BAB
19
Liyana membuka pintu
pejabat milik Ridzuan. Sudah menjadi tugasnya sebagai pembantu peribadi untuk
menjaga harta peninggalan dan hak milik Ridzuan di pejabat itu sebaik mungkin.
Setelah mendengar wasiat yang dibacakan oleh peguam syarikat dan peguam
peribadi pemilik kepada Bina Kurnia Berhad itu, Liyana perlu melaksanakan
tugasnya sebagaimana yang telah diamanahkan.
“Encik Wafi, ini bilik
Encik Wafi.”
“Cik Liyana, awak pasti
ke? Saya rasa saya belum layak untuk duduk di kerusi arwah.”
Liyana tersenyum.
Liyana lengkap berpakaian kemeja bewarna ungu pekat dan seluar slack hitam.
Selendang tanah putih bercorak abstrak dikenakan untuk melengkapkan lagi
penampilannya. Dia berdiri di sisi Wafi sambil tangannya memegang buku bewarna
hitam. Buku itu mengandungi segala perancangan yang telah diaturkan oleh
Ridzuan demi kepentingan masa depan Bina Kurnia Berhad.
“Encik Wafi. Ini amanah
arwah Tuan Ridzuan. Setelah selesai semuanya, bila Encik Wafi dah melangkah ke
pejabat selepas pemergiannya, inilah perkara pertama yang harus saya lakukan.
Semuanya tertulis di dalam wasiat. Ianya sah di sisi undang-undang.”
“Tapi saya memang belum
layak. Pendek kata bukan saya belum layak, saya memang tak layak.”
Sudah sepuluh hari
Ridzuan meninggalkan mereka. Niatnya sebelum melangkah keluar daripada rumah
pagi tadi hanyalah untuk menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa di Bina
Kurnia Berhad.
“Kalau Encik Wafi rasa
tak layak, maknanya Encik Wafi dah hancurkan harapan Tuan Ridzuan. Tuan Ridzuan
sangat-sangat mengagumi Encik Wafi. Dia percaya dengan kebolehan yang ada pada
Encik Wafi. Kalau tidak, masakan dia sanggup menyerahkan perkara yang berharga
dalam hidup dia pada Encik Wafi. Dah lima tahun saya jadi P.A dia. Saya dah
cukup faham apa ertinya Bina Kurnia Berhad ni kepada Tuan Ridzuan. Bina Kurnia
ni adalah segala-galanya, umpama nadi dalam hidup dia. Tak mungkin dia nak
serahkan Bina Kurnia kepada orang sembarangan. Saya rasa, ada sebab kenapa Tuan
Ridzuan percaya kepada Encik Wafi untuk memangku jawatan sebagai pengarah
syarikat ini.”
“Cik Liyana, awak
betul-betul memahami siapa Tuan Ridzuan. Maksudnya, awak pun tahu juga pasal
penyakit ayah mertua saya tu?”
“Sudah menjadi tugas
saya untuk mengetahui segala-galanya mengenai Tuan Ridzuan. Itu akan memudahkan
saya untuk menguruskan kehidupan dan jadual majikan saya. Apa yang terjadi
sudah menjadi etika saya untuk
merahsiakan apa yang berlaku daripada pengetahuan yang lain termasuklah anak
tunggal Tuan Ridzuan sendiri.”
Wafi mengangguk lalu
tersenyum. Ayah mertuanya tidak silap memilih. Ridzuan punya pembantu peribadi
yang sangat berwibawa.Wafi memandang sekeliling. Hiasan dalaman itu jelas
menggambarkan peribadi ayah mertuanya. Sofistikated, elegen dan ringkas. Di
suatu sudut, pandangannya menangkap satu rak buku yang besar. Dia menghampiri
rak tersebut. Rak cermin itu dipenuhi dengan bahan bacaan. Ada bacaan fiksyen
dan juga bukan fiksyen. Buku rujukan dan panduan mengenai pembinaan serta
bidang kejuruteraan awam juga tersusun kemas di rak tersebut.
