Stylo Clique ^_^

Friday, September 7, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 28 ::.







BAB 28

Matanya meliar ke sekeliling kawasan rumah. Dia mencari lelaki itu. Setelah puas memikirkan kata-kata teman yang sudah dianggap seperti darah daging sendiri, A.D merasakan ada benarnya. Dia harus memilih untuk berhenti berlari. Dia sendiri sudah penat menafikan apa yang telah tersurat. Akhirnya, dia melihat susuk tubuh sasa itu di ruangan kegemaran ayahnya. Perlahan-lahan dia melangkah keluar.

“Awak buat apa kat sini?” soal A.D.

Wafi menoleh apabila telinganya mendengar suara A.D.

“Saja ambil angin. Tekanan kat pejabat tu hilang kalau saya kat sini.”
“Patutlah papa suka pergi kat laman ni. Agaknya dia pun macam awak juga.”

Wafi tersenyum.

“Awak, terima kasih sebab tolong saya uruskan Bina Kurnia. Kalau awak tak ada, saya sendiri tak tahu macam mana saya nak uruskan harta peninggalan papa yang berharga tu. Saya tahu Bina Kurnia sangat bermakna bagi papa.”
“Itu dah menjadi tanggungjawab saya. Memang Bina Kurnia adalah harta papa yang paling bermakna, tapi awak adalah harta papa yang tidak ternilai. Awak satu-satunya anugerah yang paling berharga dalam hidup papa. Dan itu yang membuatkan saya adalah orang yang sangat bertuah kerana…………..”
“Kerana apa?”
“Saya orang yang sangat bertuah kerana dapat berada di sisi awak.”

A.D hanya mampu memandang wajah Wafi. Kini, apa sahaja yang keluar dari bibir itu mampu membuatkan perasaan A.D menjadi tidak menentu.

“Saya yang sebenarnya bertuah sebab berada di sisi awak sedangkan saya ni penuh dengan kekurangan.”
“Kalau awak rasa macam tu, saya lebih jauh daripada tu. Saya yang pada mulanya hina awak. Saya tak boleh terima kehadiran awak setiap kali saya nampak awak. Saya cakap tak mungkin saya akan sukakan awak apatah lagi mahu jadikan awak sebagai isteri saya.”

Saya sememangnya hina. Saya sendiri tidak boleh menerima kehadiran diri saya. Memang tak salah apa yang awak rasa, Wafi.

Suara hati A.D berbisik. Tidak sepatutnya perasaan Wafi berubah terhadap dirinya. Dan begitu juga dengan perasaannya. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah dia lakukan sehingga Wafi berubah. Selama sebumbung dengan Wafi, dia menjadi dirinya sebenar. Langsung tidak berniat mahu berkongsi perasaan yang sama dengan lelaki itu.

“Memang patut awak rasa macam tu.”
“Tapi itu dulu.”
“Macam mana kalau saya cakap awak patut teruskan apa yang awak rasa pada awalnya dulu? Saya tak sama macam gadis yang lain.”
“Tapi saya suka sesuatu yang lain.”
“Saya tahu awak tak akan boleh terima saya.”
“Kenapa? Sebab awak naik superbike? Sebab penampilan dan gaya awak macam lelaki?”
“Awak, sebenarnya saya………..”

Tatkala A.D sudah bersedia unuk meluahkan segala-galanya, tiba-tiba telefon bimbit Wafi berbunyi.

“Awak, sekejap.”

Wafi segera menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Tertera nama Wadi di skrin.Wafi menyambut panggilan itu. A.D berpaling daripada Wafi. Dia cuba untuk mengumpulkan kekuatan yang ada. Dia tahu Wafi akan kecewa tetapi sekurang-kurangnya dia mampu untuk bersemuka dengan realiti. Sudah tiba waktunya untuk A.D belajar menerima kesan masa silamnya. Jika dia terus berlari, sampai bila-bila pun perasaan bersalah dan marah terhadap diri sendiri tidak akan lenyap. Dia harus berlaku jujur.

“Awak,” panggil Wafi.

A.D seperti mengelamun.

“Awak,” panggil Wafi lagi.

A.D menoleh.

“Wadi telefon saya. Dia baru ambil keputusan SPM siang tadi. Dia dapat semua A.”
“Alhamdulillah,” ucap A.D
“Alhamdulillah dia dah tolong capaikan impian saya. Saya memang nak dia berjaya. Kami memang nak nenek bahagia. Inilah hadiah yang mampu saya dan Wadi berikan untuk nenek atas segala pengorbanan yang dia telah lakukan untuk membesarkan kami.”

Wajah Wafi jelas menunjukkan dia gembira. A.D merasa bahagia melihat Wafi tersenyum. Dia sendiri tidak menyangka, melihat senyuman orang yang kita sayang mampu membuatkan kita bahagia.

“Awak nak cakap apa tadi?”
“Tak ada apa-apa. Saya pun lupa nak cakap apa.” balas A.D.

Tidak tegar rasanya untuk merosakkan perasaan gembira Wafi. Dia sendiri tidak sanggup melihat wajah itu kecewa kerana dirinya. A.D sendiri tidak mampu membayangkan keadaan Wafi jika dia mengetahui kisah hidup Riana. Atau lebih tepat lagi, A.D belum bersedia untuk melepaskan kebahagiaan sementara yang dikecapinya kini. Bagaimana kalau Wafi membuang A.D seperti sampah, sebagaimana Haikal lakukan terhadap Riana? Tidak sanggup A.D membayangkan perkara itu.

---------------------

Wafi segera meletakkan beg sandangnya di bangku panjang berhampiran dengan padang. Dia sempat memandang jam tangannya. Rafiq juga melakukan perkara yang sama lalu duduk di bangku itu.

“Apasal tengok jam?”
“Kenapa? Tak normal ke aku tengok jam?”
“Tengok jam tu memanglah normal tapi kau tu yang tak normal. Dari tadi aku tengok kau tersengih-sengih. Sanggup tinggalkan kerja kat pejabat tu bila Malik ajak main ragbi kat sini eh? Kau ingat aku tak tahu ke kenapa? Macam tak boleh jumpa pula kat rumah kan?”
“Kau jangan nak merepek ya Encik Rafiq. Kebetulan hari ni P.A aku cakap appointment aku petang ni batal. Aku pun dah lama tak pegang bola ragbi.”
“Kau nak tipu aku ke Encik Wafi? Kau memang tengah bahagia kan?”
“Banyak benda baik berlaku dalam hidup aku. Adik aku, si Wadi tu dapat keputusan baik untuk SPM dia. Mestilah aku gembira. Sementara benda baik berlaku ni, aku nikmatilah. Esok-esok kita tak tahu nasib kita.”
“Satu lagi sebab A.D kan?”

Wafi hanya tersenyum.

“Senyum kau tu dah bagi aku jawapan. Eh, kau cakap dengan aku tadi ada seorang lagi nak main kita. Siapa?”
“Adalah. Kejap lagi dia sampai.”

