Stylo Clique ^_^

Monday, July 13, 2015

Love, Made in Venice (Keris Di Venice) - Bab 6



QADHEER ALAUDDIN menghenyakkan tubuhnya ke katil setelah mengemas keperluan dan membersihkan diri. Badannya terasa letih. Namun, dia tidak mampu untuk melelapkan mata. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan badan Qadheer Alauddin. Dia cuba mencari posisi yang sesuai untuk tidur, ternyata usahanya tidak berjaya.
Pandangan mata singgah di hujung katil. Kamera miliknya berada di atas meja. Qadheer Alauddin bangkit daripada baringan. Dia mengambil gadjet tersebut, kemudian menekan satu butang. Skrin yang tadi gelap kini sudah menyala. Satu per satu gambar gadis itu diperhatikan.
Anis Nadhira. Nama itu memang sudah lama bertakhta dalam hati Qadheer Alauddin. Perkenalan selama setahun sewaktu mereka belajar di Amsterdam mewujudkan perasan indah di hati mereka berdua.
Ibu jari kanan Qadheer Alauddin terus menekan punat ke kanan. Gambar gadis tersebut silih berganti. Bagi dirinya, senyuman Anis Nadhira tiada bandingan. Gadis itu mampu menenangkan perasannya jika dia berada dalam keresahan. Akan tetapi, segala-galanya berubah semenjak dua tahun yang lalu. Mulai saat itu, kehidupan Qadheer Alauddin bertukar menjadi sesuatu yang asing. Semuanya tidak seperti dulu, hanya kerana Anis Nadhira.
Sudah menjadi kebiasaannya memandang raut wajah Anis Nadhira sebelum melelapkan mata. Bagi Qadheer Alauddin, hanya itu sahaja cara yang dia mampu untuk mengubat rasa rindu yang menggunung di jiwa. Bukan dia tidak mahu berubah, tetapi dia terlalu bahagia memiliki cinta gadis tersebut sehinggakan hatinya seakan-akan tidak mahu berganjak daripada apa yang dirasa.
Rakaman pegun yang ada terus beralih. Sedang asyik dia mengulit kenangan yang tersimpan selama dua tahun ini, ibu jari Qadheer Alauddin tidak semena-mena menjadi kaku.
Gambar Keris Nadhrah Sari sedang mengukir senyuman berada pada pandangannya.

KETAWA Yusuf Danial tidak henti kedengaran dari tadi. Nadhrah sedang bergurau senda dengan anak kecil berumur lima tahun itu. Yusuf Mikhail pula sedang berbual dengan Nazri.
“Rapat betul Danial dengan pekerja akak tu?” soal Qadheer Alauddin.
Mereka baru sahaja selesai makan malam. Qadheer Alauddin membantu Qash Alaisyah mengelap pinggan mangkuk yang sudah siap dibasuh.
“Danial dengan Nadh memang rapat. Kalau Danial ada kat bistro, Nadhlah yang melayan kerenah Danial tu. Nadh tu suka hiburkan budak-budak. Dia tak sampai hati nak tengok budak menangis. Selalu dia bagi Danial gula-gula sampai akak pernah cakap dengan Nadh jangan dimanjakan sangat si Danial tu,” balas Qash Alaisyah.
Ingatan Qadheer Alauddin melayang memikirkan peristiwa siang tadi semasa dia berada di Jambatan Rialto. Padanlah Nadhrah berjaya memujuk kanak-kanak perempuan tersebut dengan mudah. Sudah biasa dengan anak kecil rupanya.
“Kenapa Al tanya?” Kali ini giliran kakaknya pula yang menyoal.
“Tak ada apa-apalah kak. Tengok Danial seronok betul bila bergurau dengan pekerja akak tu.”
“Panggil dia Nadh, Al.” Qash Alaisyah tahu adiknya itu cuba mengelak menyebut nama tersebut.
“Al tak boleh, kak.”
“Bukannya Al tak boleh. Tapi sebab Al tak cuba dan Al tak pernah nak cuba.”
Qadheer Alauddin hanya membisu.
Qash Alaisyah meletakkan kain lap pinggan itu di atas meja. Dia mengambil kamera milik Qadheer Alauddin lalu dia kembali semula ke dapur. Qash Alaisyah tahu, kamera itu umpama kotak kenangan dan memori adiknya.
“Akak dah agak. Anis Nadhira masih ada lagi kat kamera ni.”
Qadheer Alauddin tidak memberikan sebarang reaksi.
Qash Alaisyah terus memerhatikan gambar yang ada sambil menggelengkan kepalanya. “Tak salah Al kalau nak memilih setia. Tapi bukan pada yang tak ada. Akak mengaku, Anis Nadhira memang baik, sopan santun, hormat orang tua tapi jodoh Al dengan dia tak ada.”
“Akak dengan nenek dah cakap banyak kali benda ni pada Al. Al faham. Al tahu kak. Tapi Al tak jumpa lagi. Bukannya Al tak cuba keluar dengan anak tak pun cucu kawan-kawan nenek tu. Al dah keluar siap ambil nombor telefon lagi. Kalau akak tak percaya, boleh tengok telefon Al. Penuh dah dengan nombor perempuan. Ada yang sorang tu perasan cun sangat, ada yang terlebih perasan anak orang kaya macam puteri raja. Ada yang terlebih bercakap tak berhenti, pendiam sangat pun ada. Semua tak sesuai. Satu pun tak kena pada hati Al ni. Al tak jumpa yang sama macam Anis Nadhira.”
“Kalau Al nak cari yang sama macam arwah, memang tak akan jumpa Al. Dia ada satu aje kat dalam dunia ni. Jangan cari yang sama. Cari yang lain. Al kena cari orang yang boleh isi kekosongan hati Al, bukan pengganti Anis Nadhira.”
Lelaki itu tidak membalas kata-kata Qash Alaisyah. Tangannya terus mengelap pinggan yang ada.
Tiba-tiba, Qash Alaisyah mempamerkan wajah tanda tanya tatkala gambar itu kelihatan. Sesuatu yang asing telah berada di dalam Kamera Nikon DSLR D5000 itu.



