Stylo Clique ^_^

Friday, July 3, 2015

Keris Di Venice - Bab 5



LANGKAH kaki Nadhrah dan Nazri seiring melalui lorong itu. Qadheer Alauddin menuruti langkah mereka dari arah belakang. Mereka bertiga baru sahaja pulang dari makan malam di rumah Yusuf Mikhail dan Qash Alaisyah.
“Ya ampun, Cik Mah, apakah kebaikan yang telah aku lakukan sehingga boleh sebumbung dengan mamat sasa kacak bergaya begini?”
“Kau ni dari petang tadi teruja dengan dia ni, kenapa? Nak kena rendam kat Grand Canal ke? Kau jangan nak masuk ke jalan yang tidak diredai ya, Naz.”
“Astaghfirullah al-azim, kau ni gila ke Nadh? Ada ke aku nak ke jalan yang tidak diredai tu? Mak Jemah tak nak kena rejam hokey. Aku ni teruja. Teruja. Kalaulah dapat badan macam Encik Al tu, memang awek kat Venice ni terkejar-kejar lalu menjerit-jerit nama aku. Lagi satu, dapatlah juga aku kawan duduk kat rumah tu walaupun sebulan aje. Tambahan lagi, manalah tahu boleh jadi calon suami untuk kau. Kau tak nak ke, Cik Salmah?”
“Isy, tak naklah. Kejung macam kertas kajang.Tak ada perasaan aje. Lagi pun, kau kan tahu yang aku tak nak fikir lagi pasal calon ni semua.”
“Eleh… Jaga-jaga, Cik Salmah. Jaga-jaga,” ucap Nazri sambil meniru dialog Sharip Dol dalam cerita Seniman Bujang Lapok.
Qadheer Alauddin sengaja berdeham. Dia mendengar segala perbualan antara mereka berdua. Nazri segera menoleh ke belakang.
“Encik Al okey ke kat belakang? Kenapa tak nak jalan rapat sikit? Boleh kita berbual-bual.”
“Saya tak payah rapat dengan awak berdua pun, saya dah boleh dengar perbualan awak tu.”
Nazri menyengih seperti kerang busuk, menampakkan barisan gigi hadapannya lalu dia berpaling semula ke hadapan.
“Dia dengarlah Nadh apa yang kita cakap tadi.”
“Kaulah punya pasal. Kang aku cabut lari dengan skateboard aku ni baru kau tahu.”
“Janganlah macam tu.”
“Kau ni, buat malu Sharip Dol aje tahu tak?”
Nazri memuncungkan mulutnya. Sudahnya, mereka senyap hingga ke kawasan perumahan. Setelah berjalan hampir 25 minit daripada rumah Qash Alaisyah, akhirnya mereka sampai. Bangunan di hadapan mereka terpisah dengan terusan. Terdapat jambatan kecil lebih kurang 10 meter yang menghubungkan antara dua daratan tersebut.
“Encik Al, kita dah sampai. Rumah Encik Al dengan Naz kat seberang jambatan sana. Rumah saya kat sebelah sini. Tingkat dua,” kata Nadhrah sambil menunjukkan bangunan tiga tingkat yang berada di belah kiri mereka.
“Okey,” balas Qadheer Alauddin lalu mengangguk perlahan.
“Saya rasa Encik Al pun dah penat, kan? Apa kata kita gerak ke rumah sekarang? Lagi pun esok pagi saya ada kelas ni,” ajak Nazri.
“Apa-apa ajelah.”
Nazri menggelengkan kepala sambil mendecit.
Mamat ni memang tak ada perasaan. Betullah cakap kau Nadh, lelaki ni kejung macam kertas kajang. Monolog Nazri melalui fikiran.
“Nadh, kita jumpa esok,” ucap Nazri sambil melambaikan tangan kepada Nadhrah.
Qadheer Alauddin memandang wajah Nadhrah yang sedang tersenyum itu. Sekali lagi dia membalas dengan renungan. Nadhrah segera memaksa kaki melangkah. Tak sanggup rasanya berhadapan dengan lelaki itu. Tiba-tiba sahaja perasaan bersalahnya muncul.
“Keris,” panggil Qadheer Alauddin.
Nadhrah tersentak dan terkejut. Belum pernah ada orang memanggilnya dengan gelaran itu. Dia mengadap Qadheer Alauddin. Nazri juga membulatkan mata. Dia terkesima.
“Encik Al panggil saya ke?”
“Ada orang lain ke nama Keris kat sini?”
“Tapi belum pernah ada yang panggil saya dengan nama tu. Encik Al boleh panggil saya…”
“Saya tak nak panggil awak dengan nama tu.”
