Stylo Clique ^_^

Monday, August 27, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 26 ::.





BAB 26

A.D berjalan perlahan menuju ke arah lelaki yang sedang leka melakukan sesuatu terhadap motorsikal yang berada di hadapannya. Tangannya memegang spanar. A.D sempat memandang sekeliling. Salah seorang di situ mengangkat tangan sebagai tanda mengenali A.D. A.D juga membalas.
“Sibuk nampak?” tegur A.D
Ikmal atau lebih dikenali sebagai Jepun, nama samaran yang diberikan oleh kenalan sudah menjadi sinonim dengan dirinya. Matanya agak sepet dan kulitnya cerah. Jepun menoleh.
“Eh, aku ingat siapa la tadi.” balas Jepun. 

Dia bingkas bangun. Dia meletakkan spanarnya di tepi lalu mengelap tangannya yang penuh dengan minyak.
“Habis tu, kau ingat siapa?”
“Tak adalah…aku dengar suara perempuan, aku ingat awek mana kan yang nak ngurat aku.”
“Beranganlah ni?”
“Apanya nak berangan. Eh, apa cerita? Lama dah kau tak datang sini.”
“Macam nilah, Pun. Kau sibuk ke?”
“Sikitlah. Aku tengah ubahsuai sikit brek motor ni. Nak buat pakai kat litar. Kau ni tak ada angin, tiba-tiba muncul. Mimpi apa semalam?”
“Aku mimpi kau lah. Eh, litar ada orang pakai tak? Budak-budak kau ada buat latihan ke?”

Jepun melihat tangan kirinya. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang.
“Lagi setengah jam budak-budak aku nak pakai. Kenapa?”
“Aku nak guna kejap boleh?”
“Kau nak buat apa?”
“Kau ingat aku nak buat konsert ke kat litar kau ni? Mestilah nak kasi bakar motor sikit. Macam tak biasa pula kau ni.”
“Kau ni mesti ada benda yang tak kena ni kan?”
“Kau kasi ke tak ni?”
“Yalah..yalah…pakailah.”
Thanks, bro.”
“Tak ada hallah. Kau tu, bakar, bakar juga. Bawa laju-laju kat litar, jangan lupa keselamatan,” pesan Jepun.
“Aku tahulah. Kau sambunglah kerja kau. Nanti sebelum pukul 5 aku berhenti.”
Jepun menggelengkan kepala melihat telatah A.D. Litar perlumbaan dan motorsikal merupakan dunia kehidupan Jepun. A.D adalah satu-satunya gadis yang pernah dikenalinya yang tahu menunggang motosikal berkuasa besar. Jepun juga mengagumi gadis itu. Sudah menjadi kebiasaan A.D akan turun ke litarnya untuk memecut. Cuma sejak dua menjak ini A.D sudah jarang untuk melakukan hobinya itu.
A.D mengenakan jaket khas untuk perlumbaan ke tubuhnya. Sarung tangan melindungi jari jemari A.D tersarung kemas. Dia mengikat tali kasutnya dengan ketat. Akhir sekali A.D mengenakan topi keledar muka penuh Corsair V miliknya itu ke kepalanya. 
Kini, A.D berada di garisan permulaan. Enjin sudah pun dihidupkan. Kaki kirinya menekan sekali pedal gear. Dia sudah bersedia untuk memulakan aksi. A.D menggenggam pendikit yang berada bahagian kanan. Perlahan dia memerah bahagian tersebut. Motosikalnya mula bergerak. Suara Wafi bergema di fikirannya. Dia tidak mahu mendengar suara yang berjaya menghantui jiwanya. Dia mahu suara itu pergi. 

Semakin lama semakin laju motor itu mengelilingi litar. Dia mahu menenggelamkan suara itu dengan bunyi deruman enjin. Itulah tujuannya kembali ke litar lumba itu. Sejak pulang daripada kampung Wafi, satu-persatu kenangan bersama lelaki itu menjadi bayang-bayang dalam hidupnya. Dia mahu melarikan diri daripada perasaannya sendiri. Setiap kali dia berada dalam keadaan sangat tertekan, litar lumba itulah menjadi tempat untuk dia melepaskan segala-galanya.
 “Izinkan saya kenal siapa sebenarnya awak. A.D yang saya nampak dari luar tak sama dengan A.D yang ada di dalam.”
“A.D, berikan saya peluang.”
“Sebab awak pun mempunyai perasaan yang sama macam saya rasakan sekarang ni kan?”

A.D cuba menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap penunggangannya. Dia memecut laju. Entah mengapa suara itu bergema lagi. Bunyi deruman enjin yang mengaum itu tidak mampu menandingi suara Wafi yang sedang berbisik ke dalam hatinya.
Jepun memerhatikan aksi A.D dari jauh. Dia kagum dengan kebolehan A.D. A.D mampu mengawal motosikal berkuasa besar meskipun A.D tinggi tetapi susuk tubuhnya sedikit kecil. Jika A.D mengikuti latihan sepenuhnya, bakat yang ada pada gadis kasar itu boleh dibawa ke tengah.
“Pun, siapa tu? Budak baru dalam team kita ke?” soal Farid yang baru sahaja sampai untuk menjalani latihan sebentar lagi. Dia merupakan salah seorang ahli pasukan yang berada di bawah bimbingan Jepun.
“Tak adalah, kawan aku tu.”
“Boleh tahan mamat tu. Ada teknik. Kenapa tak nak tarik dia masuk dalam team kita? Ada masa lagi ni kan kalau nak ajar dia?”
Jepun tersenyum mendengar kenyataan Farid. Jepun tahu Farid menyangkakan yang A.D itulah lelaki. 
“Kau tak tengok lagi siapa orang di sebalik topi keledar tu. Kalau kau tahu, mesti kau lagi kagum.”
“Apasal pula?”
“Tengok ajelah nanti.”
Farid hairan dengan Jepun. Jepun membuatkan dirinya tertanya-tanya siapakah gerangan yang sedang memecut itu. 

Setelah melakukan tujuh pusingan, A.D mengambil keputusan untuk berhenti. A.D menurunkan stand motorsikal itu. Dia turun lalu menuju ke arah Jepun dan Farid sambil menanggalkan topi keledarnya.
“Eh? Perempuan? Biar betul?” tanya Farid sebaik sahaja melihat wajah A.D.
“Terkejut kan?”
“Gilalah. Hebat betul minah ni. Awek kau ke Pun?”
“Banyaklah kau punya awek. Dia kawan aku.” jawab Jepun sambil tersenyum.
“Apasal kau tersengih-sengih ni Jepun?” tanya A.D sebaik sahaja tiba. 

