BAB
24
“Dalam marah ada tegas.
Tegasmu berkias, agar silap tidak terus membekas.”
“Sampai hati you kahwin tapi tak beritahu I.
Kenapa you kahwin dengan orang yang you tak kenal?”
“Danny, lepaskan tangan
I.”
“I tak akan lepaskan you. You tahukan apa perasaan I pada you?”
“You pun tahukan yang I
anggap you cuma kawan aje. Sama macam
Tisha. Tak pernah lebih daripada tu. Pernah ke I bagi harapan kat you?
Dari awal lagi I dah cakap apa perasaan
I. Cuma you aje yang buat tak faham.”
“Memang you tak bagi harapan, tapi kenapa you cari I masa you tengah susah? I rasa macam you memang perlukan I. Tapi
tiba-tiba I dapat tahu yang you dah kahwin. Apa ni Alice? You ingat ni bola? Bila you nak, you ambil I. Bila you tak nak, you sepak I jauh-jauh.”
Zara Alisha berusaha
untuk melepaskan genggaman tangan Danny. Namun, semakin dia berusaha semakin
kuat tangan Danny mencengkam lengannya.
“Danny, I terpaksa kahwin sebab dia pilihan
keluarga I.”
“Tapi you boleh tolak permintaan keluarga you tu. You boleh cakap yang you
dah ada pilihan you sendiri.”
“I tak boleh nak tolak. You
faham tak?”
“Apa maksud yang you tak boleh nak tolak?”
Kepala Zara Aliha
segera menoleh ke tempat lain. Malas dia mahu melihat wajah itu. Tangan Danny
segera beralih tempat. Dia memegang bahu Zara Alisha dan memaksa gadis itu
menatap mukanya.
“I tengah cakap dengan you.
Kenapa you tak boleh nak tolak?”
“Kalau I tolak, siapa nak kasi I elaun tiap-tiap bulan? Siapa nak bayar
semua keperluan I? Kereta, kad kredit
semua tu. You nak bayar? You pun belajar lagi. Duit pun masih
lagi minta dengan papa you kan?
Silap-silap you punya seluar dalam
pun papa you yang belikan. Betul
tak?”
Zara Alisha bersuara
seperti melepaskan geram.
“Alice, you jangan nak naikkan darah I. Jangan ingat I tak mampu nak buat apa-apa pada you.”
Tisha yang dari tadi
hanya mendengar pertengkaran mereka mula rasa terkejut dengan ugutan Danny.
“Danny, you nak buat apa dengan Alice?”
“Tisha, you jangan masuk campur. Ini urusan I dengan Alice.”
Danny memberi amaran
sambil jari telunjuknya ditalakan ke wajah Tisha. Tisha sudah mula panik.
“You nak buat apa dengan I?
I jerit nanti.”
“I nak pastikan yang you
milik I seorang, bukan milik orang
lain.”
“You jangan nak buat kerja gila. You
tahukan yang I dah kahwin?”
“Sebab I gilakan you, I buat kerja gila
ni. You langsung tak nak bagi I peluang untuk I bahagiakan you. Tapi you senang-senang kahwin dengan orang
yang you tak kenal.”
Danny mahu membawa Zara
Alisha keluar daripada tempat itu. Sedang Danny sibuk memaksa Zara Alisha
menuruti langkahnya, tiba-tiba ada seorang lelaki muncul di antara mereka.
Tangan lelaki itu segera meleraikan genggaman tangan Danny.
“Kau ni siapa? Kau
jangan nak masuk campur.”
Inderawan masih lagi
bertenang. Seboleh mungkin dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Danny masih
lagi mahu menarik lengan Zara Alisha. Zara Alisha sudah berdiri kaku di situ.
Terkejut bukan kepalang apabila melihat suaminya berada di kelab tersebut.
“Lepaskan tangan Zara.
Kau tak berhak sentuh dia walau seinci sekalipun.”
Danny mula mengukir
perasaan tidak puas hati di wajahnya. Tiba-tiba sahaja ada yang muncul kononnya
mahu menjadi hero.