Laju sahaja lidah Qadheer Alauddin mengatur bicara apabila Nadhrah memintanya untuk memanggil dengan nama tersebut.
“Tapi, kenapa?”
“Kenapa? Saya tak boleh panggil ke? Keris tu bukan nama awak? Ataupun awak nak saya panggil awak Cik Skateboard?”
“Okey, Encik Al boleh panggil saya Keris sebab nama saya Keris Nadhrah Sari. Kenapa Encik Al panggil saya?”
“Awak tak rasa nak cakap sesuatu dengan saya?”
Dia ni cakap hal siang tadi ke? Okey Nadhrah, bawa bertenang, bukan bawa bertendang.
“Nak cakap sesuatu? Saya rasa tak ada. Encik Al ada nak cakap sesuatu dengan saya ke?”
Ha… Ambil balik soalan tu.
“Awak rasa?”
Nadhrah terkedu. Dia mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Dia merasakan hidupnya serba tidak kena sejak bertemu dengan Qadheer Alauddin. Baru satu hari, kalau sebulan entah macam mana gayanya.
“Kenapa Encik Al suka tanya awak rasa? Dari pagi tadi sampai ke malam ni dah berapa kali Encik Al tanya apa yang saya rasa. Encik Al ingat ni rasa sayang hei ke?” Nadhrah cuba bergurau.
“Ooo... Jadinya sekarang ni awak tengah rasa sayang kat sayalah? Macam tu?”
Nadhrah membulatkan mata, mulutnya melopong. Tidak tahu reaksi apa yang sepatut dirinya berikan. Dia tertunduk, memandang ke bawah. Mulutnya terkumat-kamit memarahi diri sendiri.
Nadh, apa yang kau cakap ni? Kenapa mulut ni terlepas pula cakap ayat tu? Mamat kejung ni dah salah faham pula. Nadhrah mengeluh di dalam jiwanya.
Nazri yang dari tadi tukang memerhati, sudah menekup mulutnya. Tidak tertahan mahu tergelak melihat ekspresi wajah rakan baiknya itu.
“Tak Encik Al. Sayang… Eh… Bukan, bukan sayang. Saya tak sayang…”
“Kalau tak sayang, awak benci saya ke?” celah Qadheer Alauddin, memotong susunan kata Nadhrah.
Dia menggelabah. Nadhrah sekali lagi terkaku. Entah macam mana sekali lagi perkataan tu muncul.
“Maksud saya, lagu. Lagu Rasa Sayang Hei. Rasa sayang hei… Rasa sayang sayang hei.. Ha, lagu dia lebih kurang macam tulah. Kalau saya nyanyi sampai habis, mahunya hujan turun tiga hari tiga malam tanpa henti.”
Nazri yang berada di belakang Qadheer Alauddin mencangkuk. Air mata mengalir di hujung mata akibat menahan ketawa. Kalau boleh dia mahu gelak guling-guling di situ.
“Bagi saya telefon awak.”
“Nak buat apa?”
“Awak ra…”
“Okey, Encik Al tak payah cakap. Saya tahu Encik Al nak cakap apa.” 

Ini bukan Keris, overall jean tu yg Keris pakai. hihi :)


Nadhrah segera menyeluk poket hadapan baju overall yang dipakainya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Telefon itu bertukar tangan. Ibu jari kanan Qadheer Alauddin ligat bergerak di atas skrin sentuh itu. Beberapa detik kemudian, telefon milik Qadheer Alauddin berbunyi. Setelah pasti deringan telefonnya kedengaran, Qadheer Alauddin menekan butang merah lalu dia mengembalikan telefon itu kepada pemiliknya.
“Awak jadi jam loceng saya. Tolong telefon saya setiap pagi sepanjang saya ada kat sini bila awak dah bangun. Saya tak naklah ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Mungkin awak nak dengki saya, tak pun nak balas dendam. Yalah, manalah tahu awak pergi bistro senyap-senyap. Awak tinggalkan saya sebab saya ni memang tak tahu jalan kat Venice ni. Kan?”
“Bukan ke Naz boleh kejutkan Encik Al?”
“Saya dengan awak bekerja. Naz tu student. Kalau Naz terlajak bangun macam mana? Saya tak beberapa percaya yang Naz tu boleh kejutkan saya.”
“Saya dengar tu, Encik Al,” ujar Nazri sambil tangan kiri mencekak pinggang. Jujur betul adik Qash Alaisyah ni. Nazri mencebikkan bibir.
“Baik Encik Al. Saya faham,” balas Nadhrah.
Setelah mendengar jawapan daripada Nadhrah, Qadheer Alauddin kemudiannya menapak menyeberangi jambatan. Nazri melangkah menghampiri Nadhrah sebelum bertindak mahu mengikuti jejak lelaki itu.