A.D memperkemaskan rambutnya, sedikit tidak teratur semasa menanggalkan topi keledar tadi.
“Tak ada bendalah. Budak aku ni lah. Terkejut tengok orang perempuan yang bakar track ni.”
“Kau memang hebatlah. Dah lama ke bawa superbike?” soal Farid, dia begitu kagum melihat kebolehan A.D.
“Dekat 3 tahun jugalah. Bawah team Jepun ke?”
Farid mengangguk.
“Ada tournament tak lama lagi.”
“Baguslah. Jepun ni lagi hebat. Sedut ilmu banyak-banyak sikit daripada dia ni.”
Farid ketawa.
“Sudahlah kau. Eh…Farid, nanti kalau budak-budak dah sampai semua kau pandai-pandailah nak buat apa. Aku nak berbual kejap dengan A.D ni. A.D, jomlah lepak kat bengkel kejap.”
“Ok. Tahulah aku nak buat apa nanti,” balas Farid.
A.D menuruti langkah Jepun sehingga ke bengkel. Jepun mengambil 2 tin air minuman 100 Plus dari dalam peti ais mini lalu diberikan salah satu kepada A.D. A.D meletakkan topi keledarnya ke tepi lalu membuka penutup tin minuman tersebut dan meneguknya.
“Apa cerita ni? Tiba-tiba nak pecut laju-laju? Lama dah kau tak lepak track aku ni.”
“Tak ada bendalah. Saja je nak kasi pecut sebab dah lama tak buat. Aku sibuk sikit. Assignment, kuliah. Serabut sikitlah kepala aku ni.”
“Aku tengok tadi teknik kau masih macam dulu lagi. Cuma masa selekoh tu kurang sikitlah.”
“Kau ni macam tak biasa pula. Memang itu kelemahan aku masa kat selekoh. Kau ajar aku banyak kali pun aku tetap tak pandai masa selekoh.”
“Kalau kau masuk team aku, semua tu boleh dibaiki. A.D, masuklah team aku. Dua bulan lagi ada tournament. Kau satu-satunya perempuan pakai superbike yang aku kenal yang ada skil tu. Kalau asah sikit, dah boleh dah. Sempat lagi kalau kau nak berlatih.”
“Kau nak aku jadi Carl Fogarty ke? Tak pun Valentino Rossi versi perempuan? Kau tahukan aku bawa superbike ni suka-suka aje. Tak pernah terfikir nak berlumba pun. Mungkin ini kali terakhir kot aku bakar litar kau ni.”
“Kali terakhir? Kau nak berhenti? Apasal? Bila?”
“Aku tak tahu lagi bila nak berhenti. Banyak benda aku nak buat. Kuliah aku, aku dah semester akhir. Lepas tu nak uruskan syarikat bapa aku lagi.”
“Kau biar betul ni? Ke pasal hati dan perasaan ni? Siapa yang dah berjaya mencuri hati kau ni?” duga Jepun.
“Kau jangan nak merepeklah Jepun. Mana ada.”
“Hello minah superbike, aku kenal siapa kau tau. Aku tengok muka kau pun aku dah tahu. Kalau setakat kau sibuk dengan kuliah dan kerja, tak ada maknanya kau nak berhenti terus. Kau boleh relaks kejap kan? Ni tidak, nak berhenti terus.”
“Tak adalah. Aku ni perempuan. Sampai bila aku nak naik superbike tu? Takkanlah sampai beruban baru aku nak berhenti. Lainlah kalau kau. Kau lelaki. Motor dengan lelaki memang dah sinonim.”
“Memang sah ada orang yang dah berjaya ubah pendirian kau ni. Lebih baik kau cakap dengan aku. Penat aku mengurat kau dulu tapi kau tak layan pun. Kau cakap apa dengan aku dulu? Kau tak akan jatuh cinta sebab kau cakap lelaki ni semuanya sama aje. Fikir nak seronok dengan perempuan. Tapi sekarang apa cerita?”
“Suka hati kaulah Jepun. Lebih baik kau pergi tengok budak-budak kau buat latihan tu lagi bagus.”
A.D cuba mengelak. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang dia sudah tidak mampu mengawal hatinya.
“Kau memang sengaja mengelak. Pandai ubah topik. Eh, tapi kau betul ke tak nak masuk team aku? Sayang tau. Kau bukan setakat ada teknik tapi ada potensi untuk bersaing dengan pelumba lelaki yang lain.”
A.D menggeleng. Akan hal itu dia pasti dengan pendiriannya sendiri.
“Kalau kau betul nak berhenti, ninja hijau kau tu kasi jual kat aku.” pinta Jepun sambil matanya memandang ke arah motorsikal Kawasaki Ninja milik A.D.
“Apasal? Berkenan? Tengoklah nanti macam mana. Kalau aku rasa dah tak nak pakai lagi, aku tolak dengan kau.”
“Cantik. Macam tulah.”
A.D hanya tersenyum. Jepun segera menuju ke motorsikal A.D. Dia membelek-belek keadaan motor yang bakal menjadi miliknya suatu hari nanti. 

-----------------------


Wafi meletakkan beberapa gulungan pelan lukisan dan topi keselamatan di tapak pembinaan berwarna putih itu di tempat duduk belakang. Dia baru sahaja selesai melawat kawasan pembinaan itu untuk memastikan terdapatnya perkembangan untuk mengelakkan projek bangunan itu tidak tergendala. Belum sempat kaki kirinya melangkah masuk ke dalam kereta, dia terpandang satu susuk tubuh sedang menghampirinya. Lelaki itu sedang melintas dan menuju ke tempatnya. Dia seperti mengenali wajah itu. Lelaki di pandangannya itu lebih tinggi sedikit daripadanya dan berkulit gelap.
“Tak silap, kau ni Wafi kan?” 
Ya, Wafi pasti dia mengenali pemilik suara itu. Dia cuba untuk mengembalikan ingatannya. 
“Mmmmmmm….tak silap aku. Kejap, Syafiq….Syafiq apa?” soal Wafi sambil jari di tangan kanannya dipetik.
“Syafiq Haikal.”
“Ha….Syafiq Haikal.”
“Panggil Haikal sudah. Jarang orang panggil nama aku Syafiq. Eh, kau buat apa kat sini?”
“Aku baru siap tengok kawasan tapak pembinaan ni. Tengok perkembangan.”
“Bangunan tengah naik ni kau yang uruskan? Hebatlah kau.”
Wafi mengangguk.
“Tak adalah. Biasa aje. Dah jadi tanggungjawab aku. Kau pula buat apa kat sini?”
“Aku baru jumpa client aku. Bos aku sibuk cari pasaran. Wah, rambut kau boleh tahan panjang ni. Dah macam ala-ala Faizal Tahir bila kau ikat rambut kau ni. Aku pun nak cuba jugalah simpan rambut panjang.”
“Kau nak simpan rambut panjang? Kasanova Malaya nak ke rambut berikat macam ni? Tak macho la kan? Apa cerita sekarang? Kiranya kau baru balik dari London la ni? Berapa lama kau kat sana?”
Syafiq Haikal merupakan kenalannya merangkap sepupu kepada Nadhira. Mereka kenal antara satu sama lain semasa awal percintaannya dengan Nadhira. Haikal dan Wafi berkongsi minat yang sama iaitu sukan ragbi. Tubuh Wafi lebih sasa berbanding Haikal meskipun ketinggian Wafi kurang sedikit daripada lelaki itu. Haikal mewakili pasukan ragbi universitinya di London. Jika Haikal pulang ke Malaysia, itulah topik yang akan mereka bincangkan.
“Baru habis belajar. Aku kat sana lebih kurang 3 tahun lebih.”
How London? Awek mat saleh cantik?”
“Mestilah cantik, kulit putih melepak tu. Perempuan mat saleh tak kedekut. Kat sana senang sikit kalau nak berseronok berbanding kat Malaysia ni.”
“Kau tak sudah-sudah dengan perangai kaki perempuan kau tu kan? Memanglah, kalau kau peluk cium kat sana pun siapa nak tangkap kau? Aku rasa kau bukan setakat kasanova Malaya je tau. Silap-silap kasanova London.”
“Nak buat macam mana Wafi, aku tak minta pun untuk dilahirkan dengan muka yang bergaya macam ni.”
“Perangai tak berubah. Sekarang kau kerja kat mana?”
“Sekarang ni aku kerja kat syarikat pak cik aku.”
“Pak cik kau? Maksudnya syarikat Datuk Hamdan?”
“Yalah. Syarikat bakal bapa mertua kau tulah. Dhira tak cerita apa-apa kat kau ke? Kau macam terkejut aje?”
“Memanglah aku terkejut. Aku baru nampak kau sekarang ni.”
“Peliknya. Baru dua tiga hari lepas aku tanya dengan Dhira pasal kau. Takkanlah Dhira tak cerita apa-apa pasal aku dengan kau? Dia cakap kau orang berdua ok aje. Cuma dia cakap dengan aku yang kau sibuk kerja untuk cari duit. Lagipun kau orang berdua dah nak kahwin kan?” tanya Haikal.
Wafi seperti tercengang apabila mendengar pertanyaan Haikal. Dia sama sekali tidak menyangka sejauh itu Nadhira tidak mampu untuk menerima kenyataan. Nadhira berbohong dengan Haikal akan kedudukan sebenar hubungan mereka. 
“Dhira cakap macam tu?”
“Yalah. Kenapa? Kau tak nak kahwin dengan dia ke?”
“Masalahnya aku dengan dia………..”
Tiba-tiba telefon bimbit Haikal berdering. Lantas Haikal membalas panggilan tersebut. Kedengaran perbualan mesra keluar daripada bibir itu. Setelah beberapa ketika, dia memutuskan panggilan.
“Wafi, aku ada hal. Lupa pula dah janji dengan minah ni.”
“Minah mana? Awek baru?”
“Biasalah. Ni kad aku. Apa-apahal telefonlah. Nak main ragbi ke, aku pun dah lama tak main ni,” ucap Haikal sambil menghulurkan kad namanya.
Kad tersebut kini bertukar tangan. Wafi juga mengambil kad nama miliknya lalu menghulurkan kad tersebut kepada Haikal. 
“Wafi Azrel Shah, Chief Executive Officer Bina Kurnia Berhad? Ini baru betul-betul hebat. Gilalah kau. Muda-muda dah jadi C.E.O. Bina Kurnia ni bukan salah satu nama syarikat besar dalam pembinaan ke?”
“Ini namanya rezeki. Kalau kau dapat muka handsome, aku pula dapat benda lain. Inilah rezeki aku yang Allah kasi.”
Haikal hanya mengangguk. Perasaan kagum muncul apabila memandang Wafi. Sama sekali tidak menyangka Wafi sudah jauh melangkah. 



