Assalamualaikum.
Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin ya kawan-kawan.
Lama saya tak berbicara kat blog saya ni.
Selalu saya update novel aje kan?
Hari ni tergerak nak berkongsi sesuatu, di mana ia merupakan pengalaman saya untuk pertama kalinya.
ANUGERAH PENGHARGAAN PFP.
Ha... ini merupakan anugerah yang dianjurkan oleh pihak Penerbitan Fajar Pakeer.
Ni first time penerbit saya buat anugerah macam ni.
Mari...pakat ramai-ramai, klik link kat bawah ni ya untuk membuat undian. Link ni berhubung kait dengan Facebook, jadi... kena log in dulu akaun facebook kawan-kawan, baru boleh buka.
UNDIAN ANUGERAH PENGHARGAAN PFP
Kalau tak boleh, yalah..manalah tahu tetiba internet sabotaj ke.. boleh singgah FB saya https://www.facebook.com/ainSasuke
Kat FB saya tu ada link juga.
Bila klik, akan keluar begini..
Lepas tu, boleh pilih mana-mana yang berkenan di hati.
Saya ni jenis pemalu orangnya. Nak minta orang vote saya pun tersipu-sipu jadinya..
Jadi, awak... awak... awak.. ya.. awak yang comel lagi baik hati, boleh la vote Nia Qurratun'aini untuk ANUGERAH NOVELIS PILIHAN PEMBACA..
Selain tu, novel PERLU KAMU & YOU ARE MY MR.RIGHT terselit juga untuk calon ANUGERAH NOVEL PILIHAN PEMBACA.
Menang kalah tu adat bertanding..(eceh....ayat klise bebeno). Serius, saya tak meletakkan sebarang harapan pun. Giler ke hape, saya ni penulis kecik lagi kemetot aje (memang si penulis kurang ketinggian.) tapi saya ni suka memeriahkan keadaan.
Satu hari boleh undi sekali. Maka, marilah kita undi hari-hari. Hari-hari undi, undi hari-hari ;)
bisik-bisik : feeling macam retis sekejap. Alah... macam Anugerah Bintang Popular tu.. agagagaga.. Kepada yang sudi tekan nama & novel saya, saya dahulukan ucapan terima kasih dari hati yang paling dalam diiringi kasih sayang yang tak terhingga. Saya hargai sangat-sangat. I lap u (menaip entry ni sambil makan kuih raya.. ngap... nom..nom..nom..)
Stylo Clique ^_^
Friday, July 24, 2015
Thursday, July 16, 2015
Blurb Love, Made in Venice
Awak rasa? Saya rasa... Mmm... Saya rasa sayang sayang hei kat awak. |
Skateboard
dan Nadhrah, ibarat lagu dan irama apabila gadis itu mengambil keputusan untuk
hidup di bumi Venice. Dia bekerja di Bistro Karipap La Timah, milik Qash
Alaisyah. Namun, hidup Keris Nadhrah Sari mula menggelabah dan berubah tatkala
adik bosnya, Qadheer Alauddin muncul di kota yang penuh dengan gondola itu.
“Encik, jangan
harap kita ada ilmu tapi mulut masih melopong. Jangan harap nama sahaja Melayu,
tapi kita jadi orang yang sombong. Orang Melayu tak sombong.”
Qadheer Alauddin
bukanlah sombong orangnya tapi dia saja nak tunjuk maco. Tambahan lagi, mereka
berdua ada peristiwa sewaktu pertama kali bertemu. Qadheer Alauddin sebenarnya
punya misi rahsia ke Venice selain melarikan diri daripada calon menantu
neneknya, Fatimah.
Dari hati naik ke
mata ke, dari mata turun ke hati? Haih… Qadheer Alauddin pun tak tahu. Mulanya
hanya mahu menyiasat latar belakang Nadhrah, tidak semena-mena jantung berdegup
kencang bila melihat senyuman gadis itu setelah dua tahun hatinya terkunci
untuk bercinta lagi.
“Bagi awak
mungkin biasa aje. Tapi bagi saya, dapat berjumpa dengan gadis Melayu yang
benar-benar jati dirinya Melayu di celahan kota Venice ni sesuatu yang luar
biasa.”
Isy… takkanlah
aku jatuh cinta? Itu yang Qadheer Alauddin rasa pada awalnya. Bila berjauhan, yang
kat benua Asia tidak menentu, yang kat Eropah sudah pun merindu. Sudahnya,
mereka berdua angguk setuju yang cinta di hati telah bertemu. Namun, Qadheer
Alauddin tersepit di antara dua. Janji atau rasa indah? Rahsia yang cuba
disembunyikan terbentang jua tatkala Nadhrah mengambil keputusan untuk pulang
ke Malaysia. Rasa bahagia sekelip mata berubah kerana Zahid Kenchana.
Siapa Zahid
Kenchana? Apa kaitannya Zahid dengan Qadheer Alauddin dan Nadhrah? Apakah
rahsia di sebalik jejak kaki Qadheer Alauddin di Venice? Lalu, benarkah cinta
Keris Nadhrah Sari dan Qadheer Alauddin, Made in Venice?
Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 15
LENGANG. Itu yang terpampang jelas apabila Qadheer
Alauddin melalui lorong kecil menuju ke Bistro Karipap La Timah. Memasuki
celahan kedai dan deretan rumah pada pagi itu terasa berbeza. Mungkin ketiadaan
Keris Nadhrah Sari di sisi menjadi punca.
Puputan angin pagi menyapa ke wajah Qadheer
Alauddin. Hembusan bayu yang mengena pipi terasa dingin. Lelaki itu memasukkan
kedua-dua tangan ke dalam poket jaket varsity yang tersarung
pada tubuh. Ayunan kaki Qadheer Alauddin diiringi dengan alunan muzik. Dia
melangkah sambil telinga ditekap dengan fon
kepala. Dia sengaja memutarkan lagu rancak. Moodnya
pada pagi itu seakan-akan tidak menentu.
Entah mengapa semuanya seperti ada yang tidak kena.
Mata Qadheer Alauddin meliar sekeliling. Kaki
lelaki tersebut terus menapak. Dia berjalan menghampiri dinding. Matanya
menjamah dan dalam masa yang sama tangan Qadheer Alauddin menyentuh dinding.
Cat yang menutupi dinding kelihatan pudar dan terkopek sana sini. Inilah
kelebihan bangunan di Venice. Tidak memerlukan cat yang mahal-mahal. Apa yang
ada sedia ada hanya perlu dikekalkan.
“Kalau Nadh ada pilihan antara dua, satunya
boleh buat Nadh gembira dan satu lagi pilihan boleh buat hati Nadh terluka,
kenapa Nadh kena pilih yang terluka sedangkan Nadh boleh pilih untuk senyum
bahagia?”
“Bukannya larikan diri daripada kenyataan yang ada?”
Suara Nadhrah dan suara garau Redza muncul,
melenyapkan irama yang sedang didengari. Dialog antara dua insan itu silih
berganti. Qadheer Alauddin mengeluh berat dan panjang. Telefon bimbit yang
memutarkan lagu dikeluarkan dari poket seluar jean. Dia menekan bahagian yang
bertanda seperti sama dengan menegak. Gegendang telinga Qadheer Alauddin tidak
mendengar sebarang bunyi lagi. Kabel yang menghubungkan fon kepala dan gadjet itu dicabut. Kemudian fon kepala
diturunkan ke leher. Perbualan antara Nadhrah dan Redza benar-benar mengganggu
jiwa Qadheer Alauddin.