“Aku rasa dia sebenarnya nak ngurat kau. Sebab tu dia minta nombor telefon, tapi cari alasan lain. Maco juga Encik Al kau ni,” bisik Nazri ke telinga itu.
Nadhrah menemukan pandangannya ke mata Nazri. Dia mengembangkan lalu mengempiskan lubang hidung. Selang sesaat, dia meletakkan tapak tangan ke mulut lelaki tersebut.
“Choi… Tangan kau basuh ke tak nak tekup mulut aku ni?” bentak Nazri sambil menyapu anggota tersebut.
“Kau pandai-pandai aje cakap Encik Al nak ngurat aku. Aku rasa dia nak buli aku adalah,” ucap Nadhrah dengan nada yang rendah.
“Aku kan lelaki tulen. Aku tahulah. Jaga-jaga Cik Salmah. Jaga-jaga, terjatuh nanti,” pesan Nazri lalu cepat-cepat dia beredar. Nadhrah menepuk dahinya.
“Haih….rasa sayang hei, can malican betullah.”

Keris Di Venice - Bab 4



NADHRAH menekup mukanya sendiri. Wajah itu tidak semena-mena terasa panas, umpama terkena bahang matahari. Malu pun ada. Tidak tahu mahu disorokkan ke mana wajahnya itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia bekerja separuh hari.
“Ya Allah, macam mana aku nak mengadap muka dia lepas ni?”
Tanpa Nadhrah sedari, ada seseorang sedang menghampiri.
“Haaa!” jerit Nazri dari arah belakang. Dia mahu mengusik Nadhrah yang sedang berbicara sendiri itu. Nadhrah tersentak. Mukanya terkejut. Seram sejuk pula tengkuk gadis itu tatkala disergah oleh Nazri.
“Kenapa dengan kau, Cik Salmah? Nampak hantu mat salih ke?” soal Nazri dengan gaya lembutnya.
“Kau datang awal pula hari ni, Encik Ramlee?”
“Hari ni kelas aku habis awal. Pensyarah aku pergi seminar katanya. Oleh itu, haruslah Encik Ramlee ni datang kerja dengan lebih awal. Muka apasal merah padam ni?”
“Ha?”
“Aku tanya kenapa muka tu merah padam? Kau pakai blusher satu muka ke? Kau belajar kat Youtube?” usik Nazri sambil jarinya menyentuh pipi Nadhrah.  
“Naz…”
Nadhrah ketara risau.
“Panas ke? Sekarang akhir bulan April. Musim panas kat Venice ni belum lagi rasanya. Ke ada sesuatu yang lebih panas daripada karipap Mak Cik Timah yang ada kat kaunter ni?”
“Naz, aku malu gila hari ni.”
“Nak malu apanya, Cik Mah? Kau pakai baju, bukannya tak pakai baju.”
“Encik Imran Nazri bin Muhamad Ruslan,” panggil Nadhrah dengan serius.
“Alamak! Tatkala Cik Keris Nadhrah Sari sudah sebut nama hamba dengan penuh siap berbin ni, mestilah kes serius, kan? Ampunkan patik yang bergaya lagi bijaksana ini. Janganlah dihunus patik dengan Keris Taming Sari. Silap-silap darah putih susu mengalir kat Grand Canal tu. Ada gosip baru ke? Kau buat apa aje, Cik Mah?”


Sila bayangkan yang kat dalam kaca tu, semuanya karipap ya. Inilah imaginasi kaunter
Bistro Karipap La Timah. Tapi ni besar sgt. Lebih kurang macam nilah. :)



BIBIR Nadhrah mengukir senyuman kepada pelanggan yang berada di kaunter. Tangannya menghulurkan baki wang kepada pelanggan wanita yang berada di hadapan.
“Grazie. Terima kasih. Datang lagi,” ucap Nadhrah kepada wanita warganegara Itali itu. Sudah berapa kali dia melihat wanita itu berkunjung ke Bistro Karipap La Timah. Wanita itu menundukkan kepalanya sedikit sambil tersenyum.
Sebaik sahaja wanita tersebut beredar, Nadhrah terus mengambil pesanan untuk pelanggan seterusnya. Qadheer Alauddin memerhatikan segala tingkah laku gadis itu dari ruang kecil yang saiznya memuatkan satu daun pintu antara kaunter dan bahagian dapur. Nadhrah kelihatan ceria dan peramah ketika berhadapan dengan pelanggan. Bibir itu juga petah berbicara.
Entah mengapa, Nadhrah seperti tidak selesa. Dia dapat merasakan ada seseorang berada di belakang. Selesai sahaja memenuhi permintaan pelanggan yang datang, Nadhrah menoleh ke kiri dan ternyata jangkaan gadis itu benar sama sekali. Mata Qadheer Alauddin tidak berkedip memandang dirinya.
