BAB 7
Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa keluar dari
bilik mesyuarat tersebut setelah selesai pembacaan wasiat. Isyraf dan Irdina
sudah beredar terlebih dahulu. Mungkin rasa sakit hati yang dirasa membuatkan
mereka tidak mampu untuk bertentangan dengan penerima wasiat yang tiba-tiba
sahaja muncul.
“Puan Yusra?” panggil
Hamka. Dia turut melangkah keluar bersama dengan Qhayrul. “Saya minta maaf atas
kejadian yang berlaku sebentar tadi.”
“Saya yang sepatutnya minta maaf. Saya faham dengan
perasaan dia orang tadi. Orang yang langsung tidak pernah didengar namanya, apatah lagi wajahnya,
tiba-tiba sahaja muncul dapat harta yang sepatutnya jadi hak dia orang. Secara
tak langsung kehadiran saya sebenarnya tidak diundang. Saya dan Rafi jugalah salah
satu sebab kenapa Encik Isyraf bertindak sampai macam tu sekali. Saya faham.”
“Puan dengan Rafi adalah penerima yang sah. Bukannya
pencuri yang tak ada hidung tiba-tiba datang meragut dengan paksaan tanpa rela, wahai Puan Yusra Dahliyaa. Jadi, puan tak perlu nak
rasa bersalah.”
Qhayrul yang berdiri diam di sebelah Hamka langsung
tersedak. Tindakan spontan itu terjadi kerana perumpaan yang diberikan oleh si
peguam kepada wanita itu. Terasa bagai ditusuk hatinya dengan duri tatkala ayat
itu menembusi pendengaran Qhayrul.
Yusra Dahliyaa sudah tersenyum mengerti. “Saya
fikirkan dulu hal ni, Encik Hamka. Semuanya
terlalu mendadak buat saya.”
“Boleh, Puan Yusra.
Bila-bila masa puan boleh hubungi saya untuk membincangkan hal ni. Dan, pasal permintaan yang melibatkan puan dan Encik
Qhayrul...” Hamka memberhentikan bicaranya untuk
seketika. Penglihatan Hamka silih berganti antara Qhayrul dan Yusra Dahliyaa. “Saya
harap awak berdua boleh mempertimbangkan hal tersebut. Tuan Idrus memang harap
sangat perkara tu akan terjadi.”
Yusra Dahliyaa tidak menjawab.
Qhayrul juga tidak membalas. Apabila melihat reaksi mereka begitu, tangan Hamka
singgah di bahu Qhayrul. “Kalau tak ada apa-apa hal lagi, saya nak minta diri
dulu. Saya pun ada hal juga ni.”
Qhayrul mengangguk perlahan sebagai tanda mengerti.
“Terima kasih, Encik
Hamka,” ucap Yusra Dahliyaa.
“Sama-sama, Puan
Yusra.”
Kaki Hamka melangkah. Tangannya sempat mencubit lembut
pipi Rafi Huzaifa. Anak kecil itu tersenyum. Yusra Dahliyaa mengambil keputusan
untuk beredar dari pejabat Fakhrul Razi & Associate. Qhayrul sudah terlebih
dahulu melintasi dirinya. Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa menuruti gerak kaki
lelaki tersebut.
Perasaan geram dan penuh tanda tanya muncul ketika
melihat tubuh itu dari belakang. Respons dan ekspresi Qhayrul terhadap dirinya seolah-olah
mereka tidak pernah berjumpa. Sedangkan Qhayrul punya hutang yang perlu
diselesaikan dengan Yusra Dahliyaa kerana peristiwa tempoh hari. Wanita itu
merasakan urusannya dengan Qhayrul masih belum lunas.
“Tak sangka pula yang aku dengan kau akan jumpa sekali
lagi,” ucap Yusra Dahliyaa sebaik sahaja mereka berada di luar.
Qhayrul tersentak. Tidak menyangka yang Yusra Dahliyaa
akan menegurnya terlebih dahulu. Perlahan-lahan dia berpaling.
