Stylo Clique ^_^
Thursday, November 1, 2012
Berita Baik Untuk Pembaca S.I.C..vrooomm..vroomm..!!
Assalammualaikum........
halllooowwww......!!!!
lame sye xupdate blog kan??
saye mintak mahap berlori2 ye...
mase agak terhad ketika ini disebabkan sye telah bekerja semula..
okey...okey....skrg xmo cite pasal pasal keje..
sye mau cite pasal hobi merangkap part time kerja NQ.. :)
smlm.....salah seorang editor Fajar Pakeer ade beritahu dgn NQ yang manuskrip kedua iaitu Superbike Itu Cinta sudah lulus penilaian para juri FP...
ALHAMDULILLAH.......
amboi2...hati girang xterkata..
semalam..bkk FB lps waktu opis..(ecehhh...mase time opis pun bkk FB jgk)
kak Habibah aka Along (beliau adalah salah seorang editor FP) ade mesej kat FB..dan along serta merta bgtau berita baek xterhingga tu...
wahhh...beban 10 tan kat kepala tibe2 lesap mcam asap lenyap entah ke mana...
seronok gilerrrr....
tp...xblh seronok sgt sbb minggu depan rasenye dh kene edit..(mase g terhad terpakse dikorbankan..kene curik2 mase)
ditambah lagi dengan bahan bukti kat emel..
pihak editor FP dh inform...huhuhu...
kepada yg mengikuti sambungan SIC, penantian anda akan berakir tak lama lagi..NQ sangat2 hargai kawan2 yg bce manuskrip NQ ni...ramai yg tanya bile nak keluar..dan akhirnye sudah terjawab...
bisik2 : sesungguhnya.....hasil kesabaran itu tak mampu diluahkan dengan kata-kata... Terima Kasih ALLAH...
Friday, October 5, 2012
.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 33 ::.
BAB
33
Tangan kanan dan kiri
Wafi ligat bergerak di atas papan kekunci komputer ribanya. Dia perlu menyemak
semula laporan projek pembinaan itu sebelum diserahkan sepenuhnya kepada
pelanggan. Sekali sekala pandangannya beralih kepada helaian kertas di dalam
fail kelabu itu dan diselang selikan dengan beberapa pelan. Tengkuknya terasa
lenguh. Pandangannya beralih. Terasa perit memandang skrin komputer itu.
Wafi cuba memejamkan mata. Peristiwa lima bulan lalu terpampang nyata di pandangan gelapnya. Masih lagi jelas wajah A.D mengalirkan air mata pada malam itu. Suara orang yang dia sayangi bagaikan pita rakaman di telinganya. Wafi bingkas bangun, menuju ke tingkap pejabatnya. Pemandangan bandaraya yang sibuk terbentang luas di penglihatannya. Dia memandang jam tangannya, tepat menunjukkan pukul 12.15 tengahari. Dia tersenyum.
Wafi cuba memejamkan mata. Peristiwa lima bulan lalu terpampang nyata di pandangan gelapnya. Masih lagi jelas wajah A.D mengalirkan air mata pada malam itu. Suara orang yang dia sayangi bagaikan pita rakaman di telinganya. Wafi bingkas bangun, menuju ke tingkap pejabatnya. Pemandangan bandaraya yang sibuk terbentang luas di penglihatannya. Dia memandang jam tangannya, tepat menunjukkan pukul 12.15 tengahari. Dia tersenyum.
“Patutlah, dah tengahari rupanya,”
Niat mahu kembali semula ke kerusi terbantut apabila dia mendengar suara deruman kenderaan itu. Wafi memerhatikan semula ke luar tingkap. Motosikal berkuasa besar berwarna hitam itu menarik perhatiannya. Lantas wajah A.D berada di mindanya. Senyuman kembali terukir. Setiap kali dia memandang kenderaan sebegitu, dia akan menoleh untuk kali kedua. Jauh di sudut hatinya mengharapkan A.D adalah penunggangnya.
“Tok..tok..tok,”
Pintu pejabatnya diketuk.
“Masuk,”
Liyana memulas tombol pintu.
“Ni fail yang Encik Wafi minta tadi,” ucap Liyana.
“Terima kasih kak.”
balas Wafi tanpa melihat wajah Liyana.
Timbul tanda tanya di hati Liyana apabila melihat Wafi begitu asyik melihat sesuatu menerusi tingkap itu.
“Encik Wafi tengok apa sampai khusyuk macam tu sekali?”
Wafi memandang wajah Liyana.
“Tak ada apalah kak.”
“Kalau tak ada apa, tak
kanlah pandang macam nak tembus cermin tingkap tu.”
Wafi tersenyum mendengar kata-kata Liyana.
“Saya ternampak motor besar kat luar tingkap tu.”
Kali ini Liyana pula yang tersenyum tetapi senyumannya diiringi dengan rasa simpati.
“Akak tahu Wafi dah cuba cari dia tapi masih lagi tak jumpa. Akak sendiri dah cuba hubungi semua kawan-kawan dia.”
“Tak apalah kak. Saya
faham. Dia memang tak nak saya jumpa dia. Bukan senang nak cari yang tak mahu
dijumpai.”
“Bertuah A.D.”
“Kenapa akak cakap
macam tu?”
“Sebab dari mata Wafi,
akak nampak yang Wafi betul-betul sayangkan dia.”
“Sebenarnya, saya yang
bertuah. Dia memang tak sama macam gadis yang lain. Saya yang silap sampai dah
tak nampak dengan hanya kerana dia pernah buat silap. Sepatutnya saya terima
dia seadanya.”
“Wafi….kadang-kadang
kita sebagai manusia ni sememangnya tak akan nampak dan tak tahu menilai
sesuatu yang sangat berharga bila sesuatu itu berada dekat dengan kita. Memang
telah jadi lumrah, apabila seseorang itu melakukan kesilapan kita akan lupa
semua kelebihan dan kebaikan dia. Bila dia dah jauh, baru kita tahu yang kita
sangat memerlukan dia.”
Kata-kata Liyana melalui cuping telinganya lalu turun sampai ke hati. Itulah yang dia rasakan kini. Dia menjengah lagi ke arah tingkap, tetapi motosikal itu telah tiada.
“Wafi, kak Yana keluar dulu ya? Tiba-tiba dah tukar topik pula kat pejabat.”
“Tak ada apalah kak. Memang
betul apa yang akak cakapkan tu. Saya yang tak tahu menilai.”
