BAB
15
“Jalan bercabang dua
terbentang di hadapan, jalan mati terhampar di fikiran.”
Bentuk tubuh lelaki
yang berada di dalam kanvas diperkemaskan lagi. Bagi Inderawan, lelaki di dalam
lukisan itu melambangkan seseorang dalam kehidupan realitinya. Insan tersebut
seharusnya menjadi insan yang paling rapat dengan dirinya selepas ibunya. Tetapi
apa yang berlaku sebenarnya jauh dan semakin jauh hari demi hari. Tiada tempat yang
boleh dicurahkan melainkan di atas permukaan putih tersebut.
Inderawan memandang
langit seketika. Walaupun hari tidaklah terik tetapi hembusan angin pada ketika
itu bahang menembusi kulitnya. Dia menoleh ke kiri sebaik sahaja kedengaran
bunyi gitar dipetik oleh Amsyar. Itulah kegemaran Amsyar. Selain menjual bahan
bacaan di gerai kecilnya, dia juga gemar bermain muzik. Apabila ada kelapangan
atau jika kurang pelanggan, Amsyar akan bermain gitar untuk menghiburkan orang
yang lalu lalang di situ. Jika bernasib baik, dapatlah juga pendapatan
sampingan. Jika sampai anginnya, Inderawan juga akan turut serta. Selama lebih
setahun berada di situ, dia ada mempelajari cara bermain alat muzik tersebut.
Bukannya apa, kadang-kala ilhamnya juga tersekat untuk melukis. Selain melukis,
muzik juga mampu membuatkan dia mengukir senyuman.
Inderawan tersenyum sambil
mengelap peluh di dahi. Dia menyambung semula apa yang berbaki setelah peluhnya
menyerap ke tuala. Jiwanya sudah masuk ke alam itu. Lupa seketika masalah yang
menimpa.
“Encik Indera,”
Tangan kanannya yang
dari tadi laju menari-nari kini terhenti. Suara itu seperti antara kenal dan
tidak.
“Haqimi,” balas
Inderawan.
Terbit perasan terkejut
di hati kecilnya. Dia segera mengelap tangannya lalu bersalaman dan Haqimi juga
membalasnya.
Haqimi memerhatikan
lukisan-lukisan yang telah siap. Pandangannya tertarik dengan lukisan
pemandangan danau tatkala waktu mataharu terbit. Sebuah rumah kecil kelihatan
di dalam lukisan itu. Haqimi dapat merasakan ketenangan apabila memandang
lukisan itu yang dipenuhi dengan pokok di bahagian kiri dan tengah lukisan itu
terdapat sebatang sungai yang mengalir. Entah mengapa, ada satu perasaan
muncul. Haqimi dapat merasakan Inderawan mahu kehidupan seperti itu. Kecil dan
sederhana namun penuh dengan ketenangan. Jauh daripada segala masalah. Ternyata
seni Inderawan tiada bandingannya. Memang benar dia melukis dengan hati dan
perasaan. Namun penglihatannya tiba-tiba sahaja tertumpu pada stand kayu itu.
Haqimi cuba mengamati lukisan yang belum siap itu. Sepertinya ada seorang
lelaki dewasa dan seorang anak kecil.
“Kau sihat?” soal
Inderawan sebaik sahaja melihat Haqimi diam seribu bahasa. Inderawan segera
mengambil bangku merah lalu mempelawa Haqimi duduk.
“Alhamdulillah. Encik
Indera sihat?”
Haqimi melabuhkan
punggungnya ke bangku itu.
“Sejak bila kau
berencik dengan aku ni? Aku dengan kau dah lama kenal. Kau dengan aku tak ada
beza.”
Haqimi tersenyum.
Begitulah sifat Inderawan. Masih lagi tidak berubah seperti dahulu semasa dia
menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Taming Sari Berhad. Sama
sahaja layanannya terhadap insan yang lain.
“Lama tak nampak. Angin
bayu mana yang bawa kau ke sini?” soal Inderawan.
“Angin bayu aku ni ada
bawa pesan.”
“Pesan dari siapa?
Dato’ Mahmood ke Sultan Mahmud? Titah sultan mana boleh disanggahkan?” ucapnya
dalam nada sinis.
“Nine dah lari,” ucap
Haqimi, pendek.
“Lari? Lari pergi mana?
Apasal pula?”
“Kalau aku tahu, tak
kan ada angin bayu yang meniup yang menyebabkan aku ke sini. Hari perkahwinan
dia dah nak dekat. Lebih kurang seminggu lebih aje lagi. Dah puas aku cari dia
merata tempat. Termasuk tempat selalu dia pergi dan rumah kau.”
“Hari perkahwinan Nine?
