BAB
31
Wafi menyuap pantas
nasi goreng yang terhidang. Setelah makanan di dalam mulut sudah habis ditelan,
dia mengelap bibirnya dengan napkin. Nadhira tersenyum simpul apabila Wafi bersetuju
untuk makan tengahari bersamanya. Tidak sia-sia dia menunggu Wafi daripada
pukul 11 pagi tadi. Sudah puas memujuk pembantu peribadi Wafi untuk menunggu
sahaja lelaki itu di ruangan menunggu. Dia tahu, Wafi sengaja mahu mengelak
daripada bertemu dengan dirinya. Namun, Nadhira tidak mahu melepaskan peluang.
Jalan sudah terbentang luas. Inilah masa yang sesuai untuk memiliki semula hati
Wafi.
“Dari tadi Wafi senyap aje.”
“Tengah makan, buat apa
nak cakap.”
“Dhira gembira sangat
sebab Wafi sudi makan dengan Dhira.”
“Kebetulan saya memang
nak makan.”
Nadhira tersenyum. Dia harus bersabar dengan karenah Wafi. Dia juga tahu keadaan Wafi ketika itu sedang bercambah rasa benci terhadap musuhnya. Dia gembira kemenangan berada di pihaknya. Nadhira memotong perlahan potongan daging lalu menyuap ketulan kecil itu ke dalam mulutnya. Dia sudah memasang strategi untuk menambat semula hati lelaki yang berada di hadapannya. Dia hanya perlu memburukkan lagi diri A.D di hadapan Wafi. Dia tidak mahu kalah dengan A.D. Apa sahaja perkara yang dia inginkan, dia mahu perkara itu dimiliki olehnya. Tidak kira apa jua keadaannya.
“Wafi, Dhira tahu Wafi tengah marah sekarang ni. Tapi jangan risau, Dhira akan sentiasa dengan Wafi.”
Pandangannya yang dari
tadi hanya memandang hidangan, kini dia mendongak melihat Nadhira.
“Apa maksud awak ni?”
Perlahan-lahan tangan Nadhira mahu menyentuh tangan Wafi.
“Dhira tahu Dhira pernah buat silap, tapi Dhira sesekali tidak akan serahkan maruah Dhira untuk lelaki lain. Dhira sayangkan Wafi.”
Wafi menghempas perlahan sudu yang dipegangnya ke pinggan. Emosinya masih lagi tidak stabil. Wafi dapat mengagak yang Nadhira sedang membincangkan mengenai hal itu. Dan tidak mustahil untuk Nadhira tahu kerana pasti Haikal yang menjadi mulut tempayannya. Dia merasakan kata-kata Nadhira seperti sedang mentertawakan dirinya.
“Saya datang restoran ni sebab nak makan, untuk isi perut saya. Bukannya untuk isi kemarahan dalam hati saya ni.”
“Dhira tak nak Wafi
buat kesilapan ni. Perempuan macam tu tak patut dan tak berhak menerima kasih
sayang Wafi. Dhira dah agak, A.D tu bukan perempuan yang baik.”
“Itu hal saya dengan
dia. Awak tak berhak masuk campur. Awak cuma kawan saya. Saya yang menentukan
hidup saya. Walaupun saya tahu perkara ni ada kaitan dengan sepupu awak, tak
bermakna awak boleh masuk campur.”
“Sayang, Dhira tak akan
buat kesilapan tu kalau kita bersama semula macam dulu. Tapi terang-terang
A.D……….”
“Stop it, Dhira.”
“Wafi, jangan jadi
buta. Dia bukan perempuan yang baik. Tuhan dah tunjuk depan mata Wafi. Dhira
tahu Haikal tu memang kasanova, tapi boleh aje kan dia elak perkara tu daripada
terjadi? Ada tak dia nafikan perkara tu? Dhira rasa, dia sendiri mesti tak
sangka lelaki yang dia pernah tidur tu………….”
“Nurul Nadhira, I said stop it. Awak makanlah sendiri.
Sebab saya dah kenyang. Saya dah muak dengan perkara ni.”
