Stylo Clique ^_^

Sunday, December 21, 2014

You Are My Mr.Right - Bab 11




BAB 11

Suasana dua per tiga malam terasa sunyi. Unggas kecil berterbangan mencari cahaya di kawasan koridor rumah pangsapuri itu. Di satu sudut, ada lampu kalimantang yang menyala. Lampu tersebut sudah dipenuhi dengan kelkatu. Bak kata orang tua-tua, jika begitu keadaannya pasti tidak lama kemudian hujan akan turun. Langit gelap terbentang. Tidak kelihatan bintang mahupun cahaya bulan. Alam seakan-akan membiarkan sahaja langit itu terbiar sepi.
Bayu malam bertiup lembut. Angin yang menghembus perlahan menyusup masuk ke dalam salah satu rumah yang berada di tingkat dua itu melalui celahan cermin jenis tingkap nako. Sentuhan angin tersebut menyapa ke wajah wanita itu. Mata Yusra Dahliyaa terpejam rapat. Namun, dinginnya angin yang menyapa ke kulit tidak mampu meredakan gejolak yang sedang Yusra Dahliyaa alami.
Tidurnya dari tadi lena dan nyenyak. Akan tetapi, ada sesuatu sedang menjelma pada layar hitam alam bawah sedarnya. Dahi Yusra Dahliyaa sudah dibasahi dengan titisan peluh. Kepala ibu tunggal itu sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Perlahan-lahan bunyi dentuman menyentuh gegendang telinganya. Semakin Yusra Dahliyaa menafikan apa yang didengar, semakin berulang kali bunyi itu menerpa ke segenap deria pendengarannya. Bunyi tersebut beransur kuat. Yusra Dahliyaa mahu menjerit. Malangnya, suara wanita itu seakan-akan tersekat di kerongkong.
Nafas Yusra Dahliyaa menjadi tidak menentu. Seluruh anggotanya menggigil. Udara yang berada di sekeliling bagaikan tidak mampu membantunya untuk bernafas. Sedikit demi sedikit kelibat seorang lelaki terbaring sedang bertarung dengan maut muncul. Cecair yang berwarna merah pekat mula mengalir ke permukaan jalan. Mata Yusra Dahliyaa terbeliak dan penglihatannya tertumpu pada tubuh tersebut. Dia berjalan lesu ke arah itu. Hatinya meronta tidak mahu mendekati, tetapi kakinya sudah terlebih dahulu menapak. Perasaan ingin tahu apa yang terjadi semakin membuak-buak.
Saat dia menghampiri, badan lelaki yang sedang terkulai layu itu tertiarap. Wajah lelaki yang sudah berlumuran darah tersebut tidak dapat dilihat kerana mukanya tersembam ke jalan raya. Ketika hampir sahaja tangan kanan Yusra Dahliyaa mahu menyentuh kepala itu, bunyi guruh di langit mencelah. Lantas menyebabkan matanya yang tadi terpejam kini terbuka dengan seluas-luasnya.
Roh Yusra Dahliyaa kembali semula ke jasad. Wanita itu bingkas duduk daripada baringan. Dia memerhatikan sekeliling. Takut dan bimbang apa yang dia alami tadi adalah realiti. Tangan kirinya segera diletakkan di dada. Yusra Dahliyaa dapat merasakan dengan jelas degupan jantungnya bergerak laju.

“Astaghfirullah al-azim.” Yusra Dahliyaa beristighfar panjang. Dia menghela nafas lega. Mulutnya berkumat-kamit membaca ayat Kursi agar dijauhkan daripada gangguan syaitan.