Eh, mamat ni kenapa berdiri kat situ aje? Dah dapat kerja ke? soal Nadhrah di dalam hati.
Nadhrah cuba menguntum senyuman walaupun tidak pasti lelaki tersebut mahu membalas ataupun tidak. Reaksi wajahnya diukir dengan muka ingin tahu. Nadhrah menunjukkan tanda ibu jari sambil mulutnya bergerak tanpa bersuara bertanyakan sesuatu.
Ok ke?
Qadheer Alauddin dapat mengagak pergerakan bibir Nadhrah. Namun, dia tidak memberikan sebarang tindak balas.
Eh dia ni, menyombong lagi tak sudah. Takkanlah tak faham yang aku ni tanya dia dapat ke tak kerja tu? Tapi kan… apasal macam pernah nampak kelibat dia ni? Sekali lagi jiwa dalaman Nadhrah bersuara. Otaknya ligat memutarkan segala ingatan yang ada.
Dari bawah hingga ke atas Nadhrah memerhatikan penampilan Qadheer Alauddin. Lelaki itu memakai kemeja T lengan pendek jenama Polo berwarna merah dan putih beserta seluar jean biru gelap. Penglihatannya terhenti tatkala sampai berada di leher lelaki tersebut.
Headphone?



Bayangan pada fikiran Nadhrah seperti samar-samar. Kejadian pagi tadi menjelma umpama tayangan kabur.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah yang berada di sisi Qadheer Alauddin. Entah bila majikannya berada di situ pun dia tidak perasan.
“Ya Kak Syah,” sahut Nadhrah.
“Nadh sibuk ke kat kaunter?”
“Tak adalah kak. Kenapa ya?”
“Nadh ke sini kejap. Akak nak kenalkan dengan krew sementara kita kat bistro ni.”
Nadhrah menapak menuju ke arah Qash Alaisyah.
“Akak kenalkan pada Al, ni Keris Nadhrah Sari. Kita orang panggil dia Nadh. Nadh ni tugas dia kat kaunter dan penghantaran. Ada sorang lagi yang jaga bahagian kaunter merangkap kerja kat dapur. Tapi dia belah petang sikit baru ada, sebab dia kerja part time. Si Naz tu student U kat sini.”
Intonasi Qash Alaisyah agak berbeza apabila memperkenalkan nama panggilan Nadhrah kepada Qadheer Alauddin.
“Ya kak. Al faham.”
“Ok, bagus kalau faham. Dan Nadh, ni Qadheer Alauddin. Kita orang satu keluarga panggil dia Al.”
Air liur yang berada ditekak ditelan kelat. Nadhrah mula tidak tentu arah.
“Satu keluarga? Maksud akak?”
“Yalah. Keluarga akak. Al ni adik akak. Dia arkitek kat Melaka. Al akan duduk kat Venice ni lebih kurang sebulan sebab dia nak bercuti katanya. Sementara kita tak dapat orang lagi untuk pembantu dapur, Al kata dia nak tolong akak kat bistro ni.”
Bulat anak mata hitam Nadhrah semakin membesar. Bukaan penglihatan gadis itu juga menjadi lebih luas. Ketara benar dia terkejut. Raut muka Nadhrah tidak menentu. Dahinya sudah mula berpeluh.
Ya Allah… Nadh, kau hembus hentam aje cakap mamat ni nak datang interviu? Padahal adik bos. Nak aje aku uli muka kau ni Nadh macam tepung karipap tu. Biar jadi leper, senang sikit nak sorok kat celah almari yang ada. Nadhrah merungut sendiri.
“Nadh?” panggil Qash Alaisyah.
Nadhrah membatukan diri. Mukanya merona merah.
“Nadh, okey ke tak ni?”
Tangan Qash Alaisyah menyentuh lengan Nadhrah.
“Ha? Apa dia kak?”
“Nadh okey ke tak ni? Ada masalah?”
Belum sempat Nadhrah membalas pertanyaan Qash Alaisyah, suara Yusuf Mikhail kedengaran dari arah belakang.
“Syah, boleh tolong abang sekejap tak?”
“Ya bang, Syah datang ni. Kau orang berdua kenal-kenal sendiri. Akak nak pergi belakang, tengok Abang Yusuf kau orang tu.”
Pandangan mata Qadheer Alauddin dan Nadhrah bertaut.
