BAB
21
“Lain rumput, lain belalang. Lain orang, lain pantang.”
Mata Zara Alisha
terbuka luas dengan tiba-tiba apabila menyedari keadaan bilik itu tidak seperti
biasa.
“Ini bukan bilik aku.”
Fikirannya masih mamai
kerana baru sahaja sedar daripada tidur.
“Oh..lupa, aku dah
kahwin semalam. Ni bilik si pendekar tu.”
Zara Alisha mahu
memejamkan matanya semula, namun ada sesuatu di fikirannya yang menyebabkan dia
membuka matanya semula.
“Kahwin?”
Zara Alisha bingkas
bangun dan menyelak selimutnya. Dia melihat pakaiannya masih lagi tersemat
kemas di tubuhnya. Dia menarik nafas lega
“Nasib baik. Mamat
pendekar ni memang tepati kata.”
Dia menoleh ke kiri.
Mulutnya menyangap besar. Dia mendapati Inderawan tiada di sisinya.
“Eh? Tak ada? Dah
bangun ke?”
Zara Alisha mengonyoh
perlahan matanya. Masih lagi terasa mengantuk. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja
dia menarik selimut tebal itu tetapi dia mahu ke kamar mandi terlebih dahulu.
Sebaik sahaja dia pintu itu dikuak, mata Zara Alisha yang akan seakan terpejam
itu tiba-tiba sahaja terbeliak apabila mendapati ada seseorang di dalam tab
mandi sedang enak diulit mimpi.
“Dah kenapa pendekar ni
tidur kat sini?”
Dia melangkah perlahan
menghampiri Inderawan. Tangannya cuba menggerakkan tubuh Inderawan.
“Hooii…bangunlah.”
Inderawan masih lagi
melelapkan matanya. Langsung tidak memberikan sebarang tindak balas. Zara
Alisha cuba memerhatikan wajah itu dengan lebih dekat. Ada sesuatu yang menarik
perhatiannya.
Boleh tahan juga dia
ni. Muka panjang, dagu pun tajam. Kening tebal macam ulat bulu. Badan boleh
tahan, macam selalu pergi gym. Eh…apa kau dah melalut ni Alice? Kau tadi nak
buang air kan?
Zara Alisha cuba
menyedarkan dirinya sendiri.
“Inderawan…bangunlah….”
Di alam fikiran
Inderawan, suara Zara Alisha seperti sayup kedengaran. Lama-kelamaan dia
merasakan seperti ada sesuatu yang bergegar seperti adanya gempa bumi dan
menyebabkan dia membuka mata.
“Kau buat apa kat
sini?”
“Aku nak buang air. Kau
kenapa tidur kat sini?”
Inderawan bingkas
bangun daripada baringannya lalu keluar daripada tab mandi itu.
“Dah pukul berapa ni?”
soal Inderawan.
Matanya sekejap kecil dan besar kerana menerima cahaya daripada
lampu di dalam kamar mandi itu.
“Pukul 10 rasanya,”
jawab Zara Alisha.
“Apa? Pukul 10? Kau
tahu tak aku dah lambat nak pergi kerja. Apasal kau tak kejut aku awal-awal?”
“Bukannya kau cuti ke?
Lupa semalam kau dah kahwin?”
“Aku tak mohon cuti
kahwin pun,” tipu Inderawan.
Inderawan merancang untuk
kembali semula ke Taming Sari Berhad sebaik sahaja dia berkahwin dengan Zara
Alisha. Dia sudah mengatur dari awal lagi hari ini adalah hari pertama dia
bekerja semula ke syarikat warisan keluarganya itu. Namun rancangannya sudah
tergendala.
“Kau cuti ajelah hari
ni. Lepas tu sambung tidur. Lagipun syarikat tu syarikat keluarga kau kan? Apa
susahnya, selesai masalah. Manalah aku tahu kau tidur kat bilik air ni.”
“Masalahnya, malam tadi
tiba-tiba aku terdengar ada orang berdengkur kuat sampai aku tak boleh tidur.
Pukul 3 pagi sampailah ke subuh. Sebab tulah aku tidur kat bilik air ni. Tak
pernah dibuat orang tidur kat dalam tab mandi.”
“Siapa yang berdengkur
tu?”