Zara Alisha mula tidak
senang duduk. Dia dapat merasakan sesuatu yang akan berulang kembali. Peristiwa
Danny dibelasah pengawal peribadi Zulqarnain suatu ketika dahulu masih lagi
segar diingatan. Ketika itu Zulqarnain juga mahu menyelamatkan dirinya, sama
seperti keadaan Inderawan sekarang.
“Kau ni siapa? Nak
berlagak jadi hero? Kau tu layak ke?”
“Aku suami kepada Zara Alisha
binti Ramli dan kau langsung tak layak nak tanya soalan tu pada aku.”
Danny membulatkan
matanya. Agak terkejut kerana lelaki itu tiba-tiba sahaja timbul. Dia merasakan
suara Inderawan lebih kuat daripada bunyi muzik yang berkumandang. Sakit suara
itu memasuki ke gegendang telinganya. Suara Inderawan itu seperti mengejek.
Egonya tercalar dan tercabar.
“Aku yang lebih layak
sebenarnya daripada kau.”
“Itu yang kau rasa tapi
sekarang dia isteri aku. Aku boleh buat apa aje yang aku suka. Aku bagi kau
amaran. Sarang tebuan jangan dijolok. Jangan diganggu harimau yang sedang
tidur.”
“Kurang ajar.”
Tanpa berlengah lagi
Danny sudah memulakan langkah. Tumbukan hinggap di pipi kiri Inderawan.
Zara Alisha dan Tisha
terkejut. Tidak menyangka sama sekali kejadian itu berulang kembali. Dahulu
adik, kini giliran abangnya pula. Cuma bezanya, si abang berhadapan seorang
diri tanpa ada pengawal peribadi.
Inderawan menyentuh
pipinya. Dia tersenyum sinis.
“Aku dah cakap dengan
kau awal-awal. Kau degil nampaknya.”
“Jangan ingat aku takut
dengan amaran kau. Kalau kau berani, lawan dengan aku. jangan tahu pandai
bermadah depan perempuan. Aku dah jolok sarang tebuan, harimau nak buat apa?”
Inderawan merasakan
maruahnya dicabar. Dengan sepenuh tenaga Inderawan memberikan tumbukan padu ke
bibir Danny dan menyebabkan Danny terjatuh di atas meja yang dipenuhi dengan
gelas serta botol yang berisi minuma keras. Puas rasanya dapat memberikan
tumbukan itu ke mulut Danny yang begitu celopar.
Inderawan membiarkan sahaja
Danny di situ. Dia pasti kesan tumbukan itu sememangnya terasa perit. Mahu
seminggu si Danny makan bubur menggunakan straw kerana bibirnya bengkak.
Inderawan segera mendapatkan Zara Alisha yang sedang terkesima di situ.
Pengunjung yang berada di situ segera menjarakkan diri mereka daripada kawasan
pergaduhan antara Danny dan Inderawan. Ada juga yang berbisik sesama sendiri.
“Kau kat sini rupanya?
Kau tahu tak ni tempat apa?”
“Aku dah biasa kat
sini.”
“Dah biasa kat sini?
Jadi apa yang mamat lembik ni buat kat kau tadi tu pun dah biasalah?”
“Ini semua salah
faham.”
“Salah faham? Mamat ni
nak usung kau pergi mana? Seorang perempuan lebih-lebih lagi seorang isteri
patut ke ada kat kelab tengah-tengah malam macam ni? Ini yang aku nampak, yang
aku tak nampak tak tahulah. Agaknya minum air kuning tu sampai berbotol-botol.
Aku nak kau balik dengan aku sekarang.”
Danny mahu bangun.
Tangannya tiba-tiba tersentuh botol kaca itu. Tanpa berfikir panjang, Danny
mengambil botol kosong itu. Dalam keadaan marah, Danny mahu menghayunkan botol
itu ke arah Inderawan.
Baru sahaja Zara Alisha
mahu membuka mulut, dia melihat Danny mahu melakukan sesuatu. Inderawan berdiri
menghadap Zara Alisha. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku di belakangnya.
