Stylo Clique ^_^

Monday, October 1, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 32 ::.





BAB 32


Wafi membandingkan papan tanda restoran tersebut dengan cebisan kertas di tangannya. Restoran Indah Mahligai berada di pandangannya. Dia sendiri pada awalnya tidak tahu apa yang harus dia lakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar. Nama Samsul dan Izwanie terlintas di fikirannya lalu dia meminta pembantu peribadinya untuk mendapatkan maklumat mengenai rakan baik A.D. Sejak malam tadi dia tidak dapat melelapkan matanya. Kata-kata Rafiq terngiang-ngiang di cuping telinganya. Pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang menyebabkan Rafiq berkata sedemikian.

“Kau bijak, kau ada otak. Kau fikirlah sendiri macam mana aku boleh tahu perkara yang sebenarnya. Benda ni sepatutnya kau lakukan lebih dulu daripada aku. Aku bukan nak memihak pada sesiapa. Aku tak cakap aku boleh terima kesilapan tu, tapi aku tak akan terus hukum dia. A.D ada sebab.”
Kata-kata itu membuatkan Wafi semakin buntu. Puas dia memikirkan perkara itu semalam. Apabila difikirkan semula, seharusnya dia tidak menghukum A.D tanpa usul periksa. Dia juga tidak tahu mengapa hatinya memberontak untuk mengetahui keadaan sebenar sedangkan dia sudah tidak mahu mengambil peduli akan hal gadis itu. Sekali lagi dia berperang dengan dirinya sendiri. Antara hati dan ego, dia tersepit di tengah-tengah.

“Assalammualaikum,” ucap Wafi sebaik sahaja sampai di kaunter restoran itu.
“Waalaikummussalam. Anak nak makan ke? Kalau nak makan, anak boleh duduk dulu. Nanti pekerja mak cik akan ambil pesanan anak,” balas perempuan dalam lingkungan separuh abad itu.
“Saya nak cari Samsul, dia ada tak?”
“Anak ni siapa ya?”
“Saya Wafi. Kawan satu universiti dengan dia.”
“Ooohh…kejap ya. Dia ada kat belakang. Mak cik panggil dia kejap.”

Mariam segera menuju ke bahagian dapur. Beberapa minit kemudian Samsul keluar dengan wajah kehairanan. Sebelum ini dia tidak pernah berbual dengan Wafi secara lebih dekat. Pasti ada sesuatu yang dicari oleh lelaki itu.

“Ada apa hal kau cari aku sampai ke sini? Aku rasa kita tak pernah kenal rapat.”
“Ada benda aku nak tanya dengan kau.”
“Apa dia?”
“Aku rasa tak sesuai kita cakap kat sini. Kita cakap kat luar.”
“Oklah. Kita jalan kaki depan sikit. Kat situ ada tempat rekreasi. Waktu pejabat biasanya tak ada orang kat situ.”

Wafi mengangguk. Samsul segera meminta kebenaran daripada Mariam. Dari riak wajah wanita itu, Mariam membenarkan. Samsul dan Wafi melangkah seiring menuju ke tempat yang dimaksudkan.

“Kau nak cakap pasal apa?”
“Pasal Riana dan A.D.”
“Aku dah agak dah.”
“Apa yang sebenarnya dah jadi? Betul ke tidak pasal Haikal dengan Riana?”

Samsul memberikan senyuman dan pandangan sinis kepada Wafi.

“Kau baru nak tanya sekarang? Lepas kau dah tuduh A.D? Rafiq sebagai kawan kau, dia lebih dahulu tanya apa yang berlaku berbanding dengan kau.”
“Aku datang sini bukan sebab nak kena perli, tapi aku nak tahu cerita sebenar.”
“Masa kau tuduh A.D, kau tak nak pula tahu cerita sebenar?”
“Samsul, aku datang sini bukannya nak gaduh dengan kau.”
“Apa yang kau nak tahu? Rasanya Haikal dah cerita semuanya kat kau kan?”

Perasaan marah sedikit timbul di hati Samsul. Wafi sudah pun tersilap langkah dengan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.