“Ya kak. Tak ada masalah rasanya. Nadh memang harap tak ada masalah lepas ni,” ucap Nadhrah sebaik sahaja Qash Alaisyah beredar. Nadhrah mengerdipkan matanya berulang kali. Dia mahu menyembunyikan perasaan malu daripada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Nadhrah menyengih lalu perlahan-lahan mengundurkan langkah. Dia berpaling daripada Qadheer Alauddin tetapi lelaki itu pula bersuara.
“Awak ada buat salah dengan saya ke?”
Dia berdiri memeluk tubuh lalu dia bersandar pada dinding. Nadhrah membalas dengan menggeleng laju sebaik sahaja menatap lelaki itu semula.
“Agak-agak, awak pernah tak jumpa saya sebelum ni?”
Alamak! Ni soalan apa pula ni? Sejarah SPM ke?
“Encik Al pernah jumpa saya ke?”
“Awak rasa?”
Nadhrah menggaru-garu kepalanya. Nampaknya dia memang tidak boleh lari lagi.
“Pagi tadi, sebelum saya sampai sini, saya ada dapat pesanan daripada seseorang. Dia cakap, lain kali jangan pakai headphone kalau lalu kat lorong Venice ni.”
Nadhrah memejamkan mata. Tak sanggup rasanya mendengar ayat daripada mulut Qadheer Alauddin. Memang itulah ayat yang dia tuturkan. Tiada satu perkataan pun tertinggal.
“Hai, encik yang pakai headphone.”
“Awak… perempuan naik skateboad yang nyaris tumpahkan air kopi kat baju saya tadi, kan?” ucap Qadheer Alauddin berbau sindiran.
“Yang pasal pagi tadi tu…”
Qadheer Alauddin memberikan senyuman sinis.
“Dah pandai bagi pesanan, sekarang rasa bersalah pula?”
Nadhrah tidak meneruskan kata-katanya. Lelaki bertubuh sasa itu melangkah menuju ke belakang. Nadhrah memejamkan mata dan dalam masa yang sama dahinya berkerut. Beberapa detik kemudian tapak tangan Nadhrah menekap ke dahi, cuba menahan gejolak hatinya.
Lebih kurang begini saya bayangkan Bistro Karipap La Timah.
Kedai kecil, reka bentuk bangunan klasik, ada dinding kaca
& yg penting, lampu klasik yg melekat kat dinding tu.

“MACAM tu ke ceritanya? Patutlah masa aku nak masuk bistro ni terasa bahang. Umpama bahang asmara yang memanah ke dalam kalbu gitu.”
“Kau terkena bahang, aku ni yang kena panah dengan pandangan tajam dia. Memang sah dia marah kat aku. Dahlah terlanggar dia pagi tadi, lepas tu salah faham pula ingat dia datang nak cari kerja. Malu. Malu tahu tak?”
“Habis tu sekarang ni kau nak aku ambil rolling pin kat dapur tu, lenyek muka kau? Macam tu? Ni mesti Encik Headphone tu handsome. Kalau muka ala-ala Charlie Chaplin misai kontot tak adanya kau menggelabah macam ni, Cik Mah.”
“Kak Syah tu cantik, adik mestilah boleh tahan. Sekali imbas tengok macam pahlawan Roman yang berlawan kat Colosseum tu.”
“Ya Allah, mantapnya kalau dah stok macam tu, Nadh oi. Mahunya aku kerja kat Bistro Karipap La Timah ni dari siang sampai ke malam. 24 jam, 7 hari seminggu. Kalau gitu ceritanya, mana Encik Headphone tu sekarang ni?”
Kepala Nazri sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Pandangannya melilau mencari kelibat Qadheer Alauddin.
“Kau jangan panggil dia Encik Headphone. Nama panggilan dia Al. Kena panggil dia Encik Al sebab dia adik bos.”
Qash Alaisyah menjengah ke kaunter tatkala mendengar suara Nazri.
“Kak Syah dah agak mesti budak ni dah sampai. Kalau tak, memang sunyilah bistro ni. Sampai awal pula Encik Ramlee hari ni?”
Cik Salmah dan Encik Ramlee, itulah tema perbualan Bistro Karipap La Timah. Nazri yang memulakan perbualan sebegitu. Gelaran itu diambil daripada filem lakonan P.Ramlee, Seniman Bujang Lapok. Kata Nazri, perbualan begitu untuk mengurangkan rasa rindu pada Malaysia. Akhirnya, semua ahli Bistro Karipap La Timah menggunakan panggilan tersebut.
“Kak Syah, hari ni Naz tak ada kelas. Pensyarah Naz pergi seminar. Tu yang datang awal hari ni.”
“Elok sangatlah tu. Akak nak kenalkan Naz dengan Al. Al, mari sini kejap.”
Nazri menyengih terhadap Nadhrah sambil mengangkat kening berulang kali. Langkau lima saat kemudian Qadheer Alauddin berdiri di sisi Qash Alaisyah.
