BAB
23
“Taring kucing tajam
mengigit, manakan sama taring si belang.”
Hanafi
merenung lama Zulqarnain yang berada di sebelahnya. Wajah anak kecil itu
terpancar perasaan ingin tahu. Dari hujung rambut hingga ke bawah Hanafi
memerhatikan Zulqarnain. Zulqarnain merasa tidak selesa. Dia membalas dengan
menjeling tajam. Kanak-kanak yang lain turut juga memberikan reaksi pelik.
“Kenapa
abang Nine duduk kat sini? Abang Nine nak belajar mengaji juga ke?” soal Hanafi
tiba-tiba.
Zulqarnain
tidak mahu memberikan sebarang jawapan.
“Selalunya
abang Nine duduk kat luar aje. Tapi kenapa hari ni abang siap pakai songkok?
Abang tak tahu baca Muqaddam ke?”
Bertubi-tubi
soalan diajukan oleh Hanafi kepada Zulqarnain.
“Budak kecil
tak boleh soalan banyak-banyak kat orang dewasa.”
“Kenapa tak
boleh pula? Kata cikgu Napi, kalau kita tak tahu kita kena tanya dengan orang
yang lebih dewasa. Kalau tak tanya nanti kita sesat jalan.”
“Masalahnya
sekarang, Napi tengah tanya pasal jalan ke?”
“Abang Nine,
itukan peribahasa. Ish..ish..patutlah abang Nine ni duduk kat sini.
Rupa-rupanya semua abang Nine tak tahu.”
“Kurang asam
budak ni. Dia kenakan aku pula. Lebih baik tutup mulut tu. Bercakap mengalahkan
orang tua.”
“Abang Nine,
kanak-kanak kena banyak bercakap dan bertanya untuk perkembangan otak. Napi tak
nak jadi macam abang. Dah besar macam ni baru nak belajar baca Muqaddam.”
Sekali lagi
Zulqarain merenung tajam ke arah Hanafi. Sakit hati bukan kepalang apabila
mendengar kata-kata anak kecil itu.
Apasal kau
tak bisu aje? Susah betul bercakap dengan budak macam ni. Kalau ikutkan hati
aku jahit-jahit mulut kau tu. Bentak hati Zulqarnain.
Zulqarnain
segera betindak menekup mulut Hanafi. Hanafi mahu menjerit tetapi mulutnya
tidak dapat dibuka.
“Mmm…..mmmm….”
“Kau ni
budak kecil aje tapi bercakap mengalahkan orang tua. Dah macam mak nenek.
Dahlah berangan nak kahwin dengan orang dewasa. Tak sedar ke diri tu kecil
lagi. Entah dah sunat ke belum.”
Wardah yang
lengkap berbaju kurung dan bertudung keluar daripada bilik. Kakinya melangkah
menuju ke ruang tamu sambil tangannya memegang sebatang rotan.
“Nine, awak
buat apa dengan Napi tu?”
Zulqarnain
terkejut lalu melepaskan Hanafi sambil menyengih seperti kerang busuk.
“Kak Wardah,
abang Nine marah bila Napi tanya kat dia.”
Hanafi mula
mengadu.
“Napi tanya
apa?”
“Napi tanya
kenapa dia duduk dengan kita orang kat sini tapi dia tak nak jawab. Lepas tu
dia cakap budak kecil tak boleh tanya banyak soalan.”
Wardah sudah
bercekak pinggang memandang Zulqarnain.
“Awak tak
tahu budak Napi ni. Banyak sangat mulut dia. Tanya soalan bukan-bukan sebab tu
saya tutup mulut dia.”
Zulqarnain
cuba mempamerkan wajah yang tidak bersalah.
“Awak dengan
budak kecil pun nak cari gaduh? Awak nampak tak rotan ni? Rotan ni saya beli
khas untuk awak. Dah besar macam ni baru nak pergi kelas mengaji.”
Kedengaran
pelajar yang lain tertawa kecil sambil menutup mulut.
“Kak Wardah,
jadi betullah abang Nine ni duduk sini sebab baru nak belajar mengaji? Kenapa?
Abang Nine tak pandai baca ke?”
Wardah
memerhatikan raut wajah Zulqarnain. Wardah segera duduk bersimpuh di hadapan
mereka.
“Hanafi, tak
semestinya tak pandai baru kena belajar. Abang Nine belajar sebab nak tambah
ilmu. Nak perbaiki mana yang kurang dan nak tambah pengetahuan dalam bidang
agama.”
