Stylo Clique ^_^

Friday, December 19, 2014

You Are My Mr.RIght - Bab 10




BAB 10

Kain pelekat berwarna hijau pekat yang dipakainya tadi sudah terlipat kemas. Dia duduk di anak tangga masjid itu setelah selesai menunaikan solat asar. Walaupun sudah lama meninggalkan perbuatan tersebut, sedikit sebanyak ajaran daripada Fadhil sebelum mereka menunaikan rukun Islam kedua sebentar tadi mampu mengembalikan ingatan Qhayrul akan bacaan dalam solat. Tidak semua mampu dilafazkan, namun Qhayrul turutkan sahaja anggota badannya supaya selari dengan perbuatan Fadhil yang menjadi imam.
Qhayrul mendiamkan diri di situ. Pandangannya dihidangkan dengan warna biru langit yang sedikit demi sedikit bertukar menjadi jingga. Untuk pertama kali, hembusan nafasnya tidak seperti selalu. Terbentangnya langit yang luas itu membuatkan Qhayrul merasakan dirinya begitu kecil lagi kerdil. Jarak di antara bumi dan langit yang begitu tinggi menyebabkan Qhayrul sedar betapa rendahnya taraf kehidupan sebagai seorang hamba.
Saat dia melangkah ke rumah Allah tadi, nadinya sekelip mata berdenyut dengan pantas. Tidak terhitung rasanya waktu solat yang Qhayrul abaikan. Segala suruhan Tuhan yang Maha Esa perintahkan, Qhayrul tinggalkan dengan sengaja. Namun, saat tapak kakinya melekap kukuh di lantai masjid tersebut, lelaki itu dapat merasakan hatinya seperti disentuh dengan sesuatu. Seolah-olah ada angin lembut bertiup ke dalam jiwanya lalu dirinya mampu bernafas tenang.
Satu per satu peristiwa yang berlaku dalam hidup Qhayrul mula menjengah dalam kotak fikiran. Sejak akhir-akhir ini jalan hidup Qhayrul dihadiri dengan orang yang tidak disangka. Wajah yang paling jelas pada bayangannya ketika ini ialah wajah Yusra Dahliyaa. Kesan daripada pertemuan mereka berdua, telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di hati Qhayrul. Perasaan yang menerjah juga bercampur aduk. Tipulah jika Qhayrul mengatakan dia tidak rasa bersalah kerana berniat mahu meragut beg tangan Yusra Dahliyaa tempoh hari. Jika bukan kerana Yusra Dahliyaa menarik lengannya, dia sendiri tidak pasti apa nasib nyawanya.
“Amboi, tengok langit sampai hujung bibir tu nak ke telinga. Senyum sorang-sorang ni ingat kat siapa pula?” soal Fadhil.
Qhayrul tersentak. Jiwa Qhayrul yang melayang seketika tadi kembali semula ke badan setelah mendengar suara garau orang tua itu yang datang dari belakang. Qhayrul pantas menoleh.
“Eh, pak cik. Tak ada siapa-siapalah. Saja aje tengok sekeliling masjid ni. Almaklumlah, badan saya ni dah lama tak jadi tetamu rumah Allah ni,” sindir Qhayrul kepada diri sendiri.
Fadhil tersenyum tatkala mendengar jawapan Qhayrul. Fadhil menyentuh bahagian dadanya. Terasa sedikit lelah dan kepenatan. Mungkin kesan daripada rawatan yang diterima beberapa jam yang lalu.
“Pak cik, kenapa ni?”
“Pak cik okey. Ni semua kesan biasa sebab pak cik sesak nafas tadi kan. Allah...” ucap Fadhil sambil perlahan-lahan melabuhkan punggung bersebelahan dengan Qhayrul.
Qhayrul hanya memerhatikan tingkah Fadhil. Setelah Fadhil duduk dengan selesa, tangan kanan Qhayrul menyerahkan kain pelekat yang dipegangnya kepada lelaki tua itu. “Pak cik, terima kasih sebab pinjamkan saya kain pelekat ni. Pak cik baik sangat dengan saya.”