“Indera, belakang kau!”
Inderawan segera
bertindak menoleh ke belakang. Dari pandangan sisi matanya dia dapat melihat
tindakan Danny itu. Danny mahu mensasarkan botol itu kepala Inderawan namun
Inderawan sempat menghalang dengan menggunakan lengannya. Zara Alisha sama
sekali tidak menyangka sejauh itu tindakan Danny.
Inderawan segera
membuka langkah dengan menendang bahagian perut Danny. Danny sudah jatuh
terlentang. Inderawan memberikan tumbukan bertubi-tubi ke wajah Danny. Belum
sempat melepaskan apa yang terbuku, pengawal kelab itu sudah tiba dan
meleraikan pergaduhan mereka.
“Jangan cari pasal kat
kelab ni. Kalau nak cari pasal, tolong keluar,” ucap salah seorang mereka yang
berbadan besar itu.
Inderawan meronta,
minta untuk dilepaskan. Inderawan mengangkat kedua-dua tangannya sebagai tanda
akur dengan arahan pengawal kelab tersebut. Lelaki berbadan besar itu
melepaskan Inderawan.
Zara Alisha dapat
melihat ada sesuatu pada baju putih Inderawan itu. Warna merah pekat mula
memenuhi lengan kanan Inderawan. Zara Alisha pasti Inderawan terasa sakit pada
bahagian anggota tersebut. Namun, bagi Inderawan hatinya lebih terasa sakit
setelah melihat apa yang telah berlaku. Inderawan memberikan pandangan yang
tajam kepada Zara Alisha lalu dia beredar daripada situ tanpa berbicara dengan
isterinya. Zara Alisha tahu apa maksud pandangan suaminya itu.
-------------------------------------
Kunci kereta Suzuki SX4
Crossover milik Raudhah digantung di dinding sebaik sahaja menjejakkan kaki ke
rumah. Memandangkan Inderawan sudah tidak menggunakan kereta, dia meminjam
kereta adiknya itu untuk pergi mencari Zara Alisha di kelab. Sepanjang perjalanan
Inderawan langsung tidak bersuara. Begitu juga dengan Zara Alisha. Sudahlah
begitu, radio pun tidak pasang dan menyebabkan perjalanan mereka ke rumah
ditemani dengan suasana sepi. Zara Alisha tidak berani untuk membuka mulut.
Langkah Inderawan dan
Zara Alisha seiring mahu menuju ke bilik mereka. Hati Zara Alisha semakin
berdebar ketakutan apabila Inderawan menutup rapat pintu bilik. Zara Alisha
sudah dapat membayangkan yang dia berada di kandang pesalah seperti dalam
mahkamah. Sebentar lagi sudah tentu ada hujah yang dihuraikan dan pastinya
soalan bertubi-tubi diajukan kepada dirinya. Dia sudah menanti hukuman yang
akan dijatuhkan oleh Inderawan. Tak pernah dalam hidupnya dia merasa bersalah
sehingga ke tahap itu.
“Macam mana kau tahu
aku ada kat kelab tu?”
Zara Alisha cuba
memberanikan diri untuk berbicara.
“Apasal kau tanya?
Lepas ni kau nak pergi kelab mana pula? Kelab dangdut?”
Kelab dangdut?
Agak-agaklah. Ingat aku ni taraf pakcik-pakcik ke nak pergi kelab dangdut? Ni
buat kelakar ke marah ni? Desis hati Zara Alisha sendiri.
“Tak adalah, aku cuma
terkejut macam mana kau boleh ada kat kelab tu.”
“Kalau aku tak datang
tadi, mamat tu nak bawa kau pergi mana?”
“Mamat yang kau cakap
tu kawan aku. Aku dah lama kenal dia. Kita orang ada salah faham sikit aje. Aku
boleh selesaikan sendiri. Kau juga yang cakap aku boleh buat apa aje. Kau buat
hal kau, aku buat hal aku.”
