BAB 15
Suasana redup dan hijau terbentang di hadapan mata.
Rumah teres dua tingkat yang terletak di penghujung jalan itu sememangnya lain
daripada deretan rumah yang ada di kawasan sekitar. Qhayrul dapat menjangkakan
tuan punya rumah tersebut semestinya mementingkan keindahan alam semula jadi.
Pemilik rumah jelas memanfaatkan ruang tanah yang sedia ada sebaik mungkin
untuk mewujudkan taman mini hijau di kediaman itu. Sekali-sekala angin yang
bertiup menyentuh lembut anggota yang ada. Angin yang lalu di celahan dedaunan
memberikan satu bau yang segar lagi nyaman.
“Ibu?” panggil Rafi Huzaifa.
“Ya, Rafi. Kenapa?”
“Ni rumah atuk dengan nenek ke?”
“Ha’ah. Nilah rumah atuk dengan nenek Rafi.”
“Habis tu, kenapa ibu tak nak masuk? Jomlah. Rafi tak
sabar nak jumpa atuk dengan nenek,” ajak Rafi Huzaifa sambil tangannya
menggoncang lalu menarik tangan Yusra Dahliyaa.
Wanita itu segera mengeraskan anggota. Dia belum
bersedia lagi untuk melangkah. “Rafi tunggu kejap ya. Ibu nak tengok dulu atuk
dengan nenek ada ke tak kat dalam rumah.”
“Kalau kita tak masuk, macam mana nak tahu. Jomlah,
ibu... Jomlah,” kata Rafi Huzaifa dan terus melakukan perbuatan yang sama
seperti tadi.
“Rafi, dengar cakap ibu. Jangan nak merengek macam
ni,” tekan Yusra Dahliyaa. Perasaan gementar dan resah dalam jiwa bertukar
menjadi sedikit marah tatkala anak kecil itu terus-menerus mendesak untuk masuk
ke dalam.
Sudahnya, Rafi Huzaifa melangkah ke sisi Qhayrul.
Qhayrul tidak mahu masuk campur. Dia membiarkan sahaja Rafi Huzaifa berdiri di
sebelahnya. Qhayrul terus menikmati apa yang ada di pandangan. Ada ketika dia
menjengah. Manalah tahu ada kelibat di halaman. Lelaki itu tertarik dengan
pagar hidup yang hampir memenuhi sekeliling rumah.
Pokok acalypha siamensis
atau dikenali dengan pokok daun teh ternampak kemas tumbuh di sekitar. Ia
tanaman bercabang dan membentuk semak yang cantik lagi hijau. Daunnya berukuran
sedang dan tumbuh rumpun, sememangnya sajak dijadikan pagar semula jadi. Ia
sesuai dijadikan penyerap bunyi bagi mengurangkan kebisingan dari aktiviti kota
seperti lalu-lintas kenderaan kerana dedaun pokoknya mampu menyerap kebisingan.
Tambahan lagi tumbuhan ini juga mampu menjadi penghadang daripada habuk dan
debu jalan raya kerana dedaun pokok bertekstur halus boleh memerangkap habuk
yang terapung di udara apabila di tiup angin.
Selain daripada flora tersebut, terdapat juga sepohon
buah mangga rendang yang terletak di kawasan luar rumah. Kelihatan putik buah
baru sahaja bercambah. Tunggu sahaja beberapa minggu lagi, pasti sudah
ternampak bentuk buah tersebut.
Usai sahaja puas memandang sekeliling, pandangan
Qhayrul singgah semula ke arah Yusra Dahliyaa. Sejak keluar dari kereta
sehinggalah sekarang, itulah ekspresi dan tindak-tanduk wanita itu. Sekejap
tangannya mahu menyentuh suis loceng, tetapi tidak lama lepas itu dia
membatalkan niatnya. Akhirnya, Qhayrul melangkah perlahan menghampiri Yusra
Dahliyaa. Kemudian, jari telunjuk kanan Qhayrul menyentuh butang bewarna putih
itu. Serta-merta bunyi loceng bergema di dalam rumah dan sayup kedengaran
menghampiri keluar. Tidak cukup sekali, Qhayrul menekan sehingga tiga kali.
Selamba sahaja wajah itu memandang Yusra Dahliyaa.
