Stylo Clique ^_^

Sunday, October 13, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 19




BAB 19

“Jejak terkesan di permukaan, lalu ku selam ke dasar dalam meninggalkan daratan.”

“Wardah,” jerit Nina dalam nada gembira. Dia baru sahaja tiba.

Wardah yang mengenakan baju kurung moden berwarna biru langit tersenyum melihat rakannya itu. Timbul pula perasaan resah di hati Wardah.

“Tahniah Wardah.”

Wardah dan Nina saling berpelukan dan mereka berlaga pipi.

“Terima kasih, Nina. Awak datang juga ya?”
“Mestilah saya datang. Kawan saya kahwin. Saya minta maaf ya tak dapat datang majlis nikah awak pagi tadi. Saya kena temankan Raudhah pergi beli barang sikit untuk persiapan perkahwinan anak Dato’ Mahmood tu.”

Perkahwinan anak Dato’ Mahmood? Itu maknanya perkahwinan Nine ke? Betul ke apa yang kau dah buat ni Wardah? Macam mana kalau Dato’ Mahmood paksa juga suami ekspres kau tu kahwin dengan pilihan dia?

Wardah memandang Zulqarnain yang sedang melayan tetamu tidak jauh dari tempat dia berdiri. Zulqarnain mengenakan pakaian sedondon dengannya. Lelaki itu kelihatan segak seperti pahlawan Melayu.

“Wardah, awak bersanding pukul berapa ya?”

Soalan Nina tiba-tiba mencelah dan menyebabkan lamunannya terhenti.

“Saya tak bersanding pun. Saya buat kecil-kecilan. Cuma makan beradab aje.”
“La…awak memang tak buat ke? Macam hari tu awak ada cerita dengan saya tapi mungkin saya salah dengar kut.”

Wardah hanya menggeleng sambil tersenyum. Sememangnya itulah permintaannya. Mengikut perancangan awal, dia akan bersanding bersama Nazim. Namun, lain pula ceritanya. Wardah tidak mahu adat bersanding itu berlangsung. Cukuplah hanya yang wajib sahaja.

“Awak datang dengan siapa?”

Wardah sengaja menukar topik perbualan mereka.

“Saya datang dengan Haq. Haq pergi cari tempat letak kereta. Kat depan tu dah penuh. Kejap lagi Haq sampailah tu.”
“Selamat pengantin baru Puan Wardah!”

Dari jauh Haqimi sudah melaungkan kata-kata itu. Wardah dan Nina segera memandang ke arah Haqimi. Sebaik sahaja langkahnya terhenti, Haqimi menghulurkan kotak yang sudah berbalut dengan sampul itu kepada Wardah.

“Tahniah Wardah. Ini hadiah daripada saya dengan Nina. Semoga bahagia sehingga akhir nyawa.”

Kotak itu sudah pun bertukar tangan.

“Terima kasih. Buat susah-susah aje. Awak berdua dah datang pun saya dah cukup gembira.”
“Ayat tak payahlah nak macam drama sangat. Oh, cakap pasal drama ni tiba-tiba saya ingat pula nak bercerita dengan awak. Kalau awak nak tahu, macam-macam terjadi bila awak dah berhenti,” ujar Nina.

Dia tidak sabar untuk berkongsi apa yang telah terjadi kepada keluarga majikannya itu kepada Wardah.

“Dah mula dah gosip Mak Jemah ni. Tapi saya rasa awak pun kena tahu juga kut.”
“Ha, sebelum tu saya nak jumpa juga dengan suami awak. Saya nak tengok sangat wajah yang berjaya mencuri hati Harum Wardah binti Hasyim ni. Mana dia?”

Mata Nina melilau mencari lelaki yang telah selamat menjadi suami kepada Wardah. Serta-merta wajah Wardah berubah.

“Apa susah, kita cari aje orang lelaki yang pakai baju sama macam Wardah. Biasalahkan, pengantin lelaki mesti pakai baju sedondon dengan pengantin perempuan,” ucap Haqimi sambil matanya sudah meliar.

