Stylo Clique ^_^

Monday, August 13, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 24 ::.




BAB 24


A.D memerhatikan jam di dinding ruang tamu sebaik sahaja keluar daripada bilik. Waktu sudah menjengah pukul 10.30 malam. Kelihatan Wadi sedang leka menonton drama di TV3. Kakinya sudah boleh menapak dengan lebih baik setelah diurut oleh Nenek Esah petang tadi. Langkah A.D perlahan menuju ke dapur. Wafi sedang membantu neneknya membancuh tepung untuk membuat kuih kaswi. Kuih itu akan dijadikan sarapan untuk esok pagi. Wafi menoleh ke belakang setelah mendengar bunyi tapak kaki.

“Awak nak pergi mana?”
“Saya nak pergi tandas.”
“A.D, melangkah tu hati-hati ya. Kaki A.D tu baru aje baik.”
“Baik, nek. Nenek tengah buat apa?”

A.D sempat bertanya sebelum dia menunaikan qada’ hajatnya.

“Nenek buat kuih kaswi. Si Wafi ni, sibuk sangat suruh nenek buat. Rindu nak makan katanya. A.D nak belajar?”
“Boleh juga. Tapi nek, A.D nak pergi tandas dulu.”
“Yalah.”

Wafi tersenyum dengan perubahan A.D. A.D sudah mula menyesuaikan diri dengan keluarganya. Sebaik sahaja sampai di tandas, A.D mendapati baldi itu kosong. Dia memulas kepala paip, dia mahu menadah air terlebih dahulu. Sudah puas dia memutarkan kepala paip itu sehingga habis mengikut arah jam. Akan tetapi air yang keluar hanyalah titisan kecil. A.D keluar menuju ke tempat Wafi dan Nenek Esah.

“Nek, rumah ni tak ada air ke? Kenapa air paip tu macam tak keluar aje?”
“Astaghfirullahalazim, nenek lupa nak beritahu dengan A.D. Kalau malam minggu macam ni, kadang-kadang air paip kat bilik air tu memang macam tu. Agaknya ramai orang guna bila malam minggu ni. Maklumlah, rumah kampung. Tekanan air kurang.”
“Kalau awak rasa tak tahan sangat nak buang air, boleh pergi bilik air kat luar. Sebelum ada bilik air kat dalam ni, kita orang biasa pergi bilik air kat luar. Kena cedok air kat perigi,” sakat Wafi.

Wajah A.D serta-merta berubah.

“Kena cedok air kat perigi?”

Nada A.D jelas kebimbangan.

“Ish kamu ni. Buat malu nenek ajelah. Sekarang kan dah zaman moden. Ingat zaman dulu ke? A.D, tak payah cedok air perigi. Bilik air kat luar tu dekat sikit dengan paip utama. Jadi tekanan tak banyak sangat. Suis lampu ada dekat dengan pintu luar tu.”

A.D mahu membatalkan niatnya tetapi dia merasakan dia harus meneruskan qada’ hajatnya. A.D seperti tiada pilihan. Dia segera membuka pintu yang terletak di dapur.

“Baik-baik kalau guna bilik air kat luar tu. Dah malam ni, lepas tu gelap. Lagi satu tempat tu macam keras.” sakat Wafi. Sudah lama dia tidak mengenakan A.D

Langkah A.D terus terhenti. Dia menjeling ke arah Wafi.

Mulut dia ni memang jahat. Mentang-mentang kau dah selamatkan aku siang tadi. Aku tarik ekor kuda tu baru tahu. Desis hati A.D.

“Kenapa tak keluar? Takut?”

Wafi sengaja mahu menguji A.D.

“Mana ada takut. Saya tarik rambut awak yang macam ekor kuda tu baru tahu.”

Itu dia. A.D yang dulu sudah pun kembali. A.D yang dikenalinya pasti akan melawan kembali jika Wafi menyakatnya. Sudah lama A.D tidak mengeluarkan ayat itu dari bibirnya.
Nenek Esah ketawa. Tidak sangka A.D akan menggelarkan rambut Wafi sebagai ekor kuda.

“Nenek sokong A.D. Rambut panjang Wafi ni kalau ikat macam ekor kuda. Sudah, jangan dengar cakap Wafi ni. Nenek dah lama duduk kat sini. Tak ada apa-apa kat luar tu.”
“Nenek ni, bukan nak sokong Wafi. Rambut Wafi ni fesyen, nek. Macam Faizal Tahir.”