“Kenapa Encik Wira tekan loceng tu? Patutnya saya yang
tekan,” marah Yusra Dahliyaa.
“Habis tu, Cik Yusra dari tadi teragak-agak. Dah
sampai, tapi dah dekat lima minit Cik Yusra tengok loceng tu. Memang asal suis
tu empat segi, dah boleh jadi berlubang tembus sampai dalam rumah. Saya sampai
dah boleh tahu pokok apa yang ada kat sekeliling rumah awak ni. Saya tolong
tekan aje. Jadinya, masalah awak nak tekan loceng tu dah selesai, kan?” balas
Qhayrul tanpa ada rasa bersalah.
“Awak memang tak faham apa yang saya rasa. Saya nak
sampai ke sini pun perlukan kekuatan. Kalau macam nilah sikap Encik Wira, lebih
baik kita balik aje. Kita tak payah jumpa mak dengan ayah saya,” bentak Yusra
Dahliyaa lalu mahu melangkah meninggalkan Qhayrul di situ.
Yusra Dahliyaa menarik tangan Rafi Huzaifa, tetapi
tangan Qhayrul terlebih dahulu menggenggam pergelangan perempuan itu.
“Cik Yusra, sampai bila awak nak lari?”
Yusra Dahliyaa berusaha untuk melepaskan genggaman
Qhayrul yang terasa agak kuat itu. “Lebih baik Encik Wira lepaskan saya. Saya
nak balik.”
“Saya tak akan hantar Cik Yusra balik.”
“Baik. Kalau awak tak nak hantar, saya boleh cari
teksi. Lepaskan saya.”
“Saya tak akan lepaskan awak, Cik Yusra. Kita dah
dekat depan pintu pagar ni. Bukan kat depan pintu kereta setengah jam yang
lepas.”
“Encik Wira, saya dah cerita semuanya dengan awak
tadi. Awak masih tak faham-faham ke kenapa saya jadi macam ni? Saya nak pergi
sebelum ada sesiapa keluar.”
Saat mereka bertengkar ketika itu, bunyi selak pagar
sisi digerakkan muncul. Yusra Dahliya dapat mendengar dengan jelas bunyi
tersebut. Dia masih lagi berusaha untuk melepaskan diri daripada Qhayrul,
tetapi tidak berjaya.
“Ibu... Rafi tak nak ikut ibu. Rafi nak jumpa atuk
dengan nenek.”
“Rafi!”
Perlahan-lahan pintu besi berketinggian 1.8 meter itu
dikuak ke luar. Seorang perempuan tua kelihatan pada penglihatan Qhayrul. Yusra
Dahliyaa yang berpaling daripada melihat rumahnya itu terdiam kaku seketika.
Dia masih lagi belum bersedia untuk menerima sebarang akibat tatkala tiba di
situ. Namun, demi wasiat dan amanah yang diberikan oleh Idrus Wira serta
permintaan Rafi Huzaifa, dia gagahkan juga semangat yang berbaki sisa itu.
“Anak berdua ni cari siapa?” soal Hamidah apabila
melihat kelibat mereka berdua di luar rumah.
“Mmm... mmm.... mak cik,” balas Qhayrul dengan
tergagap. Dia tidak tahu perkataan apa yang sesuai dituturkan.
Qhayrul memandang wajah Yusra Dahliyaa yang begitu
hampir dengannya. Akan tetapi, Yusra Dahliyaa hanya menggeleng. Masih lagi
tidak mahu menoleh belakang.
“Anak berdua ni kenapa ya? Ada nak cari siapa-siapa
ke? Ke anak ni sesat jalan?” soal Hamidah berterusan. Dia cuba membaca riak
wajah Qhayrul seperti ada yang tidak kena.
“Tak, mak cik, bukan macam tu. Sebenarnya...” Qhayrul
masih lagi teragak-agak untuk berkata-kata.
“Sebenarnya apa? Anak nak minta tolong sesuatu ke?”
duga Hamidah lagi.
Anak mata Hamidah tertunduk sekejap kerana dia
merasakan ada sepasang mata lain sedang memerhatikan dirinya. Rafi Huzaifa
sedang menghadiahkan senyuman ke arahnya. Hamidah juga membalas. Walau
bagaimana pun ada sesuatu yang biasa dia lihat melalui ukiran bibir tersebut.