Pandangan Haqimi cuba mencelah di antara tetamu yang ada. Mata Haqimi mencari lelaki berpakaian baju Melayu berwarna biru langit dan ternyata dia jumpa dengan lelaki menepati ciri-ciri yang sama dalam fikirannya. Lelaki itu sedang tersenyum lalu bibirnya berkata sesuatu kepada seorang perempuan dalam lingkungan 50 an. Dahi Haqimi mengukir kerut seribu apabila memandang wajah lelaki tersebut.

“Bos?”

Spontan sahaja perkataan itu keluar daripada bibirnya. Jelas kedengaran ada irama terkejut yang dialunkan oleh Haqimi.

“Bos? Bos mana pula? Awak ni Haq, kat sini pun fikir pasal kerja juga ke?” soal Nina.
“Bukan, cuba tengok kat sana tu. Tu….”

Bibir Haqimi sudah muncung menunjukkan arah pandangannya.

“Eh, itu bukannya Encik Nine ke?”
 “Kan? Betulkan dia? Takkanlah aku dah gila bayang pula sampai aku terbayangkan muka bos aku sendiri? Tak logik. Aku lelaki tulen.”
 “Betullah dia. Saya pun nampak bos awak tu, takkan saya pun gila bayang juga. Dia buat apa kat sini? Bukan main susah payah kita cari dia kat merata dunia ni termasuklah celah batu, rupa-rupanya dia kat sini?
“Awak susah payah cari dia? Kenapa?” soal Wardah kehairanan.

Belum sempat Nina menjawab pertanyaan Wardah, suara Haqimi terlebih dahulu sudah kedengaran.

“Tapi kenapa dia pakai baju sama macam warna baju Wardah? Wardah, jangan-jangan awak kahwin dengan bos ke? Betulkan tu bos kita?”

--------------------------------

Haqimi segera menepuk dahinya sendiri apabila mendengar tutur kata Zulqarnain yang panjang lebar itu. Dia tidak tahu reaksi apa yang harus diberikan.

“Apasal kau tepuk dahi?”
“Bos, bukan setakat aku aje yang tepuk dahi. Aku rasa Isaac Newton tu pun boleh tepuk dahi dengar cerita bos ni. Semuanya jadi tunggang langgang macam dah tak ada graviti kat dunia ni. Bos tahu tak, merata tempat kita orang cari bos. Semua kelab hiburan termasuk kelab dangdut seantero Johor tu aku redah semata-mata nak cari batang hidung bos tu.”
“Nak cari aku memang kat kelab ajelah?”
“Dah tu tempat bos selalu lepak. Kang aku cari kat masjid macam tak kena pula. Bos, kalau bos buat keputusan tu boleh tak bos fikir dua tiga kali? Bos sesuka hati aje nak lari pada saat-saat genting lagi penting ni. Bos tahu tak minggu depan bos nak kahwin? Sekarang tiba-tiba dah kahwin dengan Wardah. Belum apa-apa lagi dah nak kahwin dua?”



Haqimi sepertinya melepaskan sedikit kemarahannya kepada Zulqarnain. Yalah, mana tidaknya perbuatan Zulqarnain itu sedikit sebanyak dia terkena tempiasnya.

“Kan aku dah cerita dengan kau apa sebabnya.”
“Memanglah bos dah cerita sebabnya. Masalahnya sekarang bos buat hal macam ni, aku yang kena soal siasat macam penjenayah. Dato’ Mahmood tak sudah-sudah tuduh aku berkomplot dengan bos. Aku siap cakap, walaupun Dato’ Mahmood letak pedang yang tajam mahupun keris Taming Sari kat leher aku ni, aku memang tak dapat nak jawab bos ada kat mana.”
“Kalau abang aku sendiri boleh keluar daripada rumah tu, kenapa aku tak boleh? Kalau kekanda aku boleh lari daripada masalah dia, kenapa aku tak boleh? Kalau anak sulung keluarga Dato’ Mahmood boleh tinggalkan tanggungjawab dia, kenapa aku tak boleh?”
“Bos, masalah bos dengan Indera tak sama. Lain. Indera tak lari dari rumah macam bos.”
“Apasal tak sama pula? Abang aku kena pegang jawatan CEO tu, aku pun kena juga. Dia kena kahwin paksa dengan anak Datuk Ramli tu, aku pun kena juga. Dia pun keluar daripada rumah tu, aku pun keluar juga daripada rumah tu. Jadi, tang mana yang tak serupa lagi tak samanya?”