Zulqarnain
terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Wardah. Wardah tahu, walau seburuk
mana pun Zulqarnain, lelaki itu tetap suaminya. Wardah harus menjaga maruah
lelaki itu.
“Oh..macam
tu rupanya. Kan senang kalau abang Nine jawab macam tu. Barulah Napi faham.”
“Ish budak
ni. Kang ada juga yang kena dengan aku ni.”
Sebaik
sahaja mendengar kata-kata Zulqarnain, Wardah menghayun rotan itu ke paha
Zulqarnain.
“Aduh…apasal
ni? Saya tak buat apa-apa pun.”
“Awak tu,
dengan budak kecil pun tak tahu macam mana jawab. Lepas tu cari pasal. Macam
budak-budak.”
“Aduh…garangnya
cikgu mengaji ni,” ucap Zulqarnain sambil mengusap perlahan paha kanannya.
Hanafi sempat menunjukkan tanda ibu jari ke atas sambil menjelirkan lidahnya
kepada Zulqarnain.
“Hanafi, tak
baik buat macam tu. Hanafi kena hormat abang Nine sebab abang Nine lebih tua
daripada Hanafi.”
“Baik kak
Wardah.”
Hanafi
menarik muka masam kerana ditegur begitu. Kali ini giliran Zulqarnain pula
mengejek Hanafi. Sekali lagi rotan itu mengena belakang Zulqarnain.
“Aduh….aduh….”
“Awak pun
sama. Dalam kelas mengaji, jangan main-main. Ini buku awak.”
Wardah
menghulurkan buku nipis berwarna hijau itu kepada Zulqarnain. Buku itu bertukar
tangan.
“Iqra’ 1?”
Zulqarnain
memandang Muqaddam yang berada di rehal milik Hanafi. Mata Zulqarnain meliar ke
pelajar yang lain, ingin melihat jika kanak-kanak yang lain ada memiliki buku
sepertinya atau pun tidak.
“Kenapa buku
saya lain? Kenapa saya tak dapat Muqaddam macam dia orang?”
“Encik Jebat
Zulqarnain, Iqra’ ni adalah cara paling cepat untuk belajar baca al-Quran.
Dalam masa sebulan, saya nak awak dah lancar bacaan. Anak-anak yang lain ni dah
khatam pun baca Iqra’ 1 hingga 6 sebab tu dia orang dah beralih kepada
Muqaddam. Awak kena bermula dari bawah.”
Zulqarnain
mengangguk perlahan sambil dia menyelak halaman buku Iqra’ 1 tersebut.
“Awak baca
dulu buku tu. Lepas saya dah habis aja budak-budak ni, saya akan ajar awak
pula. Kalau awak tak lancar baca dan main-main lagi, saya rotan,” ucap Wardah
dengan nada tegas.
Sengaja dia
memberikan wajah yang mencuka dan garang terhadap Zulqarnain. Zulqarnain segera
menyentuh pahanya. Dia mengusap perlahan di bahagian anggota itu. Masih terasa
kesan rotan itu walaupun Wardah memukulnya dengan perlahan.
“Ok..saya
faham cikgu Wardah.”
------------------------------------------
Zara Alisha menyedut dalam-dalam
batang rokok yang masih lagi berbaki separuh di celahan jarinya itu. Kemudian
dia menghembus perlahan-lahan asap itu ke udara. Asap berkepul-kepul keluar
daripada mulut dan rongga hidungnya. Setelah pandangannya tidak melihat lagi
asap tersebut, dia menyedutnya lagi.
“Apasal dengan kau ni?
Tadi beriya menari sampai tak ingat dunia. Jarang aku nampak kau hisap rokok ni
kecuali kalau kau betul-betul stress. Apa dah jadi ni Alice?”
Zara Alisha membiarkan
sahaja pertanyaan Tisha itu. Bukannya dia tidak dengar, tetapi dia membiarkan
bunyi alunan muzik yang kuat itu menenggelamkan suara Tisha. Zara Alisha cuba
untuk menyedut lagi tetapi ada sesuatu yang telah menyerang dadanya dan
menyebabkan dia terbatuk-batuk.
“Sudahlah tu Alice. Tak
payah nak hisap lagi. Kau tu bukannya boleh hisap banyak-banyak. Kau pun
tahukan yang kau tu tak pandai nak hisap benda alah ni. Kau sengaja tunjuk
protes ni. Betul tak?” teka Tisha.
Tisha segera mengambil
rokok yang diapit oleh jari telunjuk dan tengah Zara Alisha. Dia mematikan
nyalaan api pada rokok tersebut dengan menenyehkan rokok itu di bekas kaca yang
disediakan.
“Suami kau tahu ke kau
pergi kelab ni? Dah kahwin masih lagi nak buat perangai? Kau ni memang tak
serik-serikkan?”
“Memang aku macam ni.
Kahwin ke tak kahwin ke sama aje. Kau dengan Danny yang selalu temankan aku
pergi kelab kan? Tapi, sejak Danny buat hal dulu aku pun dah malas nak jumpa
dia. Sebab tu aku ajak kau. Macam tak biasa pula.”
“Memanglah perkara
biasa tapi kau tak ingat perkara apa yang luar biasa dulu? Masa kau gaduh
dengan Danny lepas tu Nine tiba-tiba masuk campur. Tak pasal-pasal bodyguard dia belasah Danny. Kau tak
takut ke kalau terserempak dengan Danny tu kat kelab ni?”
Zara Alisha menghirup
perlahan air yang berada di dalam gelas itu. Masih tidak berubah perangainya.
“Aku ingat. Kasihan
pula aku tengok Danny masa tu. Tiba-tiba aku teringat sesuatu bila kau cakap
pasal Nine.”
“Apa dia?”
Kepala Tisha
bergoyang-goyang mengikut irama yang berkumandang. Matanya sempat meliar
mencari seseorang yang boleh dia jadikan teman pada malam itu.
“Kalau kau nak tahu,
Nine tu adik kepada suami aku.”
“What…??!!!” jerit Tisha.
“Terkejutkan?”
“Maknanya kau ada jumpa
dialah?”
“Tak, sebab aku pun tak
tahu dia pergi mana. Dia tak duduk kat situ.”
“Tak tahu dia pergi
mana? Biar betul?”
“Biasalah, keluarga
orang kaya memang macam tu. Lebih-lebih lagi Dato’ Mahmood yang ada empayar dia
sendiri. Entah-entah mamat tu pergi berseronok agaknya dengan kekayaan yang dia
ada.”
“Eleh, kau pun samakan?
Tahu nak seronok dan senang aje. Belajar malas. Sebab tu kena kahwin dengan
Inderawan tu. Nasib baik dia tu boleh dikategorikan sebagai kacak bergaya.”
“Kacak bergaya apanya,
tak pernah nak senyum langsung dengan aku. Apa yang dia tahu, marah-marah aje.
Kau tahu tak, pasal baju dengan kerepek kentang pun dia boleh tinggikan suara
dia kat aku. Dia tu banyak sangat peraturan. Itu tak boleh, ini tak boleh. Rasa
macam penjara hidup dengan dia. Tension. Lebih baik aku duduk kat rumah aku.
Tak ada siapa nak marah aku.”
“Sebab tulah abah kau
tu kahwinkan kau. Biar kau kena marah dengan orang lain pula sebab abah kau tu
pun dah penat dan letih nak marah kau..”
“Tapi memang lainlah
bila kena marah dengan orang lain daripada abah aku sendiri. Aku rasa macam
takut sikit, tak berapa berani nak melawan. Agaknya sebab nama dia Tuah
Inderawan kut.”
Tisha sudah gelak besar
apabila mendengar kata-kata Zara Alisha. Lucu benar rasanya. Zara Alisha
memberikan mimik muka pelik apabila melihat rekasi Tisha sebegitu. Zara Alisha
mahu meneguk lagi air di hadapannya. Belum sempat dia menyentuh gelas itu, dia
dapat merasakan ada seseorang sedang memegang lengannya dengan kasar.
“Alice.”
“Danny, you buat apa ni?”
Zara Alisha terkejut
apabila memandang wajah Danny. Seolah-olah wajah itu mahu menerkamnya.
--------------------------------
Inderawan mengambil
telefon bimbitnya yang berada di atas meja setelah selesai mengenakan
persalinan. Dia mengenakan kemeja T lengan panjang serta seluar track sukan
berwarna putih. Inderawan mengelap rambutnya yang basah itu dengan tuala. Ibu jari Inderawan menyentuh skrin lalu
meluncurkan jarinya ke kanan. Skrin yang tadinya gelap kini sudah menyala. Jam
di telefon itu sudah melepasi pukul 11 malam.
“Mana aje minah belacan
ni pergi? Dah pukul 11 lebih masih tak nak balik rumah lagi?” Omel Inderawan
sendiri.
Jari-jemari Inderawan
mengetuk perlahan telefon bimbitnya. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang
tertinggal.
“Astaghfirullahalazim,
aku belum solat Isyak lagi rupanya.”
Inderawan mengambil
keputusan untuk solat terlebih dahulu. Akibat kerjanya yang menimbun di
pejabat, dia hampir terlupa untuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang hamba
terhadap yang Maha Esa. Dia mengambil wuduk lalu membentangkan sejadah.
Setelah
hampir 6 minit, dia selesai menunaikan solat Isyak. Sebaik sahaja siap berdoa,
dia memandang pintu biliknya. Dia mengharapkan Zara Alisha pulang. Perasaan
risau dan bimbang mula menghuni di hati Inderawan. Perasaan risau itu lebih
kepada tanggungjawab. Zara Alisha kini sudah berada di bawah tanggungan Indera.
Jika terjadi sesuatu terhadap isterinya, apa pula alasan yang mahu dia berikan
kepada ayah dan ibu mertuanya nanti.
Inderawan segera
menyidai sejadah di tempat penyidai. Dia cuba untuk menghubungi Zara Alisha
tetapi langsung tidak berjawab. Setelah gagal beberapa kali, Inderawan
mengambil tindakan untuk bertanya kepada salah seorang di dalam rumah itu. Kaki
Inderawan melangkah menuju ke bilik Raudhah.
“Raudhah….abang ni,”
ucap Inderawan sebaik sahaja mengetuk pintu itu sebanyak tiga kali.
Beberapa saat kemudian,pintu
bilik Raudhah terbuka. Raudhah menguap panjang.
“Kenapa abang? Abang
baru balik ke? Raudhah nak tidur dah ni.”
“Abang baru baliklah
juga. Sampai aje rumah tengok kak Zara tak ada kat bilik. Raudhah tahu kak Zara
pergi mana? Dia ada cakap apa-apa dengan Raudhah?”
“Mm… Kak Alice? Raudhah
tak tahu. Tadi pun Raudhah balik lambat juga. Masa makan malam Kak Alice tak
ada. Kata tok ayahanda, dia keluar dengan kawan dia. Kak Alice tak ada beritahu
abang apa-apa ke?”
“Ada, dia memang
beritahu nak keluar dengan kawan dia tapi tak cakap pula balik pukul berapa.”
Inderawan berbohong.
Dia cuba menjaga air mukanya sendiri. Nanti apa pula kat adiknya itu. Jika
seorang suami tidak tahu di mana isterinya berada, jelas menunjukan lelaki itu
bukan seorang yang bertanggungjawab.
“Abang dah cuba telefon
dia?”
“Dah, tapi dia tak
angkat.”
“Cuba abang telefon
Datuk Ramli. Mungkin dia tahu kak Alice selalu pergi mana,” cadang Raudhah
kepada Inderawan.
“Kak Zara kau ni, baru
seminggu kahwin dah buat perangai macam ni. Yalah, nanti abang cuba telefon
Datuk Ramli. Abang minta maaflah sebab kacau Raudhah nak tidur.”
“Tak apa. Abang
janganlah risau sangat. Raudhah tengok Kak Alice tu macam dah biasa aje keluar
malam. Kejap lagi baliklah tu agaknya. Raudhah masuk tidur dulu.”
Pintu itu telah
tertutup. Inderawan kembali semula ke biliknya. Inderawan berdengus perlahan.
Dia mengeluh seketika. Masih berkira-kira untuk menghubungi Datuk Ramli ataupun
tidak. Setelah lama berfikir, dia merasakan itu sahaja jalan yang dia ada.
Tanpa terus membuang masa, dia mencari nombor telefon ayah mertuanya. Dia
menekan butang hijau sebaik sahaja nama Datuk Ramli tertera di skrin.
“Assalammualaikum
abah,” ucap Inderawan setelah mendengar panggilannya diangkat.
“Waalaikummussalam
Indera. Ya, ada apa cari abah malam-malam macam ni?”
“Maaf mengganggu abah.
Indera cuma nak tanya, abah tahu tak Zara selalu pergi mana kalau tengah malam
macam ni?”
Jelas suara Inderawan
seperti serba salah apabila menanyakan soalan itu kepada Datuk Ramli.
“Alice tak balik rumah
lagi?”
“Ya abah. Indera pun
baru balik kerja ni. Zara ada beritahu Indera yang dia nak keluar tapi tak
sangka pula dia balik lambat sampai macam ni sekali.”
“Zara Alisha…Zara
Alisha…budak ni memang bertuah betul.”
Kedengaran nada Datuk
Ramli seperti mengeluh
“Indera, abah rasa abah
tahu dia pergi mana.”
cam sikit je - pn. mal
ReplyDeletePn mal : hihi..xcukup ya kak?? takpe, saya dah tambah 2 bab lagi..
Deleteslmt membaca :)