Kau intip aku?”
“Aku tak ada pilihan.
Dato’ Mahmood yang suruh.”
“Aku memang tak tahu ke
mana dia pergi. Kali terakhir dia jumpa aku pun ada selisih faham. Dia ada
lepaskan kemarahan dia kat aku.”
“Kau dengan Nine selisih
faham? Seumur hidup aku Tuah dan Jebat yang aku kenal tak pernah berlaga suara
apatah lagi mahu bertikam keris sesama sendiri.”
“Sedangkan lidah lagi
tergigit Haq. Kau nak apa dari aku ni?”
“Ada benda aku nak
bincang”
“Benda? Kau nak cakap
pasal Taming Sari Berhad ke?”
Haqimi membalas dengan
senyuman.
“Aku pernah dengar yang
orang seni ni bukan sekadar berseni aje, tapi dapat nampak apa yang orang lain
tak nampak. Aku belum cakap lagi tapi kau dah tahu,”
“Aku cuma teka aje.”
Haqimi merapatkan lagi jaraknya
dengan Inderawan. Dia mahu apa yang disampaikan sebentar lagi terus sampai ke
hati anak sulung majikannya itu.
“Aku nak minta tolong
kau kembali semula ke Taming Sari Berhad.”
Inderawan mengeluh.
Sudah muak rasanya mendengar ayat itu. Dulu dari bibir ayahnya dan kini Haqimi
pula.
“Aku rasa kau dah tahu
apa jawapannya.”
“Selama kau tak ada
Dato’ Mahmood yang menguruskan segala-galanya. Kemudian bila Nine balik
Malaysia, Dato’ Mahmood cuba bentuk dia untuk gantikan tempat kau. Aku ada
nampak potensi dia tapi dia belum bersedia lagi. Untuk pengetahuan kau lagi,
dia difitnah oleh Raziq, orang kepercayaan Dato’ Mahmood.”
“Uncle Raziq?”
“Ingat tak dulu kau
pernah ragu-ragu dengan penyata tahunan syarikat? Kau syak Raziq yang buatkan?
Tapi dia berjaya buktikan yang dia tak bersalah. Aku dapat rasakan ada sesuatu
yang tidak kena. Nine bertambah tertekan bila dia dipaksa kahwin dengan anak
Datuk Ramli. Jadi, sekarang kau dapat agakkan kenapa Nine menghilang tanpa
dikesan?”
Inderawan hanya mampu
membisu. Pantas sahaja peristiwa hari itu berlaku. Zulqarnain tidak sudah
menyalahkan dirinya.
“Aku tak salahkan Nine
dalam hal ni. Tambahan lagi dia tahu yang dia ada abang, tempat dia bergantung
dan berpaut. Dan tiba-tiba dia kena menanggung semua beban tu secara tiba-tiba.
Sebab tu dia lenyapkan diri dia. Tapi tanpa Nine sedar, dia sendiri telah
membina jambatan untuk Raziq. Jambatan sebagai laluan Raziq untuk meruntuhkan
apa yang keluarga kau dah bina selama ni. Pucuk yang dicita, ulam pun tiba.
Perkara ni yang Raziq mahukan. Dia tahu Nine tak macam kau, sebab tu dia ambil
kesempatan. Dia makin bertepuk tangan siap bergendang dan menari bila Nine
hilang. Aku memang tak ada bukti, tapi aku dah lama kat Taming Sari Berhad. Aku
dapat agak kalau ada yang tak kena.”
Inderawan langsung
tidak menjawab. Dia hanya seperti patung, membiarkan Haqimi yang juga pembantu
peribadinya suatu ketika dahulu terus menerus meluahkan apa yang mahu dia
sampaikan.
“Indera, sampai bila
kau nak lari?”
“Aku tak lari. Kau pun
tahu apa sebab aku keluar daripada rumah tu kan?”
“Aku tahu bukan aku kat
tempat kau. Tapi kau kena korbankan perasaan kau untuk selamat seluruh empayar
yang telah terbina ni. Jangan hanya sebab perempuan tu, kau nak hancurkan
seluruh keluarga kau. Baliklah Indera. Kalau kau terus macam ni, maksudnya kau
dah kalah.”
“Kalau aku balik,
maknanya aku mengalah. Mengalah maksudnya aku menurut sahaja permintaan
ayahanda aku.”
“Indera,mengalah bukan
bermakna kita pengecut. Tidak melawan tak semestinya penakut. Sampai bila kau
nak lari? Sampai bila?”
“Siapa yang suruh kau
merayu kat aku ni?”
“Bukan sesiapa tapi aku
kawan kau. Tuan Pengerusi ada minta aku tanya kau pasal Nine. Dia kirim salam
kat kau.”
