Stylo Clique ^_^

Friday, September 21, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 30 ::.







BAB 30


Jari-jemari Wafi cuba untuk menaip sesuatu di papan kekunci komputer ribanya. Dia berusaha untuk melenyapkan peristiwa kelmarin. Namun, setiap kali dia cuba untuk menjelmakan baris ayat pada skrin itu suara A.D dan Haikal seperti bergabung lalu menyekat perbuatannya. Selang-seli suara Haikal membongkarkan segala-galanya dan suara A.D yang mengakui segala kenyataan itu membuatkan dada Wafi seperti mahu pecah. Jauh di lubuk hatinya, Wafi mengharapkan A.D menidakkan tuduhan Haikal. Dia tidak sanggup untuk menerima apa yang telah berlaku.

Kenapa aku boleh jatuh hati kat dia? Wafi, kau memang dah buta. Kau patut benci dia. Kau tak boleh biarkan hati kau yang mengawal diri kau. Kau yang kena kawal hati kau. Kau yang sepatutnya tentukan apa yang kau nak. Memang silap kau, Wafi. Kau leka dengan perasaan kau sendiri. Kau sepatutnya lawan perasaan itu.

Bisikan yang muncul di jiwanya terus-menerus mencabar keegoannya sebagai lelaki. Mampukah Wafi menerima A.D seperti dahulu setelah dia mengetahui Qurnia Adriana sebenarnya telah ditebuk tupai? Jiwa lelakinya menjerit kuat yang dia tidak boleh menerima perempuan seperti itu sebagai suri dalam hidupnya. Bagaimana dia bisa berhadapan dengan kenyataan itu untuk seumur hidupnya? Tetapi hati Wafi merintih kesedihan. Dia berharap apa yang telah terjadi adalah mimpi ngeri. Sejak peristiwa malam itu, A.D keluar daripada rumah. Wafi dapat mengagak ke mana arah A.D. Pasti sahaja ke apartmen milik A.D dahulu.
Wafi tidak boleh meneruskan dengan kerjanya. Dia mengambil gulungan lukisan di atas mejanya lalu dilemparkan sekuat hati ke dinding. Meja yang dipenuhi dengan kertas kerja diselerakkan. Sama seperti dengan fikirannya yang sedang berkecamuk.
Liyana yang sedang berada di luar bilik pejabat Wafi terkejut dengan bunyi yang datang daripada bilik majikannya itu. Dia segera menekan salah satu butang telefon yang berada di atas mejanya. Interkom Wafi berbunyi.

Agak lama dia membiarkan telefonnya berbunyi. Dia memicit kepalanya yang bertambah sakit. Setelah sedikit tenang, dia menekan butang sebagai tanda membalas panggilan itu.

“Encik Wafi, ada apa-apa yang berlaku ke?” soal Liyana.
“Tak ada apa-apa kak,” balas Wafi.
“Encik Wafi ok?”
“Saya ok. Kak Yana, saya nak minta tolong. Tolong batalkan semua temu janji saya hari ni. Saya ada banyak kerja dan saya tak nak diganggu oleh sesiapa pun.”
“Tapi Encik Wafi…….”
“Kak Yana, ini arahan saya. Saya tak nak diganggu.” pintas Wafi.

Wafi mahu permintaannya ditunaikan. Liyana juga terkena tempias amarah Wafi. Pantas sahaja pagi tadi majikannya itu melangkah ke pejabat dengan wajah yang mencuka. Liyana tidak mampu untuk berkata apa-apa melainkan menurut sahaja kehendak Wafi. Dia tidak pernah melihat Wafi dalam keadaan begitu.

-------------------------

Riana menunggu Haikal di restoran biasa. Keadaan di restoran itu agak lengang. Riana sempat menjeling ke arah jam tangannya. Lambat benar rasanya Haikal tiba. Perasaan resah, bimbang dan takut menyelubungi segenap jiwanya. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Sekali-sekala manik jernih jatuh ke pipinya. Alat uji kehamilan yang berada di dalam beg tangannya di tenung lama. Kelewatan haid selama hampir dua bulan menimbulkan kegusaran di hatinya lantas dia membeli alat itu di farmasi. Terdapat dua garisan pada alat tersebut. Ia menandakan yang Riana positif mengandung. Riana menjadi semakin buntu.

“Hai sayang,” sapa Haikal sebaik sahaja sampai di meja.

