Stylo Clique ^_^

Tuesday, July 14, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 8



HARI ini genap hari keempat Qadheer Alauddin berada di Venice. Semakin lama dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Kota Air tersebut.
Dia menuruni anak tangga rumahnya dengan laju. Sambil berlari-lari anak menuju ke jambatan dengan mulut mengemam buah epal, Qadheer Alauddin mengenakan butang jaket varsitynya hingga ke separuh dada. Buah epal di mulut digapai.
“Masa mula-mula dulu susah nak telefon saya tapi hari ni banyak kali awak telefon. Belum sempat langit Venice ni nak terang, dah tiga kali saya dengar suara awak,” ucap Qadheer Alauddin sebaik sahaja menemui Nadhrah.
Ada huruf A kat jaket yang Al pakai.
Nadhrah sudah bercekak pinggang. Mana tidaknya, pagi itu mereka ada tugas. Qash Alaisyah meminta mereka berdua untuk membeli barang keperluan bistro di Pasar Rialto. Kebiasaannya, Qash Alaisyah dan suaminya yang akan ke pasar. Tetapi pada pagi itu Yusuf Danial diserang demam panas. Qash Alaisyah dan Yusuf Mikhail perlu menjaga lalu menghantar anak mereka ke klinik.
“Saya takut Encik Al tak bangun. Kita kena keluar awal hari ni.”
“Ya, saya tahu. Kak Syah dah pesan semalam.”
“Sekarang pukul 6.45 pagi. Kita kena naik vaporetto kalau nak pergi Pasar Rialto tu,” maklum Nadhrah setelah memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar jeannya.


“Vaporetto?” Kunyahan Qadheer Alauddin pada buah itu serta-merta terhenti. Cebisan epal di dalam mulut ditelan dengan rasa kelat walaupun rasanya manis.
“Vaporetto tu kenderaan awam kat sini. Tak pun nama lainnya bas air.”
“Itu saya tahu, tapi memang kena naik vaporetto ke?”
“Encik Qadheer Alauddin, dah namanya Venice ni bandar air. Jadi, kita memang kena naik vaporetto tu. Cepat dan senang. Kita nak ke stesen vaporetto dari sini pun jalan kaki dalam 10 minit. Dengan vaporetto tulah kita boleh pergi Pasar Rialto. Ada faham?”
“Pagi-pagi macam ni ada ke vaporetto tu?”
“Pagi-pagi macam ni memang dah ada vaporetto tu. Kalau Encik Al nak naik malam pun ada juga. Sama macam bas kat Malaysia tu cuma bas Venice ni bergerak kat atas air. Saya dah duduk Venice ni dua tahun. Jadi,ada masalah lagi ke?”
“Tak boleh jalan kaki?” Qadheer Alaauddin masih lagi mencari alasan dan helah. Dia seboleh mungkin tidak mahu menaiki pengangkutan air tersebut.
“Encik Al gila nak jalan kaki? Jalan kaki dengan bawa bawang, sayur dengan kentang semua tu? Saya tahulah Encik Al boleh angkat semua barang tu. Tapi, Encik Al larat ke nak jalan sampai 20 hingga 25 minit? Membazir tenaga kalau macam tu. Kalau pergi bolehlah jalan kaki, tapi waktu balik memang kena naik vaporetto. Dari Rialto ke jeti Riva De Biasio tu memang dekat dengan bistro.”
“Untuk pengetahuan awak, setiap hari lepas saya bangun dan solat subuh, saya kena bersenam. Sekurang-kurangnya joging lima kilometer. Kalau tak joging, saya akan tekan tubi sebanyak 100 kali. Tapi hari ni saya tak dapat buat.”
Dah kenapa bercerita pasal jogging dengan tekan tubi bagai ni? Nak beritahu akulah tu yang dia hari-hari bersenam, sebab tu dapat lengan macam tu? bentak jiwa Nadhrah.
“Jadi, untuk menggantikan aktiviti tu, kita kena berjalan kaki ke Pasar Rialto. Bukan sahaja dapat menikmati keindahan Venice tapi dapat menyihatkan badan. Boleh?”