.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 25 ::.




BAB 25


“Macam mana awak boleh tidur kat bilik tu?” soal A.D.
“Saya tak sengaja,” jawab Wafi.
“Awak juga yang cakap nak keluar lepas saya dah tidur kan?”
“Memanglah tapi tak sengaja. Awak punya pasallah ni. Siapa suruh mengigau tengah-tengah malam.”
“Amboi…..sayalah yang salah? Siapa suruh awak takut-takutkan saya?”
“Saya pula? Siapa suruh awak nak buang air sangat masa tu?”
“Awak ingat nak buang air ni boleh tahan-tahan ke? Habis tu, dah bilik air kat dalam tu airnya keluar kecil aje.”
“Abang, Kak A.D….janganlah gaduh lagi. Sekarang ni nenek dah merajuk,” tegur Wadi.

Setelah mereka solat subuh bersama, Nenek Esah meminta penjelasan daripada mereka. Ibarat cuba menutup bangkai gajah, segala-galanya tidak mampu diselindungkan lagi. Apa yang menyebabkan Nenek Esah mengurungkan dirinya di dalam bilik ialah apabila mengetahui sebab A.D dan Wafi bernikah. Dia kecewa. Setelah mendengar penjelasan mereka, tanpa mengucapkan sebarang patah perkataan Nenek Esah menuju ke biliknya.
A.D dan Wafi sama-sama mendiamkan diri.

“Sekarang kita kena cari jalan macam mana nak pujuk nenek. Tadi pun masa Wadi hantar ubat pening kepala kat nenek, nenek tak ada cakap apa-apa pun. Wadi bukannya nak masuk campur urusan abang dengan akak, lagipun Wadi masih mentah lagi nak cakap pasal ni. Cuma, kalau Wadi kat tempat nenek pun Wadi akan rasa apa yang nenek rasa.”

Wafi menoleh ke arah adiknya. Dia juga rasa bersalah terhadap Wadi.

“Wadi, abang minta maaf. Abang tak sepatutnya rahsiakan perkara ni. Abang ingat abang boleh kawal keadaan ni. Tapi……”
“Abang nak rahsiakan semua ni daripada Wadi dengan nenek? Sampai abang dah cerai nanti pun abang tak nak beritahu kan? Sampai abang dah dapat kumpul RM20,000 tu pun abang tak nak sesiapa tahu?"
Wafi membisu. Kata-kata Wadi ada benarnya. Dia sangka dia mampu menyembunyikan semua itu daripada pengetahuan Nenek Esah. Niat dia membawa A.D ke rumahnya hanyalah mahu menenangkan jiwa itu akan tetapi apa yang telah terjadi menyebabkan dia tidak mampu untuk mengawal perasaannya. Satu-persatu kenangan dicipta bersama oleh mereka.
“Wafi, kenapa awak beritahu nenek pasal duit tu? Saya tak sanggup nak tengok nenek kecewa macam tu sekali?”
“Masalahnya saya dah tak boleh nak tipu nenek. Memang saya boleh tipu semua orang. Satu dunia saya boleh bohong tapi bukan dengan nenek saya. Awak nak nenek lebih kecewa ke kalau dia tahu hal ni lain kali? Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”
“Saya tahu awak tak boleh bohong tapi awak boleh cakap alasan lain kan?”
“Awak nak saya cakap alasan apa? Saya tak boleh fikir alasan lain yang lebih munasabah melainkan saya cintakan awak dan awak sayangkan saya, macam tu?”
Spontan sahaja ayat itu keluar. Wafi sendiri tidak tahu bagaimana baris ayat itu boleh keluar. Umpama dia sedang meluahkan perasaannya. A.D tercengang. Dia terkejut. 
 Pandangan mereka bertemu. Perasaan A.D ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Jikalau alasan itu boleh digunakan, A.D langsung tidak menolak.
Tak mungkin A.D. Tak mungkin. Kau dengan Wafi tak boleh ada perasaan tu. Wafi milik Nadhira. Dia nikah dengan kau sebab Nadhira.
“Awak gila ke nak cakap macam tu? Awak kan dengan Nadhira. Lagipun saya ada prinsip, awak lupa?”
A.D cuba menyembunyikan perasaannya.
“Habis tu? Awak nak saya cakap apa lagi?”
“Abang Wafi, Kak A.D…janganlah kusutkan lagi keadaan.”
“Kak A.D minta maaf. Ni semua salah Kak A.D. Kalau akak tak minta Wafi balas balik jasa baik akak sebab dapatkan dia kerja, benda ni tak akan jadi.”
“Bukan salah awak, kalau saya tak setuju dengan rancangan tu perkara ni tak akan jadi.”
“Saya yang minta awak jadi suami olok-olok saya kan? Jadi, saya yang salah.”
“Masalahnya, awak dah tolong saya. Kalau saya tak terima pertolongan awak, awak tak akan minta saya kahwin dengan awak.”
Wadi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dahinya berkerut memerhatikan karenah abang dan kakak iparnya itu. Baru sebentar tadi mereka saling tuduh-menuduh antara satu sama lain. Masing-masing menyalahkan pihak yang lain. Tetapi kini, mereka sama-sama mahu menanggung kesalahan itu. Tiba-tiba sahaja melindungi sesama mereka. 