Inderawan segera
memicit kepalanya. Kepalanya terasa bagai mahu pecah apabila mengetahui sifat
sebenar isterinya. Datuk Ramli sudah menceritakan segala-galanya kepada
Inderawan semasa dia menghubungi orang tua itu tadi. Ayah mertuanya itu juga
ada memberitahu sebab mengapa dia mendesak anak bongsunya itu berkahwin.
Inderawan sedar kini tanggungjawabnya lebih berat. Dia perlu mendidik Zara Alisha.
“Kau ni dah terlebih
mat saleh sangat ke sampai tak faham bahasa Melayu? Aku cakap kau boleh buat
apa aje, asalkan benda tu tak memudaratkan. Kalau kau tak buat pasal, aku pun
tak akan buat hal. Benda yang dah jadi tadi tu kau rasa memudaratkan ke tak?”
Kali ini suara
Inderawan sudah sedikit meninggi. Dia geram apabila Zara Alisha sering memberi
alasan walhal sudah terang-terang gadis itu berada di pihak yang salah.
“Kau tak payah nak
pedulikan aku boleh tak? Mama dengan abah aku pun tak macam kau. Kau tu cuma
orang luar, setakat baru beberapa hari kenal aku tapi dah sibuk nak menyalahkan
aku itu ini. Kelab tu memang dah gaya hidup aku.
“Kau ni mabuk ke apa?
Sedar ke tak sedar apa yang kau cakap ni? Orang luar yang kenal kau baru berapa
hari nilah suami kau sampai kau mati nanti. Kau dah jadi tanggungjawab aku. Apa
yang jadi pada kau, aku akan terkena tempiasnya.”
“Aku tak minta pun kau
jalankan tanggungjawab kau sebagai suami. Aku tak suruh pun kau datang kelab
tu. Memang aku perempuan macam tu.”
“Zara Alisha binti
Ramli, tolong jangan nak tegakkan benang yang dah basah. Aku rasa kau dah cukup
boleh fikir dan aku rasa kau juga tahu yang kau berada di pihak yang salah.
Tapi kau ni mengada-ngada. Ego tinggi. Dari kecil selalu dapat apa yang kau
nak. Kau tak suka kemahuan kau ditolak. Betul tak? Kau ni terlebih kasih sayang
rasanya. Memang mengada-ngada. Kau ingat aku nak diam diri aje kalau kau buat
salah? Kau tahu ke tak apa yang kau buat tadi tu dosa? Kalau kau nak buat
sesuatu boleh tak jangan nak buat sesuka hati?”
Nada suara Inderawan
jelas menunjukkan tegas. Lidah Zara Alisha kelu. Terkejut dengan kenyataan
Inderawan.
“Kalau ikutkan hati
aku, aku memang tak nak pedulikan kau. Kau nak buat apa suka hati kau. Aku
bukan pedulikan kau tapi aku tak nak orang lain pandang kau rendah. Aku tak nak
orang anggap kau tu macam perempuan murahan sebab kau isteri aku. Kalau isteri
aku bukan Zara Alisha binti Ramli, aku biarkan aje mamat tu usung kau. Tapi
Zara Alisha binti Ramli ialah isteri aku, sebab tu aku buat macam ni. Bagi aku,
seorang perempuan yang bernama isteri tu terlalu tinggi tempatnya di mata
seorang suami. Kau faham ke semua tu?
Kau tak faham kan? Kau fikir diri kau sendiri. Kau tahu ke tak orang kat
sekeliling kau sayangkan kau? Dia orang sekat batas dan pergaulan kau sebab dia
orang tak nak kau terus hanyut. Kau seorang perempuan. Seorang perempuan
seharusnya diletakkan di tempat yang istimewa. Sebab gaya hidup kau macam tadi
tulah, orang lelaki akan pandang kau murah dan langsung tak ada istimewanya. Sebab
tulah mamat lembik tu senang nak ambil kesempatan kat kau. Kau tak nampak kan
semua tu?”
Panjang lebar Inderawan
memberikan ulasan akan gaya kehidupan Zara Alisha. Inderawan umpama seorang
penceramah. Namun ceramah Inderawan bukan isi yang kosong semata-mata.