“Cik Yusra cakap saya tak faham Cik Yusra? Saya cukup
faham macam mana rasanya dibuang oleh ayah sendiri. Sekurang-kurangnya awak
baru enam tahun dibuang oleh ayah awak. Saya? Awak tahu kan sejak lahir saya
langsung tak pernah dianggap sebagai anak. Saya cukup tahu perasan tu, Cik
Yusra. Sampai bila awak nak lari? Sampai ayah awak mati? Sampai mak awak dah
tak ada baru awak nak balik rumah ni? Macam tu?” tanya Qhayrul dalam nada suara
hanya mereka berdua sahaja dengar.
Yusra Dahliyaa tergamam. Gegendang telinga yang
menangkap suara Qhayrul terus mengalir ke dalam hatinya yang kian rapuh itu.
Mata Yusra Dahliyaa terasa panas. Manik jernih yang cuba ditahan, sudahnya
bertakung pada kelopak bawah mata itu. Susunan ayat Qhayrul seperti menyedarkan
Yusra Dahliyaa.
“Yusra...”
Yusra Dahliyaa memejamkan mata tika namanya meniti di
bibir insan yang melahirkan dirinya ke dunia. Air mata itu tumpah sehinggakan
Qhayrul dapat merasakan kehangatan air tersebut tatkala menitis ke tangannya.
“Kamu anak mak ke? Yusra Dahliyaa?”
Gerak bahasa tubuh Qhayrul meminta wanita itu
berpaling. Yusra Dahliyaa segera menggeleng.
“Kalau betul kamu Yusra Dahliyaa yang mak kandungkan
selama sembilan bulan tujuh hari... mak nak kamu pandang mak sekarang,” pinta
Hamidah disulami dengan suara yang tersekat-sekat. Hatinya menjadi sebak.
Senyuman kanak-kanak lelaki itu memang serupa dengan Yusra Dahliyaa ketika
kecil.
Tangan Yusra Dahliyaa menyapu pipinya. Sedikit demi
sedikit sentuhan kuat Qhayrul yang berada di pergelangan Yusra Dahliyaa
terlerai. Jiwa Yusra Dahliyaa sememangnya meronta kuat untuk memeluk Hamidah.
Rindu yang tersimpan selama enam tahun membuatkan Yusra Dahliyaa mahu terus
mendakap ibunya. Yusra Dahliyaa berpaling. Yusra Dahliyaa menekup mulut untuk
menahan bunyi esakannya keluar.
“Yusra...” Hanya itu yang kedengaran.
Mata Hamidah hanya tertumpu ke arah anak perempuannya.
Dia sama sekali tidak menyangka hari yang ditunggu selama ini sudah tiba. Mahu
sahaja dia terduduk di situ, tetapi tangan Hamidah yang berurat itu segera
memaut pagar. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat.
“Mak... ni Yusra, mak.” Tanpa mahu berfikir lagi, Yusra
Dahliyaa laju meluru menuju ke tempat Hamidah berdiri. Dia mendakap erat dan
menangis semahu-mahunya.
“Mak...Yusra minta ampun, mak. Yusra minta maaf. Yusra
banyak dosa dengan mak.”
Hamidah mendiamkan diri. Dia sudah tidak mampu
bersuara. Hatinya mengucap syukur dan terharu kerana Allah telah memakbulkan
doanya selama enam tahun ini.
“Mak, Yusra dah derhaka dengan mak.”
“Yusra anak mak. Yusra tak pernah derhaka dengan mak,”
ucap Hamidah dalam masa yang sama membelai lembut kepala anak tunggalnya itu.
Hamidah sama sekali tidak menganggap Yusra Dahliyaa
sebegitu. Dia tidak mahu setiap hembusan nafas anak yang sudah dikandungnya 26
tahun yang lalu tidak diberkati dan tidak mendapat keredaan daripada yang Maha
Esa.
Tidak cukup dengan dakapan, Yusra Dahliyaa menatap
muka Hamidah. Dia mengucup kedua-dua belah pipi itu dan Hamidah juga melakukan
perkara yang sama.