“Al, ini akak kenalkan Imran Nazri. Kat sini semua orang panggil dia Naz. Dia nilah yang akak ceritakan kat Al tadi. Naz, ni adik akak, Qadheer Alauddin.”
“Hai Encik Al,” sapa Nazri dengan ceria dan teruja.
Dia menghulurkan salam dan lelaki itu juga membalas.
“Rumah yang Abang Yusuf sewakan untuk Naz tu, Al pun akan duduk sekali nanti. Al akan duduk situ lebih kurang sebulan. Dan kebetulan, Al, rumah tu berhadapan dengan rumah Nadh. Seberang jambatan aje. Biasanya Nadh dengan Naz akan balik kerja sama-sama. Jadi, nanti Al tak ada masalah. Yalah, Al kan tak biasa lagi kat Venice ni. Venice ni memang banyak sangat lorong. Kalau tak biasa boleh sesat.”
“Macam tu ke, Kak Syah? Boleh sangat. Pucuk dicita, pokok ulam dengan akak-akar sekali yang mendatang. Naz lagi suka. Tak adalah macam orang gila nyanyi sorang-sorang kat dalam rumah tu,” balas Nazri.
“Akak harap sangat kau orang bertiga boleh bekerjasama. Ada lagi satu benda akak nak beritahu. Hari ni kita tutup awal bistro. Lepas maghrib datang rumah akak. Akak ada buat makan malam sikit, sambut Al datang Venice.”
“Alhamdulillah. Mudah-mudahan makin luas rezeki Kak Syah sebab bagi makan free kat Naz. Kecil tapak tangan, gondola dengan pendayung gondola kat Grand Canal tu Naz tadahkan.”
“Amin… Baguslah kalau kau doakan akak macam tu. Lepas ni, akak, Abang Yusuf dengan Al nak balik dulu. Kau orang berdua jaga kedai ya.”
“Baik kak. Tak ada masalah,” balas Nadhrah.

Keris Di Venice - Bab 3



QASH ALAISYAH memerhatikan wajah lelaki yang berada di hadapannya. Qadheer Alauddin memerhatikan sekeliling. Hiasan dalaman pejabat kecil yang berada di tingkat dua bistro itu sememangnya ringkas. Ada sentuhan Melayu pada bingkai gambar yang tergantung pada dinding di sudut kanan. Seni ukiran kayu pada bingkai tersebut kelihatannya kemas dan halus dari pandangan Qadheer Alauddin.
“Boleh perkenalkan diri?” soal Qash Alaisyah.
“Nama saya Qadheer Alauddin bin Alam Syah. Umur 28 tahun. Masih belum berkahwin. Rupa paras boleh tahan. Senyuman saya ada manisnya. Masih lagi mampu untuk mencairkan mana-mana hati gadis. Badan sederhana sasa.”
Qash Alaisyah memberikan senyuman sinis. Dia bangun dari tempat duduknya lalu melangkah menghampiri Qadheer Alauddin yang duduk bertentangan. Tangan Qash Alaisyah segera memulas telinga lelaki itu.
“Aduh… Aduh… Sakit.”
“Ooo… Muka boleh tahan, senyuman manis ya? Badan sasa? Ada hati nak puji diri sendiri.”
“Aduh… sakitlah. Akak, jangan tarik telinga Al,” rintih Qadheer Alauddin.
“Kenapa nak datang Venice tak beritahu akak? Inilah balasannya. Kena tarik telinga.”
“Al nak bagi kejutan kat akak aje. Seorang adik yang sangat merindui kakaknya.”
Tangan Qash Alaisyah melepaskan telinga Qadheer Alauddin. Telinga adiknya itu sudah kelihatan merah.
“Rindu konon.”
Qadheer Alauddin menyengih. Dia bersalaman dengan kakaknya lalu memeluk erat Qash Alaisyah.
“Kak, adik akak yang seorang ni betul-betul rindukan akak.”
Qash Alaisyah tersenyum. Dia juga membalas dakapan adiknya. Tinggi Qash Alaisyah hanya paras dada Qadheer Alauddin. Jika dilihat dari segi keturunan, Qadheer Alauddin memiliki ketinggian itu melalui arwah ayahnya.
“Kakak pun rindukan adik akak yang seorang ni. Kalau rindu, kenapa tak nak datang sini dari dulu lagi?”
Qadheer Alauddin meleraikan pelukan mereka. Dia memandang wajah kakaknya yang berusia 30 tahun itu.
“Kak, ingat senang ke arkitek nak cuti?”
“Macam mana sekarang ni boleh cuti pula?”