“Siapa? Kaulah. Harap
muka aje cantik tapi tak sangka tidur berdengkur macam harimau.”
Inderawan mengambil
bantal dan selimutnya sekali.
“Kau cakap aku cantik?
Bukannya semalam kau cakap muka aku macam belacan hapak ke?”
“Muka belacan hapak tu
sebab kau tu berangan nak jadi mat saleh.”
“Sorrylah….manalah aku
tahu aku tidur berdengkur sampai kau tak boleh tidur malam tadi. Kalau aku
penat sangat aku memang tidur berdengkur. Kau jangan beritahu dengan orang lain
pula aku tidur teruk sampai macam tu sekali. Bengang jugalah kalau orang tahu.”
“Aku rasa macam tidur
dengan harimau jadian. Tak ada apalah. Hal kecil aje tu. Cepat sikit buang air
tu, aku pun nak masuk juga.”
Zara Alisha segera
menutup pintu. Malu rasanya apabila tabiat buruknya itu diketahui oleh orang
lain. Selama ini dia tidak mengendahkan cara tidurnya kerana dia tidur
bersendirian. Tetapi kini salah satu rahsianya telah terbongkar.
--------------------------------
“Amboi….pengantin baru
ni bangun lambat sambil ketuk-ketuk pinggang,” tegur Dato’ Mansoor apabila
melihat Inderawan menuruni tangga sambil memicit dan mengetuk perlahan pinggangnya
sendiri.
Dato’ Mansoor berada di
ruang tamu sambil menonton televisyen. Tersenyum simpul jadinya orang tua
tersebut. Inderawan membatalkan niatnya untuk ke dapur, dia menukar haluan dan
menuju ke ruang tamu.
“Tok ayahanda, Indera
sakit pinggang ni sebab salah tempat tidur malam tadi.”
“Salah tempat tidur
sampai bangun lambat? Salah tempat tidur ke salah bantal? Yalah, selama ni
bantal lain tiba-tiba malam tadi dapat bantal lain.”
Inderawan melabuhkan
punggung ke sofa dan duduk di sebelah datuknya.
“Tok ayahanda,
janganlah salah faham. Semalam Indera tak tidur lena sebab………….”
“Ha, tak payah cakap
lagi. Hal rumah tangga tak payah cerita dengan tok ayahanda.”
“Nasib baik tak ada
geng 3 + 1 dia. Kalau tak, memang Indera kena bahan ajelah.”
Dato’ Mansoor ketawa.
Dia tahu apa maksud geng 3 + 1 tu. Siapa lagi kalau bukan Raudhah, Naqiuddin
dan Shaqir. Geng komplot cucu dan datuk.
“Mana Alice?”
“Entah, tadi masa
Indera nak turun dia kat dalam bilik air. Mandi kot. Tok ayahanda dah sarapan?”
“Orang dah nak makan
tengahari, dia tanya kita dah sarapan ke belum.”
“Indera rasa dah lama
tak makan dengan tok ayahanda.”
Wajah Dato’ Mansoor
serta merta berubah. Tadi senyumannya terukir kerana menyakat Inderawan, kini
lidahnya pula kelu apabila mendengar sepotong ayat itu. Ia umpama luahan dan
isi hati serta perasaan rindu seorang cucu terhadap datuknya. Inderawan berdiri
lalu melutut di hadapan Dato’ Mansoor. Dia mengambil tangan Dato’ Mansoor lalu
dikucup lama tangan yang sudah berurat itu.
“Tok ayahanda, Indera
minta ampun dan maaf dengan tok ayahanda. Indera tahu Indera tak patut buat apa
yang Indera dah buat. Indera tinggalkan tok ayahanda, adik-adik dan
tanggungjawab Indera sebagai anak sulung dalam rumah ni.”
“Indera, tak ada apa
yang tok ayahanda nak maafkan. Kalau tok ayahanda kat tempat Indera, tok
ayahanda akan buat perkara yang sama. Lagipun Indera bela nasib bonda Indera.
Sekurang-kurangnya tok ayahanda masih ada lagi cucu- cucu yang lain, tapi bonda
Indera cuma ada Indera lepas diceraikan oleh ayahanda Indera.”
