BAB
20
“Luka lama tidak berdarah.
Parut terkesan malah membekas.”
“Ibu, nak letak semua
barang ni kat mana?” soal Zulqarnain yang baru sahaja pulang daripada pasaraya
kerana membeli keperluan dapur.
“La…Nine pergi beli
barang dapur ke? Tadi kata nak pulangkan baju pengantin.”
Wardah langsung tidak
menghiraukan Zulqarnain. Selagi Zulqarnain tidak menyelesaikan masalah yang
wujud di antara mereka berdua, Wardah tidak akan memulakan bicara. Jika
Zulqarnain bertanya, hanya sepatah yang dijawabnya.
“Tak apalah ibu. Tadi
masa balik Nine nampak pasaraya. Jadi apa salahnya Nine beli keperluan sikit.”
“Buat susah aje Nine
ni. Lebihan rewang hari tu pun ada lagi. Nine letak aje kat tepi tu. Nanti
Wardah kemaskan.”
Wadihah dan Wardah
hampir siap menyediakan lauk tengahari. Sudah tiga hari berlalu sejak hari
pernikahan mereka berdua. Wadihah dapat melihat perhubungan dingin antara anak
bongsu dan menantunya. Wadihah juga tidak mahu memaksa mereka berdua
memandangkan ikatan yang terjalin terjadi pada waktu yang tak diduga. Namun
sebagai orang tua, dia berharap Zulqarnain dan Wardah mampu menyesuaikan diri.
“Oh..ya ke? Tak apa,
ibu simpan. Lagipun semua ni bahan kering. Nine memang tak pandai nak beli lauk
mentah. Ibu, ayah mana? Nine ada nak bincang sikit dengan ayah.”
Tangan Wardah yang
tadinya laju mengacau gulai di periuk tiba-tiba sahaja terhenti. Wardah cuba
menilik perkara yang Zulqarnain mahu bincangkan dengan ayahnya.
“Ibu rasa ada kat
depan. Ibu nampak tadi dia tengah membaca. Nine pergilah tengok kat ruang
tamu.”
Zulqarnain hanya mengangguk
lalu kakinya melangkah menuju ke ruangan hadapan. Ternyata Hasyim sedang ralit
membaca. Cermin mata rabun dekat terletak kemas di batang hidung itu. Hasyim
menyelak ke muka surat seterusnya.
“Ayah,” panggil
Zulqarnain.
Hasyim menoleh sambil
menurunkan sedikit kedudukan cermin matanya untuk melihat wajah Zulqarnain.
“Ha…kamu dah balik? Dah
pulangkan semuanya?”
“Dah ayah. Ayah baca
buku apa? Nine tengok ayah macam khusyuk sangat aje.”
Zulqarnain melabuhkan
punggungnya ke sofa tunggal berwarna merah itu. Zulqarnain cuba membendung
perasaan bimbang dan takutnya. Dia mahu berbincang sesuatu dengan ayah
mertuanya. Dia sememangnya belum bersedia untuk membongkarkan apa sebenarnya
yang telah berlaku. Dia masih lagi mahu duduk di kampung itu. Kalau diikutkan hati.
Zulqarnain mahu melengah-lengahkan tetapi perasaannya ada terselit rasa
bersalah.
“Hang Nadim Laksmana
Jihad. Wardi baru aje belikan semalam. Dia tahu ayah suka baca buku pahlawan
Melayu macam ni.”
“Hang Nadim? Kisah
budak kecil yang bijak dengan Singapura Dilanggar Todak tu?”
Hasyim menanggalkan
cermin matanya lalu menandakan helaian yang baru habis dibaca. Dia meletakkan
buku setebal 280 muka surat itu di atas meja.
“Itu cerita yang biasa
orang dengar. Tapi ini cerita yang lain. Ini cerita Hang Nadim yang lain. Dua
orang yang berlainan. Jarang orang bercerita tentang asal usul Hang Nadim.
Selalunya orang bercerita kisah tentang lima bersaudara tu.”
“Itu cerita yang Nine
pernah dengar. Nine tak tahu pula ada dua orang Hang Nadim dalam hikayat
Melayu.”