A.D ketawa kecil. Tidak menyangka sama sekali Nenek Esah akan berada di pihaknya.
A.D memandang semula keluar. Bilik air di luar tidak jauh daripada rumah, jaraknya lebih kurang lima belas langkah A.D. Hanya mengenangkan yang dia tidak tahan untuk membuang air, A.D cuba memberanikan dirinya. Dia menapak perlahan sambil memandang sekeliling. Jika Wafi tidak menyakat dan cuba menakut-nakutkannya tadi, pasti dia tidak merasakan perasaan takut itu. Entah mengapa dia merasakan perjalanan untuk sampai ke bilik air itu jauh.

“Habis, Wafi tu kenakan A.D. memandai je cakap bilik air tu keras.”
“Nek, memanglah bilik air tu keras. Kan ada dinding dengan lantai bilik air tu. Kalau tak ada dinding, macam mana nak mandi kat luar tu. Betul tak?”
“Ish….budak ni ada je menjawabnya. Pergi kamu tengok A.D tu. A.D tu dahlah tak biasa. Kalau kamu tak nak pergi tengok, nenek tak nak buat kuih kaswi ni,” ugut Nenek Esah.
“Oklah..oklah. Nenek sekarang ni dah macam gangster, pandai main ugut-ugut.”

Nenek Esah hanya menggeleng melihat gelagat Wafi. Wafi segera bangun lalu menuju ke arah luar. Dia melihat A.D sedang berjalan dengan perlahan sambil mata itu meliar ke sekeliling.

Tiba-tiba sahaja A.D mendengar bunyi ranting berdetap dipijak orang. Perasaan takut semakin menyelubungi jiwanya. A.D berharap bunyi itu hanyalah khayalannya. Akan tetapi bunyi tapak kaki semakin menghampirinya dan tiba-tiba berhenti. Sedaya upaya mengumpulkan keberanian yang ada, A.D menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya A.D tatkala melihat Wafi sudah berada di belakangnya.

“Awak rupanya.”

Jelas nada suara A.D seperti lega. Wafi tersenyum memerhatikan riak wajah itu. A.D mengurut perlahan dadanya.

“Awak ni memang penakut kan?”
“Saya tak akan takut kalau tak ada orang yang takutkan saya. Saya selalu juga balik kerja tengah malam tapi saya biasa aje. Faktor dan anasir luar yang suka dengki macam awak ni la yang buatkan saya takut.”
“Awak ni memang macam budak kecil kan?” ucap Wafi sambil merenung ke arah mata A.D.

Perasaan A.D menjadi tidak menentu. Dia merasakan kata-kata Wafi mengusik jiwanya.

“Kan terang kat luar ni. Awak pergi masuk, saya tunggu kat luar.”

Pantas sahaja langkah A.D masuk ke dalam bilik air itu. Bukan hanya kerana dia mahu membuang air tetapi dia mahu mengelak daripada pandangan itu. A.D menutup pintu dengan selak yang berada di pintu. Sebaik sahaja kakinya mahu melangkah menuju ke paip, dia merasakan kakinya seperti terpijak sesuatu yang licin dan sejuk. A.D menjeling ke lantai. Alangkah terkejutnya A.D apabila melihat seekor katak sedang berada di atas lantai.

“Awak…!!!” jerit A.D.

Wafi yang sedang memandang langit segera menoleh ke pintu bilik air.

“Awak, kenapa?”

Wafi mengetuk pintu itu dengan kuat. A.D membuka selak lalu membuka pintu. Wafi terkejut kerana A.D segera meluru ke arahnya. Kaki A.D terlanggar penghadang pintu lalu menyebabkan dirinya tersadung ke hadapan dan Wafi sempat menyambutnya. Kini tubuh A.D berada di dalam dakapan lelaki itu. A.D sudah lupa dengan keadaan mereka berdua. Wafi menyedari akan hal itu, namun dibiarkan sahaja.

“Kenapa ni?”
“Ada katak dalam bilik air tu.”
“Mana?”

Wafi menjengah masuk ke dalam dan dia melihat katak itu sedang melompat kecil. Wafi ketawa melihat wajah A.D yang hampir pucat itu.