----------------------
Foto di dinding itu ditenung lama. Senyuman A.D ketika itu sungguh manis di mata Wafi meskipun A.D
berpakaian seperti lelaki. Meskipun A.D cuba menyembunyikan identitinya yang
terdahulu, A.D masih lagi tidak mampu untuk berselindung dengan senyuman itu. Senyuman
itu penuh dengan kasih sayang. Wafi kagum dengan ketabahan gadis itu. Walaupun
dia mengharungi dugaan yang hebat di dalam hidupnya, dia masih lagi mampu
mengukir senyuman.
“Wafi,” tegur Pak Aziz.
Puas dia memanggil Wafi
untuk turun makan malam bersama-sama tetapi panggilannya tidak disahut. Pak
Aziz menaiki tangga untuk mengetahui keadaan Wafi. Sebaik sahaja dia sampai di
tingkat itu, Pak Aziz melihat pintu kamar A.D terbuka. Wafi menoleh sebaik
sahaja dia mendengar suara lelaki tua itu.
“Mak Som dah siapkan hidangan tu. Wafi tak nak turun makan ke?”
“Kejap lagi saya
turun.”
Pak Aziz tersenyum memerhatikan gelagat Wafi.
“Wafi rindukan A.D ke?”
Soalan Pak Aziz dibalas dengan senyuman hambar.
“Pak Aziz pun sama.”
“Puas saya cari dia,
Pak Aziz. Saya tak tahu kat mana lagi perlu saya cari.”
Pak Aziz melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia berdiri di sebelah Wafi sambil melihat foto itu juga.
“A.D yang Pak Aziz kenal tak banyak bezanya dengan arwah ayah dia. Keras kepala, berdikari, tabah, sanggup menyembunyikan sengsara daripada pengetahuan yang lain dan juga hati yang sangat-sangat lembut. A.D cepat sedar kalau dia melakukan kesilapan. Wafi janganlah risau, dia tak akan ke mana-mana. Bila sampai masanya, dia akan kembali semula. Memang itu sifat A.D.”
“Sampai bila saya nak
tunggu?”
“Pak Aziz tak ada
jawapannya tapi hanya Dia yang tahu. Wafi kena banyak-banyak berdoa. Bak kata
orang-orang tua, kalau dah jodoh tak ke mana. Allah akan bagi jalan kalau betul
Wafi dengan A.D sememangnya di takdirkan bersama.”
“Terima kasih, Pak
Aziz.”
“Sama-sama, Wafi. Jom,
kita turun makan. Nanti lauk dah sejuk pula,” ajak Pak Aziz.
Wafi mengangguk perlahan lalu mereka sama-sama keluar daripada kamar itu. Setiap kali perasaan rindu menggunung di hatinya, dia akan ke bilik itu. Dia akan memandang setiap pelosok ruang yang ada. Hanya bilik itu menjadi tempat dia melepaskan rasa rindu terhadap insan bernama Qurnia Adriana. Wafi berharap, dia mampu meninggalkan rasa rindu di kamar itu. Agar, apabila dia keluar perasaan itu tidak akan wujud lagi di hatinya. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Perasaan itu semakin kuat dan terus mencengkam segenap jiwanya.
----------------------
“Saya baru sahaja dapat laporan untuk sampel tanah kat kawasan ni dan kita perlu buat sedikit pindaan terhadap struktur pada bangunan ni. Saya bimbang kalau kita pakai pelan yang asal ni, akan timbul masalah di kemudian hari.” cadang Wafi.
“Maknanya rekabentuk
sebelum ni tidak boleh diambil kira?” soal Encik Majid, wakil kepada syarikat
pemilik tanah kawasan pembinaan itu.
“Bukannya tak boleh
diambil kira. Saya perlu membuat sedikit pindaan. Memandangkan syarikat sebelum
ini mengalami masalah dan kemudiannya Bina Kurnia yang mengambil alih, saya
perlu mengambil kira semua aspek.”
Encik Majid mengangguk, menandakan dia mengerti dengan masalah yang sedang berlaku. Dia merasa lega kerana kali ini dia tidak salah memilih syarikat. Dia kagum dengan kredibiliti Wafi dalam menyelesaikan masalah. Encik Majid juga yakin Bina Kurnia Berhad mampu menguruskan pembinaan bangunan komersial di kawasan itu.
“Baiklah, buat masa ni saya berpuas hati. Bila agaknya saya boleh lihat rekabentuk yang dah dipinda tu?”
“Saya akan cuba siapkan
dalam masa dua minggu ni. Encik Majid jangan risau. Saya sendiri yang akan
uruskan projek ni memandangkan memandangkan masalah yang ditimbulkan oleh
syarikat sebelum ni agak besar.”
Encik Majid tersenyum puas.
“Baik, Encik Wafi. Saya akan tunggu perkembangan daripada awak. Untuk perjumpaan yang akan datang, saya akan bawa jurutera saya untuk berjumpa dengan awak. Jurutera saya tu baru lagi. Saya harap awak sebagai orang berpengalaman dapat bantu dia.”
“Terima kasih Encik
Majid. InsyaAllah saya akan cuba apa yang termampu.”
“Sama-sama. Memang tak
salah apa yang orang cakap. C.E.O Bina Kurnia bukan setakat muda tapi sangat
berkebolehan.”
“Masih lagi banyak
benda yang saya kena belajar Encik Majid. Saya cuba menyambung apa yang telah
diusahakan oleh arwah ayah mertua saya.”
“Ooohh…….awak menantu
arwah Ridzuan? Saya pun tak beberapa kenal sangat dengan arwah. Tapi melalui
buah mulut rakan-rakan saya yang arwah nampak pendiam tapi sangat efisien bila
bekerja. Sebab tu Bina Kurnia sangat gah dalam bidang pembinaan ni.”
“Encik Majid ni terlalu
memuji saya. Saya masih lagi tak dapat menandingi arwah.”
“Awak ni memang suka
merendahkan diri. Ada apa-apa lagi yang perlu kita bincangkan ke?”
Wafi membelek diari kerjanya. Di situ dia mencatatkan segala-galanya.
“Saya rasa itu sahaja. Encik Majid ada hal ke lepas ni? Nampak tergesa-gesa aje?”
“Saya ada mesyuarat
tapak projek kat kawasan Melaka petang ni. Saya rasa saya kena pergi dulu.”
“Baiklah. Apa-apa hal
saya akan hubungi Encik Majid.”
Encik Majid mengangguk sambil tersenyum. Dia berjabat tangan dengan Wafi sebelum beredar. Kemudian Wafi meninjau tapak projek tersebut. Dia mengambil beberapa gambar untuk dijadikan sebagai bahan rujukan. Setelah selesai, dia menuju ke keretanya yang terletak di seberang jalan.
Mata Wafi melihat sesuatu yang terletak berhampiran dengan keretanya. Wafi menoleh ke kiri dan kanan dahulu sebelum melintas dan apabila dia merasakan selamat, dia berlari-lari anak ke tempat tersebut.