“Indera tahu ni semua
salah Indera. Kalau Indera ikutkan sahaja kehendak ayahanda dulu, mungkin Nine
tak lari daripada rumah. Indera tak patut abaikan tanggungjawab Indera.”
“Jadi, Indera balik
semula ke rumah ni sebab apa?”
“Cuba mengundurkan
kembali perahu yang sudah terlajak di dayung, mengharapkan Indera sempat untuk
menyatukan kembali keluarga kita.”
“Masa yang berlalu, tak
dapat diundur Indera. Tapi tok ayahanda tahu kita mampu untuk mengubah masa
hadapan dan menjadikan kehidupan kita lebih baik daripada hari ini.”
“Kalau ikutkan hati,
Indera nak berhenti, berhenti daripada semua ni. Indera nak jerit pada dunia
yang Indera dah tak nak mampu.”
“Tiada siapa yang boleh
berhenti jadi diri sendiri, termasuklah tok ayahanda. Indera tak boleh berhenti
sebab kamu telah dilahirkan sebagai Tuah Inderawan bin Mahmood Syah. Tok ayahanda
tahu Indera bijak. Tok ayahanda juga tahu yang cucu tok ayahanda ni tahu apa
yang dia buat.
“Indera cuma nak jadi
macam orang lain.”
“Tapi Indera bukan orang
lain. Kamu cucu kepada Mansoor Syah dan tok ayahanda bangga dengan semua cucu
tok ayahanda.”
Inderawan tersenyum.
Dia segera memeluk Dato’ Mansoor. Sedikit sebanyak kata-kata datuknya itu
menaikkan semangatnya untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku
nanti. Dato’ Mansoor membalas dakapan itu dengan penuh erat. Dia terlalu
rindukan cucu sulungnya itu. Dia bersyukur kepada Maha Pencipta kerana telah
membuka hati Inderawan untuk pulang semula. Ada hikmah di sebalik perbuatan
Zulqarnain. Jauh di sudut hati Dato’ Mansoor, dia tahu Zulqarnain akan mengikut
jejak langkah abangnya untuk pulang ke pangkuan keluarganya. Setelah beberapa
ketika, Dato’ Mansoor meleraikan pelukan mereka.
“Terima kasih tok
ayahanda.”
Orang tua itu membalas
dengan mengucup di ubun-ubun kepala Inderawan.
“Indera naik atas dulu.
Nak tengok Zara. Tak tahu kenapa dia tak turun-turun lagi.”
Inderawan bingkas
bangun dan menuju ke tangga. Dia cuba beralih arus dengan perasaannya sendiri.
Dia tidak mahu mengalirkan air mata. Dia nampak sahaja teguh tetapi hati
kecilnya begitu rapuh.
--------------------------------
Hanya kalimah itu yang
Inderawan mampu ucapkan sebaik sahaja pintu biliknya dikuak. Inderawan
beristighfar panjang apabila melihat baju bersepah-sepah di atas katil. Sudah
menjadi larangan bagi Inderawan akan hal itu. Matanya pantang jika melihat
sesuatu yang tidak terurus.
“Zara,” panggil
Inderawan dengan nada tegas.
Zara Alisha yang baru
sahaja selesai mengenakan pakaiannya terkejut apabila melihat Inderawan berada
di situ.
“Eh, bukan kau cakap
kau nak turun bawah ke? Kenapa naik atas pula?”
Mata Inderawan sudah
membulat apabila melihat longgokan kecil di atas katil itu.
“Apa benda kat atas
katil ni?”
“Baju aku. Kenapa?”
“Kenapa baju kotor
dengan baju bersih ni dah bercampur? Ni baju tadi malam yang kau pakaikan? Ni
baju yang baru kau keluar daripada beg, betul tak?”
Tangan Inderawan
menggapai baju berwarna ungu cair itu lalu ditalakan ke wajah Zara Alisha.
“Yalah. Aku nak
keluarkan semua baju aku ni lepas tu nak letak kat dalam almari baju.”
“Amboi…sedapnya nak
masukkan dalam alamari baju. Mana boleh baju yang kau dah pakai bercampur
dengan baju yang belum pakai.”
“Aku manalah perasaan.
Ala, lagipun nanti orang gaji kau ambil baju ni pergi basuh kan?”
“Senangnya kau cakap.
Kau tak nampak ke ada bakul baju kotor kat depan pintu bilik air tu?”