“Nadh selesa kat Venice ni.”
“Habis tu, kat Malaysia tak selesa? Tak
selesa ke dengan keluarga abang?”
Ada dua perkara
yang berlegar di minda Qadheer Alauddin ketika ini. Pertama, benarkah Nadhrah
benar-benar teguh dengan keputusannya untuk tidak pulang ke Malaysia? Dan yang
kedua, apakah sebenarnya hubungan antara Redza dan Nadhrah?
Otak Qadheer
Alauddin menghentikan gerakan kakinya. Dia harus menyelesaikan satu per satu. Keputusan yang dibuat oleh Nadhrah
kedengaran tegas. Qadheer Alauddin pula sudah berjanji. Kata-kata yang ditabur,
tidak mungkin ditarik balik. Janji yang telah dibuat, harus ditunaikan. Itu
sememangnya prinsip seorang manusia bernama Qadheer Alauddin bin Alam Syah.
Ibu jari kanan
lelaki itu melungsur pada permukaan skrin telefon. Setelah menjumpai nama yang
dicari, Qadheer Alauddin menekan butang hijau sebagai tanda menghubungkan
dirinya dengan orang yang dipanggil.
“Assalamualaikum,”
ucap Qadheer Alauddin sebaik sahaja nada yang sama berpanjangan digantikan
dengan bunyi panggilan disambut.
“Waalaikumussalam.
Siapa ni ya?” soal suara itu.
Qadheer Alauddin
tersenyum.
“Pak cik tak
dapat cam suara saya ke?” Qadheer Alauddin cuba berteka-teki.
“Kalau tak salah
pak cik, ni macam suara Al. Betul ke ni Al?” balas Zahid.
“Betullah tu,
pak cik. Ini saya, Al.”
“Astaghfirullah
al-azim. Kamu ni, buat pak cik gugup aje. Al
kat mana ni?”
“Al tak ada kat
Malaysia sekarang ni.”
“Patutlah. Pak
cik tengok nombor telefonnya pelik sangat. Takut pak cik nak jawab mula-mula
tadi. Tak pernah-pernah orang luar negara telefon. Takkanlah orang putih nak
betulkan kasut jumpa pak cik pula. Ya tak?” seloroh Zahid.
Qadheer Alauddin
tertawa kecil dan dalam masa yang sama langkah diatur longlai. “Pak cik sihat?”
“Alhamdulillah.
Sihat. Ni pun pak cik baru balik dari restoran. Bungkus nasi goreng kampung,
nak makan tengah hari. Al sihat? Bercuti
ke?” Zahid menantikan balasan jawapan.
Qadheer Alauddin
tidak membalas. Dia mendiamkan diri. Pemuda itu jelas sekali tidak menyangka,
bagaimana dua insan yang punya hubungan darah terpisah di antara benua, mampu
mengisi perut dengan selera yang sama?
“Al?”
Dia tersentak.
Lamunannya terhenti. “Ya, pak cik.”
“Kamu tak sihat
ya duduk kat negara orang tu?”
“Eh, tak adalah
pak cik. Alhamdulillah, Al sihat.”
“Kamu ada kat
mana sekarang ni? Bercuti ke ada urusan kerja?”
“Al ada...” Qadheer menggerakkan halkumnya. Dia menelan
air liur, cuba mengumpulkan kekuatan untuk menyatakan hal sebenar.
Dia mematikan
pergerakan kaki lalu menyandarkan anggota belakang pada
dinding. Langit Venice dipandang seketika. “Al ada kat Itali. Venice. Lebih
kurang dua minggu Al kat sini.”
Kali ini,
giliran Zahid pula membisu. Selang waktu
yang ada diisi dengan keheningan. Hati orang tua
itu disuntik rasa pilu tatkala Qadheer Alauddin menyebut Venice. Dia tahu,
orang yang paling dinantikan dalam hidupnya berada di kota air tersebut.
Otak Zahid terus memutarkan ke
masa lalu. Masa di mana dia penuh dengan kekhilafan. Kerana terlalu mengikutkan
kehendak sendiri, Zahid sanggup menggadaikan harta yang tidak ternilai dalam hidupnya.
Perasaan sesal, marah, sayu dan pedih bercampur aduk menjadi satu. Semua rasa
itu ditujukan kepada dirinya sendiri. Bayangan dan dosa silam terus menghantui.
Zahid merasakan dirinya memang
tidak layak untuk bergelar seorang bapa. Sakit yang perit begitu dalam
dirasakan setiap kali dia mengenangkan nama itu. Berlarilah sejauh mana
sekalipun, kesilapan yang pernah dia lakukan sememangnya tidak harus dimaafkan.
Fikiran Zahid terus melayang.
Walaupun dia berusaha melangkah untuk meneruskan hidup, namun jiwanya memutar
kembali ke masa 26 tahun yang lalu. Tangisan anak kecil tatkala berada dalam dakapan bertalu-talu menusuk
ke gegendang telinga.
“Pak cik?”
Suara Qadheer Alauddin menghentikan layar fikiran Zahid.
Zahid sepertinya kembali ke realiti.
“Al pergi Venice
sebab cari dia ke?”
“Pak cik kan
tahu yang Al ada kakak dan abang ipar yang tinggal kat sini. Sebab utama Al
datang Venice nak melawat dia orang.”
Zahid mengelukan
lidah. Hatinya serta-merta diserang perasaan ingin tahu.
“Dan yang kedua,
mungkin sebab Al nak cari dia untuk pak cik.”
“Pak cik tak
pernah minta Al buat semua ni.”
“Al yang nak
buat semua ni untuk pak cik.”
Tanpa sebarang
suara, sekali lagi situasi mereka menjadi sepi. Zahid sedang bergolak dengan
perasaannya manakala Qadheer Alauddin benar-benar mahu hasrat orang tua itu
termakbul. Dia sendiri sudah merasa sakit dan perit kehilangan seseorang dalam
hidup. Dunia yang berputar seolah-olah terasa gelap. Oleh kerana itu Qadheer
Alauddin mengupah penyiasat persendirian untuk menjejaki di mana keberadaan
Keris Nadhrah Sari. Sebab yang lain juga adalah mahu membalas budi Zahid.
Zahid adalah
orang pertama yang menghulurkan bantuan tatkala kemalangan melibatkan Anis
Nadhira terjadi. Zahid Kenchanalah orang yang membantu mengeluarkan Anis Nadhira
daripada tersepit di dalam kereta sebelum kenderaan itu terbakar dengan
sendirinya.
Masih jelas di
ingatan Qadheer Alauddin bagaimana raut wajah Zahid saat meluahkan hasrat
tersebut. Mata yang redup dan sayu itu begitu penuh dengan harapan. Pandangan
seorang ayah yang begitu mengharapkan kemaafan daripada seorang anak
benar-benar terpancar pada anggota itu.
Berbekalkan maklumat begitu terhad yang diberikan oleh Zahid
semasa bercerita kepada dirinya akan kisah silam yang dilalui, Qadheer Alauddin
mengupah penyiasat persendirian. Hasil penyiasatan selama dua minggu, penyiasat
yang diupah berjaya mengesan kedudukan gadis tersebut. Takdir yang berlaku
umpama suratan untuk Qadheer Alauddin. Nadhrah berjaya dikesan di Venice iaitu tempat tinggal Qash Alaisyah bersama
Yusuf Mikhail. Namun, kedudukan terperinci Nadhrah tidak diketahui.