“Sudah... sudah... Kita masuk dalam. Nanti orang kata
apa pula nampak kita menangis kat luar ni. Ajak sekali kawan Yusra tu masuk,”
ajak Hamidah sudah menarik tangan Yusra Dahliyaa, tetapi wanita itu menahan.
“Mak...”
“Kenapa, Yusra?”
Yusra Dahliyaa tersenyum. Dia memanggil Rafi Huzaifa
yang berada di sisi Qhayrul. Tanpa banyak soal, Rafi Huzaifa menurut. “Mak...
ni anak Yusra, Rafi Huzaifa bin Syafiq Ra’if. Cucu mak.”
Pandangan Hamidah berganti. Dia segera melutut dan
menyentuh wajah Rafi Huzaifa. “Yusra... ni cucu mak? Mak dah jadi nenek?”
Yusra Dahliyaa mengangguk. Bibirnya diketap, menahan
sebak yang semakin menjalar dalam hati.
“Ya Allah... mak dah ada cucu.” Hamidah tidak dapat
mengawal diri daripada terus mendakap Rafi Huzaifa. Rafi Huzaifa juga tanpa
rasa janggal membalas pelukan pertama neneknya itu.
“Rafi... ni nenek. Cuba Rafi panggil nenek,” mohon
Hamidah sambil mengusap pipi Rafi Huzaifa.
“Nenek.” Rafi Huzaifa menyebut sambil bibirnya
tersenyum. Gembira tak terkira wanita tua itu memeluknya. Rafi Huzaifa
menyentuh tangan kanan Hamidah. Dia bersalaman dan mengucup tangan tersebut.
“Pandainya cucu nenek ni,” puji Hamidah. Senyuman Rafi
Huzaifa semakin melebar.
“Ra’if mana, Yusra? Dia tak datang sekali ke?”
Yusra mendiamkan diri. Dia memerlukan kekuatan untuk
menceritakan hal tersebut. “Nanti Yusra cerita kat mak.”
Raut muka Hamidah mempamerkan sedikit perubahan
apabila mendengar balasan kata anaknya. Dia dapat menghidu sesuatu yang tidak
kena. Hamidah segera menjatuhkan pandangan terhadap Rafi Huzaifa. “Rafi, kita
masuk dalam ya. Kita jumpa dengan atuk.”
Qhayrul tertunduk sekejap melihat situasi mereka
bertiga tadi. Alangkah bahagianya jika dia juga berada dalam keadaan seperti
itu. Dia sudah membayangkan kalau Idrus Wira lebih awal muncul, ketika umurnya
seperti Rafi Huzaifa, pasti perasaan gembira seperti anak kecil itu terbit dalam
dirinya.
----------------------------
“Mak, ayah
marahkan Yusra lagi ke?” tanya Yusra Dahliyaa sejurus sahaja kakinya melangkah
masuk.
Hamidah tidak terus menjawab. Sebaliknya air mata pula
yang mengalir. Tangan Hamidah berlabuh di pipi anaknya itu. “Yusra tetap anak
ayah. Walau apa pun yang terjadi. Ingat tu.”
“Bagi Yusra, ayah tetap ayah Yusra sampai bila-bila.
Tapi, Yusra ingat apa yang ayah cakap enam tahun lepas. Mak dah lupa ke apa
yang ayah cakap? Ayah tak nak Yusra jejakkan kaki kat dalam rumah ni sampai
bila-bila. Rumah ni bukan rumah Yusra lagi. Yusra memang dah tak ruang langsung
dalam keluarga ni.”
“Ayah cakap dalam keadaan marah. Janganlah Yusra
simpan dalam hati.”
“Yusra tak kuat, mak. Macam mana kalau ayah halau
Yusra?”
“Dah enam tahun, Yusra. Cukup-cukuplah tu. Mak dah tak
mampu nak hadapi lagi. Yusra ingat mak boleh ke tanggung semua ni lagi? Mak
yang lahirkan Yusra. Rahim mak ni membesar, mengandungkan Yusra. Naluri seorang
ibu selalu bimbang dan risaukan anak bila anak tak ada kat depan mata. Takkan
Yusra tak boleh nak faham? Yusra sendiri dah ada Rafi. Sudah-sudahlah bergaduh
dengan ayah.”
“Yusra tak ada niat langsung nak sakitkan hati mak.