Yusra Dahliyaa memetik suis yang berada di tepi dinding bahagian kanan katilnya. Lampu sorot kecil menyala lalu menyinari kamarnya yang tadi kelihatan gelap. Dia tertunduk seketika, kemudian Yusra Dahliyaa menekup wajahnya sendiri. Biarpun sudah enam tahun kejadian itu berlalu, dia masih lagi tidak mampu melupakan peristiwa hitam tersebut walaupun sedikit.
Tangan Yusra Dahliyaa mengesat lembut peluh yang mengalir. Dia mengambil telefon bimbit yang sedang dicas. Waktu sudah melewati pukul 3.37 pagi. Yusra Dahliyaa beristighfar lagi. Rasa gelisah dan gusar yang menjalar mulai hilang. Setelah lama terduduk di tepi katil, Yusra Dahliyaa mengambil keputusan untuk menunaikan solat taubat dan hajat. Dia mahu memohon kepada Maha Pencipta agar diampunkan segala dosanya dan arwah Syafiq Ra’if.
Air mata Yusra Dahliyaa gugur ke pipi dengan lajunya sehingga telengkung yang dikenakan terasa lembap dan basah. Perasaan kasih dan sayang terhadap insan yang bernama Syafiq Ra’if tidak pernah pudar sehingga ke saat ini. Pemergian lelaki tersebut untuk selama-lamanya seakan-akan menggelapkan seketika dunia seorang wanita bernama Yusra Dahliyaa. Luluh hatinya saat mengetahui Syafiq Ra’if tidak lagi berada di sisinya. Dugaan dan cabaran yang melanda hidup mereka berdua setelah berkahwin bukan atas restu melunturkan lagi semangatnya untuk meneruskan hidup.
Setelah selesai membaca doa kebaikan serta kebahagiaan dunia dan akhirat, tangan yang ditadah untuk waktu yang lama tadi disapu ke muka. Hati kecilnya penuh berharap agar yang Maha Berkuasa dapat mengampuni segala kesilapan dirinya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun.
Suasana malam yang sepi lagi sunyi itu juga menyebabkan suara hatinya berbicara. Rindu yang menggunung terhadap kedua-dua ibu bapanya menjalar ke seluruh jiwa lalu menyebabkan manik jernih itu tumpah sekali lagi. Terasa berdosa kerana mengingkari permintaan ayahnya.
Yusra Dahliyaa rindu untuk bersalaman dengan tangan ayah dan ibunya apatah lagi untuk berdakapan dengan mereka. Sudah enam tahun Yusra Dahliyaa tidak mampu untuk melakukan perkara itu. Hangatnya sentuhan kasih sayang seorang ibu sudah lama tidak dirasakan. Pastinya saat payah begini, ibunya akan sentiasa berada di sisi Yusra Dahliyaa untuk memberikan semangat.
Bunyi dentuman guruh sekali lagi kedengaran. Kali ini lebih kuat, menyebabkan wanita itu tersentak. Dia bingkas berdiri dan menuju ke tingkap. Dia memerhati seketika keadaan di langit lalu fikirannya teringat akan Rafi Huzaifa yang sedang tidur di kamar sebelah. Dengan masih mengenakan telekung, Yusra Dahliyaa melangkah masuk ke bilik anak lelakinya itu.
Tidur Rafi Huzaifa kelihatan nyenyak. Mata anak kecil itu terpejam rapat. Yusra Dahliyaa menapak perlahan. Dia tidak mahu ada sebarang bunyi yang akan mengganggu lena anak lelakinya. Setelah tiba di sisi katil, wanita itu duduk di atas permukaan tilam. Dia memerhatikan setiap garis dan lekuk yang membentuk raut muka Rafi Huzaifa. Ternyata apa yang paling ketara sekali serupa dengan arwah suaminya ialah mata dan hidung. Rafi Huzaifa memiliki mata yang agak besar dan sedikit bundar. Bulu matanya panjang serta halus, malah sedikit lentik secara semula jadi.
Yusra Dahliyaa menghampiri wajah Rafi Huzaifa. Kemudian bibirnya mengucup lembut dahi itu dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya anak kecil itu adalah satu-satunya harta peninggalan arwah Syafiq Ra’if yang tidak ternilai. Kerana anak kecil itu, Yusra Dahliyaa kuat meneruskan kehidupan. Rafi Huzaifa adalah anugerah daripada Allah untuk dirinya dan tak mungkin Yusra Dahliyaa akan sia-siakan. Yusra Dahliyaa tidak mahu anaknya mengalami kehidupan yang sukar seperti dirinya. Sedaya upaya dia akan berusaha memberikan yang terbaik. Mana ada seorang ibu di dunia ini mahu melihat anaknya bersedih?
Saat tangan ibu tunggal itu membelai lembut ubun-ubun kepala Rafi Huzaifa, fikirannya tiba-tiba sahaja melayang ke peristiwa petang tadi. Rutin bulanannya seperti biasa akan berjumpa dengan along untuk membayar hutang. Akan tetapi lain pula yang jadi pada petang tadi. Suara pelat Cina berbicara dalam bahasa Melayu masih jelas kedengaran di telinganya.