“Al, ini bukan ke Keris Nadhrah Sari? Ni kat Jambatan Rialto, kan? Macam mana Al boleh tangkap gambar dia dengan budak kecil ni?”
“Al tak sengaja. Niat nak ambil gambar budak kecil tu aje. Comel budaknya. Dia terjatuh, lepas tu ada orang kasi dia gula-gula, terus dah tak menangis lagi.”
“Siapa yang comel? Keris Nadhrah Sari?”
“Akak... Budak kecil tu.”
“Belum pernah ada perempuan luar yang tak ada ikatan dan pertalian darah dengan Al ada kat dalam kamera ni selain daripada arwah.”
“Kak Qash Alaisyah binti Alam Syah, Al tak sengaja. Diulangi sekali lagi, tak sengaja dan tak sengaja.”
“Tak sengaja, kenapa tak nak padam? Akak tolong deletekan, nak?”
Qadheer Alauddin segera menghampiri Qash Alaisyah. Dia mengambil kamera tersebut.
“Al, tak sengaja itulah dinamakan takdir.” Qash Alaisyah tersenyum memandang adiknya itu. Bagi dirinya, mungkin ada hikmah Qadheer Alauddin bercuti di Venice.
“Al bahagia dengan cinta dan kasih sayang daripada dia kak.”
“Bahagia dengan tengok gambar aje? Al yang tak nak melangkah ke hadapan. Jangan terus mengundur, dik. Takut tak nampak apa yang ada kat depan mata kita.”

LELAKI itu membuang pandangannya ke luar tingkap. Cermin tingkap rumah yang bertentangan itu kelihatan gelap. Dia pasti gadis itu sedang enak diulit mimpi. Entah kenapa, ada sesuatu yang menarik perhatiannya saat melihat Nadhrah tersenyum.
“Dia bukan Nadh yang kau kenal, Al. Nama panggilan aje sama. Dia orang lain.”
Qadheer Alauddin mengalihkan penglihatannya ke langit. Matanya masih lagi tidak mahu lelap. Puas dia memandang sekeliling untuk mewujudkan rasa mengantuk, namun tidak berjaya. Akhirnya dia mengambil keputusan mengambil kamera yang diletakkan di atas meja semula tadi. Dia menghalakan lensa kamera ke arah rumah Nadhrah.
Pada ketika itu juga Nadhrah menekan suis lampu. Qadheer Alauddin memandang telefon bimbitnya. Waktu sudah menjengah 4.10 pagi.
Memang menjadi kebiasaan Nadhrah untuk bangun pada waktu itu. Subuh di Venice sekitar penghujung bulan April adalah seawal pukul 4.00 pagi. Rutin harian Nadhrah sudah berubah. Jika di Malaysia, dia akan bangun dalam lingkungan 5.30 pagi.
Melalui skrin kamera itu, Qadheer Alauddin dapat melihat pergerakan Nadhrah. Nadhrah menuju ke tingkap dan menolak daun tingkap tersebut keluar. Detik itu, jari telunjuknya laju menekan butang yang berada di atas kameranya. Nadhrah sedang menghidu bunga yang terdapat pada planter box yang terletak di luar tingkap biliknya.
“Al, tak sengaja itulah dinamakan takdir.”
Suara Qash Alaisyah tiba-tiba sahaja muncul seperti pita rakaman. Lantas, pandangan Qadheer Alauddin silih berganti di antara telefon dan tingkap rumah Nadhrah. Hatinya seakan-akan mengharapkan sesuatu. Dia mahu melihat skrin telefon tersebut tertera nama gadis tersebut.

Saya bayangkan rumah Al dengan Nadh beginilah. Saling berhadapan. Jadinya, Al boleh nampak Nadh dari rumah.