“Ini ialah ruangan Tuan
Ridzuan. Tuan Ridzuan suka membaca. Lebih-lebih lagi novel Inggeris klasik. Tak
ramai yang punya hobi macam dia. Kalau arwah nak tenangkan fikiran, inilah
tempatnya.”
Tiba-tiba wajah itu
menguntum senyuman. Rupa-rupanya sifat A.D itu diwarisi daripada ayah
mertuanya. Ibarat di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.
“Kenapa Encik Wafi
tersenyum? Encik Wafi pun suka baca novel juga ke?” soal Liyana.
“Eh, tak adalah. Saya
cuma teringatkan seseorang bila tengok novel banyak-banyak macam ni,” jawab
Wafi.
Tangan Wafi mengambil
salah satu novel yang ada. Tertera di hadapan muka buku itu ‘Sherlock Holmes : The Valley of Fear
by Sir Arthur Conan Doyle. Wafi membelek sekali lalu helaian yang ada.
“Siri Sherlock Holmes. Ini ialah novel keempat dan juga
terakhir daripada Arthur Conan Doyle. Seorang penulis novel penyiasatan yang
sangat terkenal yang menjadi kegemaran Tuan Ridzuan. Kalau Encik Wafi tengok,
semua siri Sherlock Holmes ni ada kat rak tu.”
Mata Wafi memerhatikan deretan buku di tingkat rak tersebut.
Kesemua koleksi Sherlock Holmes ada di situ sama ada novel mahupun cerita
pendek. Dia kagum dengan citarasa lelaki itu.
“Untuk
pengetahuan Encik Wafi, Sherlock Holmes adalah watak kegemaran Tuan Ridzuan.
Saya rasa tak terhitung berapa kali Tuan Ridzuan mengulang baca semua siri tu.
Mengikut pandangan saya Tuan Ridzuan dan Sherlock Holmes tak banyak beza.
Orangnya misteri, bijak, nampak apa yang orang lain tak dapat lihat dan akan bertindak
apa yang orang lain tak terfikir. Saya rasa, sebab tu dia pilih Encik Wafi
untuk gantikan tempat dia sehinggalah Puan A.D betul-betul bersedia.”
“Awak
pun minat baca novel Sherlock Holmes ke?” tanya Wafi sebaik mendengar
penerangan Liyana mengenai watak penyiasat klasik itu, seperti Liyana juga
turut meminati siri tersebut.
“Tak
adalah. Saya ni tak suka sangat membaca. Tuan Ridzuan kadang-kadang bercerita
dengan saya. Saya tengok filem Sherlock Holmes kat wayang tu boleh la. Suka
tengok hero dia, Robert Downey Jr. tu.”
Wafi
ketawa kecil.
“Tak
sangka awak ni pandai berjenaka juga ya? Kalau cerita yang agak putar belit ni
susah sikit nak layan. Orang yang bijak dan berfikiran di luar kotak macam ayah
mertua saya tu memang cepat tangkap apa yang tersirat. Kalau cerita kartun
Detektif Conan tu bolehlah saya layan.”
Kali
ini Liyana pula tersenyum. Bakal pengarah Bina Kurnia Berhad itu ada juga sifat
kelakarnya. Wafi meletakkan semula novel itu ke tempat asalnya.
“Jadi,
saya harap sangat Encik Wafi dapat melaksanakan wasiat arwah Tuan Ridzuan.
Lagipun, Encik Wafi memang layak. Encik Wafi merupakan salah seorang pemegang
saham, 30 % adalah untuk Encik Wafi dan 70% lagi untuk Puan A.D. Tambahan lagi,
Encik Wafi adalah suami kepada anak tunggal Tuan Ridzuan.”
Wafi
tertunduk. Dia tidak menyangka yang Ridzuan sanggup memberikan semua itu
kepadanya. Sedangkan perkenalan mereka adalah singkat. Wafi menarik nafas
dalam-dalam. Dia cuba bernafas dengan tenang.
“InsyaAllah. Setelah
dengar apa yang awak cakap dan cerita pasal Sherlock Holmes tadi tu akan
membantu saya untuk menguruskan syarikat ini.”
