Stylo Clique ^_^

Saturday, November 2, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 29

BAB 29

Langkah kaki menjadi diam tatkala bibirmu membisu. Namun jiwa tersenyum tatkala mendengar suara hatimu.

Zara Alisha sudah enak dibuai mimpi. Hari itu tubuhnya terasa letih kerana kelasnya hingga ke petang. Zara Alisha sudah menunjukkan tanda-tanda positif terhadap pelajarannya. Dia sudah tidak lagi ponteng kuliah. Zara Alisha juga sudah pandai mengemas. Dia tidak mahu melihat Inderawan mengamuk tidak tentu pasal hanya kerana bilik mereka berselerak.
Inderawan merenung lama Zara Alisha yang terbaring di atas katil. Timbul tanda tanya di hati kecil Inderawan apabila melihat keadaan isterinya. Zara Alisha lena, tetapi tubuhnya lengkap bertelekung. Tangan Zara Alisha memegang senaskah buku. Perlahan-lahan tangan Indera mengambil buku itu. Terpampang tulisan Panduan Belajar Sembahyang - Perempuan pada kulit hadapan. Perlahan-lahan Inderawan melutut di sisi katil. Hatinya sudah tersenyum terlebih dahulu.
Dia mahu mengusap lembut kepala gadis yang berada di hadapannya, tetapi penglihatannya tertarik kepada sesuatu. Aku Terima Nikahnya - Edisi Istimewa 3 dalam 1 karya Hasrizal Abdul Jamil berada di atas katil bersebelahan dengan Zara Alisha. Inderawan mengambil buku berwarna ungu dan merah itu. Ada lakaran berbentuk hati pada dada muka hadapan naskhah tersebut. Inderawan bangun dan duduk di sisi kati. Dia membelek sekali lalu dan pandangannya terhenti kepada sehelai muka surat. Zara Alisha ada menandakan muka surat itu dengan highlight berwarna hijau.

Perkahwinan menyelesaikan, tetapi ia bukan sekadar sebuah penyelesian
Ia sebuah gagasan. Impian yang memerlukan pandanganmu jauh sampai ke usia tua, sampai cangkul dan tanah memisahkan jiwa, sampai ke kubur, sampai kamu ke syurga.

Inderawan menyelak keseluruhan buku itu sekali lagi. Ada beberapa baris dan susunan ayat lain yang ditanda oleh Zara Alisha.

Jangan biarkan diri kita dipandu emosi semata-mata. Jika pasangan lelaki / perempuan sudah baik agamanya atau yang paling utama, sedia dididik dan mahu belajar, maka terimalah dia seadanya.

Agak lama Inderawan begitu. Dia biarkan tangannya terus mengalihkan helai demi helaian buku itu.

Terimalah seseorang seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredai.

