Stylo Clique ^_^

Monday, October 21, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 22

BAB 22

“Musuh disangka jauh beribu langkah, rupanya dekat sejengkal setengah.”


Inderawan memutarkan kunci motosikal itu ke arah lawan jam sebaik sahaja meletakkan kenderaan itu di tempat parking. Bunyi deruman enjin sudah tidak kedengaran. Kaki Inderawan menurunkan stand motosikal lalu tangan itu menyelak lengan jaket kirinya. Jam tepat menunjukkan pukul 8 pagi. Inderawan turun daripada motorsikal Yamaha YZF-R1 berwarna biru itu. Itulah kenderaannya kini. Dia mengikut sahaja kemahuan Dato’ Mahmood yang mahukan dia menggunakan kenderaan mewah. Dia juga mahu mengubah selera. Tuah Inderawan tidak sama seperti dahulu. 

Terdapat beberapa orang staf Taming Sari Berhad terkejut memandang Inderawan sebaik sahaja dia menanggalkan topi keledar. Haqimi yang baru sahaja tiba juga tercengang memandang Inderawan. Inderawan mengukir senyuman apabila meihat Haqimi tidak jauh daripada tempatnya berdiri.

Puas Haqimi berkerut, matanya juga menjadi lebih kecil. Dia cuba mengamati susuk tubuh yang semakin menghampirinya.

Haqimi melihat insan itu tidak sama seperti selalu. Inderawan lebih bergaya berbanding dahulu. Sekali imbas persis Zulqarnain. Jaket kulit hitam tersarung ditubuh Inderawan. Dengan zip yang terbuka sedikit di bahagian dada, menampakkan kolar kemeja hitam dan tali leher berwarna putih susu tersemat kemas. Mata Haqimi menuruni hingga ke bahagian kaki. Seluar hitam dipadankan dengan kasut jenis Blucher Lacing hitam. Inderawan bergaya segak, kasual dan terselit sentuhan garang kerana topi keledar bermuka penuh itu.

“Kenapa kau tengok aku macam tu? Macam tak pernah nampak aku aje.” ujar Inderawan.


Inderawan memerhatikan dirinya lalu memandang sekelilng. Setiap mata yang bertentang dengannya akan memandang Inderawan untuk kali kedua. Dia sendiri hairan apabila menerima reaksi begitu.

“Kalau aku jadi perempuan, dah lama aku jatuh cinta dengan kau bila tengok kau pakai macam ni,”
“Kau gila ke apa?”
“Sejak dah kahwin ni lain macam aje gaya. Isteri kau tak rasa tergoda ke tengok kau pakai macam ni masa nak pergi kerja?”

Belum sempat Inderawan menjawab pertanyaan Haqimi, ada suatu suara yang mencelah di antara perbualan mereka.

“Tuah Inderawan,” sapa Raziq.

Desas-desus mengatakan Inderawan bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Taming Sari Berhad sudah tersebar luas. Khabar angin itu sudah mula menjadi tajuk perbualan sejak kedengarannya berita yang mengatakan Inderawan menggantikan tempat adiknya sebagai menantu kepada Datuk Ramli. Jawatan itu sudah dipangku oleh Raziq sejak setahun yang lalu. Raziq merasakan Inderawan dan Zulqarnain langsung tidak layak untuk menjawat kedudukan itu.

Rasa tidak puas hati, cemburu dan dengki sudah tertanam di dalam hati Raziq. Mengapa Dato’ Mahmood, kawan baiknya sendiri seperti tidak mengakui kebolehan dan kemampuan dirinya? Raziq merasakan dia lebih berhak untuk memegang jawatan itu selama-lamanya. Sepanjang dia memangku jawatan tinggi itu, dia mengharapkan Dato’ Mahmood menyedari yang dia lebih layak daripada anak-anaknya. Lebih 15 tahun dia bersama-sama dengan Dato’ Mahmood membangun syarikat itu bersama-sama dan akhirnya jawatan sebagai ketua kewangan sahaja yang berjaya disandang oleh Raziq. Dia mahu lebih daripada itu. Sudahlah Inderawan dan Zulqarnain melakukan onar, tetapi Dato’ Mahmood masih lagi mahu memberi peluang kepada budak mentah itu. Inderawan dapat melihat pandangan sinis yang dilemparkan oleh Raziq.

“Selamat pagi uncle Raziq,” ucap Inderawan. 

Dia berlagak seperti seolah-olah tiada apa yang berlaku. Inderawan menghulurkan tangan, mahu bersalaman dengan Raziq.

“Selamat pulang semula ke Taming Sari Berhad.”

Raziq membalas dengan menyambut tangan yang dihulur oleh anak muda itu.