Motosikal yang dicarinya selama lima bulan ini berada di hadapannya. Wafi merasakan seperti dalam mimpi. Dia tidak percaya motosikal itu berada di pandangannya. Wafi cuba mengamati setiap sudut yang ada. Manalah tahu dia sedang berkhayal. Memang tidak salah lagi. Motosikal berjenama Kawasaki Ninja bewarna hijau itu memang sah milik gadis yang dirinduinya. Tambahan lagi nombor pendaftaran itu masih segar diingatan Wafi. Tidak mungkin dia silap. Nombor di fikirannya tertera pada plat motosikal itu.
Penglihatan Wafi segera mengliar di sekeliling. Dia mencari susuk tubuh itu. Dia tidak mahu melepaskan A.D lagi. Kali ini dia tidak mahu mensia-siakan gadis itu. Dia sudah bersedia menerima kisah silam A.D. Dia sudah tidak kisah. Bukan kerana diri A.D masih suci atau tidak menjadi penyebab hatinya berdetak dan menyebut nama itu. Tetapi kerana hati A.D seadanya. Wafi mengambil keputusan untuk terus menunggu di situ. Tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berbunyi.
“Hello.”
“Wafi, kak Yana nak
ingatkan yang kita ada mesyuarat dalam masa setengah jam lagi.”
“Kak Yana, tolong
batalkan mesyuarat tu.”
“Wafi, kenapa tiba-tiba
nak batalkan mesyuarat? Wafi juga yang cakap semalam mesyuarat hari ini
penting.”
“Kak Yana, bagi saya
tak ada apa yang lebih penting melainkan Qurnia Adriana. Mesyuarat tu bila-bila
masa boleh saya adakan. Nanti saya akan beritahu akak tarikh baru untuk
mesyuarat tu. Saya ada hal ni.”
Wafi segera memutuskan panggilan. Dia tidak mahu ada sesuatu pun yang boleh menghalang dirinya pada hari itu. Sudah cukup lama dia menunggu berita daripada A.D. Kehilangan dan kebisuan A.D sudah cukup membuatkan jiwa Wafi menjerit terseksa.
“Bro,” panggil suara itu.
Wafi menoleh ke belakang tatkala mendengar suara itu hampir dengannya.
“Bro dah duduk atas motor saya ni,” ujar lelaki berkulit cerah, bermata sepet dan sedikit berisi itu.
Wafi terkejut.
“Awak pasti ni motor awak?”
“Kenapa pula saya tak
pasti. Saya ada kuncinya,” kata lelaki itu sambil menunjukkan gugusan kunci
kepada Wafi.
“Saya rasa saya kenal
dengan pemilik motor ni.”
“Sayalah. Tapi rasanya
kita tak pernah berjumpa sebelum ni.”
Wafi kehairanan. Pasti ada sesuatu di sebalik semua ini. Wafi menghulurkan salam perkenalan.
“Saya Wafi.”
“Ikmal tapi biasa orang
panggil Jepun.”
Jepun menyambut tangan Wafi.
“Jepun memang beli motor ni ke?”
“Kenapa kau tanya?
Motor ni ada kena mengena dengan kau ke?”
“Tak adalah. Aku rasa
aku memang tak silap. Aku betul-betul kenal tuan motor ni.”
“Siapa?”
“A.D.”
“A.D?”
“Nombor plat motor ni
mewakili nama dia. ADY 707. Sebab tu aku terkejut bila kau cakap ni motor kau.”
Jepun mengerutkan dahinya.
“Kau kenal ke dengan A.D?” soal Wafi apabila melihat raut wajah Jepun.
“Kenapa kau cari A.D?
Siapa A.D ni dalam hidup kau?”
Begitu pelik dan hairan apabila melihat Wafi begitu bersungguh-sungguh mencari pemilik asal motorsikal tersebut.
“Isteri aku.”
“Isteri?” soal Jepun
dalam nada terkejut.
Wafi tersenyum lalu mengangguk.
Tiba-tiba Jepun
teringat peristiwa A.D datang kepadanya lalu memecut laju di litar. Ketika itu
dia dapat melihat wajah A.D tidak seperti selalu. Seperti ada serinya. Dia
tidak pernah melihat A.D sebegitu sepanjang perkenalannya. Apa yang diduga sama
sekali tidak meleset. Pasti ada seseorang di sebalik ukiran senyuman itu.
“Kalau dia isteri kau, kenapa kau cari dia? Bukannya seorang suami semestinya tahu kat mana isteri dia ke?”
“Aku manusia biasa,
kadang-kadang tersilap langkah dan terjatuh.”
“Kau tak jumpa dia ke?
Sampai kau tak tahu dia dah jual superbike ni kat aku?”
Wafi menggeleng.
“Maknanya, kau ada jumpa dialah?”
“Ada. Dua bulan lepas.
Dia jual motor dia ni kat aku.”
“Dia ada kat mana?”
“Aku tak tahu dia
tinggal mana.”
Anak mata Wafi berubah. Jepun dapat melihat perubahan pada raut wajah Wafi. Wajah yang tadinya penuh harapan, kini bertukar menjadi kecewa.
“Aku tak tahu pula A.D dah kahwin. Dia tak pernah beritahu aku. Sorry bro. Aku tak dapat tolong kau. Tapi kalau dia ada jumpa aku lagi aku akan beritahu kau. Muka kau pun aku tengok memang macam orang hilang bini.”
“Terima kasih, Jepun.
Ini kad aku. Kalau ada apa-apa hal, kau beritahu aku. Kau seorang aje yang
dapat tolong aku sekarang ni.”
Kad berwarna putih itu bertukar tangan. Jepun mengangguk mengerti.
“Wafi,” panggil Jepun setelah Wafi berada di keretanya.
Wafi segera menoleh.
“Aku memang tak tahu dia duduk mana. Tapi aku tahu dia kerja kat mana.”
Jauh di sudut hati Wafi, dia mengucap syukur. Harapan yang selama ini kian malap lalu tiba-tiba ada sinarnya lantas hampir menjadi kenyataan. Tidak sia-sia dia berdoa kepada Maha Kuasa selama ini.
“Kat mana?”
“Tak silap aku kat
Majid Builder Berhad.”
“Majid Builder?”