-----------------------------

Amoi, apa pasal lu datang? Sudah lupa ke ada orang sudah bayar lu punya hutang? Wah... lu sekarang sudah jumpa dengan lelaki tauke emas ke? Lu manyak untung. Itu orang bayar sekali habis lu punya hutang dengan bunga sekali.”
Berkerut-kerut dahinya tatkala mendengar kata-kata along. Yusra Dahliyaa menjadi terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Fikirannya ketika itu pantas memproses dan menganalisa segala kemungkinan dan penyebab yang menjadikan hutangnya sudah dilunaskan. Kemudian, hanya satu nama sahaja yang terlintas iaitu Hamka Mahadzir. Lelaki itu pasti ada jawapannya.
Setelah Yusra Dahliyaa keluar dari pejabat lintah darat tersebut, pada ketika itu juga dia menghubungi Hamka. Panggilannya disambut, namun peguam itu sibuk dengan tugasnya. Cuma satu jawapan yang diberikan untuk soalan Yusra Dahliyaa, dia hanya menjalankan tugas.

 ------------------------

Bunyi seolah-olah air sedang dicurahkan dengan banyaknya tidak semena-mena kedengaran. Lamunan Yusra Dahliyaa akan peristiwa petang tadi terganggu. Dia menuju ke tingkap yang sedikit terbuka. Tangannya menutup tingkap itu sehingga habis agar air hujan tidak terpercik memasuki ke dalam bilik. Yusra Dahliyaa menoleh semula ke katil apabila ekor matanya dapat melihat ada pergerakan. Tubuh Rafi Huzaifa yang baring terlentang tadi sudah mengiring.
Uncle faham macam mana kehidupan kamu, Yusra. Cuba kamu pandang dari sudut yang positif. Uncle memang tak berhak untuk masuk campur kehidupan kamu, tapi sampai bila kamu nak hidup macam ni? Setidak-tidaknya apa yang Tuan Idrus bagi tu dapat meringankan beban yang kamu tanggung selama hampir enam tahun ni.”
Perbualannya dengan Mirza pula tiba-tiba menggamit telinga. Hati Yusra Dahliyaa seakan-akan berbelah bahagi sejak petang tadi. Pada awalnya Yusra Dahliyaa mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja wasiat Idrus Wira tanpa mengambil sebarang keputusan mahupun tindakan. Namun, makin dibiarkan makin ada sahaja perkara yang berlaku di luar jangkaannya.
 “Aku kena kahwin dengan anak dia ke untuk balas budi?” tanya Yusra Dahliyaa terhadap dirinya sendiri.
Yusra Dahliyaa menghembus nafas berat. Dia mengeluh seketika. Otaknya sekali lagi berfikir. Apa lagi sebab dan alasan yang menyebabkan hutangnya boleh langsai dalam sekelip mata melainkan seorang insan bernama Idrus Wira? Adakah sememangnya benar lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu mengetahui perjalanan hidup Yusra Dahliyaa selama ini?

Kalau aku buat tak tahu... Tak, Yusra, kau bukan jenis orang yang buat tak tahu kalau ada orang dah berbudi dengan kau. Takkan kau nak berhutang budi sampai mati dengan arwah Idrus Wira? monolog Yusra Dahliyaa lagi.

Yusra Dahliyaa keliru. Selama ini langsung dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Hatinya memang sudah lama menjadi milik Syafiq Ra’if. Namun, perasaannya pada malam yang hening begini membuatkan dia terdetik untuk menimbang duga perkara itu semula.
Hujan yang turun tidak henti di luar rumah menyebabkan suhu pada malam itu bertambah sejuk. Puputan angin dari luar memasuki celahan ruang yang ada lalu menyapa wajah Yusra Dahliyaa. Saat jiwa itu bercelaru, tiba-tiba ada sesuatu yang menggerak hatinya untuk melakukan solat istikharah. Sebelum dia kembali semula ke tikar sejadah, Yusra Dahliyaa menyentuh selimut yang berada di hujung kaki Rafi Huzaifa lalu menarik kain tebal itu sehingga ke dada anaknya.