Haqimi sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Kusut dibuatnya jika bersuara dengan Zulqarnain. Ada sahaja alasan yang dia keluarkan.

“Aku nak minta tolong kau rahsiakan perkara ni. Kau jangan beritahu sesiapa pasal aku ada kat kampung Wardah termasuklah perkahwinan aku dengan Wardah. Biar aku selesaikan sendiri dengan Dato’ Mahmood nanti.”
“Bos, bos jangan sampai aku tepuk dahi aku untuk kali kedua. Bos kena balik.”
“Apa susah, kau anggap aje yang kau tak pernah jumpa aku. Kau pergi majlis kahwin ni macam biasa aje. Kau anggap yang pengantin lelaki tu bukan aku. Boleh kan?”
“Bos, masalahnya aku dengan Nina yang pergi majlis ni.”
It’s small matter. Kau ajak Nina komplot sekali. Nina pun kawan Wardah kan? Aku tak nak makin huru-harakan keadaan.”
“Bos cakap pakai air liur tak pakai air peluh memanglah senang. Bos baliklah.”
“Dato’ Mahmood yang suruh? Aku tak nak balik. Sekarang, ini adalah kehidupan aku.”
“Mula-mula Dato’ Mahmood memang ada cari bos tapi sekarang Dato’ Mahmood dah tak kasi sebut nama bos kat depan dia. Sama macam Indera dulu.”
“Jadi, maknanya dia marah sangat kat aku sampai dia nak buang aku macam mana dia buang abang Indera dulu? Dia dah tak nak jumpa aku lagi, macam tu?”
“Bos, seorang ayah tak akan buang darah dagingnya. Dato’ Mahmood nak tengok tinggi mana bos boleh terbang. Sampai bila bos nak lari? Kalau duit bos habis macam mana?”
“Buat masa ni tak ada masalah pasal duit tu. Kau ingat aku tak ada duit simpanan ke? Kalau duit aku habis, aku kerja ajelah kat sini. Jadi petani ke, nelayan ke. Semua tempat boleh cari makan kan?”
“Bos, aku serius ni.”
“Aku pun serius juga. Ok, aku minta maaf. Memang tak patut aku lari daripada semua ni tapi aku rasa ni aje caranya. Kau pun tahu kan yang aku tak suka dipaksa. Jawatan CEO tu lepas tu kena kahwin paksa lagi.”

Haqimi hanya mendiamkan diri. Dia biarkan sahaja Zulqarnain membebel. Dia tahu perasaan Zulqarnain. Jika dia berada dalam situasi Zulqarnain, dia juga ada terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Cuma dia belum ada keberanian tinggi seperti anak majikannya untuk melaksanakan rancangan melarikan diri itu.

“Bos, aku rasa pasal perkahwinan dengan anak Datuk Ramli tu bos kena tahu sesuatu.”
“Apa dia? Perkahwinan tu dah batal ke? Ke ayahanda aku yang nak kahwin dengan anak Datuk Ramli tu? Dia pun memang suka kahwin dengan orang muda kan?”
“Perkahwinan tu tetap akan diteruskan sama ada dengan bos ataupun tidak.”
“Maksud kau, ayahanda aku tetap akan teruskan walaupun bukan aku yang jadi menantu Datuk Ramli? Habis tu, siapa yang gantikan tempat aku sebagai pengantin lelaki?”

