Stylo Clique ^_^

Friday, November 1, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 28

BAB 28

Saat hati ini mula terusik, jiwa mendengar suaramu sedang membisik.

Inderawan terjaga sebaik sahaja ada sentuhan lembut menggerakkan tubuhnya. Ubat selesema yang ditelannya sebelum tidur malam tadi benar-benar memberi kesan pada tubuh Inderawan. Kepalanya merasakan begitu berat untuk diangkat. Dengan kudrat yang ada, sedaya upaya Inderawan cuba membuka matanya.
Sebaik sahaja dia mencelik mata, Inderawan bingkas bangun. Tangan Inderawan meraba sesuatu di bawah bantal. Inderawan mengambil telefon bimbitnya lalu melihat waktu yang tertera pada skrin itu. Matanya terbeliak apabila waktu sudah menjengah pukul 7.00 pagi.
“Astaghfirullah al-azim. Subuh ‘gajah’ jawabnya aku ni.”
Inderawan laju menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia melakukan solat subuh terlebih dahulu biarpun terlambat. Inderawan sama sekali tidak akan melupakan tanggungjwabnya yang satu itu. Setelah selesai memberi salam dan berdoa, Inderawan mencapai tualanya dan pergi membersihkan diri.
Selang sepuluh minit kemudian, Inderawan keluar daripada kamar mandinya. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja ada pakaian lengkap siap bergosok terbentang kemas di atas katil.
“Bila masa aku suruh bibik gosokkan baju aku ni?” Inderawan bermonolog sendiri sambil memerhatikan pakaian itu.
“Eh, aku tak suruh pun. Takkanlah bibik pandai-pandai ambil kat almari ni pula? Hebat sangat bibik tu kalau pandai mix and match baju pejabat aku ni. Pakai ajelah, Indera. Kau dah lambat ni.”
Kemeja biru pekat seakan-akan gelap berjalur putih itu dipadankan dengan seluar berwarna putih. Tali leher putih susu menjadi pelengkap gayanya pada hari itu. Inderawan mengenakan haruman Ralph Lauren Polo Blue ke tubuhnya. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, dia segera menguak pintu lalu menuruni anak tangga itu dengan langkah yang laju kerana sudah agak lewat daripada waktu biasa dia ke pejabat.
Dari meja makan, Zara Alisha dapat menghidu bau minyak wangi kegemaran suaminya. Dato’ Mahmood dan Tria sedang enak bersarapan.
“Indera, tak sarapan dulu?” soal Dato’ Mahmood apabila Inderawan langsung tidak menjeling ke ruangan makan.
Tria juga sempat mencuri pandang Inderawan. Hatinya menjadi tidak keruan tatkala melihat Inderawan. Perasaannya bertambah cemburu terhadap Zara Alisha kerana gadis itu sepertinya berjaya mengubah perasaan Inderawan. Peristiwa kolam renang tempoh hari sudah sampai ke telinganya. Terasa meluat apabila dia bertanyakan kepada Raudhah hal kolam renang itu. Tria tidak mahu kedudukannya di hati Inderawan tergugat.
“Indera dah lambat, ayahanda. Semalam Indera dah cuti, jadi hari ni Indera nak masuk pejabat cepat sikit,” balas Inderwan sambil mencapai topi keledar yang terletak di atas rak berhampiran dengan pintu masuk.
“Awak…” panggil Zara Alisha.
Apabila mendengar jawapan Inderawan, Zara Alisha bangun lalu menuju ke arah suamiya.
Awak? Aku salah dengar ke? detik hati Inderawan.
“Betul awak tak nak makan dulu?”
“Kau tanya aku ke?” Inderawan berbisik ke telinga Zara Alisha.
“Yalah. Mulai hari ni saya nak panggil awak, awak. Boleh, kan?”
Tangan kanan Inderawan menyentuh dahi Zara Alisha. “Tak baik selesema lagi, dah demam pula? Eh, tak panas. Sihat ke tak ni?”
“Sihat.”
Terdetik hati Inderawan memandang ke meja makan. Dia seperti dapat menghidu sesuatu. “Kau buat semua ni sebab nak kenakan Tria ke?”
Zara Alisha membalas dengan senyuman. Hatinya terasa girang kerana melihat penampilan suaminya pada pagi itu.
“Boleh hulurkan tangan yang selalu awak guna untuk makan?” pinta Zara Alisha.
Terkebil-kebil mata Inderawan mendengar kehendak Zara Alisha. Tanpa banyak bicara, Inderawan menghulurkan tangan itu. “Aku selalu pakai tangan kananlah. Kenapa?”
Kedua-dua tangan Zara Alisha menyambut tangan kanan Inderawan. Zara Alisha mengucup lama.
Inderawan terkesima dengan tindakan gadis itu. Tidak pernah Zara Alisha melakukan perkara itu sepanjang perkahwinan mereka. Selalunya Zara Alisha masih lagi terbaring di atas katil, enak dibuai mimpi.
“Hati-hati tunggang motor tu,” ucap Zara Alisha setelah selesai bersalaman.
“Okey. Insya-Allah. Ab… Abang… Eh… Aku… Eh… Saya pergi dulu. Nanti hati-hati pergi kolej.” Inderawan segera menyarung topi keledar itu ke kepalanya. Malu kerana tersasul. Tidak tahu bagaiman perkataan ‘abang’ itu boleh terpacul keluar daripada bibirnya. Mukanya tiba-tiba sahaja terasa hangat. Ada debaran yang berlaku semasa mereka bersentuhan tadi.
“Awak, terima kasih sebab pakai kemeja yang saya gosok. Awak nampak handsome bila pakai macam ni.”
Inderawan membatalkan niatnya untuk beredar. Dia terkejut. Rupa-rupanya kelengkapan dirinya pada pagi itu disediakan oleh Zara Alisha. Inderawan menatap wajah Zara Alisha. Seperti antara percaya dengan tidak. Inderawan menanggalkan semula topi keledarnya.
“Kenapa?” tanya Zara Alisha, kehairanan.
Inderawan merapatkan dirinya dengan Zara Alisha. Hatinya meronta untuk melakukan tindakan itu. Inderawan menyentuh lembut dagu isterinya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Inderawan membenamkan bibirnya di dahi Zara Alisha sebagai tanda pernghargaan kepada isterinya itu.
Indera, betul ke apa yang kau rasa ni? Kau pasti ke dengan perasaan kau ni? Atau semuanya hanya sebab nafsu kau? Indera, jangan bertindak apa-apa selagi kau tak yakin dengan diri kau. Tangan yang berada di dagu beralih kepada pipi kiri Zara Alisha.
“Terima kasih,” ucap Inderawan. Bibir Inderawan seperti mahu mengukir senyuman, tetapi dia segera menyekat dirinya daripada melakukan perkara itu.
“Awak nampak lagi handsome kalau senyum.”
Terpejam celik mata Inderawan apabila mendengar pujian Zara Alisha dan akhirnya wajah itu tersenyum lalu dia segera beredar.
Zara Alisha memerhati langkah Inderawan sehingga lelaki itu hilang daripada pandangannya. Zara Alisha menyentuh pipinya sendiri.