Kehadiran Haikal melegakan sedikit hatinya. Riana merasakan yang mereka harus melakukan sesuatu. Dia yakin dengan kasih sayang Haikal. Dia juga percaya Haikal tidak akan meninggalkan dirinya dalam keadaan begitu.

“Kenapa you menangis ni? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Haikal apabila melihat pipi Riana sedikit lembap. Tangannya mengusap lembut pipi itu.
“Ada benda yang I nak cakap dengan you, Haikal.”
“Kenapa ni? Kenapa serius sangat? You tak pernah macam ni pun sebelum ni.”
“Haikal, dulu you pernah janji dengan I kan? You ingat tak dengan janji you?”
“Kenapa tiba-tiba aje ni?”
“Dulu you pernah cakap yang you akan sentiasa sayangkan I, tak kira apa jua keadaan sekali pun.”

Haikal mengerutkan dahinya. Dia sendiri tidak pasti pernah mengungkapkan kata janji itu kepada Riana. Bagi Haikal, apa yang keluar daripada bibirnya hanyalah rekaan untuk memperdayakan gadis demi mendapatkan apa yang dia mahu.

“Ok, cuba you cakap dengan I apa yang dah jadi sebenarnya?”
I’m pregnant.”

Berderau darah Haikal tatkala mendengar perkataan itu. Mukanya menjadi pucat.

Are you sure?”
I pasti. Dah nak dekat 2 bulan I tak datang bulan.”
“Tak semestinya you lambat datang bulan, you mengandung.”
“Haikal, you ingat I budak kecil ke yang you boleh main-main kan? You ingat dengan alasan macam tu boleh selesaikan semuanya?”
Haikal sudah tidak senang duduk. Dia mahu melarikan diri daripada Riana. Dia tidak mahu menanggung akibat itu. Dia bingkas bangun lalu keluar daripada restoran itu.

You nak pergi mana?”

Haikal menonong pergi meninggalkan Riana. Riana sudah tentunya tidak mahu membiarkan Haikal lepas tangan. Haikal segera menekan punat yang terletak di kunci keretanya. Riana segera memintas Haikal.

You nak lari?”
“Masalahnya, I bukan nak lari. Tapi you yang gelabah.”
I yang gelabah?”

Tangan Riana segera mengeluarkan alat uji kehamilan lalu melemparkannya ke arah Haikal.

You tengok, tak kan benda ni nak tipu I? Benda ni tak ada lidah yang boleh bagi I macam-macam alasan.”

Haikal memandang alat tersebut yang sudah terjatuh di atas jalan raya. Matanya segera memandang ke tempat lain apabila melihat garisan yang terhasil pada alat tersebut. Tanpa disedari oleh mereka, dua pasang mata sedang memerhatikan drama mereka.

“Sam, itu bukan budak kelas kita ke?” soal Izwanie kepada Samsul. Mereka baru sahaja selesai makan tengahari di restoran berhampiran.
“Yalah. Budak yang pendiam tu kan?” jawab Samsul.
Meskipun kedudukan mereka sedikit jauh, Samsul dan Izwanie dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka kerana kereta milik Izwanie hanyalah terletak bertentangan dengan kereta milik Haikal.
“Jadi, you nak I buat apa?”
“Haikal, soalan bodoh apa you tanya kat I ni? I nak you bertanggungjawab.”
“Bertanggungjawab. Hello….you pasti budak dalam perut you tu anak I? Entah-entah jantan mana yang you tidur, cakap tu anak I ?”
Lantas satu tamparan hinggap di pipi Haikal. Meskipun Riana seorang perempuan tetapi kesan tamparan yang diberikan mampu mengundang rasa perit di pipi lelaki itu.
You ingat I ni perempuan jenis apa? You satu-satunya lelaki yang pernah sentuh I.”

Haikal menggosok perlahan pipinya sambil tesenyum sinis.

You ingat I ni bodoh? Riana, you tu kaki clubbing. Entah berapa orang jantan yang pernah tidur dengan you. Bukan I seorang aje kan?”

Seboleh mungkin Riana tidak mahu menangis. Namun, akhirnya ia menitik jua.

