Stylo Clique ^_^

Saturday, July 28, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 21 ::.



BAB 21


Perjalanan ke Kampung Serkat, Pontian mengambil masa lebih 1 jam dari bandaraya Johor Bahru. Setelah selesai solat Jumaat, Wafi dan A.D berangkat. A.D hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke kampung halaman Wafi. Hatinya antara terpaksa dan rela untuk menurut kehendak Wafi. Wafi mematikan enjin kereta sebaik sahaja sampai di rumah kayu separuh konkrit itu. Wafi tersenyum tatkala dia menoleh ke kirinya. A.D sedang terlena dengan nyenyaknya.
“A.D….A.D,” panggil A.D.

Badan A.D sedikit bergerak tetapi mata A.D masih terpejam.

“A.D…A.D, bangun. Kita dah sampai. Awak nak saya siram dengan air ke?”

A.D segera membuka kelopak matanya. Dia memandang sekeliling.

“Kat mana ni?”
“Kat dalam kereta.”
“Kau ni memang sengal la. Memang la kat dalam kereta. Lebih baik kau cakap yang sekarang aku kat atas kerusi dalam kereta kau.”

Wafi tergelak kecil. Lucu dengan kenyataan A.D.

“Jom keluar, nanti awak tahulah kita kat mana.”

Wadi Aman Shah yang tadi mendengar bunyi kereta memasuki perkarangan rumah segera menjengah ke pintu. Perasaan ragu-ragu muncul setelah melihat kereta Myvi kuning itu. Dia tidak pernah melihat kereta itu sebelum ini.

“Wadi, siapa yang datang tu?” soal Nenek Esah.
“Entahlah nek. Wadi tak pernah nampak pun kereta warna kuning ni masuk kat kampung kita.”
“Kereta warna kuning? Bas sekolah ke?”
“Nenek ni buat kelakar pula. Kan Wadi cakap kereta, bukannya bas.”
“Habis tu dah kamu cakap warna kuning. Yang nenek tahu kalau kenderaan warna kuning tu bas sekolah. Cuba kamu turun, tengok siapa kat dalam kereta tu,” suruh Nenek Esah.

Wadi segera menuruni tangga menuju ke halaman rumah.
A.D membuka pintu kereta lalu keluar. Dia memandang kawasan sekitar. Buah rambutan yang sedang masak ranum kelihatan di sekeliling rumah. Pelbagai jenis tanaman bunga juga menghiasi halaman di bahagian kiri rumah. Bunyi ayam berkokok juga kedengaran. Pertama kali A.D menjejakkan kaki ke tempat seperti itu. Wafi keluar menuju ke bonet kereta untuk mengambil beg pakaian.

“Nenek, abang Wafi balik la nek. Dia bawa kereta baru,” ucap Wadi sebaik sahaja melihat susuk tubuh Wafi keluar daripada kereta.

Nenek Esah yang sedang mengelap daun pisang untuk membungkus nasi lemak terkejut dengan kata-kata Wadi.

“Ha? Abang kamu bawa bas sekolah ke balik kampung?”
“Nenek ni, tak sudah-sudah dengan bas sekolah dia. Bukan bas sekolah la nek, kereta baru.”

Nenek Esah segera bangun lalu menuju ke pintu. Dia mahu melihat sendiri apa yang telah dikatakan oleh Wadi tadi.

“Inilah tempat saya dibesarkan. Jom, kita masuk,” ajak Wafi.

A.D hanya mendiamkan diri. Dia sama sekali tidak menyangka yang Wafi akan membawanya untuk berjumpa dengan keluarga Wafi.

“Assalammualaikum nek,”
“Waalaikummussalam Wafi. Cucu nenek rupanya ya. Ingatkan siapalah tadi. Dah bawa balik kereta baru.”

Wafi meletakkan beg pakaian mereka di bawah lalu segera memeluk Nenek Esah. Rindu tak terkira terhadap neneknya itu. Semenjak dia bekerja, jarang dia dapat pulang ke kampung. Jika pulang pun, hanya beberapa jam sahaja dia menjejakkan kaki ke rumah itu.

“Nek, Wafi rindu sangat dengan nenek. Nenek sihat tak?”
Nenek Esah juga memeluk erat cucu sulungnya itu. A.D dapat melihat kasih sayang yang terjalin antara mereka. A.D pasti hubungan mereka rapat.