“Kejadian petang hari tu pun aku tak sangka akan
berlaku juga. Kau tak ada nak cakap apa-apa dengan aku?” sambung Yusra Dahliyaa
lagi apabila mata mereka berdua bertaut.
Halkum yang berada di leher lelaki itu bergerak.
Qhayrul menelan air liur. Memang makan dalam sungguh ayat yang terbit dari bibir itu. “Pasal kejadian petang tu, aku memang
tak ada niat nak cederakan kau. Aku buat macam tu pun sebab terdesak. Kau
lupakan ajelah apa yang dah jadi. Lagipun beg tangan kau tu aku tak sempat
ragut, kan?”
Mulut Yusra Dahliyaa sedikit terbuka, melopong.
Terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia ketawa kecil dengan nada sinis.
Perasaan tidak puas hati semakin membuak-buak.
“Lupakan? Macam tu aje? Orang
cakap, makan boleh sebarang makan. Bila
bercakap, tolong gunakan organ yang berada kat atas kepala tu. Hidup ni biar
kurang makan, tapi bila dah buat salah kena minta maaf.”
“Aku tahu aku salah, tapi aku tak sempat nak curi
apa-apa pun, kan?”
“Agaknya, dah berapa kali kau buat kerja tu? Dah
berapa orang yang jadi mangsa ragut kau?”
Qhayrul beralih pandangan. Wajahnya jelas bengang. Qhayrul menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal. Dia sudah tidak keruan. Tidak tahu bagaimana mahu membalas.
“Ibu...”
Tanpa diduga oleh kedua-dua orang dewasa itu,
tiba-tiba sahaja suara Rafi Huzaifa muncul di celahan tikaman lidah mereka.
Yusra Dahliyaa dan Qhayrul memandang ke arah yang sama. Ibu tunggal itu tunduk.
“Ya, Rafi. Kenapa? Ibu tengah
cakap dengan pak cik ni. Kejap lagi kita balik ya?”
“Rafi bukan nak tanya bila kita kena balik. Rafi nak
tanya ibu kenal ke dengan pak cik ni?”
“Ibu tak kenal sangat dengan dia. Kenapa Rafi tanya?”
“Masa kita kat bilik tadi, ibu cakap saya dengan pak
cik yang seorang lagi tu sebab ibu tak kenal dia,
kan? Tapi, kenapa ibu cakap kau aku dengan pak
cik ni? Kan ibu cakap tak baik cakap kau aku dengan orang yang kita tak kenal? Kita kena cakap saya awak. Betul tak, ibu?”
Entah kenapa Yusra Dahliyaa merasa terpukul dengan
pertanyaan anaknya itu. Memang itu yang diasuh olehnya kepada Rafi Huzaifa.
Pernah ada rakan tadika Rafi Huzaifa yang menggunakan kata ganti diri aku dan
kau semasa mereka berbual. Kerana persekitaran begitu, Rafi Huzaifa juga sudah
terpengaruh. Kata ganti begitu kurang sesuai dan kurang sopan digunakan oleh
kanak-kanak sebaya Rafi Huzaifa.
“Ibu tak sengaja. Nasib baik Rafi ingatkan ibu. Okey,
ibu dah tak cakap aku kau lagi dengan pak cik ni ya,” ucap Yusra Dahliyaa
sambil mengusap lembut ubun-ubun kepala anaknya.
“Pandai Cik Yusra Dahliyaa didik anak. Janganlah nak
jadi macam ketam ajar anaknya berjalan tegak, tapi diri sendiri pula yang jalan
senget,” sindir Qhayrul.
“Dan awak, Encik
Qhayrul Wira Azreen, janganlah nama sahaja ada perkataan Wira, tapi perangai langsung tak ada wiranya.”
“Okey, memang salah apa yang aku...” Qhayrul terdiam, pandangannya bertemu dengan Rafi
Huzaifa. Anak kecil tersebut seakan-akan tidak
selesa dengan perbualan kedua-dua orang dewasa
itu.
“Okey, bukan aku, saya.