JAM tangan yang berada di pergelangan kiri ditenung berulang kali. Nadhrah mundar-mandir di situ dengan menaiki papan luncurnya. Kalau tidak kerana Qadheer Alauddin, sudah lama dia bergerak ke Bistro Karipap La Timah.
“Manalah Encik Al ni? Dah lambat ni. Tahulah adik bos.”
Kaki Nadhrah menghentikan papan luncurnya daripada bergerak. Dia mengambil papan luncur itu lalu menyeberangi separuh jambatan yang menghubungkan rumahnya dan rumah Qadheer Alauddin. Dia bersandar pada selusur yang berada di tepi jambatan itu.
“Dia ni sakit perut ke? Ke tengah tidur lagi? Hei... Ini yang tiba-tiba rasa...” Belum sempat Nadhrah menghabiskan susunan ayatnya, suara itu muncul.


“Tiba-tiba rasa apa?”
Nadhrah segera menoleh. Pemilik suara tersebut sedang mengunyah sesuatu. Rahang Qadheer Alauddin bergerak-gerak. Lantas Nadhrah berdiri dan menelan air liur kerana terkejut. Pandangan Nadhrah sempat mencuri penampilan Qadheer Alauddin.
Lelaki itu mengenakan seluar Khakis panjang memenuhi kaki, kemeja-T pendek berwarna merah tersemat kemas pada badannya lalu Qaheer Alauddin menyarung kardigan lelaki biru gelap memandangkan cuaca pada pagi itu sememangnya sejuk. Topi hitam yang berada di tangan kemudiannya dikenakan ke atas kepala.
Pergh... Lengan dia. Melayu tulen. Ayat itu yang terlintas di fikiran Nadhrah tatkala melihat bentuk lengan Qadheer Alauddin berdasarkan kardigan yang membaluti anggota tersebut.
Lelaki itu memerhatikan pandangan Nadhrah sambil menggigit sebahagian permukaan sebiji epal. Dia menghancurkan tekstur buah tersebut sehingga hancur sebelum menelan. “Awak tengok apa?”
“Tengok Encik Al.”
“Kenapa? Tergoda? Ada rasa apa-apa ke? Rasa sayang hei?” sindir Qadheer Alauddin.
Rasa sayang hei pula. Nak perlilah tu, bisik Nadhrah dalam hati.
“Encik Al dari mana? Tiba-tiba aje muncul.” Nadhrah segera menukar topik perbualan.
“Saya dari tadi kat sini,” balas Qadheer Alauddin dengan selamba.
“Ooo... Dari tadi kat sini? Kalau macam tu kita boleh pergi kerja sekarang?”
“Kenapa awak tak telefon untuk kejutkan saya?”
“Naz cakap Encik Al dah bangun. Jadi buat apa saya kejutkan orang yang dah bangun?”
Sebaik sahaja bangun pagi tadi, perasaan berbelah bagi sudah menjengah ke dalam diri Nadhrah. Serba salah dibuatnya mahu mendail nombor itu ataupun tidak. Akhirnya, Nadhrah menghubungi Nazri untuk mendapat kepastian.
“Telefon Naz boleh, telefon saya tak boleh?”
“Telefon Naz memang tak ada masalah sebab saya dah biasa dengan dia.”
“Kalau macam tu, biasakan dengan saya.” Usai berkata sedemikian, Qadheer Alauddin menguap panjang. Matanya kelihatan merah dan sembap.
“Encik Al tak tidur ke malam tadi?”
Qadheer Alauddin mengalihkan mukanya daripada terus ditatap oleh Nadhrah.
“Rasanya badan Encik Al tak biasa lagi dengan waktu kat sini.”
“Jalan yang kita lalu ni ada kedai kopi, kan?”
Nadhrah mengangguk.
“Kalau macam tu, nanti saya beli kopi untuk hilangkan rasa mengantuk ni.” Sekali lagi Qadheer Alauddin menemukan giginya terhadap epal. Bunyi rangup buah tersebut kedengaran. 

Selain Kim Woo Bin, dia juga hero kegemaran saya.
Robert Downey Jr. I lap u. hahaha

