BAB 8
Permukaan kolam renang restoran ala resort Restoran
Warisan Wira kelihatan tenang pada pandangan Isyraf. Namun, keadaan tersebut tidak seiring dengan hatinya yang
masih lagi dirundung perasaan tidak menentu dan keliru.
Kaki Isyraf melangkah berat mengelilingi sisi kolam
yang berbentuk seperti nombor lapan itu. Pantulan cahaya lampu landskap yang
berada di sekitar kawasan ke dalam air seakan-akan
mempengaruhi warna air kolam renang yang kelihatan biru pada waktu siang.
Langkah Isyraf terhenti dengan sendirinya saat berada di tengah.
Angin malam sekali-sekala
bertiup menyapa lembut pipi lelaki tersebut. Isyraf memasukkan tangan kanan dan
kirinya ke dalam poket seluar. Suasana terasa dingin. Mujur kot jenis tweed sports berwarna biru navy tersarung kemas pada
tubuh Isyraf memberikan rasa hangat pada lapisan kulit. Dia membiarkan sahaja rasa
itu menjalar.
Isyraf memejamkan mata. Dada lelaki berusia 31 tahun
itu kelihatan bergerak ketika dia menghirup perlahan udara malam. Oksigen yang
masuk ke dalam badan melalui rongga hidung sedikit sebanyak menenangkan
fikirannya yang sedang dipenuhi dengan pelbagai soalan.
Kenapa harus semuanya terbongkar saat Idrus Wira
pergi? Apakah sebenarnya rahsia yang disembunyikan oleh orang tua itu semasa
hayatnya? Mengapa selama ini ayahnya langsung tidak menyebut nama mereka
bertiga yang begitu asing dalam kehidupan keluarganya?
Setelah lama kelopak matanya tertutup, Isyraf membuka
perlahan matanya. Tangan kiri yang berada di kocek beralih ke tepi dahi.
Seperti pita rakaman yang sedang dimainkan, satu per satu
perbualan petang tadi yang berlaku di pejabatnya mula menjengah ke cuping
telinga.
--------------------------------
“Encik Isyraf bukan ambil cuti separuh hari
ke hari ni?” soal Ummar Mirza, setiausaha kepada Isyraf sebaik sahaja melangkah
masuk ke pejabat majikan barunya itu.
Isyraf yang sedang berdiri membelakangi Mirza segera
menoleh lalu berdiri bertentangan dengan lelaki itu. “Ada perkara yang saya nak
tanya dengan Uncle Mirza.”
“Pasal apa ya, Encik Isyraf?”
“Pasal wasiat arwah abah saya.”
“Wasiat? Bukan hari ni
pembacaan wasiat tu berlangsung ke?”
“Sesuatu yang bergulung bila dibentangkan akan
terlihatlah segala isi yang cuba disembunyikan
selama ni. Abah saya memang pandai menggulung, namun bila dah terbentang
segala-galanya saya pula terasa seperti digulung. Isi yang kelihatan
menimbulkan seribu dua tanda tanya,” balas Isyraf.
“Kenapa dengan wasiat tu?” soal Mirza. Dia mengerti
maksud di sebalik kata-kata Isyraf.
“Ada waris lain selain saya dan Irdina.” Isyraf
memerhatikan wajah itu. Riak muka itu tidak seperti yang diramal oleh Isyraf.
Mirza kelihatan tenang, jauh sekali untuk terkejut.
Mirza menjatuhkan sedikit pandangannya daripada
melihat Isyraf. Anak matanya bergerak ke kiri lalu ke kanan. Isyraf dapat
merasakan yang setiausaha ayahnya suatu ketika dahulu itu sedang memikirkan
sesuatu.
“Muka Uncle Mirza sepatutnya
bergelora macam air di laut. Setidak-tidaknya jika cuba dibendung, haruslah
timbul garisan di dahi yang menunjukkan uncle tidak
faham dengan apa yang saya cakap tadi. Tapi,
saya rasa uncle macam tahu perkara yang
sepatutnya saya tahu. Boleh uncle beritahu
perkara yang uncle tahu tu?”
Mirza tersenyum. Oleh kerana Isyraf berketinggian 186
sentimeter, lelaki itu mendongak untuk bertentang mata dengan Isyraf. “Saya dah 15 tahun jadi setiausaha merangkap pembantu peribadi
arwah Tuan Idrus Wira. Kalau nak kata saya tak tahu, bohong namanya.
Encik Isyraf nak bercakap pasal Encik Qhayrul Wira Azreen ke?”
Sebaik sahaja mendengar nama itu, Isyraf menekup muka
untuk beberapa detik. Setelah itu kepalanya digeleng. Isyraf merenung tajam
tatkala memandang potret Idrus Wira bersaiz 24R yang tergantung pada dinding.