“Saya ingat awak ni takut hantu aje, rupanya katak pun takut juga?”
“Saya tak takut katak tapi saya geli.”

Wafi mencebikkan bibirnya. Tidak percaya dengan kata-kata A.D. Perempuan tetap perempuan.

“Eh, cuba tengok kat tepi tu. Bapa dengan mak katak tu cari anak dia,” tipu Wafi.
“Mana?”

Sekejap sahaja A.D sudah memaut lengan Wafi sebaik sahaja mendengar kata-kata Wafi. Genggaman tangannya semakin erat.

“Kat kaki awak tu. Dia ikut awak.”

A.D segera meletakkan dirinya rapat dengan Wafi. Tangannya sudah memeluk tubuh Wafi. Dalam keadaan kelam kabut begitu, dahi A.D terkena bibir Wafi. Sekali lagi A.D merasakan bibir lembut itu ditubuhnya. Jika siang tadi bibir itu bertemu dengan bibirnya, kini bibir itu bertemu dengan dahinya secara tidak sengaja. Wafi juga kaget dengan apa yang berlaku. Jika pembesar suara diletakkan di dada mereka berdua, pasti degupan jantung itu dapat didengar dengan jelas.

“Kenapa awak peluk saya?” soal A.D
“Awak cakap saya peluk awak? Awak yang peluk saya.”
“Saya peluk awak?”

A.D cuba menahan malu. Hatinya kian resah.

“Aduh….”

A.D berpura-pura merintih. Tangannya yang memeluk Wafi tadi sedang cuba menyentuh kakinya.

“Ibu jari kaki sakit sebab terlanggar kayu kat pintu tu.”

Wafi juga berpura-pura seperti biasa.

“Saya halau katak tu dulu.”

A.D mengangguk. Wafi meninjau keadaan di dalam bilik air itu.

“Katak tu dah jumpa mak dengan bapa dia. Dah tak ada. Awak boleh buang air sekarang. Saya tunggu kat luar.”
“Awak pasti dah tak ada? Kalau saya masuk tiba-tiba dia ada lagi macam mana?”
“Kalau katak tu ada lagi, awak ciumlah dia. Mana tahu boleh menjelma jadi putera katak.”

A.D memasamkan mukanya. Jenaka itu langsung tidak mencuit hatinya.

“Habis tu, awak nak saya masuk dalam sekali ke tengok awak buang air?”
“Gila,” ucap A.D lalu masuk ke dalam semula. 

Semakin A.D cuba mengelak, takdir semakin menghampirkan dirinya dengan Wafi. A.D menyentuh dahinya manakala Wafi yang berada di luar menyentuh bibirnya. Wafi tersenyum sendiri.

----------------------

Wafi menoleh ke kiri, Wadi sudah pun terlena. Nyenyak benar tidur adiknya itu. Setelah itu, Wafi memandang ke atas, memerhatikan siling bilik Wadi. Matanya sedikit pun tidak mengantuk. Peristiwa siang tadi memenuhi benak fikirannya. Wafi berusaha memejamkan matanya tetapi kejadian itu yang muncul.

Wafi, kenapa kau asyik ingat je benda tu? Tadi tu kau buat CPR kat dia, bukan kau bercium dengan dia. Ya Allah, kenapa aku ada rasa macam ni?

Wafi mengiringkan tubuhnya ke kanan. Hati Wafi tertanya-tanya, adakah A.D juga merasakan apa yang dia rasa ketika ini?
Apabila mengingatkan bibirnya bertemu dengan bibir A.D semasa dia melakukan pertolongan cemas itu, jantungnya berdetak pantas.

Wafi, mana boleh kau bayangkan benda bukan-bukan ni? Eh…..kejap. Apasal tak boleh pula? Kau dah salam tok kadi. Kau dah sebut aku terima nikah Qurnia Adriana binti Ridzuan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai. Dia isteri kau yang sah.

Jiwa Wafi bermonolog sendiri. Hatinya tidak menentu. Wafi menekup mukanya ke bantal. Seboleh mungkin dia mahu membuang bayang-bayang itu tetapi dia tidak boleh. Dalam kesunyian malam membuatkan hatinya menjadi jujur terhadap dirinya. Dia bahagia mengenali insan itu. Dia bahagia setiap kali menatap wajah gadis itu. Meskipun dia kasar tetapi hati itu penuh dengan kelembutan. Dalam kesunyian malam jugalah, telinganya tiba-tiba sahaja mendengar sesuatu.