Wadi tersenyum sendiri. Melalui pandangannya, dia dapat merasakan ada suatu perasaan yang wujud di antara mereka. Dia juga lelaki. Dia dapat melihat pandangan Wafi terhadap A.D. Setiap kali mata mereka bertemu, Wadi dapat melihat mata abangnya itu seperti mampu tersenyum. Pandangannya beralih kepada A.D. Sememangnya kakak iparnya itu kelihatan kasar dengan penampilannya. Namun, Wadi dapat melihat gadis itu bertukar menjadi gadis yang memerlukan perlindungan sewaktu kejadian di air terjun tempoh hari.
“Apa kata abang dengan akak masakkan nenek sesuatu? Nenek suka kalau cucu dia masakkan untuk dia. Wadi kenal sangat nenek tu macam mana.”
Wadi sengaja mencelah. Dia mahu memberhentikan pertengkaran mereka yang tiada kesudahan itu.
--------------------------


Wafi dan A.D masuk ke dalam bilik Nenek Esah. A.D sedang menatang sepinggan kuih karipap inti kentang dan daging. Baru sahaja tadi Nenek Esah meminta Wadi untuk memberikannya ubat pening kepala. Itulah kesempatan yang Wafi dan A.D ada. Wafi dan A.D tahu yang mereka dipihak yang salah. A.D juga tak mahu Nenek Esah kecewa. Orang tua itu terlalu baik dengannya.
“Nenek,” panggil Wafi.
Nenek Esah segera memalingkan muka apabila mendengar suara itu.

“Nenek, Wafi minta maaf.”
“Betul tu nek. A.D pun nak minta maaf.”
“Buat apa nak cakap dengan nenek? Nenek kan tak penting. Kau orang berdua kahwin pun kejap lagi nak ceraikan?”
Nada Nenek Esah jelas kecewa.
“Nek.”
Tangan Wafi cuba menyentuh tangan Nenek Esah. Namun segera Nenek Esah menepis. Wafi memandang A.D.
“Awak, biar saya cakap dengan nenek,” pinta A.D. 
Wafi mengangguk. A.D meletakkan pinggan itu di atas meja bersaiz kecil dan rendah di sisi katil. Tempat mereka bertukar.
“Nenek, A.D dengan Wafi memang tahu kami yang salah dalam hal ni. Perkara yang besar macam ni tak sepatutnya dirahsiakan. Tapi nek, percayalah. Jauh dalam hati kami apatah lagi langsung tak pernah berniat untuk kecewakan nenek.”
“Habis tu, sebab kamu berdua kahwin tu tak kecewakan nenek? Kamu berdua ingat kahwin ni macam main pondok-pondok tu ke? Hari ni kahwin, lepas tu esok cerai. Bila dah cukup duit Wafi tu, kamu berdua nak cerai. Nenek betul-betul kecewa. Selama ni nenek didik Wafi dengan didikan dunia dan akhirat tapi kamu anggap nikah ni macam perjanjian?”
Air mata Nenek Esah bertakung.
“Nenek, memang itu salah kami. Tapi nenek pernah cakap dengan A.D yang tak ada satu manusia pun kat dalam dunia ni tak pernah buat silap. Kalau tak buat silap dan dosa bukan manusia namanya. Ada sebab kenapa manusia itu buat silap.”
Nenek Esah segera menoleh, dia menatap wajah A.D.
“Nenek…InsyaAllah kalau betul jodoh A.D dengan Wafi, Allah akan panjangkan jodoh kami. Bukan kita yang menentukan segala-galanya. Apa yang kita rancang tak semestinya itu yang jadi.”
Wafi terkejut. Dia sama sekali tidak menyangka kata-kata itu akan keluar daripada bibir A.D. Adakah benar apa yang dibicarakan? Atau itu semuanya hanyalah kata semata-mata untuk melegakan hati Nenek Esah?
“Maksud A.D?”
“Wafi insan yang baik nek. Bertuah kalau siapa yang memiliki hati dia. Tapi mungkin bukan A.D orangnya. A.D tak layak untuk menerima kasih sayang daripada lelaki yang lain. A.D tak berhak.”
“A.D sayang Wafi?” soal Nenek Esah tetapi pandangannya menjeling ke arah Wafi yang sedang berdiri. Dia tahu cucu sulungnya itu menyimpan perasaan terhadap A.D.
“A.D tak boleh ada perasaan itu nek.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab ada orang yang lebih layak untuk dia.”
“Tapi nenek suka kalau A.D yang jadi cucu menantu nenek.”
A.D hanya tersenyum. 
“Nenek minta teramat sangat dengan A.D, jangan cerai dengan Wafi. Nenek tak kecewa kalau Wafi tak beritahu nenek pasal pernikahan kamu berdua tapi nenek akan sedih kalau kamu runtuhkan masjid kamu sendiri.”
“Nek…..A.D tak ada kuasa……..”
“Nek, Wafi akan jaga A.D sampai bila-bila.” celah Wafi.
“Betul?”
“Nek, pernah tak Wafi mungkir janji dengan nenek?”
Perlahan-lahan bibir Nenek Esah menguntum senyuman. 
Drama apa yang kau dengan Wafi mainkan ni? Watak apa yang sedang kau lakon kan ni? Kenapa semua kata-kata tu keluar daripada bibir Wafi? Adakah janji ini hanyalah khayalan atau kenyataan? 
Bertubi-tubi soalan muncul di fikiran A.D apabila dia memandang wajah Wafi. Wafi begitu tenang. Wajahnya jelas menampakkan ketulusan. Wajah tenang itu pernah ditatap sebelum ini ketika ayahnya mahu berangkat mengerjakan umrah. Senang benar Wafi menaburkan janji. Kekeliruan semakin membelenggu jiwanya. Dia keliru dengan tindak balas Wafi terhadap dirinya. Dia juga bercelaru dengan perasaannya.
“Nenek makan ya? Dari pagi tadi nenek belum makan,” pinta A.D. Dia mahu mengubah topik perbualan. 
“Cuba nenek rasa. A.D yang tolong Wafi buat tadi. Nenek tengoklah jari A.D tu. Berbalut sebab tak pandai kupas kentang.” ucap Wafi.
Nenek Esah melihat jari jemari A.D. jari telunjuk kirinya dibalut dengan kain kasa putih.
“Tak apa, yang penting A.D cuba. Sini, biar nenek rasa.” 
Nenek Esah mengambil sebiji karipap yang berada di pinggan. Sejuk hatinya melihat kesungguhan A.D dan Wafi mahu memujuknya. Dia mengharapkan perkahwinan cucunya kekal hingga ke akhir hayat.  
-------------------

