrul tak masuk, pak cik tak tahu apa yang akan jadi pada pak cik.
Silap-silap sekarang ni badan pak cik dah terbujur kaku.”
“Saya yang patut cakap terima kasih tu dulu kat pak cik. Kalau pak cik
tak ada kat dalam kereta, saya rasa saya pun dah jadi mayat tak bernyawa
sekarang ni.”
“Qhayrul, kamu yang selamatkan nyawa pak cik. Pak cik nak keluar, beli
barang sikit. Entah kenapa bila nak buka pintu kereta tu, pak cik susah nak
bernafas. Tak sangka pula sampai boleh jadi pengsan.”
“Pak cik yang selamatkan saya dulu. Kalau bukan kerana pintu kereta pak
cik tak berkunci, saya memang tak tahu pak cik pengsan kat dalam.”
Fadhil menggelengkan kepala. Tidak semena-mena timbul pula rasa hairan.
Lebam yang beransur hilang pada wajah Qhayrul dipandang
sekejap.
“Kamu ingat ni macam main dam haji ke? Pak cik jalan ke sini, kamu pun ke
sini. Pak cik jalan ke sana, kamu pun melangkah ke sana. Dari tadi apa yang pak
cik cakap, kamu pun cakap benda yang sama juga. Apa ceritanya sampai Qhayrul
boleh tiba-tiba masuk kereta pak cik? Kamu kena kejar ke? Ada orang nak belasah
kamu?” duga Fadhil.
“Saya ni bukannya baik sangat. Hidup pun terumbang-ambing. Tak ada arah
tujuan,” balas Qhayrul tanpa menatap muka Fadhil. Dia berpaling ke kanan
memandangkan Fadhil berada di kirinya.
Sekali lagi orang tua itu memerhatikan kelibat yang berada di sisinya
itu. Dari hujung rambut sehinggalah hujung kaki Qahyrul,
mata Fadhil mengamati personaliti anak muda tersebut. “Qhayrul ada masalah ke?”
“Hutang dengan orang, tapi saya tak dapat
nak bayar.”
“Dengan lintah darat?”
Kepala Qhayrul mengangguk sebagai jawapan.
“Kenapa Qhayrul cakap tak boleh nak bayar? Kamu kerja ke tidak?”
“Baru aje kena buang.”
“Keluarga Qhayrul tahu tak pasal kamu berhutang dengan lintah darat ni?”
Bibir Qhayrul tersenyum sinis. Dia terasa lucu dengan perkataan itu.
Kanak-kanak berusia lima tahun pun tahu apa makna perkataan tersebut, tetapi tidak bagi dirinya. Qhayrul tidak pernah
meletakkan perkataan itu dalam kamus hidupnya. “Keluarga? Apa yang saya tahu
selama ni cuma orang asing yang menumpang dalam keluarga yang asing juga. Saya
cuma tahu yang saya dibesarkan oleh keluarga angkat, bukan keluarga kandung.”
“Qhayrul memang tak tahu langsung pasal keluarga betul kamu ke?”
“Saya baru aje dapat tahu siapa mak dan ayah kandung saya. Dan, sebenarnya saya pun ada adik juga.” Qhayrul seakan-akan meluahkan apa yang terbuku kepada Fadhil.
Ada terselit rasa pedih dalam jiwanya. Sakit hati menerjah apabila mengenangkan
siapa ayah dan ibu kandungnya. Selama 25 tahun sudah cukup dia menderita
menanggung pandangan keji daripada orang sekeliling.
“Qhayrul terpisah dengan keluarga sebenar Qhayrul ke?”
“Bukan saya yang terpisah, tapi orang tua sendiri yang memisahkan
hubungan darah. Seorang ibu dan ayah yang tak pernah mengiktiraf kewujudan
seorang anak semasa dia orang hidup,” balas Qhayrul dengan nada yang mendatar.
Namun, ayat yang dituturkan penuh dengan makna
yang tersirat. Penglihatan Qhayrul tertumpu pada lantai mozek hospital yang
berwarna putih itu.
“Kamu biar betul, Qhayrul? Takkanlah ibu
bapa boleh pisahkan hubungan dengan anaknya? Mungkin ada kisah yang Qhayrul tak...”
“Saya anak luar nikah, pak cik.” Qhayrul mencantas ayat terakhir Fadhil.
Wajahnya diangkat supaya dia dapat bertaut pandangan dengan lelaki tua itu.
