BAB 26
Kusangka
kebal dihunus sembilu, rupanya hati rapuh umpama debu.
Titisan
air hujan kian lebat membasahi bumi. Inderawan menarik nafas lega kerana sempat
untuk sampai ke rumah. Inderawan memerhatikan sekeliling. Salah satu kereta
milik Dato’ Mahmood tiada. Inderawan melihat jam di tangan kirinyanya. Tepat
menunjukkan pukul 11.00 malam. Dia segera melangkah masuk lalu menanggalkan
topi keledarnya.
Malam itu, sengaja dia
melibatkan diri dengan latihan silat. Selain dapat mengasah semula langkahnya,
dia juga dapat mengeluarkan peluh. Beg yang disandangnya mengandungi pakaian
pejabat yang dia pakai pada siang hari tadi. Inderawan menyapu kasar air hujan
yang terkena pada baju. Rasa dingin mula menggigit tubuhnya.
“You baru balik? You
dari mana?” soal Tria.
Inderawan memasamkan
muka. Kalau boleh dia mahu menganggap Tria seperti halimunan.
“Saya nak pergi mana
atau dari mana sekalipun bukan urusan aunty.
Ayahanda sendiri tak pernah tanya saya. So,
aunty tak perlu nak susah payah ambil tahu.”
“Ayahanda you keluar. Katanya ada meeting,” sambung Tria, cuba mengubah tajuk perbualan untuk
mengambil perhatian Inderawan.
“Saya naik dululah aunty.”
“Indera,” panggil Tria.
Langkah Inderawan
terhenti.
“I masih
sayangkan you.”
“Aunty cakap apa ni? Aunty
jangan nak merepek malam-malam macam ni.”
“I tak merepek. I…”
“Cukuplah. Saya dah
muak dengar ayat tu. Kenapa? Kalau aunty
tahu dia ayahanda saya, aunty tak
goda dia? Ke aunty menyesal kahwin
dengan Dato’ Mahmood bila dapat tahu saya adalah anak sulung dalam rumah ni?
Yalah, Dato’ Mahmood tu ayah, saya ni anak. Sudah tentu yang muda lebih berharga, kan? Sudahlah aunty. Saya rasa aunty ni
mengigau agaknya. Benda tu dah setahun lebih lepas. Dah basi pun,” sindir
Inderawan.
“Sayang, jangan cakap
macam tu. I tak pernah bohong. I memang sayangkan you.”
“Aunty, saya tak faham apa yang aunty
cakap ni.”
“I tahu, sampai
sekarang you masih sayangkan I. You susah nak
cari pengganti I. I tahu you terpaksa”
“Aunty, saya rasa soal hidup saya tak ada kena-mengena
dengan aunty. Aunty tak ada hak nak cakap pasal tu dengan saya.”
Inderawan mahu beredar, tetapi Tria sempat menyambut lengan Inderawan.
Inderawan segera menarik kasar lengannya.
Pada masa yang sama,
Zara Alisha keluar dari biliknya. Dia masih
lagi belum dapat melelapkan mata kerana memikirkan segala kemungkinan yang
berlaku antara Inderawan dan ibu mertuanya yang muda itu. Zara Alisha mahu
membasahkan tekak, tetapi saat mahu menapak
menuruni tangga, matanya pula dihidangkan dengan sesuatu. Zara Alisha segera
menyorok di dinding berhampiran. Dia mengambil keputusan untuk mendengar,
mungkin ada sesuatu yang boleh dijadikan jawapan terhadap segala persoalan yang
bermain di kotak fikirannya.
“Indera, I tak nak you
panggil I macam tu. Hati I masih untuk you.”
“Saya rasa itu yang
seelok-elok panggilan buat aunty.
Saya rasa aunty perlu sedar kedudukan
aunty dalam rumah ni,” ucap
Inderawan, seperti memerli lalu segera menaiki tangga menuju ke biliknya.
Kali ini Tria bertindak
lebih drastik. Dia memeluk tubuh Indeawan dari belakang. Zara Alisha yang
sedang melihat dari atas spontan membulatkan mata.
“I masih sayangkan you
sampai sekarang. Tolonglah faham. I sanggup tinggalkan ayahanda you, then kita pergi overseas. Kita hidup berdua kat mana-mana. Walaupun I dengan
ayahanda you, tapi hari-hari I nampak you.
Perasaan I tak menentu. I cemburu bila you tidur sebilik dengan perempuan tu. I
tahu, you bukan nak sangat dengan dia. You cuba nak cemburukan I, kan?”
Inderawan segera
meleraikan lengan Tria yang melingkari pinggangnya. Perasaan benci semakin
meluap-luap di hatinya. “Aunty ni dah
gila ke apa?”
“Memang I dah gila. I
gilakan you. I menyesal yang I dah buat silap dulu.”
“Aunty, saya bukan Inderawan yang dulu. Saya dah berubah. Zara tu
isteri saya. Dia tanggungjawab saya. Zara tak ada kena-mengena
dengan hal yang saya nak cemburukan aunty. Saya tidur sebilik dengan dia ke, peluk
cium dia ke, semua tu bukan urusan aunty. Dah tertulis jodoh saya dengan dia.
Kalau bukan sebab Zara Alisha, saya tak akan ke balik rumah ni lagi-lagi bila
ada aunty kat dalam rumah ni.”
Kali ini perasaan Tria
berubah. Marah teramat apabila Inderawan mengatakan ayat itu. Bagi Tria, hanya
dia yang layak mendapat gelaran itu.
“You ingat Alice tu perempuan baik sangat ke? Dia
tu kaki kelab. Lebih teruk daripada I.”
“Ya ke lebih teruk? Ya,
saya memang tahu Zara macam tu, tapi sekurang-kurang dia tahu dia salah dan dia
jujur dengan saya.” Inderawan memandang Tria penuh dengan kebencian. Inderawan
segera melangkah menaiki tangga. Hatinya tidak menentu. Jika dibiarkan lama,
hatinya menjadi lebih sakit dan perit.
Langkah Zara Alisha
laju menuju ke biliknya. Perasaannya memberontak mahukan jawapan. Bunyi rintik
deraian hujan yang lebat agak menenggelamkan suara mereka berdua. Zara Alisha
tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan antara suami dan ibu mertuanya
itu. Zara Alisha hanya mengagak melalui perbuatan fizikal mereka sahaja.
Inderawan menutup pintu
bilik dengan tenaga yang lesu. Dia terkejut apabila melihat Zara Alisha berdiri
di sisi katil.
“Kenapa kau tak tidur lagi?
Apasal jadi tiang bendera kat situ?” soal Inderawan sambil menanggalkan jam
tangannya lalu diletakkan di atas meja
“Kau memang ada skandal
dengan mak tiri kau ke?”
“Kau cakap apa ni?
Mengigau?”
“Kau ada buat hubungan
sulit dengan Aunty
Tria ke?” tanya Zara Alisha sambil tangannya menunjukkan sekeping
foto.
Tindakan refleks
Inderawan segera merampas objek itu dari tangan Zara Alisha. “Macam mana kau
dapat gambar ni?”
“Kotak bawah katil.
Siapa suruh simpan kotak ni kat tempat tu? Dah macam orang zaman dulu simpan
barang kat bawah katil.”
“Kau tak payah nak tahu
apa-apa. Ini hal peribadi aku. Asal namanya orang, mestilah ada rahsia.”
“Kau cuba nak tegakkan
benang yang dah basah ke?”
Inderawan menghembuskan
nafas mengeluh. Dia melabuhkan punggungnya ke katil lalu merenung lama Zara
Alisha.
Inderawan
menuju ke salah sebuah bangku konkrit yang terdapat di taman rekreasi itu. Dia
melihat Tria sudah tiba lebih awal daripadanya. Inderawan seboleh mungkin mahu
menenangkan hatinya. Setelah apa yang dia lihat tempoh hari semasa di hotel
itu, jiwanya memberontak.
“Kenapa tiba-tiba you
minta I datang sini?”
Tria menoleh. Wajah itu
seperti mengukir rasa bersalah, namun sedaya
upaya dia membendung perasaan tersebut daripada terpancar di raut mukanya. “You tak nak duduk?”
“Cakap ajelah. Rasa
macam ada hal penting aje you nak beritahu I.”
Tria sedang
mengumpulkan kekuatan untuk berbicara akan hal itu kepada Inderawan. “I rasa
hubungan kita sampai kat sini aje. I tak dapat nak hidup dengan you. I tak
boleh kahwin dengan you.”
Inderawan masih lagi
berlagak tenang walaupun perasaan marahnya tiba. Dia sudah menjangka ini yang
akan berlaku.
“Kenapa?” soal
Inderawan tanpa melihat wajah Tria.
“Keluarga I dah ada
pilihan sendiri. I tak boleh nak tolak.”
Inderawan mendiamkan
diri. Dia membiarkan Tria terus mengeluarkan kata-kata. Inderawan mahu tengok
sejauh mana sang ular cuba membelit mangsanya.
“I minta maaf. I
terpaksa ikut cakap keluarga I. I tak ada niat nak buat you macam ni.”
Diam Inderawan
berlanjutan. Dia tidak mahu menyangkal dahulu segala kenyataan Tria.
“Indera, please say something. Jangan diam macam ni. You buat I rasa
bersalah.”
Inderawan memberikan reaksi sinis apabila
baris ayat itu keluar dari bibir Tria. Inderawan memandang ke arah lain. Dia
tidak mahu memandang Tria. Perasaan marah memenuhi segenap jiwanya.
“I rasa you tak patut
ada rasa bersalah rasanya. Sebab you memang tak ada perasaan tu pun untuk I.
Kalau you sayangkan I, you takkan buat macam ni.”
“Indera, ini pemintaan
keluarga I.”
“I bukan cakap pasal
permintaan keluarga you, tapi I nampak you
datang hotel dengan seorang Dato’. You buat apa kat hotel tu?”
Tria tersentak dan
terkesima. Dia umpama terkena renjatan elektrik apabila mendengar kenyataan
Inderawan. “You cakap apa ni? Mungkin orang yang you nampak tu klien I.”
Masih lagi segar di ingatan Inderawan akan peristiwa beberapa hari
yang lalu. Kebetulan Inderawan ada seminar di hotel tersebut pada hari itu.
Pada mulanya dia melihat Dato’ Mahmood berada di ruangan lobi. Niat asal dia
mahu menegur ayahnya. Namun niat itu tergendala apabila melihat Tria melangkah
masuk ke hotel dan menuju ke arah Dato’ Mahmood.
“Amboi, baiknya hati
dengan klien sampai jalan pimpin tangan siap lentokkan kepala kat bahu. Yang I
nampak you bagi tangan you, yang I tak nampak?”
“Indera, you jangan nak
tuduh I sembarangan. You ingat I ni perempuan apa?”
“I tahu you perempuan
jenis apa. You sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan enam angka kosong di
belakang dalam akaun bank you. Betul tak?”
Tria tidak mampu
membangkang. Dia sudah tersepit.
“Patutlah you mengelak
bila cakap pasal kahwin. Rupa-rupanya inilah pilihan keluarga you?”
“Indera, I tak ada niat
nak buat semua ni. You tak faham situasi I.”
“I tak faham situasi
you? Apa yang I faham, you mahukan kemewahan, kesenangan dan kekayaan. I tahu,
I tak mampu nak bagi you semua tu.”
“Ya, memang itu
sebabnya. Setiap kali I tanya pasal kerja you, you akan mengelak. You akan
jawab, I kerja kat pejabat macam orang lain. I nak masa depan I lebih jelas.”
“Okey, nanti kita tengok siapa yang akan faham dan
siapa yang akan lebih jelas.”
Mata Zara Alisha
tiba-tiba terasa panas. Zara Alisha dapat merasakan air matanya sudah
bertakung. Dia cuba menahan. Sungguh tidak percaya, itu yang terjadi.
“Sekarang, kau dah tahu
cerita. Puas hati?”
“Selama ni keluarga kau
tak tahu pasal Aunty
Tria?”
Inderawan menggeleng.
“Habis tu siapa yang
tahu pasal ni? Kau pendam semuanya sorang-sorang?”
“PA aku dengan kau aje
yang tahu. Aku pun tak tahu macam mana boleh cerita kat kau.”
“Jadi, memang sebab aku
kau balik semula ke rumah ni?”
“Tak juga. Ada orang
cakap dengan aku, dah sampai masanya aku
berhenti berlari.”
“Ke memang kau nak
balas dendam kat mak tiri kau tu? Yalah, kau kahwin dengan aku, tapi kau sebenarnya nak sakitkan hati dia.”
“Kau ingat kahwin ni
apa? Macam beli belacan kat kedai tu?”
“Tak adalah. Manalah
tahu. Semua kemungkinan boleh berlaku, kan? Cerita kau ni sama macam cerita
Hang Tuah mempersembahkan Tun Teja untuk Sultan Mahmud. Cuma kau punya versi
moden dengan susunan jalan cerita yang berbeza. Kalau Hang Tuah berpura-pura
sayangkan Tun Teja, tapi Tuah Inderawan
memang betul-betulkan cintakan Tria dan akhirnya sang gadis milik Dato’
Mahmood.”
“Aku tak tahu pula mat salih macam kau ni tahu juga pasal hikayat Melayu.”
“Aku serius ni. Aku
terkejut. Tak sangka macam ni jadinya. Tapi
kalau kau nak ajak aku komplot untuk cemburukan mak tiri kau tu, aku okey aje.
Kita pura-pura mesra kat depan dia. Lepas tu, biar dia sakit mata dan sakit
hati. Tak sangka dia macam tu.”
Inderawan segera
memandang Zara Alisha. Mukanya sedikit berkerut. Dia cuba mencari kepastian
sama ada Zara Alisha benar-benar maksudkan perkara itu. “Kau ni memang suka
buat benda bukan-bukan ke? Aku ni tak nak keruhkan lagi keadaan. Aku pun tak
ada niat nak burukkan dia. Sudah tiba saatnya aku betulkan apa yang silap.”
“Kau tahu tak apa
kesilapan yang paling besar kau lakukan dalam situasi ni?”
“Apa maksud kau?”
“Masalah dan silap kau
yang paling besar ialah kau tak nak luahkan, kau pendamkan sampai jadi pekasam.
Sebab tu apa yang tersimpan kat dalam hati kau tu bertukar jadi dendam. Kau
jadi pemarah dan kepala batu. Dan sebab tu juga masalah tak selesai.”
“Cakap menggunakan
lidah lebih senang daripada bertindak menggunakan fikiran.”
“Semakin tinggi kita
memanjat, semakin sakit apabila kita jatuh. Situasi kau umpama kau sedang
mendaki bukit. Kau tak nak pijak ke bumi lagi sebab kau rasa kat puncak bukit
tu ialah tempat kau. Tapi, bila kau dah tergelincir, kau akan jatuh bergolek
hingga ke bumi di mana tempat asal kau bermula. Dan kesan kau jatuh itu ialah
perasaan sakit. Sakit yang amat dalam kerana kau cuba untuk lari, tapi akhirnya kau masih di tempat yang sama. Kau
memang tak boleh lari daripada kenyataan.”
“Kenyataan yang hendak
aku hadapi tu terlalu pahit. Boleh kau bayangkan orang yang kau sayang adalah
orang yang sama yang buat kau derita.”
“Aku tahu, ia memang payah,
tapi kau cuba untuk jadi keras macam batu dengan harapan orang lain tidak tahu
apa yang kau sedang hadapi. Kau cuba berlagak tenang,
tapi hati kau berombak dan berarus sebenarnya. Apa yang aku nampak, Tuah
Inderawan umpama memakai satu topeng di mukanya. Dia berpura-pura tegas, tapi sebenarnya hati dia sangat lemah dan mudah
dicederakan.”
“Aku cuma nak kehidupan
aku macam orang lain.”
“Kau tahu ke kehidupan
orang lain tu macam mana? Orang lain pun nak hidup macam orang lain juga. Kau
faham? Kalau semua orang nak jadi orang lain, siapa pula nak jadi diri
sendiri?”
“Kadang-kadang aku
berharap aku boleh berhenti jadi diri aku. Hati aku dah penat nak menghadapi
semuanya.”
“Kau tahu tak
sebenarnya kita boleh berhenti, tapi berhenti sekejap aje. Mungkin ada tika dan
masanya kita kena berhenti untuk tahu apa yang terjadi kat sekeliling kita.
Kita akan tahu apa perasaan sebenarnya dan kita akan mula belajar apa itu
mendengar. Bila kau dah mendengar, barulah kau boleh buat keputusan.”
“Aku tak faham.”
“Yalah. Agaknya sebab
tulah aku rasa kau dah tak pandai senyum. Sepanjang aku duduk dengan kau, aku
tak pernah nampak kau senyum. Kau dah lupa ke macam mana nak melengkungkan
bibir kau tu ke atas?” tanya Zara Alisha sambil dia tersenyum lebar. Jarinya
cuba membuat lengkungan senyum pada wajah
Inderawan.
Inderawan memberikan
reaksi pelik. Betul ke aku dah tak pandai senyum? Atau aku betul-betul dah lupa
macam mana nak senyum? Inderawan mula bertanyakan soalan itu kepada dirinya.
“Tak salah kalau kau
senyum walaupun kau sedang menghadapi masalah. Aku rasa mesti kau nampak handsome bila senyum.”
Renungan mata Inderawan
berterusan memandang wajah Zara Alisha. Malam itu Zara Alisha seperti menjadi orang
lain. Sama sekali dia tidak tahu Zara Alisha juga punya tokoh menjadi pakar
motivasi. Baris ayat yang dikeluarkan oleh isterinya itu sedikit sebanyak
mengubah persepsinya terhadap apa yang berlaku. Selama ini gadis itu seperti
kebudak-budakan. Gemar benar dia melakukan apa sahaja tanpa berfikir dahulu. Tetapi malam itu Zara Alisha menjadi seorang
yang matang. Inderawan memerhatikan bibir Zara Alisha yang petah berkata-kata
itu. Saat Zara Alisha tersenyum, ada satu lekukan kecil di pipi kanannya.
“Kenapa kau tengok aku
macam tu? Buang tabiat?”
“Kau ni bila kasi
peluang bercakap, boleh tahan juga. Kau ni ada kuasa ajaib ke nak tukarkan muka
orang daripada masam kepada senyum lebar?
Kau ni ahli sihir ke? Kalau kau hebat sangat, tunjuk kat akulah macam mana
caranya untuk kita berhenti untuk seketika. Boleh?”
Zara Alisha bingkas
bangun apabila Inderawan seperti mencabarnya. Zara Alisha menuju ke tingkap. Dia mahu memerhati cuaca di
luar. Titisan air hujan masih lagi turun mencurah,
tetapi tidak lebat seperti tadi.
“Kau nak berhenti
sekejap, kan? Jom, aku tunjuk caranya. Cepat sebelum hujan berhenti.” Tanpa
Zara Alisha sedar, tangannya segera menggenggam tangan Inderawan. Dia memaksa
Inderawan untuk menuruti langkahnya.
“Kau nak pergi mana?”
Zara Alisha membiarkan
sahaja pertanyaan Inderawan itu. Kaki mereka laju menuruni tangga. Zara Alisha
membawa Inderawan ke pintu tengah. Dia menolak salah satu daun pintu kaca itu
ke tepi. Udara malam yang sejuk lagi dingin itu mula terasa. Mereka berdua
melangkah keluar.
“Kita buat apa kat
sini?”
Pintu tengah itu adalah
pintu untuk ke ruangan landskap banglo itu. Di ruangan itu terdapatnya satu
kawasan yang lapang di mana di bahagian kiri adanya pondok gazebo dan kanan
kawasan itu adanya pelbagai tumbuhan. Lebih kurang sepuluh
langkah dari tempat itu ada kolam renang.
Zara Alisha tersenyum
sambil mengangkat keningnya. “Jom!”
“Woi, nak pergi mana?
Kan hujan tu.”
Zara Alisha tidak
peduli dengan kata-kata Inderawan lalu dia membawa suaminya itu ke tepi kolam
renang. Habis mereka berdua dibasahi hujan.
“Kau pejam mata. Kau
dengar air hujan yang turun ke bumi tu.”
Tanpa banyak bicara,
Inderawan menurut permntaan Zara Alisha. Inderawan dapat merasakan setitis demi
setitis air itu mengenai tubuhnya. Inderawan seperti sedang menyelami
perasaannya sendiri. Bunyi deraian air hujan itu umpama air terjun yang
mengalir. Ia seperti satu irama indah membisik
ke telinga lelaki itu. Inderawan mendongak ke langit lalu membuka mata. Dia
dapat melihat air itu mengenai wajahnya. Air itu mengalir mengenai helaian
rambutnya lalu perlahan-lahan turun melalui ke bahagian hati. Hatinya terasa
sejuk. Perlahan-lahan dia mula mengukir senyuman.
Selama ini Inderawan
menyangka hujan itu umpama tangisan si alam. Ia
boleh datang secara tiba-tiba saat mentari muncul sedang bersinar. Ia datang tanpa diduga dan meragut segala cahaya yang
ada. Saat ia datang, seluruh alam menjadi gelap, seolah-olah menenggelamkan
segala sinar kebahagiaan yang ada.
Malam itu, Inderawan
mendengar suara sang hujan. Setiap titisan yang turun seperti membawa harapan
yang baru. Titisan kecil itu juga berjaya menembusi hatinya yang keras.
Ketahuilah bahawa saat sang hujan pergi, ia akan mewujudkan satu perkara yang
lebih indah iaitu sang pelangi.
Lelaki itu mendepakan
tangannya. Dia membiarkan air itu terus mengalir. Inderawan berpusing setempat
sambil senyumannya semakin melebar. Inderawan menggeleng laju dan menyebabkan
air yang berada di rambutnya tempias keluar. Tangan Inderawan mengibas-ngibas
rambutnya.
“Nak lagi seronok?”
“Apa dia?”
Zara Alisha sudah
tersenyum nakal. Dia segera menolak Inderawan ke dalam kolam renang.
Debush!
Percikan air terbentuk di dada air dan bunyi itu muncul tatkala Inderawan
jatuh. Inderawan tenggelam lalu dia menimbulkan diri.
“Kau kenakan aku ya?”
“Seronok tak main
hujan?”
“Boleh tahan,” ucap
Inderawan sambil mengukir senyuman.
Zara Alisha bahagia
apabila Inderawan tersenyum kepadanya.
“Okeylah, aku minta
maaf. Sini, aku tolong kau naik atas.”
Zara Alisha
menghulurkan tangannya kepada Inderawan. Inderawan segera menyambut, namun
bukan dengan niat mahu keluar dari kolam
itu. Zara Alisha sedaya upaya menarik Inderawan,
tetapi sedikit pun lelaki itu tidak berganjak. Inderawan mengeluarkan sedikit
tenaga yang ada untuk menarik Zara Alisha dan…
“Eh… Eh… Kau nak
buat apa ni? Aku tak…” Belum sempat Zara Alisha menghabiskan ayatnya, dia sudah
pun jatuh ke dalam kolam.
Kedengaran ketawa
Inderawan.
Zara Alisha segera naik
ke permukaan. “Kurang asam. Kau kenakan aku ya?”
“Kau kenakan aku, tak
nak kira pula?”
Zara Alisha mengetap
bibir menahan geram. Dia mula mengembungkan pipinya.
Inderawan ketawa tidak
berhenti. Lucu rasanya melihat Zara Alisha dalam keadaan begitu. Gadis itu
tidak mahu mengambil masa yang lama untu membalas. Tangan Alisha laju
memercikkan air kolam ke muka Inderawan. Inderawan cuba mengelak, tetapi Zara Alisha tetap memberikan serangan.
“Ambil kau. Siapa suruh
tarik aku masuk dalam kolam?” Tangan Zara Alisha berhenti seketika. Terasa
letih pula melakukan pekara itu berulang kali.
“Dah habis?” Kali ini giliran
Inderawan pula. Dia melakukan perkara yang sama.
Zara Alisha tidak mahu
berdiri lama di situ. Dia segera menuju ke tebing kolam. Inderawan dapat
melihat Zara Alisha mahu lari, tetapi
langkahnya lebih laju. Dia segera memeluk Zara Alisha dari belakang. Hampir
menjerit dibuatnya. Inderawan sendiri tidak sedar dia melakukan perkara itu.
“Oh, tadi berani
sangat. Sekarang nak lari pula?”
Zara Alisha memercikkan
air ke arah belakang. Terpejam-pejam mata Inderawan dan akhirnya dia melepaskan
dakapannya itu.
Inderawan tak berhenti
tersenyum pada malam itu. Mereka saling membalas percikan. Sudahnya, kedua-dua
orang dewasa itu seperti kanak-kanak bermain di dalam kolam.
Beberapa detik kemudian
hujan mulai berhenti. Yang di dalam kolam renang lain ceritanya. Yang di dalam
rumah ada juga ceritanya.
Dato’ Mansoor,
Raudhah, Naqiuddin dan Shaqir berdiri di hadapan pintu kaca. Kedengaran bunyi
sesuatu jatuh ke dalam kolam renang menarik perhatian mereka. Bukan sekali, tetapi dua kali bunyi itu berkumandang.
“Raudhah, bil air rumah
kita kena potong ke sampai Alice dengan Indera tu mandi kat luar?” soal Dato’
Mansoor.
“Gila ke apa bil air
rumah Dato’ Mansoor kena potong. Raudhah dah bayar minggu lepas.”
“Takkanlah air kat
tangki rumah ni dah habis pula?” teka Naqiuddin.
“Tak pun Kak Alice dengan Abang
Indera nak jimatkan air kut. Sejak bila ada kempen berjimat cermat kat
dalam rumah ni?” ujar Shaqir pula.
Masing-masing
terkebil-kebil dan tercengang melihat kemesraan Zara Alisha dan Inderawan.
“Dia orang ni tak sejuk
ke?” tanya Raudhah
“Mana ada sejuk.
Masing-masing dalam keadaan ‘hangat’,” jawab Dato’ Mansoor.
“Cut… Cut… Cut…” Tiga
beradik itu serentak mengeluarkan bunyi seperti cicak sambil menggelengkan
kepala.
“Tok ayahanda rasa biar
ajelah dia orang tu. Kita jangan kacau. Kalau kena demam pun, mesti dia orang
kena demam cinta.”
Mereka mengangguk
kepala sebagai tanda setuju dengan kata-kata datuk mereka.
“Dah, jom naik,” ajak
Dato’ Mansoor.
“Tapi, tok ayahanda,
tak nak suruh Kak Alice dengan Abang Indera keluar dari
kolam tu ke?” soal Shaqir.
“Betul tu, tok
ayahanda, nanti dia orang demam macam mana?” sambung Naqiuddin pula
“Dah, tak payah kacau.
Kau orang berdua ni baru 20 tahun, budak bawah umur lagi. Belum cukup 21 tahun
tak boleh tengok adegan kat kolam renang ni.”
Raudhah sudah pun
ketawa terkekek apabila mendengar kata-kata Dato’ Mansoor.
Zara Alisha
menyedari hujan sudah pun berhenti. Tubuhnya menggigil kesejukan setelah lama
berada di dalam air.
“Kau tak nak naik ke?
Tak sejuk?”
“Sejuk juga. Okeylah,
jom naik. Kena cepat-cepat mandi air panas ni.”
Kaki Zara Alisha segera
melangkah menuju ke tangga kolam itu. Baru sahaja berjalan tiga langkah, kaki
Zara Alisha tergelincir sedikit. Inderawan segera menyambut Zara Alisha. Tangan
itu segera menarik lengan Zara Alisha dan membawa tubuh itu rapat ke tubuhnya.
“Hati-hati.”
Bicara Inderwan
seolah-olah seperti sedang berbisik manja ke telinga Zara Alisha. Inderawan
memandang tepat ke mata Zara Alisha. Begitu juga sebaliknya. Pandangan mereka
bertaut. Pandangan Inderawan seperti berkias sesuatu. Zara Alisha mememerhati
setiap inci raut wajah itu. Perlahan-lahan tangan Inderawan
menghampiri pipi Zara Alisha. Tangan Inderawan lembut membawa rambut yang
berjurai itu ke belakang. Dia membiarkan sahaja tangan itu menyentuh pipinya.
“Terima kasih kerana
telah mengukirkan semula senyuman yang telah lama hilang ni.”
Ketika itu satu
perasaan muncul. Hatinya berdebar-debar. Inderawan dapat melihat nafas Zara
Alisha seperti tidak menentu. Dadanya berombak. Zara Alisha cuba mengawal
perasaan itu. Kesejukan yang melanda diri mereka sudah tidak terasa. Zara
Alisha merasakan tangan kiri itu hangat melingkari pinggang. Tangan kanan
Inderawan kekal berada pada wajahnya.
Inderawan merapatkan
wajahnya ke muka Zara Alisha. Mata itu pada mulanya merenung ke mata gadis itu,
kemudian turun ke hidung dan pandangannya berhenti di bibir. Ibu jari Inderawan
bermain di bibir Zara Alisha yang pucat akibat kesejukan itu. Sentuhan jemari
Inderawan terasa lembut di bibirnya. Ada sesuatu yang membisik ke hati
Inderawan. Perasaan getar yang semakin tidak menentu.
Angin tiba-tiba sahaja
bertiup kencang setelah deraian air hujan berhenti membasahi bumi. Zara Alisha
menggigil kesejukan. Zara Alisha merasakan ada sesuatu yang menyekat
pernafasannya. Dia memejamkan mata lalu melepaskan bunyi bersin.
“Hacum!” Zara Alisha menjadi kaku kerana air bersin
itu mengenai muka Inderawan. “Aku… minta maaf. Sejuk.”
Inderawan tersenyum
sambil menggeleng. Kedengaran ada keluhan kecil. “Dah, jom kita keluar dari kolam ni.”
Zara Alisha mengangguk
setuju. Sebaik sahaja keluar dari kolam,
mereka berdua memerah pakaian masing-masing. Beberapa tika kemudian, tangan
Zara Alisha segera memaut ke lengan Inderawan. “Kenapa?”
“Kaki aku tiba-tiba
kejang. Mungkin air kat kolam tu sejuk.”
“Kau ni dah tahu hujan,
suhu sejuk malam-malam macam ni ada hati tolak aku kat dalam kolam. Kan dah
kena.”
Orang tengah sakit,
sempat lagi dia berceramah kat aku ni. Dia juga yang seronok main air tadi
macam budak-budak, rungut hatinya. Zara
Alisha mengerutkan dahi. Sekali lagi dia mengembugkan pipi. Geram dengan tindak
balas Inderawan.
Inderawan tersenyum
sambil menggelengkan kepala. Tanpa berfikir panjang, Inderawan segera mendukung
Zara Alisha.
“Eh, kau nak buat apa?”
“Kaki kan kejang. Aku
dukung kau sebagai tanda balas budi sebab ajar aku macam mana nak berhenti
seketika dalam hidup ni. Jangan salah faham pula.”
Zara Alisha mencebik.
Sudahnya, mereka berdua masuk dalam keadaan basah lencun. Inderawan menutup
pintu kaca itu walaupun agak sukar dia melakukan perkara tersebut sambil
mendukung Zara Alisha. Gadis itu tersenyum memandang wajah itu dari bahagian
sisi. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Zara Alisha menghadiahkan kucupan ke pipi
itu.
Sebaik sahaja sampai di
bilik, Inderawan menuju ke bilik air. Zara Alisha terpinga-pinga apabila
Inderawan meletakkan dirinya di dalam tab mandi. Sudahlah masing-masing basah
kuyup dan kedinginan, timbul pelbagai perkara dan
kemungkinan yang akan terjadi di bayangan
fikiran Zara Alisha apabila mereka berdua sahaja di dalam kamar itu.
Lelaki itu menuju ke
daun pintu. Inderawan sepertinya mahu menutup pintu itu dengan rapat.
“Kenapa kau nak tutup
pintu tu? Kenapa kau bawa aku pergi bilik air? Kau nak buat apa kat aku?”
Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepada Inderawan.
Mata Inderawan
terkebil-kebil.
“Banyaknya kau tanya
soalan. Aku bukan nak tutup pintu, aku nak ambil tuala yang tersangkut kat
belakang pintu ni. Aku bawa kau pergi bilik air sebab kau dengan aku dalam
keadaan kuyup macam ni. Takkan aku nak letakkan kau kat katil pula. Untuk
soalan kau yang terakhir, aku nak ambil tuala ni nak kasi kat kau. Supaya kau
dapat lap apa sahaja yang basah kat badan kau tu.”
“Oh… Itu aje?”
“Yalah. Habis tu, kau
ingat apa?”
“Tak ada apa-apa.”
“Aku keluar dulu. Aku
mandi kat bilir air Nine.” Inderawan segera keluar lalu menutup pintu itu.
Inderawan tiba-tiba
sahaja keliru dengan perasaannya sendiri. Inderawan dapat merasakan ada
perubahan terhadap hatinya. “Apa yang dah jadi kat kolam renang tadi?”
Tiba-tiba bayangan dia
menyentuh bibir isterinya muncul. Tatkala jarinya berada di bibir Zara Alisha,
perasaan itu muncul. Jiwanya tiba-tiba sahaja bergelora.
“Kalaulah dia tak
bersin tadi, sikit aje lagi nak…” Inderawan sudah mula berkhayal sesuatu.
“Pelik. Kenapa lain
macam aje? Apasal rasa macam kecewa aje tak dapat nak… Argh! Tak mungkin. Jangan-jangan aku… Apa yang kau
fikir ni Indera? Kau dah banyak sangat main hujan ni,
sebab tu otak pun masuk air. Lebih baik kau pergi mandi.”