TERUSAN kecil yang berada di belah kiri dipandang lama. Perasaan kekok muncul. Melalui lorong di Venice pada pagi itu terasa berlainan sekali. Bukannya dia tidak pernah berjalan kaki di situ, tetapi hari ini terasa berbeza.
Adakah mungkin kerana lelaki itu? Atau kerana perasaan malu dan bersalah pada pertemuan mereka pada hari pertama dahulu? Atau mungkin kerana dia berjalan seiring dengan Qadheer Alauddin?
Selama beberapa hari ini, Nadhrah bergerak terlebih dahulu di hadapan dengan papan luncurnya dan Qadheer Alauddin akan berada di belakang. Sekali-sekala pandangan mereka berdua bertaut. Namun, masing-masing cuba bertindak seperti tiada apa yang berlaku.
Nadhrah menghirup udara pagi Venice yang segar dan nyaman. Perlahan-lahan, ada sesuatu yang menyusup ke deria baunya. Haruman adunan roti yang baru siap dibakar tersebar luas lalu bau itu menyebabkan perutnya terasa lapar. Semakin lama dia melangkah, bau itu semakin jelas menghinggapi hidungnya.
Gadis itu memejamkan mata. Senyuman di bibir sedikit demi sedikit terukir. Dia dapat membayangkan betapa lembutnya roti itu sambil kepulan wap menerpa ke wajahnya sewaktu menggigit makanan tersebut. Menikmati hidangan sebegitu mampu membuatkan Nadhrah terasa seperti di awangan. Nadhrah menelan air liurnya sendiri ketika membayangkan situasi itu.
“Encik Al,” panggil Nadhrah.
Qadheer Alauddin membalas dengan menoleh. Kedua-dua keningnya diangkat. “Kita pergi pasticceria kat depan sana, boleh?”
“Pasti apa? Pasti ceria?”
Nadhrah tergelak kecil. Pasti ceria? Ingat ni rancangan TV kat Malaysia ke?


“Pasticceria. Pasticceria tu kedai roti dan kek.”
“Cakaplah dari awal-awal kedai roti dan kek. Mentang-mentanglah saya tak tahu bahasa Itali,” bangkang Qadheer Alauddin dengan jelingan.
“Janganlah macam tu. Okey, biar saya belanja. Sebagai tanda minta maaf sebab tak sengaja terlanggar bahu Encik Al dan salam perkenalan daripada saya. Macam mana? Setuju?”
Qadheer Alauddin mengangguk sambil bibirnya tersenyum sedikit.
“Okey, kalau macam tu kita kena cepat. Roti tengah panas ni.” Nadhrah terus berlari dengan penuh keriangan meninggalkan Qadheer Alauddin.
“Dapat makan roti aje dah gembira macam ni?”
Dia mencepatkan langkahnya. Beberapa minit kemudian mereka sampai di kedai roti milik Agnese, kenalan Nadhrah.
“Selamat pagi, Aunty Agnese.”
“Selamat pagi, my dear,” balas Agnese yang sedang menyusun roti yang baru siap dibakar di dalam bekas pameran kaca.
Qadheer Alauddin terkejut tatkala mendengar perbualan antara Nadhrah dan Agnese. Wanita itu seperti boleh berbahasa Melayu. Nadhrah kelihatannya rapat dengan wanita tersebut. Setelah memperkenalkan Qadheer Alauddin kepada Agnese, barulah dia mendengar perbualan antara mereka dalam bahasa Inggeris.

Nadhrah memilih roti croissant dan latte macchiato iaitu campuran espresso dan susu. Qadheer Alauddin pula memesan roti jenis brioche dan kopi kegemarannya mochacino.
“Terima kasih, aunty,” ucap Nadhrah setelah bungkusan mereka bertukar tangan.
“Sama-sama,” balas Agnese dengan senyuman.
Setelah itu mereka menyambung semula perjalanan ke Pasar Rialto.
Penutup cawan kertas yang berisi mochachino pada genggaman Qadheer Alauddin dibuka perlahan. Dengan suhu yang dingin pada pagi hari, aroma air tersebut mampu menyegarkan perasaan. Asap tipis daripada kopi tersebut terasa hangat menyapa ke wajah lelaki itu. Dia meniup perlahan agar minuman tersebut mampu diterima lidah dan tekaknya. 