“Budak dalam perut I ni anak you.”
“Riana, you gila ke apa? You nak I bertanggungjawab? Susah sangat, you gugurkan aje kandungan tu. Seorang pun tak akan tahu kalau you gugurkan budak tu.”
“Haikal, I dah pernah buat silap besar sekali. Sekarang you nak I buat dosa membunuh pula?”
“Heiii….kau jangan jadi bodohlah. Kau ingat kau tu baik sangat? Kalau kau baik, kau tak akan dengan relanya kasi tubuh kau tu untuk aku.”
I percayakan you.”
“Siapa suruh kau bangang sangat percayakan aku? Selama ni aku tak pernah sayangkan kau.”

Air mata Riana semakin laju gugur tatkala mendengar pengakuan Haikal. Dia merasakan dirinya terlalu bodoh mempercayai Haikal.

“Kalau you tak ada perasaan kat I, tolonglah kasihan budak dalam kat perut ni. I tak nak jadi pembunuh. I tak nak terus berdosa.”
“Pandai pula nak cakap dosa sekarang? Malam yang kau datang rumah aku tu tak nak ingat pula? Aku bagi cadangan kat kau, kau tak nak dengar. Gugurkan aje. Kalau kau tak ada duit padahal aku tahu kau anak orang kaya, aku boleh kasi duit tu. Tapi kau pergi sendiri. Aku tak nak ada kaitan dengan budak yang entah betul ke tidak anak aku tu.” ucap Haikal lalu segera membuka pintu kereta.

Tangan Riana cepat menggapai lengan Haikal.

“Haikal, I merayu kat you. I tak boleh tanggung benda ni sorang-sorang.”

Haikal segera menolak Riana dengan kuat dan menyebabkan Riana terjatuh di atas jalan raya.

“Itu masalah engkau. Aku dah bagi cara penyelesaian yang memudahkan hidup kau dan hidup aku. Tapi kau tak nak dengar. Jangan harap aku nak bertanggungjawab.”

Haikal segera memecut lalu meninggalkan Riana di situ. Dia mahu lari sejauh mungkin daripada masalah itu. Kalau boleh, dia tidak mahu hidupnya dikaitkan dengan gadis bernama Qurnia Adriana.

Samsul dan Izwanie yang dari tadi memerhatikan segera menghampiri Riana.

“Awak tak ada apa-apa ke?” tanya Izwanie.

Riana segera menggeleng. Dia cuba untuk bangun tetapi dia merasakan ada yang tidak kena pada dirinya. Tiba-tiba sahaja bahagian bawah perutnya terasa sakit dan perit. Dia cuba untuk bangun tetapi tidak berjaya.

“Astaghfirullahalazim, Wanie….kaki dia,” kata Samsul.

Alangkah terkejutnya Izwanie apabila terdapat darah yang sedang mengalir dari atas di bahagian betis Riana. Riana juga terkejut dengan apa yang berlaku. Lantas dia merasakan bahagian bawah perutnya semakin sakit. Tangan Riana menekan-nekan perutnya.

“Kita nak buat apa ni Wanie?”

Samsul menjadi cemas dan panik.

“Kita bawa dia pergi klinik.” balas Izwanie.

----------------------------------

Pandangan lesu dan simpati melihat nasib A.D diberikan oleh Samsul dan Izwanie. Masih jelas peristiwa 3 tahun lalu itu di fikiran mereka. Apatah lagi A.D yang mengalami kejadian tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Mereka baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir semester. Samsul dan Izwanie sedar akan perubahan yang diberikan oleh A.D sejak akhir-akhir ini. A.D tidak sama seperti dahulu. Wajah muram dan kesedihan jelas terpancar di raut wajah kecil itu. Mereka pernah melihat wajah seperti itu sebelum ini.

“A.D, kau pasti dengan apa yang kau fikir ni?” soal Izwanie.
“Aku rasa ini yang terbaik.”
“Kau nak pergi mana?” tanya Samsul pula.
“Mana-mana. Aku dah tak nak duduk sini lagi. Wafi dah tahu. Macam mana aku nak berhadapan dengan dia? Memang tak akan ada lelaki yang boleh terima aku. Aku baru aje nak rasa bahagia. Aku tak sangka Haikal tu sepupu dengan Dhira. Kalau aku tahu, aku tak akan kahwin dengan Wafi. Memang aku tak layak rasa apa itu bahagia sebab dosa aku selama ni.”
“A.D, kau janganlah cakap macam tu. Ini dugaan untuk kau.”
“Aku dah penat, Wanie. Aku dah tak sanggup. Aku tahu orang macam aku ni tak boleh diterima dalam masyarakat. Orang pandang jijik. Lelaki pandang hina.”
“Siapa cakap macam tu? Aku lelaki. Aku boleh terima kau sebagai kawan aku.”
A.D tertunduk. Dia cuba menahan perasaannya. Sememangnya hanya Izwanie dan Samsul sahaja yang menerima kehadiran dirinya. Hanya mereka berdua sahaja yang mampu menerima diri A.D seadanya. 