“Nenek pun rindu dengan Wafi. Nenek sihat. Yang Wafi ni bila la nak potong rambut yang panjang ni? Nenek tengok dah macam penyanyi rock,” kata Nenek Esah setelah meleraikan pelukan mereka.
 “Ala nek…..kan Wafi cakap ni namanya fesyen. Barulah nampak handsome nek.”
“Yalah tu. Nenek tengok dah macam perempuan pun ada bila kamu ikat rambut tu.”
“Nek, mana ada. Kan muka Wafi ni nampak lelaki tulen.”

A.D tersenyum tatkala Nenek Esah menyebut yang rambut Wafi seperti perempuan. Nenek Esah juga sependapat dengannya. Mata Nenek Esah kemudiannya beralih kepada A.D yang berada di sebelan Wafi. Dia sedikit terkejut dengan penampilan A.D. A.D hanya mengenakan kemeja-T lengan pendek dan juga berseluar jeans.

“Wadi sihat?”
“Sihat bang,” ucap Wadi sambil bersalaman dengan Wafi.
“Wadi ada jaga nenek tak?”
“Mestilah bang, Wadi jaga. Bukan setakat jaga aje, Wadi tolong nenek buat kuih dengan kemas rumah.”
“Yalah, kamu tu memang suka tolong nenek buat kuih. Sebab nanti kamu dapat makan banyak-banyak kan?” ujar Nenek Esah.
“Ala nenek ni. Nenek tak payah cakap pun Wafi memang tahu perangai Wadi ni.”

Wadi hanya menyengih.

“Wafi, tak pernah-pernah kamu bawa kawan perempuan balik kampung ni. Siapa dia ni?”

Wafi menoleh ke arah A.D yang berada di sebelahnya. Wafi tersenyum. Mujur rambut A.D sudah sedikit panjang. Penampilan A.D ketika itu seperti perempuan feminin yang berambut pendek. Jika Nenek Esah melihat penampilan A.D semasa awal perkenalan mereka, pasti orang tua itu keliru dengan identiti A.D.

“Oh nek..ni kawan Wafi.”
“Kawan? Oohh….kawan yang selalu kamu cerita tu ya? Siapa nama yang kamu cakap hari tu? Dhira kan? Kamu ni Nadhira ya?” duga Nenek Esah.

Wafi sedikit terkejut apabila Nenek Esah menyebut nama itu. Sudah lama dia melupakan nama itu di dalam fikirannya. A.D segera menggeleng.

“Kamu bukan Dhira ya? Maaflah, nenek selalu dengar nama tu aje yang Wafi sebut bila dia bercerita.”
“Nenek, nama dia Qurnia Adriana.”
“Siapa? Qurnia apa?”
“Qurnia Adriana nek. Nenek boleh panggil kawan Wafi ni A.D.”
“Ohh..A.D. Kan senang tu. Lain kali cakap awal-awal. Nama nenek Esah. Kamu boleh panggil nenek aje.”

A.D segera bersalaman dengan Nenek Esah. Dia mengucup lembut tangan yang sudah berurat-urat itu.

“Yang tinggi lampai tu adik saya, Wadi. Dia tengah tunggu keputusan SPM tu. Dia yang jaga nenek saya bila saya balik JB.”

Wadi bersalaman lalu mengucup tangan A.D sebagai tanda hormat. Serba salah dibuatnya apabila mendengar Nenek Esah menyebut nama Nadhira tadi. Pasti sudah banyak kali Wafi menceritakan akan hal gadis idamannya itu kepada Nenek Esah. Dan pastinya Nenek Esah sudah menganyam impian untuk bermenantukan gadis seperti Nadhira. A.D mula membandingkan dirinya dengan gadis itu.

Nenek Esah perasan yang perwatakan A.D tidak seperti gadis yang lain. A.D nampak lasak dan juga kasar. Hatinya juga terdetik sejak bilakah Wafi mula mengubah ciri-ciri yang menjadi impiannya. Pasti ada sesuatu yang ada pada gadis itu yang membuatkan Wafi membawa A.D pulang ke rumahnya.

“Wafi, A.D ni kawan istimewa kamu ke?”
“Nenek, sudah-sudahlah tu. Biar A.D ni masuk dalam. Nenek kalau dah berbual mesti tak berhenti-henti. Wadi, tolong bawakan beg Kak A.D ni masuk dalam bilik abang.”

A.D terkejut.

Masuk bilik abang? Maknanya, aku kena tidur sebilik dengan dia ke? Mamat ni nak beritahu nenek dia ke yang aku dengan dia dah kahwin?
 Pelbagai soalan muncul di benak fikiran A.D.