Tumpuan Wafi terhadap pemanduannya terganggu. Fikirannya hilang fokus kerana kata-kata A.D tadi. Sekali sekala pandangannya diselang-selikan dengan A.D yang berada di sebelahnya. Mata Wafi melihat meter paras kelajuan. Jarum itu menunjukkan ke angka 60km/j. Dia sengaja memandu perlahan.
“Awak ada nak cakap apa-apa ke dengan saya?” soal A.D tiba-tiba. 
Dia sedar dirinya sedang diperhatikan.
“Kenapa awak tanya?”
“Saya ni tak cantik, saya ni tak macam perempuan tapi mata awak tu tak sudah-sudah menjeling kat saya. Kalau bukan sebab awak nak tanya saya soalan, apa lagi?”
Wafi tersenyum. Sama sekali tidak menyangka A.D juga bijak membaca bahasa tubuhnya. Jika dia dapat membaca bahasa tubuhnya, masakan A.D tidak dapat mengagak akan isi hatinya? Ataupun, A.D sengaja mahu mengelak? Dia sendiri tertanya-tanya mengapa sering kali A.D menyatakan yang dia tak layak untuk siapa-siapa. Mengapa A.D mengatakan yang dirinya akan menyesal jika dia mengetahui siapa A.D sebenarnya sedangkan Wafi begitu asyik dan bahagia mengenali sifat di sebalik gadis berambut pendek itu.
“Apa yang awak cakapkan dengan nenek tu betul ke?”
A.D tersentak. Namun dia berusaha untuk berpura-pura seperti tidak tahu.
“Saya cakap apa?”
“Nenek…InsyaAllah kalau betul jodoh A.D dengan Wafi, Allah akan panjangkan jodoh kami. Bukan kita yang menentukan segala-galanya. Apa yang kita rancang tak semestinya itu yang jadi.”
Masih lagi jelas tutur katanya sendiri di fikiran A.D.
“Betul ke awak harap jodoh kita dipanjangkan kalaulah betul saya ni jodoh awak?”
“Ooohh…yang tu ke? Awak, saya buat tu sebab tindakan spontan.”
“Tindakan spontan?”
Wafi segera menekan pedal brek. Dia segera memutarkan stereng kereta ke kiri. Kereta yang tadi bergerak sudah pun berhenti.
“Apasal ni?” soal A.D.
A.D kaget dengan reaksi Wafi.
“Awak cakap apa yang awak beritahu nenek tu semua tindakan spontan?”
“Yalah. Tindakan spontan. Awak tak belajar sains ke dulu masa sekolah? Manusia akan buat tindakan secara tak sengaja kalau ada berlakunya satu kejadian. Lupa?”
A.D sengaja mengembalikan paku buah keras kepada Wafi.
“Saya tahu tapi kenapa tindakan spontan?”
“Nenek tengah kecewa, saya rasa saya perlu cakap macam tu untuk legakan hati dia.”
“Awak tipu nenek?”
“Saya tak tipu. Kan saya cakap kalau awak tu jodoh saya. Sekarang masalahnya awak dengan Nadhira. Awak sayang dia, dia perempuan yang awak cari selama ni dan dia pun sayang awak.”
“Macam mana kalau saya bukan dengan Nadhira? Kalau saya cakap saya dah tak ada apa-apa dengan dia? Kalau saya cakap saya boleh terima awak seadanya?”
Pertanyaan Wafi dibalas dengan pandangan yang kaku. A.D hanya mampu menatap mata wajah itu. Bibirnya membisu. Alangkah bahagianya kenyataan Wafi itu ditelinga A.D. Dia mampu menyulam kebahagiaan bersama lelaki itu jika lelaki itu boleh menerima dirinya. Persoalannya, mampukah Wafi menerima kenyataan itu? Perlahan-lahan A.D cuba menguntum senyuman. Dipaksa bibirnya untuk berbicara. Dia mahu menghadapi kenyataan bukan khayalan.
“Kalau awak bukan dengan Nadhira sekalipun dan awak dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia sekalipun, tak mungkin awak akan terima saya kan? Saya bukan perempuan idaman awak. Saya bukan perempuan. Awak tak akan suka dengan saya apatah lagi nak jatuh cinta dengan saya dan mustahil untuk awak terima saya sebagai isteri awak. Awak sendiri yang cakap macam tu. Perempuan macam saya ni awak tak akan pandang. Memang awak buta la kalau awak boleh suka kat perempuan macam saya ni, apa lagi nak buat bini. Awak yang cakap dengan saya masa mula-mula kita jumpa dulu. Awak lupa?”
Perasaan Wafi tersentak. Jiwanya sakit tatkala A.D menyebut kembali kata-katanya dulu. Jika dia dapat memutarkan kembali ke saat itu, dia akan menarik semula kenyataannya. Malah, dahulunya dia yang buta tetapi kini dia celik. Celik dengan erti cinta sebenar. Bukan luaran yang dicari, tetapi dalaman. 

Kadangkala kesempurnaan itu tidak memerlukan sesuatu yang lengkap sebaliknya kesempurnaan itu ialah kesederhanaan. Itulah ayat yang sesuai untuk menggambarkan kesempurnaan dalaman A.D. Dia sederhana, tidak punya sebarang kesempurnaan bagi ciri-ciri wanita idaman tetapi apa yang ada dalam diri gadis itu sudah cukup membuatkan dia sempurna di mata Wafi.
“Qurnia Adriana, awak lain daripada yang lain.”
“Awak cakap apa ni?”
“Awak tak sama dengan Nadhira, bukan setakat Nadhira malah perempuan yang lain.”
“Saya tak faham.”
“Izinkan saya kenal siapa sebenarnya awak. A.D yang saya nampak dari luar tak sama dengan A.D yang ada di dalam.”
“Awak akan menyesal kalau tahu siapa saya.”
“Kenapa awak tak nak cuba beritahu saya?”
“Saya tak boleh. Saya nak buang kenangan dulu.”
“A.D, berikan saya peluang.”
“Saya tak nak awak kecewa.”
“Kenapa awak tak nak saya kecewa?
“Saya………”
Lantas jari jemari Wafi berada di bibir itu.
“Sebab awak pun mempunyai perasaan yang sama macam saya rasakan sekarang ni kan?”
Perasaan A.D tidak menentu. Detik peristiwa bibir Wafi menyentuh bibirnya kembali menjelma. Ketika itu Wafi bukan setakat menghembuskan nafas ke dalam dirinya malah lelaki itu telah menghembuskan suatu perasaan ke dalam hatinya. Satu perasaan yang tak mampu A.D nafikan lagi. Wafi terlalu baik terhadap dirinya. Meskipun awal perkenalan penuh dengan pertengkaran tetapi lama-kelamaan Wafi mula mengubah tanggapannya terhadap lelaki. Puas dia mengubah penampilan dirinya untuk mengelakkan dia jatuh cinta. Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu tandingi. Allah telah membuka hatinya untuk Wafi.
“Kalau ada sekalipun saya tak boleh.”
“Kita cuba. Kita sama-sama kenal antara satu sama lain. Kalau awak tak mampu nak ceritakan apa yang berlaku, awak boleh simpan semua tu. Sebab, apa yang saya tahu sekarang ni awak dah mengubah kehidupan saya. Awak tak rasa ke mungkin ada sebab kenapa Allah gerakkan hati awak untuk jadikan saya sebagai suami awak sedangkan masa tu saya dan awak pantang bertemu? Awak tak rasa ke ada sebab kenapa Allah gerakkan hati awak untuk jadikan saya suami awak sedangkan masa tu saya adalah musuh awak?”
Jauh di sudut hati A.D, itulah harapannya juga. Dia mahu menerima Wafi tetapi dia merasakan dirinya tidak layak untuk sesiapa.


