Stylo Clique ^_^

Friday, November 1, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 27

BAB 27

Jika emas digadai dapat ditebus. Silap melangkah, dalam terhunus.

Kau tunggu aku kat kereta kau. Aku nak bayar semua barang ni,” arah Inderawan apabila kaunter pembayaran pasar raya itu kelihatan sesak.
Tanpa sebarang bicara, Zara Alisha segera melangkah keluar.
Hari itu Inderawan tidak bekerja dan Zara Alish juga tidak ke kolej. Mereka baru sahaja pulang dari klinik kerana masing-masing sudah terkena selesema gara-gara malam semalam. Pagi tadi teruk dia dan Zara Alisha dikenakan oleh geng 3 + 1 itu. Sama sekali tidak menyangka perbuatan mereka malam tadi diketahui oleh empat beranak itu.
Memandangkan ada masa terluang, Inderawan memberikan cadangan untuk makan tengah hari di rumah Hannum. Dia mahu memberikan kejutan kepada ibunya. Mereka semua sudah berpakat. Dato’ Mansoor, Raudhah, Shaqir dan Naqiuddin akan ke rumah Hannum sewaktu makan tengah hari nanti.
Zara Alisha memandang sekeliling. Matanya secara tidak sengaja tertumpu kepada seseorang yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri. Gadis itu berkepul-kepul mengeluarkan asap daripada mulutnya. Tidak lama kemudian ada seorang lelaki datang dan segera memeluk gadis itu. Hati Zara Alisha seperti terusik apabila melihat pelakuan pasangan tersebut. Timbul satu perasaan menjengkelkan melihat kemesraan mereka berdua. Zara Alisha merasakan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan di khalayak ramai.
Satu perasaan yang lain juga timbul apabila melihat mereka sekali lagi. Zara Alisha merasakan gadis itu seperti pantulan bayangan dirinya sendiri. Tidak lama dahulu, dia seperti gadis itu. Perkataan bebas menjadi pegangan dalam hidup. Semakin tinggi dia terbang, semakin hebat hidup ini dirasakan.
“Zara Alisha binti Ramli, tolong jangan nak tegakkan benang yang dah basah. Aku rasa kau dah boleh fikir dan aku rasa kau juga tahu yang kau berada di pihak yang salah. Tapi kau ni mengada-ada. Ego tinggi. Dari kecil selalu dapat apa yang kau nak. Kau tak suka kemahuan kau ditolak. Betul tak?”
Suara Inderawan bergema di khayalannya. Sememangnya itu sifat diri Zara Alisha. Dia pantang jika keinginannya dibangkang.
“Kalau ikutkan hati aku, aku memang tak nak pedulikan kau. Kau nak buat apa suka hati kau. Aku bukan pedulikan kau, tapi aku tak nak orang lain pandang kau rendah. Aku tak nak orang anggap kau tu macam perempuan murahan sebab kau isteri aku. Kalau isteri aku bukan Zara Alisha binti Ramli, aku biarkan aje mamat tu usung kau.”
Susunan ayat Inderawan pada malam itu terus-menerus menyerang bernak fikirannya. Ia menyerang bertubi-tubi tanpa ada belas kasihan.
“Aku tak nak orang anggap kau tu macam perempuan murahan sebab kau isteri aku.”
Tutur kata itu yang paling jelas berkumandang. Tanpa dia sedari, perasaan bersalah terhadap diri sendiri mula tersuntik ke jiwanya. Aku serendah itu ke? Aku ni perempuan murahan ke? Layak ke aku nak jadi isteri dia? Pelbagai soalan muncul. Hatinya sebak.
Zara Alisha melangkah lesu. Suara alunan ayat suci al-Quran kedengaran di sebuah kedai. Kedai itu selang beberapa buah dari pasar raya tadi. Tanpa berfikir terlalu lama, Zara Alisha melangkah masuk ke kedai itu. Gantungan kain telekung menyejukkan penglihatannya. Zara Alisha menyentuh lembut kain putih tersebut.
“Akak nak beli telekung ke?” soal pembantu kedai itu setelah melihat Zara Alisha berdiri lama di situ.
Zara Alisha segera mengesat air matanya yang hampir mengalir.
“Akak tak ada apa-apa ke? Akak menangis ya?”
Tangan Zara Alisha pantas menyentuh dadanya sendiri. Terasa sesak dan sebak pada bahagian itu. “Tak apalah, adik. Akak tengok-tengok aje.”
Gadis yang memakai tudung labuh berusia lingkungan 20-an itu tersenyum tatkala mendengar jawapan Zara Alisha.
“Maaf kalau kata-kata saya ni menyinggung perasaan akak. Saya tahu saya tak kenal akak, tapi daripada pandangan mata akak saya dapat rasakan ada satu penyesalan. Kalau akak nak tahu, penyesalan itu adalah satu anugerah yang tak terhingga daripada Allah. Di mana penyesalan itulah akan membawa kita ke jalan yang diredai. Allah tak bagi kat semua orang peluang ni. Hanya orang yang terpilih sahaja Dia kasi.”
Zara Alisha tergamam. Ketarakah raut penyesalan itu pada wajahnya?
“Akak, semua orang pernah buat silap. Kita memang selalu lupakan Dia, tapi Dia tak pernah lupakan kita. Sesungguhnya di sebalik kalimah basmallah itu membawa maksud dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah kerana masih lagi mahu membenarkan hamba-Nya bernafas meskipun kita lalai. Saya pun dulu bukannya baik. Selalu inginkan kebebasan, tidak suka dikongkong dan selalu melawan kata-kata ayah dan ibu. Tapi, Allah telah menarik segala nikmat itu dalam sekelip mata. Allah lebih sayangkan mereka. Dari situ timbul penyesalan di hati saya dan penyesalan itu membawa perubahan kepada diri saya.”
Zara Alisha mengukir senyuman kelat apabila mendengar cerita daripada gadis itu. Air matanya sudah bertakung, tetapi dia segera menyapu air mata itu daripada gugur ke bumi. “Boleh bagi akak satu telekung?”
“Boleh, kak. Nanti saya ambilkan yang dalam plastik.” Gadis itu tesenyun apabila mendengar permintaan pelanggannya.
“Adik, satu lagi…”
“Ya, kak?”
“Ada jual tak buku panduan bagaimana hendak melakukan solat?”
Gadis itu mengangguk perlahan.
“Kalau buku menjadi isteri yang baik dan solehah?”
“Itu pun ada. Nanti saya bawakan beberapa buah untuk akak ya? Nanti akak boleh pilih yang mana satu akak nak.”
Senyuman Zara Alisha semakin melebar tatkala mendengar balasan daripada gadis tersebut.

