BAB 28
Saat
hati ini mula terusik, jiwa mendengar suaramu sedang membisik.
Inderawan
terjaga sebaik sahaja ada sentuhan lembut menggerakkan tubuhnya. Ubat selesema
yang ditelannya sebelum tidur malam tadi benar-benar memberi kesan pada tubuh
Inderawan. Kepalanya merasakan begitu berat untuk diangkat. Dengan kudrat yang
ada, sedaya upaya Inderawan cuba membuka matanya.
Sebaik sahaja dia
mencelik mata, Inderawan bingkas bangun. Tangan Inderawan meraba sesuatu di
bawah bantal. Inderawan mengambil telefon bimbitnya lalu melihat waktu yang
tertera pada skrin itu. Matanya terbeliak apabila waktu sudah menjengah pukul
7.00 pagi.
“Astaghfirullah al-azim. Subuh ‘gajah’ jawabnya aku
ni.”
Inderawan laju menuju
ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia
melakukan solat subuh terlebih dahulu biarpun terlambat. Inderawan sama sekali
tidak akan melupakan tanggungjwabnya yang satu itu. Setelah selesai memberi
salam dan berdoa, Inderawan mencapai tualanya dan pergi membersihkan diri.
Selang sepuluh minit kemudian, Inderawan keluar daripada
kamar mandinya. Tiada angin, tiada ribut,
tiba-tiba sahaja ada pakaian lengkap siap bergosok terbentang kemas di atas
katil.
“Bila masa aku suruh
bibik gosokkan baju aku ni?” Inderawan bermonolog sendiri sambil memerhatikan
pakaian itu.
“Eh, aku tak suruh pun.
Takkanlah bibik pandai-pandai ambil kat almari ni pula? Hebat sangat bibik tu
kalau pandai mix and match baju
pejabat aku ni. Pakai ajelah, Indera. Kau dah lambat ni.”
Kemeja biru pekat seakan-akan gelap berjalur putih itu dipadankan dengan
seluar berwarna putih. Tali leher putih susu menjadi pelengkap gayanya pada
hari itu. Inderawan mengenakan haruman Ralph Lauren Polo Blue ke tubuhnya.
Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, dia segera menguak pintu lalu
menuruni anak tangga itu dengan langkah yang laju kerana sudah agak lewat
daripada waktu biasa dia ke pejabat.
Dari meja makan, Zara
Alisha dapat menghidu bau minyak wangi kegemaran suaminya. Dato’ Mahmood dan
Tria sedang enak bersarapan.
“Indera, tak sarapan
dulu?” soal Dato’ Mahmood apabila Inderawan langsung tidak menjeling ke ruangan
makan.
Tria juga sempat
mencuri pandang Inderawan. Hatinya menjadi tidak keruan tatkala melihat
Inderawan. Perasaannya bertambah cemburu terhadap Zara Alisha kerana gadis itu
sepertinya berjaya mengubah perasaan Inderawan. Peristiwa kolam renang tempoh
hari sudah sampai ke telinganya. Terasa meluat apabila dia bertanyakan kepada
Raudhah hal kolam renang itu. Tria tidak mahu kedudukannya di hati Inderawan tergugat.
“Indera dah lambat,
ayahanda. Semalam Indera dah cuti, jadi hari ni Indera nak masuk pejabat cepat
sikit,” balas Inderwan sambil mencapai topi keledar yang terletak di atas rak
berhampiran dengan pintu masuk.
“Awak…” panggil Zara
Alisha.
Apabila mendengar
jawapan Inderawan, Zara Alisha bangun lalu menuju ke arah suamiya.
Awak? Aku salah dengar
ke? detik hati Inderawan.
“Betul awak tak nak
makan dulu?”
“Kau tanya aku ke?”
Inderawan berbisik ke telinga Zara Alisha.
“Yalah. Mulai hari ni
saya nak panggil awak, awak. Boleh, kan?”