Inderawan sudah banyak kali melihat gelagat manusia tatkala menjadi pelukis
jalanan. Dia sudah masak dengan sifat dan perangai manusia.
Zara Alisha terduduk di
atas katil. Pandangannya tertunduk. Entah mengapa hatinya bagaikan disuntik
satu perasaan apabila mendengar susunan ayat Inderawan itu. Dia mula terfikir,
adakah serendah itu taraf maruah dan dirinya di pandangan mata Inderawan?
Selama ini dia bertindak mengikut kata hati. Baginya, bebas itu adalah perkara
terbaik dalam hidup. Oleh sebab itu dia mahukan kebebasan. Dia tidak suka
dikongkong.
Malam itu pemikirannya
seperti berubah. Dia mula bertanya kepada dirinya, bahagiakah dia selama ini
dengan kehidupan yang sebegitu? Setiap kali ada masalah, Zara Alisha akan
meneguk minuman itu dengan alasan masalah akan lenyap apabila dia tidak
sedarkan diri. Namun, apabila kembali sedar masalah itu muncul semula. Malah
bukan semakin berkurangan tetapi semakin membebankan.
Tangan kanan Inderawan
menyeluk poket seluarnya. Dia mahu mengeluarkan telefon bimbitnya tetapi
tiba-tiba sahaja terasa pedih di bahagian lengannya. Perasaan marahnya telah
mengatasi perasaan sakit. Setelah melepaskan semuanya, barulah sakit itu
menerpa ke derianya.
“Ssss……”
Inderawan seperti
menahan pedih. Dia melihat lengan kananya. Baju putih di bahagian itu sudah
dipenuhi dengan warna merah pekat.
Zara Alisha bingkas
bangun apabila melihat keadaan Inderawan. Dia segera menghampiri suaminya.
“Biar aku tolong kau
cuci luka kat lengan tu. Kalau kau nak buat sendiri tak boleh rasanya.”
Tangan Zara Alisha cuba
menyentuh di bahagian luka itu tetapi ditepis Inderawan.
“Kau tak payah nak
pedulikan aku.”
“Biar aku tolong kau.
Aku tahu mesti sakit sebab terkena kaca tadi.”
“Hati aku ni lagi sakit
daripada tangan aku.”
“Aku minta maaf. Aku
tahu memang aku yang salah. Biar aku tolong kau. Luka kau ni pun sebab aku kan?
Sekurang-kurangnya bila aku tolong kau, kau anggaplah tu tanda aku minta maaf.”
“Mana ada orang minta
maaf dengan cara macam tu.”
“Kau duduk dulu. Biar
aku tolong. Kau jangan degil boleh? Kau juga cakap dengan aku yang aku ni
isteri kau. Bila suami aku dalam keadaan macam ni, dah jadi tanggungjawab aku
untuk tolong kau.”
Inderawan tidak
memberikan sebarang reaksi. Dia hanya melabuhkan punggungnya ke sisi katil.
Zara Alisha segera menuju ke bilik air. Dia menekan suis pemanas air. Beberapa
ketika kemudian dia menadah air panas di dalam gayung. Setelah itu dia menuju
ke almari baju untuk mengambil tuala kecil. Semua keperluan itu dia letakkan di
atas meja bersebelahan dengan katil.
“Aku rasa kena buka
baju ni. Baru aku boleh bersihkan luka tu.”
Inderawan cuba
mengangkat lengannya untuk menanggalkan baju tetapi dia terasa pedih.
“Kau jangan angkat
tangan dulu. Biar aku tolong kau.”
Perlahan-lahan tangan
itu menarik ke atas hujung di bahagian bawah baju putih milik Inderawan.
Tiba-tiba sahaja satu lagi perasaan muncul. Hati Zara Alisha berdebar-debar.
Jantungnya seperti berdegup dengan pantas. Apabila bahagian dada Inderawan
sudah terdedah, perasaannya semakin tidak menentu. Dia dapat melihat bahagian
abdomen itu ada bentuk seperti ‘six pack’
tetapi tidak berapa jelas kelihatan. Wajah Zara Alisha yang agak putih itu
sudah mula merona merah.