A.D, Samsul dan Izwanie melangkah keluar daripada perpustakaan. Kebetulan kedudukan perpustakaan tidak jauh daripada padang ragbi. A.D mahu menuju ke tempat letak kenderaan. Tetapi dia merasakan ada seseorang sedang memerhatikannya dari jauh.
"Eh, A.D…..tu Wafi kan?” tanya Izwanie.
“Ha’ah la. Wah…..tak sangka romantik betul mamat sengal ni kan? Kat rumah dah jumpa, kat sini pun masih nak jumpa lagi?” usik Samsul.
“Kalau satu hari mulut kau orang tak jadi gear automatik memang tak boleh kan? Kau tak nampak dia kat padang tu? Dia kan nak main ragbi. Bukannya kau orang tak tahukan yang dulu dia wakil universiti kita?”
“Memanglah. Tapi kalau mata dia macam nak terjojol tengok kau kat sini tu, apa maknanya? Eh, jomlah kita pergi kat suami kau tu. Aku nak tengok juga dari dekat kawan baik dia tu,” ajak Izwanie.
“Yalah A.D. Kau ni tak baik tau kedekut, bahagia sorang-sorang.”

A.D menggelengkan kepala tetapi kakinya menurut kehendak mereka berdua. Mereka bertiga menuju ke arah Wafi dan Rafiq.

“Lambat awak balik hari ni,” soal Wafi sebaik sahaja A.D berada di hadapannya.
“Saya ada study group dengan Wanie dan Sam. Dah nak final exam kan? Awak juga yang suruh saya tumpukan perhatian sepenuhnya dengan pengajian saya.”
“Awak dah makan?”
“Dah. Awak nak main ragbi ke kejap lagi?”
“Ha’ah. Malik, kapten pasukan kita orang dulu sekarang dia dah jadi jurulatih. Saja aje, dah lama tak main ragbi.”
“Ehem…ehem..amboi, mesra sungguh sampai tak ingat ada orang kat sekeliling. Ingat kita orang ni palang tiang gol ke?” tegur Samsul.

Wafi menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri sudah asyik dengan perasaannya.

“Ni kawan saya, Rafiq.”
“Hai.” ucap Rafiq.

A.D tersenyum.

“Ni kawan saya, Samsul dengan Izwanie. Dia orang berdua ni kawan baik saya.”
“Hai. Saya banyak kali nampak awak berdua. Kadang-kadang kita pernah satu kelas kuliah kan? Satu lagi masa majlis pernikahan A.D dengan Wafi. Betul tak?”
“Ha’ah. Ingatkan tak perasan kita orang. Al-maklumlah, orang popular.” ucap Izwanie.
“Ish..mana ada popular. Biasa-biasa aje. Orang yang anggap kita orang ni popular, tapi tak pun.” balas Rafiq.
“Awak berdua aje ke? Kawan-kawan yang lain tak join?” soal A.D kepada Wafi.
“Ada sorang lagi tapi dia bukan budak U kita. Dia sampai lambat sikit.”
“Oklah. Saya balik dulu. Kita jumpa kat rumah nanti.”
“Awak, hati-hati bawa motor tu.”

A.D mengangguk.

-------------------

“Haikal, thanks a lot because bring me here. Actually, Wafi is very busy. I memang dah lama tak jumpa dia.”
Come on, Dhira. You are my closest cousin. Of course I will help you.”
I memang tak sabar nak beri kejutan kat dia.”

Mata Haikal memandang wajah A.D yang sedang berada berhampiran dengan tempat letak keretanya. Dia seperti mengenali wajah itu. Wajah itu seperti sedikit berbeza. Dia berusaha untuk mengembalikan semula ingatannya.

Dhira, why not you go first? I’ll catch up you later. Lagi pun I tak nak ganggu saat-saat manis you. Mesti banyak benda you nak cakap dengan Wafi kan?”
“Ok. I jumpa Wafi dulu.”

Nadhira tersenyum lalu keluar daripada kereta dan terus menuju ke arah padang.
Haikal cuba mengamati dalam-dalam raut muka gadis yang kelihatan kasar di matanya itu. Peristiwa 3 tahun dahulu kembali ke kotak fikirannya.

A.D baru sahaja mahu mengenakan topi keledar tetapi suara itu memanggilnya lalu dia membatalkan niatnya.

“Hai,” sapa Haikal.

A.D menoleh. A.D tergamam. Sampai mati sama sekali dia tidak akan melupakan setiap garis yang ada di wajah lelaki itu. Tidak mungkin dia mampu melenyapkan wajah yang telah merosakkan hidupnya. Suatu ketika dulu, sepenuh kepercayaan pernah diberikan terhadap lelaki yang berada dihadapannya.

“Aku tak kenal siapa kau.”
Are you sure my dear? You’re Riana, right?
“Kepala otak kau. Siapa dear kau?”
Come on. Aku tahu kau Riana.”
“Riana dah mati.”
“Riana dah mati? Habis tu, siapa kat depan aku ni?”
“Aku cakap aku tak kenal kau.”

A.D berusaha sekeras mungkin untuk mengelak daripada Haikal. Dia tidak mahu Wafi nampak apa yang sedang berlaku.
“Dari tadi aku perhatikan kau. Aku tak silap orang rasanya. So, nak lari daripada bekas kekasih kau ke? Kau ingat dengan pakaian kau macam lelaki ni, aku dah tak kenal kau? Kau ingat dengan rambut pendek kau ni, aku boleh tak cam kau? Kau ingat, aku lupa muka perempuan yang pernah aku tidur dulu?”
“Aku tak cari pasal dengan kau, kau jangan nak cari pasal dengan aku. Kau ingat aku lupa kau siapa? Aku memang buat silap besar kenal dengan kau, bangsat. Orang macam kau ni, memang tak layak hidup kat dunia ni.”
“Wooo…woo…Riana sekarang dah pandai cakap kasar? Mana Riana yang dulu? Yang lemah lembut, kalah dengan pujuk rayu aku? Yang mudah kena tipu dengan aku? Mana Riana tu?”
“Sebab kau, aku kena tanggung semua ni.”
“Salah aku lah? Setahu aku malam tu kita buat suka sama suka kan? Aku tak akan jamah kalau bukan sebab rela.”
“Kurang ajar.”
Riana mahu memukul Haikal dengan topi keledarnya. Tetapi Haikal sempat mengelak.
“Aku tak sangka Riana yang baru ni dah lain. Memang tak sama macam dulu. Nasib baik aku dah pernah rasa kau, kalau tak mesti sekarang ni aku gigit jari kan? Tapi, tak salah kalau kau nak kita ulang semula peristiwa malam tu. Apa salahnya kan?”

Haikal cuba menyentuh pipi A.D tetapi segera saja ditepis oleh A.D. Jijik rasanya memandang lelaki itu apatah lagi bersentuhan dengan Haikal. A.D memandang Haikal dengan penuh rasa benci dan dendam. Mahu sahaja dia menyiat mulut itu. Luka lama yang belum cukup sembuh sudah berdarah kembali.