Mulanya
penyiasat itu mahu menyelidik sehingga ke Venice. Akan tetapi, Qadheer Alauddin
mengambil keputusan untuk ke Venice sendiri. Selain tujuan asal, boleh juga dia
melarikan diri seketika daripada calon menantu pilihan neneknya.
“Pak cik takut
yang pak cik akan ada perasaan tamak, Al. Mulanya, Al tahu dia kat mana. Bila
Al beritahu pak cik macam tu, perasaan untuk jumpa dengan dia semakin
bertambah-tambah. Tapi, pak cik sedar yang dia tak akan mahu jumpa dengan pak
cik kalau dia tahu siapa sebenarnya ayah kandung dia. Lebih baik kalau pak cik
tak payah ambil tahu pasal dia sampai bila-bila.”
“Pak cik yakin
ke itu yang pak cik nak?
Zahid tidak
membalas. Jika dia tidak
melakukan kesilapan tersebut, pasti dia dapat memerhatikan anak tunggalnya
membesar dan mampu menatap mata Keris Nadhrah Sari dengan rasa bahagia tanpa
penyesalan. Malangnya, tatapan kali terakhir itu tidak diiringi dengan kasih
sayang seorang bapa tetapi dilimpahi perasaan mahu memenuhi keinginan hati yang
akhirnya memakan diri Zahid sendiri. Jika dia mampu mengundurkan putaran dunia,
pastinya dia tidak akan melakukan perkara itu. Sudah tentu perasaan menyesal
yang tiada penghujung tidak akan menyelubungi hatinya.
“Pak cik pasti
tak nak jumpa dengan anak pak cik lagi?”
“Tipu kalau pak
cik tidakkan apa yang Al cakapkan tu.”
“Sebab utama Al
tolong pak cik bukan sebab arwah Anis Nadhira tapi sebab Al dah anggap pak cik
macam ayah Al. Jadi, Al harap sangat pak cik dapat jumpa dengan anak tunggal
pak cik tu.”
“Al ada cari
dia? Al dah jumpa dia ke?”
“Hari pertama Al
jejakkan kaki kat Venice, Al dah jumpa dia. Nak cari orang yang namanya Keris
Nadhrah Sari binti Zahid Kenchana dah macam jalan takdir hidup saya. Belum sempat
nak cari, dia dah muncul kat depan mata Al.”
“Maksud kamu?”
“Keris kerja
dengan kakak Al. Al tak pasti semua ni kebetulan atau suratan. Tapi semuanya
memang dah terbentang kat depan mata. Al ambil keputusan untuk memastikan
sesuatu dulu sebelum Al beritahu semuanya pada pak cik. Dan Al memang yakin,
orang yang Al jumpa tu adalah anak perempuan pak cik.”
“Ya Allah...” Hanya itu sahaja yang mampu Zahid tuturkan.
Sebak suara
Zahid di hujung talian mampu ditangkap melalui gegendang telinga Qadheer
Alauddin.
“Andai kata... kalau Al tak dapat bawa Keris balik Malaysia,
pak cik nak tak datang Venice?”
“Apa maksud Al?
Keris tak akan balik Malaysia ke?”
Naluri Qadheer
Alauddin tergerak untuk menoleh ke kanan. Susuk tubuh yang tidak asing semakin
menghampiri. Gadis itu melambaikan tangan tatkala kedua-dua kakinya menekap ke
permukaan bumi. Papan luncur dibimbit ke sisi kanan.
“Pak cik, Al
kena letak telefon dulu. Al tak pasti lagi apa perancangan Keris. Tapi Al janji
dengan pak cik yang pak cik akan jumpa dengan Keris Nadhrah Sari semula.”
“Al...”
“Ini aje yang Al
mampu buat untuk pak cik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Qadheer Alauddin
pantas menjarakkan telefon dari telinga. Dia
memutuskan panggilan. Lelaki itu cuba mempamerkan wajah tenang, seperti dia tidak
mengetahui rahsia di sebalik lipatan sejarah kehidupan gadis tersebut.
GERAKAN papan lncur berwarna biru gelap
itu semakin berkurangan. Sengaja Nadhrah membiarkan papan beroda yang
dinaikinya begitu. Roda yang berpusing menjadi semakin perlahan dan lama-kelamaan
objek tersebut terhenti.
Kaki kanan
Nadhrah menekap kemas ke permukaan bumi, manakala yang belah kiri menahan
kepingan itu daripada beralih tempat. Bahagian sisi susuk tubuh tegap Qadheer
Alauddin dipandang jauh. Nadhrah mahu jaraknya dengan pemuda itu begitu. Tidak
menyangka yang dia akan bertemu Qadheer Alauddin di situ.
“Kenapa
tiba-tiba aje aku kisah dengan apa yang dia rasa?”
Sikap dingin
Qadheer Alauddin pagi tadi tatkala dia bersama Redza bermain di minda. Bukannya
dia tidak biasa menerima layanan sebegitu. Namun, tindakan lelaki itu mahu ke
bistro secara berseorangan menyebabkan hati Nadhrah diserang perasaan aneh.
Hatinya meronta mahu sentiasa di sisi Qadheer Alauddin.
“Encik Al dengan Nadh ni macam bercinta tanpa
mengungkapkan kata cinta. Hari pertama lagi Encik Al dah minta nombor telefon
Nadh. Katanya nak suruh kejut pagi-pagi.”
Tidak pasal-pasal, suara Nazri bergema di kotak fikiran.
“Bercinta tanpa mengungkapkan kata cinta?” Nadhrah
menampakkan baris giginya. Tidak tahu senyuman itu dilemparkan kepada siapa. Terasa bahagia mendengar ungkapan
sedemikian rupa.
“Kau sendiri cakap tak nak fikir pasal cinta.
Tapi, kenapa kau rasa macam ni, Nadh? Kau dah bersedia ke nak berdepan dengan
kenyataan?”
Soalan yang diajukan kepada
diri sendiri masih tiada jawapan.
Sebaliknya, jantung Nadhrah pula diserang dengan debaran. Detik itu, Qadheer
Alauddin berpaling. Pandangan mereka bertaut. Kehendak hati terlebih dahulu
setapak ke hadapan mengatasi arahan fikiran. Di luar kawalan Nadhrah, tangannya
spontan melambai ke arah lelaki tersebut. Nadhrah mula mengatur langkah.
“Cepatnya awak makan nasi goreng?” kata
Qadheer Alauddin apabila Nadhrah berdiri bersebelahan dengannya.
“Saya dah kenyang.”
“Kenyang sebab Redza busuk ada kat depan mata
ke?”
Nadhrah ketawa. “Kenapa Encik Al panggil
Abang Redza macam tu?”
“Bukan
awak panggil dia macam tu ke?”
“Bukan busuk, bucuk.”
“Lidah saya tak pelat.”
“Dari kecil, saya panggil Abang Redza macam
tu sebab dia panggil saya budak comot. Masa kecil-kecil saya tak pandai makan
dengan tangan. Saya suap nasi tu dalam mulut tapi dengan pipi saya sekali
terkena,” ujar Nadhrah, memberi penjelasan.
Ekspresi Qadheer Alauddin kosong. Rasa tidak
senang dengan keterangan yang diberikan oleh Nadhrah. Memang ketara Redza dan
Nadhrah punya hubungan yang istimewa.
“Yang awak ni, kenapa nak berdiri sebelah
saya? Kenapa tak nak jalan aje terus? Awak ni nak ikut saya ke?”
“Encik Al rasa?”
Jelingan sekejap diberikan sebagai balasan. “Jangan
tiru ayat saya.”
Bibir perempuan itu mencebir dua saat.