Dia tergamam kerana Mirza mengenali nama lelaki asing tersebut.
“Abah kenal Uncle Mirza 15 tahun.
Saya yang hidup dengan abah selama 31 tahun ni pun belum mampu lagi nak tahu
rahsia tu? Darah yang mengalir dalam badan saya ni belum cukup pekat ke untuk
tahu siapa Qhayrul Wira Azreen dari mulut arwah
sendiri?” tanya Isyraf. Rentak alunan suaranya seakan-akan
merajuk.
“Asalkan namanya orang dan pernah menghirup nafas di
bumi ini, pasti ada rahsia. Orang gila pun ada rahsia. Mungkin ada sebab kenapa
Tuan Idrus merahsiakan hal ini.”
Isyraf tersenyum. Ayat tersebut sudah dua kali dia
dengar dalam tempoh tidak sampai 12 jam. “Itu ayat abah ke?”
“Itulah jawapan yang Tuan Idrus berikan bila soalan
yang lebih kurang sama bunyinya dengan soalan Encik Isyraf tadi saya ajukan
pada arwah lima tahun yang lalu.”
“Jadi, memang betullah Qhayrul tu anak luar nikah abah
dengan Aunty Azreena?”
Mirza mengangguk. “Puan Melati bukanlah cinta pertama
Tuan Idrus. Kerana aturan keluarga, perkahwinan antara mereka berdua berlaku.
Tapi, lama-kelamaan perasaan sayang tu wujud dan
Encik Isyraf pun lahir. Selang empat tahun lepas tu, Tuan Idrus bertemu semula
dengan Puan Azreena.”
“Bertemu semula? Maknanya Aunty Azreena
cinta pertama abah?”
“Ya, Encik Isyraf. Perasaan yang disangka telah hilang
sebenarnya masih lagi bersisa dalam hati. Tuan Idrus tak mampu nak menipu diri
sendiri dan akhirnya tanpa pengetahuan Puan Melati, Tuan Idrus jalinkan
hubungan dengan Puan Azreena. Kerana tersilap langkah, Puan Azreena mengandung
sebelum berkahwin. Tuan Idrus tahu akan hal ni dan mereka berdua ambil
keputusan untuk serahkan anak yang bakal lahir tu kepada keluarga angkat. Masa
tu Restoran Warisan Wira baru nak mula bertapak kukuh. Segala halangan harus
ditempuh, kesilapan sekecil zarah pun tidak boleh berlaku. Tuan Idrus merasakan yang
kewujudan Qhayrul akan menjejaskan nama baik Warisan Wira dan seboleh mungkin
dia tak nak Puan Melati tahu.”
“Sampai mak saya meninggal, dia masih tak tahu hal
ni?”
“Tak, Puan Melati tak tahu akan hal ni.”
“Sampai mati abah sanggup tipu mak? Patutlah belum
cecah setahun mak meninggal, abah beria-ia
sangat nak kahwin dengan Aunty Azreena.
Rupa-rupanya dah ada anak luar nikah. Sebab tu abah tak ada keberanian nak
beritahu saya atau Ird. Sekarang baru saya faham
kenapa saham Warisan Wira sebanyak 22 peratus diberikan
kepada anak luar nikah tu. Kiranya sebagai tebus dan galang ganti untuk semua
kesilapan yang abah saya buat pada dia.”
Sekali lagi Mirza mengangguk. Dia tidak punya kekuatan
untuk menjawab dari segi lisan. Cukuplah sekadar kalau dia mengetahui sahaja
apa yang berlaku.
“Siapa pula Yusra Dahliyaa dengan Rafi Huzaifa dalam
hidup abah?”
Kali ini reaksi Mirza tidak seperti tadi. Dia
terpinga-pinga apabila mendengar nama-nama tersebut dari
bibir Isyraf.
“Nampaknya memang Uncle Mirza tak tahulah
yang saham Warisan Wira 10 peratus milik Yusra
Dahliyaa dan lagi tiga peratus milik anak lelaki
dia, Rafi Huzaifa?”
“Saya memang tak tahu pasal hal tu. Saya ingatkan
Encik Isyraf, Encik Qhayrul dengan Cik Irdina aje penerima saham Warisan Wira.”
“Kalau macam tulah ceritanya, saya nak minta tolong
sesuatu daripada uncle.”
“Apa dia, Encik
Isyraf?”
“Tolong siasat latar belakang Yusra dengan Rafi. Saya
nak tahu kenapa arwah abah wariskan 13 peratus saham
kepada dia orang. Tak ada angin, tak ada ribut, masakan abah tiba-tiba tergerak
hati nak bagi harta pada orang luar.”