“Pak cik tak ada buat apa-apa pun, Qhayrul. Kain pelekat yang bersih ni kena sentiasa ada dengan kita kalau kita pergi ke mana-mana. Bila manusia menghadap dengan Maha Pencipta, biarlah dalam keadaan yang bersih dan terjaga aurat kita. Cuba bayangkan kalau kita nak jumpa dengan orang yang kita suka atau sayang, mestilah kita nak diri kita elok pada penglihatan orang tu. Betul tak?”
“Tak ada orang yang saya sayang lepas mak angkat saya meninggal.”
“Pak cik minta kamu bayangkan aje. Kamu ni, dengan seluar koyak kat lutut macam ni dah kira terdedah aurat. Jangan ingat selama ni isu aurat berkaitan dengan orang perempuan aje. Kita sebagai lelaki, khalifah, pemimpin dan makhluk Dia kat bumi ni pun ada batasan kulit. Aurat kita sebagai lelaki dari atas pusat sehinggalah paras bawah lutut. Kalau tak menutup aurat, tidak sahlah solat kita tu nanti. Faham tu?” pesan Fadhil dengan nada yang tegas.
Qhayrul hanya mengangguk. Kedua-dua belah tangan Qhayrul segera menutup kepala lututnya yang terdedah.
“Lepas solat tadi, pak cik toleh belakang kamu tak ada. Puas cari Qhayrul kat dalam tu. Rupa-rupanya kamu ada kat sini.”
“Saya cuma tahu lepas beri salam, kita berdoa. Saya tak tahu apa bacaan yang kena baca lepas bagi salam. Saya tengok pak cik lama duduk sambil mulut berkumat-kamit. Jadi, nak elakkan rasa janggal kat atas tikar sejadah tu, saya keluar cari angin.”
Fadhil membisu seketika. Diperhatikan sahaja setiap garis dan lekuk yang membentuk muka itu. Kesan biru pada pipi dan tepi bibir kelihatan. Fadhil cuba membaca isi hati anak muda yang lebih kurang sebaya dengan anaknya itu melalui pandangan mata. “Pak cik tengok Qhayrul ni jujur orangnya.”
Kepala Qhayrul tertunduk. Pujian yang diberikan oleh Fadhil seakan-akan tidak sesuai untuk dirinya. “Saya ni bukan macam yang pak cik sangka. Saya ni bukannya baik sangat. Banyak benda yang tak senonoh dan tak elok kat pandangan mata orang saya dah buat. Saya pernah mencuri, meragut, jadi samseng kat jalan, pukul orang.”
“Kalau kamu bukan orang baik-baik, kamu tak akan tolong pak cik. Pak cik ni orang luar bagi kamu. Kalau Qhayrul jahat, dah lama Qhayrul boleh buat benda tak baik pada pak cik. Bila Qhayrul nampak pak cik tak sedarkan diri dalam kereta tadi, boleh aje Qhayrul tinggalkan pak cik kat tepi jalan dan curi kereta pak cik tu, kan? Tapi, apa yang Qhayrul buat? Qhayrul susah payah hantar pak cik pergi hospital untuk selamatkan orang tua yang kamu tak kenal ni. Bukan semua orang boleh buat apa yang Qhayrul buat.”
“Saya hutang budi dengan pak cik.”
“Pak cik tak sedarkan diri masa kamu masuk dalam kereta. Selangkah mahupun setapak pak cik tak bergerak untuk tolong kamu siang tadi. Pak cik tak berbudi pun dengan Qhayrul. Sebaliknya, pak cik yang terasa berhutang nyawa dengan Qhayrul.”