Wafi sedar, kini
tanggungjawabnya lebih besar. Ridzuan benar-benar mempercayai kebolehannya.
Ridzuan nampak sesuatu yang ada dalam dirinya.
“Terima kasih Encik
Wafi. Nampaknya saya dapat tunaikan permintaan arwah. Memandangkan arwah Tuan
Ridzuan dah tak ada lagi, saya rasa jawatan saya sebagai pembantu peribadi…………”
“Cik Liyana, saya rasa
saya faham apa yang awak nak cakapkan. Saya nak jawatan awak dikekalkan sebagai
pembantu peribadi kepada pengarah Bina Kurnia. Memandangkan awak seorang yang
memahami kehendak dan kemahuan Tuan Ridzuan, saya nak awak bantu saya. Saya nak
kekalkan apa yang telah ayah mertua saya lakukan. Bila Puan A.D dah bersedia
untuk menerajui syarikat ini, saya akan serahkan kepada dia.”
Liyana memandang wajah
Wafi. Sememangnya tidak salah Ridzuan memilih Wafi sebagai penggantinya.
“Terima kasih Encik
Wafi. Mulai hari ini saya jadi P.A Encik Wafi. Saya akan cuba sedaya upaya
untuk membantu Encik Wafi. Saya ada satu permintaan lagi.”
“Apa dia?”
“Kalau boleh Encik Wafi
tak perlulah nak panggil saya Cik Liyana. Saya baru aje kahwin bulan lepas.
Lagipun saya tak biasa sebab Tuan Ridzuan selalu panggil nama saya aje.”
“Eh, takkanlah saya nak
panggil nama aje. Cik...er..Puan Liyana lebih tua daripada saya.”
“Kalau macam tu,
panggil aje akak. Macam Puan A.D panggil saya.”
Wafi mengangguk. Dia mengerti
maksud Liyana.
------------------------------
Wafi berjalan kaki
menuju ke tempat letak kereta. Hanya kelihatan kereta perodua Myvi bewarna
kuning yang baru sahaja dibelinya di situ. Wafi sempat memandang jam tangannya
sekali lalu. Sudah menjengah 6.45 petang. Pak Aziz ada menawarkan diri untuk
menjadi pemandu kepada Wafi, namun ditolak dengan baik oleh Wafi. Wafi tidak
mahu menyusahkan lelaki itu. Wafi memberikan ruang untuk Pak Aziz berehat dan
hanya melakukan keja-kerja di rumah. Bagi diri Wafi, dia tidak memerlukan
seorang pemandu. Biarlah dia bergerak secara sendiri. Bukan kerana sombong
tetapi dia merasakan dirinya belum layak untuk semua yang dia alami ketika ini.
Wafi seboleh mungkin mahu pulang awal setiap hari. Dia mahu menemani A.D.
Banyak perubahan sikap telah berlaku terhadap gadis kasar itu. A.D lebih gemar
menyendiri dan mendiamkan diri.
Wafi menekan punat yang
berada di kunci keretanya. Kereta itu sudah tidak berkunci. Wafi membuka pintu
di tempat pemandu.
“Hai Wafi,” tegur
Nadhira.
Wafi menoleh.
“Macam mana awak boleh
ada kat sini?”
“Wafi, dah banyak kali
Dhira telefon Wafi. Tapi Wafi tak angkat pun.”
Wafi tahu akan hal
tersebut. Sememangnya dia sengaja tidak membalas panggilan itu. Bukan hanya
kerana dia sibuk tetapi dia mahu menjauhkan diri daripada Nadhira.
“Saya sibuk. Saya rasa
awak pun tahu kan sibuk dalam dunia korporat ni macam mana.”
“Wafi, jom….kita pergi
makan malam.”
Tangan Nadhira memaut
lengan Wafi yang sasa itu. Cepat sahaja Wafi bertindak melepaskan pautan tangan
Nadhira. Dia tidak selesa.
“Saya nak balik. Saya
penat.”