Tangan Yusra Dahliyaa yang menggenggam pemegang payung bersaiz bukaan 24 inci itu menghala ke bawah sebaik sahaja memasuki kawasan bawah rumah pangsapuri yang didiaminya. Yusra Dahliyaa mengibas sedikit payung yang diperbuat daripada kain jenis taffeta itu. Percikan air kelihatan pada permukaan lantai.
“Nanti bila sampai rumah, Rafi terus mandi tau. Rafi kena hujan tadi, kalau tak mandi nanti Rafi demam pula,” pesan Yusra Dahliyaa.
“Sampai rumah terus mandi? Mandi dengan pakai baju sekali ke, ibu? Kalau baju basah macam mana?”
Yusra Dahliyaa terkedu seketika. Terasa anak lelakinya itu seperti loyar buruk dengannya. Bibir Yusra Dahliyaa terbuka sedikit lalu dia tertawa kecil.
“Sejak bila Rafi dah pandai buat kelakar ni? Nak kenakan ibu ya?” ungkap Yusra Dahliyaa dengan nada mengusik sambil bercekak pinggang.
Rafi Huzaifa tersengih sambil tangannya mengelap air hujan yang berada di pipi.
“Jom... kita naik,” ajak Yusra Dahliya, kemudian tangan kanannya memimpin tangan kiri Rafi Huzaifa.
Baru sahaja melangkah dua tapak mahu menuju ke kawasan tangga, tidak semena-mena kaki anak-beranak itu berhenti bergerak. Bunyi hon motosikal sebanyak dua kali menyebabkan Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa berpaling ke arah yang sama. Yusra Dahliyaa perasan akan kelibat dan kenderan dua roda itu semasa mereka memasuki ke kawasan itu, tetapi dia buat tidak tahu. Dia tidak pernah melihat model motosikal sebegitu berada di dalam kawasan perumahannya sebelum ini.
Pemilik motosikal berwarna hitam dan oren itu tidak kelihatan wajahnya kerana memakai topi keledar muka penuh. Yusra Dahliyaa terpinga-pinga dengan apa yang terjadi. Setelah beberapa saat, wanita itu mengambil keputusan untuk mengatur langkah semula, namun perkara yang sama terjadi lagi.
Tangan lelaki berketinggian 187 sentimeter itu menekan lagi punat hon motosikal KTM Duke 690R miliknya. Setelah menekan sebanyak dua kali, tangan tersebut melambai ke arah Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa yang lebih kurang 10 meter dari tempat dia berdiri.
“Siapa pula lelaki ni? Silap orang ke?” ucap Yusra Dahliyaa sendiri.
“Ibu, ibu kenal ke dengan pak cik tu? Dia panggil kita ke?” soal Rafi Huzaifa.
“Entah, ibu pun tak tahu. Kita naik ajelah ya. Bahaya kalau cakap dengan orang yang kita tak kenal ni.”
Lelaki itu dapat menjangkakan yang Yusra Dahliyaa tidak akan bertindak balas dengannya lalu dia bertindak dengan menaikkan visor gelap topi keledar yang menutupi mukanya.
“Cik Yusra Dahliyaa!” panggil lelaki tersebut dengan nada separuh tinggi.
Ekspresi muka perempuan tersebut terkejut. Lelaki asing yang berada di hadapan itu mengetahui namanya. Yusra Dahliyaa cuba mengamati muka itu dari jauh, tetapi tidak berjaya menangkap siapakah gerangan pemilik suara tersebut. Dia cuba menghampiri dengan lebih dekat lagi.
Gerak bahasa tubuh Yusra Dahliyaa meminta supaya Rafi Huzaifa mengikuti jejaknya di belakang. Jika ada berlaku perkara yang tidak diingini, Yusra Dahliyaa bersiap sedia menggunakan ilmu seni mempertahankan dirinya dan payung yang berada di tangan akan dijadikan sebagai senjata.
Setelah melihat wanita itu menapak ke arahnya, dia menanggalkan topi keledar berjenama Shoei model RF 1100 berwarna hitam dan sedikit kelabu yang dikenakan di kepala. Yusra Dahliyaa membatalkan niatnya daripada terus menghampiri tubuh itu tatkala melihat wajah lelaki itu berada pada pandangan. Dia membiarkan sahaja jarak mereka lebih kurang lima langkah.