Hasyim menyandarkan
belakangnya. Zulqarnain seperti menunjukkan minat untuk mendengar dia
bercerita. Inilah peluang Hasyim untuk menyebarkan cerita dan hikayat Melayu
kepada generasi muda.
“Menurut sejarah
Melayu, Hang Nadim ni anak kepada Hang Jebat dan juga Dang Wangi. Mesti Nine
pernah dengar cerita pasal pertarungan antara Tuah dan Jebatkan? Masa Hang
Jebat terbunuh, Hang Nadim masih lagi kat dalam kandungan Dang Wangi. Hang Tuah
ambil keputusan untuk jadikan Hang Nadim sebagai anak angkat. Hang Nadim ni
umur dia panjang. Masa kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, beliau adalah salah
seorang pahlawan yang berjuang habis-habisan menentang penjajah. Hang Nadim tak
pernah jemu melakukan serang balas sampaikan Alfonso de Albuquerque merasa
tergugat dengan kebolehan dan semangat Hang Nadim."
“Hang Jebat dan Dang
Wangi?”
“Kenapa Nine?”
“Tak ada apa ayah. Nine
terasa macam mengulang kembali hikayat dahulu kala. Hikayat mengatakan Hang
Jebat berkahwin dengan Dang Wangi. Apa yang berlaku sekarang Jebat Zulqarnain
dan Harum Wardah berkahwin dengan takdir yang tak dijangka. Wangi dan Harum,
membawa erti yang sama.”
“Ya tak ya juga. Ayah
baru perasan. Nanti kalau Nine ada anak lelaki, bolehlah namakan Nadim. Biar
semangat mempertahankan bangsa, agama dan tanah air tersemat kat dalam jiwa.”
Zulqarnain menundukkan
pandangannya.
Anak? Perang dingin ni
berpanjangan entah sampai bila. Macam mana nak ada anak. Rintih jiwa
Zulqarnain.
“Kenapa Nine? Ada benda
nak cakap dengan ayah ke?”
Zulqarnain mendongak
kembali apabila mendengar pertanyaan Hasyim. Zulqarnain tidak menjawab terus,
sebaliknya dia cuba menyusun ayat yang sesuai untuk diluahkan.
Belum sempat Zulqarnain
memikirkan ayat yang sepatutnya, sudah kedengaran bilal mengalunkan azan di
masjid. Itu menandakan matahari sudah tergelincir dan masa sudah melewati waktu
Zuhur. Hasyim memandang ke jam dinding. Jam itu menunjukkan pukul 1.15 petang.
Masa waktu solat sudah cepat. Pada kebiasaannya Hasyim akan ke masjid unuk
menunaikan solat jemaah bersama-sama penduduk kampung. Akan tetapi hari itu dia
mahu melakukan jemaah di rumah.
“Ha Nine, dah masuk
waktu solat Zuhur. Ayah ingat nak jemaah kat rumah aje. Nine jadi imam ya?”
Zulqarnain terkejut
dengan permintaan Hasyim. Memandangkan Zulqarnain secara rasmi sudah menjadi
menantunya, Hasyim mahu lelaki itu menjadi imam untuk solat mereka pada kali
ini.
Wardah yang baru sahaja
selesai urusan di dapur juga terkejut sewaktu kakinya melangkah menghampiri
ruang tamu. Sama sekali tidak menduga Hasyim akan meminta Zulqarnain melakukan
perkara itu. Bukan mudah mahu menjadi pemimpin semasa menunaikan rukun Islam
yang kedua itu.
“Boleh kan Nine? Nine
pun sekarang dah jadi ketua keluarga. Perkara ni perlu kerana kita kena
membimbing keluarga kita ke jalan yang benar.”
“Sebenarnya ayah, bacaan
Nine tak beberapa lancar. Ada juga perbuatan yang Nine terlupa bacaannya. Terus
terang Nine beritahu yang Nine jarang solat. Bila Nine datang kat rumah ni,
barulah Nine solat. Itupun hanya jadi pak turut aje bila abang Wardi ataupun
ayah yang imamkan.”
Zulqarnain tidak
memberikan sebarang alasan untuk mengelak. Dia tidak mahu berdolak-dalih. Kata
orang alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang
ayahnya tahu, biarlah orang tua itu tahu kesemuanya.