Wednesday, October 3, 2012
Saya, Superbike Itu Cinta & dot..dot..dot..(sbnrnye otak jam xtau nak letak tajuk ape)
Apa kata kawan2 kalau saye hentikan entri Superbike Itu Cinta ???
cer kasi komen ckit...
kalau nak tahu...inilah superbike yg A.D (heroin SIC) tunggang selama ni...^_^ |
(sbenarnye gambo di atas ni gambo 250cc, tp AD bawak yg 1000cc punye..nasib baek miss fieza pembaca SIC bgtau...TQ so much Fieza.. so...bayangkanlah yg beso ckit ea..hihihi...)
disebabkan soalan yg selalu sye dpt drpd pembace iaitu...
"bile novel ni nak siap?"
"Sye cari kat kedai tak ade pon lg novel NQ ni. Tak cetak lg ke?"
"Penerbit akak tak siap lagi cetak ke novel terbaru akak?"
Alahai kawan2 ku semua... saye sbg tuan tanah lagi la tak sabar.
dan untuk pengetahuan kawan2..sye dh pun hantar manuskrip sepenuhnye ke penerbit saye sblm ni iaitu FAJAR PAKEER (penerbit yh terbitkan novel 1st NQ - PERLU KAMU).. so, kite nantikan jelah sambungannya bile dh jd printed novel.. tp kene bersabo ckit la.. sbb manuskrip sye tu masih lg dlm penilaian. memg kene beratur nk tunggu SIC kat meja panel FAJAR PAKEER. Ataupun.......... ke nak sye post ckit bab lagi??
nampak gaya...sye akan terjun kembali ke dunia kejuruteraan awam semula setelah lama berehat untuk menyiapkan sepenuhnya manuskrip kedua sye (SIC)..erkkk..mcm siapkan novel SIC ni dr bulan 3 smpai pertengahan bulan 6 (dlm lingkungan 4 bulan utk sye siapkan 1 novel) tp nak teruskan manuskrip k3 xdapat2 plak..ari tu dtg sekejap ilham..bru siap 2 bab..
bisik2 : kerjaya penulis ni nak jd kerjaya sampai kulit sye dh berkedut t (InsyaAllah kalau pjg umo)..
wat mse ni, kene kembali ke bidang yg sye tahu tp sye xbape nak minat sbb nk kumpul duet... (aikkk??? sye nak kawen ke?? jeng..jeng..jeng..)
Monday, October 1, 2012
.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 32 ::.
BAB
32
Wafi membandingkan
papan tanda restoran tersebut dengan cebisan kertas di tangannya. Restoran Indah
Mahligai berada di pandangannya. Dia sendiri pada awalnya tidak tahu apa yang
harus dia lakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar. Nama Samsul dan
Izwanie terlintas di fikirannya lalu dia meminta pembantu peribadinya untuk
mendapatkan maklumat mengenai rakan baik A.D. Sejak malam tadi dia tidak dapat
melelapkan matanya. Kata-kata Rafiq terngiang-ngiang di cuping telinganya.
Pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang menyebabkan Rafiq berkata sedemikian.
“Kau bijak, kau ada otak. Kau fikirlah sendiri macam mana aku boleh tahu perkara yang sebenarnya. Benda ni sepatutnya kau lakukan lebih dulu daripada aku. Aku bukan nak memihak pada sesiapa. Aku tak cakap aku boleh terima kesilapan tu, tapi aku tak akan terus hukum dia. A.D ada sebab.”
Kata-kata itu
membuatkan Wafi semakin buntu. Puas dia memikirkan perkara itu semalam. Apabila
difikirkan semula, seharusnya dia tidak menghukum A.D tanpa usul periksa. Dia
juga tidak tahu mengapa hatinya memberontak untuk mengetahui keadaan sebenar
sedangkan dia sudah tidak mahu mengambil peduli akan hal gadis itu. Sekali lagi
dia berperang dengan dirinya sendiri. Antara hati dan ego, dia tersepit di
tengah-tengah.
“Assalammualaikum,” ucap Wafi sebaik sahaja sampai di kaunter restoran itu.
“Waalaikummussalam.
Anak nak makan ke? Kalau nak makan, anak boleh duduk dulu. Nanti pekerja mak
cik akan ambil pesanan anak,” balas perempuan dalam lingkungan separuh abad
itu.
“Saya nak cari Samsul,
dia ada tak?”
“Anak ni siapa ya?”
“Saya Wafi. Kawan satu
universiti dengan dia.”
“Ooohh…kejap ya. Dia
ada kat belakang. Mak cik panggil dia kejap.”
Mariam segera menuju ke bahagian dapur. Beberapa minit kemudian Samsul keluar dengan wajah kehairanan. Sebelum ini dia tidak pernah berbual dengan Wafi secara lebih dekat. Pasti ada sesuatu yang dicari oleh lelaki itu.
“Ada apa hal kau cari aku sampai ke sini? Aku rasa kita tak pernah kenal rapat.”
“Ada benda aku nak
tanya dengan kau.”
“Apa dia?”
“Aku rasa tak sesuai
kita cakap kat sini. Kita cakap kat luar.”
“Oklah. Kita jalan kaki
depan sikit. Kat situ ada tempat rekreasi. Waktu pejabat biasanya tak ada orang
kat situ.”
Wafi mengangguk. Samsul segera meminta kebenaran daripada Mariam. Dari riak wajah wanita itu, Mariam membenarkan. Samsul dan Wafi melangkah seiring menuju ke tempat yang dimaksudkan.
“Kau nak cakap pasal apa?”
“Pasal Riana dan A.D.”
“Aku dah agak dah.”
“Apa yang sebenarnya
dah jadi? Betul ke tidak pasal Haikal dengan Riana?”
Samsul memberikan senyuman dan pandangan sinis kepada Wafi.
“Kau baru nak tanya sekarang? Lepas kau dah tuduh A.D? Rafiq sebagai kawan kau, dia lebih dahulu tanya apa yang berlaku berbanding dengan kau.”
“Aku datang sini bukan
sebab nak kena perli, tapi aku nak tahu cerita sebenar.”
“Masa kau tuduh A.D,
kau tak nak pula tahu cerita sebenar?”
“Samsul, aku datang
sini bukannya nak gaduh dengan kau.”
“Apa yang kau nak tahu? Rasanya Haikal dah
cerita semuanya kat kau kan?”
Perasaan marah sedikit timbul di hati Samsul. Wafi sudah pun tersilap langkah dengan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
“Kau dengan Wanie kawan baik dia. Aku rasa kau dapat beritahu apa yang Haikal tak beritahu aku. Betul ke tidak Riana pernah mengandungkan anak Haikal?”
Samsul berat hati untuk membuka mulut. Dia tidak mahu membuka lipatan sejarah itu lagi. Tetapi apabila memikirkan A.D cukup terseksa dengan pelakuan Wafi, dia tidak sanggup untuk terus membisu lagi. Apa yang keruh, perlu dijernihkan kembali.