Tangan kanan Inderawan
menyentuh dahi Zara Alisha. “Tak baik selesema lagi, dah demam pula? Eh, tak
panas. Sihat ke tak ni?”
“Sihat.”
Terdetik hati Inderawan
memandang ke meja makan. Dia seperti dapat menghidu sesuatu. “Kau buat semua ni
sebab nak kenakan Tria ke?”
Zara Alisha membalas
dengan senyuman. Hatinya terasa girang kerana melihat penampilan suaminya pada
pagi itu.
“Boleh hulurkan tangan
yang selalu awak guna untuk makan?” pinta Zara Alisha.
Terkebil-kebil mata
Inderawan mendengar kehendak Zara Alisha. Tanpa banyak bicara, Inderawan
menghulurkan tangan itu. “Aku selalu pakai tangan kananlah. Kenapa?”
Kedua-dua tangan Zara
Alisha menyambut tangan kanan Inderawan. Zara Alisha mengucup lama.
Inderawan terkesima
dengan tindakan gadis itu. Tidak pernah Zara Alisha melakukan perkara itu
sepanjang perkahwinan mereka. Selalunya Zara Alisha masih lagi terbaring di
atas katil, enak dibuai mimpi.
“Hati-hati tunggang motor
tu,” ucap Zara Alisha setelah selesai
bersalaman.
“Okey. Insya-Allah. Ab… Abang… Eh… Aku…
Eh… Saya pergi dulu. Nanti hati-hati pergi
kolej.” Inderawan segera menyarung topi keledar itu ke kepalanya. Malu kerana
tersasul. Tidak tahu bagaiman perkataan ‘abang’ itu boleh terpacul keluar
daripada bibirnya. Mukanya tiba-tiba sahaja terasa hangat. Ada debaran yang
berlaku semasa mereka bersentuhan tadi.
“Awak, terima kasih
sebab pakai kemeja yang saya gosok. Awak nampak handsome bila pakai macam ni.”
Inderawan membatalkan
niatnya untuk beredar. Dia terkejut. Rupa-rupanya kelengkapan dirinya pada pagi
itu disediakan oleh Zara Alisha. Inderawan menatap wajah Zara Alisha. Seperti
antara percaya dengan tidak. Inderawan menanggalkan semula topi keledarnya.
“Kenapa?” tanya Zara
Alisha, kehairanan.
Inderawan merapatkan
dirinya dengan Zara Alisha. Hatinya meronta untuk melakukan tindakan itu.
Inderawan menyentuh lembut dagu isterinya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Inderawan membenamkan bibirnya di
dahi Zara Alisha sebagai tanda pernghargaan kepada isterinya itu.
Indera, betul ke apa yang kau rasa ni? Kau pasti ke
dengan perasaan kau ni? Atau semuanya hanya sebab nafsu kau? Indera, jangan
bertindak apa-apa selagi kau tak yakin dengan diri kau. Tangan yang berada di
dagu beralih kepada pipi kiri Zara Alisha.
“Terima kasih,” ucap
Inderawan. Bibir Inderawan seperti mahu mengukir senyuman, tetapi dia segera menyekat dirinya daripada
melakukan perkara itu.
“Awak nampak lagi handsome
kalau senyum.”
Terpejam celik mata
Inderawan apabila mendengar pujian Zara Alisha dan akhirnya wajah itu tersenyum
lalu dia segera beredar.
Zara Alisha memerhati
langkah Inderawan sehingga lelaki itu hilang daripada
pandangannya. Zara Alisha menyentuh pipinya sendiri.
“Pegang pipi aje?”
Tidak semena-mena peristiwa kelmarin menggamit fikirannya. Zara Alisha tahu,
besar kemungkinan pengalaman masa lampau membuatkan Inderawan serik untuk
mencari penghuni hati. Luka yang terparut di hati Inderawan terlalu dalam.