“Jangan kau ingat aku ni sama macam Riana dulu. Mulut kau dengan diri kau memang sama. Pendek kata apa yang pada kau semuanya sama. Dasar jantan tak guna. Aku memang manusia paling bodoh sebab percayakan kau. Tapi kau lebih bodoh daripada aku kalau kau ingat aku nak ulang semula peristiwa malam tu.” ucap A.D. 

Dia segera mengenakan topi keledarnya lalu segera menghidupkan enjin motosikal. Lantas A.D memerah pendikit dan memecut dengan lajunya meninggalkan Haikal.
A.D tidak menyangka lelaki tidak berguna itu kembali semula dalam hidupnya. Tiba-tiba sahaja Haikal muncul di hadapannya. Adakah itu petanda bahawa rahsianya akan terbongkar? Apa yang membimbangkan A.D ketika ini hanyalah Wafi. Dia risau jika Wafi melihat perbualan mereka tadi.





Monday, September 3, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 27 ::.






BAB 27

A.D memulas tombol pintu kamarnya. A.D mengangkat sedikit kain putih yang membaluti bahagian kakinya untuk memudahkan dia melangkah. Masih lagi jelas suara Nenek Esah tempoh hari menasihatinya sebelum pulang ke rumah. Ketika itu Wafi sedang sibuk meletakkan beg pakaian di dalam kereta.
“A.D, jangan lupa solat ya? Jangan tinggal satu waktu pun. Sebab dengan solat itulah yang membuatkan kita lebih dekat dengan Dia. Lagi satu, kalau ada kesempatan solat jemaah dengan Wafi. Bukan setakat pahalanya berlipat kali ganda. Tapi dapat mengeratkan hubungan antara suami isteri. Kita tak boleh hidup dengan kehidupan lampau. Semua orang ada masa silam. Macam nenek cakap dulu, kita memang tak mampu untuk mengubah apa yang telah terjadi tapi kita boleh baiki dan buat masa depan kita jadi lebih baik.”
Azan menandakan sudah masuknya waktu solat Isyak baru sahaja selesai kedengaran. Telekung yang membaluti tubuh A.D membuatkan dirinya merasa tenang. A.D menghampiri kamar yang terletak berhadapan dengan biliknya. Perlahan-lahan tangan A.D mengetuk pintu itu. 
Wafi baru sahaja selesai mengambil wuduk apabila mendengar bunyi ketukan itu. Hatinya mula tertanya-tanya.
Siapa pula yang ketuk ni? Pak Aziz? Tak kanlah. Mak Som pun jarang naik tingkat atas ni. A.D ke? Kalau A.D, kenapa pula dia nak jumpa aku?
Sebaik sahaja pintu dibuka, A.D yang lengkap serba putih berada di pandangannya.
“Ada apa yang boleh saya tolong?”
A.D melihat wajah Wafi. Wajah itu dibasahi dengan titisan air lantas A.D dapat mengagak yang Wafi juga mahu melakukan perkara yang sama sepertinya.
“Awak nak solat?”
“Ya,” balas Wafi sambil mengangguk.
“Kita solat sekali la.”
“Solat sekali?”
“Yalah. Dah biasa kat kampung solat berjemaah.”
Wafi tersenyum.
“Apasal awak senyum?”
“Kenapa awak tak nak cakap dengan saya, awak….jom solat berjemaah sama-sama. Lagi sedap kalau awak cakap, abang….jom kita solat berjemaah sama-sama.”
Terkebil-kebil mata A.D tatkala mendengar ayat Wafi itu. 
“Kenapa awak nak gunakan ayat lain sedangkan ayat yang saya cadangkan tu lagi mesra kan?”
“Gila ke apa?”
Wafi menggelengkan kepala sambil ketawa. Itulah A.D yang dirinduinya.
“Awak nak ke tak nak? Saya dah bentangkan sejadah tu.”
Wafi menjengah keluar. Terdapat ruang seperti ruang tamu antara biliknya dan bilik A.D. Kelihatan dua helai sudah dibentang kemas.
“Saya nak. Orang ajak saya buat pahala, takkanlah saya tak nak.”
Wafi segera menjejakkan kakinya di baris hadapan. Mereka bersama-sama menunaikan solat Isyak. Setiap surah yang dilafazkan penuh dengan tertil. A.D merasakan dirinya tenang. Seumpama ada sesuatu yang sedang meniup lembut ke dalam jiwanya yang tandus itu. 

Wafi menadah tangan sebaik sahaja selesai memberi salam. Dia memohon agar Allah memberikan mereka berdua petunjuk agar mereka dapat melalui kehidupan itu dengan jalan yang diredhai. Dia juga berharap jodohnya dengan gadis yang menjadi makmumnya tadi berkekalan hingga ke akhir hayat. 

Setelah selesai, Wafi berpaling kebelakang. Dia mahu menghulurkan tangan supaya A.D dapat bersalaman dengannya tetapi harapannya meleset. A.D sudah pun berdiri.

“Eh, awak nak pergi mana?”
“Nak masuk bilik la.”
“Awak rasa ada tertinggal sesuatu tak?”
“Tertinggal sesuatu?”
“Ya, awak rasa ada benda yang awak belum buat lagi tak?”

A.D terdiam. Dia memandang sekeliling. Akhirnya……

“Oohh..terlupa pula. Tertinggal sejadah ni.”

Selamba sahaja A.D mengambil sejadah itu lalu dilipat menjadi empat segi kecil. Dia mengambil sejadah itu untuk dibawa masuk ke dalam bilik. Wafi mengeluh.

“Selain sejadah tu?”
“Apa lagi?”
“Awak terlupa saya.”
“Awak?”
“Awak tak nak salam saya?”
“Kena salam?”
“Yalah. Isteri kena salam suami lepas dah siap solat.”
“Awakkan suami olok-olok saya. Olok-olok pun kena ke?”
“Suami olok-olok pun saya yang lafaz akad nikah tu.”

A.D seperti anak kecil, menuruti permintaan Wafi itu. Wafi menghulurkan tangan dan A.D menyambutnya. Perlahan-lahan A.D mencium tangan Wafi. Kali kedua dia mengucup lembut tangan lelaki itu atas nama suami. Pertama, ketika majlis pernikahan mereka dulu dan untuk kali keduanya ini A.D merasakan sesuatu. Sentuhan tangan sang suami terasa lembut di tangannya lalu menggetarkan nadinya dan menyebabkan hati A.D bergetar. A.D mahu terus melangkah pergi. Tidak sanggup mahu berhadapan dengan lelaki itu. Tetapi tangan Wafi pantas menahan. Mata mereka bertemu. Perlahan-lahan bibir Wafi menghampiri dahi A.D. Dia menghadiahkan satu kucupan lembut di tempat itu. A.D kaget. Wafi tidak pernah sama sekali melakukan perkara itu. Biasanya, selepas akad nikah sang isteri akan bersalaman dengan suami lalu sang suami akan mengucup dahi si isteri. Semasa hari itu Wafi tidak melakukan perkara tesebut. Tiba-tiba sahaja bibir Wafi berada di situ.
“Awak nampak cantik bila awak macam ni.” ucap Wafi sambil tersenyum.