Friday, July 3, 2015

Keris Di Venice - Bab 5



LANGKAH kaki Nadhrah dan Nazri seiring melalui lorong itu. Qadheer Alauddin menuruti langkah mereka dari arah belakang. Mereka bertiga baru sahaja pulang dari makan malam di rumah Yusuf Mikhail dan Qash Alaisyah.
“Ya ampun, Cik Mah, apakah kebaikan yang telah aku lakukan sehingga boleh sebumbung dengan mamat sasa kacak bergaya begini?”
“Kau ni dari petang tadi teruja dengan dia ni, kenapa? Nak kena rendam kat Grand Canal ke? Kau jangan nak masuk ke jalan yang tidak diredai ya, Naz.”
“Astaghfirullah al-azim, kau ni gila ke Nadh? Ada ke aku nak ke jalan yang tidak diredai tu? Mak Jemah tak nak kena rejam hokey. Aku ni teruja. Teruja. Kalaulah dapat badan macam Encik Al tu, memang awek kat Venice ni terkejar-kejar lalu menjerit-jerit nama aku. Lagi satu, dapatlah juga aku kawan duduk kat rumah tu walaupun sebulan aje. Tambahan lagi, manalah tahu boleh jadi calon suami untuk kau. Kau tak nak ke, Cik Salmah?”
“Isy, tak naklah. Kejung macam kertas kajang.Tak ada perasaan aje. Lagi pun, kau kan tahu yang aku tak nak fikir lagi pasal calon ni semua.”
“Eleh… Jaga-jaga, Cik Salmah. Jaga-jaga,” ucap Nazri sambil meniru dialog Sharip Dol dalam cerita Seniman Bujang Lapok.
Qadheer Alauddin sengaja berdeham. Dia mendengar segala perbualan antara mereka berdua. Nazri segera menoleh ke belakang.
“Encik Al okey ke kat belakang? Kenapa tak nak jalan rapat sikit? Boleh kita berbual-bual.”
“Saya tak payah rapat dengan awak berdua pun, saya dah boleh dengar perbualan awak tu.”
Nazri menyengih seperti kerang busuk, menampakkan barisan gigi hadapannya lalu dia berpaling semula ke hadapan.
“Dia dengarlah Nadh apa yang kita cakap tadi.”
“Kaulah punya pasal. Kang aku cabut lari dengan skateboard aku ni baru kau tahu.”
“Janganlah macam tu.”
“Kau ni, buat malu Sharip Dol aje tahu tak?”
Nazri memuncungkan mulutnya. Sudahnya, mereka senyap hingga ke kawasan perumahan. Setelah berjalan hampir 25 minit daripada rumah Qash Alaisyah, akhirnya mereka sampai. Bangunan di hadapan mereka terpisah dengan terusan. Terdapat jambatan kecil lebih kurang 10 meter yang menghubungkan antara dua daratan tersebut.
“Encik Al, kita dah sampai. Rumah Encik Al dengan Naz kat seberang jambatan sana. Rumah saya kat sebelah sini. Tingkat dua,” kata Nadhrah sambil menunjukkan bangunan tiga tingkat yang berada di belah kiri mereka.
“Okey,” balas Qadheer Alauddin lalu mengangguk perlahan.
“Saya rasa Encik Al pun dah penat, kan? Apa kata kita gerak ke rumah sekarang? Lagi pun esok pagi saya ada kelas ni,” ajak Nazri.
“Apa-apa ajelah.”
Nazri menggelengkan kepala sambil mendecit.
Mamat ni memang tak ada perasaan. Betullah cakap kau Nadh, lelaki ni kejung macam kertas kajang. Monolog Nazri melalui fikiran.
“Nadh, kita jumpa esok,” ucap Nazri sambil melambaikan tangan kepada Nadhrah.
Qadheer Alauddin memandang wajah Nadhrah yang sedang tersenyum itu. Sekali lagi dia membalas dengan renungan. Nadhrah segera memaksa kaki melangkah. Tak sanggup rasanya berhadapan dengan lelaki itu. Tiba-tiba sahaja perasaan bersalahnya muncul.
“Keris,” panggil Qadheer Alauddin.
Nadhrah tersentak dan terkejut. Belum pernah ada orang memanggilnya dengan gelaran itu. Dia mengadap Qadheer Alauddin. Nazri juga membulatkan mata. Dia terkesima.
“Encik Al panggil saya ke?”
“Ada orang lain ke nama Keris kat sini?”
“Tapi belum pernah ada yang panggil saya dengan nama tu. Encik Al boleh panggil saya…”
“Saya tak nak panggil awak dengan nama tu.”
Laju sahaja lidah Qadheer Alauddin mengatur bicara apabila Nadhrah memintanya untuk memanggil dengan nama tersebut.
“Tapi, kenapa?”
“Kenapa? Saya tak boleh panggil ke? Keris tu bukan nama awak? Ataupun awak nak saya panggil awak Cik Skateboard?”
“Okey, Encik Al boleh panggil saya Keris sebab nama saya Keris Nadhrah Sari. Kenapa Encik Al panggil saya?”
“Awak tak rasa nak cakap sesuatu dengan saya?”
Dia ni cakap hal siang tadi ke? Okey Nadhrah, bawa bertenang, bukan bawa bertendang.
“Nak cakap sesuatu? Saya rasa tak ada. Encik Al ada nak cakap sesuatu dengan saya ke?”
Ha… Ambil balik soalan tu.
“Awak rasa?”
Nadhrah terkedu. Dia mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Dia merasakan hidupnya serba tidak kena sejak bertemu dengan Qadheer Alauddin. Baru satu hari, kalau sebulan entah macam mana gayanya.
“Kenapa Encik Al suka tanya awak rasa? Dari pagi tadi sampai ke malam ni dah berapa kali Encik Al tanya apa yang saya rasa. Encik Al ingat ni rasa sayang hei ke?” Nadhrah cuba bergurau.
“Ooo... Jadinya sekarang ni awak tengah rasa sayang kat sayalah? Macam tu?”
Nadhrah membulatkan mata, mulutnya melopong. Tidak tahu reaksi apa yang sepatut dirinya berikan. Dia tertunduk, memandang ke bawah. Mulutnya terkumat-kamit memarahi diri sendiri.
Nadh, apa yang kau cakap ni? Kenapa mulut ni terlepas pula cakap ayat tu? Mamat kejung ni dah salah faham pula. Nadhrah mengeluh di dalam jiwanya.
Nazri yang dari tadi tukang memerhati, sudah menekup mulutnya. Tidak tertahan mahu tergelak melihat ekspresi wajah rakan baiknya itu.
“Tak Encik Al. Sayang… Eh… Bukan, bukan sayang. Saya tak sayang…”
“Kalau tak sayang, awak benci saya ke?” celah Qadheer Alauddin, memotong susunan kata Nadhrah.
Dia menggelabah. Nadhrah sekali lagi terkaku. Entah macam mana sekali lagi perkataan tu muncul.
“Maksud saya, lagu. Lagu Rasa Sayang Hei. Rasa sayang hei… Rasa sayang sayang hei.. Ha, lagu dia lebih kurang macam tulah. Kalau saya nyanyi sampai habis, mahunya hujan turun tiga hari tiga malam tanpa henti.”
Nazri yang berada di belakang Qadheer Alauddin mencangkuk. Air mata mengalir di hujung mata akibat menahan ketawa. Kalau boleh dia mahu gelak guling-guling di situ.
“Bagi saya telefon awak.”
“Nak buat apa?”
“Awak ra…”
“Okey, Encik Al tak payah cakap. Saya tahu Encik Al nak cakap apa.” 

