Stylo Clique ^_^

Sunday, October 13, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 18



BAB 18

“Kaki ini cuba mengatur langkah, kerana ku mahu seiring dengan bayangmu.”

Zulqarnain hanya mendiamkan diri di serambi. Dia sengaja berada di ruangan itu. Rasanya tidak manis jika dia berada di dalam rumah. Kejadian petang tadi benar-benar mengejutkan seisi rumah itu.. Dia langsung tidak bertanyakan hal itu kepada Wardi. Zulqarnain tahu akan cerita itu melalui perbualan mereka anak beranak. Wardah hanya mengurungkan diri di dalam bilik. 

Wadihah keluar daripada bilik dengan keadaan tepi dahinya ditampal koyok. Penyakit darah tingginya menyerang semula setelah mendengar berita akan hal Nazim. Pasti berita itu sudah tersebar di seluruh kampung.

“La…kenapa awak keluar ni ibunya? Awak tu tak sihat. Awak pergilah baring. Berehat.”
“Entahlah abang. Saya ni kat dalam bilik tu asyik fikir aje. Saya seorang dalam bilik, makin pening jadinya. Tak boleh berehat.”

Wardi bangun lalu membantu Wadihah berjalan hingga ke sofa.

“Ibu, janganlah fikir sangat. Ada hikmahnya kita tahu sekarang perkara ni. Cuba bayangkan kalau perkara ni kita tahu lepas hari pernikahan tu, macam mana? Lagi terukkan? Ibu janganlah risau.”
“Macam mana ibu tak risau. Tengoklah adik tu. Berkurung kat dalam bilik.”
“Wadihah, biasalah tu. Adik tu perempuan. Nanti bila dia dah puas nangis, dia akan keluar. Saya tahu sangat perangai adik tu. Dia bukan perempuan yang lemah,” ujar Hasyim.

Hasyim sengaja berkata begitu untuk mengelakkan isterinya terus berfikir akan Wardah sehingga lupa kesihatan diri.

“Abang, macam mana ni? Minggu depan majlisnya. Pengantin lelaki pula buat hal. Macam mana kita nak berhadapan dengan orang kampung. Saya malu pun ada juga.”
“La…yang awak ni nak malu kenapa pula? Bukan anak kita yang buat silap, anak si Leman tu mengandungkan anak orang.”
“Abang, semua persiapan dah siap. Hantaran, baju. Barang-barang dapur yang kita dah beli tu macam mana? Banyak awak tahu tak? Boleh busuk dibuatnya. Lagi, ayam 100 ekor yang kita tempah kat Wahab tu macam mana? Itu belum kira lembu yang kita nak tumbangkan nanti. Kita dah banyak belanja habis.”
“Habis tu awak nak juga anak kita tu kahwin dengan si Nazim tu? Kalau susah sangat, kita sedekahkan aje semua barang-barang tu kat orang kampung ni.”
“Bukan itu maksud saya. Saya tak nak anak kita merana abang. Tapi kita bukannya orang senang. Saya rasa terkilan dengan semua persiapan yang telah kita buat. Tinggal beberapa hari aje.”
“Ibu…kalaulah Wardi ni dah ada pilihan, memang Wardi akan kahwin minggu depan ni. Masalahnya Wardi tak ada. Wardi tahu kita dah habiskan banyak duit untuk majlis ni. Tapi kita dah tak boleh nak buat apa-apa pun. Nasi dah jadi bubur.”
“Alangkah bagusnya kalau ada orang yang sudi gantikan tempat Nazim tu.”
“Astaghfirullahalazim Puan Wadihah oii. Awak ni memang tak sihat. Lelaki mana yang nak jadi pengantin ekspress tu? Tak pernah dibuat orang jadi pengantin bidan terjun. Saya tak nak Wardah tu kahwin dengan orang sembarangan lagi lepas ni. Nazim tu yang kita kenal sejak dia kecil lagi pun berani buat hal.”
“Macam-macam perkara saya fikir sekarang ni. Kenapalah Nazim buat macam tu kat adik?”
“Sudah. Tak payah nak fikir lagi. Saya risau awak ni fikir yang bukan-bukan. Elakkan awak pergi iklankan aje perkara ni kat surat khabar semata-mata nak cari pengantin lelaki untuk anak awak tu. Saya pasti jodoh yang baik untuk Wardah ada. Belum sampai masanya lagi. Kalau betul ada, tak payah tunggu. Esok pun kalau Allah takdirkan insan tu muncul, memang wujudlah insan tu. Wardi, hantar ibu kau ni masuk ke dalam bilik. Nanti kang aku pula yang jatuh sakit memikirkan pasal ibu kau ni.”

