Stylo Clique ^_^

Friday, July 24, 2015

Anugerah Penghargaan PFP

Assalamualaikum.
Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin ya kawan-kawan.
Lama saya tak berbicara kat blog saya ni.
Selalu saya update novel aje kan?
Hari ni tergerak nak berkongsi sesuatu, di mana ia merupakan pengalaman saya untuk pertama kalinya.
ANUGERAH PENGHARGAAN PFP.
Ha... ini merupakan anugerah yang dianjurkan oleh pihak Penerbitan Fajar Pakeer.
Ni first time penerbit saya buat anugerah macam ni.



Mari...pakat ramai-ramai, klik link kat bawah ni ya untuk membuat undian. Link ni berhubung kait dengan Facebook, jadi... kena log in dulu akaun facebook kawan-kawan, baru boleh buka.
UNDIAN ANUGERAH PENGHARGAAN PFP

Kalau tak boleh, yalah..manalah tahu tetiba internet sabotaj ke.. boleh singgah FB saya https://www.facebook.com/ainSasuke
Kat FB saya tu ada link juga.

Bila klik, akan keluar begini..



Lepas tu, boleh pilih mana-mana yang berkenan di hati.
Saya ni jenis pemalu orangnya. Nak minta orang vote saya pun tersipu-sipu jadinya..
Jadi, awak... awak... awak.. ya.. awak yang comel lagi baik hati, boleh la vote Nia Qurratun'aini​ untuk ANUGERAH NOVELIS PILIHAN PEMBACA..
Selain tu, novel PERLU KAMU & YOU ARE MY MR.RIGHT terselit juga untuk calon ANUGERAH NOVEL PILIHAN PEMBACA.

Menang kalah tu adat  bertanding..(eceh....ayat klise bebeno). Serius, saya tak meletakkan sebarang harapan pun. Giler ke hape, saya ni penulis kecik lagi kemetot aje (memang si penulis kurang ketinggian.) tapi saya ni suka memeriahkan keadaan.
Satu hari boleh undi sekali. Maka, marilah kita undi hari-hari. Hari-hari undi, undi hari-hari ;)

bisik-bisik : feeling macam retis sekejap. Alah... macam Anugerah Bintang Popular tu.. agagagaga.. Kepada yang sudi tekan nama & novel saya, saya dahulukan ucapan terima kasih dari hati yang paling dalam diiringi kasih sayang yang tak terhingga. Saya hargai sangat-sangat. I lap u (menaip entry ni sambil makan kuih raya.. ngap... nom..nom..nom..)




Thursday, July 16, 2015

Blurb Love, Made in Venice

Awak rasa?
Saya rasa... Mmm...
Saya rasa sayang sayang hei kat awak.

Skateboard dan Nadhrah, ibarat lagu dan irama apabila gadis itu mengambil keputusan untuk hidup di bumi Venice. Dia bekerja di Bistro Karipap La Timah, milik Qash Alaisyah. Namun, hidup Keris Nadhrah Sari mula menggelabah dan berubah tatkala adik bosnya, Qadheer Alauddin muncul di kota yang penuh dengan gondola itu.

“Encik, jangan harap kita ada ilmu tapi mulut masih melopong. Jangan harap nama sahaja Melayu, tapi kita jadi orang yang sombong. Orang Melayu tak sombong.”

Qadheer Alauddin bukanlah sombong orangnya tapi dia saja nak tunjuk maco. Tambahan lagi, mereka berdua ada peristiwa sewaktu pertama kali bertemu. Qadheer Alauddin sebenarnya punya misi rahsia ke Venice selain melarikan diri daripada calon menantu neneknya, Fatimah.

Dari hati naik ke mata ke, dari mata turun ke hati? Haih… Qadheer Alauddin pun tak tahu. Mulanya hanya mahu menyiasat latar belakang Nadhrah, tidak semena-mena jantung berdegup kencang bila melihat senyuman gadis itu setelah dua tahun hatinya terkunci untuk bercinta lagi.

“Bagi awak mungkin biasa aje. Tapi bagi saya, dapat berjumpa dengan gadis Melayu yang benar-benar jati dirinya Melayu di celahan kota Venice ni sesuatu yang luar biasa.”

Isy… takkanlah aku jatuh cinta? Itu yang Qadheer Alauddin rasa pada awalnya. Bila berjauhan, yang kat benua Asia tidak menentu, yang kat Eropah sudah pun merindu. Sudahnya, mereka berdua angguk setuju yang cinta di hati telah bertemu. Namun, Qadheer Alauddin tersepit di antara dua. Janji atau rasa indah? Rahsia yang cuba disembunyikan terbentang jua tatkala Nadhrah mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Rasa bahagia sekelip mata berubah kerana Zahid Kenchana.

Siapa Zahid Kenchana? Apa kaitannya Zahid dengan Qadheer Alauddin dan Nadhrah? Apakah rahsia di sebalik jejak kaki Qadheer Alauddin di Venice? Lalu, benarkah cinta Keris Nadhrah Sari dan Qadheer Alauddin, Made in Venice?




Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 15



LENGANG. Itu yang terpampang jelas apabila Qadheer Alauddin melalui lorong kecil menuju ke Bistro Karipap La Timah. Memasuki celahan kedai dan deretan rumah pada pagi itu terasa berbeza. Mungkin ketiadaan Keris Nadhrah Sari di sisi menjadi punca.
Puputan angin pagi menyapa ke wajah Qadheer Alauddin. Hembusan bayu yang mengena pipi terasa dingin. Lelaki itu memasukkan kedua-dua tangan ke dalam poket jaket varsity yang tersarung pada tubuh. Ayunan kaki Qadheer Alauddin diiringi dengan alunan muzik. Dia melangkah sambil telinga ditekap dengan fon kepala. Dia sengaja memutarkan lagu rancak. Moodnya pada pagi itu seakan-akan tidak menentu. Entah mengapa semuanya seperti ada yang tidak kena.

Mata Qadheer Alauddin meliar sekeliling. Kaki lelaki tersebut terus menapak. Dia berjalan menghampiri dinding. Matanya menjamah dan dalam masa yang sama tangan Qadheer Alauddin menyentuh dinding. Cat yang menutupi dinding kelihatan pudar dan terkopek sana sini. Inilah kelebihan bangunan di Venice. Tidak memerlukan cat yang mahal-mahal. Apa yang ada sedia ada hanya perlu dikekalkan.

“Kalau Nadh ada pilihan antara dua, satunya boleh buat Nadh gembira dan satu lagi pilihan boleh buat hati Nadh terluka, kenapa Nadh kena pilih yang terluka sedangkan Nadh boleh pilih untuk senyum bahagia?”
“Bukannya larikan diri daripada kenyataan yang ada?”
Suara Nadhrah dan suara garau Redza muncul, melenyapkan irama yang sedang didengari. Dialog antara dua insan itu silih berganti. Qadheer Alauddin mengeluh berat dan panjang. Telefon bimbit yang memutarkan lagu dikeluarkan dari poket seluar jean. Dia menekan bahagian yang bertanda seperti sama dengan menegak. Gegendang telinga Qadheer Alauddin tidak mendengar sebarang bunyi lagi. Kabel yang menghubungkan fon kepala dan gadjet itu dicabut. Kemudian fon kepala diturunkan ke leher. Perbualan antara Nadhrah dan Redza benar-benar mengganggu jiwa Qadheer Alauddin.
“Nadh selesa kat Venice ni.”
“Habis tu, kat Malaysia tak selesa? Tak selesa ke dengan keluarga abang?”
Ada dua perkara yang berlegar di minda Qadheer Alauddin ketika ini. Pertama, benarkah Nadhrah benar-benar teguh dengan keputusannya untuk tidak pulang ke Malaysia? Dan yang kedua, apakah sebenarnya hubungan antara Redza dan Nadhrah?
Otak Qadheer Alauddin menghentikan gerakan kakinya. Dia harus menyelesaikan satu per satu. Keputusan yang dibuat oleh Nadhrah kedengaran tegas. Qadheer Alauddin pula sudah berjanji. Kata-kata yang ditabur, tidak mungkin ditarik balik. Janji yang telah dibuat, harus ditunaikan. Itu sememangnya prinsip seorang manusia bernama Qadheer Alauddin bin Alam Syah.
Ibu jari kanan lelaki itu melungsur pada permukaan skrin telefon. Setelah menjumpai nama yang dicari, Qadheer Alauddin menekan butang hijau sebagai tanda menghubungkan dirinya dengan orang yang dipanggil.
“Assalamualaikum,” ucap Qadheer Alauddin sebaik sahaja nada yang sama berpanjangan digantikan dengan bunyi panggilan disambut.
“Waalaikumussalam. Siapa ni ya?” soal suara itu.
Qadheer Alauddin tersenyum.
“Pak cik tak dapat cam suara saya ke?” Qadheer Alauddin cuba berteka-teki.
“Kalau tak salah pak cik, ni macam suara Al. Betul ke ni Al?” balas Zahid.
“Betullah tu, pak cik. Ini saya, Al.”
“Astaghfirullah al-azim. Kamu ni, buat pak cik gugup aje. Al kat mana ni?”
“Al tak ada kat Malaysia sekarang ni.”
“Patutlah. Pak cik tengok nombor telefonnya pelik sangat. Takut pak cik nak jawab mula-mula tadi. Tak pernah-pernah orang luar negara telefon. Takkanlah orang putih nak betulkan kasut jumpa pak cik pula. Ya tak?” seloroh Zahid.
Qadheer Alauddin tertawa kecil dan dalam masa yang sama langkah diatur longlai. “Pak cik sihat?”
“Alhamdulillah. Sihat. Ni pun pak cik baru balik dari restoran. Bungkus nasi goreng kampung, nak makan tengah hari. Al sihat? Bercuti ke?” Zahid menantikan balasan jawapan.
Qadheer Alauddin tidak membalas. Dia mendiamkan diri. Pemuda itu jelas sekali tidak menyangka, bagaimana dua insan yang punya hubungan darah terpisah di antara benua, mampu mengisi perut dengan selera yang sama?
“Al?”
Dia tersentak. Lamunannya terhenti. “Ya, pak cik.”
“Kamu tak sihat ya duduk kat negara orang tu?”
“Eh, tak adalah pak cik. Alhamdulillah, Al sihat.”
“Kamu ada kat mana sekarang ni? Bercuti ke ada urusan kerja?”
“Al ada...” Qadheer menggerakkan halkumnya. Dia menelan air liur, cuba mengumpulkan kekuatan untuk menyatakan hal sebenar.
Dia mematikan pergerakan kaki lalu menyandarkan anggota belakang pada dinding. Langit Venice dipandang seketika. “Al ada kat Itali. Venice. Lebih kurang dua minggu Al kat sini.”
Kali ini, giliran Zahid pula membisu. Selang waktu yang ada diisi dengan keheningan. Hati orang tua itu disuntik rasa pilu tatkala Qadheer Alauddin menyebut Venice. Dia tahu, orang yang paling dinantikan dalam hidupnya berada di kota air tersebut.
Otak Zahid terus memutarkan ke masa lalu. Masa di mana dia penuh dengan kekhilafan. Kerana terlalu mengikutkan kehendak sendiri, Zahid sanggup menggadaikan harta yang tidak ternilai dalam hidupnya. Perasaan sesal, marah, sayu dan pedih bercampur aduk menjadi satu. Semua rasa itu ditujukan kepada dirinya sendiri. Bayangan dan dosa silam terus menghantui.
Zahid merasakan dirinya memang tidak layak untuk bergelar seorang bapa. Sakit yang perit begitu dalam dirasakan setiap kali dia mengenangkan nama itu. Berlarilah sejauh mana sekalipun, kesilapan yang pernah dia lakukan sememangnya tidak harus dimaafkan.
Fikiran Zahid terus melayang. Walaupun dia berusaha melangkah untuk meneruskan hidup, namun jiwanya memutar kembali ke masa 26 tahun yang lalu. Tangisan anak kecil tatkala berada dalam dakapan bertalu-talu menusuk ke gegendang telinga.
“Pak cik?”
Suara Qadheer Alauddin menghentikan layar fikiran Zahid. Zahid sepertinya kembali ke realiti.
“Al pergi Venice sebab cari dia ke?”
“Pak cik kan tahu yang Al ada kakak dan abang ipar yang tinggal kat sini. Sebab utama Al datang Venice nak melawat dia orang.”
Zahid mengelukan lidah. Hatinya serta-merta diserang perasaan ingin tahu.
“Dan yang kedua, mungkin sebab Al nak cari dia untuk pak cik.”
“Pak cik tak pernah minta Al buat semua ni.”
“Al yang nak buat semua ni untuk pak cik.”
Tanpa sebarang suara, sekali lagi situasi mereka menjadi sepi. Zahid sedang bergolak dengan perasaannya manakala Qadheer Alauddin benar-benar mahu hasrat orang tua itu termakbul. Dia sendiri sudah merasa sakit dan perit kehilangan seseorang dalam hidup. Dunia yang berputar seolah-olah terasa gelap. Oleh kerana itu Qadheer Alauddin mengupah penyiasat persendirian untuk menjejaki di mana keberadaan Keris Nadhrah Sari. Sebab yang lain juga adalah mahu membalas budi Zahid.
Zahid adalah orang pertama yang menghulurkan bantuan tatkala kemalangan melibatkan Anis Nadhira terjadi. Zahid Kenchanalah orang yang membantu mengeluarkan Anis Nadhira daripada tersepit di dalam kereta sebelum kenderaan itu terbakar dengan sendirinya.
Masih jelas di ingatan Qadheer Alauddin bagaimana raut wajah Zahid saat meluahkan hasrat tersebut. Mata yang redup dan sayu itu begitu penuh dengan harapan. Pandangan seorang ayah yang begitu mengharapkan kemaafan daripada seorang anak benar-benar terpancar pada anggota itu.
Berbekalkan maklumat begitu terhad yang diberikan oleh Zahid semasa bercerita kepada dirinya akan kisah silam yang dilalui, Qadheer Alauddin mengupah penyiasat persendirian. Hasil penyiasatan selama dua minggu, penyiasat yang diupah berjaya mengesan kedudukan gadis tersebut. Takdir yang berlaku umpama suratan untuk Qadheer Alauddin. Nadhrah berjaya dikesan di Venice iaitu tempat tinggal Qash Alaisyah bersama Yusuf Mikhail. Namun, kedudukan terperinci Nadhrah tidak diketahui.
Mulanya penyiasat itu mahu menyelidik sehingga ke Venice. Akan tetapi, Qadheer Alauddin mengambil keputusan untuk ke Venice sendiri. Selain tujuan asal, boleh juga dia melarikan diri seketika daripada calon menantu pilihan neneknya.
“Pak cik takut yang pak cik akan ada perasaan tamak, Al. Mulanya, Al tahu dia kat mana. Bila Al beritahu pak cik macam tu, perasaan untuk jumpa dengan dia semakin bertambah-tambah. Tapi, pak cik sedar yang dia tak akan mahu jumpa dengan pak cik kalau dia tahu siapa sebenarnya ayah kandung dia. Lebih baik kalau pak cik tak payah ambil tahu pasal dia sampai bila-bila.”
“Pak cik yakin ke itu yang pak cik nak?
Zahid tidak membalas. Jika dia tidak melakukan kesilapan tersebut, pasti dia dapat memerhatikan anak tunggalnya membesar dan mampu menatap mata Keris Nadhrah Sari dengan rasa bahagia tanpa penyesalan. Malangnya, tatapan kali terakhir itu tidak diiringi dengan kasih sayang seorang bapa tetapi dilimpahi perasaan mahu memenuhi keinginan hati yang akhirnya memakan diri Zahid sendiri. Jika dia mampu mengundurkan putaran dunia, pastinya dia tidak akan melakukan perkara itu. Sudah tentu perasaan menyesal yang tiada penghujung tidak akan menyelubungi hatinya.
“Pak cik pasti tak nak jumpa dengan anak pak cik lagi?”
“Tipu kalau pak cik tidakkan apa yang Al cakapkan tu.”
“Sebab utama Al tolong pak cik bukan sebab arwah Anis Nadhira tapi sebab Al dah anggap pak cik macam ayah Al. Jadi, Al harap sangat pak cik dapat jumpa dengan anak tunggal pak cik tu.”
“Al ada cari dia? Al dah jumpa dia ke?”
“Hari pertama Al jejakkan kaki kat Venice, Al dah jumpa dia. Nak cari orang yang namanya Keris Nadhrah Sari binti Zahid Kenchana dah macam jalan takdir hidup saya. Belum sempat nak cari, dia dah muncul kat depan mata Al.”
“Maksud kamu?”
“Keris kerja dengan kakak Al. Al tak pasti semua ni kebetulan atau suratan. Tapi semuanya memang dah terbentang kat depan mata. Al ambil keputusan untuk memastikan sesuatu dulu sebelum Al beritahu semuanya pada pak cik. Dan Al memang yakin, orang yang Al jumpa tu adalah anak perempuan pak cik.”
“Ya Allah...” Hanya itu sahaja yang mampu Zahid tuturkan.
Sebak suara Zahid di hujung talian mampu ditangkap melalui gegendang telinga Qadheer Alauddin.
“Andai kata... kalau Al tak dapat bawa Keris balik Malaysia, pak cik nak tak datang Venice?”
“Apa maksud Al? Keris tak akan balik Malaysia ke?”
Naluri Qadheer Alauddin tergerak untuk menoleh ke kanan. Susuk tubuh yang tidak asing semakin menghampiri. Gadis itu melambaikan tangan tatkala kedua-dua kakinya menekap ke permukaan bumi. Papan luncur dibimbit ke sisi kanan.
“Pak cik, Al kena letak telefon dulu. Al tak pasti lagi apa perancangan Keris. Tapi Al janji dengan pak cik yang pak cik akan jumpa dengan Keris Nadhrah Sari semula.”
“Al...”
“Ini aje yang Al mampu buat untuk pak cik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Qadheer Alauddin pantas menjarakkan telefon dari telinga. Dia memutuskan panggilan. Lelaki itu cuba mempamerkan wajah tenang, seperti dia tidak mengetahui rahsia di sebalik lipatan sejarah kehidupan gadis tersebut.

GERAKAN papan lncur berwarna biru gelap itu semakin berkurangan. Sengaja Nadhrah membiarkan papan beroda yang dinaikinya begitu. Roda yang berpusing menjadi semakin perlahan dan lama-kelamaan objek tersebut terhenti.

Kaki kanan Nadhrah menekap kemas ke permukaan bumi, manakala yang belah kiri menahan kepingan itu daripada beralih tempat. Bahagian sisi susuk tubuh tegap Qadheer Alauddin dipandang jauh. Nadhrah mahu jaraknya dengan pemuda itu begitu. Tidak menyangka yang dia akan bertemu Qadheer Alauddin di situ.
“Kenapa tiba-tiba aje aku kisah dengan apa yang dia rasa?”
Sikap dingin Qadheer Alauddin pagi tadi tatkala dia bersama Redza bermain di minda. Bukannya dia tidak biasa menerima layanan sebegitu. Namun, tindakan lelaki itu mahu ke bistro secara berseorangan menyebabkan hati Nadhrah diserang perasaan aneh. Hatinya meronta mahu sentiasa di sisi Qadheer Alauddin.
“Encik Al dengan Nadh ni macam bercinta tanpa mengungkapkan kata cinta. Hari pertama lagi Encik Al dah minta nombor telefon Nadh. Katanya nak suruh kejut pagi-pagi.”
Tidak pasal-pasal, suara Nazri bergema di kotak fikiran.
“Bercinta tanpa mengungkapkan kata cinta?” Nadhrah menampakkan baris giginya. Tidak tahu senyuman itu dilemparkan kepada siapa. Terasa bahagia mendengar ungkapan sedemikian rupa.
“Kau sendiri cakap tak nak fikir pasal cinta. Tapi, kenapa kau rasa macam ni, Nadh? Kau dah bersedia ke nak berdepan dengan kenyataan?”
Soalan yang diajukan kepada diri sendiri masih tiada jawapan. Sebaliknya, jantung Nadhrah pula diserang dengan debaran. Detik itu, Qadheer Alauddin berpaling. Pandangan mereka bertaut. Kehendak hati terlebih dahulu setapak ke hadapan mengatasi arahan fikiran. Di luar kawalan Nadhrah, tangannya spontan melambai ke arah lelaki tersebut. Nadhrah mula mengatur langkah.
“Cepatnya awak makan nasi goreng?” kata Qadheer Alauddin apabila Nadhrah berdiri bersebelahan dengannya.
“Saya dah kenyang.”
“Kenyang sebab Redza busuk ada kat depan mata ke?”
Nadhrah ketawa. “Kenapa Encik Al panggil Abang Redza macam tu?”
“Bukan awak panggil dia macam tu ke?”
“Bukan busuk, bucuk.”
“Lidah saya tak pelat.”
“Dari kecil, saya panggil Abang Redza macam tu sebab dia panggil saya budak comot. Masa kecil-kecil saya tak pandai makan dengan tangan. Saya suap nasi tu dalam mulut tapi dengan pipi saya sekali terkena,” ujar Nadhrah, memberi penjelasan.
Ekspresi Qadheer Alauddin kosong. Rasa tidak senang dengan keterangan yang diberikan oleh Nadhrah. Memang ketara Redza dan Nadhrah punya hubungan yang istimewa.
“Yang awak ni, kenapa nak berdiri sebelah saya? Kenapa tak nak jalan aje terus? Awak ni nak ikut saya ke?”
“Encik Al rasa?”
Jelingan sekejap diberikan sebagai balasan. “Jangan tiru ayat saya.”
Bibir perempuan itu mencebir dua saat.
“Mana ada saya ikut Encik Al. Kan memang ni jalan yang kita lalu hari-hari nak pergi bistro. Mana ada istilah ikut siapa-siapa. Ke... sebenarnya, Encik Al yang memang nak tunggu saya kat sini?” gurau Nadhrah.
Qadheer Alauddin tidak memberikan sebarang reaksi. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Tanpa sebarang bicara, dia beredar.
Nadhrah termangu. Namun, dituruti juga jejak lelaki tersebut. “Encik Al tak sihat ke?”
“Saya tak ada apa-apa.” Rentak suara yang dilontarkan mendatar.
Jiwa Qadheer Alauddin ketika ini seperti terpisah dua. Bagaimana dia mahu mengawal raut wajahnya supaya kembali biasa? Perbualan dengan ayah gadis yang berada di sebelahnya umpama pita rakaman. Qadheer Alauddin memandang sekilas skrin telefon yang gelap. Dia memasukkan alat komunikasi tersebut ke dalam poket kiri seluarnya.
“Ada yang tak kena ke bila dapat call tadi? Encik Al telefon siapa?”
“Seseorang menantikan seseorang tapi saya tak dapat nak tunaikan.”
“Ha? Seseorang? Tak dapat tunaikan?” Terpinga-pinga dibuatnya. Nadhrah cuba mencernakan maksud susunan kata yang diluahkan.
“Tak ada apa-apalah. Saya telefon sedara saya kat Malaysia.”
“Oh... Malaysia?”
“Ya, Malaysia.”
Keluhan Nahrah kedengaran. Mengapa hari ini, tidak sampai setengah hari, dia mendengar lagi nama negara itu?
“Kenapa diam? Macam berat aje bunyi awak mengeluh tu.”
Kedua-dua belah bahu dijongketkan. Nadhrah mengukir senyuman kelat.
“Ke awak memang alergi dengan Malaysia?” Qadheer Alauddin memancing Nadhrah ke topik itu. Dia mahu memastikan seberapa bulatnya hati perempuan itu.
“Saya orang Malaysia, kenapa pula saya nak ada alahan bila dengar nama negara saya sendiri?”
“Awak tahu apa maksud saya. Awak memang dah ambil keputusan nak menetap kat sini sampai bila-bila ke?” Adik Qash Alaisyah terus sahaja dengan niatnya. Dia tidak berdolak-dalih.
“Encik Al dengar ke apa yang saya cakap dengan Abang Redza tadi?”
“Bukan setakat dengar, tapi saya nampak juga.” Jelas di layar fikiran Qadheer Alauddin akan kemesraan mereka berdua.
“Saya rasa memang tak ada salah dan saya tak nampak apa silapnya kalau saya menetap kat sini.”
“Macam mana dengan orang yang sayangkan awak? Umi, baba dengan Redza? Kalau Nazri habis belajar nanti, awak pasti tak nak ikut dia balik Malaysia?”
“Saya dah pernah dengar soalan ni daripada Encik Al dan jawapan saya tetap sama. Bukan saya tak nak jejak langsung atau saya nak jadi Melayu yang mudah lupa. Saya tahu kat mana tumpahnya darah saya. Tapi, inilah kehidupan yang saya pilih. Mungkin, satu hari nanti saya akan datang semula ke sana dan saya pulang ke sini semula. Saya akan anggap Malaysia cuma satu persinggahan untuk saya. Bukan tempat untuk saya tinggal dan berteduh. Saya pernah cakap dengan Encik Al, pergerakan arus terusan Grand Canal ni saya anggap sama dengan aliran sungai di Melaka.”
“Atau mungkin orang yang sayangkan awak selain keluarga Redza ialah ayah kandung awak. Awak tak rasa ke ada kemungkinan yang dia tengah cari awak? Mungkin dia teringin nak jumpa awak ke? Awak pernah terfikir semua tu?”
“Saya rasa Encik Al tak lupa apa yang saya cakap dulu. Keluarga yang saya ada sekarang ni ialah umi, baba, Abang Redza dan Nazri. Saya tak ada ayah yang lain. Zahid Kenchana, sekadar nama pada kad pengenalan saya. Saya ada abah dengan baba aje. Abah saya Samsuddin dan baba saya Muhammad Ruslan,” tekan Nadhrah.
Nadhrah yang tadi mempamerkan rasa ceria langsung menjadi serius. Anak matanya memanah tepat ke mata Qadheer Alauddin. Jitu pandangan gadis itu, sama seperti kerasnya hati Nadhrah terhadap lelaki bernama Zahid Kenchana.
Suasana sepi menerpa. Nadhrah luaran kelihatan mudah mengukir senyuman dan bergurau-senda. Akan tetapi, dalaman Keris Nadhrah Sari berbeza. Pendiriannya teguh dan sama sekali tidak berbelah bagi.
Qadheer Alauddin berkalih pandangan. Tidak sanggup pula rasanya untuk terus ditatap rupa sebegitu memandangkan dia tahu segala-galanya.
“Kenapa semua orang yang ada kat sekeliling saya beria sangat nak saya balik Malaysia? Salah ke keputusan saya ni?” luah Nadhrah dengan tegas.
Insan itu mengelukan lidah. Namun, hati Qadheer Alauddin punya jawapannya. Dia tahu mengapa Nadhrah bertindak sedemikian. Nadhrah memilih untuk berlari, bukan menghadapi. Sama seperti dirinya.
Sepanjang dua tahun ini, Qadheer Alauddin cuba mengelak kenyataan. Bukan dia tidak menerima ketentuan Maha Pencipta, tetapi dia memilih untuk tidak berganjak. Qadheer Alauddin tidak pernah membenarkan hatinya untuk terbuka lagi. Apa yang dia miliki bersama Anis Nadira terlalu indah. Walau bagaimanapun, kerana bumi Venice, nalurinya mula tercuit.
“Orang sekeliling awak, sayangkan awak, Keris Nadhrah Sari. Mungkin awak patut cuba beri peluang kedua...”
“Encik Al tak kenal siapa Zahid Kenchana. Jawapan yang saya cari selama ni, rupanya pahit untuk ditelan sepanjang hidup saya. Sebab tu lebih baik saya tak pernah tahu daripada saya tahu. Saya rasa selesa macam ni. Saya tak tahu, tak akan ambil tahu dan tak nak ambil tahu. Kenapa saya perlu menangis? Sedangkan saya boleh pilih untuk hidup bahagia kat sini,” pintas Nadhrah, menggantungkan kata-kata Qadheer Alauddin.

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 14



“ENCIK AL?”
Sayup-sayup kedengaran nama panggilan itu menyentuh derianya. Perlahan-lahan ia memasuki lohong telinga lalu menyentuh hujung gegendang anggota tersebut. Semakin dibiarkan, suara itu semakin mengganggu.
Qadheer Alauddin yang tidurnya lena meniarap, mula menggerakkan tangan. Dia meraba-raba dalam keadaan mata yang terpejam. Selimut ditarik ke paras yang lebih tinggi. Dia menggapai bantal lalu meletakkan objek empuk tersebut ke bahagian kepala. Qadheer Alauddin mengharapkan bunyi tersebut beransur pergi.
Tidak sampai setengah minit, jangkaan lelaki itu meleset sama sekali. Ketukan di bahagian pintu sekali lagi menerpa. Otak Qadheer Alauddin segera memproses tentang apa yang berlaku.
“Encik Al...”
Lelaki itu berada dalam keadaan separuh sedar. Bantal yang menutupi muka mula dialihkan. Qadheer Alauddin baring terlentang. Usai menunaikan solat subuh seawal 4.00 pagi tadi, dia kembali semula ke permukaan tilam. Ketika ini, perasaan mahu meneruskan tidur lebih kuat terasa berbanding mahu bangkit daripada lenanya.
“Encik Al dah bangun ke belum?”
Kelopak mata dibuka separuh. Terpisat-pisat Qadheer Alauddin dibuatnya mendengar soalan tersebut. Dia bangun lalu menuruni katil. Dia melangkah berat menuju ke arah itu. Tombol pintu berbentuk bulat dipulas pada lawan jam.
“Hmm... Kau nak apa, Naz?” tanya Qadheer Alauddin sebaik sahaja menguap. Dia bersandar pada bingkai pintu. Jiwanya masih tersepit antara alam mimpi dan realiti.
Nadhrah membeliakkan mata. Terkesima dengan penampilan lelaki itu. Nadhrah pantas memalingkan tubuh. “Selamat pagi, Encik Al.”
Alunan suara si pelontar bicara kedengaran berbeza. Qadheer Alauddin menonyoh mata kanannya. Kenapa suara Naz ni lain sangat? Macam suara Keris. Kalau ya pun kau nak mimpi, takkanlah si Naz ni dah jadi Keris pula? desis hati kecilnya.
“Encik Al tidur ke dah bangun ni?” tanya Nadhrah tanpa bertaut pandangan dengan pemuda tersebut.
Kali ini Qadheer Alauddin benar-benar yakin telinganya mendengar suara Nadhrah. Mata yang terpejam separuh dipaksa buka sepenuhnya. Pandangan Qadheer Alauddin berpinar-pinar kerana menerima cahaya lampu secara mendadak. Penglihatan yang kabur beransur jelas tiga saat kemudian.
“Keris!” Hanya itu yang mampu dituturkan secara spontan tatkala melihat Nadhrah.
Ini bukan mimpi. Nadhrah sudah lengkap berpakaian uniform Bistro Karipap La Timah.
“Ya, Encik Al. Saya minta maaf. Baju Encik Al...”
Qadheer Alauddin laju memandang diri sendiri. Memang pakaiannya semasa tidur adalah singlet dan seluar pendek paras lutut. Rasa mengantuk terus lenyap. Tangan lelaki itu menutupi bahagian dada dan lengan yang terdedah. Qadheer Alauddin bergegas mendapatkan selimut dan meliputi tubuhnya.
“Awak buat apa kat sini?” aju Qadheer Alauddin sebaik sahaja kembali ke pintu kamarnya.
Nadhrah tidak membalas pertanyaan itu terlebih dahulu. Inilah kali pertama dia dapat melihat wajah lelaki tersebut sebaik sahaja bangkit daripada tidur.
“Awak tengok apa?”
“Tengok muka Encik Al.”
Qadheer Alauddin menemukan tapak tangannya ke wajah. Dia mengusap-usap kasar mukanya.
“Kenapa? Tak pernah nampak orang bangun tidur ke? Semua orang lelaki dalam dunia bangun tidur dengan muka macam ni. Tak kisahlah orang lelaki tu maco ke tak. Jadi, jangan pandang saya lama-lama macam tu.”
“Ke Encik Al takut saya nampak tahi mata dengan air liur basi Encik Al kat pipi tu?” usik Nadhrah.
Sekali lagi tangan Qadheer Alauddin berlabuh di muka. Dia mengesat tepi bibirnya dan jari telunjuk mengesat bahagian hujung mata yang menghampiri batang hidung.
Nadhrah tersengih menahan ketawa.
“Ni... Kenapa pagi-pagi dah muncul kat sini?” bangkang Qadheer Alauddin, mengubah topik.
“Macam biasa, saya nak kejut Encik Al tidur.”
“Saya suruh kejut pakai telefon. Bukan datang rumah.”
“Tapi, dah alang-alang saya kat sini, saya kejut ajelah Encik Al terus.”
“Alang-alang kat sini? Siapa bagi awak masuk? Ini rumah orang lelaki.”
“Abang Redza yang minta saya datang sini. Lagipun, bukan kita berdua aje.”
“Redza bagi awak masuk?”
Nadhrah mengangguk.
“Saya dah janji dengan Abang Redza semalam nak tolong dia buat sarapan. Encik Al pergi mandi. Lepas tu kita boleh sarapan sama-sama.”
“Lantaklah awak dah janji dengan dia ke apa, tapi awak tak sepatutnya ada kat rumah ni. Kalau ada janji nak masak sama-sama pun, buat unggun api kat luar rumah sana, masak tepi terusan air yang mengalir tu. Macam barbeku tepi kolam renang,” tegas Qadheer Alauddin dengan wajah yang serius.
Ni marah ke nak buat lawak pagi? Gila ke nak buat unggun api bagai macam tu?
“Encik Al, saya dengan Abang Redza tu bukannya orang lain. Kita orang....”
“Nadh!” panggil Redza dari arah dapur.
Nadhrah tidak sempat menghabiskan katanya. “Ya abang!”
“Dah kejut Al ke belum? Kalau dah, sini tolong abang.”
“Okey. Nadh datang kejap lagi.”
 Tak cukup berbual semalam sampai nak buat sarapan sama-sama hari ni? bentak hati Qadheer Alauddin.
“Encik Al pergi mandi ya? Kita sarapan lepas tu pergi kerja sama-sama,” kata Nadhrah dengan senyuman. Dia kemudiannya mengatur langkah mahu ke dapur.
Qadheer Alauddin tidak membalas. Dia beralih pandangan. Dia mengundur setapak mahu menutup pintu bilik dan dalam masa yang sama memicit tepi dahi kirinya. Terasa pening pula kepala kerana terkejut tadi.
“Oh ya, Encik Al.”
Daya yang dikenakan pada pintu ditahan. Gadis itu berpatah balik.
“Saya nampak tahi mata besar gila kat mata kiri tu. Air liur basi kat pipi tu dah nampak macam peta dunia. Encik Al jangan lupa basuh muka tu,” pesan Nadhrah. Selamba sahaja dia meninggalkan Qadheer Alauddin.
Qadheer Alauddin terpempan. Terjejas imej maco dan maskulinnya selama ini. Cepat-cepat dia menyentuh mata kirinya. Namun, apa yang dicari tiada. Dia menapak ke cermin. Pantulan imej yang terhasil dipandang teliti. Kedua-dua tapak tangan Qadheer Alauddin menggosok kasar pipi. Ternyata, tiada apa-apa pada anggota tersebut.
Qadheer Alauddin mempamerkan wajah tidak puas hati. Akan tetapi lama-kelamaan dia juga tersenyum. Nampaknya Nadhrah berjaya mengenakan lelaki itu.