“Wafi, janganlah beri
alasan yang tak munasabah. Semua manusia kena makan, tak kan Wafi tak lapar?”
“Nadhira, kenapa dengan
awak ni? Awak tak ada kerja lain ke? Awak faham tak yang kita sekarang dah tak
ada apa-apa lagi.”
“Sayang, kan Dhira
cakap yang kita akan keluar makan kalau Dhira tak sibuk.”
“Awak tak sibuk tapi
saya sibuk.”
Wafi segera masuk ke
dalam kereta. Dia mahu menutup pintu. Nadhira tidak dapat menerima keputusan
Wafi. Dia mahu Wafi menurut kehendaknya. Niatnya mahu memujuk lelaki yang
pernah menjadi miliknya dahulu tetapi kini perasaan marah pula muncul. Dia cuba
menahan rasa itu. Dia mahu menafikan apa yang didengarinya. Sudah banyak mulut
mengatakan yang Wafi bersama dengan gadis kasar itu sampai ke telinganya.
“Jadi, betullah cerita
pasal budak tomboi yang langgar Dhira dulu tu?”
Tangan Wafi mahu
memutarkan kunci, namun tindakannya terhenti.
“Betullah sekarang ni
Wafi suka dengan budak yang macam lelaki tu? Semuanya memang pasal budak motor
besar tu kan?”
Wafi keluar. Dia
memandang wajah Nadhira. Dia semakin tidak faham dengan gadis itu. Keputusan
untuk memutuskan perhubungan yang dibina selama 3 tahun adalah keluar daripada
bibir itu. Mengapa kini Nadhira seperti mengejarnya semula?
“Perkara ni tak ada
kena mengena dengan dia. Awak yang minta semua ni kan? Saya terima, tapi kenapa
sekarang awak yang tak dapat terima?”
“Sebab Dhira yakin yang
Wafi Azrel Shah milik Dhira sampai bila-bila. Kita memang sesuai dan sepadan
bila bersama. Itu yang Wafi cakap kat Dhira dulu.”
Wafi hanya membisu. Dia
malas mahu membesar-besarkan hal tersebut. Apabila melihat tindak balas Wafi
begitu, Nadhira segera memegang tangan Wafi. Kali ini genggamannya kuat. Sekuat
perasaannya yang mahu Wafi kembali ke pangkuannya.
“Wafi, kita baik semula
macam dulu ya? Wafi anggap yang Dhira tak pernah cakap yang kita dah putus.
Dhira bahagia dengan Wafi selama 3 tahun kita bersama. Wafi, Dhira tahu Dhira
yang salah. Dhira boleh betulkan semula apa yang silap. Dhira sanggup berubah.
Dhira janji akan luangkan masa untuk Wafi. Dhira merayu dengan Wafi. Dhira tak
pernah merayu kat Wafi macam ni. Dhira tak nak kita putus. Dhira nak kita macam
dulu.” ucap Nadhira dengan panjang lebar diiringi dengan linangan air mata.
Wafi melepaskan
genggaman Dhira. Sememangnya sentuhan itu tidak memberi kesan pada hatinya.
“Sebab awak tak pernah
merayu selama inilah saya tak tahu sama ada awak berpura-pura atau tak. Saya
faham sangat dengan perangai awak tu. Nadhira ialah anak orang kaya yang hanya
mahu orang lain menurut apa sahaja kehendak awak. Betul kan? Awak faham ke
tidak? Kita tak boleh hidup dengan perkataan dulu. Apa yang dah jadi, semuanya
kehendak awak. Tolong jangan nak salahkan orang lain.”
“Kalau bukan pasal dia,
kenapa Wafi sebut nama dia masa kita jumpa waktu kat tempat jogging hari tu?
Wafi termenung ingat kat dia kan? Wafi juga yang cakap yang Wafi tidak akan
suka apatah lagi jatuh cinta dengan perempuan tomboi macam tu. Wafi yang dah
berubah sebenarnya.”
“Jangan nak kaitkan dia
dalam hal kita. Tolong faham yang kita tak boleh macam dulu.”