Berhutang nyawa? Sebaik sahaja dua perkataan itu menembusi pendengaran, sekali lagi layar fikiran Qhayrul memaparkan wajah Yusra Dahliyaa. Masih ketara riak muka wanita itu sejurus Yusra Dahliyaa menyelamatkannya daripada kemalangan. Anak mata Yusra Dahliyaa penuh dengan kesedihan dan kepayahan. Perasaan takut dan bimbang jelas terpancar pada air muka wanita itu. Qhayrul dapat merasakan segala keperitan itu melalui sentuhan dan cara pandangan Yusra Dahliyaa terhadap dirinya. Oleh sebab kejadian itu, ada satu rasa yang tidak pernah dialami oleh Qhayrul selama hayatnya sebelum ini terbit dalam hatinya. Rasa itu semakin nyata.
“Pak cik, boleh ke orang macam saya ni kahwin?”
Terkebil-kebil seketika mata Fadhil dibuatnya. Agak pelik dengan soalan yang diberikan oleh Qhayrul. “Kenapa pula kamu tanya macam tu?”
“Pak cik kan tahu saya ni tak macam orang lain.”
“Qhayrul pun manusia biasa juga. Bila dah sampai masa, Allah pasti kasi jalan dan cara untuk kita bertemu dengan jodoh kita. Tapi, nak jadi seorang suami bukannya senang.”
“Allah akan kasi jalan dan cara?”
“Allah tu Maha Penyayang. Dia yang mencipta manusia dan semua makhluk yang ada kat dalam dunia ni. Dia juga tahu fitrah kita sebagai manusia. Allah akan tunjukkan kita caranya. Cuma, kadang-kadang kita yang tak perasan. Jodoh ni unik. Walaupun dipaksa, tapi Allah kata bukan jodoh kita, ia tetap bukan jodoh kita. Jodoh ni bukan sesuatu yang kita boleh jangka. Mungkin kita baru jumpa orang tu sekali hari ni, manalah tahu esok lusa rupanya dialah teman hidup kita sampai kita mati nanti.”
Allah akan kasi jalan dan cara. Qhayrul mengulangi sebaris ayat itu dalam hatinya. Dia termenung. Matanya tertumpu pada lantai. Suara Hamka membacakan wasiat mula kedengaran dalam fikiran Qhayrul.
“Patutlah senyum simpul tadi. Dah ada orang yang kamu suka ke?”
“Tak adalah.”
“Tadi cakap tak ada orang yang kamu sayang. Sekarang termenung. Sebab tu tiba-tiba boleh keluar soalan yang kamu ni boleh kahwin ke tidak, kan?” usik Fadhil.
“Isy... mana ada, pak cik. Cuma, sejak kebelakangan ni banyak perkara yang tak terlintas dalam fikiran berlaku dalam hidup saya.”
“Termasuklah pak cik?”
Qhayrul tersenyum lalu mengangguk.
“Macam nilah... Apa kata kita solat maghrib berjemaah dengan yang lain nanti? Waktu maghrib pun dah nak sampai kejap lagi. Lepas tu, kita pergi rumah pak cik. Kita makan sama-sama. Mesti orang rumah pak cik dah sediakan makan malam.”
“Eh, pak cik... janganlah macam tu. Malu saya nak singgah rumah pak cik. Saya memang nak terus balik lepas ni.”
“Apa salahnya? Anggaplah pak cik balas jasa baik Qhayrul. Kalau nak dibandingkan apa yang Qhayrul buat, tak terbalas rasanya.”
“Pak cik...” Belum sempat Qhayrul mahu menghabiskan kata-katanya, sudah kedengaran ketukan pada mikrofon melalui pembesar suara. Pastinya bilal akan mengalunkan azan sebentar lagi.
“Ambil balik kain pelekat ni. Kalau kamu dah batal air wuduk, pergi ambil semula. Pak cik nak masuk semula ni.”
Qhayrul tidak mampu membalas suara. Kain pelekat yang terlipat kemas berada di genggamannya semula. Fadhil mengangkat punggung lalu melangkah masuk ke dalam, meninggalkan Qhayrul yang masih lagi terpinga-pinga di situ.