Ini bukan Keris, overall jean tu yg Keris pakai. hihi :)


Nadhrah segera menyeluk poket hadapan baju overall yang dipakainya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Telefon itu bertukar tangan. Ibu jari kanan Qadheer Alauddin ligat bergerak di atas skrin sentuh itu. Beberapa detik kemudian, telefon milik Qadheer Alauddin berbunyi. Setelah pasti deringan telefonnya kedengaran, Qadheer Alauddin menekan butang merah lalu dia mengembalikan telefon itu kepada pemiliknya.
“Awak jadi jam loceng saya. Tolong telefon saya setiap pagi sepanjang saya ada kat sini bila awak dah bangun. Saya tak naklah ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Mungkin awak nak dengki saya, tak pun nak balas dendam. Yalah, manalah tahu awak pergi bistro senyap-senyap. Awak tinggalkan saya sebab saya ni memang tak tahu jalan kat Venice ni. Kan?”
“Bukan ke Naz boleh kejutkan Encik Al?”
“Saya dengan awak bekerja. Naz tu student. Kalau Naz terlajak bangun macam mana? Saya tak beberapa percaya yang Naz tu boleh kejutkan saya.”
“Saya dengar tu, Encik Al,” ujar Nazri sambil tangan kiri mencekak pinggang. Jujur betul adik Qash Alaisyah ni. Nazri mencebikkan bibir.
“Baik Encik Al. Saya faham,” balas Nadhrah.
Setelah mendengar jawapan daripada Nadhrah, Qadheer Alauddin kemudiannya menapak menyeberangi jambatan. Nazri melangkah menghampiri Nadhrah sebelum bertindak mahu mengikuti jejak lelaki itu.
“Aku rasa dia sebenarnya nak ngurat kau. Sebab tu dia minta nombor telefon, tapi cari alasan lain. Maco juga Encik Al kau ni,” bisik Nazri ke telinga itu.
Nadhrah menemukan pandangannya ke mata Nazri. Dia mengembangkan lalu mengempiskan lubang hidung. Selang sesaat, dia meletakkan tapak tangan ke mulut lelaki tersebut.
“Choi… Tangan kau basuh ke tak nak tekup mulut aku ni?” bentak Nazri sambil menyapu anggota tersebut.
“Kau pandai-pandai aje cakap Encik Al nak ngurat aku. Aku rasa dia nak buli aku adalah,” ucap Nadhrah dengan nada yang rendah.
“Aku kan lelaki tulen. Aku tahulah. Jaga-jaga Cik Salmah. Jaga-jaga, terjatuh nanti,” pesan Nazri lalu cepat-cepat dia beredar. Nadhrah menepuk dahinya.
“Haih….rasa sayang hei, can malican betullah.”