“Masuk bilik abang?”
“Yalah, rumah ni kan ada 3 bilik aje. Abang tidur dengan Wadi. Kak A.D tidur kat bilik abang.”
“Wadi, cepat bawa. Kejap lagi dah nak masuk Asar ni. Boleh kita solat berjemaah sama-sama. A.D boleh solat kan?” soal Nenek Esah.

Air muka A.D serta merta berubah. Sudah lama dia tidak melakukan rukun Islam kedua itu. Bukannya A.D tidak tahu tetapi sudah lama dia tidak mensujudkan dirinya di sejadah. Dia telah jauh hanyut. A.D tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan melainkan dengan hanya mengaguk.

-----------------------

A.D menyedut udara malam dengan perlahan-lahan. Dia cuba menikmati udara segar yang ada. Terasa nyaman udara yang memasuki ke rongga pernafasannya. Sekeliling rumah ditumbuhi dengan tumbuhan hijau. Jelas menunjukkan Nenek Esah seorang yang gemar bercucuk tanam dan berkebun. Pokok bunga yang ditanam di dalam pasu tersusun kemas di hadapan rumah.

“Awak buat apa kat luar ni?” soal Wafi.
“Saja. Ambil angin lepas makan malam.”

Lauk ayam goreng bersama dengan sayur lemak pucuk paku serta sambal belacan menjadi hidangan makan malam mereka tadi. A.D makan penuh berselera. Sememangnya lauk kampung juga menjadi kegemarannya, sama seperti Ridzuan.

“Inilah rumah kecil saya. Saya dibesarkan di sini.”
“Nenek kau besarkan kau dengan adik kau seorang diri?”

Wafi mengangguk.

“Atuk dah lama meninggal, sebelum ibu dengan ayah saya meninggal.”
“Nampak nenek kau seorang yang tabah.”
“Dia memang seorang yang tabah, cekal dan berdikari. Sama macam awak juga.”
“Tak….aku tak sama. Kau belum betul-betul kenal siapa aku.”
“Itu yang saya nampak dalam diri awak. Nenek saya besarkan saya dengan hasil jualan nasi lemak dan kuih-muih. Masa zaman sekolah dulu, nenek akan jual kat depan rumah tu,” ucap Wafi sambil jarinya menunjukkan ke arah laluan masuk ke rumahnya.
“Selain daripada jual kat depan rumah, saya dengan Wadi tolong jual kat kawan-kawan di sekolah. Saya dengan Wadi akan bangun pukul 4 pagi untuk tolong nenek.”
“Sebab tu kau pandai masak, kan?”
“Saya bukan anak orang kaya. Kalau saya nak makan, saya kena buat sendiri. Nak kata pandai tu taklah, tapi setakat untuk makan tekak sendiri, bolehlah.”
“Kau masak sedap. Ingat tak aku pernah makan nasi goreng kau malam tu? Yang kau cakap aku makan nasi goreng sebab nak balas dendam kat kau.”

Tidak mungkin Wafi akan lupa peristiwa malam itu. Kerana peristiwa malam itulah dia mula mengenali siapa A.D sebenarnya. Kerana peristiwa nasi goreng itulah yang membuatkan Wafi tahu yang A.D bukanlah seorang yang ego, malah dia seorang yang tanpa rasa ragu-ragu mahu mengakui kesalahan sendiri.

“Saya ingat. Terima kasih. Awak tak pernah nak memuji saya. Ini kali pertama awak puji saya.”

Tiba-tiba sahaja A.D merasa tidak selesa. Dia tidak mahu bertentang mata dengan Wafi.
“Kenapa kau cakap dengan nenek yang aku ni kawan kau?” tanya A.D, sengaja mahu menukar tajuk cerita.
“Kenapa tanya? Awak nak saya cakap awak siapa?”

Sekali lagi Wafi bermain dengan soalan yang mampu menduga hatinya. Dia terperangkap dengan pertanyaannya sendiri.

“Tak ada siapa-siapa. Memang tulah yang aku nak kau cakap. Tak adalah, nenek kau ingat aku ni Nadhira. Nampak sangat kau selalu cerita pasal dia kat nenek kau. Aku tak naklah bila kau nak kahwin dengan Nadhira nanti, nenek kau salah faham pula dengan hubungan kita.”
“Awak takut nenek salah faham ke, awak yang akan salah faham nanti?”
“Kenapa aku nak salah faham pula? Kau bawa aku pergi rumah nenek kau ni sebab nak aku tenangkan fikiran kan. Lagipun kita memang tak ada apa-apa hubungan.”