“Astaghfirullahalazim.
Nine, solat tu tiang agama. Jangan hanya lidah kita sahaja yang mengaku Islam
tetapi perbuatan jauh panggang daripada api. Bacaan al-Quran?”
“Nine pernah belajar
tapi dah lupa sebab tak amalkan.”
“La Hawla
Wala Quwwata Illa Billah…jadi selama ni jadi macam lembu yang dicucuk hidung?
Zulqarnain, biar kita dipandang hina pada pandangan mata orang tapi jangan pada
pandangan Allah.”
“Nine tahu
ini silap Nine. Nine melebihkan ilmu dunia daripada ilmu akhirat. Sebab tu Nine
nak minta izin untuk tinggal lebih lama kat sini sebelum Nine beritahu apa yang
berlaku pada keluarga Nine. Nine nak belajar ilmu Fardhu Ain daripada ayah.”
Lain yang
ingin diberitahu, lain pula yang diluahkan. Zulqarnain memang menyimpan niat
untuk belajar semula ilmu agama yang dia pernah pelajari dahulu. Kehidupan yang
melalaikan sepanjang dia berada di Italy membuatkan dia lupa. Niatnya tadi mahu
memberitahu akan sebab asal dia ke kampung itu. Dia berbohong dengan mengatakan
yang dia sedang bercuti walhal dia sedang melarikan diri. Zulqarnain tidak mahu
Wardah terus ada salah faham terhadap dirinya.
“Kata orang
biar terlambat asalkan jangan tak pernah buat. Mulai hari ni, ayah akan ajar
kamu tentang asas Fardhu Ain. Lagi satu, kamu kena sertai kelas mengaji dengan
budak-budak kampung ni.”
“Maksudnya
Nine kena mengaji depan budak-budak kecil tu?”
“Ya, kenapa?
Wardah yang akan jadi guru kepada Nine, sama macam budak-budak tu.”
“Baik ayah.”
“Nasib baik
ayah tergerak hati nak suruh Nine jadi imam, kalau tak sampai ke sudah ayah tak
tahu akan hal ni. Ayah tak nak menantu ayah jadi orang yang tak ada pedoman.
Kalau pegangan dan iman kita senipis kulit bawang, macam mana kita nak melawan
segala nafsu jahat serta hasutan syaitan? Sebabkan ikut nafsu dan kehendak
hatilah ramai sangat yang hanyut. Kamu sekarang ni dah jadi pemimpin, pemimpin
kepada anak perempuan ayah.
Kalau pemimpinnya dah berjalan senget macam ketam,
macam mana kamu nak ajar anak ayah tu berjalan tegak?”
Nada Hasyim
sudah tegas. Zulqarnain membisukan diri.
“Sudah. Kita pergi ambil wuduk sama-sama. Ayah nak
tengok macam mana. lepas tu kita solat berjemaah. Lepas solat nanti, ayah akan
ajar.”
Hasyim
segera bangun. Dia mahu menuju ke bilik air.
“Ha…lagi
satu, ayah nak tanya ni.”
Zulqarnain
hanya memandang wajah orang tua itu dengan perasaan bersalah.
“Kamu ni dah
sunat ke belum?”
“Sudah
ayah.”
“Nasib baik
dah tahu diri tu dah sunat ke belum. Kalau tak tahu juga, memang parah.”
-------------------------------------------
Tangan Inderawan sedang
menuang air susu di dalam kotak itu ke gelas kosong. Setelah menuang susu itu
hampir penuh, dia menyimpan semula ke dalam peti sejuk dua pintu itu.
Majlis
perkawinannya berlangsung siang tadi berjalan lancar walaupun ada puluhan yang
menanya di mana Zulqarnain. Tadi baru sahaja berlalu majlis resepsi yang
diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru. Tetamu yang hadir
hanyalah saudara dan kenalan rapat keluarga itu. Ada juga yang bertanya akan
pertukaran pada saat-saat akhir pengantin lelaki. Semuanya Dato’ Mahmood sudah
uruskan dengan menyediakan jawapan yang bernas dan logik. Sudahnya, semuanya
perlu berbohong demi menjaga nama baik keluarga. Alasan yang digunakan ialah
Zulqarnain sudah berangkat ke Italy bagi menyambung semula pelajarannya dengan
mengambil kursus pendek di sana. Walaupun merasakan alasan itu tidak kukuh lagi
konkrit, tetapi hanya itu sahaja yang mampu diterima logik akal.