“Pegang pipi aje?” Tidak semena-mena peristiwa kelmarin menggamit fikirannya. Zara Alisha tahu, besar kemungkinan pengalaman masa lampau membuatkan Inderawan serik untuk mencari penghuni hati. Luka yang terparut di hati Inderawan terlalu dalam.
Zara Alisha sendiri tidak tahu apa yang akan dia lakukan jika dia berada di tempat Inderawan. Tetapi Inderawan berbeza. Dia masih lagi mampu berhadapan dengan kenyataan itu sendiri, malah masih lagi boleh tinggal sebumbung dengan orang yang telah menyebabkan hati itu terhiris dengan pedihnya.


Ting! Pintu lif ke tingkat dua itu terbuka. Kaki itu melangkah keluar, otaknya ligat berputar peristiwa di rumah tadi. Dia berjalan ke bilik pejabatnya sambil topi keledarnya dikendong ke sisi kiri.
“Aku handsome pakai baju ni? Macam mana boleh terkeluar perkataan abang tadi? Buang tabiat ke apa aku ni?”



Inderawan menepuk perlahan dahinya sendiri. Malu apabila lidahnya tersasul menggelar dirinya dengan panggilan tersebut kepada Zara Alisha. Namun perlahan-lahan bibirnya melengkung ke atas. Tangan kanan yang menepuk dahinya ditenung lama. Masih terasa kehangatan bibir Zara Alisha di situ.
Farah yang berada di meja penyambut tetamu memerhati Inderawan dari jauh. Agak kehairanan tatkala melihat anak majikannya itu berdialog dengan diri sendiri. Dia sememangnya tidak berani untuk bertegur sapa dengan anak sulung Dato’ Mahmood. Inderawan pasti akan menampilkan wajah serius setiap kali masuk ke pejabat. Jauh bezanya dengan Zulqarnain. Zulqarnain banyak celoteh dan keletah. Boleh jadi gamat dan meriah jika lelaki mat salih Itali itu berada di tingkat dua. Ada sahaja pujian dan gurauan yang akan diberikan oleh Zulqarnain. Semua gadis yang bertentang mata dengan Zulqarnain akan tersenyum apabila mendengar Zulqarnain memuji mereka.
“Selamat pagi, Farah,” ucap Inderawan sambil tersenyum.
Mahu tersembul biji mata Farah apabila mendengar suara Inderawan menegurnya. Mimpi ke?
“Se… Selamat pagi Encik Indera.”
“Ada sesiapa cari saya pagi ni?”
“Tak ada. Encik Indera ada mesyuarat ke?”
“Tak ada apa-apa. Saja aje tanya. Saya masuk pejabat dulu. Terima kasih.”
Senyuman tidak lekang daripada bibir Inderawan. Langkah Inderawan seperti penuh semangat. Pandangan pelik Farah menemani langkah itu.
“Apa yang awak tengok tu, Farah?” soal Haqimi yang baru sahaja sampai.
“Haq, semalam Encik Indera tak datang sebab apa?”
“Kenapa awak tanya?”
“Tadi dia cakap selamat pagi dan terima kasih kat saya, padahal saya tak ada buat apa-apa pun. Bukan selalu muka dia masam aje ke? Encik Indera tu demam ke?”
“Dia cakap selamat pagi? Buang tabiat ke apa bos aku ni? Selalu tak nak beramah mesra. Tak apa, lebih baik saya pergi tengok dia. Baru semalam tak datang pejabat, hari ni terus tak betul?” Haqimi segera menuruti langkah Inderawan.
Inderawan sudah pun melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Dia meletakkan topi keledar di atas rak yang berada di belakang meja. Inderawan melihat Haqimi mengetuk pintu kacanya.