Umpama ada satu angin bayu menghembus ke hati Inderawan. Inderawan memandang lama ayat terakhir itu. Berulang kali dia membaca secara diam susunan mutiara kata tersebut. Inderawan memejamkan mata, cuba mencari apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Dia memandang semula Zara Alisha. Hatinya tersenyum, begitu juga dengan bibirnya. Dia mengusap lembut kepala Zara Alisha. Usapan itu diiringi dengan rasa kasih dan sayang.
Tangan Inderawan mengambil beberapa buah buku lain yang ada lalu diletak di atas meja. Kamera Nikon DSLR milik Zara Alisha berada di situ. Sepanjang perkenalan mereka berdua, Inderawan perasan yang Zara Alisha gemar mengambil gambar. Inderawan mengagak kemungkinan itu hobi Zara Alisha. Terdetik juga di hatinya untuk melihat hasil tangan gadis itu.
Inderawan memandang Zara Alisha, khuatir jika gadis itu terjaga. Akan tetapi apabila mendengar Zara Alisha sudah berdengkur, Inderawan menggelengkan kepala.
“Dia ni memang tak senonoh. Penat sangatlah tu agaknya,” ucap Inderawan sendiri.
Setelah yakin Zara Alisha nyenyak, Inderawan mengangkat perlahan kamera itu. Setelah menekan punat on, skrin empat segi itu menyala. Ibu jari Inderawan menekan anak panah ke kanan. Inderawan tidak dapat merumuskan dengan tepat akan gambar-gambar yang diambil oleh Zara Alisha. Pelbagai bentuk dan situasi telah tersimpan kemas di dalam gadget teknologi itu. Gambar seorang anak kecil dalam usia sepuluh tahun sedang memimpin seorang lelaki buta berjaya ditangkap oleh Zara Alisha. Terdapat juga foto pemandangan langit ketika waktu senja dan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain lecak.
Boleh tahan seni juga isteri aku ni. Semua gambar ada maksudnya tersendiri.
Satu per satu gambar yang ada dibelek oleh Inderawan sehinggalah ibu jarinya berhenti daripada menekan tatkala matanya memandang gambar tersebut. Dirinya terkejut apabila melihat lukisan langit senja itu berada dalam kamera Zara Alisha. Inderawan cuba memerhati dalam-dalam, bimbang jika matanya salah menilai. Berkerut dahi itu memikirkan dan dia yakin tanpa ada rasa ragu-ragu bahawa lukisan itu sememangnya milik dirinya.
Timbul tanda tanya di benak fikiran Inderawan bagaimana hasil jemarinya boleh berada dalam kamera Zara Alisha. Dia cuba memutarkan kembali segala ingatan yang ada. Takkanlah dia ambil masa kat rumah bonda? Masa tu dia tak bawa kamera. Bila masa pula dia ambil? Kenapa pula dia ambil lukisan langit senja ni?
Inderawan memandang skrin itu sekali lagi. Dia cuba mencari klu dan pembayang pada gambar itu untuk menjawab segala persoalan yang ada dan tidak semena-mena suara itu muncul di gegendang telinga Inderawan.
“Aku tak pernah nampak dia sebelum ni. Cantik gila nak mampus kau tahu tak. Dahlah cantik, mengancam pula tu. Rambut dah macam mat salih. Dia cakap bukan senang nak hasilkan lukisan macam kau lukis tu. Seni lukisan tak cukup dengan ilham, kena ada jiwa, perasaan dan naluri. Setiap garisan dan bayang yang terhasil ada makna yang mahu disampaikan. Kadang-kadang meluahkan sesuatu ke atas kertas lebih lantang bunyinya daripada memekik menggunakan bibir. Lukisan ni ada kuasa untuk berbicara walaupun ia bisu. Kalau melukis dengan hati, orang akan tahu apa yang kita rasa. Ha, lebih kurang macam tulah dia cakap. Wah, tiba-tiba aku kagum dengan diri sendiri sebab dapat cakap ayat yang aku sendiri pun tak faham. Kau faham?”
Masih jelas lagi kata-kata itu di otak Inderawan kerana tidak ramai yang mengerti akan pengertian seni yang sama seperti pendiriannya.
“Zara Alisha ke orangnya?” tanya Inderawan sambil memandang isterinya.
Tidak sabar rasanya mahu menunggu matahari memancarkan sinar. Inderawan perlukan kepastian yang jitu. Tanpa ada rasa syak, nama itu sahaja yang terlintas. Dia pasti lelaki itu tahu siapakah gerangan gadis misteri itu.