roti croissant
 
roti brioche

“Aunty Agnese tu tahu cakap Melayu sikit-sikit sebab awak yang ajar ke?”
“Ya. Kenapa?”
“Biasanya orang bila datang ke Itali sibuk nak cakap bahasa tempatan. Tapi, awak siap ajar Aunty Agnese cakap Melayu.”
“Apa salahnya saya ajar dia? Setiap pedagang yang datang ke Melaka dulu mesti bertutur bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berdagang atau istilah itu disebut sebagai lingua franca. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa pengantaraan. Zaman tu, bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di Melaka, tapi kat pelabuhan lain juga.”
Qadheer Alauddin sedikit melopong mendengar kata-kata Nadhrah. Dia memerhatikan raut muka itu. Nadhrah memang petah berbicara.
“Salah satunya ialah Venice, pelabuhan yang sibuk yang menghubungkan Eropah dan Timur. Kerana itu, wujud satu kamus Melayu-Itali yang disusun oleh seorang lelaki Itali bernama Antonio Pigafetta, seorang pelayar berasal dari Venice yang meredah Laut Adriatik dan keluar menjelajah dunia. Jangan main-main dengan kehebatan bahasa Melayu. Memang tak salah kalau kita nak belajar bahasa yang lain sebab ilmu itu tiada penghujungnya. Cuma yang silap, kita sendiri yang tak memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Siapa lagi yang nak mengangkat bahasa kita ke paras yang lebih tinggi kalau bukan kita, betul tak?” sambung Nadhrah lagi.
Qadheer Alauddin terdiam sekejap. Langkau beberapa detik, dia menghadiahkan senyuman terhadap Nadhrah. “Memang padanlah dengan nama awak. Keris Nadhrah Sari. Keris Melayu yang masih lagi tajam walaupun dihembus angin Venice. Melayu, tak akan cukup Melayu kalau sekadar nama sahaja Melayu.”
Qadheer Alauddin menghirup perlahan air mochacino yang beransur suam. Timbul perasaan kagum dengan jati diri gadis itu. Belum pernah dia berjumpa dengan gadis seperti Nadhrah. Meskipun berada di tempat orang, Nadhrah masih tahu asal usulnya.
“Maksud Encik Al?” soal Nadhrah lalu menghentikan langkah.
Qadheer Alauddin juga melakukan perkara yang sama. “Awak dengan Venice umpama air dan minyak di dalam gelas yang sama.”
Dahi Nadhrah sudah berkerut. Dia cuba mencernakan kata-kata Qadheer Alauddin, tetapi tidak berjaya. “Saya tak faham.”
“Kata orang, tak salah kalau kita nak hidup kat tempat orang. Tapi biarlah kita jadi seperti air dan minyak. Segelas air jika dicampur dengan minyak, ia tidak bercampur tetapi masih lagi berada di dalam gelas yang sama. Awak macam tulah. Dah lama duduk sini tapi masih lagi berbangga menjadi anak Melayu.”
Bibir Nadhrah tersenyum sipu mendengar pujian daripada Qadheer Alauddin. Wajahnya terasa hangat. Dia meneruskan langkah. “Encik Al, saya nak tanya sesuatu.”
“Awak nak tanya apa?” Qadheer Alauddin menggigit sedikit roti brioche yang dipesannya tadi. Perlahan-lahan giginya bertemu untuk menghancurkan cebisan makanan yang berasal dari Perancis itu. Kunyahan terasa lembut dan gebu. Roti hangat yang baru siap dibakar itu memang terasa enak melalui tekaknya.
“Encik Al pernah naik bot?”
Qadheer Alauddin menggeleng.
“Feri? Sampan?”
“Tak pernah.”
“Kapal layar? Rakit?”
“Saya tak pernah naik semua tu. Kenapa tiba-tiba aje tanya macam ni?”
“Saya dah tahu kenapa Encik Al tak nak naik vaporetto. Encik Al ada mabuk laut, kan?”
Tidak semena-mena roti yang separa hancur itu tersekat di tekak. Laju tangan Qadheer Alauddin menghalakan cawan ke bibir. Dia cuba meneguk laju air tersebut walaupun terasa suam. Namun, lidahnya tidak mampu menerima. Qadheer Alauddin menepuk perlahan di bahagian dada berulang kali. Lelaki itu terkejut kerana Nadhrah dapat mengesan kelemahannya yang satu itu.
“Eh? Encik Al okey tak ni?”
“Mana ada saya mabuk laut,” tegas Qadheer Alauddin dengan ekspresi yang serius.
“Kalau tak mabuk laut, kenapa beria sangat tak nak naik vaporetto?”
“Suka hati sayalah.”
“Orang lain kalau pergi Venice, mestilah nak naik vaporetto sebab kat Malaysia mana ada.”
“Saya bukan orang lain.”
“Kan Venice ni gelarannya Kota Air. Dah sah-sahlah semua jalan kat sini air. Kalau Encik Al tak nak naik vaporetto, Encik Al nak naik apa? Naik gondola? Naik gondola lagilah tak boleh. Kalau macam tu, Encik Al kenalah jalan kaki nak...” Nadhrah tidak dapat meneruskan bicaranya kerana ada sesuatu tiba-tiba hadir ke dalam mulutnya.
Baki roti brioche yang masih lagi lebih separuh segera disumbat oleh Qadheer Alauddin ke dalam mulut Nadhrah. Qadheer Alauddin mengetap bibir. Terasa tercabar pula dengan kata-kata budak Keris ni.
Nadhrah membulatkan matanya. Terkesima dengan tindakan lelaki itu.
“Sedap tak roti ni?”
Tangan Nadhrah menggapai roti yang berada di mulutnya. “Encik Al, ni bukannya roti bekas Encik Al gigit ke?”
“Ya, memang roti yang saya gigit.”
Apa? Roti yang dah gigit? Maknanya? Nadhrah memejamkan dan mencelikkan matanya berulang kali. Tidak tahu tindakan apa yang harus dia lakukan.
Qadheer Alauddin perasan perubahan muka Nadhrah.
“Kenapa Encik Al sumbat roti Encik Al ni kat mulut saya?”
“Awak rasa, kenapa saya sumbat roti ni?”
Alamak... Sekali lagi terkena soalan maut. Nadhrah tidak dapat memberikan sebarang jawapan.
“Kenapa kalau bekas saya gigit? Awak ada rasa apa-apa ke?”
Nadhrah tidak tahu bagaimana mahu membalas pertanyaan itu melainkan dia menggelengkan kepalanya.
“Awak pasti? Ke ada terasa macam saya ci...” Sengaja Qadheer Alauddin tidak menghabiskan kata-katanya.
Nafas Nadhrah sudah tidak menentu. Kulit muka Nadhrah terus menjadi merah. Dingin pagi itu sudah tidak terasa, sebaliknya rasa panas pula yang menerpa.
“Agaknya, macam nilah cara nak buat awak tak bersuara, kan? Okey, saya dah tahu,” kata Qadheer Alauddin dengan renungan memberi seribu satu makna.
Nadhrah masih lagi terpaku di situ. Kalaulah ada pembesar suara pada dada Nadhrah, sudah pasti Qadheer Alauddin dapat mendengar degupan jantung Nadhrah yang semakin tidak menentu. Umpama orang sedang melakukan aksi bungee jumping di Menara Macau yang setinggi 233 meter.