“Kau dengan Wanie kawan baik dia. Aku rasa kau dapat beritahu apa yang Haikal tak beritahu aku. Betul ke tidak Riana pernah mengandungkan anak Haikal?”

Samsul berat hati untuk membuka mulut. Dia tidak mahu membuka lipatan sejarah itu lagi. Tetapi apabila memikirkan A.D cukup terseksa dengan pelakuan Wafi, dia tidak sanggup untuk terus membisu lagi. Apa yang keruh, perlu dijernihkan kembali.

“Memang Riana pernah buat silap tu. Memang Riana pernah percayakan Haikal. Tapi aku rasa dalam hal ni, bukan Riana yang bodoh. Siapa-siapa akan mudah terpedaya dengan kasih sayang palsu Haikal kalau diri kau dahagakan perhatian. Haikal pandai mempermainkan kelemahan Riana. Dia mengambil kesempatan dalam kesempitan Riana.”
“Jadi, memang tak silap aku menilai dia kan? Memang dia rela untuk memilih terlanjur dengan Haikal.”
“Tak, kau dah silap. Memang Riana dah terlanjur dan dia mengandungkan anak Haikal tapi kau tuduh Riana gugurkan kandungan tu. Betul kan?”
“Kalau dia tak gugurkan kandungan tu? Mana budak tu sekarang?”

Wafi masih lagi cuba untuk mempertahankan pendirian dan egonya. Walhal, dia belum mendengar cerita sepenuhnya daripada mulut Samsul.

“Depan mata aku dengan Wanie kejadian 3 tahun lepas tu berlaku. Riana nak bertanggungjawab atas perbuatan dia tapi Haikal yang paksa dia untuk gugurkan budak dalam perut dia. Riana berusaha dan merayu supaya Haikal bertanggungjawab. Tapi aku rasa kau pun tau kan siapa Haikal tu. Haikal tak mahu budak tu sebab dia tahu kehadiran budak tu kat dunia ni akan menyusahkan hidup dia. Dia sanggup bagi duit kat Riana untuk gugurkan bayi tu tapi Riana tetap tak nak menanggung dosa membunuh. Haikal tanpa ada rasa belas kasihan tolak Riana sampai dia terjatuh kat atas jalan raya. Lepas tu, dia terus pergi dari situ. Kebetulan aku dengan Wanie ada kat tempat tu. Riana keguguran disebabkan hentakan yang kuat.”

Wafi terkejut. Dia sama sekali tidak menyangka yang A.D sanggup bertanggungjawab akibat daripada keterlanjurannya dengan Haikal.

“Kalau aku jadi perempuan dan aku ada kat tempat Riana, dah lama aku gugurkan budak dalam perut tu. Aku tak nak sesiapa pun tahu tapi dia lain. Dia tak sama. Dia tak sanggup untuk terus melakukan dosa. Dia sanggup menanggung semuanya tapi Haikal? Dia memang pengecut dan dayus. Orang yang sepatutnya kau hukum bukan Qurnia Adriana tapi Haikal, sepupu kepada perempuan idaman kau tu. Tapi, hanya dengan mendengar pengakuan A.D yang dia pernah terlanjur dan mengandungkan benih Haikal, kau tuduh dia gugurkan kandungan tu.”

Lidah Wafi menjadi kelu, lantas bibirnya menjadi bisu. Perasaan benci yang cuba disemai tiba-tiba sahaja lenyap. Dia seperti baru tersedar dari lenanya. Selama ini dia merasakan A.D ialah pesalah yang sepatutnya dihukum. Akan tetapi, hari itu dia merasakan dirinya sendiri menjadi punca gadis itu terus merana.