Bunyi petikan tali gitar sang penghibur jalanan menghinggapi deria pendengarannya. Tarikan nafas udara petang di tempat itu membuatkan setiap sudut jiwanya nyaman seketika. Redup awan yang meliputi langit mendamaikan penglihatan. Sudah lama bernar rasanya dia tidak ke Arked Jaya. Terasa bahagia kerana dapat menjejakkan kakinya sekali lagi ke kawasan itu. Inderawan melangkah perlahan sambil menikmati anugerah daripada-Nya. Sememangnya dia sengaja datang ke tempat itu. Apa yang berlaku semalam, cukup membuatkan fikiran itu terganggu. Dia tidak dapat melelapkan mata dengan lena semalam.
Kakinya berhenti menapak apabila sampai tempat yang dituju. Inderawan memerhati Amsyar dari jauh. Amsyar sibuk melayan pelanggan yang datang ke kedainya. Tiada perubahan ke atas diri itu. Masih sama seperti dulu.
“Abang, kasi majalah percuma satu kat saya boleh?” tanya Inderawan.
Amsyar sedang sibuk menyusun majalah di rak hadapan terkejut dengan permintaan itu. Dia tidak sedar akan kehadiran Inderawan.
“Adik, mana boleh percuma. Abang pun nak cari makan. Kalau diskaun boleh,” ucap Amsyar, leka melakukan kerjanya.
“Kalau macam tu kasi saya diskaun seratus pertuslah, boleh?” sakat Inderawan lagi.



Amsyar segera menoleh, tidak berpuas hati. Namun reaksi yang diberikan kini berbeza. “Eh, kau rupanya, Wan. Aku macam kenal tak kenal aje suara kau ni. Patutlah nak sangat majalah percuma.”