“Al minta cuti dengan bos. Selama Al kerja, mana pernah minta cuti panjang macam ni. Sebab tu bos kasi. Lagipun ada budak praktikal kat pejabat tu. Jadi bolehlah tolong lukis mana-mana yang perlu. Kerja yang penting Al dah selesaikan sebelum cuti. Kalau ada masalah dengan drawing, Al boleh revised kat sini, lepas tu emel. Semuanya, di hujung jari.”
“Habis tu, yang lambat datang sini kenapa?”
“Al lambat datang sini sebab Al pusing-pusing Venice ni kejap walaupun Al tak beberapa tahu sangat lorong kat Venice ni. Bak kata orang, kalau dah sampai Venice tak sah kalau tak pergi Jambatan Rialto. Tadi Al pergi situlah. Nasib baik ada papan tanda dari Jambatan Scalzi nak ke Rialto. Tak berubah papan tanda tu ya.”



“Walaupun 15 tahun sekalipun, Venice tak ada banyak perubahan. Semua masih sama macam dulu. Sama macam Al. Tak mahu berubah.”
“Akak, tak salah kan kalau Al macam ni?”
“Sebab Al tak nak berubah, Al pergi Venice? Ni mesti kes lari daripada nenek, kan?”
Dahi Qadheer Alauddin berkerut sesaat dua. Dia memalingkan wajah, cuba menyembunyikan apa yang tersirat. Jika dia berbohong, Qadheer Alauddin tidak mampu untuk menatap mata orang yang sedang dibohonginya itu.
“Lari? Mana ada kak. Al datang Venice ni memang nak jumpa akak. Abang Yusuf dengan Danial mana?”
“Ha... Tengok tu. Ingat akak tak tahu Al bohong. Tanya pasal Abang Yusuf dengan Danial pula. Nenek ada telefon akak dua hari lepas. Patutnya Al sampai sini kelmarin, kan? Nenek telefon Al tapi tak dapat. Al tutup telefon. Sebab tu nenek telefon akak. Nasib baik akak ni cepat tangkap apa yang berlaku. Kalau otak akak ni beku macam ais kepal tu, mahunya kantoi. Al pergi Amsterdam sebelum sampai sini, betul tak?”
“Tak adalah. Mana ada.”
Qadheer Alauddin mula mundar-mandir di sekitar. Tidak tahu alasan dan helah yang perlu diberikan untuk menutupi kenyataan yang ada.
“Al, jangan nak bohong dengan akak. Al pakai sari pun akak kenal tau.”
“Akak, takkanlah Al nak pakai sari.”
“Qadheer Alauddin. Akak serius. Nak kena luku kepala ke?”
“Akak ni, dah macam nenek dah nak luku kepala Al.”
“Al, akak kenal siapa adik akak ni. Kita membesar sama-sama dik. Muka Al tu memang jelas yang Al cuba nak bohong akak. Sudah-sudahlah Al pergi Amsterdam tu. Dah dua tahun kejadian tu. Al kena pandang masa depan. Al tak kasihankan diri Al ke?
“Al pergi Amsterdam jumpa kawan-kawan Al, kak.”
“Kawan-kawan Al, kawan dia juga. Amsterdam tu dah jadi kenangan untuk Al dengan dia. Sepanjang dua tahun ni, dah tiga kali Al pergi Amsterdam tu.”
“Akak jangan risau. Al tahu jaga diri dan jaga hati Al ni.”
Belum sempat Qash Alaisyah membalas kata-kata Qadheer Alauddin, tiba-tiba sahaja ada suara mencelah di antara mereka.
“Sayang, Nadh kata ada orang mahu interviu. Betul ke?”
Kedengaran lelaki mat salih itu agak fasih berbahasa Melayu walaupun nada Italinya masih ada. Qadheer Alauddin berpaling dan memandang wajah lelaki berkulit cerah yang berada di pintu.
“Hei… Al, bila sampai?” soal Yusuf Mikhail.
Nama asal Yusuf Mikhail ialah Michael Solis. Pertemuannya dengan Qash Alaisyah bermula di Melaka pada enam tahun lepas. Semasa dia melancong di Melaka, Michael sesat jalan lalu dia bertanyakan arah kepada seorang gadis bertudung yang sedang berdiri di sebelahnya semasa dia mahu melintas jalan. Ketika itu Qash Alaisyah kelihatan begitu peramah dan sabar melayan kerenahnya. Bermula saat itu, takdir menyebabkan mereka berdua sering berjumpa dan  membibitkan rasa cinta. Tertarik dengan keperibadian Qash Alaisyah yang ceria namun masih menjaga batasan pergaulan menyebabkan hati lelaki beragama Kristian itu tertarik untuk mendalami Islam. Tidak mengambil masa yang lama, enam bulan perkenalan sudah cukup untuk mengikat mereka menjadi pasangan suami isteri yang sah lalu mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Yusuf Danial.