“Kau dengan Wanie bukan setakat kawan tapi lebih daripada tu. Aku dah anggap macam darah daging aku sendiri. Kalau tak ada kau dengan Wanie, aku tak tahu apa yang akan jadi dengan diri aku ni.”
“Kau janganlah cakap macam tu. Manusia itu tak sempurna,” ujar Izwanie.
“Aku faham, Wanie. Sebab tu aku nak pergi jauh. Aku nak betulkan kesilapan aku. Aku nak cuba terima kenyataan aku sendiri.”

Izwanie segera mengenggam tangan A.D. Dia cuba memberikan kekuatan kepada A.D yang sedang rapuh itu. Dia tidak mahu perkara buruk terjadi kepada rakan baiknya.

“Kau nak pergi mana?”
“Aku sendiri tak tahu. Bila aku dah tahu ke mana arah aku, aku akan beritahu kau. Aku tahu ini yang terbaik. Aku nak cari diri aku. Aku nak ubah diri aku. Biarkan Wafi terus membenci aku sebab memang itulah perasan yang dia ada untuk aku pada mulanya. Perasaan yang aku rasa sekarang ni adalah satu kesilapan. Cuma aku minta satu daripada kau dengan Samsul.”
“Apa dia?”
“Kalau Wafi cari aku, kau jangan beritahu dia kat mana aku ada. Itu pun kalau dia cari aku. Tapi aku tahu perkara tu mustahil. Dia benci kat aku, tak mungkin dia akan cari aku. Agaknya kalau boleh dia nak aku lenyap daripada hidup dia.”
“Kau tak nak terangkan apa yang dah jadi kat dia? Kau nak biarkan dia salah faham? Kau nak biarkan dia anggap kau pembunuh?” soal Samsul.
“Ini bukan salah dia, tapi salah aku.”
“Wafi dah tuduh kau. Wafi tuduh perkara yang kau tak buat. Dia tak sepatutnya buat macam tu.” sambung Samsul lagi.
“Biarlah. Tak ada beza pun. Kalau aku kat tempat dia, aku akan cakap benda yang sama.”
“A.D, kau kena terangkan kat dia. Mana tahu, kalau kau beritahu perkara yang sebenar hati dia akan berubah. Kau tak perlu pergi.” cadang Izwanie pula.

A.D menggeleng. Dia tidak mahu memberitahu perkara sebenarnya kepada Wafi. Hatinya sudah pedih. Perasaannya juga sudah tercalar. Dia sama sekali tidak menyangka sedalam itu perit yang dia rasakan. Hatinya sudah mampu menyulam kebahagiaan tetapi sekelip mata sahaja diragut tanpa belas kasihan. 

“Kalau dia tahu aku bukan pembunuh sekali pun, ia tak akan mengubah apa-apa. Aku masih lagi dianggap kotor.”

“A.D, jangan cakap macam tu. kau tak kotor. Kau cuma tersilap langkah. Kau layak merasa apa itu kebahagiaan.” kata Samsul.
“Dosa aku terlalu berat. Inilah balasan yang harus aku tanggung. Bila aku pergi, sekurang-kurangnya aku dapat cuba buang perasaan ni. Aku tak nak dia kecewa depan mata aku. Aku tak nak dia kecewa sebab aku.”
“A.D, kau betul-betul sayangkan dia kan? Aku tak pernah nampak kau kecewa dan sedih macam ni.”
“Dia satu-satunya insan yang mampu meruntuhkan kekerasan dalam hati aku ini. Dia berjaya mengembalikan Riana yang dulu dalam hidup aku. Dia lelaki yang boleh terima A.D yang kasar dan kurang ajar. Aku tahu, perkara ni terlalu berat untuk Wafi. Wafi tak patut tanggung semua ni.”

Izwanie segera memeluk A.D. Hatinya juga terasa pilu. 