Inderawan melabuhkan
punggungnya ke kerusi yang terletak berhampiran dengan bar di dapur. Dato’
Mahmood punya citarasa tinggi dalam mereka hiasan dalaman. Bahagian dapur itu
jelas ada sentuhan ala Inggeris moden. Inderawan meletakkan gelas di atas meja
bar. Dia memandang lama air berwarna putih itu. Otak dan fikiran Inderawan
ligat berfikir apa yang akan berlaku selepas ini. Sejauh mana dia mahu menari mengikut
irama Dato’ Mahmood. Suit putih yang tersemat kemas ditubuh dirasakan rimas.
Inderawan menanggalkan kot yang dipakainya.
(tak jumpa pula Indera pakai suit putih, jadi anggap ajelah kot dia tu warna putih ya.. hikhikhik) |
Tria melangkah ke dapur
apabila melihat lampu bahagian rumah itu masih lagi menyala. Dia tersenyum
apabila melihat Inderawan yang sedang bersendirian.
“Indera,” panggil Tria.
Inderawan menoleh.
Perasaannya berubah apabila memandang wajah itu. Daripada fikirannya serabut,
kini bertukar kepada perasaan merimaskan. Dia sudah menjangka kemungkinan yang
akan berlaku sebaik sahaja dia kembali ke banglo itu.
Inderawan membiarkan sahaja Tria berada di
situ,seolah-olah wanita itu tidak wujud di persekitarannya.
“You baru balik ke? Alice mana?”
Sengaja Tria bertanya
akan hal Zara Alisha kepada Inderawan. Dia tahu Inderawan langsung tiada perasaan
terhadap gadis itu.
Inderawan sengaja
memekakkan telinganya. Dia meneguk perlahan airnya. Tiba-tiba dia merasakan air
susu itu kelat.
“I gembira you dah kembali semula ke rumah ni. Boleh I tahu apa sebabnya you tiba-tiba berubah fikiran? Sebab I ke?”
“Mana ayahanda?”
“Ayahanda you balik lambat sikit. Biasalah, bila
dah jumpa dengan kawan-kawan bisnes dia, pasti ada perkara panjang lebar yang
dibincangkan. Pak Hamid hantar I balik
dulu.”
“Patutlah aunty berani nak cakap dengan saya.
Harimau tak ada kat dalam kandang rupanya.”
Tangan Tria cuba
menyentuh tangan Inderawan yang berada di atas meja bar. Dia yakin Inderawan
masih ada perasaan terhadap dirinya.
“Apa yang aunty cuba buat ni?” ucap Inderawan sambil
menarik tangannya daripada genggaman lembut Tria.
“I masih sayangkan you,”
“Aunty cakap apa ni? Aunty
jangan nak merepek malam-malam macam ni,”
“I tak merepek. I tak tahu
Dato’ Mahmood ayah you,”
“Kenapa? Kalau aunty tahu dia ayahanda saya, aunty tak goda dia? Sudahlah aunty. Saya rasa aunty ni mengigau agaknya. Benda tu dah setahun lebih lepas. Dah
basi pun,” ucap Inderawan.
“Indera, jangan cakap
macam tu. I tak pernah bohong. I memang sayangkan you,”
“Aunty, saya tak faham apa yang aunty
cakap ni.”
“I tahu, sampai sekarang hati you
masih lagi belum ada sesiapa lagi. I adalah orang yang terakhir ada kat dalam
hati you. You susah nak cari
pengganti I, betul tak? You kahwin dengan Alice pun sebab
ayahanda you yang suruh. I rasa, kalau ayahanda you tak paksa you kahwin mungkin sampai sekarang you tak kahwin lagi sebab you
masih sayangkan I kan?”