Memang salah apa yang saya dah buat tu. Cik Yusra pun dah belasah saya juga kan
masa tu? Dan, saya hargai yang Cik Yusra dah
selamatkan saya. Kalau bukan sebab Cik Yusra tarik tangan saya, saya mungkin
tak akan ada kat sini.”
“Jadi?”
“Aku... saya nak...”
Yusra Dahliyaa berkerut. Dia seperti
dapat mengagak apa yang Qhayrul mahu ucapkan. Direnung sahaja bibir itu,
menantikan butir kata lelaki tersebut.
“Saya nak cakap...”
“Encik Wira nak cakap terima kasih?” teka Yusra
Dahliyaa. Sabar menantikan kata-kata Qhayrul lenyap. Yusra Dahliyaa dapat
merasakan yang Qhayrul begitu sukar untuk mengungkapkan dua perkataan itu.
“Itulah yang saya nak cakap.”
“Terima kasih. Bukan susah pun. Anak saya ni pun
selalu cakap.”
“Saya tak pernah berterima kasih dengan orang luar.
Tapi, dengan Cik Yusra, saya memang kena cakap.
Terima kasih sebab selamatkan saya hari tu.”
“Sama-sama. Sekurang-kurangnya Encik Qhayrul Wira
Azreen masih lagi tahu berterima kasih,” sindir Yusra Dahliyaa.
“Dan, pasal wasiat yang
melibatkan kita...”
“Kita? Awak cakap kita? Agak mustahil nak jadi kat
alam mimpi apatah lagi kat alam nyata yang saya akan hidup dengan awak, Encik
Wira.”
“Kalau nak difikir apa yang jadi pada petang hari tu,
saya dengan Cik Yusra tak akan ada perkataan kita. Tapi,
kalau dilihat pada takdir, boleh jadi pesanan yang tertulis buat kita tu satu
permulaan, Cik Yusra,” ucap Qhayrul. Pandangannya
penuh dengan makna. Kemudian, dia berpaling dan mengatur langkah meninggalkan
Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa di situ.
Tidak berkerdip mata Yusra Dahliyaa. Tidak menyangka
yang lelaki itu boleh mengatur kata begitu. Masakan Qhayrul benar-benar memaksudkan perkara itu?
“Puan Yusra, bukan Cik Yusra. Awak tak nampak ke yang
saya ni dah ada anak?” bangkang Yusra Dahliyaa dengan nada separuh tinggi.
“Tak kisahlah awak ada anak ke tidak. Suka hati
sayalah nak panggil awak apa. Kalau awak masih lagi puan, macam mana ada wasiat
yang mengatakan kita kena kahwin?” balas lelaki itu tanpa menoleh ke belakang.
--------------------------------
"Apa?! Kahwin?!” Kaki kanan Mizza Ilyana pantas menekan pedal brek. Dia memberhentikan
kereta di sisi jalan. Gear automatik yang menunjukkan huruf D digerakkan ke huruf P dan dia menarik brek tangan kereta Honda
Jazz Hybrid berwarna biru itu.
“Ya Allah, terkejut aku,
Mizza. Apasal kau berhenti ni? Rafi okey ke kat belakang?” soal Yusra Dahliyaa, dalam masa
yang sama menoleh ke tempat duduk belakang. Tangannya mencapai kaki Rafi
Huzaifa yang sedikit terlunjur di atas kerusi kereta.
“Ibu, kenapa berhenti?” balas Rafi Huzaifa tanpa menjawab
pertanyaan ibunya. Wajahnya sedikit pucat dan terpinga-pinga.
“Rafi, sorry
ya. Aunty Mizza tak sengaja. Rafi pakai seat belt kan kat belakang?” tanya Mizza Ilyana. Pandangan
gadis itu tepat melihat imej Rafi Huzaifa melalui pantulan cermin pandang belakang.
Kanak-kanak itu mengangguk perlahan.
Setelah memastikan tiada apa-apa yang berlaku, Yusra
Dahliyaa mengurut dadanya sebagai tanda lega. “Nasib baik tak ada kereta kat
belakang. Kau tahu tak kau berhenti scara tiba-tiba macam ni buat aku
terkejut?”