Zara Alisha sendiri
tidak tahu apa yang akan dia lakukan jika dia berada di tempat Inderawan. Tetapi Inderawan berbeza. Dia masih lagi mampu
berhadapan dengan kenyataan itu sendiri, malah masih lagi boleh tinggal
sebumbung dengan orang yang telah menyebabkan hati itu terhiris dengan
pedihnya.
Ting! Pintu lif ke
tingkat dua itu terbuka. Kaki itu melangkah keluar, otaknya ligat berputar
peristiwa di rumah tadi. Dia berjalan ke bilik pejabatnya sambil topi
keledarnya dikendong ke sisi kiri.
“Aku handsome
pakai baju ni? Macam mana boleh terkeluar perkataan abang tadi? Buang tabiat ke
apa aku ni?”
Inderawan menepuk
perlahan dahinya sendiri. Malu apabila lidahnya tersasul menggelar dirinya
dengan panggilan tersebut kepada Zara Alisha. Namun perlahan-lahan bibirnya
melengkung ke atas. Tangan kanan yang menepuk dahinya ditenung lama. Masih
terasa kehangatan bibir Zara Alisha di situ.
Farah yang berada di
meja penyambut tetamu memerhati Inderawan dari
jauh. Agak kehairanan tatkala melihat anak majikannya itu berdialog dengan diri
sendiri. Dia sememangnya tidak berani untuk bertegur sapa dengan anak sulung
Dato’ Mahmood. Inderawan pasti akan menampilkan wajah serius setiap kali masuk
ke pejabat. Jauh bezanya dengan Zulqarnain. Zulqarnain banyak celoteh dan
keletah. Boleh jadi gamat dan meriah jika lelaki mat salih
Itali itu berada di tingkat dua. Ada sahaja
pujian dan gurauan yang akan diberikan oleh Zulqarnain. Semua gadis yang
bertentang mata dengan Zulqarnain akan tersenyum apabila mendengar Zulqarnain
memuji mereka.
“Selamat pagi, Farah,”
ucap Inderawan sambil tersenyum.
Mahu tersembul biji
mata Farah apabila mendengar suara Inderawan menegurnya. Mimpi ke?
“Se… Selamat pagi Encik Indera.”
“Ada sesiapa cari saya
pagi ni?”
“Tak ada. Encik Indera
ada mesyuarat ke?”
“Tak ada apa-apa. Saja
aje tanya. Saya masuk pejabat dulu. Terima kasih.”
Senyuman tidak lekang
daripada bibir Inderawan. Langkah Inderawan seperti penuh semangat. Pandangan
pelik Farah menemani langkah itu.
“Apa yang awak tengok
tu, Farah?” soal Haqimi yang baru sahaja sampai.
“Haq, semalam Encik
Indera tak datang sebab apa?”
“Kenapa awak tanya?”
“Tadi dia cakap selamat
pagi dan terima kasih kat saya, padahal saya
tak ada buat apa-apa pun. Bukan selalu muka
dia masam aje ke? Encik Indera tu demam ke?”
“Dia cakap selamat
pagi? Buang tabiat ke apa bos aku ni? Selalu tak nak beramah mesra. Tak apa,
lebih baik saya pergi tengok dia. Baru semalam tak datang pejabat, hari ni
terus tak betul?” Haqimi segera menuruti langkah Inderawan.
Inderawan sudah pun
melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Dia meletakkan topi keledar di atas rak
yang berada di belakang meja. Inderawan melihat Haqimi mengetuk pintu kacanya.
“Selamat pagi,” ucap
Inderawan dengan nada ceria.
“Amboi, selamat pagi
bagai. Selalunya tak ada pagi yang selamat kalau aku jumpa muka kau. Ayat pertama yang akan keluar, apa program
hari ni? Aku ada mesyuarat kat mana? Projek mana kita kena tengok? Fail mana
aku kena semak? Dokumen apa aku kena sign? Hari ni bos cakap selamat pagi kat aku?
Keajaiban kelapan telah berlaku nampaknya.”