Monday, August 13, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 24 ::.




BAB 24


A.D memerhatikan jam di dinding ruang tamu sebaik sahaja keluar daripada bilik. Waktu sudah menjengah pukul 10.30 malam. Kelihatan Wadi sedang leka menonton drama di TV3. Kakinya sudah boleh menapak dengan lebih baik setelah diurut oleh Nenek Esah petang tadi. Langkah A.D perlahan menuju ke dapur. Wafi sedang membantu neneknya membancuh tepung untuk membuat kuih kaswi. Kuih itu akan dijadikan sarapan untuk esok pagi. Wafi menoleh ke belakang setelah mendengar bunyi tapak kaki.

“Awak nak pergi mana?”
“Saya nak pergi tandas.”
“A.D, melangkah tu hati-hati ya. Kaki A.D tu baru aje baik.”
“Baik, nek. Nenek tengah buat apa?”

A.D sempat bertanya sebelum dia menunaikan qada’ hajatnya.

“Nenek buat kuih kaswi. Si Wafi ni, sibuk sangat suruh nenek buat. Rindu nak makan katanya. A.D nak belajar?”
“Boleh juga. Tapi nek, A.D nak pergi tandas dulu.”
“Yalah.”

Wafi tersenyum dengan perubahan A.D. A.D sudah mula menyesuaikan diri dengan keluarganya. Sebaik sahaja sampai di tandas, A.D mendapati baldi itu kosong. Dia memulas kepala paip, dia mahu menadah air terlebih dahulu. Sudah puas dia memutarkan kepala paip itu sehingga habis mengikut arah jam. Akan tetapi air yang keluar hanyalah titisan kecil. A.D keluar menuju ke tempat Wafi dan Nenek Esah.

“Nek, rumah ni tak ada air ke? Kenapa air paip tu macam tak keluar aje?”
“Astaghfirullahalazim, nenek lupa nak beritahu dengan A.D. Kalau malam minggu macam ni, kadang-kadang air paip kat bilik air tu memang macam tu. Agaknya ramai orang guna bila malam minggu ni. Maklumlah, rumah kampung. Tekanan air kurang.”
“Kalau awak rasa tak tahan sangat nak buang air, boleh pergi bilik air kat luar. Sebelum ada bilik air kat dalam ni, kita orang biasa pergi bilik air kat luar. Kena cedok air kat perigi,” sakat Wafi.

Wajah A.D serta-merta berubah.

“Kena cedok air kat perigi?”

Nada A.D jelas kebimbangan.

“Ish kamu ni. Buat malu nenek ajelah. Sekarang kan dah zaman moden. Ingat zaman dulu ke? A.D, tak payah cedok air perigi. Bilik air kat luar tu dekat sikit dengan paip utama. Jadi tekanan tak banyak sangat. Suis lampu ada dekat dengan pintu luar tu.”

A.D mahu membatalkan niatnya tetapi dia merasakan dia harus meneruskan qada’ hajatnya. A.D seperti tiada pilihan. Dia segera membuka pintu yang terletak di dapur.

“Baik-baik kalau guna bilik air kat luar tu. Dah malam ni, lepas tu gelap. Lagi satu tempat tu macam keras.” sakat Wafi. Sudah lama dia tidak mengenakan A.D

Langkah A.D terus terhenti. Dia menjeling ke arah Wafi.

Mulut dia ni memang jahat. Mentang-mentang kau dah selamatkan aku siang tadi. Aku tarik ekor kuda tu baru tahu. Desis hati A.D.

“Kenapa tak keluar? Takut?”

Wafi sengaja mahu menguji A.D.

“Mana ada takut. Saya tarik rambut awak yang macam ekor kuda tu baru tahu.”

Itu dia. A.D yang dulu sudah pun kembali. A.D yang dikenalinya pasti akan melawan kembali jika Wafi menyakatnya. Sudah lama A.D tidak mengeluarkan ayat itu dari bibirnya.
Nenek Esah ketawa. Tidak sangka A.D akan menggelarkan rambut Wafi sebagai ekor kuda.

“Nenek sokong A.D. Rambut panjang Wafi ni kalau ikat macam ekor kuda. Sudah, jangan dengar cakap Wafi ni. Nenek dah lama duduk kat sini. Tak ada apa-apa kat luar tu.”
“Nenek ni, bukan nak sokong Wafi. Rambut Wafi ni fesyen, nek. Macam Faizal Tahir.”

A.D ketawa kecil. Tidak menyangka sama sekali Nenek Esah akan berada di pihaknya.
A.D memandang semula keluar. Bilik air di luar tidak jauh daripada rumah, jaraknya lebih kurang lima belas langkah A.D. Hanya mengenangkan yang dia tidak tahan untuk membuang air, A.D cuba memberanikan dirinya. Dia menapak perlahan sambil memandang sekeliling. Jika Wafi tidak menyakat dan cuba menakut-nakutkannya tadi, pasti dia tidak merasakan perasaan takut itu. Entah mengapa dia merasakan perjalanan untuk sampai ke bilik air itu jauh.

“Habis, Wafi tu kenakan A.D. memandai je cakap bilik air tu keras.”
“Nek, memanglah bilik air tu keras. Kan ada dinding dengan lantai bilik air tu. Kalau tak ada dinding, macam mana nak mandi kat luar tu. Betul tak?”
“Ish….budak ni ada je menjawabnya. Pergi kamu tengok A.D tu. A.D tu dahlah tak biasa. Kalau kamu tak nak pergi tengok, nenek tak nak buat kuih kaswi ni,” ugut Nenek Esah.
“Oklah..oklah. Nenek sekarang ni dah macam gangster, pandai main ugut-ugut.”

Nenek Esah hanya menggeleng melihat gelagat Wafi. Wafi segera bangun lalu menuju ke arah luar. Dia melihat A.D sedang berjalan dengan perlahan sambil mata itu meliar ke sekeliling.

Tiba-tiba sahaja A.D mendengar bunyi ranting berdetap dipijak orang. Perasaan takut semakin menyelubungi jiwanya. A.D berharap bunyi itu hanyalah khayalannya. Akan tetapi bunyi tapak kaki semakin menghampirinya dan tiba-tiba berhenti. Sedaya upaya mengumpulkan keberanian yang ada, A.D menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya A.D tatkala melihat Wafi sudah berada di belakangnya.

“Awak rupanya.”

Jelas nada suara A.D seperti lega. Wafi tersenyum memerhatikan riak wajah itu. A.D mengurut perlahan dadanya.