“Memang Riana pernah buat silap tu. Memang Riana pernah percayakan Haikal. Tapi aku rasa dalam hal ni, bukan Riana yang bodoh. Siapa-siapa akan mudah terpedaya dengan kasih sayang palsu Haikal kalau diri kau dahagakan perhatian. Haikal pandai mempermainkan kelemahan Riana. Dia mengambil kesempatan dalam kesempitan Riana.”
“Jadi, memang tak silap
aku menilai dia kan? Memang dia rela untuk memilih terlanjur dengan Haikal.”
“Tak, kau dah silap.
Memang Riana dah terlanjur dan dia mengandungkan anak Haikal tapi kau tuduh
Riana gugurkan kandungan tu. Betul kan?”
“Kalau dia tak gugurkan
kandungan tu? Mana budak tu sekarang?”
Wafi masih lagi cuba untuk mempertahankan pendirian dan egonya. Walhal, dia belum mendengar cerita sepenuhnya daripada mulut Samsul.
“Depan mata aku dengan Wanie kejadian 3 tahun lepas tu berlaku. Riana nak bertanggungjawab atas perbuatan dia tapi Haikal yang paksa dia untuk gugurkan budak dalam perut dia. Riana berusaha dan merayu supaya Haikal bertanggungjawab. Tapi aku rasa kau pun tau kan siapa Haikal tu. Haikal tak mahu budak tu sebab dia tahu kehadiran budak tu kat dunia ni akan menyusahkan hidup dia. Dia sanggup bagi duit kat Riana untuk gugurkan bayi tu tapi Riana tetap tak nak menanggung dosa membunuh. Haikal tanpa ada rasa belas kasihan tolak Riana sampai dia terjatuh kat atas jalan raya. Lepas tu, dia terus pergi dari situ. Kebetulan aku dengan Wanie ada kat tempat tu. Riana keguguran disebabkan hentakan yang kuat.”
Wafi terkejut. Dia sama sekali tidak menyangka yang A.D sanggup bertanggungjawab akibat daripada keterlanjurannya dengan Haikal.
“Kalau aku jadi perempuan dan aku ada kat tempat Riana, dah lama aku gugurkan budak dalam perut tu. Aku tak nak sesiapa pun tahu tapi dia lain. Dia tak sama. Dia tak sanggup untuk terus melakukan dosa. Dia sanggup menanggung semuanya tapi Haikal? Dia memang pengecut dan dayus. Orang yang sepatutnya kau hukum bukan Qurnia Adriana tapi Haikal, sepupu kepada perempuan idaman kau tu. Tapi, hanya dengan mendengar pengakuan A.D yang dia pernah terlanjur dan mengandungkan benih Haikal, kau tuduh dia gugurkan kandungan tu.”
Lidah Wafi menjadi kelu, lantas bibirnya menjadi bisu. Perasaan benci yang cuba disemai tiba-tiba sahaja lenyap. Dia seperti baru tersedar dari lenanya. Selama ini dia merasakan A.D ialah pesalah yang sepatutnya dihukum. Akan tetapi, hari itu dia merasakan dirinya sendiri menjadi punca gadis itu terus merana.
“Kau tahu tak kenapa A.D tak beritahu kau semua tu? Dia tak nak kau kecewa. Cuba kau bayangkan kau kat tempat dia. Selama 3 tahun terpaksa menanggung segala-galanya sendiri. Dia sanggup ubah diri dia supaya orang lain tak kecewa. Aku dengan Wanie sahaja yang tahu betapa peritnya penderitaan A.D selama ni. A.D hadir kerana dia cuba untuk lenyapkan Riana. Tapi aku rasa dia sendiri tahu yang dia tak boleh lari. Bila kau datang, dia banyak berubah. Kau dah mula mengukir senyuman kat wajah yang selama 3 tahun ni terseksa. Semua manusia pernah silap. Tapi jangan biarkan diri kau terus buat silap. Kau ingat, dia minta ke semua ni jadi kat dalam hidup dia?” sambung Samsul lagi.
Wafi menekup mukanya. Perasaan menyesal mula terasa. Pantas sahaja Rafiq begitu marah terhadap dirinya.
“Aku faham kalau kau tak boleh terima pasal dia dengan Haikal, tapi kau tak sepatutnya tuduh dia macam tu. Bukan dia seorang aje yang menjadi mangsa lelaki macam Haikal tu. Beribu lagi ada kat luar tu. Kalau bukan orang yang dia sayang bimbing dia ke jalan yang betul, siapa lagi? Aku tahu aku ni lelaki yang lembut…tak macam kau, tapi aku masih lagi menghargai dia. Aku tak nak dia terus hanyut. Aku cukup kenal siapa A.D. A.D masih lagi tidak mampu untuk lari daripada bayang-bayang Riana. Aku pasti, kau pun pernah jatuh cinta dengan dia kan? Kau jatuh cinta dengan dia pasal apa? Sebab hati dia atau kerana terpaksa? Kau dah tak nampak betapa istimewanya dia hanya sebab dia tersilap langkah. Sebab masa lampau dia yang gelap, kau nak buang dia daripada hidup kau? Adakah sebab dia pernah buat silap tu, kau nak menghukum dia seumur hidup kau?”
Wafi hanya mampu mendiamkan diri tatkala mendengar soalan itu.
“Aku sebagai lelaki kagum dengan A.D. Tak ramai yang sanggup menanggung akibat daripada kesilapan kita sendiri. Kau bertuah kerana dapat menjadi suami kepada Qurnia Adriana. Aku harap, dengan perlahan-lahan kau dapat terima dia. Aku sebagai lelaki cukup faham macam mana terseksanya kau nak terima kenyataan itu. Tapi kau tak boleh gunakan alasan itu untuk tuduh A.D. Sebagai seorang kawan, aku tak nak kawan yang aku sayang terus hanyut dan terseksa.”
“A.D kat mana
sekarang?”
Samsul menggeleng.
“A.D kat mana?”
“Aku tak tahu.”
“Samsul, kau kawan baik
dia. Aku tahu, kau mesti tahu kat mana dia sekarang.”
“Aku memang tak tahu.”
“Kau tak tahu atau kau
saja buat-buat tak tahu?”
“Hati A.D dah terlalu
banyak terluka. Dia tak nak siapa-siapa pun tahu dia kat mana. Sampaikan aku
dengan Wanie pun dia tak beritahu. Dia sangka kau tak akan cari dia sebab dia
tahu kau akan benci dia untuk sepanjang hayat kau.”