“Aunty, saya rasa soal hidup saya tak ada kena mengena dengan aunty. Aunty tak ada hak nak cakap pasal tu dengan saya,”
Inderawan segera bangun
lalu mahu beredar daripada situ. Jika dibiarkan lebih lama, pasti Tria cuba
mengembalikan kenangan itu ke kotak fikirannya. Hatinya sudah mula mahu
menerima apa yang telah berlaku. Inderawan sudah mengambil langkah untuk
menghadapi kenyataan itu.
“I
miss you so much sayang.”
Tanpa ada rasa
bersalah, Tria melafazkan baris ayat itu.
“Saya rasa aunty perlu sedar kedudukan aunty dalam rumah ni. Aunty isteri ayahanda saya. Saya masih
hormat aunty sebagai mak tiri saya,”
ucap Inderawan, seperti memerli lalu segera menaiki tangga menuju ke biliknya.
Hatinya menjadi sakit apabila memikirkan
peristiwa lampau. Mahu sahaja dia memadamkan semua memori itu, tetapi dia tahu,
dia tak mampu melakukannya. Ianya luka lama yang meninggalkan parut yang masih
lagi jelas kelihatan.
--------------------------------
“I ingat nak ajak you jumpa dengan keluarga I,” ucap Inderawan.
Suasana di restoran
pada malam itu kelihatan lengang. Sememangnya Inderawan sengaja memilih
restoran itu sebagai tempat untuk mereka makan malam. Dia merasakan, waktu itu adalah
waktu yang paling sesuai untuk membincangkan akan masa depan hubungan mereka.
Tria yang dari tadi sedang enak mengunyah
daging seperti terkejut dengan kenyataan Inderawan.
“I pun rasa dah tiba masanya I
jumpa keluarga angkat you,”
Inderawan kelihatan
bersungguh-sungguh. Dia tahu Tria sebatang kara. Tria membesar bersama keluarga
angkatnya.
“I nak kita bincang untuk aturkan tarikh yang sesuai untuk you jumpa dengan keluarga I. Bila you ada masa?”
Dia cuba menelan soalan
Inderawan itu sepertimana dia menelan daging itu.
“I sibuklah. Sejak
akhir-akhir ni, I banyak kerja.”
“Kalau minggu depan
macam mana? Hari Ahad,” cadang Inderawan.
“Tak bolehlah sayang.”
“Tak akan hari Ahad pun
kerja.”
“Kan I dah cakap, I banyak kerja.”
“Sayang, I nak hubungan kita ni jadi lebih
serius,” ucap Inderawan.
“I tahu. Tapi I banyak
benda nak fikir dulu. Bagilah masa untuk hubungan kita. Lagipun, I’m not ready to see your family.”
“Tapi I dah sedia. Kalau you belum sedia jumpa family I,
biar I jumpa keluarga you dulu.”
“Indera, kan I dah cakap tadi, I belum bersedia dengan hubungan yang lebih serius. Banyak benda I nak kena fikir. Umur I baru 24 tahun.”
“Kenapa? Umur you 24 tahun, tak boleh kahwin?”
Tria meletakkan pisau
dan garfu di atas pinggan. Seleranya tiba-tiba hilang. Dia menghirup jus oren
itu namun terasa kelat apabila membasahi tekak. Dia malas mahu memikirkan
perkara itu.
“Kenapa you diam? You dah tak sayang I lagi
ke?”
“Bukan itu masalahnya. I belum sedia lagi.”
“Tria, bila you kahwin dengan I nanti, I tak akan
halang you untuk you terus kerja. I tak
akan halang you untuk you capai cita-cita you. Cuma I nak hubungan
kita ni lebih kukuh.”
“You ni, memang tak pernah nak faham I. You nak I ikut je kehendak you tu. Kehendak I macam
mana? Ada you fikir? I nak kukuhkan
dulu kewangan kita. You pun kalau I tanya pasal kerja you, you selalu mengelak.”
Suara Tria sedikit
meninggi. Jelas yang dia marah apabila membincangkan isu itu. Tria segera
mengambil beg tangannya dan segera meninggalkan restoran itu.