Kemudian dia melangkah menuju ke biliknya, meninggalkan A.D yang masih terkejut dengan perbuatannya itu.

--------------------


Bunyi deruman enjin kereta sudah tidak kedengaran. A.D tersenyum simpul apabila melihat penampilannya hari itu. Dia sendiri tidak tahu apa kena dengan jiwanya. Tiba-tiba sahaja dia mahu mengenakan pakaian itu di tubuhnya. Pandangan tajam itu masih lagi jelas di matanya. Perlahan-lahan A.D membuka pintu kereta lalu keluar. Pelajar yang tutut sama meletakkan kenderaan di situ memerhatikan dirinya. Mana yang memandang sekali akan berpaling untuk kali kedua. A.D membiarkan sahaja mata-mata yang melihat. Dia sudah biasa diperhatikan sebegitu. Suatu ketika dahulu, untuk pertama kalinya dia menunggang motorsikal ke kuliah pandangan seperti itu juga diberikan. A.D terus melangkah. Mata A.D menangkap susuk tubuh itu. Izwanie dan Samsul sedang rancak berbual.

“Assalammualaikum,” ucap A.D memulakan perbualan.
“Waalaikummussalam,” balas Izwanie dan Samsul.

Bibir mereka menjawab salam A.D tetapi penglihatan mereka kaku tatkala melihat penampilan A.D. A.D mengenakan baju kurung berwarna kuning cair corak batik di bahagian bawahnya.

“Kau orang nampak hantu ke?” soal A.D sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Izwanie.
“Wanie, kau kenal tak siapa ni? Budak baru ke?” sindir Samsul.
“Sam, teruklah kau ni. Baru cuti dua minggu dah lupakan aku?”
“Aku pun tak kenal siapa perempuan Melayu terakhir ni.” kata Izwanie.
“Astaghfirullahalazim…….kau dengan Sam ni kenapa? Buang tabiat? Ni akulah, A.D.”
“A.D? Setahu akulah A.D yang aku kenal tak pakai baju kurung.” ucap Samsul.
“Amboi..kau orang kalau bab nak mengenakan aku memang tak ingat dunia kau orang nak kasi kat aku.”
“Betul ke kau ni? Sejak bila dah pakai baju kurung? Eh……kejap-kejap, macam mana kau bawa motor mask rider kau tu dengan baju kurung macam ni?”
“Kau gila aku nak naik motor besar aku tu pakai baju kurung ni?”
“Habis tu?”

------------------------


A.D memerhatikan dirinya di hadapan cermin itu. Cermin itu mampu memantulkan imej keseluruhan tubuhnya. Dia agak-agak ragu dengan penampilannya hari itu. Boleh dikatakan, sepanjang pengajiannya dia hanya memakai seluar beserta baju kemeja-T. A.D lebih selesa untuk berpenampilan kasual dan maskulin. Sesuai dengan gayanya yang menunggang motorsikal. 

A.D memusing-musingkan badannya. Risau dengan tanggapan orang lain atau lebih tepat lagi tanggapan Wafi. Hatinya berdebar-debar tatkala mahu melangkah keluar. Sebaik sahaja menutup pintu kamarnya, Wafi juga melakukan perkara yang sama sepertinya. Mata A.D sempat menangkap penampilan Wafi. Wafi sememangnya bijak dalam mengenakan gaya. Wafi mengikat rambutnya sedikit, ala rambut yakuza. Lebihan rambut dibiarkan menyentuh kolar baju. Wafi mengenakan kemeja hitam licin lengan panjang beserta tali leher biru laut. A.D sendiri tidak mengerti mengapa pagi itu dia merasakan Wafi mempunyai tarikannya tersendiri. Bukannya dia tidak pernah nampak Wafi berpenampilan segak untuk ke pejabat tetapi pagi itu hatinya seoalah-olah tidak mampu menahan perasaan itu.

Wafi tersenyum memandang A.D. Hatinya juga seperti terusik apabila melihat A.D ayu berbaju kurung. Sifat lasak dan kasar sudah pun lenyap apabila baju itu dikenakan.

“Awak nampak lain,” ucap Wafi.
“Lain? Buruk?”

Wafi menggeleng.

“Tak. Awak nampak cantik.”

A.D menguntum senyuman.

“Terima kasih.”
“Awak nak pergi kuliah naik motor ke?”
“Saya ingat nak naik teksi aje.”
“Kenapa tak nak minta tolong Pak Aziz hantarkan?”
“Saya tak nak susahkan Pak Aziz. Lagipun saya dah biasa pergi kuliah sendiri.”

Perlahan-lahan Wafi melangkah menuju ke arah A.D. Wafi mendekatkan jarak mereka. A.D dapat melihat dengan jelas wajah Wafi.

“Kalau awak tak nak Pak Aziz hantarkan, awak nak saya hantarkan ke?” soal Wafi.

A.D tidak mampu untuk membalas. Soalan itu benar-benar menduga perasaannya.

“Tak naklah. Lagipun awak sibuk.”
“Tak pun macam ni. Kita buat sistem barter nak?”
“Sistem barter?”
“Hari ni saya pergi Bina Kurnia dengan motosikal awak dan awak guna kereta saya. Setuju?”

A.D sekali lagi membisu. Dia kalah dengan pandangan itu.

“Satu…..dua…..tiga… Awak tak cakap apa-apa, maknanya awak setuju.”

Perlahan-lahan A.D menganggukkan kepalanya, menandakan dia sependapat dengan Wafi.

“Awak lagi nampak cantik bila awak tersipu-sipu malu dengan saya. Mana tahu lain kali kita boleh buat sistem barter yang lain. Hari ni kita tukar kenderaan kita, lain kali kita tukar hati antara satu sama lain pula.” kata Wafi sambil pandangannya tidak mahu melepaskan wajah A.D.

-----------------


“Amboi kau nyah…….kelas bawa Myvi kuning dengan memakai baju kurung berwarna kuning. Satu set gitu. Selama aku kenal kau, kau tak pernah kasi siapa-siapa tunggang motor hijau kau tu. Kau ingat tak dulu, masa Irwan budak kelas kita tu nak pinjam kejap je motor kau, kau bukan main tak nak kasi. Sekarang ni dengan tersenyum macam kerang busuk cakap motor kau si Wafi tu yang pakai. I smell something here. Apa aje yang kau orang berdua buat selama cuti semester ni sampai kau berubah jadi macam ni? Lebih baik kau cerita dengan kita orang.”