“Tolong….tolong…..jangan apa-apakan aku.”

Suara itu datang dari bilik sebelah.

“A.D,”

Bibirnya pantas menyebut nama yang berselindung di hatinya. Wafi segera keluar. Dia mengetuk pintu bilik A.D.

“Jangan…jangan..”

Wafi dapat mengagak apa yang berlaku ke atas A.D. Wafi membuka pintu. Jangkaannya tepat. A.D sedang bermimpi buruk sama seperti malam tempoh hari. Dia masuk ke dalam lalu menutup pintu itu semula. Dia tidak mahu Nenek Esah mahupun Wadi sedar.

“Awak……awak…”

Wafi menyentuh dahi A.D. A.D berpeluh. Pasti A.D mengalami mimpi ngeri. Wajah A.D jelas ketakutan. Timbul rasa menyesal di dalam hati Wafi kerana menakut-nakutkan A.D tadi. Masih jelas diingatannya A.D bermimpi dikejar hantu sama seperti di dalam drama yang ditonton oleh mereka berdua pada malam itu. Kali ini kejadian itu berulang lagi. Wafi pasti perkara itu terjadi kerana dirinya.

“A.D….tak ada apa yang perlu awak takutkan. Saya ada kat sini.”

Wafi segera menggenggam tangan A.D. Seolah-olah dia sedang menyalurkan keberanian ke dalam diri A.D. Wafi mengusap lembut kepala A.D. Dia mahu menenangkan A.D. Tiba-tiba mata A.D terbuka. Dia tersedar.

“Astaghfirullahalazim.”

A.D beristighfar panjang. Wafi adalah orang pertama yang berada di pandangannya semasa dia membuka mata.

“Awak ok tak? Mimpi apa sampai mengigau?”

A.D segera bangun lalu duduk. Genggaman mereka masih lagi bersatu.

“Saya mimpi ada hantu kat bilik air tu.”

Seperti yang diduga, kata-kata Wafi yang menakutkannya tadi yang membuatkan dia mengigau.

“Awak…….saya minta maaf. Saya tak ada niat nak takutkan awak.” ujar Wafi sambil tangannya yang satu lagi berada di pipi A.D. Dia rasa bersalah.

A.D tidak mempunyai kuasa untuk mengelak. Semakin dia mengelak, perasaan itu semakin dirasakan. Wafi berjaya mengetuk pintu hatinya. Wafi berjaya mengubah perasaannya. Tetapi, apabila mengingatkan Wafi sudah bersama Nadhira dan kejadian hitam itu membuatkan perasaan indah itu lenyap. Apa pula reaksi Wafi jika dia mengetahui akan hal itu? Mampukah dia menerima A.D seperti sekarang? Mahukah Wafi menggenggam tangannya sama seperti genggamannya ketika itu? A.D merasakan dia tidak layak untuk menerima semua itu.

“Bila masa awak masuk?”
“Saya belum tidur lagi. Saya dengar awak mengigau. Tu yang saya terus masuk.”
“Sorry.”
“Tak apa. Awak tidur ya? Saya ada kat sini. Saya akan pastikan awak tidur dulu, baru saya keluar.”

A.D mengangguk. Perlahan-lahan dia baring semula. A.D mahu melepaskan genggaman tangannya tetapi tangan Wafi lebih kuat daripada tangannya. Wafi mengeleng.

“Saya takut kalau saya lepaskan genggaman ni, awak akan mimpi buruk lagi.”

A.D terkesima. Dia mengakui, genggaman tangan Wafi itulah yang membuatkan dia berjaya keluar daripada mimpinya. A.D merasa dirinya selamat saat Wafi menatap dirinya. Perasaan itu pernah dirasai sebelum ini. Apa yang dia rasakan kini sama macam perasaan ketika malam itu. Genggaman tangan Wafi menghangatkan tubuhnya.