Wafi hanya mengangguk. Wafi sengaja menanyakan soalan yang mampu menduga hati A.D. Dia mahu mengetahui isi hati A.D terhadapnya. Peristiwa di dalam bilik A.D pada malam itu membuatkan Wafi tertanya-tanya. Semasa dia menyentuh bibir A.D, A.D tidak menolak malah mereka saling menatap antara satu sama lain. Wafi mengharapkan soalannya mampu merungkaikan apa yang tersirat. Tetapi jawapan yang diberikan oleh A.D semuanya negatif. Jawapan yang diberikan oleh A.D sengaja mengaitkan hal mereka dengan Nadhira. Adakah kerana Nadhira, A.D cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya?

“Awak, saya dengan Nadhira sebenarnya………………..”
“Wafi, A.D……….kenapa berbual kat luar tu? Kan sejuk malam-malam macam ni. Dah, masuk dalam. Kita minum air kopi panas ni,” ajak Nenek Esah dari dalam. Dia sudah meletakkan hidangan air tersebut di ruang tamu.
“Aku masuk dululah.” ucap A.D.

Wafi tidak berkesempatan untuk memberitahu akan hubungannya dengan Nadhira yang sudah lama putus. Wafi tidak mahu A.D menganggap yang dia masih lagi menjalinkan rasa cinta dengan Nadhira. Wafi juga tidak mahu ada bayang-bayang Nadhira yang menghantui hubungan antara mereka. Perlahan-lahan sifat yang ada dalam diri itu berjaya membuat hati Wafi jadi tidak menentu setiap kali mereka bertemu.

------------------------

“Wafi, nenek nak tanya ni.”
“Nenek nak tanya apa?” soal Wafi sambil mengurut kaki Nenek Esah.
“A.D tu memang macam tu ke?”
“Memang macam mana nek?”
“Nenek tengok A.D tu macam lelaki sikit pun ada. Sikap dia macam kasar, lasak. Lepas tu dia tak banyak cakap. Lepas makan tadi, dia ada juga tolong nenek cuci pinggan semua tu. Tapi bila nenek tanya, sepatah dia jawab. Muka dia macam muram aje. Dia tak suka ke dengan nenek?”
“Agaknya dia malu dengan nenek kot.”
“Apalah kamu ni. Kenapa nak malu dengan nenek? Bukan dia tak pakai baju pun.”

Wafi ketawa.

“Nek, A.D tu memang macam tu. Dia tak pandai berbual sangat dengan orang yang dia tak kenal. Lagi pun, dia sedang dalam keadaan kesedihan. Ayah dia baru meninggal.”
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Astaghfirullahalazim, nenek dah salah sangka dengan dia. Siapa ayah dia? Kamu kenal ke?”

Wafi memandang wajah Nenek Esah. Namun tangannya masih mengurut kaki orang tua itu.
Wafi kenal sangat nek. Dia ayah mertua Wafi. Itu jawapan yang terlintas di fikiran Wafi.

“Ayah A.D tu bos kat tempat Wafi kerja.”
“La…..anak bos la dia ni ya? Kiranya A.D ni anak orang kayalah. Tapi nenek tengok dia macam tak kisah aje. Tadi makan lauk kampung pun berselera.”
“Nek, A.D ni memang lain. Tak sama macam perempuan yang lain.”

Nenek Esah seperti dapat menangkap sesuatu berdasarkan percakapan Wafi. Dia dapat menghidu sesuatu.

“Wafi, kamu suka A.D ya?”
“Mana ada nek. Dia kan kawan Wafi.”
“Masih tak nak mengaku? Kalau tak, kenapa Wafi bawa dia balik rumah nenek?”
“Nek, Wafi nak tenangkan fikiran A.D. Sejak ayah dia meninggal, A.D selalu murung. Nenek pun nampak kan muka dia sedih aje.”
“Yalah tu. Kamu dulu ada cerita pasal Nadhira kat nenek, tapi tak pernah pun bawa balik sini? Kamu dengan Nadhira macam mana?”

Wafi menuangkan sedikit minyak panas di tangan. Dia menyapu minyak itu di kaki kiri Nenek Esah pula.