Lantas A.D membayangkan peristiwa CPR tempoh hari. Bermula detik itulah, perasaan itu semakin hadir tanpa diundang. Dari tadi senyuman itu tidak pudar daripada wajah A.D.

“Kau ni kenapa A.D? Dari tadi aku tengok kau tersenyum-senyum. Kau dengan Wafi dah......................” Izwanie sengaja tidak mahu menyambung penghujung ayatnya.
“Dah apa?”
“Baik kau cakap. Mesti kau dengan Wafi dah buat………”
“Buat apa Wanie? Kau jangan nak buat cerita. Aku dengan dia tak lebih daripada apa yang kau orang fikirkan. Aku dengan dia tak sebilik pun.”
“A.D, apa yang kau melalut ni? Aku tak cakap pun pasal tu. Aku nak cakap mesti kau dengan Wafi dah buat hati masing-masing jatuh cinta kan? Kalau tak, tak ada maknanya nak pakai baju kurung ni,” sambung Izwanie.
“Tak. Aku tak jatuh dengan dia. Percayalah. Aku saja nak pakai baju kurung. Tak adalah masa hari raya je aku pakai baju kurung zaman purba ni kan?”

Tetapi hati A.D mengiyakan kata-kata rakannya itu. Setiap kali mata itu memandangkan dirinya, dia merasakan dirinya cukup cantik di hadapan lelaki itu.

“Cik Jah ooii…….ayat tu tak payah nak statement artis boleh tak? Kau ingat kau tu siapa? Pakai baju lip lap lip lap kena interviu dengan wartawan Melodi? Aku tengok muka kau pun dah tahu. Berseri-seri.”
“Malas aku nak layan kau orang. Aku cakap pun memang tak nak percaya kan.”
“Ok, aku ada idea. Kalau betul kau tak ada apa-apa dengan Wafi, aku nak kau main satu permainan ni.” cadang Izwanie. Dia mahu mencungkil rahsia yang tersimpan di dalam hati A.D.

Samsul menjongket kening ke arah Izwanie. Dia mahu tahu muslihat Izwanie. Izwanie segera membisikkan sesuatu ke telinga Samsul. Samsul tersengih-sengih mendengar rancangan Izwanie.

“Main permainan? Malaslah, kau orang ni memang suka buat benda pelik dalam dunia ni. Kalau benda pelik kat dunia ni ada tujuh, ha…..kau orang berdua adalah yang kelapan.”
“Dan kau yang kesembilan sebab memang pelik kalau kau dah jatuh cinta. Kalau kau tak nak main, memang sah kau suka dengan mamat sengal tu a.k.a Wafi Azrel Shah.” ujar Samsul lagi, menyokong rancangan Izwanie.
“Ooo….jadi kau orang nak cabar akulah ni? Kau tahukan aku ni pantang dicabar. Cakaplah, permainan apa? Aku tak suka dengan mamat sengal tu.”

Izwanie mengenyitkan matanya terhadap Samsul. Sememangnya mereka tahu kelemahan A.D. A.D pantang dicabar. Itu yang memudahkan lagi kerja mereka berdua.

“Ok, kau kena sebut secara spontan perkataan yang pertama muncul dalam otak kau yang sengal juga tu bila kau dengar perkataan dari mulut aku ni. Kau tak boleh fikir. Apa yang terlintas kat otak kau, terus cakap. Kalau kau lambat cakap, maknanya memang sah tanpa ragu-ragi kau suka dengan Wafi.” terang Izwanie.
“Permainan apa ni?”
“Ala..macam cerita Kuch Kuch Hota Hai tu.”
“Kuch Kuch Hota Hai cerita Hindustan tu? Kuch Kuch Otak Hang la.”

A.D sengaja mahu mengelak.

 “Ok, aku kasi contoh. Sam, kau konon-konon jadi A.D.”

Samsul menunjukkan tanda ibu jari.

“Tomato.”
“Sos,” jawab Samsul dengan pantas.
“Kentang.”
“Goreng,”
“Ha, macam tu. Kau faham tak? Ke kau buat-buat tak faham?”
“Faham, kalau aku buat-buat tak faham korang cakap aku suka mamat sengal tu kan?”
“Tahu pun. Kau memang pandai. Sam, kau mulakan dulu, pastu aku pula. Kita gilir-gilir soal A.D.”
“Ayam.”
“Goreng.”
“Buku.”
“Baca.”
“Duit.”
“Kaya.”
“Air.”
“Hujan.”
“Pokok.”
“Kelapa.”
“Budak.”
“Sengal.”
“Rambut.”
“Panjang.”
“Ekor.”
“Kuda.”
“Hati.”
“Sayang.”
“Sayang.”
“Wafi.”

A.D terkejut. Dia sendiri tidak menyangka bibirnya akan menyebut nama insan itu. Nama itu yang terlintas apabila dia mendengar perkataan sayang. Dia sudah tidak mampu berselindung. Semuanya sudah terang malah bersuluh.

Izwanie dan Samsul berpandangan antara satu sama lain. Akhirnya mereka berjaya mengetahui isi hati A.D.

“Kau sebut apa nyah?”
“Aku tak sengaja sebut nama dia.”
“Amboi…….kalau kau nak tahu, perkara yang tak sengaja itulah sebenarnya yang datang dari hati. Nampak sangat kau dah jatuh cinta kan? Masih lagi tak nak mengaku?” soal Izwanie.

A.D membisu. Dia tidak mampu membidas.

“Alhamdulillah…..Baguslah kalau hati kau yang keras macam batu bata tu dah terbuka untuk bercinta.” sambung Samsul pula sambil menadah tangan sebagai tanda bersyukur.
“Tapi aku tak tahu. Wafi tu kan boyfriend Nadhira. Boyfriend orang beb, tak kan aku nak ambil hak orang.”
“Ya Allah, kenapa lembap sangat kau ni? Aku tengok Wafi tu baik dengan kau. Lagi-lagi masa arwah papa kau pergi. He always on your side. Aku sebagai lelaki walaupun aku ni lembut sikit, tapi aku tahu cara dia layan kau tu lain. Masalahnya sekarang ni, Wafi suami kau. Dia dah memang jadi hak kau. Mungkin inilah dia jalan jodoh kau.”
“Tapi siapa nak terima aku? Wafi boleh terima ke? Kau tahukan kenapa aku jadi macam ni sekarang? Kenapa Riana boleh hilang dan A.D yang muncul. Kau orang berdua tahu kan kenapa? Aku dah buat dosa yang besar yang terpaksa aku tanggung sepanjang hayat aku. Ini soal maruah. Maruah yang sepatutnya aku jaga tapi sekarang aku tak ada benda tu.”
“A.D, semua orang pernah buat silap. Semua orang pernah buat dosa. Benda lepas, biarkan lepas. Kau berhak untuk hidup bahagia kat dunia ni. Satu-satunya cara, kau kena berhadapan dengan kenyataan kau sendiri. Jangan lari, sampai bila kau nak lari? Apa kata kau cuba terus terang dengan Wafi. Mungkin inilah caranya. Sudah sampai masanya kau hadapi dan berhenti berlari.”