Yusra dah jumpa mak. Cukuplah. Yusra tak nak terus buat ayah marah. Yusra ingat
Yusra dah sedia nak jumpa ayah, tapi rupanya tak. Mak, izinkan Yusra pergi mak.
Yusra...”
“Midah, apa yang bising-bising kat bawah tu? Siapa
yang datang?” Belum sempat Yusra Dahliyaa menyudahkan ayat, satu suara muncul
dari tingkat atas.
Mata Yusra Dahliyaa mendongak ke arah suara tersebut.
Dia dapat menjangkakan yang Fadhil akan turun sebentar lagi. Sebelum segalanya
lebih buruk, Yusra Dahliyaa mahu segera beredar. “Mak, Yusra minta maaf. Yusra
memang tak boleh jumpa dengan ayah. Yusra nak balik.”
Badan Qhayrul laju menghadang ruang yang ada pada
pintu masuk. Hamidah pula sudah menggenggam erat tangan Yusra Dahliyaa.
“Awak... saya tak boleh. Encik Wira, tolong faham
keadaan saya.” rayu Yusra Dahliya. Wajahnya penuh dengan harapan agar lelaki
itu mengerti dengan keadaannya.
“Saya tengah tolong awak, Cik Yusra.”
Ternyata Yusra Dahliyaa sudah tidak boleh lari lagi.
Dia menangis di situ hingga terduduk. Dirembeskan semua air mata yang ada agar
terluah rasa yang terbuku di hati. Yusra Dahliyaa memejamkan mata. Bunyi tapak
kaki bertemu dengan permukaan tangga kedengaran. Sedikit demi sedikit bunyi
tersebut menuruni dan ia semakin menghampiri. Wanita itu hanya mampu membekukan
diri di situ.
“Midah, kita ada tetamu ke?” duga Fadhil sambil
berdiri pada anak tangga terakhir. Anak mata Fadhil memandang Qhayrul lalu ke
Rafi Huzaifa.
Qhayrul yang turut bertaut pandangan dengan lelaki tua
itu terkesima apabila wajah tersebut muncul. Melalui reaksi Fadhil, dia dapat
meramalkan yang Fadhil seakan-akan tidak mengenali dirinya. Qhayrul berpaling
ke tempat lain. Matanya hinggap pada satu sudut dinding yang dipenuhi dengan
bingkai gambar ahli keluarga rumah tersebut. Qhayrul terus memerhatikan ciri
yang ada pada insan yang berada di hadapannya itu.
Fadhil memiliki kumis yang nipis, uban hampir memenuhi
separuh kepala dan saiz badan sedikit berisi serta berketinggian sederhana.
Memang tidak syak lagi lelaki itu yang dia temui tempoh hari. Tidak menyangka
ada pertemuan kali kedua antara mereka. Sama seperti takdirnya dengan Yusra
Dahliyaa.
Fadhil dapat merasakan ada yang tidak kena apabila
melihat pipi isterinya itu kelihatan basah. Raut muka Hamidah kelihatan sembap
kerana menangis. “Midah, siapa perempuan tu?”
Tatkala mendengar sahaja pertanyaan suaminya itu,
Hamidah terus terduduk di sisi Yusra Dahliyaa. Hamidah sudah nekad waktu itu.
Apa pun yang terjadi, dia mahu melindungi Yusra Dahliyaa. “Abang...”
“Saya tanya awak, Midah. Siapa budak perempuan ni?” Intonasi
Fadhil kian meninggi. Deria keenamnya kuat mengatakan yang gadis itu adalah
Yusra Dahliyaa. Masakan dia boleh lupa susuk badan anaknya yang pernah didukung
sejak umur satu hari lagi.
“Ni Yusra, abang. Yusra Dahliyaa, anak kita.”
“Saya dah cakap dengan awak enam tahun dulu, Midah,
kita tak ada anak yang sanggup conteng arang ke muka kita.”
“Dosa apa yang anak kita dah buat abang sampai abang
sanggup buang dia sampai macam tu sekali?”
“Dia ni bukan darah daging saya. Keturunan saya tak
ada yang tak mendengar kata. Kenapa awak benarkan orang luar masuk dalam rumah
tanpa kebenaran saya? Awak lupa ke apa hukumnya Midah membenarkan orang luar
masuk tanpa izin suami?!”