Wafi mengusap rambutnya ke belakang. Penyesalan tak sudah kerana melemparkan tuduhan berat itu kepada A.D. Selama sebulan ini, dia cuba untuk melenyapkan rasa sayang terhadap A.D. Dia terus mencuba untuk menyemai perasaan benci terhadap gadis itu. Dia tidak mahu akur dengan kehendak hatinya. Sudah penat dia mencari jalan keluar supaya tidak tersepit antara keegoan dan hatinya. Tetapi nalurinya masih lagi kuat mengatakan yang A.D merupakan gadis yang terbaik yang pernah dia temui. Jiwanya menjadi buta dek kata-kata Haikal tempoh hari sehinggakan dia hilang pertimbangan. Sesungguhnya Wafi merasakan dirinya sememangnya buta. Bukan setakat buta penglihatan, malah hatinya buta untuk menilai.
----------------------------
“Saya nak jumpa dengan
Haikal.” pinta Wafi sebaik sahaja dia sampai ke syarikat milik Datuk Hamdan.
“Maafkan saya, encik
ada buat temu janji ke?” soal gadis yang bekerja sebagai penyambut tetamu itu.
“Saya tak perlu buat
temu janji untuk berjumpa dengan dia.”
“Maafkan saya, kalau
encik tak ada buat temu janji encik tak boleh berjmpa dngan Encik Haikal.”
Wafi tidak menghiraukan kata-kata gadis itu. Dia meluru masuk ke dalam pejabat. Sebelum dia tiba di syarikat itu, Wafi terlebih dahulu pergi ke apartmen A.D yang dahulu. Dia menyangkakan A,D berada di situ tetapi sangkaannya sama sekali meleset.
Tanpa berlengah, Wafi terus menuju ke syarikat milik Datuk Hamdan yang juga menjadi tempat Haikal bekerja. Kerana lelaki itu, dia kehilangan A.D. Gadis itu cuba menahan Wafi tetapi Wafi tetap mencari Haikal. Nadhira segera keluar apabila mendengar bunyi kecoh di luar.
“Wafi, kenapa Wafi datang pejabat Dhira ni? Wafi cari Dhira ke?” teka Nadhira.
“Saya nak cari Haikal.”
“Haikal?”
“Mana lelaki tak guna
tu?”
Haikal keluar sebaik sahaja dia mendengar namanya disebut. Dia sedang sibuk berbincang dengan pekerja bawahannya.
“Kenapa ni Wafi?”
“Aku ada benda nak
bincang dengan kau.”
“Kalau ya pun ada benda
nak bincang, kau tak payahlah nak buat kecoh kat pejabat ni. Kau boleh telefon
aku kan? Kita bincang kat luar.”
“Kalau bukan sebab kau,
aku tak akan buat kecoh macam ni.”
“Kenapa? Sebab budak
tomboi a.k.a bekas aku tu?”
Kemarahan Wafi meluap-luap. Dia segera merentap kolar kemeja Haikal.
“Sebab kau, dia jadi macam tu.”
“Berani kau nak buat
hal kat pejabat ni ke? Aku tahu, kau mesti kecewa kan? Tapi itu bukan salah
aku. Aku dah cakap, aku tak paksa dia.”
“Kalau kau betul-betul
lelaki, kau tak akan tinggalkan dia.”
“Habis tu, apa yang kau
buat ni tak sama ke dengan apa yang aku buat? Kau biarkan dia tu bukannya
maksud kau pun tinggalkan dia ke bila kau dapat tahu cerita pasal 3 tahun lepas.
Maknanya, kau pun sama macam aku.”
Tanpa berfikir panjang, Wafi sudah pun menggenggam jari-jemarinya lalu menghayun tangannya ke muka Haikal. Satu tumbukan hinggap di bibirnya.
“Wafi...!!!!!!” jerit Nadhira.
Nadhira terkejut dengan tindakan Wafi. Dia tidak menyangka sama sekali yang Wafi akan melakukan perkara itu. Hanya kerana gadis bernama Qurnia Adriana, Wafi sanggup bertindak sedemikian.
“Benda ni sepatutnya aku buat dari dulu lagi. Sejak kau dengan bangganya ceritakan dosa kau pada aku.”
Haikal menyentuh bibirnya yang sudah membengkak itu.
“Kau kena ingat, kalau bertepuk sebelah tangan tak akan jadi.”
“Tapi kau yang tipu
dia. Kau permainkan perasaan dia.”
Wafi sudah tidak kisah dengan keadaan sekeliling. Pekerja di syarikat itu berbisik sesama sendiri. Sekali lagi Wafi memberikan tumbukan tetapi kali ini di pipi Haikal.
Datuk Hamdan keluar daripada pejabatnya setelah mendengar aduan daripada setiausahanya.
“Apa yang berlaku ni?” soal Datuk Hamdan.
Dia terkejut apabila melihat Wafi di situ. Ketua Pegawai Eksekutif Bina Kurnia datang membuat kecoh di pejabatnya. Dia sudah mula memberikan kebenaran kepada Nadhira untuk terus berkawan dengan Wafi. Akan tetapi, apa yang berlaku menyebabkan dia terpaksa mengawal marahnya. Dia tidak mahu Wafi terlepas kerana keadaan Wafi sekarang ini mampu memberi keuntungan kepada dirinya.
“Uncle, Wafi datang buat kecoh.” balas Haikal.
“Wafi, apa yang dah
jadi?”
“Saya cuma nak
selesaikan apa yang tertunggak. Saya harus ajar orang yang kurang ajar biar dia
cukup diajar.”
“Wafi, jangan sebab
perempuan yang tak ada maruah tu, Wafi sanggup bertindak bodoh macam ni.” ucap
Nadhira.
“Aku sememangnya bodoh
kalau aku tak buat perkara bodoh ni.”
“Aku dah cakap dengan
kau, aku tak akan paksa dia kalau bukan sebab dia rela.”
“Budak yang ada dalam
perut dia tu bukan terpaksa boleh jadi kalau bukan sebab kau. Kau memang tak
guna sebab kau suruh dia gugurkan kandungan tu. Aku dengan bodohnya percaya apa
yang kau cakap.”
“Tak semestinya budak
tu anak aku. Kau sanggup pukul kawan kau sendiri sebab perempuan tu? Kenapa?
Perempuan macam tu kau nak buat bini? Kau sanggup nak ambil bekas orang?”
“Untuk pengetahuan kau.
Aku rasa dia perempuan yang berani dan bertanggungjawab. Tak macam kau. Harap
lelaki tapi dayus. Lari daripada masalah. Tumbukan tadi tu sememangnya patut
kau terima. Dan aku rasa kau sepatutnya terima lebih daripada tu.”
Wafi terus menggenggam tangannya dan memberikan tumbukan padu ke bibir Haikal yang bengkak itu.
“Itu untuk Riana.”