“Kau tahu tak kenapa A.D tak beritahu kau semua tu? Dia tak nak kau kecewa. Cuba kau bayangkan kau kat tempat dia. Selama 3 tahun terpaksa menanggung segala-galanya sendiri. Dia sanggup ubah diri dia supaya orang lain tak kecewa. Aku dengan Wanie sahaja yang tahu betapa peritnya penderitaan A.D selama ni. A.D hadir kerana dia cuba untuk lenyapkan Riana. Tapi aku rasa dia sendiri tahu yang dia tak boleh lari. Bila kau datang, dia banyak berubah. Kau dah mula mengukir senyuman kat wajah yang selama 3 tahun ni terseksa. Semua manusia pernah silap. Tapi jangan biarkan diri kau terus buat silap. Kau ingat, dia minta ke semua ni jadi kat dalam hidup dia?” sambung Samsul lagi.

Wafi menekup mukanya. Perasaan menyesal mula terasa. Pantas sahaja Rafiq begitu marah terhadap dirinya.

“Aku faham kalau kau tak boleh terima pasal dia dengan Haikal, tapi kau tak sepatutnya tuduh dia macam tu. Bukan dia seorang aje yang menjadi mangsa lelaki macam Haikal tu. Beribu lagi ada kat luar tu. Kalau bukan orang yang dia sayang bimbing dia ke jalan yang betul, siapa lagi? Aku tahu aku ni lelaki yang lembut…tak macam kau, tapi aku masih lagi menghargai dia. Aku tak nak dia terus hanyut. Aku cukup kenal siapa A.D. A.D masih lagi tidak mampu untuk lari daripada bayang-bayang Riana. Aku pasti, kau pun pernah jatuh cinta dengan dia kan? Kau jatuh cinta dengan dia pasal apa? Sebab hati dia atau kerana terpaksa? Kau dah tak nampak betapa istimewanya dia hanya sebab dia tersilap langkah. Sebab masa lampau dia yang gelap, kau nak buang dia daripada hidup kau? Adakah sebab dia pernah buat silap tu, kau nak menghukum dia seumur hidup kau?”

Wafi hanya mampu mendiamkan diri tatkala mendengar soalan itu.

“Aku sebagai lelaki kagum dengan A.D. Tak ramai yang sanggup menanggung akibat daripada kesilapan kita sendiri. Kau bertuah kerana dapat menjadi suami kepada Qurnia Adriana. Aku harap, dengan perlahan-lahan kau dapat terima dia. Aku sebagai lelaki cukup faham macam mana terseksanya kau nak terima kenyataan itu. Tapi kau tak boleh gunakan alasan itu untuk tuduh A.D. Sebagai seorang kawan, aku tak nak kawan yang aku sayang terus hanyut dan terseksa.”
“A.D kat mana sekarang?”

Samsul menggeleng.

“A.D kat mana?”
“Aku tak tahu.”
“Samsul, kau kawan baik dia. Aku tahu, kau mesti tahu kat mana dia sekarang.”
“Aku memang tak tahu.”
“Kau tak tahu atau kau saja buat-buat tak tahu?”
“Hati A.D dah terlalu banyak terluka. Dia tak nak siapa-siapa pun tahu dia kat mana. Sampaikan aku dengan Wanie pun dia tak beritahu. Dia sangka kau tak akan cari dia sebab dia tahu kau akan benci dia untuk sepanjang hayat kau.”

Wafi mengusap rambutnya ke belakang. Penyesalan tak sudah kerana melemparkan tuduhan berat itu kepada A.D. Selama sebulan ini, dia cuba untuk melenyapkan rasa sayang terhadap A.D. Dia terus mencuba untuk menyemai perasaan benci terhadap gadis itu. Dia tidak mahu akur dengan kehendak hatinya. Sudah penat dia mencari jalan keluar supaya tidak tersepit antara keegoan dan hatinya. Tetapi nalurinya masih lagi kuat mengatakan yang A.D merupakan gadis yang terbaik yang pernah dia temui. Jiwanya menjadi buta dek kata-kata Haikal tempoh hari sehinggakan dia hilang pertimbangan. Sesungguhnya Wafi merasakan dirinya sememangnya buta. Bukan setakat buta penglihatan, malah hatinya buta untuk menilai.