“Mana ada saya ikut Encik Al. Kan memang ni
jalan yang kita lalu hari-hari nak pergi bistro. Mana ada istilah ikut
siapa-siapa. Ke... sebenarnya, Encik Al yang
memang nak tunggu saya kat sini?” gurau Nadhrah.
Qadheer Alauddin tidak memberikan sebarang reaksi.
Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Tanpa sebarang bicara, dia beredar.
Nadhrah termangu. Namun, dituruti juga jejak
lelaki tersebut. “Encik Al tak sihat ke?”
“Saya tak ada apa-apa.” Rentak suara yang
dilontarkan mendatar.
Jiwa Qadheer Alauddin ketika ini seperti
terpisah dua. Bagaimana dia mahu mengawal raut wajahnya supaya kembali biasa?
Perbualan dengan ayah gadis yang berada di sebelahnya umpama pita rakaman. Qadheer
Alauddin memandang sekilas skrin telefon yang gelap. Dia memasukkan alat
komunikasi tersebut ke dalam poket kiri seluarnya.
“Ada yang tak kena ke bila dapat call tadi? Encik Al telefon siapa?”
“Seseorang menantikan seseorang tapi saya tak
dapat nak tunaikan.”
“Ha? Seseorang? Tak dapat tunaikan?”
Terpinga-pinga dibuatnya. Nadhrah cuba mencernakan maksud susunan kata yang
diluahkan.
“Tak ada apa-apalah. Saya telefon sedara saya
kat Malaysia.”
“Oh...
Malaysia?”
“Ya, Malaysia.”
Keluhan Nahrah kedengaran. Mengapa hari ini, tidak sampai setengah hari, dia mendengar
lagi nama negara itu?
“Kenapa diam? Macam berat aje bunyi awak
mengeluh tu.”
Kedua-dua belah bahu dijongketkan. Nadhrah
mengukir senyuman kelat.
“Ke awak memang alergi dengan Malaysia?” Qadheer
Alauddin memancing Nadhrah ke topik itu. Dia mahu memastikan seberapa bulatnya
hati perempuan itu.
“Saya orang Malaysia, kenapa pula saya nak
ada alahan bila dengar nama negara saya sendiri?”
“Awak tahu apa maksud saya. Awak memang dah
ambil keputusan nak menetap kat sini sampai bila-bila ke?” Adik Qash Alaisyah
terus sahaja dengan niatnya. Dia tidak berdolak-dalih.
“Encik Al dengar ke apa yang saya cakap
dengan Abang Redza tadi?”
“Bukan setakat dengar, tapi saya nampak
juga.” Jelas di layar fikiran Qadheer Alauddin akan kemesraan mereka berdua.
“Saya rasa memang tak ada salah dan saya tak
nampak apa silapnya kalau saya menetap kat sini.”
“Macam mana dengan orang yang sayangkan awak?
Umi, baba dengan Redza? Kalau Nazri habis belajar nanti, awak pasti tak nak
ikut dia balik Malaysia?”
“Saya dah pernah
dengar soalan ni daripada Encik Al dan jawapan saya tetap sama. Bukan saya tak
nak jejak langsung atau saya nak jadi Melayu yang mudah lupa. Saya tahu kat
mana tumpahnya darah saya. Tapi, inilah kehidupan yang saya pilih. Mungkin,
satu hari nanti saya akan datang semula ke sana dan saya pulang ke sini semula.
Saya akan anggap Malaysia cuma satu persinggahan untuk saya. Bukan tempat untuk
saya tinggal dan berteduh. Saya pernah cakap dengan Encik Al, pergerakan arus
terusan Grand Canal ni saya anggap sama dengan aliran sungai di Melaka.”
“Atau mungkin
orang yang sayangkan awak selain keluarga Redza ialah ayah kandung awak. Awak
tak rasa ke ada kemungkinan yang dia tengah cari awak? Mungkin dia teringin nak
jumpa awak ke? Awak pernah terfikir semua tu?”
“Saya rasa Encik
Al tak lupa apa yang saya cakap dulu. Keluarga yang saya ada sekarang ni ialah
umi, baba, Abang Redza dan Nazri. Saya tak ada ayah yang lain. Zahid Kenchana,
sekadar nama pada kad pengenalan saya. Saya ada abah dengan baba aje. Abah saya
Samsuddin dan baba saya Muhammad Ruslan,” tekan Nadhrah.
Nadhrah yang
tadi mempamerkan rasa ceria langsung menjadi serius. Anak matanya memanah tepat
ke mata Qadheer Alauddin. Jitu pandangan gadis itu, sama seperti kerasnya hati
Nadhrah terhadap lelaki bernama Zahid Kenchana.
Suasana sepi
menerpa. Nadhrah luaran kelihatan mudah mengukir senyuman dan bergurau-senda.
Akan tetapi, dalaman Keris Nadhrah Sari berbeza. Pendiriannya teguh dan sama
sekali tidak berbelah bagi.
Qadheer Alauddin
berkalih pandangan. Tidak sanggup pula rasanya untuk terus ditatap rupa sebegitu memandangkan dia tahu
segala-galanya.
“Kenapa semua
orang yang ada kat sekeliling saya beria sangat nak saya balik Malaysia? Salah
ke keputusan saya ni?” luah Nadhrah dengan tegas.
Insan itu
mengelukan lidah. Namun, hati Qadheer Alauddin punya jawapannya. Dia tahu
mengapa Nadhrah bertindak sedemikian. Nadhrah memilih untuk berlari, bukan menghadapi. Sama seperti dirinya.
Sepanjang dua
tahun ini, Qadheer Alauddin cuba mengelak kenyataan. Bukan dia tidak menerima
ketentuan Maha Pencipta, tetapi dia memilih untuk tidak berganjak. Qadheer
Alauddin tidak pernah membenarkan hatinya untuk terbuka lagi. Apa yang dia
miliki bersama Anis Nadira terlalu indah. Walau bagaimanapun, kerana bumi
Venice, nalurinya mula tercuit.
“Orang
sekeliling awak, sayangkan awak, Keris Nadhrah Sari. Mungkin awak patut cuba
beri peluang kedua...”
“Encik Al tak
kenal siapa Zahid Kenchana. Jawapan yang saya cari selama ni, rupanya pahit
untuk ditelan sepanjang hidup saya. Sebab tu lebih baik saya tak pernah tahu
daripada saya tahu. Saya rasa selesa macam ni. Saya tak tahu, tak akan ambil
tahu dan tak nak ambil tahu. Kenapa
saya perlu menangis? Sedangkan saya boleh pilih untuk hidup bahagia kat sini,”
pintas Nadhrah, menggantungkan kata-kata Qadheer Alauddin.
Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 14
“ENCIK AL?”
Sayup-sayup
kedengaran nama panggilan itu menyentuh derianya. Perlahan-lahan ia memasuki
lohong telinga lalu menyentuh hujung gegendang anggota tersebut. Semakin
dibiarkan, suara itu semakin mengganggu.
Qadheer Alauddin yang tidurnya lena meniarap,
mula menggerakkan tangan. Dia meraba-raba dalam keadaan mata yang terpejam.
Selimut ditarik ke paras yang lebih tinggi. Dia menggapai bantal lalu
meletakkan objek empuk tersebut ke bahagian kepala. Qadheer Alauddin
mengharapkan bunyi tersebut beransur pergi.
Tidak sampai setengah minit, jangkaan lelaki
itu meleset sama sekali. Ketukan di bahagian pintu sekali lagi menerpa. Otak
Qadheer Alauddin segera memproses tentang apa yang berlaku.