“Selamat pagi,” ucap Inderawan dengan nada ceria.
“Amboi, selamat pagi bagai. Selalunya tak ada pagi yang selamat kalau aku jumpa muka kau. Ayat pertama yang akan keluar, apa program hari ni? Aku ada mesyuarat kat mana? Projek mana kita kena tengok? Fail mana aku kena semak? Dokumen apa aku kena sign? Hari ni bos cakap selamat pagi kat aku? Keajaiban kelapan telah berlaku nampaknya.”
“Entah, aku rasa hari ni agak bersemangat. Lain macam aje. Agaknya sebab semalam aku cuti.”
“Semalam cuti hari ni semangat? Aku rasa ada sebab lain ni.” Haqimi memerhatikan penampilan Inderawan seketika. Agak berlainan sedikit. Seperti ada sesuatu aura yang menghiasi wajah itu.
“Sebab apa, Haq?” tanya Inderawan sambil melabuhkan punggungya ke kerusi.
“Tema biru putih hari ni. Kau nampak berseri-seri bila pakai macam ni.”
“Nampak handsome? Zara Alisha yang pilih.”
“Woo… Zara Alisha yang pilih? Bukannya masa ni minah tu berdengkur lagi ke? Ke ni kes pasal kat kolam renang? Sebab tu sampai selesema.”
Bulat mata Inderawan kerana terkejut tatkala mendengar kenyataan pembantu peribadinya itu. Inderawan segera menutup pintu  bilik.  “Kau pun tahu pasal ni? Macam mana kau tahu?”
“Adalah.”
“Lebih baik kau beritahu.”
Haqimi segera membuat mimik muka seperti mahu mengelak.
“Aku rasa ada orang dalam beritahu ni. Raudhah?”
Haqimi menggaru-garu kepalanya. Pada awalnya dia mahu mengenakan Inderawan, tetapi kini sudah terbalik jadinya.
“Betullah tu. Raudhah, kan? Kau ada apa hubungan dengan adik aku? Kau jangan main-main, Haq.”
“Eh, mana ada abang.”
“Tengok, belum apa-apa lagi dah panggil aku abang.” Inderawan berpura-pura seperti tegas. Mahu ketawa pun ada juga apabila melihat Haqimi menggelabah.
“Aku dengan Raudhah tak ada apa-apa. Betul. Aku baru nak kenal-kenal dengan dia. Takkan tu pun tak boleh, bang?”
“Sudahlah kau. Nasib baik hari ni mood aku baik. Kau jangan ungkit lagi pasal kolam renang tu. Kalau tak aku tak kasi kau kawan dengan adik aku.”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata Inderawan, tangan kanan Haqimi laju ke atas seperti orang sedang berikrar. “Okey, bang. Aku janji tak akan cakap hal kolam renang tu. Tapi apa salahnya kan apa yang jadi kat kolam tu. Nampaknya ada orang dah berganti hati.”
“Kau jangan nak panggil aku abang. Geli telinga aku ni.”
Akhirnya mereka sama-sama ketawa.
“Aku suka tengok kau dah berubah macam ni. Kau dah mula pandai senyum. Sejak kes Tria dulu, sampai hari ni aku baru nampak muka kau tu ada serinya. Baguslah.”
“Entahlah. Aku pun tak pasti. Aku dah tak percaya dengan perasaan ni sejak Tria hancurkan segala-galanya.”
“Bukan semua perempuan macam Tria, Indera. Kalau semua macam Tria, alamatnya dah tualah lelaki baru dapat kahwin. Itu pun kalau ada duit. Kalau spesies macam aku ni, kais pagi makan pagi, jawabnya memang tak kahwinlah.”
Inderawan senyum melebar sambil menggelengkan kepala. Kata-kata Haqimi itu berbau sindiran, tetapi ada jenakanya.