Raut muka Fadhil serta-merta berubah. Dari
tadi wajahnya diukir rasa tenang, kini menjadi terkejut. Perubahan garis pada
permukaan kulit muka Fadhil dapat dibaca oleh Qhayrul. Denyutan nadi Fadhil
menjadi laju. Tidak menyangka akan ada manusia mampu mengeluarkan sebaris ayat
yang begitu perit untuk diungkapkan.
“Tak apa, pak cik, kalau pak cik nak pandang serong kat saya. Sengetnya
mata orang yang pandang saya dah macam condongnya Gunung Everest. Saya dah
biasa daki, saya dah lali hadapi.”
Memori Qhayrul memutarkan kembali saat dirinya masih
lagi kecil. Sejak darjah satu lagi dia bertanya
kepada Jamaliah mengapa nama bapanya tidak sama seperti nama suami ibu
angkatnya itu. Setiap kali dia bertanyakan hal
itu kepada Jamaliah, wanita itu akan cuba mengelak. Oleh itu, Qhayrul hanya
berprinsipkan yang dia berbinkan Abdullah sepanjang hayat walaupun dia tidak
tahu mengapa Abdullah yang menjadi nama bapanya ketika itu.
Namun, bangkai gajah tidak mampu ditutup untuk
selama-lamanya. Saat Jamaliah tahu yang dia akan menemui Maha Pencipta kerana penyakit paru-paru berairnya, dia
mengambil keputusan untuk membongkarkan segala-galanya. Jamaliah merasakan
sudah tiba masanya untuk Qhayrul tahu akan kisah sebenar. Ketika umurnya sudah
jejak 15 tahun, agak sukar untuk menerima kenyataan sebenar. Apa yang menjadi
realiti, terlalu pahit untuk ditelan. Sejarah hidup Qhayrul tidak seperti yang
lain. Keadaan menjadi bertambah rumit tatkala rakan sebaya Qhayrul mengetahui hal tersebut.
Bertambah malang hidup Qhayrul tatkala suami Jamaliah
tidak mahu menerima Qhayrul sejak Qhayrul menjejakkan kaki ke rumah. Bagi
lelaki tersebut, Qhayrul umpama nasib malang dan beban dalam hidupnya lalu dia
menyerahkan Qhayrul ke rumah anak yatim. Mulai
saat itu, dia mula memberontak. Ayat seperti anak haram, anak pelacur, anak
luar nikah sudah biasa menembusi gegendang telinganya. Qhayrul mula ponteng
sekolah, mencuri, meragut dan menjadi kaki pukul. Pandangan hina dan keji daripada orang sekeliling membuatkan Qhayrul bertambah
marah lalu bertukar dendam terhadap dua insan yang bergelar ibu dan ayah yang
tak pernah dia kenali.
Fadhil rasa bersalah. Dia menelan air liur. Kalau boleh dia mahu melenyapkan
reaksi yang dia berikan tadi, sama dengan air
liurnya. Bukan dia sengaja mahu menyakiti hati Qhayrul. “Tadi Qhayrul cakap
yang kamu baru sahaja tahu pasal keluarga kandung kamu,
kan? Maknanya ayah dan ibu Qhayrul masih sayangkan Qhayrul.”
“Nak kata muncul, saya tak nampak mukanya. Nak kata tak muncul, ada pula
pesannya untuk saya. Ibu saya dah meninggal lapan tahun lepas. Ayah saya pula
baru aje meninggal. Dia ada wasiatkan harta dan permintaan kepada saya. Saya
tak sangka yang saya ni anak orang kaya rupanya.”
Tangan kanan Fadhil perlahan singgah di bahu kiri Qhayrul. Dia menepuk
sebanyak tiga kali sebelum tangannya terus menapak pada bahagian anggota
tersebut. “Ibu dan ayah Qhayrul tak pernah
lupakan Qhayrul.”
“Sekarang ni saya tak tahulah apa yang patut saya rasa. Saya dah anggap
dia orang tak wujud dalam hidup saya. Dengan tak disangka, muncul pula orang
yang saya tak kenal beritahu siapa saya sebenarnya. Saya dapat harta daripada ayah kandung yang saya langsung tak tahu wajahnya
macam mana. Nak marah, nak menjerit, nak menangis, semuanya saya rasa. Apa yang
buatkan hati saya bertambah pedih, dia nak saya tahu yang saya ni anak dia bila
dia dah tak ada kat dunia ni.”
“Kadang-kadang orang tua ni tahu kesilapan dia,
tapi susah untuk dia mengaku. Apa yang dia boleh buat ialah tebus kembali
kesalahan tu dengan cara yang lain.”