“Encik Al...”
Lelaki itu berada dalam keadaan separuh
sedar. Bantal yang menutupi muka mula dialihkan. Qadheer Alauddin baring
terlentang. Usai menunaikan solat subuh seawal 4.00 pagi tadi, dia kembali semula ke permukaan tilam. Ketika ini,
perasaan mahu meneruskan tidur lebih kuat terasa berbanding mahu bangkit daripada lenanya.
“Encik Al dah bangun ke belum?”
Kelopak mata dibuka separuh. Terpisat-pisat
Qadheer Alauddin dibuatnya mendengar soalan tersebut. Dia bangun lalu menuruni
katil. Dia melangkah berat menuju ke arah itu. Tombol pintu berbentuk bulat
dipulas pada lawan jam.
“Hmm...
Kau nak apa, Naz?” tanya Qadheer Alauddin sebaik sahaja menguap. Dia bersandar
pada bingkai pintu. Jiwanya masih tersepit antara alam mimpi dan realiti.
Nadhrah membeliakkan mata. Terkesima dengan
penampilan lelaki itu. Nadhrah pantas memalingkan tubuh. “Selamat pagi, Encik
Al.”
Alunan suara si pelontar bicara kedengaran
berbeza. Qadheer Alauddin menonyoh mata
kanannya. Kenapa suara Naz ni lain sangat? Macam suara Keris. Kalau ya pun kau
nak mimpi, takkanlah si Naz ni dah jadi Keris pula? desis hati kecilnya.
“Encik Al tidur ke dah bangun ni?” tanya
Nadhrah tanpa bertaut pandangan dengan pemuda tersebut.
Kali ini Qadheer Alauddin benar-benar yakin
telinganya mendengar suara Nadhrah. Mata yang terpejam separuh dipaksa buka
sepenuhnya. Pandangan Qadheer Alauddin berpinar-pinar kerana menerima cahaya
lampu secara mendadak. Penglihatan yang kabur beransur jelas tiga saat
kemudian.
“Keris!” Hanya itu yang mampu dituturkan
secara spontan tatkala melihat Nadhrah.
Ini bukan mimpi. Nadhrah sudah lengkap
berpakaian uniform Bistro Karipap La Timah.
“Ya, Encik Al. Saya minta maaf. Baju Encik Al...”
Qadheer Alauddin laju memandang diri sendiri.
Memang pakaiannya semasa tidur adalah singlet dan seluar
pendek paras lutut. Rasa mengantuk terus lenyap. Tangan lelaki itu menutupi
bahagian dada dan lengan yang terdedah. Qadheer Alauddin bergegas mendapatkan
selimut dan meliputi tubuhnya.
“Awak buat apa kat sini?” aju Qadheer
Alauddin sebaik sahaja kembali ke pintu kamarnya.
Nadhrah tidak membalas pertanyaan itu
terlebih dahulu. Inilah kali pertama dia dapat melihat wajah lelaki tersebut
sebaik sahaja bangkit daripada tidur.
“Awak tengok apa?”
“Tengok muka Encik Al.”
Qadheer Alauddin menemukan tapak tangannya ke
wajah. Dia mengusap-usap kasar mukanya.
“Kenapa? Tak pernah nampak orang bangun tidur
ke? Semua orang lelaki dalam dunia bangun tidur dengan muka macam ni. Tak kisahlah
orang lelaki tu maco ke tak. Jadi, jangan pandang saya lama-lama macam tu.”
“Ke Encik Al takut saya nampak tahi mata
dengan air liur basi Encik Al kat pipi tu?” usik Nadhrah.
Sekali lagi tangan Qadheer Alauddin berlabuh
di muka. Dia mengesat tepi bibirnya dan jari telunjuk mengesat bahagian hujung
mata yang menghampiri batang hidung.
Nadhrah tersengih menahan ketawa.
“Ni...
Kenapa pagi-pagi dah muncul kat sini?” bangkang Qadheer Alauddin, mengubah
topik.
“Macam biasa, saya nak kejut Encik Al tidur.”
“Saya suruh kejut pakai telefon. Bukan datang
rumah.”
“Tapi, dah alang-alang saya kat sini, saya
kejut ajelah Encik Al terus.”
“Alang-alang kat sini? Siapa bagi awak masuk?
Ini rumah orang lelaki.”
“Abang Redza yang minta saya datang sini.
Lagipun, bukan kita berdua aje.”
“Redza bagi awak masuk?”
Nadhrah mengangguk.
“Saya dah janji dengan Abang Redza semalam
nak tolong dia buat sarapan. Encik Al pergi mandi. Lepas tu kita boleh sarapan
sama-sama.”
“Lantaklah awak dah janji dengan dia ke apa,
tapi awak tak sepatutnya ada kat rumah ni. Kalau ada janji nak masak sama-sama
pun, buat unggun api kat luar rumah sana, masak tepi terusan air yang mengalir
tu. Macam barbeku tepi kolam renang,” tegas Qadheer Alauddin dengan wajah yang
serius.
Ni marah ke nak buat lawak pagi? Gila ke nak
buat unggun api bagai macam tu?
“Encik Al, saya dengan Abang Redza tu
bukannya orang lain. Kita orang....”
“Nadh!” panggil Redza dari arah dapur.
Nadhrah tidak sempat menghabiskan katanya. “Ya
abang!”
“Dah kejut Al ke belum? Kalau dah, sini
tolong abang.”
“Okey. Nadh datang kejap lagi.”
Tak
cukup berbual semalam sampai nak buat sarapan sama-sama hari ni? bentak hati
Qadheer Alauddin.
“Encik Al pergi mandi ya? Kita sarapan lepas
tu pergi kerja sama-sama,” kata Nadhrah dengan senyuman. Dia kemudiannya
mengatur langkah mahu ke dapur.
Qadheer Alauddin tidak membalas. Dia beralih
pandangan. Dia mengundur setapak mahu menutup pintu bilik dan dalam masa yang
sama memicit tepi dahi kirinya. Terasa pening pula kepala kerana terkejut tadi.
“Oh ya, Encik Al.”
Daya yang dikenakan pada pintu ditahan. Gadis
itu berpatah balik.
“Saya nampak tahi mata besar gila kat mata
kiri tu. Air liur basi kat pipi tu dah nampak macam peta dunia. Encik Al jangan
lupa basuh muka tu,” pesan Nadhrah. Selamba
sahaja dia meninggalkan Qadheer Alauddin.
Qadheer Alauddin terpempan. Terjejas imej
maco dan maskulinnya selama ini. Cepat-cepat dia menyentuh mata kirinya. Namun,
apa yang dicari tiada. Dia menapak ke cermin. Pantulan imej yang terhasil
dipandang teliti. Kedua-dua tapak tangan Qadheer Alauddin menggosok kasar pipi.
Ternyata, tiada apa-apa pada anggota tersebut.
Qadheer Alauddin mempamerkan wajah tidak puas
hati. Akan tetapi lama-kelamaan dia juga tersenyum. Nampaknya Nadhrah berjaya
mengenakan lelaki itu.
PANCURAN air paip yang laju mengalir terhenti apabila
kepala pili dipusing sehingga habis pada arah jam. Beberapa batang kacang
panjang baru sahaja siap dicuci. Tangan Redza menggoncang perlahan sayur
tersebut agar air yang masih ada pada kacang panjang itu berkurangan supaya
permukaan papan pemotong tidak terlalu basah. Jikalau ada kangkung, pasti nasi
goreng kampung yang bakal dihidang nanti bertambah enak.