Bonda tak sangka hari ni anak-anak bonda makan semeja dengan bonda.”
“Raudhah pun tak sangka. Ni idea Abang Indera.”
“Betul tu. Shaq rasa kalau Abang Indera dengan Kak Alice tak main hujan semalam, mesti hari ni kita tak dapat rasa sambal tumis udang petai bonda yang meletup ni.”
Inderawan dan Zara Alisha sama-sama tersedak. Hampir terkeluar makanan yang baru dikunyah tadi.
“Que sokong apa yang Shaq cakap tu.”
“Kau orang bertiga ni memang tak berubah perangai sejak dari dulu. Dari tadi asyik menyakat Abang Indera dengan Kak Zara ni. Zara, Indera, minum air masak tu,” suruh Hannum namun jauh di sudut hatinya geli hati apabila mengetahui anak dan menantunya itu seperti keanakan bermain hujan.
“Isy, kau orang bertiga ni tak tahu ke? Kan Indera dengan Alice ni berjimat cermat. Tak nak membazir air. Betul, kan?” usik Dato’ Mansoor pula.
“Ha… bonda tengok. Tok ayahanda pun sama juga. Kalau nak tahu tok ayahanda nilah ketua sebenarnya,” ucap Naqiuddin.
Hannum hanya mampu tersenyum. Begitulah kemeriahan keluarganya suatu ketika dahulu. Rindu benar rasanya untuk merasai saat-saat bahagia di samping anaknya semula. Alangkah baiknya jika Zulqarnain turut ada ketika itu.
Zara Alisha menepuk-nepuk dadanya sendiri. Dia terus meneguk laju air masak yang berada di hadapannya itu. Inderawan berpura-pura seperti tidak mendengar usikan mereka. Dia sendiri tidak tahu bagaimana peristiwa malam tadi boleh berlaku. Semuanya terjadi mengikut kata hati. Setelah merasa sedikit lega kerana tersedak tadi, Inderawan segera mengunyah laju nasi yang berbaki. Tidak tahu perkataan apa yang patut dikeluarkan untuk membidas. Deraian ketawa yang berada di meja makan terhenti apabila mendengar suara orang memberi salam.
“Eh, siapa pula yang datang tu?” soal Hannum.
“Tak apa, bonda, biar Inderawan pergi tengok. Rasanya Haqimi tu.”
“Haqimi? PA Indera dengan Nine tu ke?”
“Indera minta Haq bawa semua dokumen yang Indera kena semak sambil tu Indera ajak dia makan tengah hari dengan kita.” Inderawan bingkas bangun. Hatinya sedikit lega. Dia dapat melarikan diri daripada terus diusik.
Inderawan ke dapur untuk mencuci tangan, kemudiannya dia menuju ke pintu hadapan.