----------------------------

“Saya nak jumpa dengan Haikal.” pinta Wafi sebaik sahaja dia sampai ke syarikat milik Datuk Hamdan.
“Maafkan saya, encik ada buat temu janji ke?” soal gadis yang bekerja sebagai penyambut tetamu itu.
“Saya tak perlu buat temu janji untuk berjumpa dengan dia.”
“Maafkan saya, kalau encik tak ada buat temu janji encik tak boleh berjmpa dngan Encik Haikal.”

Wafi tidak menghiraukan kata-kata gadis itu. Dia meluru masuk ke dalam pejabat. Sebelum dia tiba di syarikat itu, Wafi terlebih dahulu pergi ke apartmen A.D yang dahulu. Dia menyangkakan A,D berada di situ tetapi sangkaannya sama sekali meleset.

Tanpa berlengah, Wafi terus menuju ke syarikat milik Datuk Hamdan yang juga menjadi tempat Haikal bekerja. Kerana lelaki itu, dia kehilangan A.D. Gadis itu cuba menahan Wafi tetapi Wafi tetap mencari Haikal. Nadhira segera keluar apabila mendengar bunyi kecoh di luar.

“Wafi, kenapa Wafi datang pejabat Dhira ni? Wafi cari Dhira ke?” teka Nadhira.
“Saya nak cari Haikal.”
“Haikal?”
“Mana lelaki tak guna tu?”

Haikal keluar sebaik sahaja dia mendengar namanya disebut. Dia sedang sibuk berbincang dengan pekerja bawahannya.

“Kenapa ni Wafi?”
“Aku ada benda nak bincang dengan kau.”
“Kalau ya pun ada benda nak bincang, kau tak payahlah nak buat kecoh kat pejabat ni. Kau boleh telefon aku kan? Kita bincang kat luar.”
“Kalau bukan sebab kau, aku tak akan buat kecoh macam ni.”
“Kenapa? Sebab budak tomboi a.k.a bekas aku tu?”

Kemarahan Wafi meluap-luap. Dia segera merentap kolar kemeja Haikal.

“Sebab kau, dia jadi macam tu.”
“Berani kau nak buat hal kat pejabat ni ke? Aku tahu, kau mesti kecewa kan? Tapi itu bukan salah aku. Aku dah cakap, aku tak paksa dia.”
“Kalau kau betul-betul lelaki, kau tak akan tinggalkan dia.”
“Habis tu, apa yang kau buat ni tak sama ke dengan apa yang aku buat? Kau biarkan dia tu bukannya maksud kau pun tinggalkan dia ke bila kau dapat tahu cerita pasal 3 tahun lepas. Maknanya, kau pun sama macam aku.”

Tanpa berfikir panjang, Wafi sudah pun menggenggam jari-jemarinya lalu menghayun tangannya ke muka Haikal. Satu tumbukan hinggap di bibirnya.

“Wafi...!!!!!!” jerit Nadhira.

Nadhira terkejut dengan tindakan Wafi. Dia tidak menyangka sama sekali yang Wafi akan melakukan perkara itu. Hanya kerana gadis bernama Qurnia Adriana, Wafi sanggup bertindak sedemikian.

“Benda ni sepatutnya aku buat dari dulu lagi. Sejak kau dengan bangganya ceritakan dosa kau pada aku.”

Haikal menyentuh bibirnya yang sudah membengkak itu.

“Kau kena ingat, kalau bertepuk sebelah tangan tak akan jadi.”
“Tapi kau yang tipu dia. Kau permainkan perasaan dia.”

Wafi sudah tidak kisah dengan keadaan sekeliling. Pekerja di syarikat itu berbisik sesama sendiri. Sekali lagi Wafi memberikan tumbukan tetapi kali ini di pipi Haikal.

Datuk Hamdan keluar daripada pejabatnya setelah mendengar aduan daripada setiausahanya.

“Apa yang berlaku ni?” soal Datuk Hamdan.