“Tak ada jodoh la nek.”
“La…..bukan Wafi cakap Nadhira tu bakal isteri yang Wafi cari-cari selama ni ke?”
“Nenek, kadang-kadang apa yang kita nak, belum tentu terbaik untuk diri kita.”
“Amboi cucu nenek ni, bukan setakat jurutera tapi dah jadi sasterawan negara pula.”
“Ada seseorang yang buatkan Wafi sedar akan semua tu. Apa yang telah Dia takdirkan, itulah yang seelok-eloknya. Allah tu berkuasa ke atas hambaNya. Dia mampu mengubah hati manusia sekelip mata sahaja.”
“Siapa orang tu? A.D ke?”
“Nenek ni, tak sudah-sudah menyebut nama A.D. Nenek suka ke kalau A.D tu jadi cucu menantu nenek?”
“Entah. Nenek tak kenal lagi dengan dia. Tapi apa yang nenek nampak dari raut muka dia, dia macam kurang kasih sayang. Ada wajah penyesalan dan dia berusaha sembunyikan semua tu dengan menunjukkan yang dia kuat. Macam mana kamu boleh kenal dengan dia?”
“Kenal masa belajar dulu.” balas Wafi.

Dia terpaksa berbohong dengan Nenek Esah. Dia tidak mahu neneknya terkejut jika mengetahui sebab perkenalan mereka. Mujur A.D dan dirinya memang belajar di universiti yang sama, kurang sedikit rasa bersalah di dalam diri Wafi.

“Cucu nenek ni memang suka kat A.D kan? Wafi tak payah nak buat ayat dalam drama. 
 Nenek tengok cara kamu pandang budak tu pun nenek dah tahu. Nenek ni dah hidup lama tau. Dah tahu sangat perangai cucu-cucu nenek ni.”

Wafi hanya tersenyum. Sememangnya dia mampu untuk menipu dirinya dengan menafikan perasaan itu. Akan tetapi dia sendiri tidak boleh berbohong dengan Nenek Esah. Biarlah dia berbohong dengan dunia tetapi tidak pada neneknya yang sudah membesarkan dia selama ini.

---------------------

A.D tidak dapat melelapkan mata setelah selesai solat Subuh. Pagi-pagi lagi Nenek Esah sudah mengetuk bilik Wafi itu. Pertama kali dia mengerjakan solat Subuh secara berjemaah. Dia sendiri ingat-ingat lupa akan bacaan doa qunut. Semasa melakukan rukun solat, ada bacaan pada perbuatan tertentu yang A.D lupa. Meskipun A.D hanya menjadi pak turut kepada imam, A.D dapat merasakan sesuatu tatkala dahinya mencecah tikar sembahyang. Hatinya menjadi tenang setiap kali sujud.  Telinga A.D dapat mendengar sesuatu dari dapur. Dia segera keluar daripada bilik.

“Eh, akak tak sambung tidur lagi ke?”

A.D menggeleng.

“Akak tak dapat tidur. Wadi nak pergi mana pagi-pagi ni?” soal A.D setelah melihat Wadi sedang bersiap-siap.
“Wadi tak pergi mana-mana kak. Memang tiap-tiap pagi kecuali hari Ahad, macam ni lah rutin Wadi. Wadi nak hantar nasi lemak dengan kuih kat warung Pak Seman kat depan tu. Tumpang jualan kat sana.”
“Oohh…rajin Wadi tolong nenek.”
“Tak adalah kak. Ni dah jadi kewajipan dan tanggungjawab Wadi untuk tolong nenek. Kak A.D, jomlah ke dapur. Wadi pun nak ke dapur ni. Abang Wafi pun ada. Dia tengah tolong nenek. Mana tahu akak nak sarapan sekali ke,” ajak Wadi.

Dia mahu memberi keselesaan kepada A.D. Malam semalam abangnya telah menceritakan kepadanya tentang keadaan dan sebab A.D dibawa datang ke rumah itu.

“Boleh juga,” balas A.D.

Wajah Wadi ada iras Wafi, cuma bentuk muka mereka sedikit berbeza. Bentuk muka Wadi sedikit panjang berbanding Wafi. Kulit Wafi sedikit gelap, manakala Wadi lebih cerah.

“Nenek, Kak A.D dah bangun.” kata Wadi sebaik sahaja sampai di dapur. Wafi yang sedang membungkus nasi lemak dengan daun pisang segera menoleh.
“A.D tak tidur lagi ke?”
“A.D tak dapat tidur la nek,”
“La…..bunyi nenek masak kat dapur ni ganggu A.D ke?”
“Tak adalah nek. Sikit pun nenek tak ganggu A.D. Cuma A.D aje yang memang nak bangun. Banyak ke kuih yang nenek buat untuk jualan nanti?”