--------------------------------

Pagi itu Zulqarnain sudah memasang niat untuk memberitahu Hasyim dan Wadihah akan isi hatinya. Tadi malam dia langsung tidak dapat melelapkan matanya. Puas dia memikirkan akan keputusannya itu. Hatinya meronta dan menjerit mengatakan itulah yang terbaik untuk dirinya dan Wardah. Zulqarnain bimbang niatnya disalah erti. Dia juga tidak mengerti dengan dirinya sendiri.



Dia pernah dengar orang berkata agak sukar untuk kita faham kehendak orang lain. Tetapi baginya lebih sukarnya untuk memahami diri sendiri. Selama ini dia yakin untuk membuat keputusan. Langsung dan tidak pernah dia memikirkan keputusannya untuk kali kedua. Apa sahaja yang dia mahu lakukan, dia akan buat tanpa memikirkan apa akibatnya. Sampul surat ditangannya digenggam erat. Dia mengharapkan Hasyim dan Wadihah boleh menerima isi kandungan sampul surat tersebut.

Zulqarnain menarik nafas panjang apabila melihat kelibat Hasyim dan Wadihah di dapur.

“Pak cik, mak cik buat apa ni?” soal Zulqarnain sebaik sahaja melihat mereka berdua sedang sibuk mengasingkan barang masakan.
“Rasanya Nine pun tahukan apa yang telah jadi? Ni semua bahan masakan untuk rewang nanti tapi majlis tu terpaksa dibatalkan. Jadi pak cik ingat lebih baik pak cik sedekahkan aje kat orang. Walaupun jauh di sudut hati pak cik ni mengharapkan majlis itu tetap dijalankan, pak cik tak ada pilihan. Bahan-bahan semua ni terlalu banyak. Lagipun mesti Wardah sedih bila tengok semua bahan ni ada kat dalam rumah.”
“Saya rasa pak cik tak perlu sedekahkan semua ni kat orang. Saya juga harap majlis itu tetap akan berjalan walaupun Wardah bernikah dengan orang lain selain Nazim.”
“Nine, siapa pula yang nak jadi pengantin bidan terjun tu? Takkan………………”

Tiba-tiba sahaja Hasyim dapat menangkap sesuatu di sebalik kata-kata Zulqarnain tadi. Dia tidak sempat menghabiskan ayatnya. Dia cuba untuk membaca riak wajah anak muda itu. Dia cuba mencari maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh Zulqarnain.

Tangan Wadihah segera memegang lengan suaminya. Dia juga terkesima dengan kata-kata tetamunya itu. Masakan itu maksud Zulqarnain? Wadihah dan Hasyim saling berpandangan sambil bibir mereka tertutup rapat, namun masing-masing tahu apa yang ada di fikiran antara satu sama lain.

“Pak cik, mak cik…saya tak tahu bagaimana tatacaranya adat Melayu kalau kita berhajat untuk mengahwini seseorang. Sebab tu saya beritahu pak cik tentang apa yang terbuku di hati ni. Apa yang pasti saya nak tolong keluarga pak cik. Sejak langkah pertama saya ke rumah ni, saya sudah dapat merasakan kat rumah penuh dengan kasih sayang sebuah keluarga. Saya tahu saya hanya orang luar. Pak cik dan mak cik terlalu baik dengan saya. Langsung tak pernah layan saya macam orang luar. Saya tak ada niat langsung untuk masuk campur urusan keluarga pak cik tapi ini niat saya. Saya nak tolong.”

Hasyim dapat merasakan keikhlasan di sebalik kata-kata Zulqarnain itu.

“Abang………” ucap Wadihah kepada Hasyim.