Wafi bangun lalu meninggalkan Nadhira. Hatinya bertambah sakit. Sememangnya Nadhira sengaja membangkitkan kemarahannya. Perlahan-lahan bibir Nadhira menguntum senyuman. Dia puas dapat mengalahkan A.D.
------------------
Kereta Myvi kuning
milik Wafi memasuki perkarangan vila. Sebaik sahaja dia keluar daripada kereta,
dia melihat kereta itu berada di halaman luar. Wafi kenal benar dengan pemilik
kereta Satria Neo berwarna kelabu pekat itu. Wafi sempat melihat jam tangan
yang terletak di tangan kirinya. Waktu sudah menjengah pukul 9.30 malam. Sejak hampir
sebulan peristiwa malam itu berlaku, Wafi sengaja pulang lewat. Kadang-kala dia
langsung tidak menyentuh makan malam yang disediakan oleh Mak Som. Wafi mahu
mengelak daripada terus disoal oleh orang di dalam vila itu.
Wafi membuka perlahan pintu lalu melangkah lesu. Badannya terasa letih. Sebaik sahaja dia menutup daun pintu, suara itu memanggil namanya.
“Lama aku tak jumpa kau.”
Wafi tersenyum hambar.
“Aku sibuk sikit. Dah lama kau sampai?” soal Wafi.
“Lamalah juga. Payah
betul nak jumpa C.E.O Bina Kurnia ni sekarang.” balas Rafiq.
Mak Som keluar membawa
hidangan air.
“Mak Som, letak air tu kat luar tempat biasa saya duduk. Saya nak berbual dengan Rafiq kat situ,” pinta Wafi.
Mak Som hanya mengangguk.
Wafi dan Rafiq menuruti langkah Mak Som ke laman luar. Setelah selesai melakukan tugasnya, Mak Som masuk ke dalam. Wafi dan Rafiq duduk di bangku itu. Sambil menghayati udara di luar, Wafi menyingsingkan lengan kemejanya hingga ke siku.
“Ada apa hal cari aku sampai ke sini? Mesti ada perkara penting yang kau nak cakap dengan aku kan?”
“Perlu ke seorang kawan
yang dah dianggap kawan dunia akhirat, memerlukan sebab untuk mencari
sahabatnya?”
Wafi menggelengkan kepala sambil tersenyum lalu menghirup perlahan jus oren di dalam gelas itu.
“Aku dah lama tak jumpa kau. Sejak peistiwa kat padang ragbi hari tu sampailah sekarang baru aku nampak muka kau. Wajah yang aku tengok masa hari tu tak sama dengan muka yang aku nampak pada hari ni.”
“Aku sibuk. Bina Kurnia
tengah banyak sangat projek. Sebab tu muka aku nampak letih.”
“Muka letih dengan
serabut banyak bezanya. Kau ada masalah dengan A.D? Aku tak nampak pun
motosikal dia kat depan tu.”
“Aku baru balik kerja,
aku malas nak bincang soal tu. Dia yang keluar daripada rumah ni.”
“Jadi kau dengan A.D
memang ada masalah? Kau tahu dia pergi mana?”
Wafi hanya membisu, dia malas mahu menjawab pertanyaan Rafiq itu.
“Aku rasa kau sendiri pun tak tahu dia pergi mana kan? Aku bukan nak masuk campur, tapi kau kena beri peluang pada A.D.”
“Kau tak akan faham
keadaan aku, bukan kau yang ada kat tempat aku. Kau tak tahu apa masalah aku.”
“Kau nak cakap pasal
masalah A.D pernah terlanjur dengan Haikal?”
Bulat mata Wafi tatkala mendengar kata-kata Rafiq.
“Masa kau balik hari tu, Dhira tanya dengan Haikal. Aku ada kat situ. Haikal tanpa rasa bersalah memalukan A.D depan aku dengan Dhira.”
“Memang itu silap A.D.”
“Kau sendiri tahu kan
perangai Haikal tu. Sejak dari awal lagi aku tak suka dengan perangai dia. Tapi
kau degil. Kau rapat dengan dia sebab dia sepupu Dhira. Yalah, perempuan idaman
kau tu.”