A.D memandang wajah Izwanie. Senang benar Izwanie meminta dirinya untuk berterus terang. Dia sendiri tidak mampu untuk menerima kesilapannya, apatah lagi orang lain.

“Kau gila ke Wanie? Aku tak mungkin akan terus terang dengan Wafi. Aku tak nak dia kecewa.”
“A.D, betul kata Wanie tu. Cuma ini saja caranya. Sekurang-kurangnya kau jujur dengan Wafi. Mungkin mula-mula dia tak dapat terima kau, tapi mana tahu lama-kelamaan dia boleh terima kau. Kalau dia boleh melihat kelembutan di sebalik A.D yang kasar, tak mustahil dia boleh melihat ketulusan di sebalik Riana.”
“Riana dah lenyap dalam hidup aku. Aku lebih rela macam ni. Aku tak nak sesiapa pun tahu. Kau nak aku buka pekung aku sendiri ke?”
“A.D, ini bukan soal buka pekung. Ini soal bagaimana caranya kau nak berhadapan dengan masalah kau. Soal Riana lenyap kat dalam dunia tak timbul. Selagi masalah ni tak selesai, sampai bila-bila kau akan rasa macam ni. You must move on, A.D. Tak ada manusia yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan dan tak ada juga manusia yang berjaya yang tidak ada kisah lampau. Kita orang akan sentiasa sokong kau. Sebab aku dengan Samsul sayangkan kau. Kalau kita orang tak sayang kau, kita orang tak akan ada kat sisi kau. Aku nak tengok kau bahagia.” ucap Izwanie.

Dia mahu A.D membuka mata. A.D mesti melakukan perkara itu. A.D harus berterus terang dengan Wafi mengenai hal yang menghantuinya selama ini. Dia sudah tidak sanggup melihat A.D tersenyum gembira sedangkan jiwa itu penuh dengan kesedihan. Setiap senyuman yang terukir dibibir A.D, pasti diiringi dengan kepahitan. Meskipun A.D cuba membunuh masa silamnya tetapi Izwanie tahu masa lampau itu tetap hidup dan terus mengejar diri A.D.   

Biarpun A.D cuba membina tembok penghadang yang sukar untuk ditembusi mana-mana lelaki tetapi tembok itu dibina kerana rasa kecewa dan dendam. Sesungguhnya perasaan dendam dan kecewa tidak mampu mengatasi kuasa kasih sayang. Akhirnya, Wafi berjaya meruntuhkan prinsip kebal A.D selama 3 tahun ini. Mungkin Wafi adalah orangnya. Dan, inilah masanya A.D mengecap kebahagiaan.

A.D membisu. Dia tidak tahu bagaimana untuk berhadapan kenyataan itu bersama dengan Wafi. Dia dapat mengagak Wafi akan memandangnya dengan penuh kebenciaan jika rahsia itu diberitahu. Dia cuma mahu hidup seperti orang lain tetapi A.D tahu, dia tidak boleh.

“Kau orang tak akan faham perasan aku. Aku harap, aku tak kenal siapa diri aku sendiri. Apatah lagi nak beritahu orang lain siapa aku sebenarnya,” ucap A.D smbil bangun lalu melangkah pergi meninggalkan Samsul dan Izwanie di situ.

Monday, August 27, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 26 ::.





BAB 26

A.D berjalan perlahan menuju ke arah lelaki yang sedang leka melakukan sesuatu terhadap motorsikal yang berada di hadapannya. Tangannya memegang spanar. A.D sempat memandang sekeliling. Salah seorang di situ mengangkat tangan sebagai tanda mengenali A.D. A.D juga membalas.
“Sibuk nampak?” tegur A.D
Ikmal atau lebih dikenali sebagai Jepun, nama samaran yang diberikan oleh kenalan sudah menjadi sinonim dengan dirinya. Matanya agak sepet dan kulitnya cerah. Jepun menoleh.
“Eh, aku ingat siapa la tadi.” balas Jepun. 

Dia bingkas bangun. Dia meletakkan spanarnya di tepi lalu mengelap tangannya yang penuh dengan minyak.
“Habis tu, kau ingat siapa?”
“Tak adalah…aku dengar suara perempuan, aku ingat awek mana kan yang nak ngurat aku.”
“Beranganlah ni?”
“Apanya nak berangan. Eh, apa cerita? Lama dah kau tak datang sini.”
“Macam nilah, Pun. Kau sibuk ke?”
“Sikitlah. Aku tengah ubahsuai sikit brek motor ni. Nak buat pakai kat litar. Kau ni tak ada angin, tiba-tiba muncul. Mimpi apa semalam?”
“Aku mimpi kau lah. Eh, litar ada orang pakai tak? Budak-budak kau ada buat latihan ke?”

Jepun melihat tangan kirinya. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang.
“Lagi setengah jam budak-budak aku nak pakai. Kenapa?”
“Aku nak guna kejap boleh?”
“Kau nak buat apa?”
“Kau ingat aku nak buat konsert ke kat litar kau ni? Mestilah nak kasi bakar motor sikit. Macam tak biasa pula kau ni.”
“Kau ni mesti ada benda yang tak kena ni kan?”
“Kau kasi ke tak ni?”
“Yalah..yalah…pakailah.”
Thanks, bro.”
“Tak ada hallah. Kau tu, bakar, bakar juga. Bawa laju-laju kat litar, jangan lupa keselamatan,” pesan Jepun.
“Aku tahulah. Kau sambunglah kerja kau. Nanti sebelum pukul 5 aku berhenti.”
Jepun menggelengkan kepala melihat telatah A.D. Litar perlumbaan dan motorsikal merupakan dunia kehidupan Jepun. A.D adalah satu-satunya gadis yang pernah dikenalinya yang tahu menunggang motosikal berkuasa besar. Jepun juga mengagumi gadis itu. Sudah menjadi kebiasaan A.D akan turun ke litarnya untuk memecut. Cuma sejak dua menjak ini A.D sudah jarang untuk melakukan hobinya itu.
A.D mengenakan jaket khas untuk perlumbaan ke tubuhnya. Sarung tangan melindungi jari jemari A.D tersarung kemas. Dia mengikat tali kasutnya dengan ketat. Akhir sekali A.D mengenakan topi keledar muka penuh Corsair V miliknya itu ke kepalanya. 
Kini, A.D berada di garisan permulaan. Enjin sudah pun dihidupkan. Kaki kirinya menekan sekali pedal gear. Dia sudah bersedia untuk memulakan aksi. A.D menggenggam pendikit yang berada bahagian kanan. Perlahan dia memerah bahagian tersebut. Motosikalnya mula bergerak. Suara Wafi bergema di fikirannya. Dia tidak mahu mendengar suara yang berjaya menghantui jiwanya. Dia mahu suara itu pergi. 