“Kau terkejut? Aku dengar kau dapat saham tiba-tiba ni
pun dah cukup buat jantung aku ni macam dipam
dengan pam basikal. Lagi dengar cakap kau kena kahwin!
Memang terasa nak terkeluar segala organ yang ada kat dalam badan ni. Daripada
kita terlibat dengan kemalangan sebab aku kena sakit jantung masa memandu,
lebih baik kau bagi CPR kat aku sebagai bekalan
kat tepi jalan ni. Kenapa kau tak cakap dengan aku yang kau datang syarikat
guaman tu sebab wasiat Idrus Wira?”
“Sebab tu aku tak nak cerita masa kau tengah memandu
ni. Tapi, kau yang beria nak tahu, kan? Aku tak nak beritahu kau sebab aku takut apa
yang aku dengar semalam tu silap. Boleh jadi
peguam tu salah cakap atau aku yang tersalah dengar.”
Mulut Mizza Ilyana melopong. Tangan kirinya menaikkan
suhu penghawa dingin kereta kemudian dia
bersandar pada kerusi. Angin dingin yang keluar dari celahan lubang udara
tersebut tidak mampu menyejukkan keadaan yang diselubungi dengan berita hangat
itu.
“Kau yang dengar dah tergamam macam gini, aku yang
menghadapinya ni, kau boleh bayangkan?”
“Maknanya... kau kena
kahwin dengan Isyraf Wira?”
Umpama melontar buah dadu, kini giliran Yusra Dahliyaa
pula yang terkejut. “Kau kenal ke dengan Isyraf Wira?”
“Aku pernah dengar nama dia aje. Orangnya tak tahu
macam mana. Aku kenal pun sebab papa aku. Papa aku kan kerja kat Warisan Wira
tu dah dekat 15 tahun. Pejabat urusan dia kat
dalam restoran ala resort tulah. Kalaulah aku
tahu dari awal sebab kau pergi syarikat guaman tu, dah lama aku tanya dengan
papa aku pasal ni. Tak adalah aku terkejut sangat yang kawan baik aku ni nak
jadi orang kaya. Kiranya 13 peratus saham
Warisan Wira tu memang milik kau dengan Rafi? Tapi,
sebab apa?”
“Sampai sekarang aku tak ada jawapan untuk soalan
terakhir kau tu.”
“Jadi, kau setuju ke kahwin dengan Isyraf Wira?”
“Bukan dengan dia aku kena kahwin.”
“Habis tu, takkanlah dengan Irdina Wira pula? Buang
tabiat ke apa?”
“Nabi tak mengaku umat kalau kahwin sesama jenis.
Logik sikit, Mizza Ilyana.”
“Aku cakap berdasarkan fakta dan logiklah ni. Idrus
Wira ada dua orang anak aje. Seorang lelaki, seorang perempuan. Dah kalau bukan
kahwin dengan abangnya, kau terpaksa berikat kasih dengan siapa pula, Yusra Dahliyaa?”
Lidah wanita itu menjadi kelu hendak menjawab. Dia
sendiri hingga ke saat itu masih belum percaya dengan apa yang berlaku. “Aku
kena kahwin dengan anak dia yang baru muncul, Qhayrul Wira Azreen.”
“Anak baru muncul? Anak buluh betung ke? Qhayrul Wira
Azreen?”
“Kau ingat tak peragut yang nak ragut beg aku petang
hari tu?”
“Ingat... Yang kau
selamatkan dia daripada kena langgar kereta tu. Kenapa dengan mamat tu?”
“Kalau aku cakap, kau jangan terkejut sampai tekan
pedal brek tu lagi. Kereta ni dah tak bergerak.”
Terkebil-kebil dibuatnya mata Mizza Ilyana tatkala
mendengar klu dan pembayang yang diberikan oleh rakan baiknya itu. “Kau jangan
nak beritahu aku yang peragut tu anak kepada Idrus Wira. Nama Qhayrul Wira
Azreen tu nama dia ke?”