Sebagai alternatif, Redza menggantikan sayur
tersebut dengan kacang panjang sebagai penambah rencah memandangkan hanya itu
sahaja sayur yang berada di dalam peti sejuk rumah tersebut. Redza memandang
sisi kanannya.
“Kat kuali tu hangus ke tak?” soal Redza
dalam nada bergurau.
Berlaku percikan kecil antara minyak dan bahan tumisan yang sedang dimasak di dalam kuali. Campuran bawang besar,
bawang putih, cili padi, ikan bilis dan belacan yang ditumbuk lumat
menghasilkan satu aroma ke serata dapur.
“Mestilah tak hangus. Nadh yang tukang
kacau.”
Redza tersenyum mendengar balasan kata
daripada Nadhrah.
Bunyi mata pisau bertemu dengan permukaan
papan pemotong yang diperbuat daripada kayu itu menarik perhatian Nadhrah.
Bertalu-talu ia kedengaran. Gadis itu memandang sekilas. Tangan kanan dan kiri
Redza bergerak seiring. Pantas sahaja sayur yang panjang tadi bertukar menjadi
potongan kecil. Skil dan kebolehan Redza di dapur selalu sahaja membuatkan
Nadhrah kagum terhadap anak sulung keluarga Ruslan dan Fazilah itu.
“Abang, rasanya dah boleh letak ayam, kan?”
tanya Nadhrah apabila melihata bahan tumisan kelihatan garing.
Redza menjengahkan kepala, menjenguk keadaan
di dalam kuali.
“Ha, dah
boleh tu. Dah boleh masuk ayam,” arah Redza. Dia memerhati
sahaja tingkah Nadhrah memasukkan ketulan nipis dada ayam itu.
“Lagi nak tanya boleh masuk ayam ke tak.
Macam tak biasa aje masak nasi goreng,” sambung Redza lagi.
“Memanglah Nadh tahu masak nasi goreng
kampung ni. Tapi, bila Chef Imran Redza ada kat Venice, haruslah tanya.
Lagipun, air tangan abang tak sama dengan tangan Nadh yang buat sendiri. Nah,
ambil sudip ni. Kan semalam Nadh cakap nak makan nasi goreng kampung yang Abang
Redza masak.”
Redza melebarkan lengkungan bibirnya. Sudip
bertukar tangan. Pergerakan Redza lincah. Sekali-sekala tangan kiri Redza
mengangkat lalu menggoncang kuali. Tumisan dan ayam tersebut melambung sedikit
ke udara. Kepulan asap nipis terus terhasil. Aroma itu menghinggapi hidung.
“Ya Allah...
Sedapnya bau ni. Nadh memang dah lama tak
makan nasi goreng kampung ada belacan. Rindu gila kut
bau menyengat belacan ni. Kat sini mana ada belacan.”
Nadhrah menggapai bungkusan plastik yang
berada di atas meja. Dipandang lama bahan masakan berbentuk bulat yang sudah
terluak sedikit itu. Tertera jelas tulisan
Belacan Asli Melaka pada label plastik.
“Itulah, suruh balik Malaysia tak nak. Kan
lidah awak tu dah kempunan nak rasa belacan. Nasib baik umi yang ingatkan
abang. Umi yang bungkuskan belacan tu. Ada tiga bungkus lagi kat dalam peti
sejuk. Bukan setakat belacan, umi tu kalau boleh apa yang ada kat Malaysia tu
nak disuruhnya masuk dalam beg,” ujar Redza.
Dia memasukkan semangkuk besar nasi dimasak
malam tadi yang baru sahaja dikeluarkan dari
peti sejuk dan potongan kecil kacang panjang
tadi ke dalam kuali.
“Nadh kan kerja, bang. Lagipun Nadh temankan
adik kesayangan abang tu kat sini. Kadang-kadang Naz tu pun bukan tahu uruskan
diri dia.”
“Abang tahu, tu cuma alasan aje, kan? Nadh
memang nak elak balik Malaysia, betul tak?”
Hembusan nafas Nadhrah tidak semena-mena
kedengaran berat. Bungkusan belacan diletakkan kembali ke tempat asal. Nadhrah
menghampiri kabinet dapur, mengambil teko. Otaknya ligat memikirkan jalan untuk
menghindari situasi tersebut.
“Dua hari sebelum abang datang sini, Nadh ada
telefon umi. Siap berbual lagi dengan baba. Tapi, dia orang tak cakap langsung
abang nak datang sini. Pandai betul umi dengan baba rahsia,” kata gadis
berambut panjang itu, memecah sunyi dan dalam masa yang sama mengubah arah
perbualan.
“Dah namanya abang nak buat kejutan, mestilah
kena rahsia. Umi pun ada pesan dengan abang. Suruh tanya dengan Nadh, bila nak
balik Malaysia.” Pusing sana, pusing sini, Redza tetap mengembalikan semula
tajuk perbualan mereka.
“Abang...
dah banyak kali Nadh beritahu, kan? Abang pun tahu apa sebabnya.”
“Tapi sampai bila? Orang kat perantauan,
rindu nak balik tempat sendiri. Nadh ni dah terbalik pula.”
“Kalau Nadh ada pilihan antara dua, satunya
boleh buat Nadh gembira dan satu lagi pilihan boleh buat hati Nadh terluka,
kenapa Nadh kena pilih yang terluka sedangkan Nadh boleh pilih untuk senyum
bahagia?” jawab Nadhrah sambil tangannya
mengacau tiga sudu gula ke dalam larutan teh di dalam teko kaca jernih itu.
“Bukannya larikan diri daripada kenyataan yang ada?”
Nadhrah tidak memandang Redza. Bekas gula
disimpan semula. “Nadh selesa kat Venice ni.”
“Habis tu, kat Malaysia tak selesa? Tak selesa
ke dengan keluarga abang?”
“Bukan macam tu. Abang tak faham perasaan
Nadh. Soalan yang bersarang kat kepala untuk sekian lama, tiba-tiba jawapan
yang Nadh dapat rupanya begitu sakit untuk didengar. Kenyataan yang Nadh cari
selama ni sebenarnya pedih untuk diterima. Nadh kena keluar daripada situasi
tu. Nadh tak nak ingat apa yang Nadh tahu.”
“Abang, umi dengan baba macam mana? Umi
dengan baba abang, adalah umi dan baba untuk Nadh juga. Bila Naz habis studi nanti, Naz mesti balik Malaysia. Takkan Nadh
nak duduk sini sorang-sorang? Abang risaukan Nadh sebab abang sayangkan Nadh.” Jitu
pandangan Redza terhadap Nadhrah, walaupun perempuan itu tidak membalas
renungan tersebut.
Nadh hanya tunduk memandang sesuatu.
Pandangannya diiringi dengan fikiran yang kosong. Nadhrah menarik lalu
menghembuskan nafas perlahan-lahan. Dadanya berombak menahan sebak yang sedikit
demi sedikit mula menjalar ke dalam sanubari.
“Rasanya...
elok juga kalau Nadh duduk sini. Kalau tak, Abang Redza asyik buli Nadh aje.
Kalau Nadh duduk jauh, abang mesti rindu Nadh. Betul tak?” ucap Nadhrah dengan
bibir yang tersenyum.
Seboleh mungkin dia memaniskan wajah. Dia
tidak mahu suasana yang ada diselubungi dengan perasaan sayu dan sedih.