“Kau kenapa? Merah
padam semacam aje?”
“Tak ada apa-apa. Aku
keluarkan tangan kiri kau dulu. Lepas tu baru tangan kanan kau.”
Zara Alisha terus menarik hingga ke bahagian
leher. Dia cuba mengeluarkan tangan kiri Inderawan terlebih dahulu. Setelah
berjaya, dia menarik baju itu perlahan ke bahagaian kanan Inderawan.
“Kau tahan sikit. Aku
tarik baju ni terus melalui tangan kanan kau ni. Sebab kau nak angkat tangan
kanan ni mesti sakit kan?”
Inderawan hanya
mengangguk. Inderawan memejamkan mata, cuba menahan rasa pedih apabila kain
bajunya tersentuh dengan luka itu. Zara Alisha dapat melihat lengan berotot itu
dipenuhi dengan cecair darah. Zara Alisha mengambil tuala lalu mencelupkan
tuala itu ke air panas. Kemudiannya dia memerah tuala itu lalu dilapkan ke
tempat luka tersebut. Jelas satu garis lebih kurang sepanjang 5cm membelah otot
lengan Inderawan.
“Nasib baik tak berapa
dalam luka ni. Bila dah selesai lap ni, nanti aku sapukan antiseptik lepas tu
aku balut dengan kain kasa.”
“Terima kasih.”
“Aku yang patut ucap
terima kasih kat kau. Kau dah selamatkan aku. Aku tengok dari gaya kau, kau
macam pandai berlawan aje,” teka Zara Alisha.
“Aku ada belajar silat
sebelum aku belajar kat Italy dulu,” balas Inderawan.
Inderawan punya ilmu
itu didadanya. Oleh sebab itu dia tidak perlukan pengawal peribadi. Dato’
Mahmood seboleh mungkin mahu sekurang-kurang seorang pengawal peribadi yang
boleh menjaga keselamatan anak sulungnya itu tetapi Inderawan menolaknya. Cukup
hanya seorang pembantu peribadi yang membantu urusannya di pejabat.
“Kau tahu bersilat
juga? Kau belajar ilmu silat sebab nama kau Tuah ke?”
Alice…..kau ni dah
kenapa? Kalau ya pun menggelabah sebab tengok badan mamat ni yang seksi,
janganlah tanya soalan yang merepek meraban. Orang belajar silat sebab nak
mempertahankan dirilah.
Zara Alisha bermonolog
memarahi dirinya sendiri.
“Belajar silat ni
fardhu kifayah. Semua orang boleh belajar. Takkan nama Tuah aje yang boleh
belajar silat. Silat ni bukan saja pertahankan diri tapi ia mendisiplinkan
diri. Silat ni pun melambangkan keperibadian bangsa dan seni budaya orang
Melayu sejak dari dulu lagi. Faham? Orang moden macam kau ni memang tak faham
rasanya. Kau kan mat saleh celup.”
Zara Alisha
memuncungkan bibir. Inderawan memang gemar menyindir dirinya.
“Memang patutlah nama kau Tuah Inderawan.
Jadi, kiranya kau ni macam pendekarlah ya?”
“Suka hati kaulah nak
fikir apa. Ssss…perlahanlah sikit. Pedih luka tu.”
Zara Alisha tersenyum
sendiri. Semasa mengelap luka di lengan, pandangannya sempat mencuri wajah
Inderawan. Selama ini Zara Alisha menyangka pemikiran semua lelaki sama sahaja.
Malam itu, kata-kata Inderawan jelas menunjukkan yang dia menempatkan seorang
perempuan bernama isteri di tempat yang istimewa. Zara Alisha belum pernah
berjumpa dengan lelaki seperti Inderawan. Masih wujud lagikah lelaki bersifat
seperti pahlawan Melayu di dunia ini?
confirm! fall in love dgn encik pendekar ni...hehd
ReplyDelete