Semakin lama semakin laju motor itu mengelilingi litar. Dia mahu menenggelamkan suara itu dengan bunyi deruman enjin. Itulah tujuannya kembali ke litar lumba itu. Sejak pulang daripada kampung Wafi, satu-persatu kenangan bersama lelaki itu menjadi bayang-bayang dalam hidupnya. Dia mahu melarikan diri daripada perasaannya sendiri. Setiap kali dia berada dalam keadaan sangat tertekan, litar lumba itulah menjadi tempat untuk dia melepaskan segala-galanya.
 “Izinkan saya kenal siapa sebenarnya awak. A.D yang saya nampak dari luar tak sama dengan A.D yang ada di dalam.”
“A.D, berikan saya peluang.”
“Sebab awak pun mempunyai perasaan yang sama macam saya rasakan sekarang ni kan?”

A.D cuba menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap penunggangannya. Dia memecut laju. Entah mengapa suara itu bergema lagi. Bunyi deruman enjin yang mengaum itu tidak mampu menandingi suara Wafi yang sedang berbisik ke dalam hatinya.
Jepun memerhatikan aksi A.D dari jauh. Dia kagum dengan kebolehan A.D. A.D mampu mengawal motosikal berkuasa besar meskipun A.D tinggi tetapi susuk tubuhnya sedikit kecil. Jika A.D mengikuti latihan sepenuhnya, bakat yang ada pada gadis kasar itu boleh dibawa ke tengah.
“Pun, siapa tu? Budak baru dalam team kita ke?” soal Farid yang baru sahaja sampai untuk menjalani latihan sebentar lagi. Dia merupakan salah seorang ahli pasukan yang berada di bawah bimbingan Jepun.
“Tak adalah, kawan aku tu.”
“Boleh tahan mamat tu. Ada teknik. Kenapa tak nak tarik dia masuk dalam team kita? Ada masa lagi ni kan kalau nak ajar dia?”
Jepun tersenyum mendengar kenyataan Farid. Jepun tahu Farid menyangkakan yang A.D itulah lelaki. 
“Kau tak tengok lagi siapa orang di sebalik topi keledar tu. Kalau kau tahu, mesti kau lagi kagum.”
“Apasal pula?”
“Tengok ajelah nanti.”
Farid hairan dengan Jepun. Jepun membuatkan dirinya tertanya-tanya siapakah gerangan yang sedang memecut itu. 

Setelah melakukan tujuh pusingan, A.D mengambil keputusan untuk berhenti. A.D menurunkan stand motorsikal itu. Dia turun lalu menuju ke arah Jepun dan Farid sambil menanggalkan topi keledarnya.
“Eh? Perempuan? Biar betul?” tanya Farid sebaik sahaja melihat wajah A.D.
“Terkejut kan?”
“Gilalah. Hebat betul minah ni. Awek kau ke Pun?”
“Banyaklah kau punya awek. Dia kawan aku.” jawab Jepun sambil tersenyum.
“Apasal kau tersengih-sengih ni Jepun?” tanya A.D sebaik sahaja tiba. 

A.D memperkemaskan rambutnya, sedikit tidak teratur semasa menanggalkan topi keledar tadi.
“Tak ada bendalah. Budak aku ni lah. Terkejut tengok orang perempuan yang bakar track ni.”
“Kau memang hebatlah. Dah lama ke bawa superbike?” soal Farid, dia begitu kagum melihat kebolehan A.D.
“Dekat 3 tahun jugalah. Bawah team Jepun ke?”
Farid mengangguk.
“Ada tournament tak lama lagi.”
“Baguslah. Jepun ni lagi hebat. Sedut ilmu banyak-banyak sikit daripada dia ni.”
Farid ketawa.
“Sudahlah kau. Eh…Farid, nanti kalau budak-budak dah sampai semua kau pandai-pandailah nak buat apa. Aku nak berbual kejap dengan A.D ni. A.D, jomlah lepak kat bengkel kejap.”
“Ok. Tahulah aku nak buat apa nanti,” balas Farid.
A.D menuruti langkah Jepun sehingga ke bengkel. Jepun mengambil 2 tin air minuman 100 Plus dari dalam peti ais mini lalu diberikan salah satu kepada A.D. A.D meletakkan topi keledarnya ke tepi lalu membuka penutup tin minuman tersebut dan meneguknya.
“Apa cerita ni? Tiba-tiba nak pecut laju-laju? Lama dah kau tak lepak track aku ni.”
“Tak ada bendalah. Saja je nak kasi pecut sebab dah lama tak buat. Aku sibuk sikit. Assignment, kuliah. Serabut sikitlah kepala aku ni.”
“Aku tengok tadi teknik kau masih macam dulu lagi. Cuma masa selekoh tu kurang sikitlah.”
“Kau ni macam tak biasa pula. Memang itu kelemahan aku masa kat selekoh. Kau ajar aku banyak kali pun aku tetap tak pandai masa selekoh.”
“Kalau kau masuk team aku, semua tu boleh dibaiki. A.D, masuklah team aku. Dua bulan lagi ada tournament. Kau satu-satunya perempuan pakai superbike yang aku kenal yang ada skil tu. Kalau asah sikit, dah boleh dah. Sempat lagi kalau kau nak berlatih.”
“Kau nak aku jadi Carl Fogarty ke? Tak pun Valentino Rossi versi perempuan? Kau tahukan aku bawa superbike ni suka-suka aje. Tak pernah terfikir nak berlumba pun. Mungkin ini kali terakhir kot aku bakar litar kau ni.”
“Kali terakhir? Kau nak berhenti? Apasal? Bila?”
“Aku tak tahu lagi bila nak berhenti. Banyak benda aku nak buat. Kuliah aku, aku dah semester akhir. Lepas tu nak uruskan syarikat bapa aku lagi.”
“Kau biar betul ni? Ke pasal hati dan perasaan ni? Siapa yang dah berjaya mencuri hati kau ni?” duga Jepun.
“Kau jangan nak merepeklah Jepun. Mana ada.”
“Hello minah superbike, aku kenal siapa kau tau. Aku tengok muka kau pun aku dah tahu. Kalau setakat kau sibuk dengan kuliah dan kerja, tak ada maknanya kau nak berhenti terus. Kau boleh relaks kejap kan? Ni tidak, nak berhenti terus.”
“Tak adalah. Aku ni perempuan. Sampai bila aku nak naik superbike tu? Takkanlah sampai beruban baru aku nak berhenti. Lainlah kalau kau. Kau lelaki. Motor dengan lelaki memang dah sinonim.”
“Memang sah ada orang yang dah berjaya ubah pendirian kau ni. Lebih baik kau cakap dengan aku. Penat aku mengurat kau dulu tapi kau tak layan pun. Kau cakap apa dengan aku dulu? Kau tak akan jatuh cinta sebab kau cakap lelaki ni semuanya sama aje. Fikir nak seronok dengan perempuan. Tapi sekarang apa cerita?”
“Suka hati kaulah Jepun. Lebih baik kau pergi tengok budak-budak kau buat latihan tu lagi bagus.”
A.D cuba mengelak. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang dia sudah tidak mampu mengawal hatinya.
“Kau memang sengaja mengelak. Pandai ubah topik. Eh, tapi kau betul ke tak nak masuk team aku? Sayang tau. Kau bukan setakat ada teknik tapi ada potensi untuk bersaing dengan pelumba lelaki yang lain.”
A.D menggeleng. Akan hal itu dia pasti dengan pendiriannya sendiri.
“Kalau kau betul nak berhenti, ninja hijau kau tu kasi jual kat aku.” pinta Jepun sambil matanya memandang ke arah motorsikal Kawasaki Ninja milik A.D.
“Apasal? Berkenan? Tengoklah nanti macam mana. Kalau aku rasa dah tak nak pakai lagi, aku tolak dengan kau.”
“Cantik. Macam tulah.”
A.D hanya tersenyum. Jepun segera menuju ke motorsikal A.D. Dia membelek-belek keadaan motor yang bakal menjadi miliknya suatu hari nanti. 