--------------------------

“Wafi, boleh Pak Aziz tanya sesuatu?” tanya Pak Aziz sebaik sahaja mereka selesai makan malam. 
Seperti biasa, selepas makan malam Wafi akan berada di ruangan itu. Pak Aziz dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi dalam tempoh seminggu semasa ketiadaannya di vila itu.

“Pak Aziz nak tanya apa?”
“Dah berapa hari Pak Aziz tak nampak A.D kat rumah ni. A.D pergi mana?”
“Saya sendiri tak pasti,” jawab Wafi seperti tidak acuh.
“Maksud Wafi?”
“Mungkin dia pergi rumah kawan dia. Peperiksaan akhir dah nak dekat. Dia belajar la tu agaknya.”
“Maafkan Pak Aziz kalau soalan Pak Aziz ni menyinggung perasaan Wafi. Bukan niat Pak Aziz nak masuk campur urusan rumah tangga Wafi dengan A.D. Tapi Pak Aziz dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.”

Wafi memandang wajah Pak Aziz. Pergerakan mata Pak Aziz seperti dapat membaca isi hatinya. Jika diikutkan ego dan perasaannya, Wafi juga mahu melarikan diri. Dia tidak mahu menjawab pertanyaan yang akan diajukan oleh orang di sekelilingnya. Tetapi dek amanah dan tanggungjwab yang diberikan oleh arwah bapa mertuanya menyebabkan dia masih lagi berada di situ. Hutang budinya terhadap Ridzuan masih lagi tidak terbayar.

“Asam garam rumah tangga, Pak Aziz,” jawab Wafi dengan pendek.
“Pak Aziz tahu. Tapi A.D tak pernah buat perkara macam ni sekali lagi. Dulu dia pernah tinggalkan rumah ni sebab dia kecewa. Pak Aziz harap, A.D tak akan melakukan kesilapan yang sama lagi. Jangan biarkan dia terus hanyut. Dia dah jadi tanggungjawab Wafi.”
“Wafi faham Pak Aziz. Terima kasih. Saya masuk dulu. Ada banyak kerja pejabat yang saya kena siapkan.” 

Wafi melangkah masuk. Dia tidak mahu terus berada di situ. Dia tidak mahu Pak Aziz mengetahui apa yang telah terjadi. Ini soal maruah dan harga diri. Keegoannya juga tercalar kerana perkara itu. Bagaimana jika orang lain tahu yang dia sedang mengahwini seorang gadis yang telah dinodai oleh lelaki sebelum adanya ikatan yang sah? Wafi tidak mahu berhadapan dengan perkara itu.



6 comments:

  1. alahai wafi...everbody got their own history..kisah silam..AD kerana melihat kekecewaan hidupnya membesar tanpa kasih sayang..memberontak untuk mendapat perhatian dari ayahnya ..yg sentiasa ..tak ada masa..disisinya ..semasa pembesaran nya..yg..dia sendiri tidak tahu sedang merawat sakitnya..Wafi patut letakkan egonya ketepi kerana dia telah mengetahui kenapa AD menjadi begitu semasa kematian ayah AD ....

    Akak rasa mereka berdua ..perlukan ruang ..untuk memikirkan ..hala tuju ..hidup mereka..

    kesiannya hidup AD.. adakah wafi akan dtg menagih cintanya .. akak rasa..campurtangan neneknya perlu disini..biasalah org muda..emonya melebihi dari memikirkan rasa rasional..apa kata samsul dan izwanie..citerkan ..pada wafi..dan buat penjelasan apa yg sebenarnya berlaku..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak ida....sgt2 setuju..
      semua org ade mase silam..persoalannya.. mampukah org disekeliling kite mampu untuk menerima diri kita seadanya??

      kite same2 tgk ape yg akan jd ye...hihi..

      terima kasih sbb mengikuti SIC.. ;)

      Delete
  2. sedih baca entry...sygnya AD pada Wafi sampai sanggup bawa diri...kesian dia...sekali tersilap langkah sampai bila2 dilabelkan sbg jahat...aku faham perasaan dia...

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmg diakui...sgt2 kesian dgn nasib A.D..
      sememangnya semua manusia itu buat silap.. dan semestinya kesilapan itu mendewasakan & mematangkan kite..

      terima kasih sbb mengikuti SIC..;)

      Delete
  3. Replies
    1. terima kasih krn mengikuti SIC
      nantikan sambungannye ye..
      ape yang akan terjadi antara Wafi & A.D...

      Delete