“Entah, aku rasa hari
ni agak bersemangat. Lain macam aje. Agaknya sebab semalam aku cuti.”
“Semalam cuti hari ni
semangat? Aku rasa ada sebab lain ni.” Haqimi memerhatikan penampilan Inderawan
seketika. Agak berlainan sedikit. Seperti ada sesuatu aura yang menghiasi wajah
itu.
“Sebab apa, Haq?” tanya
Inderawan sambil melabuhkan punggungya ke kerusi.
“Tema biru putih hari
ni. Kau nampak berseri-seri bila pakai macam ni.”
“Nampak handsome? Zara
Alisha yang pilih.”
“Woo… Zara Alisha yang pilih? Bukannya masa ni
minah tu berdengkur lagi ke? Ke ni kes pasal kat kolam renang? Sebab tu sampai
selesema.”
Bulat mata Inderawan
kerana terkejut tatkala mendengar kenyataan pembantu peribadinya itu. Inderawan
segera menutup pintu bilik. “Kau pun tahu pasal ni? Macam mana kau tahu?”
“Adalah.”
“Lebih baik kau
beritahu.”
Haqimi segera membuat
mimik muka seperti mahu mengelak.
“Aku rasa ada orang
dalam beritahu ni. Raudhah?”
Haqimi menggaru-garu
kepalanya. Pada awalnya dia mahu mengenakan Inderawan, tetapi kini sudah
terbalik jadinya.
“Betullah tu. Raudhah,
kan? Kau ada apa hubungan dengan adik aku? Kau jangan main-main, Haq.”
“Eh, mana ada abang.”
“Tengok, belum apa-apa
lagi dah panggil aku abang.” Inderawan berpura-pura seperti tegas. Mahu ketawa
pun ada juga apabila melihat Haqimi menggelabah.
“Aku dengan Raudhah tak
ada apa-apa. Betul. Aku baru nak kenal-kenal dengan dia. Takkan tu pun tak
boleh, bang?”
“Sudahlah kau. Nasib
baik hari ni mood
aku baik. Kau jangan ungkit lagi pasal kolam renang tu.
Kalau tak aku tak kasi kau kawan dengan adik aku.”
Sebaik sahaja mendengar
kata-kata Inderawan, tangan kanan Haqimi laju ke atas seperti orang sedang
berikrar. “Okey, bang. Aku janji tak akan cakap hal kolam renang tu. Tapi apa salahnya kan
apa yang jadi kat kolam tu. Nampaknya
ada orang dah berganti hati.”
“Kau jangan nak panggil
aku abang. Geli telinga aku ni.”
Akhirnya mereka
sama-sama ketawa.
“Aku suka tengok kau
dah berubah macam ni. Kau dah mula pandai senyum. Sejak kes Tria dulu, sampai
hari ni aku baru nampak muka kau tu ada serinya. Baguslah.”
“Entahlah. Aku pun tak
pasti. Aku dah tak percaya dengan perasaan ni sejak Tria hancurkan
segala-galanya.”
“Bukan semua perempuan
macam Tria, Indera. Kalau semua macam Tria, alamatnya dah tualah lelaki baru
dapat kahwin. Itu pun kalau ada duit. Kalau spesies
macam aku ni, kais pagi makan pagi, jawabnya
memang tak kahwinlah.”
Inderawan senyum
melebar sambil menggelengkan kepala. Kata-kata Haqimi itu berbau sindiran, tetapi ada jenakanya.
“Tengok, hari ni dah
berapa kali aku nampak gigi kau tu. Senyum tak sudah. Pagi tadi kau buat apa
aje? Ke malam tadi?”
“Kau jangan nak
merepek. Tak ada apa-apa pun, tapi bila
difikirkan balik dia memang ada buat sesuatu kat jiwa dan hati aku yang kosong
selama ni.”