Sekali lagi Wafi melakukan perkara yang sama.
“Dan itu untuk A.D.”
Haikal sudah pun jatuh terduduk sebaik sahaja menerima tumbukan terakhir Wafi. Nadhira segera mendapatkan Wafi. Datuk Hamdan terkejut dengan apa yang berlaku. Bibir Haikal pecah lalu darah pekat mengalir.
“Wafi, uncle tak akan teragak-agak untuk buat laporan polis.”
Wafi menoleh.
“Kalau uncle nak buat, terpulanglah. Tapi sebelum uncle buat, uncle tanya dulu apa yang Haikal buat. Saya bimbang, uncle yang akan dapat malu bila dapat tahu apa yang anak saudara uncle telah buat.” balas Wafi.
Wafi terus melangkah keluar daripada pejabat itu. Hatinya puas. Kemarahannya dapat dilepaskan dengan orang yang sepatutnya. Dia perlu membela nasib A.D. Dia juga tidak mahu ada gadis lain yang akan menerima nasib yang sama seperti Riana.
Friday, September 28, 2012
.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 31 ::.
BAB
31
Wafi menyuap pantas
nasi goreng yang terhidang. Setelah makanan di dalam mulut sudah habis ditelan,
dia mengelap bibirnya dengan napkin. Nadhira tersenyum simpul apabila Wafi bersetuju
untuk makan tengahari bersamanya. Tidak sia-sia dia menunggu Wafi daripada
pukul 11 pagi tadi. Sudah puas memujuk pembantu peribadi Wafi untuk menunggu
sahaja lelaki itu di ruangan menunggu. Dia tahu, Wafi sengaja mahu mengelak
daripada bertemu dengan dirinya. Namun, Nadhira tidak mahu melepaskan peluang.
Jalan sudah terbentang luas. Inilah masa yang sesuai untuk memiliki semula hati
Wafi.
“Dari tadi Wafi senyap aje.”
“Tengah makan, buat apa
nak cakap.”
“Dhira gembira sangat
sebab Wafi sudi makan dengan Dhira.”
“Kebetulan saya memang
nak makan.”
Nadhira tersenyum. Dia harus bersabar dengan karenah Wafi. Dia juga tahu keadaan Wafi ketika itu sedang bercambah rasa benci terhadap musuhnya. Dia gembira kemenangan berada di pihaknya. Nadhira memotong perlahan potongan daging lalu menyuap ketulan kecil itu ke dalam mulutnya. Dia sudah memasang strategi untuk menambat semula hati lelaki yang berada di hadapannya. Dia hanya perlu memburukkan lagi diri A.D di hadapan Wafi. Dia tidak mahu kalah dengan A.D. Apa sahaja perkara yang dia inginkan, dia mahu perkara itu dimiliki olehnya. Tidak kira apa jua keadaannya.
“Wafi, Dhira tahu Wafi tengah marah sekarang ni. Tapi jangan risau, Dhira akan sentiasa dengan Wafi.”
Pandangannya yang dari
tadi hanya memandang hidangan, kini dia mendongak melihat Nadhira.
“Apa maksud awak ni?”
Perlahan-lahan tangan Nadhira mahu menyentuh tangan Wafi.
“Dhira tahu Dhira pernah buat silap, tapi Dhira sesekali tidak akan serahkan maruah Dhira untuk lelaki lain. Dhira sayangkan Wafi.”
Wafi menghempas perlahan sudu yang dipegangnya ke pinggan. Emosinya masih lagi tidak stabil. Wafi dapat mengagak yang Nadhira sedang membincangkan mengenai hal itu. Dan tidak mustahil untuk Nadhira tahu kerana pasti Haikal yang menjadi mulut tempayannya. Dia merasakan kata-kata Nadhira seperti sedang mentertawakan dirinya.
“Saya datang restoran ni sebab nak makan, untuk isi perut saya. Bukannya untuk isi kemarahan dalam hati saya ni.”
“Dhira tak nak Wafi
buat kesilapan ni. Perempuan macam tu tak patut dan tak berhak menerima kasih
sayang Wafi. Dhira dah agak, A.D tu bukan perempuan yang baik.”
“Itu hal saya dengan
dia. Awak tak berhak masuk campur. Awak cuma kawan saya. Saya yang menentukan
hidup saya. Walaupun saya tahu perkara ni ada kaitan dengan sepupu awak, tak
bermakna awak boleh masuk campur.”
“Sayang, Dhira tak akan
buat kesilapan tu kalau kita bersama semula macam dulu. Tapi terang-terang
A.D……….”
“Stop it, Dhira.”
“Wafi, jangan jadi
buta. Dia bukan perempuan yang baik. Tuhan dah tunjuk depan mata Wafi. Dhira
tahu Haikal tu memang kasanova, tapi boleh aje kan dia elak perkara tu daripada
terjadi? Ada tak dia nafikan perkara tu? Dhira rasa, dia sendiri mesti tak
sangka lelaki yang dia pernah tidur tu………….”
“Nurul Nadhira, I said stop it. Awak makanlah sendiri.
Sebab saya dah kenyang. Saya dah muak dengan perkara ni.”
Wafi bangun lalu meninggalkan Nadhira. Hatinya bertambah sakit. Sememangnya Nadhira sengaja membangkitkan kemarahannya. Perlahan-lahan bibir Nadhira menguntum senyuman. Dia puas dapat mengalahkan A.D.
------------------
Kereta Myvi kuning
milik Wafi memasuki perkarangan vila. Sebaik sahaja dia keluar daripada kereta,
dia melihat kereta itu berada di halaman luar. Wafi kenal benar dengan pemilik
kereta Satria Neo berwarna kelabu pekat itu. Wafi sempat melihat jam tangan
yang terletak di tangan kirinya. Waktu sudah menjengah pukul 9.30 malam. Sejak hampir
sebulan peristiwa malam itu berlaku, Wafi sengaja pulang lewat. Kadang-kala dia
langsung tidak menyentuh makan malam yang disediakan oleh Mak Som. Wafi mahu
mengelak daripada terus disoal oleh orang di dalam vila itu.
Wafi membuka perlahan pintu lalu melangkah lesu. Badannya terasa letih. Sebaik sahaja dia menutup daun pintu, suara itu memanggil namanya.
“Lama aku tak jumpa kau.”
Wafi tersenyum hambar.
“Aku sibuk sikit. Dah lama kau sampai?” soal Wafi.
“Lamalah juga. Payah
betul nak jumpa C.E.O Bina Kurnia ni sekarang.” balas Rafiq.
Mak Som keluar membawa
hidangan air.
“Mak Som, letak air tu kat luar tempat biasa saya duduk. Saya nak berbual dengan Rafiq kat situ,” pinta Wafi.