PANCURAN air paip yang laju mengalir terhenti apabila kepala pili dipusing sehingga habis pada arah jam. Beberapa batang kacang panjang baru sahaja siap dicuci. Tangan Redza menggoncang perlahan sayur tersebut agar air yang masih ada pada kacang panjang itu berkurangan supaya permukaan papan pemotong tidak terlalu basah. Jikalau ada kangkung, pasti nasi goreng kampung yang bakal dihidang nanti bertambah enak.
Sebagai alternatif, Redza menggantikan sayur tersebut dengan kacang panjang sebagai penambah rencah memandangkan hanya itu sahaja sayur yang berada di dalam peti sejuk rumah tersebut. Redza memandang sisi kanannya.
“Kat kuali tu hangus ke tak?” soal Redza dalam nada bergurau.
Berlaku percikan kecil antara minyak dan bahan tumisan yang sedang dimasak di dalam kuali. Campuran bawang besar, bawang putih, cili padi, ikan bilis dan belacan yang ditumbuk lumat menghasilkan satu aroma ke serata dapur.
“Mestilah tak hangus. Nadh yang tukang kacau.”
Redza tersenyum mendengar balasan kata daripada Nadhrah.
Bunyi mata pisau bertemu dengan permukaan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu itu menarik perhatian Nadhrah. Bertalu-talu ia kedengaran. Gadis itu memandang sekilas. Tangan kanan dan kiri Redza bergerak seiring. Pantas sahaja sayur yang panjang tadi bertukar menjadi potongan kecil. Skil dan kebolehan Redza di dapur selalu sahaja membuatkan Nadhrah kagum terhadap anak sulung keluarga Ruslan dan Fazilah itu.
“Abang, rasanya dah boleh letak ayam, kan?” tanya Nadhrah apabila melihata bahan tumisan kelihatan garing.
Redza menjengahkan kepala, menjenguk keadaan di dalam kuali.
“Ha, dah boleh tu. Dah boleh masuk ayam,” arah Redza. Dia memerhati sahaja tingkah Nadhrah memasukkan ketulan nipis dada ayam itu.
“Lagi nak tanya boleh masuk ayam ke tak. Macam tak biasa aje masak nasi goreng,” sambung Redza lagi.
“Memanglah Nadh tahu masak nasi goreng kampung ni. Tapi, bila Chef Imran Redza ada kat Venice, haruslah tanya. Lagipun, air tangan abang tak sama dengan tangan Nadh yang buat sendiri. Nah, ambil sudip ni. Kan semalam Nadh cakap nak makan nasi goreng kampung yang Abang Redza masak.”
Redza melebarkan lengkungan bibirnya. Sudip bertukar tangan. Pergerakan Redza lincah. Sekali-sekala tangan kiri Redza mengangkat lalu menggoncang kuali. Tumisan dan ayam tersebut melambung sedikit ke udara. Kepulan asap nipis terus terhasil. Aroma itu menghinggapi hidung.