Suara Wadihah seperti tesekat untuk bersuara. Tidak tahu perkataan apa yang harus dia luahkan. Sejak semalam Wadihah mengharapkan ada keajaiban yang berlaku dan hari ini Allah telah pun memakbulkan doanya.

Wardah membuka pintu biliknya. Dia tertanya-tanya ke mana isi rumah itu pergi. Dia berjalan menuju ke luar, tetapi tiada sesiapa di situ. Akhirnya dia membuat keputusan untuk ke dapur. Saat kakinya mahu beberapa langkah sahaja ke ruangan itu, telinganya menangkap suara ayahnya bertanyakan sesuatu kepada Zulqarnain. Dia segera berselindung di sebalik dinding.

“Pak cik nak tanya, Nine sayangkan Wardah ke?”
“Selama ni Wardah bekerja dengan saya. Ke mana sahaja saya pergi dia akan bersama dengan saya. Mungkin saya dah terbiasa ada dia dalam hidup saya.”
“Nine, cakap dengan mak cik. Betul ke tidak Nine sayangkan anak mak cik tu? Kalau tak, kenapa Nine ikut dia balik kampung?”
“Kan Nine pernah cakap yang Nine nak pergi bercuti. Kebetulan Wardah pun nak balik kampung. Sebab tu saya ikut dia.”

Hasyim dapat menghidu perasaan sayang Zulqarnain terhadap anak perempuannya. Dia tahu Zulqarnain cuba menyembunyikan perasaan itu.

“Nine, Nine tahu tak keputusan Nine ni akan mengubah seluruh masa depan dan kehidupan Nine? Nine ada cakap dengan keluarga Nine ke pasal perkara besar ni? Pak cik tak nak anak pak cik tu kecewa. Pak cik tak nak perkahwinan Wardah cuma untuk satu atau dua hari. Pak cik nak dia bahagia sepanjang hayat dia. Perkara ni bukan boleh dibuat main-main.”
“Sebab saya tak main-mainlah saya beritahu semua ni pada pak cik dan mak cik. InsyaAllah niat saya ikhlas. Saya nak tolong. Mengenai keluarga saya, ayah saya tak ada kat sini buat masa ni. Dia ada urusan kat luar negara. Ummi saya pun dah meninggal. Saya rasa lebih baik kita jalankan sahaja dahulu majlis ni dan kemudian saya akan terangkan semuanya kepada keluarga saya.”

Zulqarnain terpaksa berbohong akan hal ayahnya. Dia sendiri tidak mengerti hatinya terus mendesak dirinya untuk melakukan perkara itu

“Nine, tak menyusahkan Nine ke? Macam mana kalau keluarga Nine tak boleh terima Wardah? Mak cik tak nak ada masalah lain yang timbul nanti. Keluarga Nine bukan orang kebanyakan.”
“Mak cik, ayah saya kenal Wardah. Dia senang dengan cara kerja Wardah. Dia pernah cakap dengan saya Wardah adalah salah seorang pengawal peribadi terbaik yang dia ada. Saya rasa ayah saya boleh terima Wardah.”
“Nine, kerja dengan keluarga dua perkara yang jauh bezanya.”
“Pak cik, percayalah. Saya tak akan sia-siakan Wardah. Saya akan pertahankan dia walauapapun caranya.”
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Hasyim berkias.

“Tidak tumbuh tidak melata, tidak bersungguh saya tak kata pak cik. Saya dah bersedia. Sepanjang malam saya fikirkan hal ni. Saya harap pak cik dan mak cik terima cadangan saya ni. Dan ini………”

Zulqarnain segera menghulurkan sampul surat itu kepada Hasyim.

“Apa ni Nine?”
“Ini sahaja yang saya ada buat masa ni sebab ini perbelanjaan saya sepanjang saya bercuti.”
“Nine, jangan macam ni. Nine buat pak cik serba salah macam ni. Pak cik kena tanya Wardah sebab ini kehidupan dia. Dia yang berhak untuk menentukan masa depannya. Pak cik tak nak paksa dia. Lebih-lebih lagi dengan apa yang telah berlaku, pak cik tak akan mendesak dia.”