“Kenapa tak boleh?
Dhira yakin dengan perasaan Dhira. Tak mungkin Wafi dapat lupakan Dhira macam
tu aje. Dhira tahu yang Wafi sayangkan Dhira. Wafi nak hukum Dhira dengan cara
macam ni kan? Wafi nak lepaskan geram kan?”
Wafi segera berpaling.
Sudah puas dia memberikan sebab untuk menerangkan segala-galanya kepada Nadhira.
Dia yakin yang perasaan itu sudah hilang.
“Kenapa diam? Ataupun
Wafi dah tak sayang Dhira lagi? Wafi sayangkan perempuan mulut kurang ajar tu? Sebab
tu kita tak boleh macam dulukan? Apa lebihnya dia?”
“Kalau bukan sebab dia
pun, kita tak boleh macam dulu.”
Nadhira terkejut dengan
jawapan Wafi. Dia terkesima. Memang benar apa yang dia dengar selama ini. Dia
sudah kalah dengan A.D.
“Kalau bukan sebab dia?
Maknanya memang sebab dia kan? Wafi sayangkan dia kan? Kalau tak Wafi tak akan
ada kat rumah dia masa kenduri arwah bapa dia kan? Wafi layan tetamu yang
datang seolah-olah yang meninggal tu macam ayah Wafi. Betul tak?”
Wafi membisu.
“Betul ke tak? Jawab
apa yang Dhira tanya ni….!!” jerit Nadhira.
“Tak ada apa yang saya
kena jawab.”
“Jadi, memang betul
kan? Wafi tak dapat nak menafikan. Wafi ingat boleh sembunyi semua ni daripada
Dhira? Dunia korporat bukannya besar mana. Lebih-lebih lagi sekarang ni Wafi
dah jadi C.E.O Bina Kurnia Berhad. Wafi ingat papa Dhira tak boleh bagi apa
yang Wafi ada sekarang? Sebab kedudukan, Wafi berubah? Wafi sanggup bercinta
dengan perempuan yang entah apa-apa tu? Perempuan tomboi yang kurang ajar tu?
Apa yang perempuan tak guna tu dah guna untuk perangkap Wafi?”
“Baik, kalau awak nak
tahu sangat saya akan beritahu. Ya, memang saya sukakan dia. Malah, bukan
setakat saya sukakan dia, saya nak hidup bersama dengan dia seumur hidup saya.
Saya juga dah sah menjadi suami dia. Ooh…ya, untuk pengetahuan awak Cik Nurul
Nadhira binti Datuk Hamdan, perempuan yang awak cakapkan tu jauh lebih baik dan
jauh lebih segala-galanya daripada awak. Bukan sebab harta saya sukakan dia.
Malangnya, awak dah silap menilai siapa Wafi Azrel Shah. Itu yang membuatkan hati
saya bertambah kuat dan yakin mengatakan yang saya tak salah pilihan. Puas hati
awak?”
Wafi segera
menghidupkan enjin keretanya. Dia memecut dengan laju meninggalkan Nadhira di
situ. Wafi sudah tidak mempedulikan dia lagi. Biarlah dia menangis air mata
darah sekalipun, Wafi tetap tidak mahu kembali kepada Nadhira. Kaki Nadhira
menjadi lemah. Dia terduduk. Hatinya bagai disentap dengan kuat.
Baris ayat itu
mengejutkan seluruh jiwanya. Dia sama sekali tidak menyangka hubungan Wafi dan
A.D sudah sejauh itu. Nadhira tidak mampu menerima kenyataan yang dia sudah
kalah dengan A.D. Nadhira tahu yang dia punya segala-galanya sedangkan A.D
langsung tidak mempunyai ciri-ciri idaman mana-mana lelaki.
“Tak guna punya
perempuan tomboi. Aku tak akan kalah dengan kau. Wafi milik aku. Kau tak boleh
rampas dia. Sebab kau, Wafi dah berubah.”
Nadhira menggenggam
tangannya, dia menahan geram. Dia perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan
Wafi semula.
No comments:
Post a Comment