“Awak ni memang penakut kan?”
“Saya tak akan takut kalau tak ada orang yang takutkan saya. Saya selalu juga balik kerja tengah malam tapi saya biasa aje. Faktor dan anasir luar yang suka dengki macam awak ni la yang buatkan saya takut.”
“Awak ni memang macam budak kecil kan?” ucap Wafi sambil merenung ke arah mata A.D.

Perasaan A.D menjadi tidak menentu. Dia merasakan kata-kata Wafi mengusik jiwanya.

“Kan terang kat luar ni. Awak pergi masuk, saya tunggu kat luar.”

Pantas sahaja langkah A.D masuk ke dalam bilik air itu. Bukan hanya kerana dia mahu membuang air tetapi dia mahu mengelak daripada pandangan itu. A.D menutup pintu dengan selak yang berada di pintu. Sebaik sahaja kakinya mahu melangkah menuju ke paip, dia merasakan kakinya seperti terpijak sesuatu yang licin dan sejuk. A.D menjeling ke lantai. Alangkah terkejutnya A.D apabila melihat seekor katak sedang berada di atas lantai.

“Awak…!!!” jerit A.D.

Wafi yang sedang memandang langit segera menoleh ke pintu bilik air.

“Awak, kenapa?”

Wafi mengetuk pintu itu dengan kuat. A.D membuka selak lalu membuka pintu. Wafi terkejut kerana A.D segera meluru ke arahnya. Kaki A.D terlanggar penghadang pintu lalu menyebabkan dirinya tersadung ke hadapan dan Wafi sempat menyambutnya. Kini tubuh A.D berada di dalam dakapan lelaki itu. A.D sudah lupa dengan keadaan mereka berdua. Wafi menyedari akan hal itu, namun dibiarkan sahaja.

“Kenapa ni?”
“Ada katak dalam bilik air tu.”
“Mana?”

Wafi menjengah masuk ke dalam dan dia melihat katak itu sedang melompat kecil. Wafi ketawa melihat wajah A.D yang hampir pucat itu.

“Saya ingat awak ni takut hantu aje, rupanya katak pun takut juga?”
“Saya tak takut katak tapi saya geli.”

Wafi mencebikkan bibirnya. Tidak percaya dengan kata-kata A.D. Perempuan tetap perempuan.

“Eh, cuba tengok kat tepi tu. Bapa dengan mak katak tu cari anak dia,” tipu Wafi.
“Mana?”

Sekejap sahaja A.D sudah memaut lengan Wafi sebaik sahaja mendengar kata-kata Wafi. Genggaman tangannya semakin erat.

“Kat kaki awak tu. Dia ikut awak.”

A.D segera meletakkan dirinya rapat dengan Wafi. Tangannya sudah memeluk tubuh Wafi. Dalam keadaan kelam kabut begitu, dahi A.D terkena bibir Wafi. Sekali lagi A.D merasakan bibir lembut itu ditubuhnya. Jika siang tadi bibir itu bertemu dengan bibirnya, kini bibir itu bertemu dengan dahinya secara tidak sengaja. Wafi juga kaget dengan apa yang berlaku. Jika pembesar suara diletakkan di dada mereka berdua, pasti degupan jantung itu dapat didengar dengan jelas.

“Kenapa awak peluk saya?” soal A.D
“Awak cakap saya peluk awak? Awak yang peluk saya.”
“Saya peluk awak?”

A.D cuba menahan malu. Hatinya kian resah.

“Aduh….”

A.D berpura-pura merintih. Tangannya yang memeluk Wafi tadi sedang cuba menyentuh kakinya.

“Ibu jari kaki sakit sebab terlanggar kayu kat pintu tu.”

Wafi juga berpura-pura seperti biasa.

“Saya halau katak tu dulu.”

A.D mengangguk. Wafi meninjau keadaan di dalam bilik air itu.

“Katak tu dah jumpa mak dengan bapa dia. Dah tak ada. Awak boleh buang air sekarang. Saya tunggu kat luar.”
“Awak pasti dah tak ada? Kalau saya masuk tiba-tiba dia ada lagi macam mana?”
“Kalau katak tu ada lagi, awak ciumlah dia. Mana tahu boleh menjelma jadi putera katak.”

A.D memasamkan mukanya. Jenaka itu langsung tidak mencuit hatinya.

“Habis tu, awak nak saya masuk dalam sekali ke tengok awak buang air?”
“Gila,” ucap A.D lalu masuk ke dalam semula. 

Semakin A.D cuba mengelak, takdir semakin menghampirkan dirinya dengan Wafi. A.D menyentuh dahinya manakala Wafi yang berada di luar menyentuh bibirnya. Wafi tersenyum sendiri.

----------------------

Wafi menoleh ke kiri, Wadi sudah pun terlena. Nyenyak benar tidur adiknya itu. Setelah itu, Wafi memandang ke atas, memerhatikan siling bilik Wadi. Matanya sedikit pun tidak mengantuk. Peristiwa siang tadi memenuhi benak fikirannya. Wafi berusaha memejamkan matanya tetapi kejadian itu yang muncul.

Wafi, kenapa kau asyik ingat je benda tu? Tadi tu kau buat CPR kat dia, bukan kau bercium dengan dia. Ya Allah, kenapa aku ada rasa macam ni?

Wafi mengiringkan tubuhnya ke kanan. Hati Wafi tertanya-tanya, adakah A.D juga merasakan apa yang dia rasa ketika ini?
Apabila mengingatkan bibirnya bertemu dengan bibir A.D semasa dia melakukan pertolongan cemas itu, jantungnya berdetak pantas.

Wafi, mana boleh kau bayangkan benda bukan-bukan ni? Eh…..kejap. Apasal tak boleh pula? Kau dah salam tok kadi. Kau dah sebut aku terima nikah Qurnia Adriana binti Ridzuan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai. Dia isteri kau yang sah.

Jiwa Wafi bermonolog sendiri. Hatinya tidak menentu. Wafi menekup mukanya ke bantal. Seboleh mungkin dia mahu membuang bayang-bayang itu tetapi dia tidak boleh. Dalam kesunyian malam membuatkan hatinya menjadi jujur terhadap dirinya. Dia bahagia mengenali insan itu. Dia bahagia setiap kali menatap wajah gadis itu. Meskipun dia kasar tetapi hati itu penuh dengan kelembutan. Dalam kesunyian malam jugalah, telinganya tiba-tiba sahaja mendengar sesuatu.

“Tolong….tolong…..jangan apa-apakan aku.”

Suara itu datang dari bilik sebelah.

“A.D,”

Bibirnya pantas menyebut nama yang berselindung di hatinya. Wafi segera keluar. Dia mengetuk pintu bilik A.D.

“Jangan…jangan..”

Wafi dapat mengagak apa yang berlaku ke atas A.D. Wafi membuka pintu. Jangkaannya tepat. A.D sedang bermimpi buruk sama seperti malam tempoh hari. Dia masuk ke dalam lalu menutup pintu itu semula. Dia tidak mahu Nenek Esah mahupun Wadi sedar.

“Awak……awak…”

Wafi menyentuh dahi A.D. A.D berpeluh. Pasti A.D mengalami mimpi ngeri. Wajah A.D jelas ketakutan. Timbul rasa menyesal di dalam hati Wafi kerana menakut-nakutkan A.D tadi. Masih jelas diingatannya A.D bermimpi dikejar hantu sama seperti di dalam drama yang ditonton oleh mereka berdua pada malam itu. Kali ini kejadian itu berulang lagi. Wafi pasti perkara itu terjadi kerana dirinya.