“Ya Allah... Sedapnya bau ni. Nadh memang dah lama tak makan nasi goreng kampung ada belacan. Rindu gila kut bau menyengat belacan ni. Kat sini mana ada belacan.”
Nadhrah menggapai bungkusan plastik yang berada di atas meja. Dipandang lama bahan masakan berbentuk bulat yang sudah terluak sedikit itu. Tertera jelas tulisan Belacan Asli Melaka pada label plastik.
“Itulah, suruh balik Malaysia tak nak. Kan lidah awak tu dah kempunan nak rasa belacan. Nasib baik umi yang ingatkan abang. Umi yang bungkuskan belacan tu. Ada tiga bungkus lagi kat dalam peti sejuk. Bukan setakat belacan, umi tu kalau boleh apa yang ada kat Malaysia tu nak disuruhnya masuk dalam beg,” ujar Redza.
Dia memasukkan semangkuk besar nasi dimasak malam tadi yang baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk dan potongan kecil kacang panjang tadi ke dalam kuali.
“Nadh kan kerja, bang. Lagipun Nadh temankan adik kesayangan abang tu kat sini. Kadang-kadang Naz tu pun bukan tahu uruskan diri dia.”
“Abang tahu, tu cuma alasan aje, kan? Nadh memang nak elak balik Malaysia, betul tak?”
Hembusan nafas Nadhrah tidak semena-mena kedengaran berat. Bungkusan belacan diletakkan kembali ke tempat asal. Nadhrah menghampiri kabinet dapur, mengambil teko. Otaknya ligat memikirkan jalan untuk menghindari situasi tersebut.
“Dua hari sebelum abang datang sini, Nadh ada telefon umi. Siap berbual lagi dengan baba. Tapi, dia orang tak cakap langsung abang nak datang sini. Pandai betul umi dengan baba rahsia,” kata gadis berambut panjang itu, memecah sunyi dan dalam masa yang sama mengubah arah perbualan.
“Dah namanya abang nak buat kejutan, mestilah kena rahsia. Umi pun ada pesan dengan abang. Suruh tanya dengan Nadh, bila nak balik Malaysia.” Pusing sana, pusing sini, Redza tetap mengembalikan semula tajuk perbualan mereka.
“Abang... dah banyak kali Nadh beritahu, kan? Abang pun tahu apa sebabnya.”
“Tapi sampai bila? Orang kat perantauan, rindu nak balik tempat sendiri. Nadh ni dah terbalik pula.”
“Kalau Nadh ada pilihan antara dua, satunya boleh buat Nadh gembira dan satu lagi pilihan boleh buat hati Nadh terluka, kenapa Nadh kena pilih yang terluka sedangkan Nadh boleh pilih untuk senyum bahagia?” jawab Nadhrah sambil tangannya mengacau tiga sudu gula ke dalam larutan teh di dalam teko kaca jernih itu.
“Bukannya larikan diri daripada kenyataan yang ada?”
Nadhrah tidak memandang Redza. Bekas gula disimpan semula. “Nadh selesa kat Venice ni.”
“Habis tu, kat Malaysia tak selesa? Tak selesa ke dengan keluarga abang?”
“Bukan macam tu. Abang tak faham perasaan Nadh. Soalan yang bersarang kat kepala untuk sekian lama, tiba-tiba jawapan yang Nadh dapat rupanya begitu sakit untuk didengar. Kenyataan yang Nadh cari selama ni sebenarnya pedih untuk diterima. Nadh kena keluar daripada situasi tu. Nadh tak nak ingat apa yang Nadh tahu.”
“Abang, umi dengan baba macam mana? Umi dengan baba abang, adalah umi dan baba untuk Nadh juga. Bila Naz habis studi nanti, Naz mesti balik Malaysia. Takkan Nadh nak duduk sini sorang-sorang? Abang risaukan Nadh sebab abang sayangkan Nadh.” Jitu pandangan Redza terhadap Nadhrah, walaupun perempuan itu tidak membalas renungan tersebut.
Nadh hanya tunduk memandang sesuatu. Pandangannya diiringi dengan fikiran yang kosong. Nadhrah menarik lalu menghembuskan nafas perlahan-lahan. Dadanya berombak menahan sebak yang sedikit demi sedikit mula menjalar ke dalam sanubari.
“Rasanya... elok juga kalau Nadh duduk sini. Kalau tak, Abang Redza asyik buli Nadh aje. Kalau Nadh duduk jauh, abang mesti rindu Nadh. Betul tak?” ucap Nadhrah dengan bibir yang tersenyum.
Seboleh mungkin dia memaniskan wajah. Dia tidak mahu suasana yang ada diselubungi dengan perasaan sayu dan sedih.
Anak mata Redza memerhatikan raut itu. Memang jelas Nadhrah tidak mahu membincang isu tersebut. Dia mengerti. Pandangan lelaki itu berlabuh pada makanan yang berada di dalam kuali. Nasi yang tadinya berwarna putih kini bertukar sedikit hijau kekuningan. Redza menggaul rata agar garam yang baru sahaja dibubuh menjadi larut dan seimbang meresap masuk ke dalam butiran nasi.
“Nadh seronok duduk sini?”
“Seronok. Seronok sangat.”
Redza tersenyum. Dia mematikan api lalu menghampiri Nadhrah. Tangan kirinya menghampiri pipi gadis itu lalu mencubit anggota tersebut.
“Sebab tulah comot abang yang sorang ni makin tembam ya? Tengok pipi Nadh ni, makin kembang. Senang hati sangatlah tu.”
Nadhrah mengembungkan pipi. Dia menggosok perlahan kawasan yang baru sahaja menerima cubitan.
“Mana ada tembam. Berat tak naik pun tau,” nafi Nadhrah. Dia mencebikkan bibir.
“Ooo... |Berat tak naik? Okey, sepanjang abang kat sini abang nak tengok makin tembam ke tak pipi tu.” Redza menghampiri rak pinggan. Dia mengambil sudu.
“Mana aci cakap macam tu. Kalau abang kat sini, mestilah abang masak sedap-sedap. Kalau tak makan, rugilah.”
Lelaki itu mencedok sedikit nasi yang telah digoreng dengan menggunakan sudu. Dia meniup perlahan. Asap yang berkepul keluar berkurangan. Redza kemudiannya menghalakan sudu tersebut ke bibir Nadhrah. “Cuba rasa, kurang apa.”
Tanpa ada rasa segan dan silu, Nadhrah mengangakan mulut. Redza menyuap makanan tersebut ke dalam mulut Nadhrah. Tidak sampai tiga saat, anak mata Nadhrah terbeliak.
“Sedapnya!”
“Sedap?”
Nadhrah mengangguk. Ketara wajah Nadhrah kegirangan. “Rindunya nak makan nasi goreng kampung macam ni. Lebih-lebih lagi Chef Imran Redza yang buat.”
“Sarapan ni, makan banyak-banyak tau. Biar hilang mengidam awak tu.” Sekali lagi Redza mencubit lembut pipi Nadhrah.
Belum sempat Nadhrah membalas kata-kata Redza, bunyi seseorang berdeham kedengaran. Mereka berdua menoleh ke arah yang sama. Qadheer Alauddin sedang berdiri, berhampiran dengan peti sejuk.
“Eh, Encik Al dah siap?” soal Nadhrah.
“Hmm...” balas Qadheer Alauddin. Pemuda itu membuka pintu peti sejuk, mencari sesuatu di salah satu rak yang ada.
“Kebetulan saya pun dah siap masak nasi goreng ni. Kita boleh makan sama-sama,” ajak Redza.
Tangan Qadheer Alauddin mencapai sebiji epal yang berada di dalam bekas. Setelah itu, dia menutup kembali pintu tersebut. Qadheer Alauddin bertaut pandangan dengan Redza.
“Tak apalah. Tak beberapa selera nak makan pagi ni. Saya makan buah ni aje. Saya minta diri dulu. Saya nak pergi bistro.”
Terkebil-kebil Nadhrah dibuatnya mendengar susunan kata Qadheer Alauddin. Terkejut pun ada juga. “Tapi Encik Al, kita sempat lagi nak sarapan ni. Saya pun belum makan lagi.”
“Saya tak cakap yang awak kena ikut saya sekali. Awak nak makan nasi goreng tu, awak makan ajelah. Saya boleh pergi sendiri,” ucap Qadheer Alauddin dengan nada yang dingin.
Lelaki itu mengatur langkah ke pintu dan terus lenyap daripada pandangan mereka berdua.
“Al tu memang macam tu ke?” aju Redza.
“Maksud abang?”
“Yalah, macam tak banyak sangat cakap.”
Nadhrah memandang sahaja pintu masuk rumah itu. Dia dapat merasakan seperti ada yang tidak kena.
“Bertuahnya badan hari ni. Bangun-bangun, gosok gigi lepas tu cuci muka, tup-tup... Siap dah sarapan.”
Redza memandang ke arah pemilik suara tersebut. Nazri baru sahaja keluar dari kamarnya. Dia menghampiri kuali sambil hidungnya kembang kuncup, menyedut asap yang menghasil aroma yang mampu membuka seleranya.
“Dah bangun pun putera beradu ni. Jom, kita sarapan,” ucap Redza.
“Kalaulah hari-hari macam ni, bahagianya. Abang Redza duduk sini ajelah. Masak sedap-sedap untuk Naz. Nadh masak tak sedap sangat. Kadang-kadang tertumpah lori garam. Kadang-kadang masak nasi macam air kena catu. Tak sama macam umi dengan abang,” sakat Nazri. Dia sudah mengambil pinggan.
Lelaki berusia 30 tahun itu menggelengkan kepala. Tahu benar dia dengan perangai adiknya itu. Nazri dan Nadhrah umpama kembar, suka menyakat antara satu sama lain. Redza memerhatikan Nadhrah. Nadhrah sepertinya tidak mendengar bicara Nazri.
“Nadh?” panggil Redza.
“Ya.” Lamunan Nadhrah terhenti.