“Tapi, Yusra bukan orang luar abang. Dia anak kita.”
“Kan saya cakap, saya tak ada anak macam dia ni. Awak
tak faham-faham lagi ke, Midah? Saya tak nak dia masuk dalam rumah saya!”
Mata Yusra Dahliyaa terkatup rapat. Pedih dan perit
rasanya mahu menelan kata-kata seperti itu sekali lagi. Dia tidak mampu
bersuara. Yusra Dahliyaa merasakan dia memang berdosa kerana menderhaka
terhadap kedua-dua ibu bapa, terutama sekali ayahnya.
“Pak cik, dengar dulu apa yang Yusra nak cakap,” celah
Qhayrul. Berbeza benar sifat Fadhil. Yang dijumpa dahulu kelihatan tenang, yang
kini marah meradang.
“Kau ni siapa pula? Lebih baik kau diam. Kau jangan
masuk campur. Lebih baik kau bawa dia ni keluar, sebelum aku yang halau dia
keluar. Dia bukan ahli keluarga rumah ni.”
Qhayrul terkejut. Fadhil jelas sudah hilang pertimbangan.
Rafi Huzaifa sudah meluru ke arah Yusra Dahliyaa,
kemudian memeluk wanita tersebut. Dia juga menangis apabila melihat Yusra
Dahliyaa dimarahi begitu teruk tanpa ada sebab. Rafi Huzaifa tidak mengerti
kenapa lelaki tua itu bersuara tinggi terhadap ibunya.
“Kalau abang dah tak ingat Yusra ni anak abang, tapi
saya masih lagi anggap yang dia anak saya. Sembilan bulan tujuh hari, abang,
sembilan bulan tujuh hari saya bawa dia dalam rahim saya ni ke hulur ke hilir.
Muntah, mual dengan loya tekak saya masa mengandungkan Yusra, saya tak lupa,
bang. Sakit dan ngilu yang saya tanggung masa meneran untuk lahirkan dia kat
dunia ni masih lagi dapat saya rasa. Abang nak suruh saya lupakan yang Yusra ni
anak saya? Abang tak rasa semua tu, sebab tu abang boleh anggap yang Yusra ni
bukan anak abang lagi.
“Saya dah nekad. Apa pun yang abang nak buat, saya tak
akan benarkan Yusra Dahliyaa keluar dari rumah ni. Saya ni emak dia. Abang
jangan lupa tu,” luah Hamidah. Apa yang disimpan akhirnya terpacul keluar dari
mulutnya yang selama ini membisu. Sudah cukup dia mengalah demi menjaga hati
suaminya.
Fadhil terkelu. Hamidah yang Fadhil kenal selama ini
akan menurut apa sahaja perintah dan permintaannya. Isterinya itu langsung
tidak pernah membantah. Namun, segalanya berubah pada hari ini.
“Baik. Saya turutkan keputusan awak, Midah. Kalau awak
tak nak budak ni keluar dari rumah ni, biar saya, suami awak ni yang keluar,”
balas Fadhil kemudian melangkah mahu menuju ke tempat gantungan kunci.
Saat menapak, Fadhil memberhentikan kaki seketika.
Tangannya menyentuh dada. Mata Qhayrul dapat menangkap perbuatan Fadhil. Pasti
sakit orang tua itu berulang kembali. Akan tetapi, Fadhil tetap menggagahkan
diri untuk mengambil kunci keretanya.
“Mak, biar Yusra yang keluar. Mak dengan ayah jangan
gaduh sebab Yusra. Biar Yusra yang pergi. Asalkan jangan ayah yang keluar.” Pergerakan
Yusra Dahliyaa sudah mahu untuk berdiri.
Tetapi, Qhayrul segera tunduk dan melutut. “Cik Yusra,
dengar apa yang saya nak cakap ni.”
“Apa lagi yang saya kena dengar, Encik Wira? Awak tak
dengar ke apa yang ayah saya cakap tadi?”
Qhayrul seperti dalam keadaan tergesa-gesa. Sekejap
pandangannya menatap Yusra Dahliyaa, sekejap ke arah Fadhil yang sudah
menggapai kunci kereta. Tangan Qhayrul kedua-duanya berada di bahu Yusra
Dahliyaa.