Inderawan membiarkan
sahaja Tria berlalu pergi. Dia tidak mahu terus menerus memaksa Tria. Lagipun
dia bukanlah di kalangan orang yang suka memaksa. Dia membiarkan Tria tenang
terlebih dahulu. Bukan niatnya mahu merahsiakan akan hal pekerjaannya. Selama
ini kalau keluar berdua dengan Tria, dia akan menggunakan kereta milik pembantu
peribadinya. Inderawan mahu mencari hati yang tulus dan ikhlas menerima
dirinya. Dia pasti, jika dia memberitahu kedudukan dirinya sebenar, belum tentu
dia mampu menilai sikap sebenar seseorang itu. Entah mengapa, ketika itu
Inderawan mula ragu-ragu dengan kasih sayang Tria terhadap dirinya.
--------------------------------
Peristiwa di restoran
iulah menjadi titik permulaan berlakunya retakan di dalam hubungan mereka.
Masih segar diingatannya, kali pertama mereka berdua bertemu. Inderawan
membantu Tria yang ketika itu sedang mengalami kemalangan. Hubungan mereka
menjadi serius setelah 6 bulan berkenalan. Inderawan merasakan Tria seorang gadis
yang punya impian dan cita-cita yang tinggi. Tria tahu matlamat hidupnya. Itu
yang membuatkan Inderawan kagum dengan gadis itu.
Inderawan mengeluh
panjang apabila memorinya mengembalikan semula ke kenangan itu. Rahsia tersebut
masih lagi tersimpan kemas dalam lipatan hidupnya. Dia tidak pernah
menceritakan kepada sesiapa akan hal Tria dan dirinya kecuali Haqimi. Hanya
pembantu peribadinya sahaja yang tahu apa yang berlaku. Kini, dia terpaksa
berhadapan dengan kenyataan itu sepanjang hidupnya. Kenyataan yang Tria adalah
isteri ketiga ayahnya. Hanya Allah sahaja yang tahu penderitaan yang dipaksa
ditanggung oleh Inderawan.
Inderawan berdiri lama
di hadapan pintu bilknya sendiri.
Macam manalah aku nak
masuk bilik ni? Minah tu ada kat bilik. Aku kena tidur luar ke? Aish..apasal
pula, bilik ni bilik aku.
Inderawan sempat
berdialog dengan dirinya sendiri sebelum membuka pintu kamarnya.
“Zara, buka pintu ni,”
arah Inderawan apabila mendapati tombol itu berkunci dari dalam.
Zara Alisha yang berada
di dalam bilik sudah mula tidak senang duduk. Perkara itu yang paling
ditakutinya. Tinggal sebilik dengan orang yang tidak dikenali? Ohhh..tak
mungkin.
“Zara Alisha…….hari
pertama kahwin awak nak derhaka kat suami awak ke?”
Akhirnya Zara Alisha
mengalah. Dia memulas tombol dan pintu sudah tidak berkunci.
“Suka hati aje kunci
pintu ni? Ini bilik saya. Sejak rumah ni wujud, ini bilik saya.”
“Tadi aku tukar baju,
kuncilah pintu. Aku rasa kau pun tak nak tengok aku salin baju kan?”
Bijakkan aku cari
alasan? Aku memang tak bersalah dalam hal ni. Ucap hati Zara Alisha sendiri.
Inderawan segera
menarik ke kiri pintu almari bajunya. Dia mengambil kemeja T dan juga seluar
pendek paras lutut sebagai persalinannya selepas mandi nanti.
“Aku rasa aku macam
pernah nampak kau sebelum ni. Tak silap aku, kau ada masa kat lapangan terbang
dengan Nine, betul tak? Mamat yang konon-konon cool.”
“Macam mana kau kenal
Nine?”
Pada awalnya Inderawan
masih lagi mahu berbudi bahasa dengan Zara Alisha tetapi apabila mendengar Zara
Alisha hanya membahasakan diri kau dan aku, dia juga turut menggunakan
panggilan itu.
“Kenal kat kelab. Tapi
sekali tu ajelah aku jumpa dia. Muka kau dengan dia sama. Kau abang dia ke?”
“Ya, aku abang dia.”
“Kalau kau Tuah
Inderawan, habis tu adik kau tu Jebat ke?”
“Jebat Zulqarnain.”
“Wow…mengagumkan.
Dengar nama aje dah gigil lutut. Adik-beradik kau yang lain pun sama ke?
Kasturi, Lekir dengan Lekiu semua ada?”
“Ada. Kau ni memang
banyak cakap kan?”