Haqimi mencebik. Dia
menyandarkan belakang tubuh ke rak yang tinggi paras pinggangnya itu. Haqimi
berpeluk tubuh sambil menyilang kaki. Wajahnya mempamerkan rasa penuh minat
untuk mendengar cerita Inderawan.
“Aku tak tahu macam
mana nak mulakan. Semuanya tiba-tiba. Aku nampak kekurangan dia dan dia pun
nampak kelemahan aku. Tapi tanpa aku sedar
semua tu menjadikan aku lebih mengenali siapa dia. Dia terlalu degil, selalu
buat aku marah, suka buat keputusan tanpa berfikir panjang, tapi bila dia tahu masalah aku, dia yang
tenangkan aku. Seolah-olah daripada seorang
gadis yang mengada-ada, bertukar menjadi
seorang pemberi semangat. Selain kau dengan bonda, dia adalah orang ketiga yang
membuatkan aku bertindak untuk menghadapi takdir aku. Dia
buatkan aku berhenti dan membuka pendengaran aku terhadap suara sekeliling.
Hidup ni bukan untuk aku aje, tapi untuk
orang-orang yang aku sayang.”
Inderawan menekup
mukanya sambil menyengih sendiri. Dia tidak percaya yang dia mengeluarkan
kata-kata itu.
“Seorang gadis yang
bertindak mengikut kehendak hati mampu mengubah hati Inderawan yang keras macam
batu?”
“Bukan hati batu,
tegas.”
“Baiklah, bos. Masih
tak nak mengaku lagi? Sudahlah. Aku nak pergi buat kerja.”
Haqimi sudah menuju ke
pintu untuk beredar.
“Luthfi Haqimi,”
panggil Inderawan.
Haqimi menoleh. “Ya,
bos.”
“Kau serius dengan
Kasturi Raudhah?”
“Kenapa kau tanya?”
“Pertanyaan daripada
seorang abang.”
“Aku serius, Indera.
Aku nak kenal dengan dia lebih rapat. Kau jangan risau, Aku tak akan permainkan
perasaan dia.”
“Aku tak risau sangat
pasal Raudhah sebab aku tahu siapa kau. Tapi aku risaukan kau.”
“Risaukan aku?”
“Kau tahu kan siapa bakal
bapa mertua kau kalau kau serius dengan Raudhah?”
Haqimi menghela nafas
panjang. Sudah lama dia memikirkan risiko itu kalau dia berniat untuk bersama
Raudhah. Dia memandang tepat ke mata Inderawan.
“Kalau takut dilambung
ombak, jangan berumah di tepi pantai,” ucap Haqimi dengan nada yang yakin. Dia
menggenggam tangan kanannya lalu menumbuk perlahan ke dadanya sendiri sebagai
tanda seorang lelaki sejati yang berani berjuang.
Belum lagi Inderawan
membuka pintu utama banglo itu, sudah kedengaran suara gelak ketawa dari ruang
tamu. Termasuk hari itu, sudah empat hari peristiwa kolam renang itu berlalu.
Nasib baik geng 3 + 1 sudah tidak menyakat dirinya dan Zara Alisha lagi.
Inderawan menguak pintu perlahan lalu meletak topi keledarnya di tempat biasa.
Dato’ Mansoor yang
turut ada di ruangan itu memandang ke arah jam dinding. Waktu sudah melepasi
pukul 10.00 malam.
“Eh, Abang Indera baru balik? Abang, sinilah. Kita tengok TV sama-sama. Cerita P. Ramlee ni, kegemaran tok
ayahanda,” ajak Shaqir tatkala mendengar bunyi pintu ditutup.
“Amboi, macam kat pasar
borong rasanya bila adik-adik abang ni tengok TV.
Tengok cerita apa?”
“Tak ada, tengok cerita
Labu Labi ni. Padahal dah tengok banyak kali cerita ni,
tapi masih lagi kelakar,” jawab Naqiuddin.