Mirza mendiamkan diri sekejap. Akal fikirannya masih
lagi memproses sesuatu. Seperti antara percaya dengan tidak dengan nama yang
Isyraf sebutkan tadi.
“Baik, Encik Isyraf.
Nanti saya akan uruskan permintaan Encik Isyraf tu,” balas Mirza dengan tenang.
Sudah menjadi kewajipan Mirza untuk menuruti arahan
daripada atasannya. Meskipun umur Isyraf sebaya dengan anaknya, lelaki itu
masih lagi majikan Mirza. Sejak kematian Idrus Wira, Mirza secara automatik menjadi setiausaha dan pembantu peribadi
Isyraf. Sebelum ini Isyraf menyambung pengajian di luar negara sehingga umurnya
25 tahun. Sehabis pengajian, Isyraf bekerja di luar untuk menimba pengalaman
sebelum disuruh oleh Idrus Wira untuk bekerja di Warisan
Wira ketika usianya 29 tahun.
“Terima kasih, uncle.”
“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu.”
Isyraf membalas dengan mengangguk tatkala mendengar
permintaan lelaki tersebut. Mirza berpaling dan mengatur langkah setelah
melihat reaksi pemuda itu. Sebelum setiausahanya yang berusia lingkungan 50-an itu hilang daripada
pandangan, sekali lagi hati kecil Isyraf terdetik untuk bertanyakan hal
tersebut sekali lagi.
"Uncle Mirza?” panggil Isyraf.
“Ya, Encik Isyraf,” sahut Mirza.
“Betul uncle tak kenal
siapa Yusra dan Rafi dalam hidup abah saya?”
Mirza hanya tersenyum,
tetapi hatinya disuntik sedikit rasa terkejut kerana dia dapat merasakan lelaki
itu seperti tidak percaya dengan kata-katanya sebelum ini. Dengan wajah yang
tenang, Mirza membalas dengan menggelengkan kepala lalu memulas tombol pintu.
-----------------------
"Termenung jauh nampak. Tengah fikir pasal abang Ird yang baru tu ke?” teka Irdina.
Lamunan Isyraf terhenti. Fikirannya yang dari tadi
merentasi ke masa belakang, kini kembali ke saat itu setelah mendengar suara
Irdina. Isyraf menatap anak mata Irdina tanpa sebarang reaksi. Beberapa detik
kemudian, dia memandang semula ke permukaan kolam.
“Kenapa abang tak jawab soalan Ird?”
“Abang tak tahu nak jawab ya ataupun tak soalan Ird
tu. Nak mengangguk seolah-olah mati emak, nak menggeleng pula terasa mati
bapa,” balas Isyraf.
“Jawab ya ataupun
tidak, kita tetap dah jadi anak yatim piatu abang.”
Saat pembacaan wasiat selesai dibaca petang tadi,
Isyraf dan Irdina bergegas menuju ke Restoran Warisan Wira. Irdina yang tidak
memandu kenderaannya pada hari itu terpaksa akur dengan kehendak abangnya.
Tambahan lagi perasaan ingin tahu yang bersarang di hati membuatkan dia
bersetuju dengan cadangan abangnya supaya berjumpa dengan Mirza untuk
mendapatkan jawapan.
“Ird dari mana? Dari petang tadi, baru sekarang abang
nampak batang hidung Ird tu.”
“Petang tadi masa sampai kat pejabat, Ird malas nak
ganggu abang dengan Uncle. Ird
pusing-pusing restoran lepas tu Ird duduk kat bilik rehat abah. Bila dah malam,
rasa lapar. Cari abang nak ajak makan sama-sama,
tapi tak jumpa.”
“Yang nak makan mulut Ird, bukannya perut abang yang
kena diisi. Lain kali tak payahlah nak cari abang kalau Ird rasa nak makan.
Kita bukannya pernah makan sama-sama sebelum ni. Ird tak perlu nak ubah
kebiasaan kita.”
“Sebab tulah Ird terserempak dengan Uncle Mirza. Ird baru aje lepas makan malam dengan dia. Nak
tunggu abang, memang Ird tak makan sampai bila-bila. Tak sangka pula Isyraf
Wira tengah menyelam, tapi tak tenggelam kat
permukaan kolam ni.”
"Uncle Mirza ada cakap
apa-apa? Jadinya Ird dah pasti sahih ataupun tidak Qhayrul Wira Azreen abang
seibu Ird?”