Zulqarnain tersenyum. Lain benar Hasyim dan ayahnya.

“Pak cik, saya ikhlas. Saya cuma ada lima ribu sahaja. Saya kalau boleh nak bagi Wardah lebih daripada ni. Wardah bagi saya dia tidak ternilai. Tak boleh diukur dengan wang ringgit.”
“Pak cik nak tahu apa perasaan kamu sebenarnya. Nine buat keputusan mengejut ni hanya sebab nak tolong keluarga pak cik atau kamu betul-betul sayangkan dia?”

Zulqarnain sendiri tidak pasti. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia mahu melakukan perkara itu. Selama ini dia tidak pernah ada perasaan seperti ini. Perasaan untuk melindungi gadis itu terlalu tinggi. Sakit rasanya apabila melihat air mata Wardah terus mengalir. Belum sempat Zulqarnain menjawab, Wardah sudah pun muncul di antara mereka bertiga.

“Ayah, izinkan adik cakap dengan Nine perkara ni. Adik dah dengar semuanya.”

Hasyim memandang Wadihah. Melalui pandangan itu, Hasyim tahu isterinya benar-benar berharap yang dia mampu untuk menerima lamaran daripada Zulqarnain. Hasyim memandang ke arah mereka berdua lalu mengangguk perlahan sebagai tanda memberi keizinan.

--------------------------------


“Awak ingat awak boleh beli semuanya dengan wang ringit awak? Oh, saya rasa saya tak boleh guna ayat tu sebab tu terlalu klise. Dah banyak sangat orang cakap. Awak ingat nikah kahwin ni pun ada jual kat kedai ke? Semuanya boleh selesai dengan kertas yang ada gambar Yang Di Pertuan Agong Pertama Malaysia tu?”

Zulqarnain sudah dapat mengagak Wardah akan berkata begitu kepadanya, cuma ayat Wardah sedikit berisi.

“Saya tahu awak akan cakap macam tu dengan saya. Tapi percayalah, saya memang nak tolong awak.”
“Saya tak perlukan apa-apa pertolongan daripada awak. Saya tak minta pun. Saya rasa majlis tu kalau tak jadi pun tak apa. Sekurang-kurangnya perkara tu batal bukan salah saya tapi salah Nazim.”
“Mungkin bagi awak tak menjejaskan apa-apa, tapi orang sekeliling tetap juga akan mengata. Rumah siap pun pahat berbunyi, inikan pula rumah yang belum dibina tiba-tiba runtuh. Saya rasa bukan setakat pahat berbunyi, tukul, gerudi semua akan memekik. Saya kasihan dengan mak cik dan pak cik.”

Wardah sama sekali tidak mahu perkara itu terjadi. Sudahlah terkejut dengan hal Nazim, sekarang mamat keju ni pun nak buat hal juga?

“Awak boleh tak satu hari tak buat perkara yang tak diduga? Awak memang suka kan buat keputusan yang diluar jangkaan?”

Perbincangan mereka atau mungkin lebih tepat lagi pertengkaran mereka itu berlaku di halaman rumah. Wadihah dan Hasyim memerhatikan dari dalam.

“Apa yang Wardah cakap tu ya ayahnya? Saya tengok macam nak bergaduh pun ada juga.”
“Awak biarkan ajelah budak-budak tu. Biar dia orang bincang. Kita orang tua dengarkan dulu pendapat mereka berdua. Kalau elok kita ikut, kalau tak elok kita tegur. Awak ni terlalu fikir sangat. Dahlah belum sihat lagi tu. Nanti makin melarat.”
“Saya berharap sangat Wardah tu setuju. Saya tengok budak Nine tu pun baik. Walaupun anak orang kaya tapi langsung tak berlagak. Dia sanggup nak tolong kita.”
“Awak ni, jangan berharap sangat. Wardah tu anak kita. Biar dia fikir mana yang terbaik untuk diri dia.”

Wadihah hanya mendiamkan diri. Jauh di lubuk hatinya mengharapkan Wardah mampu menerima lamaran Zulqarnain.