Tangan Nenek Esah sedang ligat memasukkan karipap inti kentang ke dalam bekas.

“Sini A.D, duduk sebelah nenek ni.”

A.D hanya menuruti.

“Tak adalah banyak sangat. Nenek biasa buat nasi lemak dengan karipap. Kuih lain macam kuih lapis tak pun kuih donat. Kalau A.D nak tahu, kuih karipap inti kentang ni kegemaran Wafi dari kecil sampailah dah besar ni.”

Wafi tersenyum. Dia tahu Nenek Esah sengaja mengenakan dirinya.

“Nenek, Wadi pun suka kuih karipap nenek.” celah Wadi yang sibuk membantu Wafi.
“Ish…..budak bertuah ni. Menyibuk aje. Kamu tu dah hari-hari makan sampai muka kamu tu pun macam karipap nenek tengok. Cuba A.D rasa kuih karipap ni. Mana tahu boleh jadi kuih kegemaran A.D juga.”

Nenek Esah menghulurkan sebiji kuih karipap kepada A.D. A.D menyambut lalu menjamah juih tersebut. Gigitan pertama membuatkan deria rasa A.D jatuh cinta terhadap karipap buatan tangan Nenek Esah itu.

“Sedap?”
“Sedap nek. Patutlah Wafi dengan Wadi suka. Memang sedap,”
“Kalau awak nak tahu kalau satu hari nenek saya tak buat karipap ni, boleh huru-hara warung Pak Seman tu. Semua orang cari karipap nenek saya ni,” ucap Wafi sambil matanya seperti tersenyum memandang A.D.

Nenek Esah tersenyum. Dia senang melihat reaksi A.D pada pagi itu.

“A.D, kalau tiba-tiba rasa nak makan karipap, datang rumah nenek ya? Tak pun, nanti nenek ajar A.D macam mana nak buat karipap ikut resepi nenek. Nenek tak pernah ajar orang lain selain daripada cucu nenek. Lain kali kalau Wafi nak makan, tak payah susah-susah dia nak balik kampung. A.D boleh tolong buatkan untuk dia,” usik Nenek Esah.
“Nenek……..” tegur Wafi.
“Apa dia? Betullah kan? Apa salahnya A.D buat untuk kamu. Tak salah kan? Kamu berdua kan kawan.”
“Nenek, A.D memang tak pandai masak. Takut nanti tak sama macam nenek. Nanti tak sedap.”
“Mesti sedap punya kalau ikut betul-betul resepi nenek.”

A.D hanya tersenyum. Wajah Wafi jelas menunjukkan dia malu apabila diusik oleh Nenek Esah. Wafi sudah siap membungkus. Dia meletakkan kesemua nasi lemak itu ke dalam bakul.

“Nenek, Wafi ingat nak bawa A.D pergi air terjun kat hujung kampung kita ni.”

A.D terkejut. Dia tidak menyangka yang Wafi sudah menyediakan aktiviti untuk dirinya.

“Kamu nak pergi berdua aje ke? Kamu jangan nak buat pasal pula.”
“Ish nenek ni. Wafi belum habis cakap lagi. Wafi nak ajak Wadi dengan Fira sekali. Sekurang-kurangnya nanti, Fira boleh temankan A.D.”
“Abang…..Wadi setuju. Lagi pun dah lama Wadi tak pergi air terjun kat hujung kampung tu.”
“Mm…suka hati kamulah. Asalkan tahu jaga diri. Hati-hati bila ke sana tu. Jangan seronok sangat,” pesan Nenek Esah.
“InsyaAllah nek. Kita orang kan dah besar,” balas Wafi.
“Ha..kalau macam tu, Wadi nak pergi rumah Fira sekarang. Nak beritahu dia. Abang nak pergi bila?”

Rumah Zafira, anak kepada ketua kampung hanya selang dua buah rumah daripada rumah Nenek Esah. Wadi dan Zafira berkawan baik semenjak zaman sekolah rendah lagi.

“Lepas Wadi hantar kuih kat warung Pak Seman, kita pergilah.”
“Cantiklah abang. Kita pergi naik kereta baru kan?”

Wafi mengangguk sambil tersenyum. A.D memandang Wafi. Wafi merasakan dirinya diperhatikan lalu dia melihat A.D. Dahi A.D sedikit berkerut. Wafi tahu A.D mahu menunjukkan tanda protes. Wafi menjongket kening lalu mengerdipkan mata kirinya. 


No comments:

Post a Comment