“Tok ayahanda aku
sihat?”
“Macam tulah dia.
Tengok aje sihat. Tapi hati orang tua tu kita tak tahu. Aku perasan muka dia
susah hati bila perkara ni berlaku.”
Tangannya sudah berada
di dahi, pening memikirkan kekusutan yang ada.
“Kau dengan Dato’
Mahmood tak ada banyak beza. Masing-masing keras kepala. Mana tumpahnya kuah
kalau tak ke nasi.”
Inderawan memandang
semula ke langit. Dia sendiri masih lagi bingung. Inderawan cuba mencari
jawapan disebalik awan,
“Indera, jangan pandang
atas lama sangat, takut lupa kaki masih lagi di bawah.”
Haqimi berkias
dengannya. Inderawan memandang semula wajah itu.
“Aku balik dulu. Aku
rasa sudah tibanya Tuah kembali untuk membetulkan keadaan. Tuah yang aku kenal
bijak orangnya,” ucap Haqimi lalu bangun dan beredar.
Inderawan hanya
memerhatikan lelaki itu pergi. Dia bingung.
Baru sahaja kepalanya
ringan setelah diluahkan dengan melukis, tiba-tiba beban itu kembali bersarang
di fikirannya. Jika dia tidak kuat, boleh gila jadinya. Inderawan memerhatikan
sekelilingnya. Mahu sahaja dia menggantikan jasad salah seorang dari mereka
yang ada di situ.Dan secara tidak sengaja, ada suara yang membisik ke
telinganya.
“Ini
semua salah abang. Salah abang!!! Nine tak akan tanggung semua ni kalau bukan
sebab abang. Are you happy now?”
Kata-kata adiknya
tempoh hari seperti pita rakaman di fikirannya. Namun suara itu tiba-tiba
sahaja tenggelam. Bunyi petikan gitar daripada Amsyar menjadi ganti.
“Senyumlah…senyumlah…ahhaaii
cek mek molek..”
Amsyar mendendang
sebaris lirik lagu itu kepada Inderawan setelah melihat wajah rakannya itu
berkerut seribu. Inderawan tersenyum.
“Amacam, banyak dapat
hasil basking?”
“Jadilah. Dapat RM5.25
ni. Lepas beli getuk ubi kat depan tu. Eh, siapa tu?” soal Amsyar sambil
bibirnya muncung ke arah Haqimi yang sedang berjalan meninggalkan mereka.
“Haqimi, pembantu
peribadi aku dulu.”
“Kenapa dia datang?”
--------------------------------
“Assalammualaikum,
bonda,” ucap Inderawan setelah melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikummussalam.
Lambat Indera balik hari ni? Banyak melukis?” soal Hannum yang sedang berada di
meja makan.
“Alhamdulillah. Boleh
tahan bonda. Rezeki hari ni lebih sikit. Bonda nak buat apa dengan ikan bilis
tu?” soal Inderawan apabila melihat tangan Hannum sedang sibuk menyiang ikan
bilis.
“Bonda ingat nak buat
nasi lemak untuk sarapan esok. Bonda siapkan dulu bahan-bahannya malam ni. Esok
pagi senang. Nanti Indera bawa bekal ya? Lepas tu bawakan sekali untuk Amsyar.
Amsyar tu suka sangat kalau pasal makan-makan ni. Indera kalau nak makan, ada
lauk kari kat dalam periuk tu. Bonda dah panaskan dah tadi.”
“Yalah bonda.”
Inderawan berjalan
menuju ke dapur lalu membuka peti sejuk dan mengambil air sirap di dalam jug.
Dia mengambil gelas di rak lalu menuang air tersebut. Dia menuju ke meja makan.
“Bonda,” panggil
Inderawan.
Hannum menoleh ke arah
Inderawan yang sedang menarik kerusi meja makan lalu duduk di sebelahnya.
“Kenapa Indera?” tanya
Hannum.
“Indera nak bincang
dengan bonda sikit,”
“Nak bincang pasal
apa?”
“Kalau Indera kembali
semula ke Taming Sari Berhad, bonda setuju tak?” tanya Inderawan dengan wajah
yang serba salah.
“Kenapa tiba-tiba aje
ni? Ayahanda ada jumpa dengan Indera ke?”
“Tak, ayahanda tak tahu
pasal ni. Tapi apa yang pasti Nine dah lari, bonda.”
“Nine lari? Kenapa?”
“Indera rasa ni semua
salah Indera. Tanggungjawab Indera yang Indera tinggalkan dulu, semuanya Nine
kena tanggung termasuklah kahwin dengan anak Datuk Ramli.”
Hannum mendiamkan diri.