Anak mata Redza memerhatikan raut itu. Memang
jelas Nadhrah tidak mahu membincang isu tersebut. Dia mengerti. Pandangan
lelaki itu berlabuh pada makanan yang berada di dalam kuali. Nasi yang tadinya
berwarna putih kini bertukar sedikit hijau
kekuningan. Redza menggaul rata agar garam yang baru sahaja dibubuh menjadi
larut dan seimbang meresap masuk ke dalam butiran nasi.
“Nadh seronok duduk sini?”
“Seronok. Seronok sangat.”
Redza tersenyum. Dia mematikan api lalu
menghampiri Nadhrah. Tangan kirinya menghampiri pipi gadis itu lalu mencubit
anggota tersebut.
“Sebab tulah comot abang yang sorang ni makin
tembam ya? Tengok pipi Nadh ni, makin kembang. Senang hati sangatlah tu.”
Nadhrah mengembungkan pipi. Dia menggosok
perlahan kawasan yang baru sahaja menerima cubitan.
“Mana ada tembam. Berat tak naik pun tau,”
nafi Nadhrah. Dia mencebikkan bibir.
“Ooo... |Berat tak naik? Okey, sepanjang abang kat sini
abang nak tengok makin tembam ke tak pipi tu.” Redza menghampiri rak pinggan.
Dia mengambil sudu.
“Mana aci cakap macam tu. Kalau abang kat
sini, mestilah abang masak sedap-sedap. Kalau tak makan, rugilah.”
Lelaki itu mencedok sedikit nasi yang telah
digoreng dengan menggunakan sudu. Dia meniup perlahan. Asap yang berkepul
keluar berkurangan. Redza kemudiannya menghalakan sudu tersebut ke bibir
Nadhrah. “Cuba rasa, kurang apa.”
Tanpa ada rasa segan dan silu, Nadhrah
mengangakan mulut. Redza menyuap makanan tersebut ke dalam mulut Nadhrah. Tidak
sampai tiga saat, anak mata Nadhrah terbeliak.
“Sedapnya!”
“Sedap?”
Nadhrah mengangguk. Ketara wajah Nadhrah
kegirangan. “Rindunya nak makan nasi goreng kampung macam ni. Lebih-lebih lagi
Chef Imran Redza yang buat.”
“Sarapan ni, makan banyak-banyak tau. Biar
hilang mengidam awak tu.” Sekali lagi Redza mencubit lembut pipi Nadhrah.
Belum sempat Nadhrah membalas kata-kata
Redza, bunyi seseorang berdeham kedengaran. Mereka berdua menoleh ke arah yang sama. Qadheer Alauddin sedang
berdiri, berhampiran dengan peti sejuk.
“Eh, Encik Al dah siap?” soal Nadhrah.
“Hmm...”
balas Qadheer Alauddin. Pemuda itu membuka pintu peti sejuk, mencari sesuatu di
salah satu rak yang ada.
“Kebetulan saya pun dah siap masak nasi
goreng ni. Kita boleh makan sama-sama,” ajak Redza.
Tangan Qadheer Alauddin mencapai sebiji epal
yang berada di dalam bekas. Setelah itu, dia menutup kembali pintu tersebut.
Qadheer Alauddin bertaut pandangan dengan Redza.
“Tak apalah. Tak beberapa selera nak makan
pagi ni. Saya makan buah ni aje. Saya minta diri dulu. Saya nak pergi bistro.”
Terkebil-kebil Nadhrah dibuatnya mendengar
susunan kata Qadheer Alauddin. Terkejut pun ada juga. “Tapi Encik Al, kita
sempat lagi nak sarapan ni. Saya pun belum makan lagi.”
“Saya tak cakap yang awak kena ikut saya
sekali. Awak nak makan nasi goreng tu, awak makan ajelah. Saya boleh pergi
sendiri,” ucap Qadheer Alauddin dengan nada yang dingin.
Lelaki itu mengatur langkah ke pintu dan
terus lenyap daripada pandangan mereka
berdua.
“Al tu memang macam tu ke?” aju Redza.
“Maksud abang?”
“Yalah, macam tak banyak sangat cakap.”
Nadhrah memandang sahaja pintu masuk rumah
itu. Dia dapat merasakan seperti ada yang tidak kena.
“Bertuahnya badan hari ni. Bangun-bangun,
gosok gigi lepas tu cuci muka, tup-tup... Siap dah
sarapan.”
Redza memandang ke arah pemilik suara
tersebut. Nazri baru sahaja keluar dari kamarnya. Dia menghampiri kuali sambil
hidungnya kembang kuncup, menyedut asap yang
menghasil aroma yang mampu membuka seleranya.
“Dah bangun pun putera beradu ni. Jom, kita
sarapan,” ucap Redza.
“Kalaulah hari-hari macam ni, bahagianya.
Abang Redza duduk sini ajelah. Masak sedap-sedap untuk Naz. Nadh masak tak
sedap sangat. Kadang-kadang tertumpah lori garam. Kadang-kadang masak nasi
macam air kena catu. Tak sama macam umi dengan abang,” sakat Nazri. Dia sudah
mengambil pinggan.
Lelaki berusia 30 tahun itu menggelengkan
kepala. Tahu benar dia dengan perangai adiknya itu. Nazri dan Nadhrah umpama
kembar, suka menyakat antara satu sama lain. Redza memerhatikan Nadhrah.
Nadhrah sepertinya tidak mendengar bicara Nazri.
“Nadh?” panggil Redza.
“Ya.” Lamunan
Nadhrah terhenti.
TEKSTUR ikan bilis yang digoreng garing menjadi
hancur sedikit demi sedikit. Nadhrah mengunyah ikan bilis itu bersama nasi
goreng yang dimasak oleh Redza tadi. Memang terasa enak makanan tersebut
menuruni tekaknya. Rahang bawah Nadhrah terus bergerak, mengunyah hidangan
sarapannya. Namun, ekspresi gadis itu jelas memikirkan sesuatu.
“Semalam beria sangat nak makan, pagi ni
macam orang tak ada selera aje?” ucap Redza.
Nadhrah seperti berada dalam dunianya sendiri. Suara Redza memecah hening
langsung tidak dihiraukan.
“Jiwa dengan badan Nadh dah terpisah ke?”
tegur Redza lagi yang baru sahaja melabuhkan punggung di atas salah satu kerusi
meja makan. Pinggan plastik berwarna putih yang diisi dengan nasi berserta sudu diletakkan di hadapan mata.
Nazri yang sedang enak menjamu makanan yang dimasak oleh
abangnya terus memandang Nadhrah.
“Nadh?!” panggil dengan Nazri dengan nada
yang lebih tinggi.
Jiwa yang seolah-olah melayang entah ke mana
kembali semula ke dalam tubuh Nadhrah. Bahu perempuan tersebut sedikit
terangkat.
“Kenapa Naz?” balas Nadhrah dengan raut
terpinga-pinga.
“Abang Redza tanya, jiwa dengan badan kau dah
terpisah ke? Kau kenapa Cik Mah? Pagi-pagi dah buat drama Melayu.”
“Tak ada apa-apalah, bang. Merepek aje jiwa
dengan badan terpisah. Macam berangan pula. Nadh tengah menikmati hasil air
tangan abang ni.”
Jari telunjuk dan tengah Nazri memasuki
gelungan tangkai cawan yang berada berhampiran dengan kanannya. Dia menggenggam
tangkai itu lalu menghalakan tepi cawan ke bibir. Air teh O suam dihirup dua
teguk, menyebabkan beberapa butiran nasi yang tertinggal di kawasan dalam mulut
turut ditelan sama.