Mak Som hanya mengangguk.
Wafi dan Rafiq menuruti langkah Mak Som ke laman luar. Setelah selesai melakukan tugasnya, Mak Som masuk ke dalam. Wafi dan Rafiq duduk di bangku itu. Sambil menghayati udara di luar, Wafi menyingsingkan lengan kemejanya hingga ke siku.
“Ada apa hal cari aku sampai ke sini? Mesti ada perkara penting yang kau nak cakap dengan aku kan?”
“Perlu ke seorang kawan
yang dah dianggap kawan dunia akhirat, memerlukan sebab untuk mencari
sahabatnya?”
Wafi menggelengkan kepala sambil tersenyum lalu menghirup perlahan jus oren di dalam gelas itu.
“Aku dah lama tak jumpa kau. Sejak peistiwa kat padang ragbi hari tu sampailah sekarang baru aku nampak muka kau. Wajah yang aku tengok masa hari tu tak sama dengan muka yang aku nampak pada hari ni.”
“Aku sibuk. Bina Kurnia
tengah banyak sangat projek. Sebab tu muka aku nampak letih.”
“Muka letih dengan
serabut banyak bezanya. Kau ada masalah dengan A.D? Aku tak nampak pun
motosikal dia kat depan tu.”
“Aku baru balik kerja,
aku malas nak bincang soal tu. Dia yang keluar daripada rumah ni.”
“Jadi kau dengan A.D
memang ada masalah? Kau tahu dia pergi mana?”
Wafi hanya membisu, dia malas mahu menjawab pertanyaan Rafiq itu.
“Aku rasa kau sendiri pun tak tahu dia pergi mana kan? Aku bukan nak masuk campur, tapi kau kena beri peluang pada A.D.”
“Kau tak akan faham
keadaan aku, bukan kau yang ada kat tempat aku. Kau tak tahu apa masalah aku.”
“Kau nak cakap pasal
masalah A.D pernah terlanjur dengan Haikal?”
Bulat mata Wafi tatkala mendengar kata-kata Rafiq.
“Masa kau balik hari tu, Dhira tanya dengan Haikal. Aku ada kat situ. Haikal tanpa rasa bersalah memalukan A.D depan aku dengan Dhira.”
“Memang itu silap A.D.”
“Kau sendiri tahu kan
perangai Haikal tu. Sejak dari awal lagi aku tak suka dengan perangai dia. Tapi
kau degil. Kau rapat dengan dia sebab dia sepupu Dhira. Yalah, perempuan idaman
kau tu.”
“A.D tak sepatutnya
rahsiakan perkara ni. Aku dah diperbodohkan.”
“Wafi, cuba kau
letakkan diri kau kat tempat A.D. Kau nak buka pekung kat dada kau sendiri ke?
Ini soal maruah. Kau kena faham tu.”
“Aku cukup faham dengan
keadaan aku. Aku tak sangka aku boleh kahwin dan jatuh cinta dengan dia. Kau
faham tak macam mana rasa sakitnya hati aku?”
“Aku tahu, kalau aku
kat tempat kau sebagai lelaki ego aku tercabar. Tapi semua dah jadi. Tak boleh
nak patah balik. Memang itu silap A.D. Semua manusia pernah buat silap. Kita
memang dah tak boleh nak betulkan apa yang dah jadi, tapi kau jangan menghukum
A.D dengan menuduh dia jadi pembunuh.”
“Apa maksud kau?”
“Kalau aku jadi kau,
aku tak akan buat macam tu. Kalau betul kau sayangkan A.D, kau tak akan terus
hukum dia. Kau patut siasat benda ni dulu. Bukan terus tuduh dia macam tu. Benda
ni bukan perkara main-main.”
“Apa lagi yang aku kena
siasat? Dia sendiri dah mengaku yang dia pernah terlanjur dengan relanya
bersama Haikal. Aku tak ada hak nak bersuara ke?”
“Aku tahu kau marahkan
pasal tu, tapi kau tak boleh tuduh dia gugurkan kandungan tu.”
“Kalau dia tak
gugurkan, mana anak dia tu? Ada kau nampak? Macam mana kau boleh tahu pasal ni?
Dia ada mengadu kat kau? Ke kau pun pernah ada skandal dengan dia?”
“Nauzubillah
Min Zalik, kau ni dah kenapa Wafi? Jangan pasal sebab marah kau, kau nak tuduh
aku sampai macam tu sekali? Aku sebagai kawan kena tolong kau. Aku cuma nak
membela nasib orang yang teraniaya. Sepatutnya kau bimbing dia,
macam mana kalau dia makin hanyut? Dia isteri kau. Kau sepatutnya lindungi dia,
bukan semakin menyalahkan dia. Orang yang patut kau salahkan dalam hal ini
ialah Haikal. Haikal dah menabur macam-macam janji pada Riana yang dulu. Riana
cuma salah membuat pilihan. Kau sendiri tahu siapa Haikal sejak hari pertama
kau kenal dia. Haikal hanya menganggap perempuan adalah barang permainan.”
“Haikal tak paksa dia. Dia
yang rela. Itu yang aku tak boleh terima.”
“Dia terlalu mentah
Wafi. Orang yang kekurangan kasih sayang, memang mudah rapuh dengan perhatian.
Selama ni, kau jatuh cinta dengan A.D sebab terpaksa ke? Ada dia paksa kau
untuk jatuh cinta dan sayangkan dia? Dia dah banyak kali suruh kau elakkan diri
daripada dia sebab tak nak kau kecewa tapi kau tetap memilih untuk terus
sayangkan dia. Dalam hidup ni, ada benda yang tak sepatutnya kita tahu.
Kadang-kadang lebih baik kita tak perlu tahu apa-apa daripada kita tahu perkara
tu. Kau sendiri sebagai manusia pernah buat silap, jadi jangan tambahkan lagi
sengsara dalam diri dia.”
“Kau cakap seolah-olah
macam kau tahu apa yang dah jadi sebenarnya.”
“Kau bijak, kau ada
otak. Kau fikirlah sendiri macam mana aku boleh tahu perkara yang sebenarnya.
Benda ni sepatutnya kau lakukan lebih dulu daripada aku. Aku bukan nak memihak
pada sesiapa. Aku tak cakap aku boleh terima kesilapan tu, tapi aku tak akan
terus hukum dia. A.D ada sebab.”
Setelah selesai berbicara dengan Wafi, Rafiq segera beredar. Dia mahu rakannya itu membuka mata. Rafiq tidak mahu membiar penglihatan itu dikaburi dengan kemarahan dan ego.
Subscribe to:
Posts (Atom)