“Kau cakap jangan, aku tetap nak beritahu. Ha’ah,
peragut tulah anak yang baru muncul dalam keluarga Idrus Wira.” Sekali lagi
Mizza Ilyana bersandar di kerusi. Tangannya mengetuk-ngetuk permukaan stereng.
Entah mengapa semakin tidak keruan Mizza Ilyana mendengar berita tersebut.
Rambut yang dibiarkan lepas, diikat supaya merasa lebih selesa.
“Memang tak masuk akal. Tak logik. Papa aku tak pernah
cerita pun pasal anak arwah yang namanya Qhayrul Wira Azreen. Lagi satu,
takkanlah anak orang kaya nak meragut kut? Bapa
jutawan kaya-raya, tak mungkin anak nak mencuri
kat jalan raya.”
“Qhayrul tu anak tak sah taraf arwah. Semua orang tak
tahu kewujudan dia sebelum ni. Tuan badan sendiri pun tak tahu yang dia anak
kandung jutawan restoran tu. Sampailah ada wasiat yang bagi tahu dia adalah
salah seorang penerima harta arwah.”
“Apa?!” Mizza Ilyana menekup mulutnya sendiri. Matanya
terbeliak. “Id... Id...
Idrus Wira ada anak luar ni... nikah? Peragut
tu? Ya Allah... Astaghfirullah
al-azim.” Suara gadis itu seakan-akan
tersekat di kerongkong. Percakapannya menjadi gagap kerana berita tersebut.
Mizza Ilyana memandang ke hadapan. Jalan raya yang terbentang di tenung agak
lama.
“Jadi, kau boleh bayangkan apa yang aku rasa sekarang
ni? Aku ingat dah tutup cerita aku dengan peragut tu. Tak sangka pula jadi
macam ni.”
“Satu hari berapa banyak kejutan kau nak kasi kat aku
ni, Yusra? Aku rasa, aku kena balik klinik lepas
hantar kau balik ni. Aku sebagai doktor kena buat pemeriksaan jantung ke atas
diri sendiri. Mahunya aku kena heart attack kalau dengar
berita mengejut macam ni hari-hari. Habis tu,
sekarang ni kau nak buat apa?”
“Aku tak tahu. Bahagian aku yang tiba-tiba dapat saham
ni pun tak dapat selesaikan lagi, macam mana aku nak fikir pasal si Qhayrul
tu?”
“Ya tak ya juga.”
Sepanjang perkenalan Mizza Ilyana dengan Yusra
Dahliyaa, dia memang tidak pernah dengar rakannya itu menyebut nama jutawan
tersebut. Bunyi guruh sebagai tanda tak kedengaran, awan hitam yang berarak pun
tak kelihatan, tahu-tahu Yusra Dahliyaa dengan Rafi dapat rezeki macam hujan
yang turun mencurah-curah dari langit secara tiba-tiba.
“Ke kau ni ada kena-mengena
dengan arwah Idrus Wira? Cuma kau aje yang tak tahu. Boleh jadi ada kena-mengena dengan ayah kau tak? Tak pun dengan arwah
Ra’if.”
“Kalau dengan ayah aku, aku tak pasti. Setahu aku,
dari aku kecil sampailah sekarang ni aku memang tak pernah dengar lagi ayah aku
sebut nama Idrus Wira. Kalau Ra’if pula, lagilah tak logik. Arwah suami aku tu
kan anak yatim. Sejak umur dia lapan tahun dia
dibesarkan kat rumah kebajikan. Kan mak ayah suami aku tu meninggal sebab
kemalangan?”
“Betul juga tu. Aku rasa jalan penyelesaiannya kat
sini, kau jumpa semula dengan Encik Hamka. Mesti ada sesuatu yang arwah pesan
pada peguam peribadi dia tu,” ujar Mizza Ilyana.
Otak Yusra Dahliyaa ligat menghadamkan kata-kata Mizza
Ilyana. Serabut dan selirat yang wujud dalam
benaknya masih lagi belum terurai. Dia menghela nafas panjang lalu menoleh ke
belakang. Rafi Huzaifa yang tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku sudah terlena.
No comments:
Post a Comment