Monday, July 13, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 7



QADHEER ALAUDDIN melangkah keluar dari kamarnya. Rambut yang masih lembap dan separuh kering kerana mandi tadi diusap secara kasar. Dia sempat mengerling ke arah jam dinding yang berada di ruang tamu. Waktu melepasi pukul 10.15 malam. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat isyak.
Qadheer Alauddin menuju ke dapur, mahu mencari air untuk membasahkan tekak. Ketika itu juga Nazri sedang melakukan sesuatu di dapur.
“Bila larut malam... Tara ku cha... Tara ku chacha... Suasana sepi... Tara ku cha... Tara ku chacha.” Nazri sedang memegang sudu. Sudu itu dianggapnya seperti mikrofon sambil menyanyi dengan penuh perasaan. Siap lagi berjoget zaman P. Ramlee. Boleh haus lantai dapur tu kerana gosokan tapak kaki Nazri.
Qadheer Alauddin menggelengkan kepala tatkala memerhatikan gelagat Nazri. Dia mengambil gelas lalu membuka pintu peti sejuk. Dia mengambil botol yang berisi air masak lalu dituangkan ke dalam gelas.
“Eh? Encik Al rupanya. Tak nak joget sekali ke dengan saya? Tara ku chacha... Tara ku chacha...” ajak Nazri terhadap lelaki yang mengenakan kemeja-T tanpa lengan dan berseluar paras lutut itu. Budak ni memang tak ada apa-apa perasaan agaknya.
Qadheer Alauddin tidak memberikan sebarang tindak balas. Dia terus meneguk air yang berada di dalam gelas.
“Encik Al malulah tu.”
“Kau memang suka sangat ke cerita P. Ramlee?”
“Macam mana Encik Al tahu ni?”
“Macam mana tahu? Kalau dah kat bistro tu kejap Cik Salmah, kejap Encik Ramlee. Lepas tu nyanyi lagu Bila Larut Malam tu, siapa yang tak tahu.”
“Ini salah satu cara nak mengubat kerinduan kat Malaysia. Kat ruang tamu tu ada DVD cerita P. Ramlee. Almaklumlah, nak tengok drama sinetron Itali ni tak berapa nak faham. Asyik dialog perfavore tak sudah-sudah. Sekarang ni pun saya tengah tengok cerita Labu Labi tu. Encik Al nak tumpang tengok pun boleh,” pelawa Nazri sambil tangannya mencari sesuatu di dalam peti sejuk.
Beberapa saat kemudian, Nazri menutup kembali peti sejuk. Tangannya mengambil sebiji telur, sebotol madu dan sekotak susu. 