Dia terkejut apabila melihat Wafi di situ. Ketua Pegawai Eksekutif Bina Kurnia datang membuat kecoh di pejabatnya. Dia sudah mula memberikan kebenaran kepada Nadhira untuk terus berkawan dengan Wafi. Akan tetapi, apa yang berlaku menyebabkan dia terpaksa mengawal marahnya. Dia tidak mahu Wafi terlepas kerana keadaan Wafi sekarang ini mampu memberi keuntungan kepada dirinya.

Uncle, Wafi datang buat kecoh.” balas Haikal.
“Wafi, apa yang dah jadi?”
“Saya cuma nak selesaikan apa yang tertunggak. Saya harus ajar orang yang kurang ajar biar dia cukup diajar.”
“Wafi, jangan sebab perempuan yang tak ada maruah tu, Wafi sanggup bertindak bodoh macam ni.” ucap Nadhira.
“Aku sememangnya bodoh kalau aku tak buat perkara bodoh ni.”
“Aku dah cakap dengan kau, aku tak akan paksa dia kalau bukan sebab dia rela.”
“Budak yang ada dalam perut dia tu bukan terpaksa boleh jadi kalau bukan sebab kau. Kau memang tak guna sebab kau suruh dia gugurkan kandungan tu. Aku dengan bodohnya percaya apa yang kau cakap.”
“Tak semestinya budak tu anak aku. Kau sanggup pukul kawan kau sendiri sebab perempuan tu? Kenapa? Perempuan macam tu kau nak buat bini? Kau sanggup nak ambil bekas orang?”
“Untuk pengetahuan kau. Aku rasa dia perempuan yang berani dan bertanggungjawab. Tak macam kau. Harap lelaki tapi dayus. Lari daripada masalah. Tumbukan tadi tu sememangnya patut kau terima. Dan aku rasa kau sepatutnya terima lebih daripada tu.”

Wafi terus menggenggam tangannya dan memberikan tumbukan padu ke bibir Haikal yang bengkak itu.

“Itu untuk Riana.”

Sekali lagi Wafi melakukan perkara yang sama.

“Dan itu untuk A.D.”

Haikal sudah pun jatuh terduduk sebaik sahaja menerima tumbukan terakhir Wafi. Nadhira segera mendapatkan Wafi. Datuk Hamdan terkejut dengan apa yang berlaku. Bibir Haikal pecah lalu darah pekat mengalir.

“Wafi, uncle tak akan teragak-agak untuk buat laporan polis.”

Wafi menoleh.

“Kalau uncle nak buat, terpulanglah. Tapi sebelum uncle buat, uncle tanya dulu apa yang Haikal buat. Saya bimbang, uncle yang akan dapat malu bila dapat tahu apa yang anak saudara uncle telah buat.” balas Wafi.

Wafi terus melangkah keluar daripada pejabat itu. Hatinya puas. Kemarahannya dapat dilepaskan dengan orang yang sepatutnya. Dia perlu membela nasib A.D. Dia juga tidak mahu ada gadis lain yang akan menerima nasib yang sama seperti Riana.

4 comments:

  1. Replies
    1. tq sooo much my dear...^_^
      terharu saye sambl tersipu malu..

      Delete
  2. salam adik..

    Setelah mengetahui citer sebenar dari mereka mereka yg terdekat dengan AD bagaimana sikap AD sebenarnya..adakah wafi akan menjejak AD dan akan mencuba untuk meraih cinta AD kembali dan bagaimana pula AD..masih adakah kemaafan untuk wafi yg sengal tu..

    Adakah ditahap ini..AD akan berubah 100% menjadi seorg wanita anggun bila ditemui oleh wafi.. dan sekeras mana hati AD untuk menerima kembali wafi..

    Aduhai dik..terujanya akak nak tahu ..dimana hilangnya wafi..tanpa dapat dijejaki langkah nya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikummussalam akak.. seronok sy bce komen akak..

      hihi..kesiannye hero mr.Wafi ni kene title sengal dgn kak ida..
      tp dlm situasi skrg ni Wafi mmg tak stabil..

      ha.....mmg kasi akak berdebar2 ni..mcmane agaknye hidup Wafi tanpa A.D setelah dia tahu cite sbnr...

      Delete