“Saya memang tak ada niat lain. Awak ingat kali ni saya buat keputusan ni tak fikir ke? Keputusan kali inilah untuk pertama kalinya dalam hidup saya saya fikir tak tahu ke berapa kali. Seribu lebih mungkin. Awak ingat saya ni tak tahu apa itu kahwin?”
“Kekasih yang betul-betul pun tak ada, lagi nak cakap pasal kahwin? Saya tahu awak tu macam mana.”
“Sebab saya fikir pasal komitmen dan tanggungjawablah saya masih tak ada sesiapa lagi dalam hati ni. Awak ingat senang ke nak cari orang yang boleh hidup dengan kita sampai mati?”
“Habis tu, awak ingat saya ni boleh hidup dengan awaklah sampai mati?”
“Ya. Sebab saya dah biasa ada awak kat sisi saya. Ke mana-mana saya pergi awak ada.”
“Encik Zulqarnain, saya jadi pengawal peribadi awak baru dua bulan. Itu belum cukup menjanjikan yang kita boleh hidup sampai mati.”
“Masa bukan penentu. Ia cuma satu tempoh. Apa-apa pun boleh jadi Cik Wardah. Awak ada setiap kali saya perlukan awak. Awak akan tegur saya kalau saya buat silap.”
“Awak memang pandai bermain dengan kata-kata kan? Itu memang awak. Saya tak dapat nak sangkal lagi. Kalau perempuan lain rasanya memang dah jatuh ke tangan awak tapi bukan saya.”
“Wardah, saya cuma minta awak faham niat saya. Banyak perbelanjaan yang dah dikeluarkan untuk mewujudkan satu ikatan yang tulus dan suci ni tapi ianya hancur. Saya tahu saya bukan orang yang baik, awak pun tahu siapa sayakan? Awak tak tahu macam mana rasanya hidup sebagai seorang yang bernama Jebat Zulqarnain bin Mahmood Syah. Nampak sahaja saya seperti bebas, hati saya masih tercari-cari siapakah saya sebenarnya. Sejak saya datang ke rumah awak, baru saya tahu apa itu kasih sayang keluarga. Izinkan saya untuk jadi sebahagian daripada kasih sayang itu.”

Wardah terdiam tatkala mendengar keterangan Zulqarnain yang panjang lebar itu. Apabila difikirkan semula, hatinya pernah mengatakan yang Zulqarnain adalah seorang yang bertanggungjawab. Sepanjang dia menjadi pengawal peribadi lelaki itu, Zulqarnain tidak pernah mengambil kesempatan terhadap dirinya. Jika berada di kelab hiburan sekalipun dia tidak pernah nampak tangan itu melingkar di pinggang mana-mana gadis.

“Awak tak fikir pasal keluarga awak? Awak lupa ke? Ke dah hilang ingatan yang awak tu pun tak lama lagi nak kahwin.”
“Saya ingat. Pasal perkahwinan tu, saya akan bincang dengan ayahanda saya.”
“Awak nak kahwin dua?”
“Tak. Saya tak akan buat macam tu. Awak pun tahu kan yang perkahwinan saya ni bukan pilihan saya. Sepatutnya abang Indera yang kahwin dengan dia. Saya ni mangsa keadaan. Perkahwinan saya ada masa lagi dua minggu. Sempat lagi untuk ditunda. Saya akan pujuk ayahanda untuk kahwinkan anak Datuk Ramli tu dengan abang Indera.”
“Senangnya awak cakap. Macam main kahwin-kahwin masa kecil dulu, boleh tukar pasangan macam tu aje. Hati saya masih terluka dengan perbuatan Nazim. Awak pula menambahkan lagi masalah saya. Kalau anak Datuk Ramli tu pilihan Dato’ Mahmood, habis tu saya ni apa pula? Pilihan hati awak? Macam tu?”

Entah bagaimana soalan itu boleh muncul daripada bibir Wardah. Wardah seperti mahu mengetahui perasaan Zulqarnain terhadapnya. Wardah juga tertanya-tanya. Dia ingin tahu apakah alasan dan sebab yang munasabah sehinggakan Zulqarnain mengambil keputusan drastik itu.