--------------------------------

“Tuah Inderawan yang akan kahwin dengan Zara Alisha, betul tak?” tanya Wardah sebaik sahaja Zulqarnain masuk ke dalam bilik.
“Siapa Zara Alisha?”
“Nama bakal pengantin perempuan pun awak tak tahu? Awak tipu saya. Awak cakap awak nak pergi bercuti, rupa-rupanya awak larikan diri?”

Sememangnya pertama kali Zulqarnain mendengar nama itu. Dia malas mahu mengambil tahu siapa nama anak perempuan Datuk Ramli. Baginya, itu semua tidak penting.

“Nina dah ceritakan semuanya pada awak?”
“Habis tu siapa lagi nak ceritakan pada saya? Awak? Jangan haraplah. Saya ni pun kenapalah bodoh sangat terima aje apa yang awak cakap?”

Zulqarnain menapak perlahan menuju ke katil. Katil itu dihiasi dengan cadar kain sutera berwarna kelabu keperakan. Wardah yang sedang duduk di katil tersebut bingkas bangun apabila melihat tindakan Zulqarnain yang mahu ke arahnya.

“Saya tak faham kenapa awak buat semua ni kat saya? Apa tujuan awak sebenarnya?”
“Saya dah cakap apa sebabnya kan? Saya rasa awak dah tahu jawapannya. Saya nak tolong awak.”
“Maksud saya, kenapa awak tipu saya? Kenapa awak tak cakap dengan saya yang awak lari daripada majlis perkahwinan tu? Awak dah gila ke? Awak tahu tak, secara tak langsung saya dah bersubahat dengan awak. Macam mana kalau Dato’ Mahmood tahu perkara ni?”

Zulqarnain melonggarkan kain samping songketnya lalu menanggalkan kain tersebut daripada tubuhnya. Dia membiarkan sahaja persoalan Wardah itu tanpa ada kenyataan balas darinya.

“Awak nak buat apa ni?”
“Saya nak tukar bajulah. Ingat tak panas ke pakai baju ni? Tahulah awak dah tukar baju.”

Zulqarnain selamba membuka almari baju yag terletak di sudut kiri kamar itu. Wardah segera memalingkan mukanya. Dia berdiri membelakangkan Zulqarnain.

“Awak tak jawab lagi soalan saya.”
“Kalau petang tu saya beritahu awak yang saya nak larikan diri, awak kasi saya ikut ke?”
“Mestilah tak. Perkara tu salah, awak tahu tak?”
“Jadi, buat apa saya nak cakap dengan awak. Lebih baik saya tipu.”
“Masalahnya sekarang, perkara dah melarat. Saya dengan awak dah kahwin. Saya tak sangka perkara ni berlaku. Mesti awak gembira betul tak? Yalah, abang awak dah gantikan tempat awak. Memang itu rancangan awak. Ke memang ini rancangan awak dari awal lagi? Sengaja ikut saya, kemudian ambil kesempatan di dalam kesempitan saya.”
“Awak ingat Nazim mengandungkan anak orang tu rancangan saya ke? Kenapa awak tak nak tolak aje lamaran saya ni?”

Hati Wardah menjadi bertambah pedih apabila Zulqarnain membangkitkan isu sensitif itu. Marahnya semakin membuak-buak apabila lelaki itu menyebut nama lelaki yang telah menghancurkan hatinya. Wardah segera menoleh. Entah macam mana Zulqarnain sudah berada di belakangnya. Wardah kaget sehinggakan tubuh mereka berdua begitu hampir. Lengan Zulqarnain sempat memaut tubuh Wardah daripada terjatuh. Wardah berada kemas dalam dakapan Zulqarnain. Ketika itu Zulqarnain hanya mengenakan kain pelekat tanpa berbaju.




“Bi..bi…bila masa awak ada kat belakang saya ni?”
“Masa awak tengah membebel tadi. Habis tu kenapa awak setuju untuk terima saya sebagai suami awak? Saya tak paksa. Ayah, ibu dengan abang Wardi pun tak paksa awak.”

Suara Zulqarnain seperti sedang menyusup perlahan ke hati Wardah. Pandangan mata itu redup lalu bertaut dengan pandangan mata Wardah. Wardah tidak mampu untuk mengalihkan perhatiannya.