-------------------------------

Azan subuh memecah kesunyian dinihari. Keindahan subuh hari mampu membuatkan hati dan jiwa setiap insan berdenyut syukur serta kagum akan kebesaran pemilik langit dan bumi. Suara mendayu sang bilal mengalunkan azan bergema di seluruh alam. Di saat subuh menjengah dalam lorong waktu putaran bumi, sang malaikat akan turun untuk mencatatkan amalan soleh bagi hambaNya yang sanggup meninggalkan tempat tidur untuk sujud menghadap Maha Pencipta. Mana yang lalai, pasti akan menarik selimut sehingga membaluti kesuluruhan tubuh.

Suara merdu azan menyentuh gegendang telinga Wafi. Wafi membuka perlahan kelopak matanya. Belakangnya terasa sengal. Dia tertidur di sisi katil dengan genggamannya masih lagi kemas. Dia sendiri tidak tahu bila matanya terlelap. Wafi tersenyum tatkala dia membuka mata, A.D sedang lena. Perasaan bimbang muncul apabila menyedari jam di biliknya sudah menunjukkan pukul 5.45 pagi. Dia tidak mahu Nenek Esah tahu dia berada di dalam bilik itu. Perlahan-lahan Wafi melepaskan genggaman tangannya. Dia membuka perlahan pintu. Saat pintu dikuak, Nenek Esah sudah berada di pandangan.

“Nenek,” ucap Wafi dengan nada terkejut.
“Astaghfirullahazim……Wafi, kamu buat apa kat bilik ni?”

Lidah Wafi kelu. Pada awal perancangannya dia mahu beredar daripada bilik itu setelah A.D lena tapi akhirnya dia juga terlena sama hingga ke pagi.

“Wafi, kamu buat apa? Cakap dengan nenek,” suara Nenek Esah sudah meninggi.
“Wafi tak buat apa-apa nek,” balas Wafi.

A.D tersedar apabila mendengar suara Nenek Esah di depan pintu bilik.

“Wafi cakap tak buat apa-apa? Nenek nampak kamu curi-curi keluar tadi. Nauzubillah Min Zalik, jangan-jangan kamu tidur dengan A.D ya? Kamu buat maksiat dalam rumah ni ke?” soal Nenek Esah bertubi-tubi.
“Awak, kenapa ni?” tanya A.D. Dia menyangkakan Wafi tidur di bilik Wadi.
“A.D, Wafi……kenapa kamu berdua buat nenek macam ni? Kamu berdua cucu nenek. Kamu nak malukan nenek ke? Dah tak ingat dosa dengan pahala?”

Wafi memandang A.D. A.D terpinga-pinga.

“Saya tertidur dengan awak tadi. Saya tak sedar bila saya tertidur.”

Pandangan A.D menjadi kaku apabila memandang wajah Nenek Esah. Dia sendiri terkejut apatah lagi orang tua itu. Jelas wajah itu memancarkan kecewa.

La Hawla Wala Quwwata Illa Billah…kamu tidur dengan A.D? Kamu memang nak nenek mati cepat ya? Nenek tak sangka kamu sanggup buat macam ni kat nenek.”

Nenek Esah sudah mengalirkan air mata. Dia mengurut dadanya. Terasa sakit setelah mendengar pengakuan Wafi.

“Ini yang nenek nampak, yang nenek tak nampak, yang nenek tak tahu?”
“Nek, Wafi dengan A.D tak akan buat macam tu kat nenek. Apa yang nenek fikirkan tak sama apa yang dah jadi.” terang Wafi.
“Wafi….Wafi nak cakap apa ni? Tadi Wafi sendiri yang cakap Wafi tidur dengan A.D.”

Wadi segera keluar sambil menggonyoh matanya. Dia melihat Nenek Esah sudah mengalirkan air mata.

“Nenek, kenapa ni?”
“Nenek nampak Wafi keluar daripada bilik A.D. Lepas tu abang kamu ni mengaku yang dia tidur dengan A.D.”

Setelah mendengar kenyataan Nenek Esah, Wadi segera memandang abangnya dan A.D. Dia juga mahu mendapatkan kepastian. Dia tidak percaya abangnya sanggup melakukan perkara tersebut.
Wafi dan A.D saling berpandangan. Perlukah mereka membongkarkan segala-galanya? Haruskah rahsia yang disimpan selama ini diberitahu untuk mengelakkan salah faham. A.D mengangguk perlahan kepalanya. Dia seperti dapat membaca isyarat daripada Wafi.

“Nenek, sebenarnya Wafi dengan A.D adalah suami isteri yang sah.”

No comments:

Post a Comment