“Kalau Cik Yusra nak baik semula dengan ayah Cik
Yusra, awak kena tinggal kat dalam rumah ni. Awak faham tak? Pasal ayah awak,
biar saya yang uruskan. Ini kunci kereta. Saya nak bila saya keluar dengan ayah
Cik Yusra nanti, Cik Yusra ambil semua kelengkapan Cik Yusra dengan Rafi.
Tinggal kat sini sampai Rafi habis cuti sekolah.”
Kebetulan ketika ini cuti sekolah selama seminggu
sudah bermula. Qhayrul merasakan inilah waktu yang sesuai untuk keluarga itu
bersatu semula. Carik-carik bulu ayam, lama-lama akan bercantum juga. Kunci
kereta yang berada di dalam poket sudah bertukar tangan.
Yusra Dahliyaa masih terpinga-pinga dengan cadangan
Qhayrul itu. “Tapi...”
“Tolong dengar cakap saya ni, Cik Yusra. Ini aje
caranya. Sampai bila awak nak mengelak?”
Setelah eksperi muka Yusra Dahliyaa seakan-akan setuju
dengan cadangan Qhayrul, lelaki itu memandang Hamidah. Fadhil pula sudah berada
berhampiran dengan pagar rumah. Dia menguak pagar tersebut lalu menuju ke
kereta Proton Perdana berwarna hitam itu.
“Mak cik, mana ubat pak cik?”
“Ubat pak cik?”
“Cepat, mak cik. Pak cik ada sakit sesak nafas, kan?
Mana inhaler dia?” Tangan Qhayrul
sudah menadah. Dia harus segera bertindak.
“Macam mana kamu tahu pak cik ada sesak nafas?”
“Mak cik, sekarang tak ada masa nak terangkan. Yang
penting ubat pak cik. Saya nak kejar pak cik sebelum ada apa-apa jadi kat dia.
Cepat, mak cik,” arah Qhayrul bertambah panik kerana kedengaran enjin kereta
dihidupkan.
Hamidah bingkas bangun dan menuju ke kabinet televisyen.
Laci paling atas dibuka dan objek seakan-akan botol penyedut kecil berwarna
biru diambil oleh Hamidah. Hamidah berlari menuju ke pintu dan ubat tersebut
sudah berada di tangan Qhayrul.
Qhayrul sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Kereta itu sudah pun keluar dari kawasan rumah. Baru sahaja kereta itu
bergerak, namun tidak semena-mena ia berhenti. Qhayrul berlari sekuat hati ke
tempat duduk sebelah pemandu. Tanpa ada rasa ragu, dia membuka pintu dan masuk
ke dalam. Kelihatan Fadhil sedang tertunduk, matanya terpejam.
“Pak cik... pak cik...”
Fadhil menoleh. Ketara benar dada lelaki tua itu
berombak turun naik.
“Pak cik, ni ubat pak cik.” Qhayrul terus menyentuh
tangan kiri Fadhil dan meletakkan inhaler
tersebut ke tapak tangan Fadhil.
Tanpa membantah, Fadhil mengambil ubat tersebut dan menggoncang
kemudian diletakkan di antara dua bibirnya. Dia menekan sebanyak dua kali.
Selepas itu Fadhil menahan botol tersebut supaya tidak terlepas dari mulutnya.
Lebih kurang dalam lima saat kemudian, barulah Fadhil melepaskan inhaler tersebut. Fadhil cuba bernafas
tenang dan ternyata ubat itu berkesan.
Fadhil memandang lama Qhayrul yang berada di kirinya.
Wajah tersebut pernuh dengan tanda tanya.
Qhayrul dapat membaca apa yang sedang bermain di
fikiran lelaki tua itu. “Pak cik nak tanya macam mana saya tahu pak cik ada
sesak nafas?”
Fadhil tergamam. Dia sengaja tidak bersuara
memandangkan sakitnya masih lagi belum pulih. Apa yang Fadhil mampu lakukan
ialah terus menatap raut muka pemuda itu. Setelah puas dia dalam keadaan
begitu, otaknya mula mengimbas susuk tubuh yang pernah dia temui tidak lama
dahulu. “Kamu... Qhayrul?”