“Sebab awak pernah cakap sebab saya hati awak……………”



Bibir Zulqarnain menguntum senyuman. Dia meletakkan ibu jari kanannya di bibir Wardah. Dia mengusup lembut bahagian itu dan membuatkan lidah Wardah terus kelu untuk berkata-kata. Seolah-olah Zulqarnain mempunyai magisnya tersendiri untuk membuatkan Wardah membisu.

Zulqarnain mengambil tangan kanan Wardah lalu diletakkan tangan lembut itu ke bahagian dadanya, tempat di mana terletaknya jantung Zulqarnain. Melalui sentuhan itu Wardah dapat merasakan degupan jantung Zulqarnain yang berdetak pantas.

“Sebab ini ke awak terima saya? Saya dapat rasakan tangan kecil awak ni seperti sedang mengawal perasaan saya. Awak tahu tak? Saya tak pernah rasa macam ni. Ianya sakit tapi membahagiakan.”

Serta merta wajah Wardah bertukar menjadi rona merah. Dia perlu keluar daripada perasaan itu. Zulqarnain seperti berjaya mengubah perasaan marahnya kepada sesuatu perasaan yang lain. Wardah segera menarik tangannya lalu menolak tubuh Zulqarnain jauh daripada dirinya.

“Awak tak perlu nak keluarkan kata-kata yang manis untuk kaburkan mata saya. Bagi saya, awak tetap salah. Awak bukan setakat berbohong dengan saya tapi dengan semua orang. Hubungan kita tak sepatutnya jadi macam ni. Saya terima lamaran awak ni sebab saya tak nak menyusahkan ibu dengan ayah sebab saya tak nak tengok dia orang terus sedih disebabkan saya. Saya tengok awak betul-betul nak tolong saya. Lagi satu saya nak buktikan yang saya tak lemah. Hati saya kuat untuk terima apa yang telah Nazim buat pada saya. Saya boleh teruskan hidup saya dengan orang lain. ”
“Saya minta maaf.”
“Pantang saya kalau orang berbohong. Saya tak suka orang tipu saya. Kita buat macam biasa. Saya akan bagi awak peluang untuk selesaikan semuanya sendiri. Apa yang saya tahu, saya tak nak keluarga saya ditimpa masalah gara-gara perbuatan awak ni. Saya tak nak ambil tahu pasal awak lagi. Saya tak nak tertipu lagi dengan permainan awak tu. Saya tak nak terus melambung buah dadu yang saya sendiri tidak pasti apa nilainya untuk diri saya. Biarlah awak terus bermain dengan sepuas-puasnya. Perkahwinan ni tak ada apa-apa makna. Saya akan tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri tetapi ada satu perkara yang saya tak mampu lakukan untuk awak.”

Zulqarnain mengerti akan maksud di sebalik kata-kata isterinya itu. Dia juga tidak mahu memaksa Wardah. Baginya perkahwinan ini lebih daripada melakukan perkara tersebut. Niatnya terhadap gadis itu memang tulus. Dia mahu melindungi Wardah

Tangan Zulqarnain sudah pun mencapai bantal. Dia membuka almari untuk mencari kain selimut dan juga kain alas tempat untuk dia tidur.

“Awak nak buat apa ni?”
“Saya tidur kat bawah, awak tidur kat atas. Saya faham maksud awak. Sebagai seorang lelaki, saya seharusnya melindungi dan memelihara maruah seorang wanita lebih-lebih lagi awak, Harum Wardah. Saya dah mengantuk ni. Saya tidur dulu. Selamat malam.”

Zulqarnain meletakkan kepalanya di bantal kekabu itu sebaik sahaja selesai menyediakan tempat tidurmya. Dia segera melelapkan mata. Wardah yang sedang berdiri itu terkebil-kebil dibuatnya apabila mendengar tutur kata Zulqarnain. Zulqarnain kelihatan tenang menghadapi semua itu. Seolah-olah semua masalah boleh selesai dengan hanya memetik jari.

1 comment: