Stylo Clique ^_^

Saturday, July 28, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 22 ::.



BAB 22



Mata A.D terpegun melihat apa yang terbentang di hadapan matanya. Sungguh indah alam ciptaan yang Maha Esa. Suasana di air terjun itu terasa sangat damai dan nyaman, jauh dari hingar bingar suasana bandar yang membuatkan telinga menjadi sakit. Bunyi percikan air yang mencecah ke batu bagaikan irama indah di telinganya. Latar indah air terjun dikelilingi hutan menghijau menambahkan lagi kesegaran udara di kawasan tersebut. Cantik, indah, nyaman dan mempersona. Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambaNya.  


Tanpa disedari bibir A.D menguntum senyuman. Wafi sempat menoleh ke arah A.D yang sedang berdiri tercegat di situ. Wafi sama sekali tidak menyangka wajah itu berubah. Seolah-olah air terjun itu mempunyai kuasa magis mengubah wajah A.D. Wafi dapat melihat anak mata A.D berbeza.


“Awak suka?” tegur Wafi.


Di luar kawalan A.D, A.D menganggukkan kepalanya. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Wadi dan Zafira sudah pun jauh meninggalkan mereka.
“Dah lama saya tak nampak awak senyum macam ni.”


Tatkala suara menyatakan kata-kata itu menembusi telinganya, pantas sahaja bibirnya tidak tersenyum lagi. Perasaan A.D tidak menentu. Dia terus melangkah, mahu mengejar Wadi dan Zafira yang sudah berada di hadapan.


“Aku salah cakap ke?” soal Wafi kepada dirinya sendiri.


Kaki Wafi turut melangkah. Setelah tiba di tingkat yang sesuai dengan kedalaman mereka untuk mandi, Wadi dan Zafira berhenti.


“Abang…..kat sini ok. Tak berapa dalam. Tak sampai paras dada sangat. Kalau Kak A.D dengan Fira mandi kat sini ok.” jerit Wadi, suaranya ditenggelami dengan bunyi air terjun.
Wafi menunjukkan tanda ibu jari sebagai tanda setuju kepada Wadi.
“Kak A.D, jomlah kita masuk dalam air. Air kat sini sejuk,” ajak Zafira
“Tak apalah, Fira masuklah dulu. Akak nak duduk-duduk aje kat atas batu tu.”
“Kalau macam tu, Fira mandi dulu ya? Akak jangan tak mandi pula. Rugi tau.”
A.D hanya mengangguk. A.D duduk di atas batu berhampiran. Kakinya dicecahkan ke dalam air. Terasa dingin air itu menyentuh kulitnya. Wafi menghampiri A.D. Tanpa dipelawa, dia duduk di sisi A.D.


“Saya bawa awak kat tempat yang indah macam ni supaya saya dapat tengok awak tersenyum macam tadi.”
“Kenapa kau buat semua ni?”
“Saya nak awak tenangkan fikiran. Saya tak nak awak terus sedih. Saya tak nak awak terus murung. Saya tak nak awak terus rasa bersalah sebab awak memang tak salah apa-apa pun.”
“Boleh tak kau tak payah buat semua ni?”
“Tak boleh. Saya kena buat macam ni. Saya nak A.D yang dulu. A.D yang penuh semangat untuk teruskan hidup tidak kira apa yang berlaku dalam hidup dia. A.D yang akan melawan saya semula setiap kali saya bersuara. Saya nak tengok A.D yang tabah dan berdikari.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab………………….”


Sebab saya sayangkan awak. Hati Wafi berkata begitu.


“Sebab saya tak nak awak terus dihimpit rasa bersalah. Ramai orang di sekeliling awak yang sayangkan awak. Pak Aziz, Mak Som, Samsul, Wanie. Awak pernah tolong saya sehinggakan saya berada di mana saya berada sekarang. Tak salah saya tolong awak pula sebagai tanda saya balas jasa baik awak.”
“Berapa kali kau nak balas jasa baik aku? Bukan kau dah balas ke masa dulu yang kau setuju untuk kahwin dengan aku?”
“Eh, suka hati saya la nak balas berapa kali pun.”
“Aku tak perlukan simpati daripada kau. Aku tahu lah kau buat macam ni sebab terpaksa. Kau dah janji dengan papa.”
“Saya buat bukan sebab simpati.”
“Kalau bukan sebab simpati, aku minta tolong sangat-sangat dengan kau supaya jauhkan diri kau daripada aku. Aku tak nak semua ni. Sebelum ni tak ada siapa yang pedulikan aku. Jadi, kau tak payah nak ambil kisah pasal aku. Aku boleh hidup sendiri.”
“Kenapa? Saya tak boleh ambil berat pasal awak?”
“Kau tak layak ambil berat pasal aku sebab kau tak tahu siapa aku. Semua orang dalam dunia ni tak akan boleh terima diri aku. Aku minta sangat-sangat kau jauhkan diri kau daripada aku.”
“Baik. Saya akan buat apa yang awak minta. Awak ni memang jenis yang tak tahu menghargai kebaikan orang lain kan? Awak ingat saya buat semua ni sebab terpaksa ke? Salah ke saya buat baik dengan awak? Salah ke saya nak kenal siapa awak?”
Sakit hati Wafi apabila A.D menuduhnya sebegitu. A.D seperti menolak semua kebaikan yang Wafi cuba lakukan terhadap dirinya. Apa yang telah dituturkan oleh A.D langsung tidak terlintas di dalam hatinya. Dia tidak mahu terus menerima kebaikan Wafi. Dia bimbang. Jika berterusan perkara itu, hatinya tidak kuat. A.D sudah mula menganggap Wafi tidak sama seperti lelaki yang lain. 


Sejak kebelakangan ini, apa sahaja yang dilakukan oleh Wafi hatinya langsung tidak membantah. A.D gusar. Jika hubungan mereka terus begitu, A.D akan jatuh cinta dengan Wafi. Perkara itu adalah perkara yang paling tidak mahu A.D alami. Dia tak nak sesiapa tahu sejarah itu. Tiada sesiapa yang akan menerima diri A.D seadanya. Dia lebih rela untuk tidak menerima kasih sayang daripada dipandang hina oleh yang lain.


“Kau akan menyesal kalau kau tahu siapa aku. Jadi, kau tak payah pedulikan aku.” tegas A.D.


Dia segera meninggalkan Wafi di situ lalu merendamkan dirinya ke dalam air. A.D tidak sanggup untuk berhadapan dengan Wafi lagi. A.D berharap air terjun yang mengalir itu mampu membasuh dosa-dosanya. Dia juga berharap air itu mampu mengalirkan dosanya sejauh yang mungkin agar tiada siapa yang mengetahuinya. 


A.D berenang sedikit jauh daripada kedudukan mereka. A.D membenamkan keseluruhan badannya ke dalam air dingin itu untuk beberapa ketika. Sama seperti dia mahu membenamkan kenangan pahit yang berlaku. Dia tidak mahu Wafi kecewa jika lelaki baik itu mengetahui siapa dirinya sebelum ini. Sudah puas dia mencuba mematikan Riana dalam hidupnya. Tetapi bayang-bayang itu tetap muncul.


Wafi bingkas bangun. Wafi semakin keliru dengan A.D. Wafi dapat merasakan A.D juga mula menyenangi kehadirannya. Entah mengapa ada sesuatu yang menyebabkan gadis itu mengelak daripadanya. Dia membiarkan A.D di situ. Dia cuba memberi ruang kepada A.D untuk bersendirian.


Tiba-tiba sahaja kaki kanan A.D kejang. Otot betis A.D bagai ditarik dengan tegang. Mungkin kerana A.D sudah lama tidak berenang dan suhu air yang dingin menjadi faktor aliran darah di bahagian tersebut menjadi kurang lancar lantas menyebabkan kekejangan. Tubuh A.D tenggelam timbul di permukaan air. Nafasnya tercungap-cungap.


“Abang, kak A.D!!” jerit Wadi.


Wafi segera menoleh ke belakang. Dia terkejut. Tanpa berfikr panjang dia terjun.


------------------------

“A.D…….A.D……awak, bangun,” ucap Wafi sambil menepuk perlahan pipi A.D.


Dia cuba menggerakkan A.D tetapi A.D masih lagi tidak sedarkan diri.


“Abang…..kak A.D macam tak sedarkan diri aje.” kata Wadi.
“Fira…tolong abang. Fira pandai buat CPR tak?” soal Wafi
“Fira tak pandai. Fira tak tahu.” jawab Zafira.


Wafi panik. Dia bimbang jika tidak melakukan tindakan pertolongan cemas itu, keadaan A.D bertambah teruk. Dia tidak mahu kehilangan A.D. Wafi menjadi serba salah untuk melakukan hal itu. Bibirnya akan bertemu dengan bibir A.D jika dia melakukan kaedah Cardiopulmonary Resuscitation ke atas A.D.


“Abang Wafi buat ajelah. Lagipun ni kecemasan. Kalau berlaku apa-apa kat kak A.D macam mana?”


Wadi dapat mengagak yang abangnya tidak selesa untuk melakukan perkara itu. Setelah mendengar kata-kata Wadi, Wafi segera bertindak. Dia mendongakkan kepala A.D dan mengangkat dagu A.D ke atas. Wafi meletakkan telinganya ke mulut kecil A.D. A.D tidak bernafas. Lantas Wafi membuka mulut lalu memicit hidung A.D. Hembusan nafas melalui mulut Wafi ke mulut A.D berlaku. Wafi terus menghembus sehingga dia melihat ada pergerakan pada dada A.D. Setelah itu Wafi menantikan tindak balas A.D. Malangnya A.D masih lagi begitu.
A.D, awak tak boleh tinggalkan saya. Saya tahu awak kuat.


Suara hati Wafi berbisik. Wafi masih lagi belum mengalah. Wafi menindihkan tangan kanan di atas tangan kirinya lalu dia menekan dada A.D beberapa kali. Kemudian, dia menghembuskan kembali nafasnya ke dalam mulut A.D. Sewaktu dia mahu menghembuskan nafasnya untuk kali kedua, tiba-tiba sahaja A.D terbatuk lalu mengeluarkan air yang tersekat di dadanya.


A.D membuka mata. Wajah Wafi begitu hampir dengannya sehinggakan pandangannya penuh dengan wajah itu. Dia dapat mendengar dengan jelas hembusan nafas Wafi.
Sebelum dia membuka mata, dia dapat merasakan dengan jelas ada bibir berada rapat dengan bibirnya. Dia juga dapat merasakan hembusan nafas itu masuk ke dalam dirinya. Wafi menarik nafas lega setelah melihat A.D sudah pun sedar.


“Syukur Alhamdulillah kak A.D dah sedar,” ucap Zafira.


A.D perlahan-lahan duduk daripada baringannya. Pandangan matanya sedikit berpinar-pinar.


“Apa yang dah jadi?”
“Kak A.D lemas tadi. Nasib baik abang Wafi tahu buat CPR,” balas Wadi.


Wafi buat CPR kat aku? Detik hati A.D. Tangan A.D segera menyentuh bibirnya.


“Macam mana awak boleh lemas? Awak tahu berenang kan? Awak juga yang cakap jangan pedulikan awak. Jadi jangan buat perkara yang membolehkan saya pedulikan awak, boleh tak?”


A.D hanya membisu. Dia teringat sesuatu. Sewaktu dia menyelam tadi, kakinya tiba-tiba sahaja menjadi kejang. Ketika itu dia berusaha untuk naik ke permukaan air tetapi tidak berjaya. Pandangannya semakin gelap. Dia juga tidak dapat bernafas ketika itu. Dan apa yang A.D tahu, ketika dia mencelikkan mata, Wafi berada di pandangan matanya.
A.D cuba untuk berdiri. Tatkala kaki kirinya mahu bertapak, dia kembali jatuh. Wafi sempat menyambut A.D.


“Kenapa dengan awak?”
“Kaki saya…………”


Wafi dapat melihat dengan jelas wajah A.D sedang menahan kesakitan. Wafi segera melihat kaki A.D. Dia menyentuh bahagian betis A.D. Urat di kawasan anggota itu keras.


“Kaki awak kejang?”


A.D mengangguk.


“Kenapa awak tak cakap dengan saya? Awak lemas tadi sebab kaki awak kejang ke?”


Seperti anak kecil, A.D hanya mampu mengangguk. Tangan Wafi segera merangkul bahagian bawah lutut A.D. Tangan kiri A.D diletakkan ke lehernya.


“Awak nak buat apa ni?”
“Saya nak dukung awak. Kita balik sekarang. Awak ni memang macam budak kecil.”


A.D tidak membantah. Dia membiarkan tangan sasa itu mendukung tubuhnya. Dari sudut itu, dia dapat melihat raut wajah Wafi sekali lagi. Mata A.D menangkap bibir Wafi yang merah itu. Jelas menunjukkan bibir itu tidak pernah menghisap rokok. Sudah menjadi sifat Wafi mementingkan kesihatan. Bibir merah itu jugalah yang telah menyentuh bibirnya tadi. Nafas mereka bersatu ketika itu.


“Saya memang tak nak pedulikan awak tapi saya terpaksa buat tindakan spontan.” kata Wafi.


Dia sedar A.D sedang memerhatikan dirinya.


“Saya tahu. Manusia akan buat tindakan secara tak sengaja kalau ada berlakunya satu kejadian.”


Wafi tersenyum. Jauh di sudut hatinya dia merasa bahagia kerana dapat menyelamatkan A.D. Dia juga bahagia kerana A.D begitu hampir dengannya. Senyumannya makin melebar apabila membayangkan bibirnya bersentuhan dengan bibir A.D.


“Kenapa awak senyum?”
“Senyum? Mana ada. Awak duduk diam-diam. Jangan cakap apa-apa. Saya tengah dukung awak ni. Kalau awak jatuh macam mana?”


Sengaja Wafi membuat nada seperti orang sedang marah. Walhal dia mahu menyembunyikan perasaannya.
Wadi dan Zafira hanya memerhatikan tindak-tanduk mereka dari belakang. Zafira dapat merasakan ada sesuatu yang istimewa wujud di antara mereka.


“Wadi, abang Wafi tu suka kat kak A.D eh?”
“Awak pun nampak ke? Saya rasa abang Wafi memang suka kat kak A.D la.”
Zafira dan Wadi sependapat.



No comments:

Post a Comment