“Kau nak buat apa dengan barang tu semua? Nak buat kek ke?”
“Nak buat kek? Imran Nazri tahu buat karipap aje. Kek bagai semua ni memang tak beberapa nak pandai. Enam kali buat satu kali aje jadi. Bahan-bahan semua ni saya nak buat masker. Ha... barulah kecantikan dan kebersihan muka terjamin. Cuba Encik Al tengok muka saya ni. Bersih dan bercahaya, kan? Terasa bersinar-sinar sampai orang nak tengok pun kena pakai cermin mata hitam,” balas Nazri, memuji diri sendiri. Melebih-lebih sungguh.
Sekali lagi Qadheer Alauddin menggelengkan kepalanya. Tak sesuai langsung lelaki buat masker macam itu. “Daripada susu tu dibuat masker, lebih baik minum. Biar badan tu sihat, cukup kalsium.”
Nazri melopong lalu pergi ke tempat Qadheer Alauddin berdiri.
“Minum susu? Jadinya, Encik Al dapat lengan macam pahlawan Roman ni sebab minum susulah, ya?” Tangan Nazri sempat menyinggah ke lengan Qadheer Alauddin. Dia memicit-micit sedikit otot yang ada.
“Hisy... Apa pegang-pegang ni? Dah, dah... Kau pergi buat masker kau. Lebih baik aku tengok cerita Labu Labi tu.” Laju sahaja Qadheer Alauddin meninggalkan Nazri yang berada di dapur. Kalau dilayan budak itu, mahunya dia kena telan dua biji Panadol.