Zara Alisha mengelap tangannya yang basah setelah selesai membantu Hannum di dapur. Kalau diikutkan, Zara Alisha sememangnya tidak biasa melakukan semua kerja itu. Jika di rumahnya, semua orang gaji yang lakukan. Tetapi Zara Alisha melihat ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik perkara tersebut. Kerukunan dan kemesraan yang terjalin antara mereka berpunca daripada sifat bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, sewaktu memasak tadi Hannum sempat mengajarnya cara-cara untuk memotong bahan yang ada. Dari situ Zara Alisha dapat merasakan hubungan yang mesra dan kasih sayang ibu mertuanya. Begitu juga dengan Raudhah. Raudhah menolongnya mencuci pinggan sambil berbual tentang kerenah adik-beradik iparnya.
Dari tempat Zara Alisha berdiri, dia melihat susuk tubuh itu yang berada di ruang tamu. Dia memerhati Inderawan sambil bibirnya menguntum senyuman. Inderawan dan Haqimi sedang fokus berbincang. Dato’ Mansoor juga turut serta. Walaupun dia telah menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada anak dan cucunya, tetapi Dato’ Mansoor masih lagi pemilik syarikat itu. Sekali-sekala Dato’ Mansoor juga perlu mengetahui perkembangan Taming Sari Berhad.
Mata Zara Alisha seperti tidak mahu melepaskan raut wajah Inderawan. Riak wajah itu penuh dengan karisma dan serius apabila membincangkan soal kerja. Inderawan mengangguk seketika apabila mendengar penjelasan Haqimi. Memang jelas Inderawan sangat mementingkan hal Taming Sari Berhad. Padahal dia cuti kerana kurang sihat, tetapi fikrannya masih lagi memikirkan warisan datuknya itu.
Peristiwa malam tadi tiba-tiba sahaja muncul. Jika dia membandingkan Inderawan ketika itu dan pada saat ini sangat jauh bezanya. Di awal perkenalam mereka, Zara Alisha menyifatkan Inderawan sebagai seorang yang bersifat dingin, pemarah, degil, keras kepala dan terlalu banyak peraturan. Namun, dia tahu di sebalik semua sifat itu ada terselit Inderawan yang hangat, mesra, pelindung dan paling penting sangat menghormati seorang wanita. Zara Alisha juga tidak menyangka Inderawan yang tegas itu juga pandai bergurau dan mengenakan dirinya.
“Apa yang Zara senyumkan sampai ke telinga tu?” tegur Hannum.
“Eh, bonda. Tak ada apa-apa.”
Hannum memerhatikan arah pandangan menantunya itu. Dia tahu apa sebabnya.
“Indera memang macam tu. Bila dah cakap pasal kerja, memang dah tak ingat orang sekeliling. Terlalu fokus. Zara kena sabar sikit dengan sifat Indera. Indera tiba-tiba jadi sangat tegas sejak peristiwa bonda dan ayahanda dia bercerai. Indera terlalu melindungi orang-orang yang dia sayang. Dia tak nak orang lain ada perasaan sedih hanya sebab dia. Bonda tahu, dia berpura-pura kuat pada pandangan mata kasar, tapi hakikatnya hati dia yang paling lemah.”
Zara Alisha segera memegang tangan Hannum.
“Bonda tahu perkahwinan kamu ni diatur oleh keluarga, tapi bonda harap sangat Zara dapat jaga dia. Bonda dah mula nampak Indera tersenyum. Kalau bukan sebab Zara, tak mungkin dia balik semula ke rumah tu untuk menghadapi kenyataan hidup dia selama ni. Bonda dapat rasa selama ini Indera cuba lari, tetapi semakin jauh dia lari semakin sukar dia nak terima kenyataan di atas apa yang telah berlaku. Bonda harap Zara akan terus mengukir senyuman pada wajah Indera.”
Zara Alisha tertunduk malu. Segan dan terharu apabila Hannum mengatakan yang dia menjadi punca Inderawan sudah mula tersenyum. “Zara tak ada buat apa-apa pun, bonda. Mungkin Indera dah boleh terima apa yang dah terjadi. Zara dengan Indera pun baru lagi. Zara masih lagi cuba untuk kenal dia.”
“Apa kata Zara pergi naik atas, pergi bilik Indera? Bonda rasa Zara akan lebih kenal siapa Tuah Inderawan sebenarnya.”
“Boleh ke Zara masuk bilik Indera?”
“Apasal tak boleh pula? Zara isteri dia. Bonda rasa dia tak kisah. Cuma jangan sepahkan bilik tu. Tu pantang larang dia. Lagipun kalau Zara tunggu Indera kat bawah ni, menguap panjanglah jawabnya. Bonda pasti sangat, mesti lama perbincangan dia orang tu.”
Zara Alisha merasakan cadangan ibu mertuanya itu agak baik.
“Bilik Indera mana satu ya? Bilik belakang ke?” teka Zara Alisha.
“Bilik Indera kat depan. Bilik utama.”