Qadheer Alauddin bersalaman dengan Yusuf Mikhail lalu mereka berpelukan.
“Apa khabar Al?”
“Khabar baik, bang. Abang sihat?”
“Alhamdulillah. Kenapa datang tak beritahu dulu?”
Qadheer Alauddin memandang kakaknya. Qash Alaisyah menjongketkan kening.
“Al nak bagi kejutan. Saja tak nak beritahu. Wah... Abang Yusuf sekarang makin pandai cakap Melayu.”
“Kak Syah yang ajar abang. Mestilah kena pandai cakap Melayu kalau nak jadi orang Melayu. Betul tak, sayang?” tanya Yusuf Mikhail.
“Si, amore mio (Ya, sayangku),” balas isterinya itu dalam bahasa Itali.
“Ha, dengar tu? Kak Syah pun sudah pandai cakap Itali,” kata Yusuf Mikhail dengan penggunaan bahasa baku yang ketara.
“Pandai sikit-sikit aje. Kalau orang cakap bolehlah faham. Nak cakap balik, mahu tergeliat lidah cencaluk ni.”
“Abang ingat ada orang mahu interviu tadi. Rupanya Al. Abang mahu turun bawah. Ada kerja sikit. Nanti malam kita dinner sama-sama,” ajak Yusuf Mikhail.
Qadheer Alauddin mengangguk. Dia memerhatikan langkah abang iparnya sehingga lelaki itu hilang pada pandangan.
“Danial mana kak? Dah lama tak jumpa dia sejak raya tahun lepas.”
“Danial kat nursery school. Sibuk sangat nak sekolah sejak tahun lepas. Abang Yusuf pun hantarlah dia pergi tadika tu. Budak lelaki tahu ajelah. Banyak sangat ragam. Lepas tu terlebih pula bijaknya. Tanya macam-macam benda, sampai akak pening nak jawab.”
Qash Alaisyah duduk dikerusinya semula. Beberapa helaian kertas yang bersepah di atas meja disusun kemas.
“Yalah kak. Kan orang cakap, kalau kahwin campur ni kemungkinan anak yang lahir tu bijak dan pandai. Mmm… Kak, budak perempuan tadi tu siapa?”
“Perempuan mana? Yang cakap Al nak datang interviu tadi tu?”
“Yup. Siapa tu? Al tak pernah nampak pun. Siap pandai main skateboard lagi.”
Wanita itu mendongakkan kepala sebaik sahaja mendengar kenyataan Qadheer Alauddin. Helaian putih yang disusun tadi disimpan ke dalam fail.
“Amboi, tanya macam selalu datang Venice. Awak tu pernah sekali aje datang sini. Itu pun sekejap. Tak silap dekat dua tahun lebih jugalah dia kerja dengan akak. Skateboard tu dah macam motosikal dia. Dia jugalah yang buat servis penghantaran. Nama dia Keris Nadhrah Sari.”
Qadheer Alauddin membulatkan matanya. Terkejut dan terkesima seketika mendengar nama gadis itu.
“Kenapa muka tu? Terkejut?”
Wajahnya yang tadi seperti tidak sangka segera diukir seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Apa akak kata tadi? Keris? Keris Taming Sari?”
Qadheer Alauddin sedang berpura-pura yang dia tidak jelas dengan nama gadis itu.
“Dah kenapa pergi Keris Taming Sari pula? Keris Nadhrah Sari. Kita orang semua kat sini panggil dia Nadh.”
“Nadh?” ucap Qadheer Alauddin seperti antara jelas dengan tidak. Qash Alaisyah dapat melihat perubahan pada wajah adiknya.
“Al, nama panggilan aje sama. Anis Nadhira dengan Keris Nadhrah Sari jauh bezanya, kan?”
“Ya kak. Al faham. Siapa nama ayah Keris tu?”
“Aik? Kenapa tanya? Nak hafal siap-siap dulu ke?”
“Hafal? Apasal nak hafal pula? Al tanya sebab nama dia tu unik. Jadi, nama ayah dia pun berkemungkinan unik juga agaknya.”
“Yalah, manalah tahu tiba-tiba aje hati dah berkenan. Jatuh cinta pandang pertama. Mestilah nak kena hafal nama penuh dari awal. Senang nak akad nikah nanti, kan?” usik Qash Alaisyah.
“Isy… Ke situ pula perginya. Sementara akak tak jumpa lagi orang untuk pembantu dapur tu, biar Al tolong akak.”
“Betul ke ni? Ke nak kenal dengan Keris Nadhrah Sari?”
“Ke situ lagi perginya. Sudahlah. Al nak turun bawah ni.”