Jari telunjuk Inderawan
menunjukkan ke arah tempat yang dimaksudkan lalu dia memasukkan baju yang kotor
itu ke dalam bakul.
“Lagi satu, ni tuala
yang kau pakai masa mandi tadi kan?”
“Yalah, apa masalahnya
lagi?”
“Kau nampak tak aku
sangkutkan tuala aku kat mana? Tuala ni basah dan lembab. Bila dah bercampur
dengan benda kering, baju yang bersih ni pun ada bau lembab. Baju jadi busuk.
Kau kena sidai tuala ni kat tempat aku sidai. Bukannya longgok kat katil.
Perangai macam budak-budak.”
“Ala..setakat baju aje,
bukannya hal besar pun.”
“Bagi kau bukan hal
besar tapi bagi aku ini namanya pantang. Aku tak suka ada bau yang tak
menyenangkan kat dalam bilik ni. Aku tak suka bilik aku bersepah-sepah. Macam
mana bilik ni kemas masa kau masuk mula-mula, macam tulah juga bersihnya bila
kau keluar daripada bilik ni.”
“Baju tu bercampur baru
aje. Bukannya berhari-hari. Baju aku yang bersepah-sepah ni aku memang nak
kemaskan nanti.”
“Zara Alisha, bila dah
buat salah jangan nak banyak bagi alasan boleh tak? Tak guna nak menegakkan
benang yang basah. Ini peraturan. Kau dah duduk kat bilik aku, jadi kau kena
ikut. Kalau bilik selesa, kau pun senang nak tidurkan? Faham?”
Inderawan tak ubah
seperti seorang bapa memarahi anaknya. Dahi Zara Alisha berkerut-kerut tatkala
dimarahi Inderawan hanya kerana pasal baju. Jika di rumahnya, dia bebas
melakukan apa sahaja. Campak saja pakaiannya ke ceruk mana, pasti akan ada
tukang mengutipnya. Biar berserak dan tidak terurus kamarnya seperti tongkang
pecah, tiada siapa yang akan meninggikan suara. Bagi Zara Alisha, kerja
mengemas itu hanyalah kerja orang gaji.
Pasal baju pun dia nak
mengamuk macam ni? Nasib baik si pendekar ni tak ada keris. Kalau tak, mesti
dia ajak aku bertarung semata-mata sebabnya aku sepahkan baju ni kat atas
katil.
“Faham ke tidak ni?”
soal Inderawan apabila memerhatikan Zara Alisha seperti mengelamun di awangan.
“Faham.”
“Bagus. Jangan harap
aje muka cantik, tapi tak tahu jaga kebersihan.”
“Belum sampai malam dah
dua kali kau cakap aku cantik, betul ke?”
“Kau ni tak faham ke?
Ayat aku tu macam perumpamaan. Tak ada apa-apa makna pun. Dah, cepat kemas
semua ni. Dah siap nanti turun bawah, makan. Apa pula kata tok ayahanda kalau
kita tak makan sama-sama.”
Inderawan segera
keluar. Dia sendiri hairan mengapa bibirnya tidak henti mengatakan Zara Alisha
cantik. Dia mengakui sejak pertama kali dia bertemu dengan gadis itu di
lapangan terbang dulu, Zara Alisha punya tarikannya tersendiri. Zara Alisha boleh
dikategorikan sebagai gadis yang bijak berfesyen. Gaya rambut dan juga
pakaiannya jelas menggambarkan dia bersifat moden. Jauh panggang dari api
menepati ciri-ciri yang Inderawan mahukan. Atau mungkin lebih tepat lagi
Inderawan sudah serik untuk menjalinan hubungan dengan gadis seperti itu.
Zara Alisha
mengembungkan pipinya dan mimik mukanya mengejek Inderawan. Inderawan tidak
nampak, beranilah dia untuk buat begitu. Zara Alisha mengambil tuala lembab
yang berada di katil lalu menyidai tuala itu di tempat penyidai yang terpasang
kemas di dinding sambil mulutnya kumat kamit sendiri, melepaskan geram terhadap
Inderawan.
suka dengan penggunaan bahasa. tetiba rasa bahasa melayu ni best. especially yang bunga-bunga
ReplyDeleteYezzaaa...
Delete