Qhayrul membetulkan rambut pendeknya. Dia merasakan rambutnya sedikit tidak terurus kerana ditutupi dengan topi keledar tadi. Qhayrul mengukir senyuman sambil tangannya meletakkan objek yang berada di kepalanya tadi di atas tempat duduk motosikalnya. Kemudian Qhayrul melepaskan jaket berwarna hitam yang tersarung di badan lalu diletakkan juga di tempat yang sama dengan topi keledarnya.
Dahi Yusra Dahliyaa berkerut-kerut. Sekali imbas dia memang tidak mengenali lelaki tersebut. Dari atas hingga ke bawah mata Yusra Dahliyaa memerhatikan tubuh itu. Gaya dan personaliti kelihatan segak dan kemas. Rambut short spike atau pacak pendek dan nipis di bahagian tepi kena dengan bentuk wajah lelaki itu. Baju-T kolar lengan pendek berjenama Polo berwarna biru gelap dan putih menambahkan lagi gaya si pemakai. Kolar yang berada di leher dinaikkan dan ada tertera nombor tiga pada lengan baju belah kanan.
Fikiran Yusra Dahliyaa terus menganalisis wajah tersebut. Dia merasakan seperti pernah lihat raut itu sebelum ini. Yusra Dahliyaa merenung ke mata Qhayrul. Mata itu seolah-olah ada jawapan untuk teka-teki yang sedang bermain di mindanya. Semakin lama bayangan itu semakin jelas. Peristiwa petang ketika mereka bertemu dan bertaut pandangan untuk kali pertama menerjah. Masakan dia boleh lupa wajah itu. Saat tersebut air muka itu benar-benar hampir dengan dirinya.
“Encik Qhayrul Wira Azreen?” ucap Yusra Dahliyaa sambil disulami dengan nada terkejut. Spontan sahaja nama itu terpacul dari bibirnya.
“Cik Yusra cam saya? Muka ni dah melekat kat otak Cik Yusra ke? Ke... lebih tepat lagi dah melekat kat dalam hati?”
Yusra Dahliyaa mengecilkan matanya. Terasa kelakar dan sungguh menjengkelkan kenyataan lelaki itu. “Encik Wira jangan nak perasan.”
“Lama sangat tengok saya. Mata tu langsung tak terpejam. Saya nampak handsome ke dengan penampilan baru ni?”
Yusra Dahliyaa melemparkan pandangan ke tempat lain sambil menggelengkan kepala.
Handsome, kan? Saya pun baru tahu saya ni handsome rupanya,” ucap Qhayrul sambil memandang wajahnya di cermin sisi motosikal.
Yusra Dahliyaa agak lambat untuk membalas kata-kata Qhayrul. Sengaja dia menyelangi waktu yang ada dengan kebisuan. Sekali lagi Yusra Dahliya memerhatikan penampilan Qhayrul. Hati kecilnya mengaku yang lelaki itu sudah jauh berbeza.
Rambut berekor warna perang sudah tiada. Jika dahulu seluar yang dipakai oleh Qhayrul kelihatan koyak dan compang-camping sana sini. Tetapi kini seluar jean warna hitam potongan lurus menjadi pilihan. Tambahan lagi, lelaki itu berdiri di sisi motosikal berkuasa besar. Secara tidak langsung, menambahkan karisma. Pendek kata, Qhayrul berjaya menggetarkan sedikit perasaannya sebagai seorang perempuan.
“Saya cuma ingat yang Encik Wira pernah ragut beg saya. Itu yang paling melekat sekali kat dalam fikiran saya,” ujar Yusra Dahliyaa. Cepat-cepat dia menafikan debaran hatinya yang sudah berdegup kencang.
Qhayrul memejamkan mata seketika. Pedih pula mendengar dua susunan ayat yang terkeluar dari bibir itu. “Pembetulan, Cik Yusra, cubaan meragut. Bukan meragut.”
“Encik Wira buat apa kat kawasan rumah saya ni?”