Inderawan menanggalkan tali lehernya yang memang sudah
longgar itu lalu menghenyakkan tubuhnya ke sofa.
“Lambat kau balik
Indera? Banyak kerja ke kat pejabat tu?” aju Dato’ Mansoor kepada Inderawan.
“Ada masalah sikit kat
tempat renovate bangunan tu.”
“Serius ke, Indera?”
“Buat masa ni tak ada
apalah, tok ayahanda. Indera boleh kawal keadaan lagi. Tok ayahanda janganlah
risau.”
“Masalah pasal barang
kurang berkualiti ke? Tak silap dah dekat tiga kali kan klien repot pasal hal ni?” celah Raudhah.
“Eh, mana Raudhah tahu
pasal ni?”
“Raudhah tahulah. Kan
Raudhah kat bahagian kewangan. Masa nak membuat pembayaran dengan pembekal
macam ada masalah sikit sebab hal tu.”
“Ya ke? Tapi yang
peliknya baru hari ni kejadian yang ketiga tu berlaku petang tadi. Kenapa
Raudhah dah tahu ni? Setahu abang, Haqimi aje yang tahu.”
Raudhah berpura-pura
tidak dengar lalu mengambil alat kawalan jauh. Dia mengalih siaran.
“Kak Raudhah, apasal
tukar siaran tu? Kan cerita best tu,” marah Shaqir.
“Alah, kan tengah iklan. Kejap lagi akak kalih baliklah.”
“Raudhah, lebih baik
Raudhah cakap dengan abang macam mana Raudhah
boleh tahu,” sakat Inderawan. Sengaja Inderawan mahu memancing Raudhah supaya
mendedahkan rahsia itu. Inilah peluang yang dia ada untuk mengenakan adiknya
itu kerana selama ini dia sahaja yang terkena.
“Apa dia, abang?
Raudhah tengah tengok cerita ni.”
“Kak Raudhah sengaja,
kan? Mana ada akak tengok cerita. Kalih-kalih siaran adalah. Akak tak jawab pun soalan Abang Indera tu.” Naqiuddin mula mengesyaki sesuatu.
“Mana ada.” Raudhah
berpura-pura fokus terhadap tontonannya.
“Okey, kalau tak nak beritahu biar abang yang
beritahu,” ucap Inderawan sambil menjeling tajam wajah adik perempuan
tunggalnya itu.
Raudhah sudah mula
tidak senang duduk. Tetapi ada timbul
kemusykilan di hatinya. Masakan abangnya tahu akan hubungannya dengan Haqimi?
“Kalau semua nak tahu
kan, Raudhah sebenarnya dengan Ha…”
Tidak sempat Inderawan
menghabiskan susunan ayatnya, tangan Raudhah sudah laju menekup mulut
Inderawan.
Raudhah tidak mahu
memberi peluang kepada abang sulungnya itu memecahkan rahsia. Habis, pasti akan
disakat oleh datuk dan adik kembarnya.
Inderawan tidak
memberikan reaksi menentang. Dia mengangkat kedua-dua tangannya sebagai tanda
dia menyerah. Raudhah sudah menyengih kelat lalu duduk semula ke sofa.
“Abang Indera tak cakap
pun Que dah dapat agak. Mesti Abang Haqimi,
kan?”
“Patutlah masa kat
rumah bonda semalam, Shaq nampak ada orang pandang-pandang, jeling-jeling
sampai naik juling.”
“Mana ada. Kau orang
jangan nak kenakan akak ya? Ooo… masa ni tak
nak kira geng. Mana boleh kenakan geng sendiri. Jangan nak memandai-mandai eh.
Main hentam teka bolehlah.” Bantal kecil yang menghiasi sofa segera dibaling
Raudhah ke arah Naqiuddin dan Shaqir.
“Eleh, mana ada main hentam. Ni cucu Dato’
Mansoorlah. Pandai bestari lagi bijaksana. Dah sah-sah Abang
Indera tadi bagi klu,” ujar Naqiuddin dengan wajah berlagak.