-------------------------------

Tangan kanan Hamka menutup kembali pintu kereta setelah beg bimbit berwarna hitam berada di genggaman. Dia melihat seketika jam tangan yang berada di pergelangan tangan. Waktu sudah menjengah pukul 1.30 tengah hari. Kaki Hamka mahu melangkah menaiki tangga kedai yang telah diubah suai menjadi pejabat itu. Saat kakinya mahu bertapak di anak tangga pertama, dia terkejut lalu perbuatannya terhenti. Cermin mata hitam yang dikenakan lantas ditanggalkan.
“Astaghfirullah al-azim. Encik Qhayrul rupanya. Terkejut saya tiba-tiba aje ada orang duduk kat tepi jalan ni.”
Qhayrul membalas dengan mempamerkan senyuman. Dia bangun lalu berdiri. Qhayrul menemukan kedua-dua belah tapak tangan, kemudian menyapu beberapa kali anggota itu agar tangannya tidak berhabuk atau berpasir sebelum bersalaman dengan Hamka.
“Orang macam saya ni kan memang jenis kat tepi jalan. Takkanlah encik lupa apa yang Isyraf cakap masa hari tu? Dia mana nak terima saya ni sebagai ahli keluarga Idrus Wira. Mana ada orang mahu masukkan nila dengan sengaja ke dalam susu yang nak diminum? Saya ni akan rosakkan nama baik keluarga dia aje,” balas Qhayrul sebaik sahaja genggaman mereka berdua terlerai.
“Tepi jalan ke, tengah jalan ke, realiti yang Encik Qhayrul ni adik-beradik sebapa secara biologi memang tak boleh nak diubah. Saya rasa Encik Isyraf pun tahu akan hal tu.”
“Tahu dengan mahu jauh maksudnya, Encik Hamka. Encik tak payahlah nak sedapkan hati saya yang dah tak beberapa nak sedap ni.”
Okay, straight to the point. Bila Encik Qhayrul dah tercegat kat depan pejabat ni, mestilah nak jumpa saya, kan? Kenapa Encik Qhayrul tak telefon aje saya? Ni nasib baik, kebetulan saat-saat akhir klien saya batalkan lunch appointment sebab ada hal katanya.”
“Saya tak rancang pun nak jumpa encik, tapi saya duduk kat sini dekat dua jam jugalah.” Dia masih lagi tidak pasti dengan keputusannya. Namun, Qhayrul sudah bertaruh. Selagi dia tak berganjak dari situ dan Hamka pula muncul dalam tempoh itu, maka keputusan itu akan diambil sebagai jalan penyelesaian untuk semua masalah hidupnya.
“Encik Qhayrul duduk kat tepi jalan dengan panas terik macam ni selama dua jam?”
“Bila dapat tahu siapa saya sebenarnya, perasaan pertama yang terbit kat hati saya selain terkejut ialah perasaan marah. Sekarang baru saya tahu kenapa sikap memberontak ni ada kat dalam diri saya. Rupanya saya dapat daripada mak dan ayah kandung saya sendiri yang memang mementingkan diri sendiri. Jadi, saya ambil keputusan untuk terima segala harta peninggalan dan wasiat arwah kepada saya. Sekurang-kurangnya harta yang dia kasi itu boleh senangkan hidup saya.”
Bibir Hamka melengkung ke atas. Dia menghembus nafas lega kerana keputusan yang diambil oleh Qhayrul memudahkan kerjanya. Idrus Wira sudah berpesan, selagi Qhayrul mahupun Yusra Dahliyaa tidak mahu menerima wasiatnya, selama itu Hamka harus memujuk mereka berdua.
“Dan itu bermakna Encik Qhayrul mahu duduk seatap dan bekerja sebumbung dengan Encik Isyraf sebagaimana yang dipinta oleh arwah?”
“Ya, setuju. Lagipun saya kan tengah menganggur sekarang ni. Benda tu tak jadi masalah pun. Yang jadi masalahnya, ada banyak benda yang saya nak minta sebelum secara rasmi saya jadi ahli keluarga Idrus Wira. Saya harap encik dapat tolong saya.”
“Insya-Allah, Encik Qhayrul.”