Perlahan-lahan tangan itu membuka pintu bilik Inderawan. Jelas bau cat dan warna air menusuki ke deria baunya. Zara Alisha memerhatikan sekeliling. Dinding bilik itu dicat dengan warna biru laut dan dipadankan dengan warna putih susu. Ada dua buah lukisan abstrak digantung pada dinding. Kaki Zara Alisha menuju ke rak. Buku mengenai hiasan reka dalaman dan seni lukisan tersusun kemas.
Terdetik di hati Zara Alisha untuk mengambil salah satu buku yang ada di rak itu. Buku yang bertulis Karim Rashid Evolution menarik perhatian Zara Alisha. Tetapi dia segera membatalkan niatnya.
“Eh, tak boleh ambil. Nanti bersepah pula. Nanti dia perasan. Tak boleh, tak boleh,” omel Zara Alisha sendiri. 


Pandangan Zara Alisha tertarik pada lukisan yang berada di stand kayu itu. Stand kayu itu terletak berhampiran dengan pintu keluar ke beranda. Tanpa berfkir panjang, Zara Alisha menguak pintu itu. Kawasan lantai beranda itu dipenuhi dengan beberapa titisan cat pelbagai warna.
“Encik Pendekar ni suka melukis kat luar rupanya. Patutlah bilik dia kat sini. Mesti dia suka lukis sambil ambil angin malam,” ucap Zara Alisha sendiri sambil matanya memerhati lukisan sang rembulan di langit yang berada di stand kayu tersebut.
Dia sama sekali tidak tahu hobi Inderawan adalah melukis. Agak terkejut apabila mengetahui Inderawan di sisi yang lain dan lain pula ceritanya dengan Zara Alisha. Gadis itu sangat meminati hasil tangan sang pelukis jalanan. Sama seperti dia mengagumi pelukis jalanan di Arked Jaya suatu ketika dahulu.
Hari itu Zara Alisha baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur kerana bercuti bersama Tisha dan Danny. Niat asalnya pada saat itu mahu bersiar-siar sebelum pulang ke rumah, tetapi matanya terpaku tatkala melihat lukisan yang terpampang di tepi susur pejalan kaki. Lebih-lebih lagi lukisan seorang lelaki seolah-olah sedang berjalan berjalan melalui sebuah lorong ketika matahari terbenam.
Perasaan terkejut Zara Alisha berganda apabila sekali lagi dia dapat melihat lukisan itu berada di dalam kamar Inderawan. Pandangan Zara Alisha kaku di situ.
“Ni bukannya lukisan kat Arked Jaya ke? Maknanya lukisan ni…”
Pernah Zara Alisha datang kembali ke tempat itu untuk melihat dan membeli lukisan tersebut, tetapi lukisan itu sudah tidak terpampang dan pelukisnya juga tiada di situ. Cari punya cari, akhirnya keretanya juga yang rosak gara-gara dia ponteng kuliah pada petang itu. Dia menyangka hasrat untuk melihat lukisan itu sekali lagi terkubur, namun hari ini ia berada di hadapannya.
Zara Alisha membayangkan lelaki dalam lukisan itu ialah Inderawan. Dia membandingkan perjalanan hidup suaminya dan juga bayang lelaki yang terhasil pada kertas tersebut. Ternyata apa yang Inderawan alami terluah tanpa ada suara. Suara hatinya kedengaran di atas kertas putih. Sememangnya itulah Tuah Inderawan.
Zara Alisha cuba membelek lagi lukisan lain yang ada. Ternyata ada satu lagi hasil tangan Inderawan yang menyentuh hatinya. Lukisan seorang ayah sedang memimpin anak kecilnya berjalan, berjaya membuatkan jiwa halus seorang anak terusik. Ada sesuatu yang tertulis di hujung bahagian kanan bawah lukisan itu.


Tak terluah, tak terkata. Genggaman dan kasih sayangmu yang paling kurindui.


No comments:

Post a Comment