“A.D tak sepatutnya
rahsiakan perkara ni. Aku dah diperbodohkan.”
“Wafi, cuba kau
letakkan diri kau kat tempat A.D. Kau nak buka pekung kat dada kau sendiri ke?
Ini soal maruah. Kau kena faham tu.”
“Aku cukup faham dengan
keadaan aku. Aku tak sangka aku boleh kahwin dan jatuh cinta dengan dia. Kau
faham tak macam mana rasa sakitnya hati aku?”
“Aku tahu, kalau aku
kat tempat kau sebagai lelaki ego aku tercabar. Tapi semua dah jadi. Tak boleh
nak patah balik. Memang itu silap A.D. Semua manusia pernah buat silap. Kita
memang dah tak boleh nak betulkan apa yang dah jadi, tapi kau jangan menghukum
A.D dengan menuduh dia jadi pembunuh.”
“Apa maksud kau?”
“Kalau aku jadi kau,
aku tak akan buat macam tu. Kalau betul kau sayangkan A.D, kau tak akan terus
hukum dia. Kau patut siasat benda ni dulu. Bukan terus tuduh dia macam tu. Benda
ni bukan perkara main-main.”
“Apa lagi yang aku kena
siasat? Dia sendiri dah mengaku yang dia pernah terlanjur dengan relanya
bersama Haikal. Aku tak ada hak nak bersuara ke?”
“Aku tahu kau marahkan
pasal tu, tapi kau tak boleh tuduh dia gugurkan kandungan tu.”
“Kalau dia tak
gugurkan, mana anak dia tu? Ada kau nampak? Macam mana kau boleh tahu pasal ni?
Dia ada mengadu kat kau? Ke kau pun pernah ada skandal dengan dia?”
“Nauzubillah
Min Zalik, kau ni dah kenapa Wafi? Jangan pasal sebab marah kau, kau nak tuduh
aku sampai macam tu sekali? Aku sebagai kawan kena tolong kau. Aku cuma nak
membela nasib orang yang teraniaya. Sepatutnya kau bimbing dia,
macam mana kalau dia makin hanyut? Dia isteri kau. Kau sepatutnya lindungi dia,
bukan semakin menyalahkan dia. Orang yang patut kau salahkan dalam hal ini
ialah Haikal. Haikal dah menabur macam-macam janji pada Riana yang dulu. Riana
cuma salah membuat pilihan. Kau sendiri tahu siapa Haikal sejak hari pertama
kau kenal dia. Haikal hanya menganggap perempuan adalah barang permainan.”
“Haikal tak paksa dia. Dia
yang rela. Itu yang aku tak boleh terima.”
“Dia terlalu mentah
Wafi. Orang yang kekurangan kasih sayang, memang mudah rapuh dengan perhatian.
Selama ni, kau jatuh cinta dengan A.D sebab terpaksa ke? Ada dia paksa kau
untuk jatuh cinta dan sayangkan dia? Dia dah banyak kali suruh kau elakkan diri
daripada dia sebab tak nak kau kecewa tapi kau tetap memilih untuk terus
sayangkan dia. Dalam hidup ni, ada benda yang tak sepatutnya kita tahu.
Kadang-kadang lebih baik kita tak perlu tahu apa-apa daripada kita tahu perkara
tu. Kau sendiri sebagai manusia pernah buat silap, jadi jangan tambahkan lagi
sengsara dalam diri dia.”
“Kau cakap seolah-olah
macam kau tahu apa yang dah jadi sebenarnya.”
“Kau bijak, kau ada
otak. Kau fikirlah sendiri macam mana aku boleh tahu perkara yang sebenarnya.
Benda ni sepatutnya kau lakukan lebih dulu daripada aku. Aku bukan nak memihak
pada sesiapa. Aku tak cakap aku boleh terima kesilapan tu, tapi aku tak akan
terus hukum dia. A.D ada sebab.”
Setelah selesai berbicara dengan Wafi, Rafiq segera beredar. Dia mahu rakannya itu membuka mata. Rafiq tidak mahu membiar penglihatan itu dikaburi dengan kemarahan dan ego.