“Saja, nak berteduh sementara tunggu hujan renyai yang turun ke bumi ni berhenti.”
Yusra Dahliyaa menoleh ke kanan dan memerhatikan cuaca.
“Hujan renyai yang turun ke bumi dah berhenti gugur. Rasanya Encik Wira boleh balik sekarang kut,” kata Yusra Dahliyaa, kemudian mahu berpaling.
“Saya memang berteduh, tapi dah satu jam saya tunggu Cik Yusra muncul kat sini.”
Yusra Dahliyaa terkesima. 
“Satu jam tunggu saya sambil pakai helmet tu?”
“Tak adalah sambil pakai helmet. Saya sampai, saya buka helmet. Lepas tu nampak Cik Yusra dengan Rafi datang saya cepat-cepat pakai balik. Saja aje, nak mewujudkan unsur suspens bila Cik Yusra nampak saya.”
“Sebab apa Encik Wira datang nak jumpa saya ni?”
“Pertama sekali, saya minta maaf sebab pernah cuba nak ragut Cik Yusra. Saya terdesak dan sangat-sangat memerlukan duit masa tu.”
Yusra Dahliyaa memandang wajah Qhayrul. Dia dapat melihat air muka itu ikhlas mengungkap butir kata tersebut. “Baiklah. Saya maafkan Encik Wira.”
“Yang kedua, terima kasih sebab Cik Yusra selamatkan saya daripada kemalangan petang tu.”
“Sama-sama. Kalau orang lain yang ada kat tempat Encik Wira pun, saya akan selamatkan juga. Kan Encik Wira dah minta maaf dengan cakap terima kasih hari tu, kenapa nak cakap lagi?”
“Hari tu minta maaf tak beberapa nak ikhlas. Kena paksa. Sebenarnya, bukan senang saya nak cakap kata maaf dan terima kasih dalam hidup saya. Jarang saya cakap semua tu pada orang lain. Cacian, makian dan pandangan hina, semuanya saya tanggung sendiri. Orang lain tak akan faham. Tapi, bila saya jumpa dengan Cik Yusra, saya kena cakap juga.”
Yusra Dahliyaa tertunduk sebaik sahaja mendengar kata-kata lelaki yang berada bertentangan dengannya itu. Rafi Huzaifa yang dari tadi terdiam memandang wajah ibunya. Yusra Dahliyaa mengusap lembut rambut anaknya. Perasaan serba salah terbit kerana dia pernah memandang serong untuk seketika tatkala mengetahui asal usul Qhayrul.
“Baguslah kalau Encik Wira dah boleh sebut perkataan tu. Kita hidup kat dunia saling memerlukan dan kena hargai satu sama lain. Lagipun saya nampak perubahan Encik Wira sekarang ni. Tak sama macam saya jumpa dulu.”
Qhayrul memerhatikan dirinya sekejap lalu dia tersenyum penuh makna. “Nak pegang nama keluarga Wira, kenalah berubah. Takkanlah rambut nak berekor, seluar berlubang sana sini dengan hidup tak terurus. Lagi-lagi bila ada orang cakap saya sebenarnya handsome kalau saya ni kemas.”
Handsome, handsome, handsome sahaja tak sudah. Orang tak puji dia, dia pula puji diri sendiri. Teruja sangat agaknya dengan diri sendiri. “Daripada pendengaran dan penglihatan saya, nampaknya Encik Wira dah ambil keputusan untuk terima wasiat tu. Jadi, Encik Wira dah boleh terima semuanya ke?”
“Saya memang tak boleh nak nafikan yang saya ni anak kandung dia orang. Tapi, dari segi perasaan yang sakit lagi, jiwa yang pedih nak tanggung kenyataan yang saya anak tak sah taraf seumur hidup, belum lagi. Lagipun tak salah saya ambil kesempatan yang ada. Dah orang tua tu nak kasi. Jadi anak dia ni boleh tahan juga seronoknya. Minta apa, semuanya dapat. Tak payah membazir air peluh, keluar air liur aje. Nak motor, nak duit, nak baju, semuanya dapat. Hutang pun sekelip mata aje selesai.”