“Apa yang merepeknya, nyah? Aku rasa betul
cakap abang aku tu. Muka kau lain macam benar. Fikir masalah negara Itali ni
ke?”
Nasi yang berada di
pinggan telah luak separuh. Kuisan sudu bertemu dengan nasi terhenti
tatkala telinga Nadhrah mendengar usikan rakan baiknya itu. Dia mencebikkan
bibir.
“Ke Nadh fikir pasal Al?” duga Redza.
Terjegil mata perempuan tersebut secara
langsung dibuatnya. Umpama ada satu batu yang memantul pada dahinya. Seboleh
mungkin dia berlagak tenang.
“Betul. Itulah jawapan yang sebenar-benarnya.
Tiada lain yang benar melainkan yang benar-benar belaka. Kau jangan nak nafi
bagai macam statement retis.
Kau lain macam bila Encik Al tu tiba-tiba keluar macam tu aje, kan?” tambah
Nazri, menyokong tekaan Redza.
“Isy... ma... mana ada. Tak adalah, cuma pelik aje. Encik Al
macam marah. Dia marah sebab kejutkan dia tadi ke? Kejung-kejung dia selama ni
pun, pergi kerja tetap sama-sama,” ujar Nadhrah, cuba menerangkan situasi sebenar.
“Aku rasa, mungkin dia marahkan kau kut.”
“Sebab?”
“Sebabnya...
mungkin masa kau kejutkan dia tadi, kau ada tertengok dengan sengaja aurat dia.
Tu yang dia sentap tu. Encik Al kalau tidur, memang macam tu baju dia. Sado katanya. Kau hado?”
Gadis itu mendiamkan diri. Macam logik tak
logik saja teori Si Nazri ni. “Aku mana ada
nampak apa-apa. Cuma nampak lengan dia aje. Tak sempat nak tengok yang lain
pun.”
“Encik Al ni, kau tengok aje badan dia
ketak-ketak macam tu. Tapi, pemalu orangnya.”
Dahi Nadhrah berkerut-kerut. Antara percaya
dengan tidak kenyataan Nazri.
“Alah...
kau tak payah nak risau sangatlah. Orang lelaki ni banyak benda yang dia kena
fikir. Bukan sebab kaulah. Entah-entah dia sembelit ke pagi tadi. Nak elak kau
tahu, tu yang dia pergi bistro sendiri. Risau sangat dengan Encik Al kau tu,”
ucap Nazri, mahu melegakan rasa resah yang menyelubungi hati Nadhrah.
Walaupun begitu, hati Nadhrah tetap dirundung
gelisah.
Redza menggelengkan kepala. Suapan ketiga
nasi diiringi dengan senyuman panjang dan meleret. Sesekali dia menatap Nadhrah
yang berada bertentangan dengan dirinya.
“Akhirnya...”
Sengaja Redza menggantung ayat tersebut.
“Apa yang akhirnya?” soal Nadhrah.
“Dah runtuh ke tembok besar lagi tinggi tak
nak bercinta Cik Keris Nadhrah Sari?”
“Mana ada. Bila masa pula Nadh cakap tak nak
bercinta? Nadh cuma cakap tak nak fikir dulu buat masa ni soal cinta tu,” balas
Nadhrah lalu sudu yang dipenuhi dengan nasi pantas disua ke dalam mulut.
“Patutlah tak nak balik Malaysia, rupanya ada
buah hati kat sini, ya? Pandai berahsia dengan abang.”
“Abang, Encik Al tu pun melancong juga macam
abang kat Venice ni. Kata Kak Syah, Encik Al nak duduk sini sebulan. Baru dua
minggu kut Nadh kenal dia. Tak ada maknanya nak bercinta dengan dia.”
“Kalau Al tu duduk sini sampai bila-bila,
boleh bercintalah? Macam tu?” sakat Redza lagi.
“Alah,
bang, tak payah Encik Al duduk sini sampai bila-bila. Sekarang ni pun dah rupa
orang bercinta,” celah Nazri dengan mulut separuh penuh dengan makanan.
Tersembur sebiji dua butir nasi. Terbuntang
luas mata Nadhrah. Garpu diangkat lalu
dihalakan secara jarak jauh ke wajah Nazri sebagai tanda amaran.
“Kau lupa ke arwah ibu aku pesan apa dulu?
Kalau mulut ada makanan, jangan bercakap,
kan? Tak sopan namanya. Kau jangan cakap apa-apa,” arah Nadhrah dengan rentak
suara yang serius.
Makan saman pula Nazri jika menerima ugutan
sebegitu daripada Nadhrah. Makin dibuat lagi adalah. Nazri terus menelan apa
yang telah hancur di dalam mulut.
“Encik Al dengan Nadh ni macam bercinta tanpa
mengungkapkan kata cinta. Hari pertama lagi Encik Al dah minta nombor telefon
Nadh. Katanya nak suruh kejut pagi-pagi.”
“Naz!”
“Lepas
tu dating pertama pergi Pasar Rialto, naik vaporetto sama-sama gitu. Buat karipap sama-sama. Dah
suap-suap makan.”
Peluh di dahi Nadhrah mulai terbit. Ini
memang tidak boleh jadi. Mulut tempayan sungguh Encik Imran Nazri ni. Nadhrah
meletakkan sudu dan garpu lalu mendekati
kedudukan lelaki itu.
“Tak cukup dating kat pasar, jalan-jalan pula kat Piazza
San Marco tu. Bagi burung merpati makan sambil dengar muzik romantik. Sekarang
ni, nak delivery karipap pun...”
Tapak tangan kanan Nadhrah bertemu dengan
mulut Nazri. Nadhrah menekup kasar anggota bicara rakannya itu. Nadhrah
tersengih memandang Redza. Memang ketara wajah Redza percaya dengan cerita
adiknya itu.
“Kau cakap semalam pagi ni kau ada discussion dengan budak-budak study group kau kan, Encik Ramlee?”
“Mmm...
Mmm... Mmm...”
Hanya itu sahaja yang mampu diluahkan oleh Nazri. Makin kuat Nadhrah menekan
bahagian mulutnya. Memang tidak boleh bagi peluang Nazri bersuara.
“Kalau kau bercerita, nanti lambat kau habis
makan. Maka, lambat juga kau nak pergi jumpa dia orang. Kau tak nak jadi insan
cemerlang lagi terbilang ke?”
“Mmm...”
“Abang, Nadh pun rasa macam dah lambat juga
ni nak pergi bistro. Nadh pergi dulu. Pinggan tu kau tolong aku basuh ya, Naz.”
Nadhrah melepaskan tekupan tangannya. Lega dibuatnya dapat menghalang Nazri
daripada terus membongkarkan rahsia.
“Dah lambat nak pergi kerja ke nak kejar Al?”
usik Redza. Selamba sahaja wajahnya.
Papan luncur yang berada pada pintu dijinjit usai dia mengikat kemas tali
kasut. Dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata Redza.
Nazri pula macam ikan yang baru sahaja dapat
mencelupkan badan ke dalam air. Terasa sesak pula diperlakukan sebegitu oleh
Nadhrah.
“Nadh pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap
Nadhrah. Kemudian, dia membuka pintu.
“Waalaikumussalam. Tangan kau tu bau ayam
tahu tak? Kau tak cuci tangan dulu ke sebelum nak tekup mulut aku? Choi... Bakteria dan kuman sungguh,” marah Nazri. Dia
mengelap mulut dan pipinya dengan kain lap berulang kali.
Redza hanya mampu menggelengkan kepala sekali
lagi. Dia ketawa.
Subscribe to:
Posts (Atom)