“Terima kasih uncle. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada uncle sebab sudi memangku jawatan tu semasa ketiadaan saya di Taming Sari Berhad.”
“Uncle rasa jawatan tu sememangnya patut disandang kepada orang yang lebih berkelayakan. Orang yang lebih bertanggungjawab dan lebih lama serta lebih tahu tentang selok belok perniagaan. Uncle agak bimbang kalau jawatan tu diserahkan kepada orang sembarangan. Orang muda tahu ajelah, terlalu mengikut kata hati.”
Uncle ada nak cakap apa-apa dengan saya ke? Bau ayat yang keluar dari mulut uncle tu macam ada seseuatu yang kurang menyenangkan. Uncle macam tak puas hati aje?”

Inderawan memang sengaja mahu memprovokasi Raziq. Dia mahu tahu apa perasaan orang tua itu ketika ini.

Uncle rasa ini bukan tempat Indera mahupun Nine. Lebih-lebih lagi Nine. Dia belum mampu untuk memegang jawatan tu.”

Inderawan menggelengkan kepala sambil tersenyum.

Uncle tak perlulah nak jadi ketam nak ajar anak ikan macam mana nak berenang sebab anak ikan tak perlu diajar cara untuk berenang.”
“Indera, uncle cuma risau aje. Uncle tak mahulah hal keluarga mengganggu tumpuan Indera. Tambahan lagi uncle tahu yang Indera dan Zulqarnain tak beberapa nak setuju dengan keputusan Dato’ Mahmood dalam sesetengah perkara. Darah anak muda ni tak sama macam orang lama. Uncle takut sejarah berulang kembali. Bimbang kalau empayar Taming Sari Berhad tersungkur sebagaimana Empayar Melaka jatuh tersembam.”

Terasa sakit pula kata-kata Raziq di telinga Inderawan . Setiap butiran perkataan yang diluahkan umpama menikam dada Inderawan berulang kali.

Uncle jangan risau, saya jamin. Dengan adanya Dato’ Mahmood, saya dan semua staf Taming Sari Berhad terutamanya Uncle Raziq, apa yang dibina oleh Dato’ Mansoor suatu ketika dahulu takkan mudah ditiup angin taufan selagi tiada perasaan khianat dan dengki antara kita. Tak gitu uncle?”
“Uncle harap macam tulah. Sekali lagi, selamat kembali menjadi CEO Taming Sari Berhad.”

Kali ini Raziq pula yang merasa bisa sindiran Inderawan. Raziq segera beredar meninggalkan mereka berdua.


“Kau tak rasa ke dia memang ada agenda dia yang tersendiri? Entah-entah dah ada senarai plan yang tersusun macam timun yang dihiris. Tersusun, rapi dan terancang.”
“Aku tak berani nak cakap apa-apalah. Dia kawan baik Dato’ Mahmood.”
“Zaman sekarang macam-macam Indera. Sampai ke hari ni aku masih keliru kenapa dia putar belit cerita pasal Nine dulu. Kenapa dia bohong, sedangkan dia yang beriya nak tolong Nine?”

Inderawan hanya memandang wajah pembantu peribadinya itu. Dia sendiri tiada jawapan. Apa yang pasti, kembalinya dia menjejakkan kaki ke Taming Sari Berhad hari itu menunjukkan dia sudah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.

--------------------------------

Zara Alisha leka menyuap kerepek kentang itu ke dalam mulutnya. Rancangan komedi di televisyen itu menarik perhatiannya. Sudah menjadi tabiat dan kegemaran Zara Alisha mengunyah kudapan ringan di atas katil. Baginya ia satu keselesaan yang tiada bandingnya. Dia dapat baring dengan selesa menonton rancangan di bilik sambil mulutnya enak mengunyah makanan. Zara Alisha mengambil alat kawalan jauh yang terletak di atas meja sudut di sebelah katil. Dia mengalih siaran setelah rancangan tadi beralih kepada iklan.

Inderawan memulaskan tombol pintu biliknya. Seharian di pejabat pada hari pertama bekerja benar-bear meletihkan tubuh dan fikirannya. Banyak perkara dan hal yang telah berubah. Projek suatu ketika dahulu masih lagi di peringkat awal kini sudah hampir selesai. Bila hampir selesai, timbul pula lain ceritanya. Sejak akhir ini Taming Sari Berhad sering menerima aduan mengenai mutu dan kualiti bahan yang rendah telah digunakan dalam kebanyakan projek. Banyak yang harus Inderawan selesaikan setelah dia kembali memegang jawatan itu.

Zara Alisha menoleh sebaik sahaja melihat pintu itu dibuka. Zara Alisha dapat melihat wajah Inderawan seperti terkejut.