Ayat terakhir yang dituturkan oleh Qhayrul tidak semena-mena melekat pada benak fikirannya. Hutang pun sekelip mata aje selesai? Yusra Dahliyaa mengulangi butiran kata tersebut dalam hati. Serta-merta dia mengaitkan ayat itu dengan kejadian yang berlaku semalam.
“Encik Wira gunakan wasiat tu untuk langsaikan hutang Encik Wira? Maksudnya, ni semua kerja Encik Wira ke?” dakwa Yusra Dahliyaa dengan wajahnya dipamerkan dengan raut tanda tanya.
“Ni semua kerja saya? Apa benda pula ni? Tak faham.”
“Encik Wira cakap hutang Encik Wira dah langsai. Kebetulan, sama juga dengan saya. Saya tak tahu pun pasal ni. Tiba-tiba aje saya diberitahu saya tak berhutang dengan sesiapa lagi. Bila saya tanya dengan Encik Hamka, dia cuma cakap yang dia jalankan tugas. Sebab Encik Wira ke dia buat macam tu?”
“Peguam tu ada cakap dengan saya, arwah Idrus Wira tak nak warisnya hidup susah. Sebab tu hutang Cik Yusra sekelip mata aje dah selesai. Janganlah nak cakap saya pula. Manalah saya tahu tu awak tu ada hutang,” balas Qhayrul dengan wajah selamba.
Yusra Dahliyaa terus menghela nafas berat. Persoalan yang bermain di minda sudah terjawab. Namun, ekspresi mukanya tidak berpuas hati. “Tuan Idrus Wira memang pandai gunakan duit dan kekayaan yang dia ada. Saya tak berhutang duit lagi, tapi berhutang budi pula dengan dia.”
“Itulah sebab saya nak jumpa dengan Cik Yusra. Saya dah terima harta arwah, itu maknanya saya terima untuk tunaikan permintaan dia.”
“Encik Wira nak saya kahwin dengan Encik Wira ke?” teka Yusra Dahliyaa.
Pantas benar Yusra Dahliyaa mentafsirkan apa yang berlaku. Qhayrul membalas dengan anggukan, tetapi pandangannya tepat menembusi penglihatan Yusra Dahliyaa. Biarpun soalan itu dibalas tanpa suara, tetapi renungannya seakan-akan berbicara.
“Perkahwinan bukan macam kita keluar rumah pergi kedai. Kalau hujan, boleh berpatah balik. Kalau panas, boleh berteduh. Perkahwinan umpama pelayaran. Lautnya bergelora, ombak tidak berhenti menghempas. Saat kaki sudah mencecah lautan, bermakna kita sudah bersedia untuk mengharungi gelombang dan dugaan. Saya tak nak nakhoda yang mengemudi kapal yang saya naiki tu nanti tak mampu menahan masinnya percikan air laut, apatah lagi nak menahan terik bahang matahari.” Yusra Dahliyaa berkias dengan Qhayrul. Kehidupan yang dia lalui selama enam tahun ini mendewasakan serta mematangkan akal dan fikiran wanita itu.
“Kalau Cik Yusra risau akan kehidupan kita nanti, boleh Cik Yusra bayangkan apa yang telah saya lalui selama 25 tahun ni?” tanya Qhayrul.
Tetapi, pertanyaan Qhayrul itu seakan-akan memberi jawapan kepada kenyataan Yusra Dahliyaa tadi. “Saya minta maaf. Bukan niat saya untuk memperkecil Encik Wira. Encik Wira bukan aje kena terima saya, tapi Rafi Huzaifa juga.”
“Cik Yusra tahu tak yang saya ni rasa terpaksa berhutang budi dengan darah daging sendiri? Entah kenapa hati ni macam bagi tahu supaya saya penuhi hasrat arwah. Rasa lain macam pula terima harta dia, tapi tak nak tunaikan permintaan dia. Saya tahu siapa saya. Anak haram, anak luar nikah. Hidup tak tentu arah, entah ke mana-mana. Memang tak layak untuk awak. Tapi, saya dah ambil keputusan ni dan Cik Yusra juga adalah salah satu sebab kenapa saya berubah.”
Yusra Dahliyaa membulatkan mata. Dia terkejut. Perasaan yang lelaki itu alami sama dengan dirinya. Dia pernah mengucapkan perkara yang lebih kurang sama kepada Mirza tempoh hari. Suara dia memohon kepada Ilahi malam tadi menggamit pendengaran.