-----------------------


Wafi meletakkan beberapa gulungan pelan lukisan dan topi keselamatan di tapak pembinaan berwarna putih itu di tempat duduk belakang. Dia baru sahaja selesai melawat kawasan pembinaan itu untuk memastikan terdapatnya perkembangan untuk mengelakkan projek bangunan itu tidak tergendala. Belum sempat kaki kirinya melangkah masuk ke dalam kereta, dia terpandang satu susuk tubuh sedang menghampirinya. Lelaki itu sedang melintas dan menuju ke tempatnya. Dia seperti mengenali wajah itu. Lelaki di pandangannya itu lebih tinggi sedikit daripadanya dan berkulit gelap.
“Tak silap, kau ni Wafi kan?” 
Ya, Wafi pasti dia mengenali pemilik suara itu. Dia cuba untuk mengembalikan ingatannya. 
“Mmmmmmm….tak silap aku. Kejap, Syafiq….Syafiq apa?” soal Wafi sambil jari di tangan kanannya dipetik.
“Syafiq Haikal.”
“Ha….Syafiq Haikal.”
“Panggil Haikal sudah. Jarang orang panggil nama aku Syafiq. Eh, kau buat apa kat sini?”
“Aku baru siap tengok kawasan tapak pembinaan ni. Tengok perkembangan.”
“Bangunan tengah naik ni kau yang uruskan? Hebatlah kau.”
Wafi mengangguk.
“Tak adalah. Biasa aje. Dah jadi tanggungjawab aku. Kau pula buat apa kat sini?”
“Aku baru jumpa client aku. Bos aku sibuk cari pasaran. Wah, rambut kau boleh tahan panjang ni. Dah macam ala-ala Faizal Tahir bila kau ikat rambut kau ni. Aku pun nak cuba jugalah simpan rambut panjang.”
“Kau nak simpan rambut panjang? Kasanova Malaya nak ke rambut berikat macam ni? Tak macho la kan? Apa cerita sekarang? Kiranya kau baru balik dari London la ni? Berapa lama kau kat sana?”
Syafiq Haikal merupakan kenalannya merangkap sepupu kepada Nadhira. Mereka kenal antara satu sama lain semasa awal percintaannya dengan Nadhira. Haikal dan Wafi berkongsi minat yang sama iaitu sukan ragbi. Tubuh Wafi lebih sasa berbanding Haikal meskipun ketinggian Wafi kurang sedikit daripada lelaki itu. Haikal mewakili pasukan ragbi universitinya di London. Jika Haikal pulang ke Malaysia, itulah topik yang akan mereka bincangkan.
“Baru habis belajar. Aku kat sana lebih kurang 3 tahun lebih.”
How London? Awek mat saleh cantik?”
“Mestilah cantik, kulit putih melepak tu. Perempuan mat saleh tak kedekut. Kat sana senang sikit kalau nak berseronok berbanding kat Malaysia ni.”
“Kau tak sudah-sudah dengan perangai kaki perempuan kau tu kan? Memanglah, kalau kau peluk cium kat sana pun siapa nak tangkap kau? Aku rasa kau bukan setakat kasanova Malaya je tau. Silap-silap kasanova London.”
“Nak buat macam mana Wafi, aku tak minta pun untuk dilahirkan dengan muka yang bergaya macam ni.”
“Perangai tak berubah. Sekarang kau kerja kat mana?”
“Sekarang ni aku kerja kat syarikat pak cik aku.”
“Pak cik kau? Maksudnya syarikat Datuk Hamdan?”
“Yalah. Syarikat bakal bapa mertua kau tulah. Dhira tak cerita apa-apa kat kau ke? Kau macam terkejut aje?”
“Memanglah aku terkejut. Aku baru nampak kau sekarang ni.”
“Peliknya. Baru dua tiga hari lepas aku tanya dengan Dhira pasal kau. Takkanlah Dhira tak cerita apa-apa pasal aku dengan kau? Dia cakap kau orang berdua ok aje. Cuma dia cakap dengan aku yang kau sibuk kerja untuk cari duit. Lagipun kau orang berdua dah nak kahwin kan?” tanya Haikal.
Wafi seperti tercengang apabila mendengar pertanyaan Haikal. Dia sama sekali tidak menyangka sejauh itu Nadhira tidak mampu untuk menerima kenyataan. Nadhira berbohong dengan Haikal akan kedudukan sebenar hubungan mereka. 
“Dhira cakap macam tu?”
“Yalah. Kenapa? Kau tak nak kahwin dengan dia ke?”
“Masalahnya aku dengan dia………..”
Tiba-tiba telefon bimbit Haikal berdering. Lantas Haikal membalas panggilan tersebut. Kedengaran perbualan mesra keluar daripada bibir itu. Setelah beberapa ketika, dia memutuskan panggilan.
“Wafi, aku ada hal. Lupa pula dah janji dengan minah ni.”
“Minah mana? Awek baru?”
“Biasalah. Ni kad aku. Apa-apahal telefonlah. Nak main ragbi ke, aku pun dah lama tak main ni,” ucap Haikal sambil menghulurkan kad namanya.
Kad tersebut kini bertukar tangan. Wafi juga mengambil kad nama miliknya lalu menghulurkan kad tersebut kepada Haikal. 
“Wafi Azrel Shah, Chief Executive Officer Bina Kurnia Berhad? Ini baru betul-betul hebat. Gilalah kau. Muda-muda dah jadi C.E.O. Bina Kurnia ni bukan salah satu nama syarikat besar dalam pembinaan ke?”
“Ini namanya rezeki. Kalau kau dapat muka handsome, aku pula dapat benda lain. Inilah rezeki aku yang Allah kasi.”
Haikal hanya mengangguk. Perasaan kagum muncul apabila memandang Wafi. Sama sekali tidak menyangka Wafi sudah jauh melangkah.