“Apasal kau buat muka macam tu?”

Inderawan segera melonggarkan tali lehernya. Meradang bukan main apabila melihat keadaan katilnya dipenuhi dengan beberapa bungkusan makanan ringan. Sudahlah katilnya penuh dengan makanan, sampah-sampah plastik makanan yang habis di makan bertaburan di atas lantai.

“Kau makan atas katil? Ini semua makanan kau?”
“Yalah. Kenapa?”



Saki baki kerepek kentang yang ada di mulut segera ditelan Zara Alisha. Dia pasti, mungkin ada sesuatu yang akan berlaku sebentar lagi.

“Pantang aku satu lagi ialah orang makan atas katil. Macam orang pemalas. Aku tak kisah kau makan kat bilk tapi bukan atas katil. Kau nak tengok tv sambil makan berguni-guni kerepek kentang pun lantak kaulah tapi bukan atas katil. Kau tahu tak entah kau makan berterabur lepas tu tertinggal kat atas katil ni. Nanti bersemut. Aku tak nak masa aku tidur nanti semut buat sarang kat telinga aku.”
“Nanti aku dah siap makan aku kemaslah.”
“Senangnya kau cakap. Tadi aku tengok kau syok-syok baring sambil kunyah semua benda ni. Kau ingat kau anak raja? Tolonglah jangan jadi macam budak-budak. Kau tu dah dewasa.”
“Ya, aku tahu. Perkara kecil aje ni.”
“Perkara kecil apanya? Tengok sampah ni, bersepah-sepah. Nanti lipas buat sarang.”

Zara Alisha sudah hilang sabar. Sudah dua kali dia kena marah hanya kerana pasal katil.

“Bagi aku, ini perkara kecil. Aku kutip semua ni selesai masalah kan? Kau nak tengok sangat aku buat hal yang lebih besar?”

Zara Alisha sengaja menduga Inderawan. Tidak puas hati rasanya jika dia tidak melawan. Zara Alisha segera berdiri di atas katil. Ya, berdiri tanpa ada rasa bersalah kat atas tilam yang gebu lagi empuk itu.

“Berani kau berdiri atas katil. Kau sengaja cari pasal kan? Aku balik kerja lambat, dengan penatnya lain, dengan kusutnya lain lepas tu aku kena tengok kau buat hal macam ni? Aku tak nak cari pasal dengan kau, tapi tolong hormat harta benda aku. Ok. kalau kau tak nak turun aku ambil semua makanan kau ni, aku buang kat dalam tong sampah. Senang cerita.”

Tangan Inderawan sudah pun laju mengambil tiga bungkusan makanan yang masih belum dibuka itu.

“Kau jangan cari pasal dengan aku. Aku tak buat apa-apa pun. Makan pun salah ke? Kau jangan berani nak ugut aku.”

Zara Alisha masih lagi belum turun dari katil.

“Orang macam kau ni kena ajar. Agaknya kau ni dah terlebih kasih sayang, terlebih manja sebab tu mengada-ngada macam ni. Langsung tak boleh tegur. Ok, aku akan buang makanan ni.”

Belum sempat Inderawan melangkah, Zara Alisha terlebih dahulu mengambil tindakan. Dia segera melompat ke tubuh Inderawan yang sedang berpaling daripadanya. Jika dilihat dari mata kasar, Inderawan seperti menggendong Zara Alisha dari belakang. Inderawan terpaksa menanggung tubuh itu.

“Woii..kau buat apa ni. Turunlah. Kau tu dahlah berat.”
“Aku tak akan turun selagi kau tak nak lepaskan kerepek kentang aku tu.”
“Aku cakap turunlah. Kau ingat aku ni tiang ke apa?”
“Kasi dulu makanan aku tu.”

Berpusing-pusing jadinya keadaan mereka berdua. Inderawan terpaksa menanggung berat di bahagian kepala hingga ke pinggangnya. Inderawan sedaya upaya menjaga keseimbangan badannya untuk mengelakkan mereka berdua jatuh.

Raudhah yang berada di bilik sebelah terkejut dengan bunyi bising yang datang daripada bilik abangnya. Begitu juga dengan Naqiuddin dan Shaqir. Bilik si kembar itu pula bertentangan dengan bilik Raudhah dan Inderawan. Tingkat dua banglo itu mengandungi enam bilik. Bilik mereka adik beradik sememangnya berhampiran termasuklah kamar Dato’ Mansoor yang berada dihujung sekali.