“Ya Allah, jika benar dia adalah jodohku, Kau berikanlah aku petunjuk dan jalan menuju ke arahnya.”
Butir kata itu berulang kali berputar di mindanya. Baru semalam dia meminta, hari ni yang Maha Mengetahui sudah memberi laluan. Laluan itu seakan-akan jawapan kepada doanya. “Kalau itu yang Encik Wira nak, saya akan fikirkan. Apa yang awak cakap tu ada betulnya juga. Saya tak nak ada pinjaman budi yang saya kena tanggung untuk seumur hidup saya.”
“Maknanya Cik Yusra setuju?”
“Belum sepenuhnya lagi. Walaupun saya dah tak ada suami, saya masih ada ayah dan ibu. Kalau keluarga saya setuju, itu jugalah jawapan saya. Saya nak mereka restu dengan keputusan saya kali ni.”
Bibir Qhayrul tersenyum lebar. Kedua-dua tangannya menunjukkan tanda ibu jari ke atas. “Okey, minggu depan saya jumpa dengan keluarga Cik Yusra.”
Yusra Dahliyaa mengangguk, tanda setuju.
“Terima kasih, Cik Yusra.”
“Sebenarnya saya yang kena ucapkan terima kasih kat Encik Wira. Walaupun saya terkejut dan tak sangka, tapi kalau bukan sebab arwah Idrus Wira, hutang yang saya tanggung selama ni belum selesai. Terima kasih.”
“Terima kasih? Orang dah suruh terima kasih dia, saya ambil aje. Kasih Cik Yusra saya terima.”
“Saya tak cakap nak beri kasih saya kat Encik Wira. Tolong jangan nak perasan ya. Dah jadi anak orang kaya ni, pandai pula nak main dengan kata-kata. Rasanya tak ada lagi urusan antara kita untuk hari ni, kan? Saya nak naik dulu. Rafi, salam pak cik,” ujar dan pinta Yusra Dahliyaa.
Sebaik sahaja disuruh oleh ibunya, Rafi Huzaifa menghulur ke atas tangan kanannya menghampiri tangan Qhayrul.
“Eh, kenapa pula budak ni nak salam aku pula? Tak payah, tak payah...”
“Encik Wira, ini salah satu langkah awal untuk Encik Wira terima Rafi dalam hidup Encik Wira.”
Dengan berat hati, Qhayrul membalas hulur tangan anak kecil itu. Rafi Huzaifa menyambut dengan genggaman lembut dan dia menarik anggota lelaki itu menghampiri bibirnya lalu dia mengucup. Setelah itu Rafi Huzaifa meleraikan genggaman dan dia menghadiahkan senyuman kepada Qhayrul. Tanpa Qhayrul sedari, bibirnya bergerak perlahan dan dia membalas senyuman kanak-kanak tersebut.
“Dia senyum macam Cik Yusra. Manis,” puji Qhayrul.
Entah kenapa pipi Yusra Dahliyaa yang tadi dingin kini menjadi hangat. Apasal pula kau yang malu, Yusra? Peragut ni puji Rafi, bukan puji kau. Kulit wanita itu juga berubah kepada sedikit kemerahan.
Qhayrul sendiri tidak sangka yang dia boleh mengeluarkan ayat sebegitu secara spontan. Qhayrul memalingkan wajah, memerhati sekeliling untuk mengelakkan rasa kekok.
“Cuaca dari pagi tadi tak menentu. Kejap mendung, kejap hujan. Tak sangka pula langit petang ni dah jadi cerah. Alam pun macam tersenyum bila Cik Yusra terima lamaran saya. Ada pelangi kat langit tu,” kata Qhayrul, kemudian menghampiri motosikalnya. Dia mengenakan segala kelengkapan. Setelah itu dia menghidupkan enjin motosikal. Dia sempat memandang Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa sebelum pergi meninggalkan mereka berdua.
Apabila Qhayrul sudah lenyap daripada pandangan, Yusra Dahliyaa berjalan beberapa langkah. Dia mendongak, memandang angkasa. Ternyata, memang ada tujuh warna kelihatan di ruangan itu.

No comments:

Post a Comment