“Tengok, hari ni dah berapa kali aku nampak gigi kau tu. Senyum tak sudah. Pagi tadi kau buat apa aje? Ke malam tadi?”
“Kau jangan nak merepek. Tak ada apa-apa pun, tapi bila difikirkan balik dia memang ada buat sesuatu kat jiwa dan hati aku yang kosong selama ni.”
Haqimi mencebik. Dia menyandarkan belakang tubuh ke rak yang tinggi paras pinggangnya itu. Haqimi berpeluk tubuh sambil menyilang kaki. Wajahnya mempamerkan rasa penuh minat untuk mendengar cerita Inderawan.
“Aku tak tahu macam mana nak mulakan. Semuanya tiba-tiba. Aku nampak kekurangan dia dan dia pun nampak kelemahan aku. Tapi tanpa aku sedar semua tu menjadikan aku lebih mengenali siapa dia. Dia terlalu degil, selalu buat aku marah, suka buat keputusan tanpa berfikir panjang, tapi bila dia tahu masalah aku, dia yang tenangkan aku. Seolah-olah daripada seorang gadis yang mengada-ada, bertukar menjadi seorang pemberi semangat. Selain kau dengan bonda, dia adalah orang ketiga yang membuatkan aku bertindak untuk menghadapi takdir aku. Dia buatkan aku berhenti dan membuka pendengaran aku terhadap suara sekeliling. Hidup ni bukan untuk aku aje, tapi untuk orang-orang yang aku sayang.”
Inderawan menekup mukanya sambil menyengih sendiri. Dia tidak percaya yang dia mengeluarkan kata-kata itu.
“Seorang gadis yang bertindak mengikut kehendak hati mampu mengubah hati Inderawan yang keras macam batu?”
“Bukan hati batu, tegas.”
“Baiklah, bos. Masih tak nak mengaku lagi? Sudahlah. Aku nak pergi buat kerja.”
Haqimi sudah menuju ke pintu untuk beredar.
“Luthfi Haqimi,” panggil Inderawan.
Haqimi menoleh. “Ya, bos.”
“Kau serius dengan Kasturi Raudhah?”
“Kenapa kau tanya?”
“Pertanyaan daripada seorang abang.”
“Aku serius, Indera. Aku nak kenal dengan dia lebih rapat. Kau jangan risau, Aku tak akan permainkan perasaan dia.”
“Aku tak risau sangat pasal Raudhah sebab aku tahu siapa kau. Tapi aku risaukan kau.”
“Risaukan aku?”
“Kau tahu kan siapa bakal bapa mertua kau kalau kau serius dengan Raudhah?”
Haqimi menghela nafas panjang. Sudah lama dia memikirkan risiko itu kalau dia berniat untuk bersama Raudhah. Dia memandang tepat ke mata Inderawan.
“Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” ucap Haqimi dengan nada yang yakin. Dia menggenggam tangan kanannya lalu menumbuk perlahan ke dadanya sendiri sebagai tanda seorang lelaki sejati yang berani berjuang.