GELAK dan tawa sekali-sekala kedengaran di ruang tamu rumah. Sudah lama Qadheer Alauddin tidak menonton cerita karya Seniman Agung Negara itu. Kesibukan masa dengan kerjaya membataskan segala-galanya. Atau mungkin dia sengaja membiarkan waktu yang ada diisi dengan kerja yang menimbun. Sedikit sebanyak, dengan cara begitu dia mampu mengurangkan rasa rindu terhadap gadis yang bernama Anis Nadhira.
“Encik Al?” panggil Nazri yang baru sahaja keluar dari kamar mandi.
“Apa dia?” balas Qadheer Alauddin lalu menoleh. Dia merasakan tumpuannya terganggu. Wajah Nazri sudah diliputi dengan campuran bahan masker tadi.
“Masker ni ada lebih. Nak buang sayang.”
“Habis tu, nak buat apa? Makan? Tak pun kau simpan ajelah.”
“Encik Al, mana boleh makan. Simpan pun tak elok. Masker ni kena pakai secara segar dari ladang. Encik Al pakai, ya?” pinta Nazri.
“Hei... Gila ke apa nak suruh aku pakai? Tak ada, tak ada. Aku tak nak pakai.” Qadheer Alauddin mempamerkan wajah tidak senang dengan permintaan Nazri.
“Encik Al, masker ni sangat bagus untuk kulit Encik Al. Sejuk aje bila pakai kat muka. Madu ni bagus untuk kelembapan kulit. Kulit muka tak kering. Susu pula boleh buatkan wajah kita bercahaya macam lampu kat Stadium Bukit Jalil tu. Encik Al kan tak boleh tidur sebab jet lag. Apa kata Encik Al pakai masker ni, manalah tahu boleh tidur.”
“Apa kena-mengena mata dengan masker? Aku cakap tak nak. Masker ni untuk orang perempuan aje.”
Nazri yang dari tadi berdiri, kini sudah duduk di sofa, bersebelahan dengan Qadheer Alauddin. “Eh, jangan macam tu Encik Al. Kita sebagai orang lelaki kena jaga penampilan.”
Nazri merapatkan mukanya ke wajah Qadheer Alauddin. “Kulit Encik Al memang kulit lelaki maskulin. Pakai produk apa kulit jadi macam ni? Encik Al pun buat masker juga ya?”
“Ni semula jadi. Minum susu,” balas Qadheer Alauddin. Dia cuba untuk fokus kembali dengan cerita yang ditontonnya.
Saat lelaki itu sedang leka, tangan Nazri mencalitkan sedikit campuran yang berada di mangkuk itu ke pipi Qadheer Alauddin.
Qadheer Alauddin terkejut. Dia merenung tajam ke arah Nazri. “Kan aku cakap tak nak.”
“Encik Al, umi saya cakap tak baik membazir. Itu amalan syaitan. Daripada saya buang, lebih baik Encik Al pakai. Manalah tahu boleh hilangkan hitam kat bawah mata tu. Encik Al kan tak tidur dari semalam. Kalah mata panda negara China daerah Guangzhou tu. Kalau Cik Salmah, tak sanggup rasanya...”
“Tak payah nak membebel lagi. Cepat, sapu.”
“Sapu? Betul?” Nazri menyengih.
Qadheer Alauddin membetulkan posisi duduknya. Daripada terus mendengar bebelan Nazri yang tiada kesudahan itu, lebih baik dia turutkan sahaja. Dia menghadap Nazri.
Nazri dengan penuh rasa gembira lagi riang menyapu campuran bahan tersebut ke muka Qadheer Alauddin.
“Naz, boleh aku tanya sikit?” tanya Qadheer Alauddin secara tiba-tiba.
“Encik Al nak tanya apa?” Jari-jemari Nazri lembut meratakan masker itu pada hidung Qadheer Alauddin.
“Kau dah lama ke kawan dengan Keris?”
“Dengan Keris? Dah lama sangat kenal, dari kecil lagi. Kita orang membesar sama-sama. Satu sekolah dari sekolah rendah sampailah sekolah menengah. Dari budak berhingus sampailah saya dah vogue sekarang ni.”
“Jadi, kau memang rapatlah dengan dia?”
“Terlebih rapat. Dah jadi kawan dunia akhirat. Sebenarnya keluarga saya dengan keluarga angkat dia berjiran.”
“Keluarga angkat?”
Nazri mengangguk dua tiga kali. “Ya, Nadh membesar dengan keluarga angkat dia.”
“Keluarga kandung?”
“Kalau pasal keluarga kandung, Encik Al kena tanya dia.”
“Habis tu, dia kat Venice ni duduk dengan siapa?”
“Dia duduk sorang-sorang. Dia dah biasa hidup berdikari. Sejak kecil lagi dia tahu siapa diri dia. Dia tidak pernah mengharapkan simpati daripada orang sekeliling. Boleh saya katakan, dia adalah antara orang yang paling tabah yang pernah saya kenal.”
“Macam mana kau dengan dia boleh duduk kat Venice ni?”
“Nadh ada kehidupan dan kerjaya dia sendiri kat Malaysia. Tapi, bila dia tahu saya dapat sambung pelajaran kat Venice dua tahun lepas, dia pun ambil keputusan nak ikut saya pergi ke Venice. Dia cakap, dia tak ada sesiapa selain keluarga saya selepas ayah dan ibu angkat dia meninggal dunia. Sejak hari tu, bermulalah kehidupan kami kat sini. Kita orang kerja kat Bistro Karipap La Timah.”
Sebaik sahaja mendengar keterangan Nazri, tangan kanan Qadheer Alauddin menggenggam pergelangan Nazri.
Nazri yang sedang leka menyapu terkejut dengan perbuatan adik majikannya itu. “Kenapa Encik Al?”
“Kau ada apa-apa hubungan ke dengan Keris?”
“Hubungan? Hubungan yang macam mana tu?” Dahi Nazri berkerut. Eh, bercelaru, keliru lalu haru-biru aku dengan mamat kejung kertas kajang ni.
“Hubungan perasaan.”
Tidak semena-mena Nazri mahu tergelak tetapi cuba ditahan kerana masker yang berada pada muka mula kering sedikit. “Saya dengan Nadh dah macam adik-beradik kandung. Takkanlah nak ada hubungan macam tu? Choi...”
“Tapi orang cakap tak ada istilah kawan baik antara lelaki dan perempuan. Salah seorang mesti ada menyimpan perasaan.”
“Encik Al, percayalah yang saya dengan Nadh tak mungkin akan ada perasaan tu. Impossible.”
“Tak mungkin? Impossible?” ulang Qadheer Alauddin.
“Tak percaya? Nak saya belah dada ke?”
Sudah berpuas hati dengan jawapan Nazri, barulah Qadheer Alauddin melepaskan genggamannya.
“Tak payah belah dada. Entah apa aje yang ada kat dada kau tu. Sambung sapu,” arah Qadeer Alauddin.
Nazri tersenyum lebar. Senyumannya penuh dengan makna. Dia cuba mencari jawapan di sebalik wajah itu. Sapuan yang terakhir diratakan pada dahi Qadheer Alauddin. “Encik Al tanya banyak soalan pasal Keris Nadhrah Sari ni, kenapa?”
“Tanya pun tak boleh ke? Dah siap ke belum masker kau ni?”
Nazri mencebik. “Sudah. Patutnya bukan tu jawapan Encik Al kat saya.”
“Habis tu kau nak yang macam mana?”
“Alah... Soalan yang macam Encik Al tanya kat Nadh tu. Awak rasa? Ha, patutnya macam tu.”
“Yalah, yalah. Kau rasa?”
“Saya rasa... Hmm... Saya rasa Encik Al ada rasa sayang hei. Encik Al suka dengan Nadh, kan?”
Qadheer Alauddin berpura-pura tidak dengar dengan pertanyaan Nazri. Dia mengambil bantal kecil yang berada di sofa. Dia meletakkan bantal tersebut di atas lantai lalu baring.
“Encik Al tak jawab pun.”
“Pakai masker, mana boleh cakap.”
“Cheit!”
Qadheer Alauddin memejamkan mata. Suara Nazri sedang berbicara langsung tidak diambil pusing. Perlahan-lahan layar yang gelap mempamerkan sesuatu.