“Pertama, saya nak minta encik selesaikan segala hutang yang saya tanggung selama ni. Tak sanggup rasanya jadi pelarian kat bumi sendiri. Kaki saya ni nak pakai lama. Kalau asyik berlari, takut terkurang jangka hayatnya.”
“Hutang? Maksud hutang kat sini, hutang Encik Qhayrul dengan along, si ikan jerung yang selalu makan ikan bilis tu?”
Qhayrul yang dari tadi tenang kini membulatkan mata. Terkedu seketika kerana Hamka tahu akan hal tersebut. Namun, lama-kelamaan dia tersenyum sinis.
“Kenapa Encik Qhayrul senyum macam tu? Bukan Encik Qhayrul patut tanya kenapa saya boleh tahu ke?”
“Kalau Idrus Wira boleh tahu saya ni kat mana, bukan mustahil kalau dia tahu saya ni berhutang duit dengan siapa. Buat sakit badan aje kena belasah, tapi bapa orang kaya rupanya.”
Kepala Hamka mengangguk sebagai tanda mengerti. Hatinya sekali lagi disuntik perasaan kagum dengan ketangkasan akal Qhayrul menangkap apa yang sedang berlaku. “Encik Qhayrul jangan bimbang. Kebetulan saya sedang uruskan hal tu. Tuan Idrus Wira pernah cakap dengan saya pasal hal ni. Dia nak warisnya hidup dalam keadaan senang.”
“Kalau dia tahu, patutnya dia dah tolong bayar sejak awal lagi.”
Hamka lantas menggeleng kepala. “Macam yang Encik Qhayrul cakap tadi, dia nak warisnya tahu kewujudannya selepas dia tak ada kat dunia ni. Lepas Encik Qhayrul dan Puan Yusra tahu akan pemberian saham tu, barulah saya boleh uruskan segala masalah yang ada. Encik Qhayrul cakap tadi yang encik banyak permintaan. Permintaan yang lain macam mana pula?”
“Sebelum saya masuk ke banglo yang Isyraf dan Irdina tinggal, saya nak sikit duit belanja dan kenderaan untuk kemudahan diri saya sendiri. Anak Idrus Wira jalan kaki ke hulur ke hilir memang tak sesuai rasanya, kan? Saya nak minta encik uruskan pasal tu, boleh?”
“Boleh sangat, Encik Qhayrul. Encik Qahyrul cakap aje model kereta apa yang encik mahukan, saya akan uruskan.”
“Kereta? Boleh juga kalau nak kasi, tapi mat rempit mana naik kereta. Saya nak motosikal.”
“Pun boleh juga, Encik Qhayrul. Kalau Encik Qhayrul nak motosikal, saya akan uruskan juga.”
“Alang-alang tadi dah cakap kereta, kereta tu pun boleh jugalah. Kalau tiba-tiba saya nak guna ke.”
Sekali lagi Hamka menggelengkan kepala, tetapi kali ini diiringi dengan senyuman. Ternyata Qhayrul sudah mula mahu membelanjakan wang seperti orang kaya.
“Kalau macam tu, kita masuk ke pejabat dulu. Memang banyak permintaan Encik Qahyrul ni. Tak sesuai rasanya nak bincang kat tepi jalan,” pinta Hamka lalu kakinya mula mengatur langkah.
Saat mahu menolak pintu kaca pejabat ke dalam, suara Qhayrul kedengaran lagi. “Saya ada satu lagi permintaan. Mungkin permintaan terakhir untuk hari ni.”
Hamka menoleh. “Apa dia, Encik Qhayrul?”
“Saya nak tahu macam mana caranya supaya saya boleh berjumpa dengan Cik Yusra.”
“Puan Yusra? Kenapa Encik Qhayrul nak jumpa dengan dia?”
“Kenapa? Tak boleh ke saya nak jumpa dengan bakal isteri saya?”
Hamka terdiam sekejap di pintu itu dan langkau beberapa detik kemudian dia mengangguk dan tersenyum.

No comments:

Post a Comment