Belum lagi Inderawan membuka pintu utama banglo itu, sudah kedengaran suara gelak ketawa dari ruang tamu. Termasuk hari itu, sudah empat hari peristiwa kolam renang itu berlalu. Nasib baik geng 3 + 1 sudah tidak menyakat dirinya dan Zara Alisha lagi. Inderawan menguak pintu perlahan lalu meletak topi keledarnya di tempat biasa.
Dato’ Mansoor yang turut ada di ruangan itu memandang ke arah jam dinding. Waktu sudah melepasi pukul 10.00 malam.
“Eh, Abang Indera baru balik? Abang, sinilah. Kita tengok TV sama-sama. Cerita P. Ramlee ni, kegemaran tok ayahanda,” ajak Shaqir tatkala mendengar bunyi pintu ditutup.
“Amboi, macam kat pasar borong rasanya bila adik-adik abang ni tengok TV. Tengok cerita apa?”
“Tak ada, tengok cerita Labu Labi ni. Padahal dah tengok banyak kali cerita ni, tapi masih lagi kelakar,” jawab Naqiuddin.
Inderawan menanggalkan tali lehernya yang memang sudah longgar itu lalu menghenyakkan tubuhnya ke sofa.
“Lambat kau balik Indera? Banyak kerja ke kat pejabat tu?” aju Dato’ Mansoor kepada Inderawan.
“Ada masalah sikit kat tempat renovate bangunan tu.”
“Serius ke, Indera?”
“Buat masa ni tak ada apalah, tok ayahanda. Indera boleh kawal keadaan lagi. Tok ayahanda janganlah risau.”
“Masalah pasal barang kurang berkualiti ke? Tak silap dah dekat tiga kali kan klien repot pasal hal ni?” celah Raudhah.
“Eh, mana Raudhah tahu pasal ni?”
“Raudhah tahulah. Kan Raudhah kat bahagian kewangan. Masa nak membuat pembayaran dengan pembekal macam ada masalah sikit sebab hal tu.”
“Ya ke? Tapi yang peliknya baru hari ni kejadian yang ketiga tu berlaku petang tadi. Kenapa Raudhah dah tahu ni? Setahu abang, Haqimi aje yang tahu.”


Raudhah berpura-pura tidak dengar lalu mengambil alat kawalan jauh. Dia mengalih siaran.
“Kak Raudhah, apasal tukar siaran tu? Kan cerita best tu,” marah Shaqir.
“Alah, kan tengah iklan. Kejap lagi akak kalih baliklah.”
“Raudhah, lebih baik Raudhah cakap dengan abang macam mana Raudhah boleh tahu,” sakat Inderawan. Sengaja Inderawan mahu memancing Raudhah supaya mendedahkan rahsia itu. Inilah peluang yang dia ada untuk mengenakan adiknya itu kerana selama ini dia sahaja yang terkena.
“Apa dia, abang? Raudhah tengah tengok cerita ni.”
“Kak Raudhah sengaja, kan? Mana ada akak tengok cerita. Kalih-kalih siaran adalah. Akak tak jawab pun soalan Abang Indera tu.” Naqiuddin mula mengesyaki sesuatu.
“Mana ada.” Raudhah berpura-pura fokus terhadap tontonannya.
“Okey, kalau tak nak beritahu biar abang yang beritahu,” ucap Inderawan sambil menjeling tajam wajah adik perempuan tunggalnya itu.
Raudhah sudah mula tidak senang duduk. Tetapi ada timbul kemusykilan di hatinya. Masakan abangnya tahu akan hubungannya dengan Haqimi?
“Kalau semua nak tahu kan, Raudhah sebenarnya dengan Ha…”
Tidak sempat Inderawan menghabiskan susunan ayatnya, tangan Raudhah sudah laju menekup mulut Inderawan.

“Mmm… Mmm…”
Raudhah tidak mahu memberi peluang kepada abang sulungnya itu memecahkan rahsia. Habis, pasti akan disakat oleh datuk dan adik kembarnya.
Inderawan tidak memberikan reaksi menentang. Dia mengangkat kedua-dua tangannya sebagai tanda dia menyerah. Raudhah sudah menyengih kelat lalu duduk semula ke sofa.
“Abang Indera tak cakap pun Que dah dapat agak. Mesti Abang Haqimi, kan?”
“Patutlah masa kat rumah bonda semalam, Shaq nampak ada orang pandang-pandang, jeling-jeling sampai naik juling.”
“Mana ada. Kau orang jangan nak kenakan akak ya? Ooo… masa ni tak nak kira geng. Mana boleh kenakan geng sendiri. Jangan nak memandai-mandai eh. Main hentam teka bolehlah.” Bantal kecil yang menghiasi sofa segera dibaling Raudhah ke arah Naqiuddin dan Shaqir.