TEKSTUR ikan bilis yang digoreng garing menjadi hancur sedikit demi sedikit. Nadhrah mengunyah ikan bilis itu bersama nasi goreng yang dimasak oleh Redza tadi. Memang terasa enak makanan tersebut menuruni tekaknya. Rahang bawah Nadhrah terus bergerak, mengunyah hidangan sarapannya. Namun, ekspresi gadis itu jelas memikirkan sesuatu.
“Semalam beria sangat nak makan, pagi ni macam orang tak ada selera aje?” ucap Redza.
Nadhrah seperti berada dalam dunianya sendiri. Suara Redza memecah hening langsung tidak dihiraukan.
“Jiwa dengan badan Nadh dah terpisah ke?” tegur Redza lagi yang baru sahaja melabuhkan punggung di atas salah satu kerusi meja makan. Pinggan plastik berwarna putih yang diisi dengan nasi berserta sudu diletakkan di hadapan mata.
Nazri yang sedang enak menjamu makanan yang dimasak oleh abangnya terus memandang Nadhrah.
“Nadh?!” panggil dengan Nazri dengan nada yang lebih tinggi.
Jiwa yang seolah-olah melayang entah ke mana kembali semula ke dalam tubuh Nadhrah. Bahu perempuan tersebut sedikit terangkat.
“Kenapa Naz?” balas Nadhrah dengan raut terpinga-pinga.
“Abang Redza tanya, jiwa dengan badan kau dah terpisah ke? Kau kenapa Cik Mah? Pagi-pagi dah buat drama Melayu.”
“Tak ada apa-apalah, bang. Merepek aje jiwa dengan badan terpisah. Macam berangan pula. Nadh tengah menikmati hasil air tangan abang ni.”
Jari telunjuk dan tengah Nazri memasuki gelungan tangkai cawan yang berada berhampiran dengan kanannya. Dia menggenggam tangkai itu lalu menghalakan tepi cawan ke bibir. Air teh O suam dihirup dua teguk, menyebabkan beberapa butiran nasi yang tertinggal di kawasan dalam mulut turut ditelan sama.
“Apa yang merepeknya, nyah? Aku rasa betul cakap abang aku tu. Muka kau lain macam benar. Fikir masalah negara Itali ni ke?”
Nasi yang berada di pinggan telah luak separuh. Kuisan sudu bertemu dengan nasi terhenti tatkala telinga Nadhrah mendengar usikan rakan baiknya itu. Dia mencebikkan bibir.
“Ke Nadh fikir pasal Al?” duga Redza.
Terjegil mata perempuan tersebut secara langsung dibuatnya. Umpama ada satu batu yang memantul pada dahinya. Seboleh mungkin dia berlagak tenang.
“Betul. Itulah jawapan yang sebenar-benarnya. Tiada lain yang benar melainkan yang benar-benar belaka. Kau jangan nak nafi bagai macam statement retis. Kau lain macam bila Encik Al tu tiba-tiba keluar macam tu aje, kan?” tambah Nazri, menyokong tekaan Redza.
“Isy... ma... mana ada. Tak adalah, cuma pelik aje. Encik Al macam marah. Dia marah sebab kejutkan dia tadi ke? Kejung-kejung dia selama ni pun, pergi kerja tetap sama-sama,” ujar Nadhrah, cuba menerangkan situasi sebenar.
“Aku rasa, mungkin dia marahkan kau kut.”
“Sebab?”
“Sebabnya... mungkin masa kau kejutkan dia tadi, kau ada tertengok dengan sengaja aurat dia. Tu yang dia sentap tu. Encik Al kalau tidur, memang macam tu baju dia. Sado katanya. Kau hado?”
Gadis itu mendiamkan diri. Macam logik tak logik saja teori Si Nazri ni. “Aku mana ada nampak apa-apa. Cuma nampak lengan dia aje. Tak sempat nak tengok yang lain pun.”
“Encik Al ni, kau tengok aje badan dia ketak-ketak macam tu. Tapi, pemalu orangnya.”
Dahi Nadhrah berkerut-kerut. Antara percaya dengan tidak kenyataan Nazri.
“Alah... kau tak payah nak risau sangatlah. Orang lelaki ni banyak benda yang dia kena fikir. Bukan sebab kaulah. Entah-entah dia sembelit ke pagi tadi. Nak elak kau tahu, tu yang dia pergi bistro sendiri. Risau sangat dengan Encik Al kau tu,” ucap Nazri, mahu melegakan rasa resah yang menyelubungi hati Nadhrah.
Walaupun begitu, hati Nadhrah tetap dirundung gelisah.
Redza menggelengkan kepala. Suapan ketiga nasi diiringi dengan senyuman panjang dan meleret. Sesekali dia menatap Nadhrah yang berada bertentangan dengan dirinya.
“Akhirnya...” Sengaja Redza menggantung ayat tersebut.
“Apa yang akhirnya?” soal Nadhrah.
“Dah runtuh ke tembok besar lagi tinggi tak nak bercinta Cik Keris Nadhrah Sari?”
“Mana ada. Bila masa pula Nadh cakap tak nak bercinta? Nadh cuma cakap tak nak fikir dulu buat masa ni soal cinta tu,” balas Nadhrah lalu sudu yang dipenuhi dengan nasi pantas disua ke dalam mulut.
“Patutlah tak nak balik Malaysia, rupanya ada buah hati kat sini, ya? Pandai berahsia dengan abang.”
“Abang, Encik Al tu pun melancong juga macam abang kat Venice ni. Kata Kak Syah, Encik Al nak duduk sini sebulan. Baru dua minggu kut Nadh kenal dia. Tak ada maknanya nak bercinta dengan dia.”
“Kalau Al tu duduk sini sampai bila-bila, boleh bercintalah? Macam tu?” sakat Redza lagi.
“Alah, bang, tak payah Encik Al duduk sini sampai bila-bila. Sekarang ni pun dah rupa orang bercinta,” celah Nazri dengan mulut separuh penuh dengan makanan.
Tersembur sebiji dua butir nasi. Terbuntang luas mata Nadhrah. Garpu diangkat lalu dihalakan secara jarak jauh ke wajah Nazri sebagai tanda amaran.
“Kau lupa ke arwah ibu aku pesan apa dulu? Kalau mulut ada makanan, jangan bercakap, kan? Tak sopan namanya. Kau jangan cakap apa-apa,” arah Nadhrah dengan rentak suara yang serius.
Makan saman pula Nazri jika menerima ugutan sebegitu daripada Nadhrah. Makin dibuat lagi adalah. Nazri terus menelan apa yang telah hancur di dalam mulut.
“Encik Al dengan Nadh ni macam bercinta tanpa mengungkapkan kata cinta. Hari pertama lagi Encik Al dah minta nombor telefon Nadh. Katanya nak suruh kejut pagi-pagi.”
“Naz!”
“Lepas tu dating pertama pergi Pasar Rialto, naik vaporetto sama-sama gitu. Buat karipap sama-sama. Dah suap-suap makan.”
Peluh di dahi Nadhrah mulai terbit. Ini memang tidak boleh jadi. Mulut tempayan sungguh Encik Imran Nazri ni. Nadhrah meletakkan sudu dan garpu lalu mendekati kedudukan lelaki itu.
“Tak cukup dating kat pasar, jalan-jalan pula kat Piazza San Marco tu. Bagi burung merpati makan sambil dengar muzik romantik. Sekarang ni, nak delivery karipap pun...”
Tapak tangan kanan Nadhrah bertemu dengan mulut Nazri. Nadhrah menekup kasar anggota bicara rakannya itu. Nadhrah tersengih memandang Redza. Memang ketara wajah Redza percaya dengan cerita adiknya itu.
“Kau cakap semalam pagi ni kau ada discussion dengan budak-budak study group kau kan, Encik Ramlee?”
“Mmm... Mmm... Mmm...” Hanya itu sahaja yang mampu diluahkan oleh Nazri. Makin kuat Nadhrah menekan bahagian mulutnya. Memang tidak boleh bagi peluang Nazri bersuara.
“Kalau kau bercerita, nanti lambat kau habis makan. Maka, lambat juga kau nak pergi jumpa dia orang. Kau tak nak jadi insan cemerlang lagi terbilang ke?”
“Mmm...”
“Abang, Nadh pun rasa macam dah lambat juga ni nak pergi bistro. Nadh pergi dulu. Pinggan tu kau tolong aku basuh ya, Naz.” Nadhrah melepaskan tekupan tangannya. Lega dibuatnya dapat menghalang Nazri daripada terus membongkarkan rahsia.
“Dah lambat nak pergi kerja ke nak kejar Al?” usik Redza. Selamba sahaja wajahnya.
Papan luncur yang berada pada pintu dijinjit usai dia mengikat kemas tali kasut. Dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata Redza.

Nazri pula macam ikan yang baru sahaja dapat mencelupkan badan ke dalam air. Terasa sesak pula diperlakukan sebegitu oleh Nadhrah.
“Nadh pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap Nadhrah. Kemudian, dia membuka pintu.
“Waalaikumussalam. Tangan kau tu bau ayam tahu tak? Kau tak cuci tangan dulu ke sebelum nak tekup mulut aku? Choi... Bakteria dan kuman sungguh,” marah Nazri. Dia mengelap mulut dan pipinya dengan kain lap berulang kali.
Redza hanya mampu menggelengkan kepala sekali lagi. Dia ketawa.