“Saya selalu dengar orang bercakap yang seorang anak kena patuh dengan
arahan ibu bapanya. Seorang anak tak boleh menyakiti apatah lagi menggores
perasaan orang tuanya. Tapi, boleh ke orang tua
mengabaikan perasaan, jiwa dan hati seorang anak semata-mata untuk kepentingan
diri sendiri?”
“Pak cik nak minta maaf. Pak cik rasa bersalah sebab bagi tanggapan yang
lain pada kamu tadi. Dah jadi lumrah manusia akan beralih perasaan bila dengar
sesuatu yang agak lain daripada diri kita. Bahasa muka memang tak dapat nak
menipu.”
“Tak apa, pak cik. Kan saya dah cakap yang
saya dah biasa.”
“Setiap anak yang lahir kat dunia ni adalah anugerah. Kamu, sebesar zarah
pun langsung tak bersalah. Yang bersalah orang tua kamu. Tapi, orang lain yang menanggung akibatnya. Pak cik pun
tak pasti kenapa pak cik berikan tanggapan yang lain pada Qhayrul tadi. Tapi,
bila kamu dah terangkan apa perasaan kamu, apa yang terpendam kat dalam hati
kamu tu, membuatkan pak cik buka mata dan fikiran ni.”
“Saya tak ada niat nak buat pak cik muak dengar cerita saya ni. Tak
pasal-pasal saya terluah perasaan kat pak cik pula.”
“Kamu membuatkan pak cik teringat pada kesilapan pak cik. Pak cik ada
seorang anak. Mulut pak cik kata buang, tapi hati pak cik tetap sayang.”
“Pak cik pun ada masalah dengan anak ke?”
“Pak cik pun manusia biasa. Bila dah namanya manusia, memang tak lari
daripada kesilapan.”
Qhayrul mengangguk sebagai tanda setuju.
“Pak cik tengok Qhayrul ni bijak orangnya. Nak kata tak ada rupa,
sebenarnya ada. Tapi, kenapa jadi sampai macam
ni? Dengan rambut yang berekor, seluar pun koyak sana, koyak sini. Muka tu,
penuh dengan lebam.”
“Tak adalah, pak cik. Ni saja aje ikut
kawan-kawan buat rambut macam ni.”
“Kalau kamu potong ekor kamu tu, rambut kemas, pakaian elok sikit, pak
cik rasa Rosyam Nor pun kalah,” puji Fadhil, sengaja mahu mengubah kabus
kemarahan yang menyeliputi suasana mereka.
Tidak semena-mena Qhayrul tergelak. “Pak cik ni buat lawak pula.”
“Tak ada melawaknya. Pak cik cakap serius ni. Kalau kamu kemas, ramai
perempuan nakkan Qhayrul ni. Pak cik zaman
muda-muda dulu memang ramai budak perempuan kasi surat cinta.
Bukan setakat bedak, satu kilang minyak wangi budak perempuan letak kat surat
cinta tu,” tambah Fadhil lagi, mahu Qhayrul terus menjauh daripada perasaan sedih dan marah.
“Pak cik ni, ada-ada aje.”
“Nanti lepas kita keluar dari hospital ni, temankan pak cik pergi masjid
ya.”
“Pergi masjid?”
“Yalah, pergi masjid. Kita solat asar
sama-sama. Waktu asar dah lama masuk. Takut kang
nanti dah habis waktu solat pula kalau lengah-lengah.”
“Tapi...”
“Kamu dah lupa macam mana nak solat?”
“Masa sekolah dulu memanglah cikgu ada ajar, tapi dah tak ingat.”
“Tak apa, Qhayrul. Pak cik boleh tolong
kamu.”
Qhayrul menjadi serba salah. Hatinya seperti keberatan untuk menuruti
permintaan.
“Encik Ahmad Fadhil bin Muhammad.” Tiba-tiba sahaja ada satu suara
mencelah perbualan mereka. Suara itu muncul dari arah kaunter farmasi. Qhayrul
dan Fadhil segera menoleh ke arah tersebut.
Tatkala namanya dipanggil oleh pekerja yang bertugas, Fadhil perlahan
mengangkat punggungnya. Sudah tiba giliran lelaki tua itu untuk mengambil ubat.
Akan tetapi Qhayrul laju menahan.
“Pak cik jangan bangun. Tak apa, biar saya yang pergi ambilkan. Pak cik
duduk,” ucap Qhayrul yang sudah terlebih dahulu berdiri daripada Fadhil.
No comments:
Post a Comment