Zulqarnain memerhatikan raut wajah yang begitu hampir dengannya itu. Dia dapat melihat mata Wardah semakin mengecil dan bawah mata Wardah seakan lebam. Dia tahu gadis itu meratapi apa yang telah berlaku. Zulqarnain memejamkan matanya untuk seketika. Dia cuba mencari kekuatan dan semangat yang tenggelam jauh di dasar hatinya.

“Kenapa awak diam? Ke saya ni pilihan tangkap muat?”

Zulqarnain membuka semula kelopak matanya.

“Harum Wardah binti Hasyim, awak adalah pilihan hati saya. Untuk pertama kalinya dalam hidup saya, dada saya sakit bila saya pandang seorang perempuan dan perempuan itu ialah awak. Jantung saya akan berdegup pantas melebihi had laju biasa macam orang lari 3km tanpa henti bila saya tengok awak senyum. Denyutan nadi saya berubah macam orang tekan tubi 100 kali apabila saya tatap mata awak. Saya rasa gelisah sampai berpeluh-peluh kalau tak nampak awak. Saya tak pernah rasa macam tu.”

Wardah terkesima tatkala mendengar pengakuan Zulqarnain.

Ha, ambil kau. Tadi nak sangatkan jawapan. Ha, sekarang kau nak jawab apa pula?

“Sampai satu tahap saya rasa yang saya ni menghidap penyakit dan saya kena jumpa dengan doktor. Bila saya nampak awak balik dengan air mata yang mengalir petang tu, hati saya meronta dan memaksa saya untuk melindungi awak. Saya tak faham kenapa saya tak dapat mengawal diri saya sedangkan selama ni saya tahu dan yakin dengan kehendak saya. Awak tahu tak, semua serba tak kena. Saya tak nampak awak, saya risau. Bila saya nampak awak, saya pula yang sasau. Saya fikir balik apa sebab saya jadi macam ni, satu jawapan muncul di hati saya. Jawapan itu ialah awak. Saya tak tahu apa perasaan ini. Pelik.”

Itu dia. Jawapan panjang lebar yang diluahkan oleh Zulqarnain. Jujur dan yang penting semua kata-katanya datang dari hati itu. Memang jujur budak ni. Dah tak ada nak fikir lalu pintu belakang, terus meluru masuk ke pintu hadapan dan membuatkan Wardah terkejut. 

Tiba-tiba sahaja Wardah merasakan matanya seperti hangat dan matanya seperti bertakung.

“Wardah, kenapa? Apasal awak menangis ni?”

Tangan Zulqarnain mahu menyentuh pipi Wardah.

“Awak jangan sentuh saya,” tegas gadis itu.

Zulqarnain sepertinya mengalah apabila melihat reaksi itu.

“Macam nilah. Kalau awak nak beritahu dengan ayah dan ibu awak pasal perkahwinan saya nanti, terpulang awaklah. Saya akan pergi dari sini kalau itu yang awak mahu. Saya tak paksa awak.”

Wardah segera berpaling daripada Zulqarnain. Tidak sanggup rasanya terus menerus mengalirkan air mata di hadapan lelaki itu.


 “Wardah,” panggil Zulqarnain, lembut.

Langkah Wardah terhenti di situ untuk seketika.

“Awak ada fikir tak kemungkinan ada sebab kenapa takdir telah tertulis mengatakan yang saya kena ikut awak balik ke kampung ni? Everything happens for a reason, Wardah.”

Dia terus melangkah laju menuju ke rumah. Wardah sempat menyapu air matanya sebelum masuk.

Hasyim dan Wadihah sudah pun menanti di ruang tamu. Apabila melihat kelibat anaknya masuk ke dalam rumah, Wadihah bingkas berdiri lalu mendapatkan Wardah.

“Adik……” panggil Wadihah.

“Ayah, ibu…adik setuju.”

Wardah kelihatan yakin tatkala melafazkan perkataan itu.

3 comments:

  1. Episode ni tacing...mate tibe2 masuk habuk heeee....

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi...habuk tu datang dari mana?? kihkihkih..
      part mana yang menyentuh sanubari tu??

      Delete
  2. sweet la pula jebat ni...touching..

    ReplyDelete