Raudhah segera menjengah keluar. Tombol pintu bilik adik kembarnya juga terkuak perlahan. Kepala Naqiuddin dan Shaqir terjulur keluar. Shaqir membuat isyarat dengan menggerakkan kepala ke atas sebagai tanda bertanya kepada kakaknya apa yang sedang berlaku. Raudhah membalas dengan menjongketkan kedua-dua bahunya lalu menggelengkan kepala. Ketiga-tiga beradik itu segera memandang pintu bilik Dato’ Mansoor. Masing-masing sudah tersenyum simpul menanti ‘ketua’ geng 3 + 1 mereka muncul.



Seperti yang dijangka, beberapa ketika kemudian pintu bilik Dato’ Mansoor pula terbuka. Dato’ Mansoor melangkah perlahan dengan tongkatnya menuju ke arah Raudhah. Terjinjit langkah Naqiuddin dan Shaqir menuju ke arah yang sama

“Apa yang dah jadi? Cepat bagi laporan kat tok ayahanda.”

Dato’ Mansoor bertanyakan soalan itu kepada Raudhah. Suara Dato’ Mahmood berbisik namun dapat didengar dengan jelas oleh mereka bertiga.

“Raudhah tak tahu. Tiba-tiba aje bunyi bising kat bilik abang Indera.”
“Kalau macam tu, apa lagi tunggu kat sini. Cepat kita pergi tengok apa yang dah jadi,” arah Dato’ Mansoor.

Mereka berempat berjalan perlahan menuju ke bilik Inderawan yang sudah terbuka pintu itu. Alangkah terkejutnya mereka berempat apabila melihat keadaan Inderawan dan Zara Alisha.

Masing-masing menggelengkan kepala sambil mengeluarkan bunyi seperti cicak.

“Cut….cut…cut…”

Bunyi mereka berempat serentak.

“Indera, Alice……kenapa ni? Apa yang dah jadi?” soal Dato’ Mansoor.

Inderawan dan Zara Alisha yang masih lagi berkeadaan begitu terkejut dengan kehadiran mereka.

“Cut…cut..cut..tok ayahanda tahulah kamu berdua ni pengantin baru. Kalau ya pun tak menyabar, tutuplah pintu ni dulu,” sambung Dato’ Mansoor lagi.

“Cur…cut..cut…abang dengan kak Alice buat apa ni?” tanya Raudhah pula dalam nada perli.

“Cut…cut…cut…abang Indera, Que dengan Shaq masih lagi bawah umur ni,” ucap Naqiuddin.

Bunyi seperti cicak itu masih kedengaran. Memang disengajakan. Masing-masing sudah menyengih antara satu sama lain. Walhal apa yang terjadi jauh daripada sangkaan mereka.
Alamak….geng 3 + 1 dah sampai. Mesti dia orang fikir bukan-bukan ni. Desis hati Inderawan.

“Ini semua salah faham. Langsung tak sama dengan apa yang tok ayahanda, Raudhah, Que dan Shaq fikirkan.”

Inderawan cuba berlagak tenang.

“Kau buat apa naik atas badan aku ni, turunlah,” arah Indera kepada isterinya.

Zara Alisha hanya mampu membalas dengan menampakkan baris giginya yang putih itu. Inderawan merendahkan sikit badannya ke sisi katil dan Zara Alisha segera turun daripada tubuh Inderawan.

“Tok ayahanda ingatkan apalah tadi. Tiba-tiba aje bising. Dah-dah…jom kita balik bilik masing-masing. Jangan nak jadi busybody.”
“Tak apa bang. Shaq tak berapa nak faham apa yang jadi ni. Almaklumlah budak bawah umur. Shaq tolong tutupkan pintu ni ya?” ucap Shaqir sambil tersengih macam kerang busuk.

Sebelum menutup pintu itu dengan lebih rapat, Shaqir sempat menjulurkan kepalanya.

“Shaq ucapkan selamat………..aaa…selamat…ha, semoga semuanya selamatlah. Semoga berjaya.”

Shaqir segera menutup pintu.

“Tak lama lagi tok ayahanda dapat cicitlah nampaknya,” ucap Raudhah.

Mereka berempat sudah ketawa terkekek-kekek sambil menuju ke bilik masing-masing.

“Semoga berjaya? Kau tengok, pasal kau dia orang dah salah faham. Dah, kau kemas bilik ni. Ambil balik makanan kau ni. Lain kali jangan buat hal.”
“Kau nak pergi mana?” tanya Zara Alisha apabila melihat Inderawan seperti mahu beredar daripada situ.
“Nak pergi mandi. Kenapa? Nak ikut?”

Zara Alisha segera menggelang.

1 comment:

  1. hahahahaha...lawak la geng 3+1 tu...hihi..ketua geng tu pun sama...ok..tuah,teruskan sikap ketegasanmu itu..buat daku terjatuh cinta ni...hehehe

    ReplyDelete