“Wow..tiba-tiba aku
rasa macam ada kat istana Melaka. Jadi, maknanya……aku patut kahwin dengan si
Jebat tapi kau datang gantikan tempat dia sebab dia dah lari. Macam tu?”
“Aku yang sepatutnya
kahwin dengan kau. Bukan dia. Dia hanya mangsa keadaan.”
“Kalaulah aku tahu, aku
pun lari juga. Senang cerita. Kau pun tak payah kahwin dengan aku.”
“Habis tu, apasal tak
lari?”
“Kalau aku lari, siapa
nak kasi elaun kat aku? Kalau tak ada elaun, macam mana aku nak dapat duit?
Kalau tak ada duit, macam mana aku nak berseronok? Aku belajar lagi. Dari kecil
aku dah hidup senang. Nak tak nak aku kena ikut permintaan abah aku.”
“Kau ni memang jujur
orangnya. Kau memang sama perangai macam Nine.”
Jujur? Tang mana yang
aku jujur? Zara Alisha menanyakan soalan itu kepada dirinya sendiri. tadi,
seperti ada perkara yang dia mahu beritahu kepada Inderawan tetapi sudah lupa
jadinya apabila sibuk membincangkan akan hal Zulqarnain.
“Aku ada benda nak
cakap dengan kau. Kau panggil aku Alice aje. Sebab itu memang nama panggilan
aku sejak dari kecil lagi,” tegas Zara Alisha setelah mengingati hal yang mahu
dia bicarakan kepada suaminya itu.
Inderawan memandang
wajah Zara Alisha sebaik sahaja tangannya menggapai tuala berwarna hijau pucuk
pisang di dalam almari.
“Muka macam belacan
hapak, ada hati nak panggil nama tu Alice? Ingat kau tu Alice in Wonderland ke?
Aku peduli apa, aku tetap nak panggil kau Zara. Biar macam Melayu sikit. Tak
sedar diri ke yang diri tu Melayu? Jangan tahu letak bangsa Melayu aje kat kad
pengenalan tapi berangan nak ikut budaya barat. Aku ni bukannya kahwin dengan
orang mat saleh.”
“Kalau kau panggil aku Zara, aku buat pekak
ajelah.”
“Zara Alisha adalah
nama kau. Elok dan sedap didengar nama tu. Jadi, aku tetap akan panggil kau
Zara.”
“Suka hati kaulah. Satu
lagi, aku dah biasa tidur kat atas tilam yang empuk lagi membahagiakan. Jadi,
aku rasa lebih baik kau tidur kat tempat lain. Takkanlah kau nak tidur sekatil
dengan aku kan?”
“Kau ingat ni drama
macam kat dalam tv? Aku peduli apa? Macam aku cakap tadi, ini bilik aku. Jadi
aku tetap akan tidur kat atas katil aku sendiri. Kalau kau tak nak, kau yang
kena pergi tidur kat tempat lain.”
Zara Alisha tercengang
apabila mendengar kata-kata Inderawan. Dia menyangka Inderawan akan mengalah
dengannya.
“Satu lagi, kau tak
payahlah risau. Aku jenis lelaki Melayu terakhir. Aku hormati kau sebagai seorang
wanita dan juga isteri aku. Aku takkan sentuh kau kalau bukan atas kerelaan
kita bersama. Aku tahu kita sama-sama tak rela atas perkahwinan ni. Tak salah
aku dengan kau kongsi katil. Semuanya dah jadi halal pun. Kau nak buat apa-apa,
buatlah. Asalkan benda tu tak memudaratkan. Kalau kau tak buat pasal, aku pun
tak akan buat hal. Kau buat hal kau, aku buat hal aku. Ok? Setuju?”
“Nanti letak bantal golek kat tengah-tengah
ya?” Pinta Zara Alisha.
“Ya, kau nak letak
Tembok Besar China kat situ pun tak apa. Bagus, senang berurusan dengan orang
jujur macam kau ni. Aku nak pergi mandi dulu.”
Zara Alisha membalas
dengan menganggukkan kepalanya. Dia menyengih lalu menunjukkan dua tanda ibu
jari ke atas.
Tuah Inderawan!!..hihihi
ReplyDelete