Keris Di Venice - Bab 4



NADHRAH menekup mukanya sendiri. Wajah itu tidak semena-mena terasa panas, umpama terkena bahang matahari. Malu pun ada. Tidak tahu mahu disorokkan ke mana wajahnya itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia bekerja separuh hari.
“Ya Allah, macam mana aku nak mengadap muka dia lepas ni?”
Tanpa Nadhrah sedari, ada seseorang sedang menghampiri.
“Haaa!” jerit Nazri dari arah belakang. Dia mahu mengusik Nadhrah yang sedang berbicara sendiri itu. Nadhrah tersentak. Mukanya terkejut. Seram sejuk pula tengkuk gadis itu tatkala disergah oleh Nazri.
“Kenapa dengan kau, Cik Salmah? Nampak hantu mat salih ke?” soal Nazri dengan gaya lembutnya.
“Kau datang awal pula hari ni, Encik Ramlee?”
“Hari ni kelas aku habis awal. Pensyarah aku pergi seminar katanya. Oleh itu, haruslah Encik Ramlee ni datang kerja dengan lebih awal. Muka apasal merah padam ni?”
“Ha?”
“Aku tanya kenapa muka tu merah padam? Kau pakai blusher satu muka ke? Kau belajar kat Youtube?” usik Nazri sambil jarinya menyentuh pipi Nadhrah.  
“Naz…”
Nadhrah ketara risau.
“Panas ke? Sekarang akhir bulan April. Musim panas kat Venice ni belum lagi rasanya. Ke ada sesuatu yang lebih panas daripada karipap Mak Cik Timah yang ada kat kaunter ni?”
“Naz, aku malu gila hari ni.”
“Nak malu apanya, Cik Mah? Kau pakai baju, bukannya tak pakai baju.”
“Encik Imran Nazri bin Muhamad Ruslan,” panggil Nadhrah dengan serius.
“Alamak! Tatkala Cik Keris Nadhrah Sari sudah sebut nama hamba dengan penuh siap berbin ni, mestilah kes serius, kan? Ampunkan patik yang bergaya lagi bijaksana ini. Janganlah dihunus patik dengan Keris Taming Sari. Silap-silap darah putih susu mengalir kat Grand Canal tu. Ada gosip baru ke? Kau buat apa aje, Cik Mah?”


Sila bayangkan yang kat dalam kaca tu, semuanya karipap ya. Inilah imaginasi kaunter
Bistro Karipap La Timah. Tapi ni besar sgt. Lebih kurang macam nilah. :)



BIBIR Nadhrah mengukir senyuman kepada pelanggan yang berada di kaunter. Tangannya menghulurkan baki wang kepada pelanggan wanita yang berada di hadapan.
“Grazie. Terima kasih. Datang lagi,” ucap Nadhrah kepada wanita warganegara Itali itu. Sudah berapa kali dia melihat wanita itu berkunjung ke Bistro Karipap La Timah. Wanita itu menundukkan kepalanya sedikit sambil tersenyum.
Sebaik sahaja wanita tersebut beredar, Nadhrah terus mengambil pesanan untuk pelanggan seterusnya. Qadheer Alauddin memerhatikan segala tingkah laku gadis itu dari ruang kecil yang saiznya memuatkan satu daun pintu antara kaunter dan bahagian dapur. Nadhrah kelihatan ceria dan peramah ketika berhadapan dengan pelanggan. Bibir itu juga petah berbicara.
Entah mengapa, Nadhrah seperti tidak selesa. Dia dapat merasakan ada seseorang berada di belakang. Selesai sahaja memenuhi permintaan pelanggan yang datang, Nadhrah menoleh ke kiri dan ternyata jangkaan gadis itu benar sama sekali. Mata Qadheer Alauddin tidak berkedip memandang dirinya.
Eh, mamat ni kenapa berdiri kat situ aje? Dah dapat kerja ke? soal Nadhrah di dalam hati.
Nadhrah cuba menguntum senyuman walaupun tidak pasti lelaki tersebut mahu membalas ataupun tidak. Reaksi wajahnya diukir dengan muka ingin tahu. Nadhrah menunjukkan tanda ibu jari sambil mulutnya bergerak tanpa bersuara bertanyakan sesuatu.
Ok ke?
Qadheer Alauddin dapat mengagak pergerakan bibir Nadhrah. Namun, dia tidak memberikan sebarang tindak balas.
Eh dia ni, menyombong lagi tak sudah. Takkanlah tak faham yang aku ni tanya dia dapat ke tak kerja tu? Tapi kan… apasal macam pernah nampak kelibat dia ni? Sekali lagi jiwa dalaman Nadhrah bersuara. Otaknya ligat memutarkan segala ingatan yang ada.
Dari bawah hingga ke atas Nadhrah memerhatikan penampilan Qadheer Alauddin. Lelaki itu memakai kemeja T lengan pendek jenama Polo berwarna merah dan putih beserta seluar jean biru gelap. Penglihatannya terhenti tatkala sampai berada di leher lelaki tersebut.
Headphone?