AYUNAN langkah anggota itu terhenti. Kakinya diam terpaku di situ. Dia tegak berdiri sambil tangannya menjinjing beg plastik berwarna merah. Mata Qadheer Alauddin fokus terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an menerusi cermin mata hitam yang terletak kemas pada batang hidung yang sederhana mancung.
Insan itu sedang duduk dan dalam masa yang sama tangannya membelek kasut yang baru sahaja diserahkan. Langkau beberapa detik, lelaki tersebut berbicara dengan pelanggannya. Sekali-sekala kepala orang tua itu mengangguk. Barangkali mereka berdua sedang berbincang mengenai objek yang digunakan untuk melindungi kaki semasa berjalan itu. Selang seminit, pemuda yang menjadi pelanggan si tukang kasut beransur pergi.
Kerja menukar tapak kasut yang terhenti tadi disambung semula. Dia membersihkan gam lama pada permukaan bawah kasut sebelum gam baru disapu. Usai bersih dan hilang kesan lekatan gam terdahulu, pandangan lelaki itu tunduk dan berlabuh pada sisi kiri. Tapak kasut baru bersaiz lapan diambil. Kemudian dia menemukan permukaan bawah kasut dengan tapak tersebut. Proses sedemikian dilakukan dengan berhati-hati supaya tapak baru tersebut melekat kemas di tempat yang sepatutnya.
Lelaki yang memakai kemeja-T hitam berleher bulat itu mengesat keringat yang mengalir. Walaupun angin berhembus menyapa ke muka, cuaca pada petang itu terasa terik dan bahang.
“Assalamualaikum pak cik,” ucap Qadheer Alauddin tatkala tiba di kaki lima kedai. Dia menanggalkan kaca mata hitam lalu menyangkut objek itu pada butang kedua paling atas pakaiannya.
Pemegang tukul besi bersaiz mini digenggam kemas pada tangan Zahid yang berurat-urat itu. Dia mengayunkan perkakas tersebut dengan daya yang kecil pada tapak kasut tadi. Zahid mengetuk beberapa kali agar dua permukaan yang berbeza itu menekap rapat.
“Waalaikumussalam. Nak betulkan kasut ke? Tunggu sekejap ya,” balas Zahid tanpa mendongakkan pandangan. Dia begitu fokus terhadap kerjanya.
Qadheer Alauddin tersenyum melihat Zahid yang sedang duduk di bangku rendah berwarna merah itu.