“Betullah. Tak payah
beritahu pun kita orang dah tahu.” Shaqir juga mengangguk menandakan dia
bersetuju. Dia mencebik lalu melemparkan semula bantal itu kepada Raudhah.
“Banyak cakap pula
budak kembar ni. Sini kau, biar aku ajar kau orang berdua.”
Sudahnya, perlawanan
bantal bermula antara tiga beradik itu. Inderawan memerhati gelagat
adik-adiknya sambil ketawa.
“Tok ayahanda, kenapa
senyap aje? Ketua geng tak ada nak cakap apa-apa ke?” Inderawan perasan yang
datuknya tadi diam seribu bahasa apabila mereka mengenakan Raudhah.
“Tok ayahanda tengah
fikir, apa dosa yang dah tok ayahanda buat sampai keluarga kita jadi macam ni.
Nampak sahaja luaran kita ni bergelak ketawa, tapi hakikatnya semua serba tak
kena. Tok ayahanda ni dah tua. Bila-bila masa aje boleh pergi. Kalau boleh tok
ayahanda nak keluarga kita semuanya satu bumbung. Itu hasrat tok ayahanda
sebelum tok ayahanda pejam mata.”
“Tok ayahanda,
janganlah cakap macam tu.”
Raudhah, Shaqir dan
Naqiuddin menoleh ke arah mereka berdua. Sudah tidak kedengaran gelak ketawa
apabila Dato’ Mansoor berbicara serius akan hal keluarga mereka. Raudhah segera
duduk di sisi sofa memeluk Dato’ Mansoor.
“Kenapa Allah takdirkan
keluarga kita tak bersatu? Ayahanda kau orang dengan perangai yang macam tu
sampaikan tok ayahanda sendiri tak tahu nak anggap Tria tu siapa. Bonda kamu
pula dah jadi orang luar. Masa Indera tak ada, Nine ada. Sekarang Indera ada
kat rumah ni, Nine pula hilang entah ke mana. Indera ada cari Nine tak?”
“Tok ayahanda,
janganlah cakap macam tu. Bonda masih lagi anggap semuanya macam dulu. Dia
masih lagi anggap tok ayahanda macam ayah dia sendiri. Indera ada cari Nine kat
semua tempat yang dia pernah pergi, tapi tak
ada. Bukan senang kita nak cari orang yang tak nak dijumpai. Lagipun, hati orang yang marah dan merajuk memang
jauh dia melangkah. Indera pernah terfikir, mungkin Nine ada pergi Milan, tapi Indera tengok paspot
dia masih ada lagi kat bilik.”
“Nine tu lain sikit.
Dia memang suka buat tindakan ikut kata hati tanpa berfikir, tapi dia tak akan buat keputusan yang boleh
memudaratkan dan menyusahkan diri dia. Kalau Nine pergi Milan, mesti ayahanda
kau dah tahu dulu. Ada cuba cari Nine kat kawasan luar? Kat Pahang ke, Melaka?”
“Belum lagi. Tapi
Indera yakin yang Nine akan balik tak lama lagi sebab…”
“Sebab ikan tak mampu
berenang tanpa air,” pintas Dato’ Mansoor.
Inderawan hanya mampu
tersenyum kelat. Dia mengalihkan pandangannya ke sekeliling ruang tamu.
“Eh, baru abang
perasan. Kak Zara mana?” Inderawan cuba beralih angin. Dia tidak mahu Dato’
Mansoor dan yang lain bersedih.
“Kak Alice ada kat
atas. Lepas makan malam tadi, dia kat bilik. Tak turun-turun. Mungkin dia
tunggu abang kat atas kut,” usik Shaqir.
“Huh, sudahlah. Abang nak naik atas. Kerja kau orang
ni asyik mengenakan orang aje.” Kali ini giliran Inderawan pula yang
melemparkan bantal kecil itu kepada Shaqir.