“Eleh, mana ada main hentam. Ni cucu Dato’ Mansoorlah. Pandai bestari lagi bijaksana. Dah sah-sah Abang Indera tadi bagi klu,” ujar Naqiuddin dengan wajah berlagak.
“Betullah. Tak payah beritahu pun kita orang dah tahu.” Shaqir juga mengangguk menandakan dia bersetuju. Dia mencebik lalu melemparkan semula bantal itu kepada Raudhah.
“Banyak cakap pula budak kembar ni. Sini kau, biar aku ajar kau orang berdua.”
Sudahnya, perlawanan bantal bermula antara tiga beradik itu. Inderawan memerhati gelagat adik-adiknya sambil ketawa.
“Tok ayahanda, kenapa senyap aje? Ketua geng tak ada nak cakap apa-apa ke?” Inderawan perasan yang datuknya tadi diam seribu bahasa apabila mereka mengenakan Raudhah.
“Tok ayahanda tengah fikir, apa dosa yang dah tok ayahanda buat sampai keluarga kita jadi macam ni. Nampak sahaja luaran kita ni bergelak ketawa, tapi hakikatnya semua serba tak kena. Tok ayahanda ni dah tua. Bila-bila masa aje boleh pergi. Kalau boleh tok ayahanda nak keluarga kita semuanya satu bumbung. Itu hasrat tok ayahanda sebelum tok ayahanda pejam mata.”
“Tok ayahanda, janganlah cakap macam tu.”
Raudhah, Shaqir dan Naqiuddin menoleh ke arah mereka berdua. Sudah tidak kedengaran gelak ketawa apabila Dato’ Mansoor berbicara serius akan hal keluarga mereka. Raudhah segera duduk di sisi sofa memeluk Dato’ Mansoor.
“Kenapa Allah takdirkan keluarga kita tak bersatu? Ayahanda kau orang dengan perangai yang macam tu sampaikan tok ayahanda sendiri tak tahu nak anggap Tria tu siapa. Bonda kamu pula dah jadi orang luar. Masa Indera tak ada, Nine ada. Sekarang Indera ada kat rumah ni, Nine pula hilang entah ke mana. Indera ada cari Nine tak?”
“Tok ayahanda, janganlah cakap macam tu. Bonda masih lagi anggap semuanya macam dulu. Dia masih lagi anggap tok ayahanda macam ayah dia sendiri. Indera ada cari Nine kat semua tempat yang dia pernah pergi, tapi tak ada. Bukan senang kita nak cari orang yang tak nak dijumpai. Lagipun, hati orang yang marah dan merajuk memang jauh dia melangkah. Indera pernah terfikir, mungkin Nine ada pergi Milan, tapi Indera tengok paspot dia masih ada lagi kat bilik.”
“Nine tu lain sikit. Dia memang suka buat tindakan ikut kata hati tanpa berfikir, tapi dia tak akan buat keputusan yang boleh memudaratkan dan menyusahkan diri dia. Kalau Nine pergi Milan, mesti ayahanda kau dah tahu dulu. Ada cuba cari Nine kat kawasan luar? Kat Pahang ke, Melaka?”
“Belum lagi. Tapi Indera yakin yang Nine akan balik tak lama lagi sebab…”
“Sebab ikan tak mampu berenang tanpa air,” pintas Dato’ Mansoor.
Inderawan hanya mampu tersenyum kelat. Dia mengalihkan pandangannya ke sekeliling ruang tamu.
“Eh, baru abang perasan. Kak Zara mana?” Inderawan cuba beralih angin. Dia tidak mahu Dato’ Mansoor dan yang lain bersedih.
“Kak Alice ada kat atas. Lepas makan malam tadi, dia kat bilik. Tak turun-turun. Mungkin dia tunggu abang kat atas kut,” usik Shaqir.
“Huh, sudahlah. Abang nak naik atas. Kerja kau orang ni asyik mengenakan orang aje.” Kali ini giliran Inderawan pula yang melemparkan bantal kecil itu kepada Shaqir.


3 comments:

  1. tak puas baca...tak sabarnya tunggu bulan 12...nak beli novel ni versi cetak ...

    ReplyDelete
  2. terima kasih sebab baca EPMC...
    hihi..sabar sikit aje lagi ya.. :)

    ReplyDelete
  3. yeah..Tuah dah pandai senyum semula...sweet..dan suka sgt kalau haqimi dgn raudah..hihi

    ReplyDelete