Bayangan pada fikiran Nadhrah seperti samar-samar. Kejadian pagi tadi menjelma umpama tayangan kabur.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah yang berada di sisi Qadheer Alauddin. Entah bila majikannya berada di situ pun dia tidak perasan.
“Ya Kak Syah,” sahut Nadhrah.
“Nadh sibuk ke kat kaunter?”
“Tak adalah kak. Kenapa ya?”
“Nadh ke sini kejap. Akak nak kenalkan dengan krew sementara kita kat bistro ni.”
Nadhrah menapak menuju ke arah Qash Alaisyah.
“Akak kenalkan pada Al, ni Keris Nadhrah Sari. Kita orang panggil dia Nadh. Nadh ni tugas dia kat kaunter dan penghantaran. Ada sorang lagi yang jaga bahagian kaunter merangkap kerja kat dapur. Tapi dia belah petang sikit baru ada, sebab dia kerja part time. Si Naz tu student U kat sini.”
Intonasi Qash Alaisyah agak berbeza apabila memperkenalkan nama panggilan Nadhrah kepada Qadheer Alauddin.
“Ya kak. Al faham.”
“Ok, bagus kalau faham. Dan Nadh, ni Qadheer Alauddin. Kita orang satu keluarga panggil dia Al.”
Air liur yang berada ditekak ditelan kelat. Nadhrah mula tidak tentu arah.
“Satu keluarga? Maksud akak?”
“Yalah. Keluarga akak. Al ni adik akak. Dia arkitek kat Melaka. Al akan duduk kat Venice ni lebih kurang sebulan sebab dia nak bercuti katanya. Sementara kita tak dapat orang lagi untuk pembantu dapur, Al kata dia nak tolong akak kat bistro ni.”
Bulat anak mata hitam Nadhrah semakin membesar. Bukaan penglihatan gadis itu juga menjadi lebih luas. Ketara benar dia terkejut. Raut muka Nadhrah tidak menentu. Dahinya sudah mula berpeluh.
Ya Allah… Nadh, kau hembus hentam aje cakap mamat ni nak datang interviu? Padahal adik bos. Nak aje aku uli muka kau ni Nadh macam tepung karipap tu. Biar jadi leper, senang sikit nak sorok kat celah almari yang ada. Nadhrah merungut sendiri.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah.
Nadhrah membatukan diri. Mukanya merona merah.
“Nadh, okey ke tak ni?”
Tangan Qash Alaisyah menyentuh lengan Nadhrah.
“Ha? Apa dia kak?”
“Nadh okey ke tak ni? Ada masalah?”
Belum sempat Nadhrah membalas pertanyaan Qash Alaisyah, suara Yusuf Mikhail kedengaran dari arah belakang.
“Syah, boleh tolong abang sekejap tak?”
“Ya bang, Syah datang ni. Kau orang berdua kenal-kenal sendiri. Akak nak pergi belakang, tengok Abang Yusuf kau orang tu.”
Pandangan mata Qadheer Alauddin dan Nadhrah bertaut.
“Ya kak. Tak ada masalah rasanya. Nadh memang harap tak ada masalah lepas ni,” ucap Nadhrah sebaik sahaja Qash Alaisyah beredar. Nadhrah mengerdipkan matanya berulang kali. Dia mahu menyembunyikan perasaan malu daripada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Nadhrah menyengih lalu perlahan-lahan mengundurkan langkah. Dia berpaling daripada Qadheer Alauddin tetapi lelaki itu pula bersuara.
“Awak ada buat salah dengan saya ke?”
Dia berdiri memeluk tubuh lalu dia bersandar pada dinding. Nadhrah membalas dengan menggeleng laju sebaik sahaja menatap lelaki itu semula.
“Agak-agak, awak pernah tak jumpa saya sebelum ni?”
Alamak! Ni soalan apa pula ni? Sejarah SPM ke?
“Encik Al pernah jumpa saya ke?”
“Awak rasa?”
Nadhrah menggaru-garu kepalanya. Nampaknya dia memang tidak boleh lari lagi.
“Pagi tadi, sebelum saya sampai sini, saya ada dapat pesanan daripada seseorang. Dia cakap, lain kali jangan pakai headphone kalau lalu kat lorong Venice ni.”
Nadhrah memejamkan mata. Tak sanggup rasanya mendengar ayat daripada mulut Qadheer Alauddin. Memang itulah ayat yang dia tuturkan. Tiada satu perkataan pun tertinggal.
“Hai, encik yang pakai headphone.”
“Awak… perempuan naik skateboad yang nyaris tumpahkan air kopi kat baju saya tadi, kan?” ucap Qadheer Alauddin berbau sindiran.
“Yang pasal pagi tadi tu…”
Qadheer Alauddin memberikan senyuman sinis.
“Dah pandai bagi pesanan, sekarang rasa bersalah pula?”
Nadhrah tidak meneruskan kata-katanya. Lelaki bertubuh sasa itu melangkah menuju ke belakang. Nadhrah memejamkan mata dan dalam masa yang sama dahinya berkerut. Beberapa detik kemudian tapak tangan Nadhrah menekap ke dahi, cuba menahan gejolak hatinya.
Lebih kurang begini saya bayangkan Bistro Karipap La Timah.
Kedai kecil, reka bentuk bangunan klasik, ada dinding kaca
& yg penting, lampu klasik yg melekat kat dinding tu.