Dia terkejut dengan tindakan anak tirinya itu.
“Nine masih mentah lagi
untuk lalui semua ni. Tambahan lagi, tadi Haqimi ada datang kat arked. Dia
cakap Taming Sari Berhad tengah ada masalah. Ada gunting dalam lipatan, Uncle Raziq.”
“Uncle Raziq , kawan baik ayahanda tu?”
Inderawan mengangguk.
“Tapi dia kawan baik
ayahanda kamu. Dah lama dia kerja kat situ. Takkanlah dia nak buat macam tu?”
“Indera pun tak pasti
bonda. Indera rasa, Indera perlu betulkan semuanya tapi Indera tak sanggup nak
bertentang mata apatah lagi bertentang suara dengan ayahanda. Sakit hati ni
masih lagi terasa bisanya. Indera takkan boleh lupa apa yang dia dah buat pada
kita.”
“Indera, dia tetap
ayahanda Indera walauapapun yang terjadi. Ingat tu. Bonda tahu Indera marahkan
dia tapi ayahanda tak tahu yang dia tengah dalam kesusahan sekarang ni. Kita
tak tahu pun betul ke tidak pasal uncle Raziq
tu. Kalau tak betul tak apa tapi kalau betul macam mana? Empayar tok ayahanda
bina selama ni akan runtuh. Indera nak macam tu ke? Taming Sari Berhad hasil
titik peluh tok ayahanda. Susah payah dia bina semua ni untuk anak cucu serta
keturunan dia. Dia tak mahu darah daging dia merempat.”
Umpama melontar dadu,
kali ini giliran Inderawan pula yang mendiamkan diri.
“Kalau Indera tak nak
buat untuk ayahanda, Indera buat untuk tok ayahanda ya?”
“Tapi Indera kena
mengadap perempuan tu juga nanti bonda.”
“Indera juga yang cakap
nak betulkan keadaan kan? Sampai bila Indera nak lari? Bonda tahu Indera marah
sangat apa yang dia buat pada bonda. Tapi itu hal dia dengan bonda. Indera
masih lagi anak dia.”
Kata-kata Hannum hampir
sama seperti Haqimi. Benarkah dia sedang melarikan diri selama ini? Benarkah
dia cuba untuk mengelak daripada kenyataan? Masih jelas diingatannya kata-kata
Amsyar siang tadi setelah dia menceritakan segala-galanya kepada Amsyar.
“Wan,
ini masanya untuk kau betulkan kembali keadaan. Mungkin ada hikmah di sebalik semua
ni. Mungkin ada sebab kenapa Allah takdirkan Nine larikan diri daripada semua
ni. Semua ni tak akan selesaikan masalah kalau kau terus kat sini. Kau nak
sampai ke tua ke nak putuskan hubungan dengan adik beradik kau yang lain. Kau
kena lawan Wan. Kau kat sini dah menunjukkan kau kalah sebenarnya. Kau biarkan
mak tiri muda kau tu memutuskan apa yang telah telah tersimpul selama ni?
Dendam yang terpendam masih lagi nak peram kat hati yang paling dalam sampai
jadi pekasam, dihidu masam. Dan akhirnya busuk itu memakan diri sendiri, macam
tu?”
Inderawan seakan
termenung. Kata-kata Amsyar begitu menusuk ke jantungnya. Selama ini dia
merasakan itulah keputusannya yang terbaik. Inilah caranya utuk menentang Dato’
Mahmood. Tetapi setelah apa yang berlaku, dia telah menjadikan Zulqarnain
sebagai mangsanya.
“Bonda tak halang
Indera. Apa yang Indera rasakan terbaik, bonda akan sokong. Tapi fikirkanlah
untuk yang lain. Bonda tahu Indera tak sama macam ayahanda. Indera bukan orang
yang mementingkan diri sendiri.”
“Bonda pun tahu kan,
kalau Indera kembali semula ke Taming Sari Berhad maknanya Indera pun kena
kembali ke rumah tu juga?”
“Bonda tahu. Indera
janganlah risau. Jiran-jiran sebelah ni pun selalu tanya khabar bonda, selalu
juga jenguk bonda ni kalau Indera kat arked. Kita tak tahu mungkin ada hikmahnya
di sebalik semua ni. Mana tahu bila Indera dah kembali semula ke rumah tu,
ayahanda benarkana Raudhah, Shaq dengan Que jumpa bonda. Betul tak? Indera
timbang dugalah dengan seelok-eloknya.”
“InsyaAllah bonda.
Indera kena fikir masak-masak. Terima kasih bonda. Indera naik dahulu.”
Inderawan sempat
meghadiahkan kucupan di dahi ibunya.