“A.D….tak ada apa yang perlu awak takutkan. Saya ada kat sini.”

Wafi segera menggenggam tangan A.D. Seolah-olah dia sedang menyalurkan keberanian ke dalam diri A.D. Wafi mengusap lembut kepala A.D. Dia mahu menenangkan A.D. Tiba-tiba mata A.D terbuka. Dia tersedar.

“Astaghfirullahalazim.”

A.D beristighfar panjang. Wafi adalah orang pertama yang berada di pandangannya semasa dia membuka mata.

“Awak ok tak? Mimpi apa sampai mengigau?”

A.D segera bangun lalu duduk. Genggaman mereka masih lagi bersatu.

“Saya mimpi ada hantu kat bilik air tu.”

Seperti yang diduga, kata-kata Wafi yang menakutkannya tadi yang membuatkan dia mengigau.

“Awak…….saya minta maaf. Saya tak ada niat nak takutkan awak.” ujar Wafi sambil tangannya yang satu lagi berada di pipi A.D. Dia rasa bersalah.

A.D tidak mempunyai kuasa untuk mengelak. Semakin dia mengelak, perasaan itu semakin dirasakan. Wafi berjaya mengetuk pintu hatinya. Wafi berjaya mengubah perasaannya. Tetapi, apabila mengingatkan Wafi sudah bersama Nadhira dan kejadian hitam itu membuatkan perasaan indah itu lenyap. Apa pula reaksi Wafi jika dia mengetahui akan hal itu? Mampukah dia menerima A.D seperti sekarang? Mahukah Wafi menggenggam tangannya sama seperti genggamannya ketika itu? A.D merasakan dia tidak layak untuk menerima semua itu.

“Bila masa awak masuk?”
“Saya belum tidur lagi. Saya dengar awak mengigau. Tu yang saya terus masuk.”
“Sorry.”
“Tak apa. Awak tidur ya? Saya ada kat sini. Saya akan pastikan awak tidur dulu, baru saya keluar.”

A.D mengangguk. Perlahan-lahan dia baring semula. A.D mahu melepaskan genggaman tangannya tetapi tangan Wafi lebih kuat daripada tangannya. Wafi mengeleng.

“Saya takut kalau saya lepaskan genggaman ni, awak akan mimpi buruk lagi.”

A.D terkesima. Dia mengakui, genggaman tangan Wafi itulah yang membuatkan dia berjaya keluar daripada mimpinya. A.D merasa dirinya selamat saat Wafi menatap dirinya. Perasaan itu pernah dirasai sebelum ini. Apa yang dia rasakan kini sama macam perasaan ketika malam itu. Genggaman tangan Wafi menghangatkan tubuhnya.

-------------------------------

Azan subuh memecah kesunyian dinihari. Keindahan subuh hari mampu membuatkan hati dan jiwa setiap insan berdenyut syukur serta kagum akan kebesaran pemilik langit dan bumi. Suara mendayu sang bilal mengalunkan azan bergema di seluruh alam. Di saat subuh menjengah dalam lorong waktu putaran bumi, sang malaikat akan turun untuk mencatatkan amalan soleh bagi hambaNya yang sanggup meninggalkan tempat tidur untuk sujud menghadap Maha Pencipta. Mana yang lalai, pasti akan menarik selimut sehingga membaluti kesuluruhan tubuh.

Suara merdu azan menyentuh gegendang telinga Wafi. Wafi membuka perlahan kelopak matanya. Belakangnya terasa sengal. Dia tertidur di sisi katil dengan genggamannya masih lagi kemas. Dia sendiri tidak tahu bila matanya terlelap. Wafi tersenyum tatkala dia membuka mata, A.D sedang lena. Perasaan bimbang muncul apabila menyedari jam di biliknya sudah menunjukkan pukul 5.45 pagi. Dia tidak mahu Nenek Esah tahu dia berada di dalam bilik itu. Perlahan-lahan Wafi melepaskan genggaman tangannya. Dia membuka perlahan pintu. Saat pintu dikuak, Nenek Esah sudah berada di pandangan.

“Nenek,” ucap Wafi dengan nada terkejut.
“Astaghfirullahazim……Wafi, kamu buat apa kat bilik ni?”

Lidah Wafi kelu. Pada awal perancangannya dia mahu beredar daripada bilik itu setelah A.D lena tapi akhirnya dia juga terlena sama hingga ke pagi.

“Wafi, kamu buat apa? Cakap dengan nenek,” suara Nenek Esah sudah meninggi.
“Wafi tak buat apa-apa nek,” balas Wafi.

A.D tersedar apabila mendengar suara Nenek Esah di depan pintu bilik.

“Wafi cakap tak buat apa-apa? Nenek nampak kamu curi-curi keluar tadi. Nauzubillah Min Zalik, jangan-jangan kamu tidur dengan A.D ya? Kamu buat maksiat dalam rumah ni ke?” soal Nenek Esah bertubi-tubi.
“Awak, kenapa ni?” tanya A.D. Dia menyangkakan Wafi tidur di bilik Wadi.
“A.D, Wafi……kenapa kamu berdua buat nenek macam ni? Kamu berdua cucu nenek. Kamu nak malukan nenek ke? Dah tak ingat dosa dengan pahala?”

Wafi memandang A.D. A.D terpinga-pinga.

“Saya tertidur dengan awak tadi. Saya tak sedar bila saya tertidur.”

Pandangan A.D menjadi kaku apabila memandang wajah Nenek Esah. Dia sendiri terkejut apatah lagi orang tua itu. Jelas wajah itu memancarkan kecewa.

La Hawla Wala Quwwata Illa Billah…kamu tidur dengan A.D? Kamu memang nak nenek mati cepat ya? Nenek tak sangka kamu sanggup buat macam ni kat nenek.”

Nenek Esah sudah mengalirkan air mata. Dia mengurut dadanya. Terasa sakit setelah mendengar pengakuan Wafi.

“Ini yang nenek nampak, yang nenek tak nampak, yang nenek tak tahu?”
“Nek, Wafi dengan A.D tak akan buat macam tu kat nenek. Apa yang nenek fikirkan tak sama apa yang dah jadi.” terang Wafi.
“Wafi….Wafi nak cakap apa ni? Tadi Wafi sendiri yang cakap Wafi tidur dengan A.D.”

Wadi segera keluar sambil menggonyoh matanya. Dia melihat Nenek Esah sudah mengalirkan air mata.

“Nenek, kenapa ni?”
“Nenek nampak Wafi keluar daripada bilik A.D. Lepas tu abang kamu ni mengaku yang dia tidur dengan A.D.”

Setelah mendengar kenyataan Nenek Esah, Wadi segera memandang abangnya dan A.D. Dia juga mahu mendapatkan kepastian. Dia tidak percaya abangnya sanggup melakukan perkara tersebut.
Wafi dan A.D saling berpandangan. Perlukah mereka membongkarkan segala-galanya? Haruskah rahsia yang disimpan selama ini diberitahu untuk mengelakkan salah faham. A.D mengangguk perlahan kepalanya. Dia seperti dapat membaca isyarat daripada Wafi.

“Nenek, sebenarnya Wafi dengan A.D adalah suami isteri yang sah.”