Terdetik rasa hairan di hati Zahid apabila soalannya tidak dibalas. Dia mengambil keputusan untuk mengangkat wajah. Sedikit demi sedikit senyuman terukir. Pada penglihatan Zahid terpampang bentuk tubuh yang tidak asing pada ingatannya. Lelaki berketinggian 178 sentimeter itu mengenakan kemeja lengan panjang berwarna merah maroon dan tali leher kelabu terletak longgar pada bahagian dada yang bidang itu. Lengan kemeja dilipat menghampiri siku.
Zahid menghadiahkan senyuman lebar terhadap Qadheer Alauddin. Melihat sahaja pemilik tubuh tersebut, Zahid meletak ke tepi kasut yang sedang dibaiki. Dia mengambil botol minuman berisi 1.5 liter air lalu mencuci tangannya.
“Al rupanya. Pak cik ingatkan ada pelanggan nak betulkan kasut tadi,” kata Zahid sambil mengelap tangan dengan tuala kecil yang tersangkut pada lehernya.
Mereka berdua bersalaman.
“Al tengok pak cik sibuk aje hari ni.”
“Alhamdulillah, ada rezeki pak cik. Biasa-biasa ajelah, Al. Cukup untuk keperluan pak cik yang dah tua ni. Al kenapa datang sini?”
Plastik merah yang dijinjing diangkat ke paras dada. Dia menayangkan dua polistirena yang berisi makanan itu terhadap Zahid. “Al belikan makanan kegemaran pak cik. Nasi goreng kampung ekstra cili padi.”
“Kamu ni, buat susah-susah aje, Al.”
“Apa yang susahnya? Al tak masuk dapur pun. Beli kat kedai aje. Kebetulan Al ada meeting kat kawasan sini. Bila dah kat sini, tu yang jenguk pak cik. Al tahu pak cik belum makan tengah hari lagi, kan?”
Qadheer Alauddin duduk di hadapan Zahid tanpa rasa kekok. Dia menghulurkan sebungkus bekas makanan terhadap lelaki itu. Bau haruman makanan tersebut membuka selera Zahid semasa polistirena itu bertukar tangan.
“Al pun pesan nasi yang sama dengan pak cik ke? Al kan tak boleh makan pedas.”
“Tak adalah. Al pesan nasi goreng biasa aje. Al tahu pak cik suka makan nasi goreng pedas-pedas. Sebab tu Al pesan pak cik punya macam tu.”
Tersentuh jiwa Zahid apabila Qadheer Alauddin begitu mengambil berat akan dirinya sedangkan tiada setitis darah pun yang mengaitkan dia dengan pemuda itu.
“Al minta maaf sebab dah lama tak tanya khabar pak cik,” ujar Qadheer Alauddin tatkala lima suap nasi sudah menuruni tekaknya.
Kunyahan Zahid menjadi perlahan. Zahid memandang Qadheer Alauddin. Penglihatannya terhadap lelaki tersebut kelihatan dalam. Terserlah kedutan pada kedua-dua hujung mata itu.
“Pak cik langsung tak kisah, Al. Pak cik tahu Al sibuk dengan kerja. Lagipun, pak cik ni langsung tak ada kena-mengena dengan kamu. Jadi, janganlah ada perasaan bersalah untuk pak cik. Pak cik patutnya rasa beruntung sebab dapat kenal dengan orang macam Al ni. Layan pak cik baik sangat.”
“Pak cik, janganlah cakap macam tu. Apa yang pak cik buat dulu, Al tak akan lupa. Pak cik dah tolong Al.”
“Peristiwa lepas tu cuma kebetulan aje. Sesiapa pun yang ada kat situ, akan lakukan perkara yang sama. Apalah sangat...”
“Pak cik, Al dah anggap pak cik macam ayah Al. Tak elok rasanya seorang anak dah lama tak jenguk ayahnya.”
“Al memang suka buat pak cik rasa sayu macam ni. Bila Al cakap macam tu, sekurang-kurangnya pak cik masih lagi ada seorang anak.” Sudu plastik yang dipegang menguis nasi yang ada. Kerana peristiwa itu, dia mengenali Qadheer Alauddin.
Umpama melambung buah dadu, kali ini giliran Qadheer Alauddin pula yang mengunyah perlahan. Jika sebut soal anak dan ayah, dia tahu, lelaki tua itu mudah tersentuh.
“Pak cik masih ingat lagi perkara yang Al cakap tiga bulan lepas?”
“Pasal apa?”
“Hasrat dan keinginan pak cik.”
Raut wajah Zahid kosong. Tautan pandangan dengan Qadheer Alauddin segera dileraikan. Seboleh mungkin Zahid mahu melupakan hasrat yang agak mustahil untuk dicapai itu.
“Kamu janganlah fikir sangat pasal tu. Dah masa tu Al tanya apa yang pak cik teringin sekali dalam hidup pak cik, pak cik cuma jawab aje. Pak cik tak harapkan apa-apa, sebab pak cik tahu perkara tu mustahil akan berlaku.”
“Kalau pak cik...”
“Al...” Pantas Zahid memintas kata-kata Qadheer Alauddin. Zahid menggantungkan susunan bicaranya seketika.
Qadheer Alauddin dapat melihat halkum lelaki tua itu bergerak.
“Pak cik tahu yang pak cik tak akan jumpa dia lagi. Entah macam mana muka dia sekarang pun pak cik tak dapat bayangkan. Silap-silap agaknya kami pernah bertembung. Kali terakhir pak cik tahu pasal dia masa umur dia 12 bulan. Memang pak cik cakap, kalau boleh sebelum pak cik tutup mata, pak cik nak tengok muka dia. Pak cik nak minta maaf dengan dia. Tapi apakan daya, semuanya memang salah pak cik. Al tak payah fikir lagi pasal tu. Pak cik tak mengharap apa-apa balasan pun daripada Al.”
Botol minuman yang berbaki tiga suku digapai. Kemudian penutup bekas air tersebut dibuka. Zahid meneguk perlahan air jernih tersebut. Setelah menghilangkan rasa dahaga, Zahid memutar penutup berwarna biru itu pada arah jam sehingga rapat. Dia mahu meneruskan santapan tengah harinya. Pandangannya jatuh pada nasi goreng kampung. Zahid memenuhkan sudu tersebut dengan butiran nasi.
“Al rasa Al tahu dia kat mana.” Suara Qadheer Alauddin kedengaran mendatar.
Namun, satu baris ayat yang keluar dari bibir itu umpama ada kuasa sakti. Serta-merta perlakuan Zahid menjadi kaku.