“MACAM tu ke ceritanya? Patutlah masa aku nak masuk bistro ni terasa bahang. Umpama bahang asmara yang memanah ke dalam kalbu gitu.”
“Kau terkena bahang, aku ni yang kena panah dengan pandangan tajam dia. Memang sah dia marah kat aku. Dahlah terlanggar dia pagi tadi, lepas tu salah faham pula ingat dia datang nak cari kerja. Malu. Malu tahu tak?”
“Habis tu sekarang ni kau nak aku ambil rolling pin kat dapur tu, lenyek muka kau? Macam tu? Ni mesti Encik Headphone tu handsome. Kalau muka ala-ala Charlie Chaplin misai kontot tak adanya kau menggelabah macam ni, Cik Mah.”
“Kak Syah tu cantik, adik mestilah boleh tahan. Sekali imbas tengok macam pahlawan Roman yang berlawan kat Colosseum tu.”
“Ya Allah, mantapnya kalau dah stok macam tu, Nadh oi. Mahunya aku kerja kat Bistro Karipap La Timah ni dari siang sampai ke malam. 24 jam, 7 hari seminggu. Kalau gitu ceritanya, mana Encik Headphone tu sekarang ni?”
Kepala Nazri sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Pandangannya melilau mencari kelibat Qadheer Alauddin.
“Kau jangan panggil dia Encik Headphone. Nama panggilan dia Al. Kena panggil dia Encik Al sebab dia adik bos.”
Qash Alaisyah menjengah ke kaunter tatkala mendengar suara Nazri.
“Kak Syah dah agak mesti budak ni dah sampai. Kalau tak, memang sunyilah bistro ni. Sampai awal pula Encik Ramlee hari ni?”
Cik Salmah dan Encik Ramlee, itulah tema perbualan Bistro Karipap La Timah. Nazri yang memulakan perbualan sebegitu. Gelaran itu diambil daripada filem lakonan P.Ramlee, Seniman Bujang Lapok. Kata Nazri, perbualan begitu untuk mengurangkan rasa rindu pada Malaysia. Akhirnya, semua ahli Bistro Karipap La Timah menggunakan panggilan tersebut.
“Kak Syah, hari ni Naz tak ada kelas. Pensyarah Naz pergi seminar. Tu yang datang awal hari ni.”
“Elok sangatlah tu. Akak nak kenalkan Naz dengan Al. Al, mari sini kejap.”
Nazri menyengih terhadap Nadhrah sambil mengangkat kening berulang kali. Langkau lima saat kemudian Qadheer Alauddin berdiri di sisi Qash Alaisyah.
“Al, ini akak kenalkan Imran Nazri. Kat sini semua orang panggil dia Naz. Dia nilah yang akak ceritakan kat Al tadi. Naz, ni adik akak, Qadheer Alauddin.”
“Hai Encik Al,” sapa Nazri dengan ceria dan teruja.
Dia menghulurkan salam dan lelaki itu juga membalas.
“Rumah yang Abang Yusuf sewakan untuk Naz tu, Al pun akan duduk sekali nanti. Al akan duduk situ lebih kurang sebulan. Dan kebetulan, Al, rumah tu berhadapan dengan rumah Nadh. Seberang jambatan aje. Biasanya Nadh dengan Naz akan balik kerja sama-sama. Jadi, nanti Al tak ada masalah. Yalah, Al kan tak biasa lagi kat Venice ni. Venice ni memang banyak sangat lorong. Kalau tak biasa boleh sesat.”
“Macam tu ke, Kak Syah? Boleh sangat. Pucuk dicita, pokok ulam dengan akak-akar sekali yang mendatang. Naz lagi suka. Tak adalah macam orang gila nyanyi sorang-sorang kat dalam rumah tu,” balas Nazri.
“Akak harap sangat kau orang bertiga boleh bekerjasama. Ada lagi satu benda akak nak beritahu. Hari ni kita tutup awal bistro. Lepas maghrib datang rumah akak. Akak ada buat makan malam sikit, sambut Al datang Venice.”
“Alhamdulillah. Mudah-mudahan makin luas rezeki Kak Syah sebab bagi makan free kat Naz. Kecil tapak tangan, gondola dengan pendayung gondola kat Grand Canal tu Naz tadahkan.”
“Amin… Baguslah kalau kau doakan akak macam tu. Lepas ni, akak, Abang Yusuf dengan Al nak balik dulu. Kau orang berdua jaga kedai ya.”
“Baik kak. Tak ada masalah,” balas Nadhrah.