Irdina membisu seketika. Dia membiarkan sahaja
pertanyaan abangnya itu diselangi dengan perasaan ingin tahu. Gadis itu berdiri
bersebelahan dengan Isyraf, kemudian dia mengajuk perbuatan Isyraf yang sedang
memerhatikan permukaan air kolam tersebut. Entah apanya yang menarik pun Irdina tidak pasti.
“Orang cakap, harimau mati meninggalkan belang, manusia
mati meninggalkan nama. Tapi, arwah abah pergi meninggalkan rahsia. Sahih ataupun
tidak, betul ataupun salah, bukan jadi
masalahnya. Kenyataan dia darah daging abah dan mama Ird tak dapat nak
disangkal kalau abah sendiri dah mengaku.”
“Maknanya, Ird terima dia dalam keluarga kita macam tu
aje? Ird tak kisah?”
“Saham yang dia dapat belum cukup mampu untuk
menggoyahkan kedudukan Abang Isyraf dalam
Warisan Wira. Ird tak kisah pun berapa peratus dia dapat, berapa patutnya yang
menjadi hak milik Ird sebab semua tu tak penting pun buat Ird. Ird cuma nak
hidup macam keluarga orang lain. Hubungan Ird dengan abang dah cukup
bermasalah, macam tak ada kesudahannya. Ird malas nak fikir banyak pasal abang
segera Ird tu. Sama ada dia nak datang atau tidak kat keluarga kita, Ird tak
kisah sangat pun.”
Isyraf terkesima seketika tatkala mendengar kenyataan adiknya itu.
“Ird tak kisah? Ird dah gila ke apa? Ini bukan soal
siapa betul dapat semua, siapa salah hilang segala-galanya. Qhayrul tu macam
orang tak tentu arah. Lepas tu, siapa pula Yusra dengan Rafi dalam hidup abah?
Ird langsung tak nak tahu semua tu ke?”
“Kalau dia orang tu orang sembarangan dalam hidup
abah, tak mungkin dia akan dapat saham Warisan Wira. Mesti ada sebab kenapa
abah buat macam tu. Lagipun, bukan abang yang kena kahwin, kan? Qhayrul yang kena kahwin dengan Yusra sebab
wasiat abah.”
“Ini bukan soal kahwin aje,
Ird. Manusia yang datang daripada tiga dunia
yang berbeza, kena duduk satu bumbung yang sama.
Ird rasa boleh ke?”
“Abang tanya Ird? Habis tu,
selama ni Irdina Wira dengan Isyraf Wira datang daripada
dunia yang sama ni pun tak sama hala, tak serupa arah kat dalam rumah tu. Abang
pun tak boleh terima Ird sepenuhnya sebagai adik abang kan, walaupun Ird memang sah darah daging abang. Jadi, Ird rasa tak ada bezanya pun. Mungkin lebih baik
kalau dia orang ada. Sekurang-kurangnya Ird ada kawan untuk bercakap,” ucap
Irdina dengan nada seperti merajuk dan tidak berpuas hati.
“Ird bercakap kalau tak mengenakan abang tak boleh ke?
Kita tengah bercakap pasal orang yang kita langsung tak kenal. Qhayrul, Yusra
dengan Rafi. Jangan nak melencong arah tak tentu pasal boleh tak? Abang tengah
berbincang dengan Ird pasal keluarga kita.”
Muncung Irdina sudah panjang ke depan. Dia menjeling abangnya. Hatinya menjadi sakit dengan
pertanyaan Isyraf. Abangnya berbicara
seolah-olah hubungan mereka tiada masalah selama ini. Boleh pula berbincang
akan hal orang asing sedangkan Isyraf langsung tidak pernah bertanya akan hal
dirinya.
“Keluargalah sangat. Ird ni orang luar aje, kan? Abang rasa mama Ird tu rampas tempat mak abang.
Sebab tu abang tak pernah anggap Ird ni adik abang. Sekarang ni Ird malas nak
gaduh dengan abang lagi. Ird nak balik. Ird ni menumpang kereta abang, jadinya
kenalah tunggu pengarah Warisan Wira cakap balik, baru Ird boleh balik.
Menyesal pula tak pandu kereta sendiri tadi,” bentak Irdina lalu melangkah laju
meninggalkan Isyraf yang sedang menahan geram.
“Irdina Wira, jangan nak ungkit cerita lama!” pekik
Isyraf, tetapi Irdina terus berjalan tanpa
menoleh ke belakang.
Fikiran Isyraf bertambah kusut. Isyraf menekup mukanya
untuk seketika. Cuba mengembalikan perasaan tenang bertapak dalam jiwa sebelum berhadapan dengan Irdina sebentar
lagi. Kunci BMW 645CI yang berada di dalam poket diseluk keluar kemudian dia meninggalkan tempat tersebut.
No comments:
Post a Comment