 Inderawan ketawa lantas berpelukan dengan Amsyar. Ya, Amsyar memang tidak pernah berubah, gemar berseloroh.
“Kau sihat?” sapa Inderawan.
“Alhamdulillah, macam nilah. Wah, sekarang ni dah jadi CEO, dah tak nampak kat arked ni lagi.”
Inderawan tahu, Amsyar hanya rapat dengannya berbanding dengan peniaga yang lain. Pasti Amsyar berasa sunyi. “Tak adalah, bukan tak nak datang sini. Aku sibuklah. Sibuk dengan kerja, mesyuarat.”
“Hari ni kau tak pergi meeting ke? Cewah… Meeting. Terasa aku macam kerja pejabat pula,” gurau Amsyar.
“Aku tengah ada masa, tu yang datang jenguk kau. Mana tahu kau rindu kat aku. Tengah nangis guling-guling teringatkan aku.”
Amsyar membuat mimik muka tidak bersetuju.
“Mana ada nangis guling-guling… Tapi aku mengaku aku memang sunyi bila kau tak ada kat sini.”
Inderawan tersenyum. Perasaan terharu terbit di hatinya. Amsyar mengambil sesuatu dari dalam kedainya.
“Kau ingat lagi bangku merah ni?” Amsyar menggamit memorinya.
“Mestilah ingat. Bangku nilah tempat aku duduk untuk melukis kat sini. Bangku ni jugalah tempat duduk kita makan dan bangku ni jugalah tempat duduk kita borak-borak.”
“Ya, betul. Nasib baik kau tak hilang ingatan. Manalah tahu otak kau dah penuh sangat sebab banyak sangat meeting kan. Meh, duduk. Kita borak-borak kat atas bangku ni.”
Inderawan hanya menuruti. “Am, aku nak tanya kau sesuatu.”
“Apa dia?”
“Seni lukisan tak cukup dengan ilham, kena ada jiwa, perasaan dan naluri. Setiap garisan dan bayang yang terhasil ada makna yang mahu disampaikan. Kadang-kadang meluahkan sesuatu ke atas kertas lebih lantang bunyinya daripada memekik menggunakan bibir. Lukisan ni ada kuasa untuk berbicara walaupun ia bisu. Kalau melukis dengan hati, orang akan tahu apa yang kita rasa,” ucap Inderawan.
Amsyar mengerutkan dahinya. Bayangan di fikirannya berputar dengan sendirinya. Dan bayangan itu terhenti pada susuk tubuh itu. Susuk tubuh yang pernah kagum melihat lukisan Inderawan.
“Aku tahu, kau pernah dengar ayat tu, kan?”
“Ayat tu, sama dengan budak perempuan yang tengok lukisan kau dulu. Dia bukan setakat tengok, tapi dapat menyelami perasaan lukisan tu. Masa dia tengok lukisan kau tu, mata dia macam ada sesuatu. Kau boleh lihat ada seri di sebalik anak mata hitam dia tu.”
“Perempuan yang kau cakap kan tu, dia tengok lukisan aku yang mana satu?”
Amsyar membisu sambil berfikir. Dia cuba mengingati kejadian itu. “Tak silap aku ada bayang-bayang seorang lelaki pada waktu senja.”
Inderawan dapat mengagak lukisan itu. Ya, lukisan itu ada maksud yang mendalam. Bukan hanya setakat seorang lelaki dan pemandangan waktu senja, tetapi lebih daripada itu. Bagi Inderawan, tema lukisannya lebih membawa maksud suara hatinya, pengorbanan serta harapan. Tiada sempadan dan hujungnya pengorbanan seseorang itu dapat diukur. Lelaki itu sedang bersendirian melalui jalan dan lorong hidupnya yang berliku tanpa pengetahuan yang lain. Bukan niatnya untuk berahsia, tetapi biarlah dia seorang yang menanggung derita daripada yang lain mengalirkan air mata kerana dia.
Warna jingga kemerahan pada langit melambangkan perasaannya yang marah, tetapi cuba diredupkan dengan awan yang nipis. Dia sentiasa memandang ke langit kerana mengharapkan dia mampu melepaskan semua kemarahannya itu dan jiwanya akan terasa bebas. Dan di sebalik langit merah ini tersimpannya satu harapan. Harapan agar hari esok ada sinar baru untuknya.
Jika bagi sesetengah orang, waktu senja itu hampir waktu kepada penamat hari, tapi bagi Inderawan, ia merupakan permulaan untuk melangkah pada hari esok. Waktu senja bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia permulaan untuk menjadikan hari esok lebih baik. Hari ini kita mengatur untuk kehidupan pada hari esok.
“Kau ada datang masa hari aku nikah, kan? Kau ingat lagi muka isteri aku, Zara Alisha?”
Amsyar merenung lama wajah Inderawan. Dia sudah dapat menangkap sesuatu di sebalik butir kata rakannya. Amsyar cuba mengamati wajah Zara Alisha ketika hari pernikahan itu dan tanpa rasa keraguan, Amsyar membuat keputusan.
“Patutlah aku rasa macam pernah nampak aje Zara Alisha tu. Masa hari nikah tu, dia pakai tudung, tapi masa dia datang sini memang macam mat salih. Pakaian moden, rambut perang. Memang lain.”
“Kau pasti?”
“Aku pasti. Hari tu pun dia ada datang, tapi kau dah tak ada kat sini. Apasal aku tak dapat cam dia?”
Inderawan mengimbas kembali peristiwa di mana kereta Zara Alisha rosak pada petang itu. Kereta Zara Alisha tersadai di Arked Jaya. Ya, semua bukti sudah jelas menunjukkan gadis itu adalah orang yang sama. Wajah Inderawan kelihatan berseri-seri

4 comments:

  1. Tq dik......
    Ada kenangankah antara indera ngan zara ? X sabar nk tahu.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kak sebab mengikuti kisah EPMK sehingga bab ni..
      tapi...sampai bab ni aje saya post kat blog..
      InsyaAllah. bulan 12 nanti novel ni akan terbit..
      jadi, nak tahu apa yang jadi akak beli ya nanti novel ni.. ^_^

      Delete
  2. Dh nk terbit ke? Under publisher mana ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye..akan mula dijual masa pesta buku 1 Malaysia di PWTC nanti
      pada 11-15 Disember 2013...
      saya under Fajar Pakeer ^_^

      Delete